Pages

Wednesday, February 13, 2013

Nota Selamat Harijadi Putera Bonda

Assamualaikum,

Hari ini ialah 14hb February, 2013.  Hari ini juga sangat istimewa dalam hidup buat Mak Long dan putera.  Hari ini ialah harijadinya.  Walaupun Mak Long tidak dapat bersamanya menyambut mengingati hari istimewa kami, juga tiada hadiah dapat dikirimkan untuk mu, sayang .  Hanya kiriman limpahan doa, diiring dengan kasih dan sayang yang tiada bertepi hingga ke akhir hayat.  Walaupun berjauhan tidak bermakna kasih dan sayang itu pun jauh.  Biar jauh di mata tetapi dekat di hati.

Pada pagi hari Jumaat bersamaan dengan February 14, 1980, kami menerima kehadiran putera dengan penuh kesyukuran.   Seperti puteri sulung, putera dilahirkan di Hospital Bersalin Tan Chee Koon, Jalan Tungku Adul Rahman berhampiran dengan Chow Kit Road. Hari kedua kami berada di hospital itu, Mak Long diberitahu oleh seorang dari jururawat hospital, kebakaran telah berlaku di bilik bayi-bayi yang baru lahir.  Mak Long kaget dan meminta bawakan putera kepada Mak Long ketika itu juga.  Alhamdulillah semua selamat tidak ada apa-apa kecederaan berlaku kerana api itu cepat disedari dan dipadamkan.

Malam pertama sebelum putera dilahirkan, Mak Long tidur seorang di bilik hospital tidak ada siapa menemankan.  Emak masih di kampung dan Pak Long sudah pun bertolak ke sana  menjemput Emak datang melihat cucu baru.  Ketika Mak Long sedang tidur, jururawat datang meluru kepada Mak Long, tetapi berhenti bila melihat Mak Long tidur.  Mak Long tersedar sambil bertanya, "Kenapa nurse?"  Katanya lampu locing di bilik jururawat menyala menandakan kecemasan dari bilik Mak Long.  Hmmmm.... Malam keduanya Mak Long minta ditukar bilik lain.

Putera pandai menambat hati sesiapa sahaja yang melihatnya serta seorang buah hati yang baik tidak banyak kerenah, senang menjaganya, janji ada puting tersumbat di mulut.  Putera suka main enjut-enjut duduk di atas kaki bila Mak Long baring di lantai sambil menyanyi: 


"Enjut-enjut siput, air pasang dalam.  
Adik nak ikut hari sudah malam

Gendang gendut tali kecapi 
Kenyang perut suka hati

Pat pat nya
Siapa dapat dia punya"

Inilah di antara pantun dua kerat yang putera suka.  Suka menyanyi dan pandai menyanyi lagu Tionghua.  Suatu hari Mak Long berada di tingkat atas rumah dan mendengar kanak-kanak menyanyi lagu Tionghua.  Ingatkan anak orang Cina sebelah yang menyanyi.  Bila turun ke tingkat bawa rupa-rupanya putera yang menyanyi yang dipelajarinya dari kelas tadika.  Baju kegemaranya ialah satu sut "Captain America".  Berhari-hari pakai sampai naik bau masam masih tidak mahu lucut untuk dibasuh.  Kadang-kadang hendak pakai untuk tidur.  Terpaksa dipujuk untuk dibasuh baju itu.  Sanggup menahan gigil kesejukan punyalah suka memakai baju itu walaupun masih lembab lagi.  Putera! Putera!  Putera juga suka pakai kain pelekat tetapi selalu terlondeh.  Syukur dan sejuk hati Mak Long mempunyai seorang zuriat cantik seperti putera .... anugrah Allah SWT. 


Enjot-enjot siput air pasang dalam
Adik nak ikut hari sudah malam

SELAMAT MENYAMBUT HARIJADI, SAYANG

Putera, ingatlah pesanan ini, .... tingkatkan maruah diri dengan ilmu pengetahuan, keimanan dan amalan soleh.  








2 comments:

  1. terima kasih mak atas segala pengorbanan, kasih sayang dan doa-doa mak, i love you mak!.. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sayang, kasih dan sayang seorang ibu tidak putus hingga ke akhir hayatnya.

      Delete