Pages

Tuesday, November 24, 2015

Nota Percutian Akhir 2015 - Ruby Falls

Assalamualaikum,

Dari catatan:

24hb Oktober, 2015 - Hari kesepuluh

Dua hari kami tinggal di rumah Robin.  Mak Long banyak berehat di situ.  Hati suka berjalan macam orang-orang muda, tetapi kuderat tenaga sudah jauh menurun dan berkurangan.  Pada hari ketiganya kami sudah bersedia untuk meneruskan perjalanan seterusnya.  Selepas mengopi kopi 434 (tidak boleh tinggal kopi nih), setelah habis upacara ucapan bye, bye macam biasa kami di jalanan kembali.

Mike Hollis sahabat kami telah menghubungi Pak Long beberapa hari lepas memberi tahu bahawa beliau dan isterinya Mary sedang berkemping di Maryville, The Smoky Mountains, Tennessee.  Jadual mereka berada di kawasan itu selama beberapa minggu kemudian akan ke Florida menemui keluarga anak mereka di sana.  Mereka mengundang kami ke sana sekiranya kami berada di kawasan Tennessee.  Mike dan Pak Long sudah kenal lama dan mereka pernah bertugas bersama untuk syarikat oil & gas beberapa tahun lalu.  

North Carolina dan Tennessee kedua-dua negeri ini sangat istimewa dengan keindahan semulajadi yang amat sempurna ciptaan-Nya.  Kedua-dua bumi ini mempunyai banjaran pergunungan yang panjang dipenuhi hutan lipur subur menghijau di musim bunga dan musim panas.  Sementara di dalam musim luruh semua dedaun tumbuhan lipur itu bertukar warna yang memukau pemandangan.  Di musim sejuk pula semua pokok menjadi botak yang tinggal hanyalah dahan dan ranting.  Apabila salji turun menyelubung bumi ia mengubah rupa yang amat menakjubkan.  

Cantik kan?

Kami melalui jalanraya I-64 West, jalan yang lebih teruk penuh dengan liku tajamnya di lereng gunung dari di Skyline Drive dan Blue Ridge Parkway.  Banyak kona baring merbahaya, silap-silap terlepas masuk gaung dalam di bawah.  Ada kala berasa takut juga, Mak Long tidak bagi Pak Long toleh kiri kanan lama-lama.  Takut terbabas pulak!  Beberapa kawasan perlancungan yang menarik di situ seperti Chimney Rock Village dan Lake Lure yang menyediakan beberapa aktiviti bersukan dan lain-lain.  Bagi orang muda yang suka "jungle trekking" memang di situlah tempat yang bagus sekali.  Cuma berhati-hati tidak menganggu sang beruang tidur!  Kami pernah melawat Chimney Rock beberapa tahun dahulu, melakukan "jungle trekking" di pergunungan di situ.


Kedai sayur dan buah di tepi jalanraya

Di sepanjang jalanraya I-64 itu ramai penduduk-penduduk tempatan menjual hasil tanaman mereka.  Mereka sangat mesera dan ramah menerima penggunjung yang singgah ke kedai mereka.  Setiap kali kami berhenti dan singgah, mereka bertanya Mak Long berasal dari mana?  Dari Thailand kah?, dari Indonesia kah?  dari Philipina kah?  Mereka tidak tahu Malaysia!  Cuma satu tempat sahaja di mana penjualnya tanya Mak Long dari Asiakah?  Dia teka sahaja Mak Long dari Malaysia..  Nak kena ajar ilmu alam mereka nih!  Kami singgah beberapa buah pondok dan kedai membeli apple, sayur kobis dan turnip.  Semuanya segar-segar baru diambil dari kebun.  Mak Long tidak pasti nama turnip dalam bahasa Melayu... lobak putih?  Rupanya seperti dalam gambar di bawah.  Rasanya pedas-pedas dan pedar sedikit.  Mak Long guna turnip untuk diperah jusnya untuk minuman.  Selain dari itu ia boleh dimakan begitu sahaja sebagai ulam atau boleh digoreng buat lauk.  Banyak juga keluaran buatan sendiri seperti apple butter, jem, rempah ratus untuk masakan omputeh dijual.  Pendeknya hampir penuh juga boot kereta...  


Turnip

Pak Long pulak sudah berangan hendak makan sayur kobis bakar.. caranya, cari kobis yang sejat, potong kobis satu inci tebal.  Panaskan kuali leper.  Sapu butter di permukaan kobis yang dipotong tadi, letakkan perlahan-lahan dalam kuali.  Tabur sedikit garam dan serbuk lada hitam.  Biarkan hingga 3-5 minit sampai kobis layu barulah dibalikkan, tabur garam dan serbuk lada hitam sebelah yang baru diterbalikkan tadi.  Biarkan hingga lembut kobis barulah diangkat letak dalam pinggan.  Kalau hangus-hangus sikit lagi sedap kata Pak Long.  Makan dengan ayam goreng, ikan goreng ikut suka hati.

Macam-macam jenis apple ada.  Pilih sahaja mana suka.  Harga pun sangat murah.  Mak Long suka minum air perahan apple, mereka panggil apple cider.  Apple cider ialah perahan apple yang tidak ditapis hampasnya dan tidak ditambah manisan.  Manakala apple jus pula ialah perahan apple yang ditapis dan di "pasteurize".  Apple cider mesti disimpan dalam peti sejuk supaya ia tidak menjadi air tapai.  Cara minum apple cider ialah masukkan kulit atau serbuk kayu manis dalam apple cider, panaskan tidak perlu didihkan, kemudian boleh nikmati kelazatannya.  Pagi-pagi minum cider apple sangat menyegarkan...hmmm.  


Longgokan apple

Gambar apple di bawah ini saisnya besar, sebesar buah honey due.  Menurut tuan kedai apple jenis itu digunakan dalam masakan seperti apple sos dan apple butter. 

Apple untuk masakan

Perjalanan kami masuk melalui Pisgah National Forest.  Di situ lagi cantik pemandangan.  Lagi ramai pelancung berkunjung ke situ hingga keadaan menjadi sibuk dengan lalu lintas.  Trafik jam!!  Yang menjadi perhatian kami ialah pengunjungnya. Terlalu ramai penggunjung dari India, tua dan muda.  Sehingga Pak Long berkata dia tidak pernah tengok orang India paling ramai dalam hidupnya di Amerika dalam satu masa dan tempat.  Bukan seratus atau dua ratus bilangan mereka.  Jalanraya menjadi sesak, pengunjung meletakkan kereta tidak teratur di tepi jalanraya.  Aduhai,,  pergerakan kereta menjadi perlahan "bumper to bumper" membuat kami menyangka tentu ada kemalangan di hadapan.  Pak Long terpaksa mengubah hala terus ke Marysville, Tennessee mengelakan kesesakan tidak jadi hendak pergi ke Deals Gap dahulu sebelum bertemu dengan Mike dan Mary Hollis.  Deals Gap ialah satu tempat perhentian penunggang motosikal berenjin besar.  Kami sudah ke tempat itu beberapa kali, saja Pak Long suka ke sana.  Jadi tidaklah rasa terkilan tidak jadi pergi ke Deals Gap.


Trafik jam

Yang trafik jam sangat itu bukanlah disebabkan kemalangan jalanraya.  Rupa-rupanya yang sebenar ialah pihak ranger hutan bertugas mengawasi dan mengatur kenderaan-kenderaan yang melalui satu selekoh yang amat bahaya dan sempit jalannya....  Sampai pukul berapalah mereka semua itu dapat keluar dari jalan sesak itu.  aduhaiii....  Mujur Pak Long ubah fikiran tidak meneruskan pergi ke Deals Gap.


Kereta berhenti di sisi jalan

Kami sampai ke Marysville sudah lewat petang dan singgah di mana Mike dan Mary meletakkan "recreational vehicle" (RV) mewah mereka.  Cantik dan sunyi tempat mereka camping, di pinggir sebuah sungai mengalir air yang jernih menyusur liku-liku di kaki gunung.  Wadoooh cantiknya pemandangan...  Menurut Mary, bunyi deruan air mengalir sangat mengasyikkan di malam hari yang sunyi.  Mereka mengundang kami tinggal di mobil home mereka, tetapi kami menolak, bukan apa.. mobil mewah itu hanya ada satu bilik tidur walaupun mereka menawarkan kami tidur di bilik mereka. Mary kata mereka boleh tidur di sofa.

Omputih di Amerika suka mengembara dengan RV atau dipanggil juga "motorhome"  Kenderan coach mewah yang dilengkapi dengan segala kemudahan moden seperti bilik tidur, bilik mandi, dapur, peti sejuk, tempat makan, ruang tamu dan lain-lain kemewahan yang termampu penggunanya.  

Mereka turut membantu kami medapatkan bilik hotel di Holiday Inn Express, Alcoa, Tennessee, tidak berapa jauh dari tempat mereka berkemping.  Gamaknya, hotel-hotel di kawasan itu sudah penuh oleh kerana kesesakan trafik siangnya.  Mereka yang tersangkot dalam kesesakan itu terpaksa mencari tempat bermalam.  Nasib kami baik dapat tempat tidur tanpa masaalah.  Malam itu kami makan malam bersama sambil bersembang.


RV Mike dan Mary (1)

Gambar No. 1 dan No. 2 ialah RV Mike dan Mary ketika mereka singgah dan menziarah kami beberapa tahun dahulu.  Ketika itu kami pun baharu sahaja pindah di Canyon Lake.  Gambar No. 2 Pak Long membantu Mike mengikat keretanya di belakang RV.  

Kereta ditunda belakang RV (2)


Mary dan Mike Hollis dalam RV


25hb Oktober, 2015 - Hari ke sebelas

Kami bertolak dari Holiday Inn Express seawal 8:10 pagi.  Cuaca cantik dan suhu pun cantik kira-kira 60 degrees feranheit (15.5 celsius) sahaja.  Tidak perlu pakai baju panas tebal!  

Pak Long tanya kalau Mak Long hendak naik keretapi lama yang berada di Chattanooga, Tennessee.  Mestilah!  Kan Mak Long pengemar naik keretapi.  Buat-buat tidak tahu pulak hihihi...  Inilah antara gambar-gambar di keretapi yang kami naiki.... Perkhidmatnya tidaklah sebaik yang pernah kami naik dan alami di tempat-tempat lain.  Keretapi lama dibaik-pulih untuk menarik pelancung datang dari dalam dan luar negara. 


Kereta lama

Stasen Keretapi

Dalam Keretapi


Ruby Falls, Lookout Mountain



Halaman masuk ke Gua Air Terjun Ruby

Dari situ kami terus sahaja ke Ruby Falls.  Ruby Falls ialah sebuah air terjun letaknya dalam gua di bawah tanah.  Untuk ke situ terpaksa melalui laluan sempit di dalam gua yang gelap.  Air sungai mengalir di bawah tanah di sepanjang banjaran pergunungan kemudian sungai bawah tanah ini bertemu pula dengan Tennessee River di bawah Lookout Mountain.  Tingginya air terjun ini ialah145 kaki.  



Lookout Mountain Castle

Lookout Mountain Castle

Ramai penggunjung datang berkunjung ke Rubu Falls setiap hari.  Penggunjung membeli tiket dahulu untuk memasuki ke dalam gua di bawah tanah di mana Ruby Falls terletak.  Untuk turun ke gua pula hanya dengan menaiki lift antik yang kecil sahaja.  Tiada jalan lain untuk kesana.  Mak Long tidak suka naik lift, rasa tidak boleh bernafas dan rasakan dinding lift menghimpit.  Satu penyakit perasan!  


Ruby Falls

Menurut pemandu pelancung yang membawa kami itu, Gua Ruby Falls asalnya tidak ada pintu masuk dan tidak ada orang menerokai hingga dalam abad 20.  Dalam tahun 1905 pintu Gua Lookout Mountain telah ditutup kerana pembinaan jalan keretapi dalam terowong di situ.  Kemudian dalan tahun 1920 seorang peminat gua bernama Leo Lambert telah membuka semula gua bawah tanah itu untuk menarik pelancung ke situ dengan menggunakan lift (elevator) lama yang digunakan sekarang.  Ruang kecil yang ada sebagai pintu masuk dan keluar gua itu diperbesarkan dengan menebuk batu kapur.  Ketika proses kerja itu mereka terjumpa laluan kecil dan sempit kira-kira 18 inci tinggi dan empat kaki lebar.  Leo Lambert meneroka masuk dalam laluan sempit tersebut dan ia terkejut menemui air terjun yang sebelum ini tersorok dari gua.  Pada kali kedua beliau ke situ, ia membawa isterinya bersama dan menamakan air terjun itu Ruby Falls sempena nama isterinya.  

Ruby Falls

Kawasan air terjun itu diterangi lampu berwarna warni yang samar-samar sahaja. Bila lampu dipadamkan...ishhh gelap gelita...!

Kolam di mana air terjun

Oleh kerana terlalu ramai pengunjung pada hari itu, kami hanya dibenarkan berada di kawasan air terjun tersebut beberapa minit sahaja memberi ruang kepada pengunjung lain.  Tidak berapa puas pulak....hihihi

Ruby Falls

Keluar dari gua sudah pukul 3:30 petang.  Kami putuskan untuk terus beransur balik ke Texas.  Cukuplah perjalanan kami kali ini.  Umur panjang dan ada rezeki kami berjalan lagi melihat kebesaran  ciptaan Allah.

Perjalanan pulang kali ini kami tersangkut dengan trafik jam sesak di lebuhraya I-59/I-20.  Bumper to bumper selama lebih tiga jam.  Apa hendak buat lagi, cari hotellah bila sampai di Meridien, Mississippi.  Penyebab trafik jam hanyalah kerja-kerja pembaikan lebuhraya yang ditutup hampir seluruh jalan!  

Kami sampai ke rumah ke esokan harinya di mana sepanjang perjalanan hujan lebat menyebabkan perjalanan kami pelahan macam kura-kura.  Kesihan Pak Long letih nampaknya...  
















10 comments:

  1. SubhanAllah, cantiknya gambar-gambar yang Mak Long rakam.

    Terasa macam saya ikut mengembara bersama dengan Mak long dan Pak Long pulak. :)

    Sebut tentang Malaysia di mata 'orang luar', saya teringat sewaktu di Imigresen India. Wanita India yang memriksa saya itu sangat ramah. Dia bertanya saya dari mana. Saya jawab 'Malaysia'. Dia kata 'oooo...Malaysia in Kuala Lumpur?'

    Huhuhu...terpaksalah saya betulkan pengetahuan amnya tu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Kakcik masih sudi baca blog Mak Long.
      Memang benar masih ramai orang tidak kenal Malaysia. Mereka tanya di mana Malaysia, bangsa apa.... biasanya Mak Long akan cuba sebaik mungkin memberi keterangan tentang negara kita. Kata mereka iras orang Melayu menyerupai rupa orang Mexico, Philipina dan Thai...

      Delete
  2. assalamualaikum mak long...yan tak suka naik keretapi..sebab cepat mabuk...

    subhanallah cantiknya ruby falls tu...macam dekat filem...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waailaikumsalam Yan, kalau naik keretapi dan duduk hala ke hadapan keretapi bergerak tidak rasa mabuk. Tapi kalau kita duduk hala belakang memang rasa mabuk dan mual.

      Delete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum Mak Long. Jaga kesihatan ya Mak Long! Walaubagaimanapun, perjalanan Mak Long dan Pak Long sangatlah menarik. Saya bercita-cita untuk memiliki motorhome supaya impian saya mengembara selepas pencen tercapai...tapi kat sini....alahai.....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Uncle,

      Alhamdulillah Mak Long sihat dah..hahaha orang dah berumor Uncle.... Hisss Uncle, tuah ayam boleh kita lihat, tuah manusia tak siapa tahu. Kita beranggan-anggan dulu.... tu kan doa juga. Mak Long pun suka RV, tapi kalau waktu nak reverse di jalan sempit tu rasa terhenti nafas takut tak tentu pasal, takut tebalik ler, takut lango apa-apa ler hishhh..

      Delete
  5. Suka sangat tengok gambar longgokan epal-epal tu....boleh saya copy tak Mak Long....bagi tujuan persediaan slaid mengajar....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Silakan Fida Z Ein. Untuk pembelajaran anak bangsa kita.

      Delete
  6. negara luar menyimpan dan menjaga khazanah alam dan khazanah lama mereka. tapi negara kita sebaliknya.

    gunung ganang kita semakin gondol dan rata.

    penjajah pula datang membuka kilang dan membuang sisa sisa di sini sementara untungnya mereka kaut...

    ReplyDelete