Pages

Tuesday, May 19, 2015

Nota Bahagian Akhir Perjalanan Ke Utara Amerika

Assalamualaikum,

Sungguh lama enteri ini terbengkalai.  Sibuk bantu Pak Long tanam pokok plum, pear, tin dan pecan.  Mak Long pula buat projek tanam sayur di belakang rumah.  Pak Long tolong cangkol dengan mesen cangkol.  Benih peria katak bawak dari kampung dulu sudah mula menjonggol.  Di awal musim bunga adalah masa yang sangat sesuai berkebun dan tanam bunga.  Pokok buah tin sudah pun belajar berbuah.  Pokok yang ini (pokok tin) Mak Long tanam tahun lepas.  Pokok yang satu lagi itu masih kecil dan rendah.  Musim sejuk daunnya habis gondol.  Dalam gambar di bawah lebat daunnya.

Kebun sayur

Pokok tin, pear dan pecan


Dari catatan :  16hb April, 2015 -  hari ke sebelas

Semalam selepas meninggalkan Canada, kami habiskan seharian dengan menikmati keindahan di bumi Montana.  Hari ini Pak Long pula nampak letih.  Penat memandu tetapi tidak mahu Mak Long bantu.  Eloklah berihat awal supaya esok lebih bertenaga katanya.  Kami sampai di Bandar Dillon, Montana dan bermalam di Best Western Hotel.  Salji turun menyelubungi bumi Dillon seperti hamparan permaidani putih bersih.  Mak Long pun berasa letih juga sebab tidak pekena makanan kampung.  Ketika "check-in" tadi Mak Long capai dua biji buah oren dari meja penyambut tamu.  Untuk tetamu kata wanita omputeh itu menunjukkan sebakul penuh buah-buahan.  Hmm.. Sedap pulak buah oren, manis rasanya.  Rasa hendak lagi kata hati.. hahaha Mak Long tidak malu!

Sedar-sedar sudah masuk waktu subuh.  Amboi tidur mati!  Alhamdulillah segar dah... Pagi ini selepas sarapan ringan kami bertolak menuju ke Colorado.  Masih bersalji dan suhu masih tahap beku 23 degree farenheit.  Sepanjang perjalanan Pak Long senyap sahaja melayani fikiran sendiri.  Mak Long malas ganggu.

Pukul 9:30 pagi kami sampai Idaho.  Walaupun suhu tahap beku 28 degrees salji  di bumi kelihatan berkurangan.  Kelihatan juga kawasan penternakan lembu yang sangat luas.  Banyak lembu di situ.  Kesihan pulak melihat lembu-lembu dan keledai semua kesejukan di padang ragut yang tiada tempat untuk berteduh atau meredakan diri dari kesejukan.  Agaknya memang biasa begitu?  Fikiran Mak Long beralih kepada keadaan pertanian di negara kita tercinta yang sentiasa menerima rahmat cahaya matahari.  Rumput mudah dan sentiasa tumbuh menghijau.  Bertuahnya negara kita tidak perlu bimbang tentang tanaman dan ternakan akan rosak di musim sejuk.

Perjalanan kami terus melalui lebuhraya I-15 iaitu laluan yang sama kami lalu minggu lepas.  Lalu lintas amat sibuk bila kami masuk kawasan Salt Lake City.  Lemas betul kalau lalu lintas sibuk.  Teringat keadaan kesibukan lalu lintas di negara sendiri yang sentiasa sibuk dan sesak.  Sikap pemandu yang tidak perasa terhadap pemandu lain.  Bezanya pemandu-pemandu di negara asing ini walaupun sibuk dan jam berjela panjang, mereka masih mengamalkan perinsip keselamatan dan menghormati orang lain.  Tidaklah bermakna Mak Long agongkan negara yang diduduki kini.  Waktu-waktu begini mulut hendak mengunyah saja, bukan lapar tapi rasa tertekan dengan keadaan lalu-lintas.  Rasa lega akhirnya kami sampai juga di bahagian utara Colorado kira-kira jam 6:00 petang.  Masih jauh lagi hendak sampai ke Durango iaitu destinasi yang kami tujui.  Suhu pula ada kalanya turun hingga ke 15 degree farenheit dan paling tinggi hanya mencecah 45 degree.  Tidak banyak singgah mana-mana hari ini.  Perjalanan kami teruskan menghala ke Grand Junction di mana kami berhenti dan bermalam di Hotel Best Western.  Pak Long cakap lebih baik berhenti awal dan berihat memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu.  Tambahan kami tidak biasa keadaan tempat itu.


Dari catatan:  17hb April, 2015 - Hari ke dua belas

Pagi ini hujan pula di Grand Junction, berketul-ketul salji cair mengalir ke dalam longkang.   Badan rasa kesejukan sampai ke tulang.  Setengah tempat yang kami lalu hujan dan setengah tempat pula bersalji.  Apabila salji turun tebal menyelimuti bumi keadaan sekitar seperti mengeluarkan cahaya yang cerah dan terang.  Indah!

Salji turun lebat

Semalam dan hari ini sepanjang perjalanan, Mak Long lihat banyak betul kerosakan alam berlaku dalam musim sejuk.  Umpamanya tanaman yang baharu sahaja diusahakan di ladang-ladang musnah dan lecuh disebabkan cuaca terlalu sejuk.  Ini menyebabkan kerugian besar bagi petani-petani.  Binatang-binatang di padang ragut juga terlibat kerana tiada tempat berlindung, kesihan .... sedih hati Mak Long tengok mereka.  Teringat pula kata-kata omputeh "April showers bring May flowers".  Mungkin tidak tepat di kawasan ini.. Rasa hendak tukar kata-kata itu kepada "April showers bring May disaster crops".

Tanaman diliputi salji

Pak Long sentiasa berhati-hati memandu dalam keadaan cuaca kurang baik.  Kami sampai di sebuah bandar percutian Quray (Sebutan Uu-ray).  Kali kedua kami ke sini. "Klik Di sini"  Pemandangan dan keadaan bandar ini berubah rupa seperti siang dan malam disebabkan pertukaran musim.  Kehadiran kami dahulu tiada salji, kali ini ia bersalji tebal.  Kami berhenti sebentar di pingir bandar Quray mengisi minyak.  Kena isi minyak penuh dahulu sekiranya melalui susur jalan pergunungan yang bengkang bengkok yang panjang.  Gas station tidak ada di situ.  Pak Long bersembang dengan juruwang gas station tentang cuaca buruk.  Juruwang itu berkata bahawa salji yang turun hingga ke hari itu hanya 50% sahaja.  50% lagi akan turun beberapa hari lagi dan lagi teruk, mungkin jalanraya akan ditutup.  Katanya lagi memang begitulah kebiasaan dalam musim bunga.  Beberapa gambar dilakarkan di enteri ini ketika kami berada di kawasan Quray.  Gigil-gigil tangan Mak Long beria-ia tangkap gambar hahahaha. 

Quray, Colorado

Jalanraya licin dengan air batu kecil-kecil sebesar biji kacang hijau.

Terowong Quray

Air beku di dinding gunung

Kami selamat sampai ke destinasi kami iaitu Durango, Colorado dan bermalam di Best Western Hotel.  Pak Long telah membuat tempah awal kerana Durango adalah bandar pelancungan dan ramai pengunjung datang memenuhi bandar itu terutama musim cuti-cuti sekolah dan hujung minggu.  Kami bermalam selama dua malam di situ.  Bagus hotelnya walaupun sudah agak tua tetapi masih cantik dan memenuhi cintarasa kami memberi kemudahan bilik yang besar dan selesa...alhamdulillah.  Ia dilengkapi dengan kolam renang air panas dan jaquzi.  Sejuk-sejuk di luar sana sangat menyegarkan kalau berendam dalam kolam renang itu.  Bebarapa tahun lalu kami biasa juga menginap di Best Western Hotel.  Tetapi kami berhenti dari menggunakan khidmatan hotel tersebut disebabkan khidmatan yang tidak memuaskan.  Baguslah kini perkhidmatannya lebih baik setarap dengan hotel-hotel lain.  


Bandar Durango

Hidangan untuk sarapan pun bagus juga banyak buah-buahan dan makanan yang halal  untuk dimakan.  Apabila semua urusan "check-in" sudah selesai kami keluar jalan kaki menyusur setiap jalan dan bangunan Bandar Durango.  
Durango ialah sebuah bandar tua di mana bangunan-bangunan lama sentiasa dibaik-pulih mengekalkan keadaan asal... bandar cowboy gitu.  Justeru banyak bangunan kedai-kedai lama menjual barang-barang purba.  Kami masuk juga beberapa kedai barang-barang antik, harga mahal sangat.  Mak Long kurang berminat menyimpan barang lama di rumah kerana barang lama memerlukan penjagaan supaya tidak cepat reput.


Kedai jual barang antik

Tengahari itu kami cuba jamu selera di Sye & Ken restauran.  Kami suka makanannya .. salad daun arugula dan udang besar serta roti cicah minyak zaiton di dalamnya ada bawang putih lenyek.  Malam itu pula kami makan di Sushi Restauran.. tahu lembek masak kari dengan udang dan nasi putih.  Oklah juga cuma rasanya tidak pedas. Tekak Melayu ni hendak pekena sambal belacan cili padi baharulah puas makan!  Sebelah malam selepas makan malam dalam sejuk-sejuk kami jalan kaki lagi nengok-nengok kedai.  Macam-macam ada, bawakkan duit sahaja semua boleh beli.  Kali ini Mak Long tidak berminat membeli apa-apa pun.  Kami singgah di Starbuck beli air chocklat susu panas.. Sedapnya minum panas-panas waktu rasa badan kesejukan!  


Anjing tunggu tuan

Omputih suka anjing.  Setengah mereka suka bawa anjing bersama-sama mereka.  Bila masuk kedai atau restauran mereka kena tinggalkan anjing mereka di luar bangunan.


Best Western Hotel, Durango


Salji di tempat kereta

18hb April, 2015 - Hari ke tiga belas


Salji hadapan hotel

Pagi ini sebelum subuh Mak Long selak langsir bilik dan intai keluar... hahh cuba teka nampak apa di luar!  Salji lagi yeayyy!  Tidak tebal!.  Salji turun malam tadi rupanya!  Rasa seronok pulak!  


Tadi ketika kami berjalan menuju ke dewan makan untuk sarapan pagi, kami terserempak dengan pasangan omputeh yang menarik perhatian kami.  Mulanya Mak Long ingatkan mereka hendak sarapan juga.  Tetapi kami perhatikan pasangan wanitanya sedang menggulung rokok "pot" (perkataan yang digunakan di sini untuk ganja) sedangkan hotel itu melarang merokok.  Heran juga!  Jaga tepi kain orang Mak Long ni pulak ish! ish!.  Penggunaan dadah seperti ganja telah diwartakan sebagai dadah yang tidak terlarang penggunaannya di beberapa buah negeri di Amerika.  Ia boleh digunakan di kawasan awam.  Pasangan ini keluar bangunan menghisap "pot" ler apa lagi kan.  Mereka kembali ke dewan makan setelah beberapa minit kemudian..kena sarap ganja dululah tu!  Pagi ini Mak Long hanya makan telor rebus dengan semanggkok buah-buahan sahaja.  Oh ya kopi-O tidak boleh tinggal!
  


Setesen Keretapi Durango/Silverton, Colorado

Jadual kami hari ini padat.  Kami naik keretapi tua menyusur sejarah lama dalam tahun 1800an.   Pak Long buat tempahan tiket beberapa hari lalu untuk pastikan dapat beli tiket.  Tiket cepat habis!  Gerabak yang kami naiki dinamakan Yankee Girl dibina dalam tahun 1880.  Gerabak yang ini baharu sahaja diperbaik-pulih setahun lalu.  Di dalamnya cantik dan selesa menyediakan minuman panas dan sejuk serta kudapan seperti muffin juga sandwich.  Mak Long pesan kopi-O panaslah apa lagi!  Perjalanan bermula tepat pukul 9:45 pagi.  

Tiket! Tiket!

Dalam gerabak keretapi

Gerabak Yankee Girl dibina dalam 1800an

Pembinaan landasan dan perkhidmatan keretapi bermula dalam tahun 1882, membawa gerabak penumpang dan penggangkutan gerabak barang iaitu emas dan perak antara Bandar Durango dan Silverton.  Keretapi tersebut menggunakan kuasa arangbatu dan ia akan berhenti di suatu tempat untuk mengisi air dan arang batu.  Lebar landasan keretapi ini lebih kecil dan tirus daripada landasan biasa.    


Keretapi kuasa arangbatu
Keretapi yang bersejarah itu sekarang tidak lagi mengangkut emas dan perak.  Ia digunakan hanya untuk pelancungan membawa pelawat-pelawat yang datang ke situ untuk menikmati keindahan dan keajaipan rahsia dunia pergunungan San Juan Mountains Scenic Byway sejauh 52 batu itu yang tidak ada kemudahan jalanraya ke sana.  Perjalanan ke situ hanya boleh dilalui dengan keretapi sahaja.  Keretapi itu berhenti di suatu tempat mengisi air dan arangbatu.  


Keretapi berkuasa arang batu

Tepi sangat dengan sungai

Perjalanan kami dengan keretapi itu mengambil masa selama empat jam pergi dan balik dari Durango ke Cascade bagi musim sejuk.  Perjalanan biasa iaitu dalam musim panas mengambil masa lebih panjang lagi dari Durango ke Silverton.  Disebabkan salji turun amat tebal setebal lebih 36 kaki tingginya menimbusi landasan maka perjalanan kami dipendekkan.  Pemandangan tidak dapat hendak Mak Long bayangkan kerana semuanya indah "beautiful beyond words".  Perjalanan itu melalui gaung curam, memanjat gunung tinggi, menyusur tepian sungai dan di celah batu batan yang hanya muat-muat untuk laluan keretapi.  Merasalah sedikit detik-detik yang dilalui mereka yang hidup di zaman 1800an.  



Hala ke hadapan keretapi

Hala ke belakang keretapi

Pergunungan San Juan Mountains

Gaung dalam dan sungai


Catatan: 19hb April, 2015 - Hari ke Empat belas

Hari ini adalah hari terakhir makan angin.  Hari untuk pulang ke rumah sudah tiba, percutian selama dua minggu sudah tamat.  Baliklah ke alam semula jadi.  Kami bersiap-siap segala serta isi perut sarapan dan terus "check out".  Punggah dan susun barang ke dalam kereta.. masa bertolak dulu banyak tempat kosong, bila balik semua ruang kosong jadi penuh.  Tidak tahulah apa benda yang diisi.. 

Tidak sampai satu jam kami sudah masuk ke neger New Mexico.  Matahari ceria menyinari alam walaupun suhu menunjukan 37 degrees farenheit.  Semakin jauh kami di perjalanan suhu naik hingga 67 degrees.  Pak Long berhati-hati ketika memandu kereta tidak mahu kena perangkap had laju, nanti kena saman.  Kami sampai Texas pukul 2:40 petang berhenti hanya untuk makan dan isi minyak.  Alhamdulillah kami selamat sampai ke rumah lewat dinihari.












14 comments:

  1. Assalamu'alaikum Mak Long.

    Setiap kali melihat gambar yang Mak Long rakamkan, pasti saya rasa teruja sangat. Terbayang2 bilalah saya dapat melihatnya secara nyata di hadapan mata... :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Kakcik Nur.

      Mak Long ingin berkungsi pengelaman melalui gambar hidup di negara asing. Datanglah ke Texas, tinggal di teratak kami boleh kami bawa nengok-nengok ciptaan Illahi

      Delete
  2. asalamualaikum mak long..selamat pagi....yan pun sula cucuk tanam..kalau mula dah berbunga rasa teruja nak tunggu besar...bila petik hasilnya rasa syukur sangat...kat umah yan tanam terung dan cili padi...pokoknangka dan pokok mangga baru beli anak pokok...kat malaysia tengah musim buahan tempatan...dekat texas musim buah apa mak long...

    permandangan QURAY tu cantik..subhanallah :-)) indah sangat2...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Yan,

      Kata orang tua-tua dulu tidak rugi berbudi kepada bumi. Bumi akan berbudi balik kepada kita. Wah seronoknya musim buah.. Mesti ada buah rambutan tu, kesukaan Mak Long. Di Texas amnya di Amerika musim buah adalah sepanjang musim bunga dan musim panas. Musim sejuk tanaman tidak mengeluarkan hasil. Buah seperti apple tahan lama dan dapat dinikmati sepanjang tahun.

      Delete
  3. As Salam! Wonderful narratives Mak Long! Happened to stumble on to your blog. These are great pics. In no time you'll have enough to compile them into a book. It'll make good reading to rekindle old memories of times gone by (untuk kenangan) It is also excellent record that our anak cucu can read on their own later. To goad them to study overseas perhaps. Thanks for sharing Ma'am.

    Hank

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Hank.

      Thank you. I love reading your blog too. You are very encouraging and hope that one day I maybe able to compile about my travel experience into a book.

      Delete
    2. Do it Ma'am. Self-publishing is easy these days. Have compiled 2 books this far. You may wish to see my first book launch at:

      http://imagery77.blogspot.com/2013/11/a-book-launch-and-poetry-reading.html

      Hank

      Delete
    3. Insya Allah I will work on it. There will be a lot to learn about publishing etc.. surely di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Thank you.

      Wow! Conratulations! What an achievement..

      Delete
  4. Alhamdulillah. Mak Long punya catatan membawa saya sekali dalam.perjalanan tu. Kalau pun tiada rezeki saya, sekurang2nya saya dah lihat keindahan ini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aziela, Mak Long cuma nulis suka-suka untuk bacaan imbas kembali masa-masa yang telah dilalui, juga untuk anak cucu mengenali lebih dekat tentang Mak Long.

      Rezeki di tangan Allah dan kita tidak tidak tahu rahsia Nya. Mana tahu esok lusa peluang itu di tangan Aziela.

      Delete
  5. Sangat hebat perjalanan ini Mak Long! Seronok saya baca sampai ulang 2 kali! Gambar pon cantik...especially on board Yankee Girl! Teringat saya kat "seluar Yankee" Hahahahahaha...Ok Mak Long, may you and pak long be in the best of health alwayszszszszsz!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ala Uncle, inilah kerja orang tua pencen. Tambah Pak Long pulak memang kaki jalan! Zaman seluar yankee tu..hahahaha tu dah lama zaman bertondan dah kan. Terima kasih Uncle, my best wishes and regards to you and family too. Take care.

      Delete
  6. seronoknya dapat ke sana ...baru berangan nak pergi untah monument

    ReplyDelete
    Replies
    1. Biasa sahaja Delaila... Di mana pun di muka bumi ini mempunyai keindahan tersendiri. Monument di Utah juga tidak alah keindahannya walau ketandusan dan kegersangan bumi di situ tetap memikat hati.

      Delete