Pages

Friday, November 20, 2015

Nota Percutian Akhir 2015 : Skyline Drive Dan Blue Ridge Parkway

Assalamualaikum,

Dari Catatan:



Air Terjun Niagara

Hari ini ialah hari ke tiga kami berada di Niagara Falls.  Sampai sudah masa untuk bergerak dan mulakan perjalanan pulang semula ke Amerika.  Semalam seharian berjalan melihat di sekeliling, lengoh, letih penat terasa seluruh anggota.  Kalau dulu-dulu zaman muda-muda panjat gunung sampai ke puncak sekali pun tidaklah sepenat yang dirasa sekarang.  Sendi-sendi semua sudah longeih (lorghat orang Muor), lutut sudah selalu bising krak-krok bila buat berdiri duduk selalu.  Pak Long sarankan kami tinggal satu malam lagi, rehat sampai segar semula. Tidak mengapalah kita teruskan perjalanan balik ke Amerika, jawab Mak Long.  Sebenarnya Mak Long teringatkan pokok ros dan fern di rumah.  Tidak masuk akal kan?  Mak Long cepat rasa "home sick" bila pergi jauh lama-lama.  Lewat juga kami keluar dari hotel.  Pekena dengan kopi-O 434 dari kampung membantu menyegarkan mata yang masih kuyu.  La ni mana-mana Mak Long pergi bawak kopi 434 bersama.  Pak Long sudah ketagih dengan candu kopi kampung hihihihi... 



Kopi 434 dari kampung

Cuaca mendung dan suhu hanya 59 degree farenheit sahaja menandakan hujan akan turun.  Tidaklah sejuk mana, biasa-biasa sahaja tu.  Pak Long sudah siap programkan GPS gagap untuk melalui jalan-jalan yang tidak melalui lebuhraya.  Kami bercadang hendak singgah menjengok Robin anak kami di Belmont, North Carolina.  Ya betul pun, hujan gerimis ketika kami meninggalkan Ontario, Canada menuju arah Buffalo, USA melalui jambatan "Rainbow Bridge".  Rainbow Bridge adalah jambatan penyambung sempadan antarabangsa Canada dan USA.  Tiada masaalah di laluan imigresen walaupun sesak juga laluan.  Tidak berapa jauh dari imigresen, terdapat bangunan beli belah duty-free di mana ada beberapa restauran India dan Pakistan yang menyediakan makanan halal.  Di situ kelihatan seperti "Little India" kerana ramai orang dari sana datang berniaga.  Sayangnya ketika kami lalu di situ, restauran tiada yang sudah dibuka.



Rainbow Bridge

Dari lebuhraya I-190 South kami terusakan arah perjalanan ke lebuhraya I-90 Barat masuk ke New York State Thruway seterusnya masuk ke Pennsylvania State dan Maryland State.  Jalan ini bertol, mengelirukan kami seketika!  Penjaga tol di situ adalah seorang lelaki Afrika tersengih-sengih melihat kami perlahan-lahan rapat dan berhenti di sisi pondok tiket tol. 

Penjaga Tol:      Good morning, Sir
Pak Long:         Good morning, errr how much do I owe?
Penjaga Tol:      How much can you give me...hahahaha?
Pak Long:         I have no idea, Sir.... 
Penjaga Tol:    I have no idea too hahahahaha...(sambil senyum lebar dari telinga ke telinga) 
                       You pay when you get there Sir and have a good day .....

Penjaga tol menyeringai lagi lebar menampakan giginya yang bersumbi emas kuning sambil menghulurkan sekeping resit kepada Pak Long....  Rupanya tol itu berfunsi seperti yang biasa terdapat di Malaysia iaitu ambil resit dahulu kemudian bayar di mana dan apabila keluar dari lebuhraya itu.  Kebanyakan tol yang kami lalu pembayaran tol dibuat di hujung perjalanan tanpa mengambil sebarang tiket tol dahulu.  Tidaklah mahal pun bayaran tol itu hanya USD1.80 walau pun jauh jalannya.  Di sepanjang perjalanan di lebuhraya itu banyak terdapat bekas penanaman anggur yang luas.  Daun-daun anggur sudah kering dan gugur ke tanah kerana perubahan cuaca.  Yang tinggal hanyalah tunggul dan batang anggur.

Tidak sedar Mak Long tertidur kerana terlalu selesa dalam kereta hihihihi... sedar-sedar sudah masuk ke Pennsylvania State, alahai Pak Long sahaja biarkan Mak Long tidur.  Kami lalu daerah Jamestown, sebuah perkampungan tua yang kecil.  Ini memandangakan dari keadaan semua rumah-rumah di situ rumah lama dan kecil belaka tambahan terletak terlalu rapat dengan tepi jalanraya.  Terdapat tanah perkuburan lama yang juga rapat dengan jalan raya.


Rumah tua di tepi jalan

Jalan lengang

Sampai di suatu tempat tidak jauh dari Jamestown Mak Long ternampak sebuah pondok menjual sayur dan buah-buahan di tepi jalanraya.  Nampak kelibat "blur" sahaja dan minta Pak Long pusing balik ke pondok tersebut.. Berkiut tayar eeekkkkk ... bunyi break Pak Long tekan....  Hahahaha..  Seronoknya... macam-macam jenis buah dan sayuran ada di situ.  Berbagai jenis labu pun bertimbun banyaknya..  Labu adalah satu dari buah istimewa yang digunakan khas untuk upacara menyambut "Halloween" pada 31hb Oktober setiap tahun.  Labu jenis kuning, kulit dan isinya nipis digunakan untuk ditebuk dan dilorek pelbagai rupa.  Biji labu dikeluarkan dahulu sebelum dilorek.  Kemudian dalam labu itu diletakkan lilin untuk menerangi waktu malam.  Penduduk-penduduk menghias rumah dan kawasan kediaman mereka dengan labu-labu serta patong-patong huduh berupa hantu dan lembaga orang yang dibuat dari pokok jagong dan jerami gandum untuk sambutan Halloween.  Itu adalah adat dan kepercayaan mereka ......


Pondok jual sayur dan buah tepi jalan

Di belakang kedai tersebut adalah kebun sayur.  Kalau dekat rumah memang Mak Long sudah borong setiap jenis daun salad itu ...hihihi.  Pekebunya seorang wanita muda sedang sibuk mencabut sayur yang sudah matang untuk dijual.  Kebanyakan yang ditanam adalah daun salad.  Petani di situ menggunakan alat-alat moden dalam semua kerja pertanian... Traktor mengemburkan tanah, menabur baja dan racun serangga dengan menggunakan kapal terbang kecil dipanggil "crop duster".  Begitu juga talian perairan yang bagus untuk menyiram tanaman.  Fikiran Mak Long melayang kepada petani-petani di tanah air.  Kalaulah mereka mampu tentu mereka akan menggunakan segala apa yang petani di Amerika guna.  Mahukah wanita muda kita turut turun membanting tulang di kebun sayur atau kebun buah?  Anak-anak bangsa kita perlu belajar cara-cara pertanian moden untuk kemajuan bangsa dan negara.  


Kebun sayur

Murah betul barang yang dipasarkan dan pembelinya layan diri.  Mak Long capai satu bakul kecil berukuran satu gelen dan isi beberapa jenis apple ke dalamnya...green apple, gala dan red apple sampai aras mulut bakul.  Semua barang yang berkenan Mak Long longgok di atas meja...lima enam jenis labu kecil, sayur kobis brussel, apple dan beberapa botol jem termasuk madu lebah.  Bila penjual layan belian Mak Long katanya, "You need to get more apples in your basket, ma'am" sambil membawa bakul Mak Long yang berisi apple itu ke pangkin apple lain dilonggokkan.  Dia tanya Mak Long hendak apple jenis apa lagi... laa manalah Mak Long tau yang mana sedap.  Mak Long tanya apple apa yang sedap.  Katanya apple jenis "crip apple" sedap mersik bila dikunya.  Waaaa penuh merumbong buah apple dalam bakul diisinya .. sama tinggi bakul dengan apple yang baru diisinya.  Murah bukan main!  USD6.00 sahaja!



Pumpkin Butter dan Apple Butter

Apple butter sedap rasanya, ala ala rasa kaya.  Sapu pada roti bakar terangkat rasanya.  Pertama kali Mak Long merasa makan apple butter ketika kami di North Carolina beberapa tahun dahulu.  Menantu kami hadiahkan sebotol pada Mak Long.  Selepas itu setiap kali jumpa apple butter sudah pasti Mak Long beli..


Jem marmalade, madu dan sirap peach



Musim Luruh

Perjalanan kami seterusnya melalui banjaran pergunungan Allergheny National Forest.  keindahannya yang sempurna tiada bandingan.  Dedaun sudah bertukar warna melayang-layang luruh jatuh ke bumi.  Bila ditiup angin lagilah banyak daun yang gugur.. Musim luruh amat memukar dan mengkagumkan..  Hati berasa tenang dan damai menikmati keindahan alam di kiri kanan jalan.  Beberapa papan tanda memberi amaran agar berhati-hati di kawasan orang-orang Armish yang menunggang kereta kuda.  Seronok juga tidak melalui lebuhraya besar.  Banyak yang boleh dilihat di sepanjang perjalanan seperti ladang jagung, ladang kapas dan lain-lain.


Terowong Allergheny
Allergheny National Forest

Malam itu kami bermalam di Hampton Inn Somerset, Pennsylvania.  Bandar Somerset juga sebuah bandar lama dengan bangunan-bangunan lama terjaga dengan baik.


21hb Oktober:  Hari keenam

Pagi-pagi pukul 8:30 lagi kami sudah bertolak dari Somerset sementara suhu pula hanya 40 degree farenheit menuju ke Virginia.  Hasrat kami untuk melalui jalan yang berliku tajam dan bengkok merbahaya tersohor yang dikenali dengan Skyline Drive, Virginia.  Agar cepat sampai ke distanasi tersebut, kami tidak banyak berhenti melainkan berhenti hanya untuk keperluan sahaja.  Daerah-daerah yang kami lalui seperti Breezewood, melalui sebuah terowong panjang iaitu Allergheny Tunnel.  Pemandangan di daerah itu sangat memukau tidak jemu mata memandang.  Rumah-rumah petani terletak di kaki gunung dengan padang ragut sudah mula bertukar warna kuning di mana ternakan lembu dan biri-biri ditempatkan.  Pukul 9:30 pagi kami sampai sempadan di Maryland seterusnya ke West Virginia dan sampai di situ pukul 10:30 pagi.  Dari West Virginia pula kami terus memasuki Negeri Virginia dan sampai di Bandar Front Royal pukul 11:00 pagi.  Front Royal ialah di mana Skyline Drive bermula.  


Welcome centre di West Virginia


Perkampungan di kaki gunung



Skyline Drive, 
Shenandoah National Park, Virginia






Peta Skyline Drive
(Dari Google)


Shenandoah National Park adalah sebuah taman hutan lipur terletak di banjaran Blue Ridge Mountains, Virginia.  Panjangnya 105 batu bermula dari sebelah utara di Front Royal hingga ke daerah Waynesboro-Charlottesville di sebelah selatan.  Laluan kami ke sana melalui lebuhraya I-66 East kemudian masuk ke jalanray US-340 ke Front Royal.  Front Royal ialah sebuah bandar tua dan kami singgah sebentar di Welcome Centre untuk mendapatkan penerangan lajut tentang taman tersebut juga maklumat tentang hotel dan homestay berdekatan.  Skyline Drive adalah nama jalanraya utama di Shaenandoah National Park.  Jalanraya itu terkenal kerana keadaannya berliku tajam lagi curam sepanjang jalan itu.  Penggunjung dikenakan bayaran sebanyak USD20:00 bagi sebuah kenderaan di mana dengan bayaran itu boleh digunakan beberapa kali dalam masa tujuh hari.  Bayaran USD40:00 pula boleh digunakan sepanjang satu tahun.

Skyline Drive

Pergunungan yang memukau mata dan jiwa
Skyline Drive berfungsi sebagai jalanraya utama untuk kegunaan awam di sepanjang hutan lipur Shanandoah.  Perjalanan sepanjangan di situ mengambil masa selama lebih kurang tiga jam dalam keadaan cuaca baik.  Had kelajuan memandu adalah 35 mph.  Dari permulaan perjalanan di Skyline Drive kelihatan batu-tanda di tepi jalan.  Batu-tanda tersebut membantu penggunjung mengenal-pasti tempat-tempat untuk berhenti menikmati kawasan hutan pergunungan.  Batu-tanda bermula dengan 0.0 batu dari Font Royal hinggalah 105 batu di sebelah selatan di mana taman hutan lipur tamat.  Terdapat 75 buah tempat berhenti disediakan untuk pengunjung berhenti menikmati keindahan pemandangan atau menangkap gambar hutan lipur Shenandoa.  Berbagai jenis tumbuhan liar berbunga sepanjang tahun dengan dedaun menghijau menyambut musim bunga setiap tahun.  Di awal musim panas pula Azalea sejenis bunga menarik berwarna cerah menghiasi perhutanan dengan lebat sehingga tiada nampak daunnya.  Begitu juga di musim luruh bunga cardinal, black-eyed susan dan lain-lain jenis bunga liar mekar menambahkan lagi keindahan daun yang bertukar warna keemasan, jingga dan merah gugur ke bumi.


Kayuh basikal di Skyline Drive

Di sepanjang jalan terdapat banyak lorong-lorong kecil untuk aktiviti berjalan kaki merentas hutan lipur dan berkelah atau berkemping di tempat-tempat yang disediakan.  Bermacam aktiviti boleh dilakukan di situ.  Hotel dan homestay juga terdapat di situ bagi mereka yang berminat bermalam di puncak pergunungan.  Mak Long teringin suatu hari hendak berkemping di dalam hutan, boleh dengan anjing serigala dan cengkerik berbunyi membelah malam sunyi....

Sayup Pemandangan di Shenandoa National Park

Kami bernasib baik dapat melihat sekumpulan ayam belanda di tepi jalan.  Oleh kerana terlalu seronok, Mak Long tidak sempat pun hendak ambil gambar mereka sudah lari jauh ke gaung gunung.  Binatang seperti rusa, beruang hitam adalah di antara binatang liar yang menghuni pergunungan ini.  Setiap pengunjung perlu berhati-hati kerana binatang-binatang tersebut akan tiba-tiba merlintas jalan tanpa amaran dan pengunjung dilarang memberi mereka makanan.  Makanan manusia adalah tidak sesuai untuk binatang dan burung.
Perhentian di Skyline Drive
Di perhentian-perhentian seperti dalam gambar di atas menyediakan restauran, minuman, petrol dan bilik air.

Pukul empat petang kami masih lagi berada di Skyline Drive, berhenti di tempat-tempat perhentian yang disediakan untuk melihat keindahan alam di situ sambil mengambil gambar.  Hendak menikmati keindahan di situ tidak perlu cepat-cepat macam tidak sempat-sempat hendak ke tempat lain.  Banyak benar gambar-gambar yang dapat Mak Long abadikan.  Kecanggihan teknoloji sekarang kita mampu mengambil seberapa banyak gambar selagi terlarat.  Dulu kalau mengambil gambar menggunakan film, kemudian dihantar ke kedai gambar untuk dicuci baharulah boleh tengok hasil gambar yang diambil.  Itu pun kalau gambar-gambar menjadi dan cantik.  Kini semuanya itu dibuat menggunakan kaedah digital.  Sekiranya gambar-gambar itu tidak cantik, ia boleh dipadam serta merta. 

Memandangkan masa dalam musim sejuk waktu siang lebih pendek, dan kami perlu mencari tempat untuk bermalam.  Semua bilik hotel dan homestay di kawasan Skyline Drive sudah penuh tidak menerima tetamu baru lagi.  Makanya kami gunakan GPS gagap mencari sasaran.  Munurut GPS, kami terpaksa keluar dari Skyline Drive ke daerah berhampiran untuk dapatkan tempat menginap malam itu.  Kami bernasib baik, dapat juga tempat menginap di Hunt Ridge Best Western Hotel, Lexington Virginia.  GPS mengarah kami entah ke mana-mana, masuk sini keluar situ, gila betul minah GPS ini.  Macam hendak main-mainkan kami pulak...  Dia arahkan perjalanan kami hingga ke suatu tempat dan kawasan, rupa-rupanya baru perasan itu adalah kolej tentera (Virginia Military Institute).  Luas betul kawasan kolej itu.  Telahan kami sudah berada di situ kami kelililing sedikit lihat-lihat kawasan.  Kadang-kadang kita terjumpa sesuatu tempat tanpa disangka-sangka.  Tidak ada pengawal jaga di pintu masuk.  Di Mindef, Malaysia ada pengawal yang bertugas mengawasi orang-orang yang masuk dan keluar.  Bagus begitu untuk memastikan keselamatan.  Dari situ GPS mengarahkan kami berpusing haluan melalui susup sasap di belakang rumah orang dan apartment .... aduhai... akhirnya baharulah sampai juga di hotel yang kami cari itu, "You have arrived at the destination on the right....".  Sementara itu sudah puas Pak Long bebel pada GPS gagap itu hahahaha.......
Skyline Drive biasanya akan ditutup kepada lalu-lintas awam apabila cuaca buruk dan merbahaya umpamanya salji turun dah hujan ribut.

Hunt Ridge Best Western Hotel, Lexington, Virginia

Hotel Best Western ini lain sedikit dari hotel-hotel yang penah kami bermalam.  Seni bina bangunan menyerupai sebuah gereja dilengkapi dengan perabut cantik dan moden.  Bilik kami sangat besar dan selesa.  Dewan makan juga besar untuk sarapan pagi.  Sebuah dewan besar yang diubah-suai sebagai restauran, cantik dan lengkap dengan alat pemain musik menghibut penghuni hotel. Geli hati pula apabila kami "check-out" kami dihadiahkan dengan dua ekor itik plastik.  Mak Long tanya pada penyambut adakah adakah itik-itik itu satu simbolik atau bermakna sesuatu atau apa ke?  Jawabnya tidak apa-apa hanya suka-suka bagi penghuni hotelnya.  Di rumah Mak Long letak kedua itik itu dalam bilik cucian.


Cantik kan?


21hb Oktober:  Hari ketujuh
The Blue Ridge Parkway






The Blue Ridge Parkway



Kami bertolak dari Hotel Best Western selepas sarapan pagi.  Merantau lama-lama membuat hati Mak Long teringat masakan sendiri.  Teringat nasi lemak, beehoon goreng buat tekak tidak selera hendak telan roti bakar, telor rebus semua itu.  Orang kampung jati itu tetap orang kampung walau ke mana jua...



Mabry Mill
Blue Ridge Parkway


Blue Ridge Parkway ialah lebuh taman tersohor dengan keindahan alam semulajadi sepanjang banjaran pergunungan.  Parkway ini panjangnya sejauh 469 batu atau 755 km bermula dari Virginia ke North Carolina iaitu rangkaian Pergunungan Appalachian hinggalah ke Great Smoky Mountains National Park dan Cherokee Indian Reservation di North Carolina.  Blue Ridge Parkway dibina untuk menyambung antara Shenandoa National Park  dengan The Great Smoky Mountains National Park.  Kerja pembinaan lebuh taman itu mengambil selama 52 tahun.  Kerja-kerja itu dibuat secara berperengkat.  26 buah terowong telah dibina dengan mengorek menembusi batu di lebuh taman itu.  Selalunya Blue Ridge Parkway ditutup dalam musim sejuk hingga awal musim bunga.  Terowong tidak boleh dilalui disebabkan salji tebal menutup terowong dan di sekitarnya.  Keadaan cuaca di pergunungan selalu tidak menentu.  Had laju yang dibenarkan ialah 45mph (72 km/h).  Lebih baik dari had laju di Skyline Drive.  Tiada apa-apa bayaran untuk lalu lebuh taman itu, tetapi semua kenderaan perdagangan tidak dibenarkan menggunakan lebuh taman tersebut.  



Musim luruh

Kami sudah beberapa kali lalu di Blue Ridge Parkway sebelah North Carolina.  Pertama kali kami lalu di situ ialah dalam tahun 1998 dengan motosikal berenjin besar.  Terasa kebas seluruh badan duduk memboncing di belakang kerana terlalu lama dan jauh perjalanan.


Anak sungai

Mak Long tidak ingat nama sungai di atas itu.  Cantik!  Di penghujung nun di belakangnya ada sebuah empangan boleh keengaran air terjun kecilnya dari jambatan di mana kami berdiri.  Dari sana kami teruskan perjalanan ke Belmont, North Carolina ke rumah Robin dan kami tinggal di rumahnya selama dua malam sahaja.  Kami teruskan perjalanan kami ke Tennessee melawat sahabat kami Mike dan Mary Horlis yang memilih hidup merantu  selepas mereka pencen.  Mereka tinggal dari suatu tempat ke suatu tempat dengan kenderaan "mobil home" mewah mereka.  Ketika itu kebetulan mereka berada di The Smoky Mountains.












8 comments:

  1. As Salam Mak Long,
    What a journey! A leisurely ride through beautiful country is certainly a blessing. Hank and family never had a chance to do long hours before.We did manage to drive to Lake Tahoe through Reno from Sacramento. Short ride as it was but still it was fantastic.Splashing streams just below the road level with huge boulders practically the whole way leading to Lake Tahoe! Would be fun to do what you and Pak Long did. Skyline Drive is heavenly!

    Hank

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Hank,
      Kalau ada peluang memang seronok melihat-lihat negera orang. Namum negera kita sendiri pun tidak kurang indahnya yang sentiasa meriah dan cuaca cantik melainkan musim hujan. Amerika negara besar, banyaklah tempat yang boleh kita lawat.

      Delete
  2. assalamualaikum..maklong ...apa khabar....
    cantiknya permandangan..subuanallah...

    psst mak long...belanja yan epal butter tu..huhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Yan,

      Terima kasih Mak Long sihat bertambah-tambah sihat. Memang cantik tempat-tempat yang kami lalu mau pun lawati. Tidak ada masaalah untuk Yan. Bagilah alamat Yan, insya Allah... Mak Long berharap dapat pulang ke tanah air jengok Emak dan keluarga awal tahun hadapan.

      Delete
  3. Assalamu'alaikum Mak Long...

    Tiba2 saya berangan2 alangkah seronoknya kalau saya dapat menjejaki kediaman Mak Long di sana... :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Kakcik,

      Kurang tapak tangan, nyiru Mak Long tadahkan...jemputlah datang ke teratak kami. Boleh Mak Long bawa Kakcik nengok tempat ini. Seronoknya kiranya kita dapat bertemu. Musim yang paling elok ialah musim bunga dan musim luruh. Musim sejuk terlalu sejuk..

      Delete
  4. Aduh, penatnya berjalan...tapi tentu penat hilang bila mata terpandang pemandangan indah, gunung ganang terbentang saujana mata memandang, dedaunan pelbagai warna berterbangan jatuh ke bumi.. wah.. berpuisi pulak dah ha ha..

    ReplyDelete
  5. Hahahaha Che Mid.. Ciptaan-Nya yang sempurna memang memberi ketenangan yang dicari..

    ReplyDelete