Pages

Tuesday, February 24, 2015

Nota Emak


Assalamualaikum,

Emak,


Diam tidak diam sudah masuk dua minggu lebih Mak Long berada di tanah air.  Cepatnya masa berlalu, tidak terkejar kita.  "Jet-lag" atau mabok pernerbangan jauh lagi teruk kali ini bila umur sudah meningkat tua.  Seluruh badan berasa sakit-sakit dan letih.  Orang Muar kata badan rasa "bebera" iaitu rasa hendak demam dan tidak sihat.  Waktu siang mata tidak boleh hendak buka, rasa hendak tidur tidak tertahan-tahan.  Malam pula mata segar bugar tidak mahu tidur.  Orang tidur, mata kita celik terkebil-kebil.  Tapi ada juga munafaatnya kalau tidak boleh tidor malam.  Dapat juga buat solat sunat waktu malam.   Minggu pertama berada di rumah Busu adik bungsu di mana Emak berada iaitu di Segambut, Kuala Lumpur.  Hujung minggu kami bawa Emak pulang ke kampung di Muar.  Kata Busu sudah lama Emak bertanya bila hendak balik kampung.  Busu sentiasa sibuk dengan tugas yang bertimbun bergunun terutama di akhir setiap bulan.  Kadang-kadang terpaksa bawa kerja balik rumah.  Kesihan Busu.

Alhamdulillah, kini keadaan bertambah baik, badan pun berasa segar dan bertenaga sedikit.  Selera makan pun laju tambah-tambah ada lauk sambal keketuk sudah cukup.  Hai.... Naik tembam debablah nanti....  Duduk dalam bandar besar begini bermasaalah hendak cari tempat beriadah di luar.  Kena pergi bawak kereta dahulu ke tempat beriadah itu pun terpaksa berlumba-lumba dengan kesibukan ribuan kenderaan di jalanraya.  Lebih baik tidak payah, duduk rumah buat senaman mudah-mudah.  Aduhai sibuknya bandaraya Kuala Lumpur.  Pemandu-pemandu kenderaan pula bersikap ganas "aku dulu!  Aku betul!  Aku penting...!  Pekerja asing pula memenuhi setiap sudut bandar seperti dilihat di KLCC.  Mereka merosakkan image bandar dan kawasan.  Ada ke mereka lepak-lepak main/mandi air pancut pulak!  Apa sudah jadi?

Di kampung pula sudah ramai pekerja bangsa asing yang bekerja di gudang berhampiran.  Waktu-waktu makan atau habis kerja mereka memenuhi jalanraya hingga menyusahkan orang hendak lalu lalang.  Mereka ini menyusahkan penduduk tempatan dengan pelbagai masaalah dan jenayah.  Dulu jarang kita dengar kecurian atau kes pecah masuk rumah.  Kini macam setiap hari berlaku.  Rumah Emak pun pernah dipecah masuk rumah tahun 2011.  Mujur umur kami masih panjang, Allah jaga walau pisau sudah di leher kami.

Keadaan Emak semakin uzur.  Dua puluh empat jam di atas katil pembaringannya.  Terpaksa dipakaikan pampas sepanjang masa.  Itu pun terpaksa dipujuk supaya memakainya.  Emak tidak suka pakai pampas.  Kami faham tidak selesa berbalut dengan pampas itu.  Itu pun selalu aja Emak minta suruh buang pampas yang dipakainya.  

Makannya tidak seberapa.  Makan makanan lembut yang mudah hadam tetapi beliau hendak makan selalu.  Masih boleh duduk untuk makan dan minum.

Emak tidak larat dan tidak kuasa menguruskan dirinya sendiri.  Emak memerlukan bantuan dan penjagaan sepanjang hari.  Walaupun begitu Emak tidak pernah merunggut tentang keadaannya.  Air mata Emak selalu bergenangan apabila anak-anaknya memberi bantuan untuk keselesaannya.

Hari-hari Mak Long mandikan Emak.  Kusemangat, mengambil masa juga hendak angkat Emak duduk di kerusi roda untuk disorong ke bilik mandi.  Kena pujuk, kena sayang-sayang dulu.  Emak keberatan hendak mandi.  Emak mandi duduk atas kerusi roda khas.  Mandikan dengan air suam.  Dulu Emak tidak suka rambutnya disyampu.  Hari ini tiada masaalah.  Mak Long gosok seluruh tubuhnya perlahan-lahan dengan tuala kecil bersabun wangi.  Mak Long lakukan dengan berhati-hati supaya tidak menyakitinya. 

Mak Long urut perlahan dan basuh kakinya yang hanya tinggal kulit berkedut dan tulang.  Kaki inilah yang telah meredah semak dan belukar dibasahi embun di pagi hari ke kebun menoreh getah mencari rezeki.  Kaki ini hanya beralaskan sepasang sepatu usang yang sudah berlubang di bahagian tumid.  Emak tidak pernah merunggut terpaksa membanting tulang membantu Wak menambah pendapatan keluarga.  

Mak Long bersihkan seluruh tangannya pula.  Tangan inilah yang menyuapkan rezeki ke mulut kami bila kami lapar di zaman kami kecil-kecil dulu.  Kedua tangan inilah yang telah merawat, mengusap dan mengendung kami apabila kami sakit.  

Tulang empat kerat inilah dengan berbekalkan sekeping hati yang cekal bercita-cita tinggi demi masa depan anak-anaknya hidup senang.  Emak telah berkurban segalanya membesarkan kami enam orang adik beradik dengan penuh semangat dan kasih sayang.

Emak suka bila rambutnya disisir rapi.  Ikat ekor kuda atau sanggul kecil tinggi di tengah kepala fesyen sanggul Sultanah Johor dulu-dulu.  Sapu bedak memutih di muka macam kundur.  Apabila segala sudah selesai Mak Long hadiahkan ciuman di pipi dan dahinya.  Emak suka dan selalu senyum.

Ohh .... Emak segala pengurbanan mu tidak mampu dibalas dan tidak mampu dilupai.  Kami sayang pada mu, Emak.  

Syurga kita di bawah telapak kaki ibu.  Selagi termampu insya Allah kami adik beradik akan terus berbakti kepada Emak yang hanya seorang.     Emak......




Gambar Emak di tengah memangku Mak Long.  Gambar lama berpuluh tahun dulu...
















Sunday, February 22, 2015

Nota It Is Your Birthday Again (Uchi)


Assalamualaikum,

MM is our youngest son and today, we are sharing and celebrating the special day.  It is his birthday!  When he was a little boy, my uncle and his family always have a special bond and love for MM.  They would keep MM with them on most weekends and holidays.


MM
Dearest son,

As you walk through life,
Make sure you have more dreams than memories,
More opportunities than chances,
More hard work than luck and .....
More friends than acquaintances
May you have the very best in life

Always remember that I know how much you care
I can tell by the relationship that we share
For a son like you there could be no other
And whether we are together or apart
Please do not ever forget...
You will always have a piece of my heart

My son,
Wishing you a Happy Birthday
May ALLAH bless you



























Nota Belimbing Buluh Punya Pasal

Assalamualaikum,

Ini semua gara-gara tamak punya pasal.  Di sisi rumah kampung ada sepokok belimbing buluh.  Lebat bukan main buahnya bergayut di pangkal pokok tua itu hingga meliputi seluruh pangkal pokok.  Bukan di situ sahaja buahnya lebat malah meloyot-loyot di hujung dahan  itu.  Kalau hendak tahu berapa tua pokok antik ini.. Sudah lebih enam puluh lima tahun, lebih tua dari umur Mak Long.  Sudah banyak ia berbudi kepada kami sekeluarga malah sekampung!  Bukan pernah berbaja pun pokoknya.  Rahsianya longkang dari saluran bilik air/mandi yang mengalir beberapa kaki sahaja darinya jadi baja.



Belimbing Buluh


Geram sungguh tengok buah yang sebegitu lebat hingga teruja hendak memetiknya untuk digunakan dalam masakan hari itu.  Lantas Mak Long mencapai sehelai beg plastik dan terus memetik buah-buah yang sudah besar di bahagian pangkal pokok.  Hampir penuh beg itu diisi dengan buah belimbing buluh.  Tiba-tiba timbul pula keinginan untuk membuat jeruk belimbing, mesti sedap dimakan dengan sambal belacan atau sambal keketuk kampung.  Mak Long tidak nampak tangga, galah pun tidak kelihatan berhampiran.  Yang nampak hanya sebuah kerusi plastik baru di hadapan pintu dapur.  Mak Long segera membawanya ke bawah pokok belimbing itu, capai sebuah bakul rotan bertangkai panjang dari bangsal berhampiran.  Lantas tanpa berfikir panjang Mak Long pun naik dan berdiri di atas kerusi plastik tadi.  Tangkai bakul itu Mak Long guna sebagai pengait buah di mana buah-buah itu bila tanggal dari tangkainya terus masuk ke dalam bakul.  Banyak dapat buah belimbing dipetik melalui cara ini.  Hati mulai berasa tamak, hendak terus memetik buah-buah yang di hujung dahan, pada hal sudah banyak belimbing yang dipetik......bisikan syaitanlah tu!!   Lalu Mak Long cuba berdiri lurus meninggikan badan dan menghalakan tangkai bakul ke hujung dahan...  Crekkkk....bokkkkkk....!!!  Bunyi seperti nangka luruh ke bumi!  Entah macam mana Mak Long sudah terduduk di pangkal pokok sedang kerusi itu sudah patah dua di sisi!   Aduhai... Inilah gara-gara buat kerja ambil buat jer.  Sakit tau!  Tangan kanan bengkak dan lebam hampir serta merta.  Jari kelengkeng berasa sakit..patah ke?  Mak Long goyang-goyang jari itu, mujur tidak ada tulang retak atau patah!  Siku pula terasa sakit dan berdarah deras mengalir....luka dalam. Terasa susah benar hendak bangun.   Mujurlah tidak siapa nampak, malunya kalau Irfan anak buah Mak Long nampak.  Ish, ish, ish...   Tentu dia nanti kelam kabut panggil ibunya....















Saturday, February 14, 2015

Nota Selamat Harijadi AHQ

Assalamualaikum,

They remind me that today is a "valentine day".  My son AHQ and I share a most special day of his life.  It is his birthday and coincidently it falls on "velentine day". 





Dearest Son AHQ,

The day you were born, I just knew,
Allah sent me a blessing.. and that was you
I thank HIM everyday
You are the true definition of a son, in everyway
Because of you that my life has meaning

Always remember that I know how much you care,
I can tell by the relationship that we share
For a son like you who is so special
Whether we are together or apart
Remember and not ever forget...
You will always have a piece of my heart

My son,
Work hard yet be humble,
Share all that you have
Maybe the most important of many lessons,
that you have learned from others

Protect and honor your family,
No matter what the cost
A battle for your family
is a battle that cant't be lost

Take a stand for things that matter,
and always keep your head held up high.
Embrace those things close to your heart
and yes, sometimes men do cry

These lessons in life can not be taught,
they must be observed.
Celebrate today the special day, son

Wishing you a Happy Birthday
May ALLAH bless you and your family




You are my sun shine



Thursday, February 12, 2015

Nota Mimpi

Assalamualaikum,

Suatu malam Mak Long bermimpi.  Mimpi mengarutlah agaknya!  Sudah puas cuba melupakannya tetapi ia sering teringat dan selalu  bermain di minda.  Sudah agak lama mimpi itu.  Biasanya bila bermimpi Mak Long lupa sebaik bangun dari tidur.  Rasa pelik jugak mimpi itu.  Apa firasatnya?  Akhirnya kena tulis juga di sini biar tidak bersarang kepala.  Dalam mimpi itu Mak Long seolah-olah sudah mati.  Perasaan ketika itu:

Tidak ada rasa, maknanya Mak Long tidak rasa sakit walaupun cuba cubit tangan dan tempat lain di badan.

Tidak siapa dapat mendengar apabila Mak Long berkata-kata dengan mereka.

Mereka semua tidak boleh nampak Mak Long walaupun cuba menyentoh dan  mendekati dengan mereka.  Sudah jadi "invisible woman".

Mak Long seolah-olah memerhati dan menjaga seseorang agar dia sentiasa selamat dari bahaya.

Ada pula seorang anak perempuan yang juga sudah mati.  Rupanya putih bersih, rambut hitam berkilat.  Rasanya seolah dia juga menjaga dan memerhatikan seseorang juga.  Mak Long rasa anak itu ada kaitan dengan hubungan siratulrahim dengan Mak Long tetapi tidak tahu siapa.

Pelik!!  Mak Long terjaga lalu segera mencubit pipi dan tangan..... Sakit!  Belum mati lagi!  Tengok jam sudah hampir masuk waktu Subuh.  Astarafelrullah hal'azimm...

Ya Allah ya Rabi ampunkanlah dosa-dosa ku yang terdhulu dan terkemudian, dosa yang tersembunyi dan yang nyata dan dosa yang hanya Engkau sahaja yang mengetahui.  Engkaulah yang dahulu dan akhir, tiada tuhan kecuali Engkau.  Tiada daya upaya kecuali dengan pertolongan Engkau.
























Monday, February 9, 2015

Nota Poem

Assalamualaikum,

Mak Long suka sangat poem ini.  Justeru ingin berkongsi dengan penggunjung blog ini.






Balik Malaysia

Balik Malaysia 2015

Bila sahaja hendak bertolak untuk perjalanan yang jauh, hati Mak ALong mulalah dub dap dup dap.  Tidak tahulah apa benda penyakitnya.  Sudah lebih 30 tahun turun naik kapal terbang masih juga macam itu.  Hiiiii tidak suka betul naik kapal terbang!  Kelas ekonomi ke, business ke atau kelas pertama pun tiada bezanya.

Pak Long kata kita boleh bertolak dari rumah jam 11:00 pagi ke Lapangan Terbang Antarabangsa George Bush, Houston, Texas.  Perjalanan ini mengambil masa lebih kurang 3:30 jam.  Sempatlah berhenti makan tengahari di perjalanan.  Cuaca pula sejuk pagi ini tetapi Mak Long fikir tidak perlulah pakai baju panas tebal sangat.  Di Houston biasanya tidak begitu sejuk.  Jadinya pakai jaket biasa sahaja.  Hmmm betapa salahnya anggapan Mak Long kali ini.  Sejuk benar!  

Apabila kami hampir sampai di Houston, Pak Long cakap,  "You have to choose 1 of the three.  
A = I drop you at the departure gate with the 2 big bags while I park the car.  I'll bring your hand carry bag and meet you at the check-in desk.
B= We go and park the car then we walk together  with those bags.  But it is a long walk!
C = I drop you off with all the bags infront of the gate then I drive back home."  Dia senyum-senyum sedang Mak Long geram.  Hai masa itulah Pak Long hendak mengusik hati orang.

Kami sampai di lapangan terbang jam 2:45 petang, sedang baik pula kaunter check-in sudah pun dibuka dan beroperasi.    

Check-in kali ini tidak payah pun beratur, penumpang lain belum ramai sampai lagi.  Dua buah bag ditimbang tanpa masaalah lebih muat.  Pagi tadi punyalah seksa sampai tiga empat kali buka, tutup dan timbang supaya tidak melebihi had berat yang diberi.  Tempat duduk memang sudah dipilih terlebih dahulu semasa membuat pembayaran dahulu.  Mak Long suka tempat duduk tepi senang hendak ke bilik air.  Pak Long mengiringi Mak Long ke pintu masuk pemeriksaan keselamatan.  Di sini kami berpisah.  Tidak berapa ramai orang di bahagian ini jadi tidaklah beratur panjang dan lama.  Buka kasut, buka jaket, keluarkan Ipad dan masukkan ke dalam satu kotak yang disediakan dan tolak kotak itu ke dalam scanner.  Mak Long masuk scanner yang besar untuk manusia.  Pegawai itu suruh angkat kedua tangan.  "Ok..you are good to go Maam" kata pegawai itu.  Mak Long nampak Pak Long melalui dinding cermin di luar sana memerhatikan Mak Long sehingga semua urusan keselamatan selesai.  Mak Long lambai dan tunjuk signal semua sudah ok dan dia pun berlalu.

Penerbangan Emirates berlepas jam 6:25 petang jadi Mak Long ada banyak masa melanggot di tempat menunggu.  Boleh jalan ke hulu ke hilir tengok-tengok barang duty free dan baca buku.  Tidak mengapa asalkan Pak Long dapat balik ke Canyon Lake awal; tiga jam lebih lagi perjalanannya.  Penerbangan ini mengambil  selama 23 jam termasuklah dua jam lebih transit di Dubai kemudian sambung semula pernerbangan ke KLIA, Malaysia.  Lenggoh tulang dan badan sakit-sakit pula. Memang pobia dengan penerbangan jauh dan lama hampir setengah jalan menggeliling dunia.

Nasib baiklah penerbangan kali ini penumpang tidak penuh jadi dapatlah peluang menyelesakan diri.  Makanan pun tidak perlu bimbang dan was-was. Sedap juga hidangan yang disajikan.  Banyak dan bermacam jenis makanan pulak tu.  Layanan dari anak-anak kapal pun mesera dan baik.  Dalam pengamatan keseluruhan penumpang adalah orang India.  Ada satu keluarga Arab, dua wanita dan dua orang anak perempuan.  Dalam hati ingin tahu (busy body pulak Mak Long ni) samada lelaki Arab itu beristeri dua.  Seorang darinya mengendong bayi.  Yang mengherankan itu mengapa mereka tidak menggunakan khidmat bakut tempat bayi tidur lebih selesa?  Tetapi bagus pula bayi itu, tidak berbunyi pun.  Bila ada peluang ibu bayi itu membaca Quran.  Jarang terjumpa orang baca Quran dalam kapal terbang buat perasaan Mak Long teruja pula.  Berasa kesal pun ada kerana tidak pernah terfikir berbuat demikian menghabiskan masa panjang itu lebih munafaat dengan membaca kitab Allah.  Ya Allah...Engkau membuka mata ku.

Pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai tepat masa yang dijadualkan. Keluar sahaja dari pesawat azan masuk waktu Maghrib berkumandang di seluruh bangunan.

Pemeriksaan keselamatan di Dubai berjalan lancar melainkan apabila mereka scan tas tangan Mak Long, mereka nampak sesuatu di dalamnya menyebabkan pihak keselamatan meminta izin untuk membuka bag.  Bukalah tiada apa yang mencirigakan dalam bag tangan itu.  Pegawai keselamatan itu wanita dan ia membuka bag dan dia tidak jumpa apa-apa pun.  Dia tanya pegawai lelaki yang membuat scan itu.  Rupa-rupanya wang tembaga (silver coins) yang mereka nampak itu.  Buat Mak Long cuak sahaja.  

 Setelah mendaftar untuk penerbangan seterusnya ke Malaysia, Mak Long terus mengambil aerotrain ke gate B10 kemudian mencari bilik air dan surau.  Mak Long masih ada setengah jam untuk membeli sedikit buah tangan untuk keluarga.

Penerbangan ke Malaysia mengambil masa selama lebih kurang tujuh jam lebih.  Pesawat itu juga tidak penuh dan sangat selesa.  Satu dari keistimewaan dengan penerbangan Emirates ialah setiap kali sebelum memulakan penerbangan doa selamat dibacakan.  Kebetulan pilot yang bertugas kali ini pula adalah anak bangsa Melayu.  Bangga rasa hati..

Sampai di KLIA tepat pada waktu yang dijadualkan.  MM anak muda Mak Long sudah menunggu ketibaan.  Syukur alhamdulillah selamat suatu perjalanan nan jauh.  Tidak sabar hendak jumpa Emak yang tidak sihat menunggu di rumah.