Pages

Wednesday, April 20, 2016

Cuti

Assalamualaikum,

Dalam seminggu dua ini Mak Long dan Pak Long pergi bercuti.  Nanti balik barulah boleh sambung cerita.  Kami sudah sampai di daerah Barstow, Selatan California menuju ke Tasik Tahoe.




















Monday, April 18, 2016

Nota Jalan-jalan 2014 - Key West, Florida

Assalamualaikum,



Catatan Harian:  Sebenarnya catatan ini sudah lama menjadi pekasam.  Entah macam mana bolehkan terlepas pandang tidak dikeluarkan hingga kini.  



Peta Key West, Florida

Perjalanan kami bermula dari Tampa, Florida setelah berada di sana selama tiga hari, dua malam.  Sebenarnya kami di Tampa kerana mengunjungi anak sahabat rapat Mak Long dari tanahair kerana ketumbuhan dalam otak.  Dik Mas nama gelaran keluarga menjalani pembedahan rumit di Hospital Besar Tampa.  Alhamdulillah berkat doa kami semua terutama ibunya Normah, Dik Mas selamat melalui pembedahan tersebut.  Kami mulakan perjalanan awal pagi lagi selepas sarapan, tidak panas.  Cuaca sungguh cantik dan menjanjikan hari yang ceria sepanjang hari itu.  Arah perjalanan kami kali ini ialah menuju ke tempat yang paling hujung sekali negeri Florida iaitu Key West.  



Jambatan Sunshine Skyway dari Tampa ke Key West

Kami melalui Jambatan Sunshine Skyway yang merentangi Teluk Tampa ke Key West.  Panjangnya jambatan itu lebih kurang 4.1 batu atau 6.67km.  Jambatan itu dibina dalam 1982 dan siap pembinaanya dalam 1987 yang menelan belanja USD244 juta.



Jambatan Sunshine Skyway

Key West menurut catatan ilmu alam, ia terletak di hujung paling selatan Amerika Syarikat dan ia lebih berdekatan dengan Negeri Cuba dari Miami.  Key West juga mempunyai cuaca tropika menyerupai cuaca di Malaysia.  Kelumpuk-kelumpuk kepulauan kecil disertai dengan pantai-pantai indah bagaikan syurga dunia di mana tempat ini menjadi kegemaran serta pilihan pengunjung yang datang dari segenap pelusuk dunia. Tempat percutian yang indah dan menjanjikan tempat-tempat menarik untuk dinikmati.  Keseluruhan pantai berpasir putih bersih menyediakan banyak aktiviti  berbagai jenis sukan air seperti sukan menyelam laut dalam, ski air dan lain-lain.  Key West mempunyai banyak sejarah silam serta penduduknya sudah pasti memiliki pelbagai adat dan resam.  Ramai orang Cuba berhijrah tinggal di daerah itu memainkan peranan penting dalam membentuk ekonomi di Key West.  Mereka bertanggung jawab dalam membuka pelbagai perniagaan termasuk perniagaan restauran, perhotelan dan lain-lain. 


Berenang di air jernih

Cuba ialah sebuah negara kominis.  Tiada tali perhubungan antara Amerika Syarikat dan Cuba sejak President John F Kennedy jadi president Amerika.  Sekarang hubungan kedua negara ini kembali diikat semula apabila President Obama memegang teraju kerajaan Amerika.  Seorang president Amerika yang dianggap paling lemah kuasanya selain President Jimmy Carter.

Di Key West terdapat juga penanaman sayuran dan buah-buahan secara kecilan juga besar-besar sebagai sumba makanan tempatan.  Mak Long terlior dengan buah mangga besar-besar dan montel yang sering dibeli di Kuala Lumpur.  Tengok sahaja ketika lalu sepanjang perjalanan dan kami tidak pula berhenti membeli walaupun hati amat teringin.

Kebun bendir

Semak samun seperti gambar di bawah jangan disangka tiada bahaya.  Banyak "alligator" atau buaya jenis kecil dan buas serta rangkus di situ menunggu mangsa.  Beberapa papan tanda memberi amaran "Berhati-hati buaya menyeberang jalanraya".


Papan tanda

Lihatlah papan tanda di atas itu.  "Panther Crossing Next 4 Miles".  Macam-macam papan tanda di sepanjang lebuhraya yang kami lalui itu.  


Semak samun berpaya

Aktiviti sebelah malamnya pula lain sedikit membuat bandar Key West bertukar rupa.  Ia menjadi tumpuan dari segala jenis manusia yang berpusu-pusu ke hulu ke hilir terutama di Duval Street yang ala-ala seperti "the strip" di Las Vegas.  Waktu malamnya sangat meriah suasana umpama siang.  Macam-macam jenis perniagaan dan aktiviti kerja maksiat berjalan rancak umpama jualan barang pusat beli belah.  Pelacuran mak nyah mahu pun pelacuran biasa, minuman keras dan lain-lain semua rancak dan bebas di kedai minum dan di tepi-tepi jalan.  Tidak kurang juga suasana keadaan yang meloyakan mata dan tekak melihat pemabuk-pemabuk dan penagih berperlesiran tanpa segan silu.  Jangan heran apabila bertemu perempuan ke, lelaki ke atau pondan ke berpakaian hanya se urat dua benang di tubuh seperti hendak ke kamar tidur!  Tidak sesuai sekiranya membawa anak-anak di bawah umor ke tempat begini pada waktu malam!



Duval Street waktu petang

Gambar di atas adalah bangunan lama dijadikan tempat beli-belah yang sibuk.  Kami tidak membeli apa-apa, tengok sahaja.  Harganya pun agak tinggi berbanding di tempat lain di Amerika.  Namanya pun tempat pelancungan, tentulah mahal semua harga barang.



Duval Street

Gambar di atas adalah pemandangan di Duval Street juga di mana pelacur-pelacur sedang beraksi menunggu pelanggan.  


Ramai melepak begini


Ahli musik jalanan juga tidak ketinggalan.  Tong dan baldi air pun boleh jadikan alat musik.  Bagus pulak musik yang dimainkannya.  Ada bakat!


Pemusik jalanan

Sekiranya ingin melihat dan menikmati keindahan unik di sekeling Key West eloklah mulakan dengan berjalan kaki atau mengayoh basikal yang boleh disewa di mana-mana sahaja.  Kami memilih berjalan kaki sahaja.  Dari hotel kami keluar dengan kereta kemudian meletakkan kereta di tempat kereta dengan harga sewa US25.00 sehari semalam.  Rasanya mahal tetapi bolehlah bukan selalu pun.  Tambahan ada orang yang menjaga keselamatan kenderan di situ, berbaloi juga.


Key West

Dua hari sebelum kami ke sana Pak Long menempah sebuah bilik yang menawarkan bilik berhadapan dengan permukaan air.  Berangan besar kami hendak berjalan menyusur pantai kononnya.  Macamlah kami tidak pernah menyusur pantai.  Selama 12 tahun kami tinggal di Freeport, Texas berhampiran sangat tepi pantai Telok Mexico; boleh dibilang berapa kali kami berjalan-jalan di pantai.  Kami tinggal di The Pirate Cove Hotel.  Rupanya kami silap, permukaan air bukan permukaan pantai!  Ada bezanya..  Hotel ini seperti chalet dikelilingi pasir putih dilengkapi dengan alat modenlah.  Tiada pantai!  Tetapi di tepi perairan yang dipenuhi dengan pokok-pokok kecil.  Suasana chalet memuaskan dan selesa.



Pantai di Key West

Clayton suami Dik Mas memberitahu kami sekiranya ke Key West kami mesti singgah dan cuba key lime pie di Kermit's Key Lime Shoppe yang amat popular di sana.  Pada hari itu cuaca panas, berpeluh-peluk kami berjalan kaki tetapi menyeronokkan.  Kami singgah di tempat yang disyorkan.  Memang sedap pienya begitu juga harganya pun sedap menyapu poket.  Kami beli dua biji berukuran 8 inci bulat.  Sudah licin makan pie baharu teringat ambil gambarnya.  Sudah terlambat!  Kecil sahaja bangunan Kermit's Key Lime itu tetapi ia istimewa kerana warna hijau muda pucuk pisang bangunannya.  Ada berbagai cenderamata dijual di situ.


Kermit's Key Lime Shoppe

Basikal penghantaran key lime pie kepada pelanggan 

Di bahagian bandar barunya terdapat pelabuhan di mana banyak kapal-kapal cruise untuk pelancung dan kapal mewah di situ.


Pelabuhan kapal cruise

Dikatakan bahawa "buoy" atau boya atau pelampung dalam gambar di bawah dibina sebagai tanda tempat yang paling selatan sekali di Florida.   Tanda itu sering hilang dicuri.  Oleh sebab itu Bandaraya Key West telah menletakkan satu boya dalam tahun 1983.  Menurut keterangan lagi boya tersebut sebenarnya tanda pembetung lama yang digali dalam kawasan tersebut.  Batu itu terlalu besar dan berat untuk dialih lalu ia ditetapkan di situ.  Ia dicat menyerupai seperti sebuah boya.  Kini ia menjadi tempat tarikan pelancungan yang kerap dikunjungi.


Hujung semenanjung  di Key West


Simbolik One Human Family

ONE HUMAN FAMILY  seperti gambar di atas adalah simbolik palsafah resmi moden bagi penduduk di Key West dan juga bagi seluruh kepulauan Florida keys; suatu motto kebahagian hidup berkasih yang ceria dari gulungan kumpulan manusia "gay dan lesbia" di mana ia dikongsi secara terbuka amnya... Hmmm..



Key West Musium

Kawasan bahagian bandar tua terletaknya Key West Musium iaitu antara tempat-tempat yang menjadi kunjungan penting di Key West termasuklah juga Mallory Square, Duval Street, Truman Annex dan Fort Zachary Taylor.  Banyak rumah-rumah banglo tua dan besar di situ khas untuk disewa.


Ayam di Key West

Ayam dalam bandar Key West

Satu dari keistimewaan yang pelik Mak Long perhatikan ialah banyak ayam berkeliaran dalam bandar di kedua-dua bahagian bandar lama dan bandar baru.  Bersepah tahi ayam hahaha.  Ayam bertelor bersepah, dan mereka mengutip makanan di merata tempat.  Tidak ada siapa peduli atas kehadiran ayam.


Seven Mile Bridge
(Jambatan Seven Mile)

Seven Mile Bridge adalah sebuah jambatan tersohor di Florida Key.   Jambatan ini terletak di daerah Monroe County, Florida.  Jambatan ini penyambung Knight's Key ke Little Duck Key.  Terdapat dua buah jambatan di kawasan ini.  Di dalam gambar menunjukkan sebelah kiri adalah jambatan lama dan di sebelah kanan itu jambatan baru.  Jambatan yang baru dibuka untuk semua kenderaan mana kala jambatan yang lama terbuka hanya dikhaskan untuk kegunaan perjalan kaki dan pengayoh basikal sahaja.  Jambatan yang lama itu dipanggil Knights Key-Pigeon Key-Moser Channel-Pacet Channel Bridge.  Amboi panjangnya nama berbelit-belit lidah hendak menyebutnya.

Pemandangan indah dari Seven Mile Bridge

Indah sungguh pemandangan dari Seven Mile Bridge.  Tidak jemu mata memandang.  Pemandangan nan indah itu seolah-olah kaki air dan kaki langit bertemu menampakan garisan halus dan nipis sekali. 


Pemandangan dari Seven Mile Bridge

Pemandangan dari Seven Mile Bridge


Pada petang hari ke tiga kami bertolak menuju ke Miami seterusnya ke Jacksonville.  Insya Allah akan Mak Long tulis tentang lawatan kami di sana nanti.















Saturday, April 16, 2016

Tweeting

Assalamualaikum,




Tweeting




He is on line
Tweeting......, tweeting........., tweeting....
Breaking news....
Hot gossips....
Stories and everything.....
From a person to another
Tweeting all over
 Across the globe
What good does it do?






Tweeting Red Bird







Cecah Kicap + Wasabi

Assalamualaikum,

Sudah lama benar teringin kuih bakar.  Terasa seperti sudah dalam tekak, macam mak andeh menggandung pula!!  Kuih bakar adalah antara kuih muih Melayu yang menjadi kesukaan sejak dari kecil hinggalah sudah tua-tua begini.  Telepon Icah puteri bungsu Mak Long kalaulah dia balik hujung minggu ini.  Boleh makan bersama sambil sembang-sembang emak dengan anak gadis manis.  "Very sorry Mom, I cannot come home...got to work on weekends...".  Tidak mengapalah, kalau sudah begitu buat sikit cukuplah lepaskan rasa teringin.  Buat setengah bancuhan sahaja.  

Bahan semua ada cuma tidak menggunakan gula pasir yang digantikan dengan gula kelapa.  Warnanya tidaklah hijau cantik seperti kuih bakar biasa.  Yalah warna hijau daun pandan campur gula kelapa lain benar rupanya... Tidak tahu warna apa namanya hahaha....  Yang paling seronok bukan main sekali ialah tengok dalam peti sejuk terjumpa lempok durian, you.... Lupa ada!!  Sudah berapa bulan bawa balik dari kampung baru terjumpa dan ingat!  Apa lagi masukkan sedikit dalam bancuhan kuih bakar..  Senyum manjang orang tua ini...  Poooohh!  sedap dan nyaman rasa hendak pengsan baunya bila hampir masak dari dalam ketuhar...  "What are you cooking!  Smell so good....!"  Tanya Pak Long..  


Kuih Bakar 

Memang sedap weiii....  Tambah sedap rasanya bila cicah dengan kicap campur sedikit wasabi.  Berdengung otak sampai ke telinga perkena wasabi... Hahahaha  Cicah kuih manis dengan kicap campur wasabi??  Haaa itulah kesahnya.  Orang Johor terutama dari Daerah Muar biasa makan goreng pisang atau mee siput goreng (mee kuning dilipat-lipat jadi bulat leper dan dikeringkan hendak makan baru digoreng)  dengan sambal tumis cair.   



Mee siput Muar (mentah)

Tidak malu Mak Long puji masakan kuih bakar ini.  Tetapi memang sedap!  Tiga hari habis dan licin... sarapan dan manisan cuci mulut selepas makan.



Kuih bakar cicah kicap + wasabi












Tuesday, April 12, 2016

Musim Bunga 2016

Assalamualaikum,

Negara yang mempunyai empat musim iaitu musim panas, musim luruh, musim sejuk dan musim bunga, mereka kebanyakannya mengubah waktu sebanyak dua kali setahun.  Ini dilakukan bermaksud untuk menikmati masa siang lebih panjang.  Dalam bahasa Inggeris disebut "Daylight Savings Time".  Tarikh mula dan akhir  "Daylight Savings Time" tidak sama dari tahun ke tahun juga ia bergantung tempat dan daerah.

Tahun 2016 di Amerika, "Daylight Savings Time" bermula pada hari Ahad kedua dalam bulan March.  Jadi tahun ini jam diubah waktunya pada hari Ahad, 13hb March dari pukul 1:00 pagi diubah kehadapan kepada pukul 2:00 pagi.  Pertukaran waktu ini nanti akan berakhir pada hari Ahad pertama dalam bulan November, 2016 mulai pada pukul 2:00 pagi diubah waktunya kebelakang kepada pukul 1:00 pagi.  Pada tarikh 20hb March secara rasminya bermula musim bunga atau "spring season".  Omputeh di sini biasa sebut spring sahaja.

Apabila putaran musim bunga kembali semula, ia bagaikan saat membuka lembaran baru selepas mengalami kelembapan dalam musim sejuk. Tumbuhan yang kehilangan dedaun malah ada yang mati kesejukan bercambah semula menyerikan alam dengan kembangan indah berwarna warni menawan hati dan minda sehinggakan rumput pun tidak mahu ketinggalan memceriakan alam.  


Bulu tebal mula tanggal dari biri-biri

Haiwan mulai bangun dari tempat pertapaan di lubang, di gua seperti ular, buaya, tenggiling, beruang dan lain-lain binatang yang tidur sepanjang musim sejuk.  Bulu tebal berwarna gelap mereka akan gugur berganti baru lebih nipis dan berwarna cerah.  


Burung kelicap 

Burung-burung akan kembali semula dari permergian mereka yang jauh merentas belantara kala mencari tempat yang lebih panas.  Rama-rama kembali menyeri bunga.  Pendeknya inilah juga musim mengawan masa mereka membiak.



Mr Hollis si tupai

Mr Hollis si tupai datang semula cari makan.  Musim sejuk dia tidak keluar dari tempat pertapaannya.  Laparlah dia hingga sanggup bergayut bergitu rupa... malangnya Mak Long belum sempat memenuhi tabung bijiran itu...kesihan!


Rusa jantan

Setiap tahun rupanya tanduk rusa jantan itu tumbuh dan berganti.  Musim sejuk adalah puncak tanduk-tanduk itu membesar kemudiannya gugur bila musim berganti iaitu masuk musim bunga semua tanduk rusa jantan tanggal dan gugur ke bumi.  Sebelum tanduk-tanduk itu tanggal dari kepala, mereka  menggosok-gosokkan tanduk pada batang kayu dan pokok-pokok hingga rosak pokok dan tanaman.  

Tanah keras kerana sejuk diselimuti salji beku di musim sejuk.  Apabila cuaca mulai bertukar panas tanah menjadi lembut dan lembab semula.  Peladang dan petani sibuk menyemai dan menanam tanaman baru.  Suasana mulai rancak dan ceria semula.  


Awan mendung, angin bertiup kencang

Tetapi musim bunga bukanlah bermakna keadaan sentiasa indah tanpa masaalah.  Hujan bermakna juga musim banjir di setengah tempat ditambah dengan salji pula mulai cair.  Begitu juga angin ribut yang kuat membawa hujan air batu (hails) dan tornado (angin puting beliong).  Tornado terjadi apabila cuaca sejuk dan cuaca panas berlaga.  Musim bunga tahun ini sudah dua kali termasuk malam ini kawasan kami mengalami hujan air batu sebesar bola soft ball merosakkan kenderaan yang diletak di tempat lapang dan atap serta tingkap cermin rumah.  Alhamdulillah, rumah kami tidak apa-apa..

Walau apa pun pertukaran cuaca adalah urusan Allah SWT.  Umpamanya tahun ini, di kawasan kami musim bunga bermula lebih awal dilimpahi dengan cuaca lembab, hujan hampir setiap hari.  Pokok dan rumput seolah-oleh keliru mengeluarkan bunga dan berputik.  Kemudian cuaca beku dan sejuk (freeze) terakhir dari utara datang mengakibatkan bunga dan putik buah-buahan menjadi lecur dan rosak.  Kebiasaan dalam bulan April adalah musim hujan hingga menjadi satu perpatah Inggeris menyebut "April showers bring May flowers".

Masyarakat tempatan sibuk kemas kinikan kawasan dan rumah mereka.  Tiap-tiap hujung minggu ada sahaja "garage sales" di sana sini.  Mak Long suka aktiviti "garage sales".   Tidak perlu simpan barang-barang yang tidak diguna dan tidak berfaedah disimpan menyemakkan sahaja.  "Someone's trash is someone's treasure".  Sekiranya barang-barang itu tidak laku maka boleh dihantar ke suatu tempat untuk disedekah kepada mereka yang perlu.  

Kalau ada aktiviti seperti itu di Malaysia alangkan baiknya.  Bukanlah bermaksud menghina atau memburuk-burukkan bangsa sendiri.  Sanggup simpan sampai buruk barang-barang yang tidak diguna pakai yang akhirnya nanti dibuang sahaja, sedangkan agama kita melarang pembaziran.  Tambahan pula ada juga orang-orang yang tidak mahu menerima barangan yang sudah guna pakai ("secondhand") seperti pakaian dan perabut.  Keluarga Mak Long sendiri ada yang tidak mahu terima malah menganggap ia satu penghinaan apabila diberi barang "secondhand" itu.  Hendak yang baru dan berharga walau pun memang sah dia itu berkeadaan susah!  Hah!  Mak Long sudah terkeluar dari tajuk dah!

Rumput di kawasan rumah kami mulai menghijau.  Enam tahun lalu ketika kami baru pindah, rumput tidak tumbuh disebabkan terlindung dari cahaya matahari dan banyak batu kecil dan besar di sekeliling rumah.  Pak Long tebang kebanyakan pokok cider agar terang kawasan dan kami kutip batu-batu yang timbul.  


Bluebonnet

Paling Mak Long suka musim ini ialah banyak jenis pokok bunga liar yang cantik tumbuh walau pun di tanah gersang.  Tengoklah Mak Long pula melaram dalam gambar di bawah.  Kak Noor, Uncle dan Iryanti, Mak Long sudah tunaikan permintaan hendak tengok gambor orang tua dari kampung ini hahahaha....




Bluebonnet ialah bunga liar, bunga kebangsaan Texas rancak berbunga tidak kira di mana.  Di tepi  jalan dan lebuhraya, di bukit-bukit, di ranches, di keliling rumah ia akan tumbuh melata tidak perlu ditanam.  Mak Long diberitahu tidak boleh memetik atau merosakkan bluebonnet tumbuh di kawasan awam. Di hadapan dapur kami penuh melaut dengan bluebonnet.  Ribuan lebah sibuk menghisap manisan.  


Bunga antelope horn dan bluebonnet

Ladang (ranch) ternak kambing dan biri-biri

Paling Mak Long gemar bila melihat binatang ternakan di ranch yang menternak lembu, biri-biri dan kambing damai meragut rumput hijau.  Tenang rasa hati melihat mereka.


Burung belatuk hinggap di tabung bijiran

Burung berbagai jenis berkicauan meriahkan suasana alam sepantas matahari membuka tirai cahaya.  Burung belatuk juga tidak ketinggalan datang berpasangan.  


Kudup bunga morning glory

Di atas itu adalah pokok bunga morning glory, tidak lama lagi kembanglah dia.


Bunga "Redbud"

Akhir tahun lepas kami tanam pokok "redbud".  Tahun ini ia mengeluarkan bunga cantik hingga ke hujung ranting.  Bunganya tahan lama berkembang, apabila layu dan gugur daun hijau pula menjonggol berpucuk.




Bunga liar ini Mak Long tidak tahu namanya.  Baunya lembut harum sermerbak umpama bau harum minyak wangi "Pleasure" dari keluaran Estee Lauder.


Daffodil

Beberapa deffodil kuning Mak Long tanam sudah pun mengeluarkan bunga.  Kurus! Tidak gemok.


Pokok Tin (fig)

Pokok tin Mak Long berdaun kembali setelah gondol di musim sejuk.  Harap-harap akan berbuah lebat tahun ini.

Mak Long bersyukur dapat melihat dan menikmati ciptaan Illahi.  Juga gembira dapat berkongsi walau pun melalui gambar-gambar sahaja dengan sahabat-sahabat yang tidak dapat  bersama melihat di antara ciptaan Allah yang maha berkuasa.
















Sunday, April 10, 2016

Windmill (Kincir Angin)


Assalamualaikum,

Dua hari ini Pak Long sibuk.  Buat tapak mendirikan "windmill" di belakang rumah.  Untuk hiasan di laman belakang rumah sahaja.  Mak Long hanya bantu sedikit sahaja, tolong pegang kayu bila Pak Long memotong atau ketuk paku pada kotak yang dibinanya.  

"Windmill" atau kincir angin dalam bahasa Melayu ialah suatu alat yang menggunakan kuasa angin menukarkan kuasanya kepada tenaga putaran melalui bilah atau kipas.  Zaman dahulu windmill memainkan peranan penting kepada manusia digunakan untuk mengepam air kegunaan dan bekalan air di ladang dan di rumah.  Windmill lama seperti itu yang pernah Mak Long lihat mempunyai pam air di mana air dinaikan dari mata air di bawah tanah.  Air itu disimpan dalam tangki besar terletak berhampiran dengan windmill.  Windmill juga digunakan sebagai kuasa mengisar bijiran seperti jagong, gandum dan lain-lain untuk menghasilkan bahan makanan seperti tepung.  

Di Texas windmill digunakan untuk menjana eletrik yang dikenali sebagai turbin angin.  Windmill juga digunakan sebagai hiasan di laman rumah, di kebun sebagainya.



Turbin angin

Gambar dari Google
Ia adalah windmill biasa terdapat di Negeri Belanda

Windmill hiasan

Windmill hiasan
Pak Long tidak tahu kita ambil gambar dia....kalau dia tahu mesti tidak suka punya .... 




Yang ini orang tua pun sama sibuk bergambar sebelah windmill!   Berangan hendak tanam pokok menjalar seperti peria atau kacang di tengah-tengah kotak itu nanti.  Biar pokok itu nanti menjalar memanjat "windmill".  Cuma hendak isikan tanah sahaja, lepas itu bolehlah tanam pokok itu.