Pages

Monday, February 9, 2015

Balik Malaysia

Balik Malaysia 2015

Bila sahaja hendak bertolak untuk perjalanan yang jauh, hati Mak ALong mulalah dub dap dup dap.  Tidak tahulah apa benda penyakitnya.  Sudah lebih 30 tahun turun naik kapal terbang masih juga macam itu.  Hiiiii tidak suka betul naik kapal terbang!  Kelas ekonomi ke, business ke atau kelas pertama pun tiada bezanya.

Pak Long kata kita boleh bertolak dari rumah jam 11:00 pagi ke Lapangan Terbang Antarabangsa George Bush, Houston, Texas.  Perjalanan ini mengambil masa lebih kurang 3:30 jam.  Sempatlah berhenti makan tengahari di perjalanan.  Cuaca pula sejuk pagi ini tetapi Mak Long fikir tidak perlulah pakai baju panas tebal sangat.  Di Houston biasanya tidak begitu sejuk.  Jadinya pakai jaket biasa sahaja.  Hmmm betapa salahnya anggapan Mak Long kali ini.  Sejuk benar!  

Apabila kami hampir sampai di Houston, Pak Long cakap,  "You have to choose 1 of the three.  
A = I drop you at the departure gate with the 2 big bags while I park the car.  I'll bring your hand carry bag and meet you at the check-in desk.
B= We go and park the car then we walk together  with those bags.  But it is a long walk!
C = I drop you off with all the bags infront of the gate then I drive back home."  Dia senyum-senyum sedang Mak Long geram.  Hai masa itulah Pak Long hendak mengusik hati orang.

Kami sampai di lapangan terbang jam 2:45 petang, sedang baik pula kaunter check-in sudah pun dibuka dan beroperasi.    

Check-in kali ini tidak payah pun beratur, penumpang lain belum ramai sampai lagi.  Dua buah bag ditimbang tanpa masaalah lebih muat.  Pagi tadi punyalah seksa sampai tiga empat kali buka, tutup dan timbang supaya tidak melebihi had berat yang diberi.  Tempat duduk memang sudah dipilih terlebih dahulu semasa membuat pembayaran dahulu.  Mak Long suka tempat duduk tepi senang hendak ke bilik air.  Pak Long mengiringi Mak Long ke pintu masuk pemeriksaan keselamatan.  Di sini kami berpisah.  Tidak berapa ramai orang di bahagian ini jadi tidaklah beratur panjang dan lama.  Buka kasut, buka jaket, keluarkan Ipad dan masukkan ke dalam satu kotak yang disediakan dan tolak kotak itu ke dalam scanner.  Mak Long masuk scanner yang besar untuk manusia.  Pegawai itu suruh angkat kedua tangan.  "Ok..you are good to go Maam" kata pegawai itu.  Mak Long nampak Pak Long melalui dinding cermin di luar sana memerhatikan Mak Long sehingga semua urusan keselamatan selesai.  Mak Long lambai dan tunjuk signal semua sudah ok dan dia pun berlalu.

Penerbangan Emirates berlepas jam 6:25 petang jadi Mak Long ada banyak masa melanggot di tempat menunggu.  Boleh jalan ke hulu ke hilir tengok-tengok barang duty free dan baca buku.  Tidak mengapa asalkan Pak Long dapat balik ke Canyon Lake awal; tiga jam lebih lagi perjalanannya.  Penerbangan ini mengambil  selama 23 jam termasuklah dua jam lebih transit di Dubai kemudian sambung semula pernerbangan ke KLIA, Malaysia.  Lenggoh tulang dan badan sakit-sakit pula. Memang pobia dengan penerbangan jauh dan lama hampir setengah jalan menggeliling dunia.

Nasib baiklah penerbangan kali ini penumpang tidak penuh jadi dapatlah peluang menyelesakan diri.  Makanan pun tidak perlu bimbang dan was-was. Sedap juga hidangan yang disajikan.  Banyak dan bermacam jenis makanan pulak tu.  Layanan dari anak-anak kapal pun mesera dan baik.  Dalam pengamatan keseluruhan penumpang adalah orang India.  Ada satu keluarga Arab, dua wanita dan dua orang anak perempuan.  Dalam hati ingin tahu (busy body pulak Mak Long ni) samada lelaki Arab itu beristeri dua.  Seorang darinya mengendong bayi.  Yang mengherankan itu mengapa mereka tidak menggunakan khidmat bakut tempat bayi tidur lebih selesa?  Tetapi bagus pula bayi itu, tidak berbunyi pun.  Bila ada peluang ibu bayi itu membaca Quran.  Jarang terjumpa orang baca Quran dalam kapal terbang buat perasaan Mak Long teruja pula.  Berasa kesal pun ada kerana tidak pernah terfikir berbuat demikian menghabiskan masa panjang itu lebih munafaat dengan membaca kitab Allah.  Ya Allah...Engkau membuka mata ku.

Pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai tepat masa yang dijadualkan. Keluar sahaja dari pesawat azan masuk waktu Maghrib berkumandang di seluruh bangunan.

Pemeriksaan keselamatan di Dubai berjalan lancar melainkan apabila mereka scan tas tangan Mak Long, mereka nampak sesuatu di dalamnya menyebabkan pihak keselamatan meminta izin untuk membuka bag.  Bukalah tiada apa yang mencirigakan dalam bag tangan itu.  Pegawai keselamatan itu wanita dan ia membuka bag dan dia tidak jumpa apa-apa pun.  Dia tanya pegawai lelaki yang membuat scan itu.  Rupa-rupanya wang tembaga (silver coins) yang mereka nampak itu.  Buat Mak Long cuak sahaja.  

 Setelah mendaftar untuk penerbangan seterusnya ke Malaysia, Mak Long terus mengambil aerotrain ke gate B10 kemudian mencari bilik air dan surau.  Mak Long masih ada setengah jam untuk membeli sedikit buah tangan untuk keluarga.

Penerbangan ke Malaysia mengambil masa selama lebih kurang tujuh jam lebih.  Pesawat itu juga tidak penuh dan sangat selesa.  Satu dari keistimewaan dengan penerbangan Emirates ialah setiap kali sebelum memulakan penerbangan doa selamat dibacakan.  Kebetulan pilot yang bertugas kali ini pula adalah anak bangsa Melayu.  Bangga rasa hati..

Sampai di KLIA tepat pada waktu yang dijadualkan.  MM anak muda Mak Long sudah menunggu ketibaan.  Syukur alhamdulillah selamat suatu perjalanan nan jauh.  Tidak sabar hendak jumpa Emak yang tidak sihat menunggu di rumah.









4 comments:

  1. Alhamdulillah. Allah permudahkan perjalanan Mak Long. Sudah berada di manakah kini? :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulah dah sampai KL. Mak Long jaga Emak yang sedang uzur bantu ringankan beban adik. Hujung minggu ini bawa beliau balik kampung di Muar.

      Delete
  2. pandai pak long menyakat makong...alhamdulilah selamat sampai..semoga mak ..maklong sihat hendaknya bila tengok maklong..amin...

    mak long..paklong pandai cakap bahasa melayu tak...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah, dapat bersama Emak. Ia terlalu uzur dan perlu dibantu.
      Hahaha Pak Long memang suka menyakat walau dah tua2 begini. Boleh cakap Melayu sesikit. Masaalahny dia malu sebab sebutan pelat.

      Delete