Pages

Tuesday, September 23, 2014

Nota Jalan-jalan (6) - Shipshewana, Indiana

Catatan Harian:

Assalamualaikum,

11hb Mei, 2014…. Cuaca hari itu cantik dengan sinaran matahari bersinar cerah dan ceria sekali  walau ke arah mana sahaja mata memandang.  Cuaca di musim bunga masih dingin dan menyegarkan.  Indahnya ciptaan Illahi….  Perasaan penuh dengan rasa meluap-luap melimpah ruah dengan kesyukuran dari senubari kerdil ini..  Subhanallah... Maha kaya Allah dan besarnya bumi ciptaan Nya….  Air mata ini tidak disedari berlinangan membasahi pipi.

Arah perjalanan kami pagi itu menuju ke Shipshewana, dan Middlebury, Indiana.  Letaknya Indiana adalah bersebelahan  dengan Illinois.  Indiana bermaksud "Land of Indian" atau Bumi Indian.  Indiana mempunyai banyak tinggalan bekas sejarah peperangan antara puak orang Indian (Red Indian) dengan orang-orang Eropa yang datang dalam kurun 1700an.  Mereka menaklok dan merampas segala hak milik puak orang Indian tanpa belas kasihan.  Betapa kezaliman demi kezaliman dilakukan ke atas puak Indian dengan niat untuk menghapuskan mereka dari muka bumi ini.  Hari ini rata-rata orang kulit putihlah mengambil alih memiliki dan memerintah seluruh bumi Amerika.  



Shipshewana

Shipshewana ialah sebuah perkampungan masyarakat orang kulit putih.  Shipshewana letaknya dalam LaGrange County, Indiana, USA.  "County" bermaksud daerah.  Bandar ini dinamakan sempena dengan satu puak orang Indian.  Penduduk di sini tidak ramai hanya lebih kurang 658 menurut bancian beberapa tahun dahulu.  Keistimewaan penduduk Shipshewana ialah masyarakatnya dikenali sebagai orang Amish dan Mennonitie.

Mak Long memang ingin melihat dan memahami cara kehidupan masyarakat orang Amish.  Selama ini Mak Long hanya membaca rencana mengenai mereka dan mendengar cerita-cerita dari mulut ke mulut orang di sini sahaja.  Bukan kerana itu sahaja, kami memiliki beberapa perabut kayu yang sangat tinggi mutunya mempunyai bentuk yang sederhana tetapi menarik dibuat oleh kaum Amish.



Shipshewana

Orang Amish dan Mennonitie adalah penganut kuat Kristian.  Mereka bermasyarakat rapat.  Masyarakat ini amnya mengamalkan kehidupan asas tanpa menggunakan kemudahan alat zaman moden seperti sekarang.  Bermakna tiada kemudahan alat letrik, radio atau pun TV, tiada kemudahan talipon, tiada kemudahan internet dan tiada kemudahan kenderaan seperti kereta, truck atau kapal terbang.  Mereka lebih rela menggunakan tulang empat kerat mereka dari bersenang-senang dengan kemewahan moden yang kita nekmati sekarang.  Perhubungan antara masyarakat mereka rapat dan mereka menjaga kebajikan kawasan dan bandar bersama.  Segala perhiasan yang dipamirkan samaada di kedai, pasar menunjukan ciri-ciri agama Kristian anutan mereka terutama dalam musim Christmas.  Urusan perniagaan ditutup awal petang dan pada hari Ahad.  Hubungan kekeluargaan amat penting dan rapat bagi mereka.  Mungkinkah suatu hari nanti adat yang mereka pegang kukuh itu akan bertukar kelak?

Sejarah  mereka bermula sebagai pelarian orang-orang Kristian datang dari Negara Germany ke Amerika Syarikat.  Di Germany ketika itu sedang menghadapi pergolakan agama.  Hasrat mereka mahukan kebebasan mengamalkan kepercayaan agama yang mereka percayai.  Mereka mahu meninggalkan dan menghapuskan adat "baptist" dalam amalan agama mereka.  Dikatakan bahawa Amish dan Mennonite di Indiana adalah masyarakat penganut Kristian "Anabaptist" terbesar di dunia. 



Ketuhar

Gambar di atas ialah alat ketuhar di mana masyarakat Amish dan Mennonitie guna untuk memasak.  Ketuhar seperti ini menggunakan bahan kuasa arang dan kayu.


Mesen Basuh Baju

Di atas sebelah kanan adalah mesen basuh kain baju.  Di sebelah kiri pula adalah satu lagi alat ketuhar.


Kereta Kuda (Buggy)

Kereta kuda yang dipanggi "buggy" adalah alat kenderaan dan pengangkutan utama bagi masyarakat itu.  Kuda digunakan untuk menarik kereta kuda.


Kereta Kuda (Buggy)

Beca

Ada juga yang menggunakan beca sebagai kenderaan keluaga seperti gambar di atas dan berbasikal seperti gambar di bawah.  Pendeknya mereka banyak menggunakan tenaga tulang empat kerat.  Cara hidup sihat dan tidak kelihatan pun mereka gemok!


Berbasikal

Rumah Orang Amish

Bentuk rumah mereka ringkas dan kebanyakan dicat warna putih menampirkan suasana bersih dan kemas.  Cahaya lilin atau lampu minyak adalah sebagai bahan penerang waktu malam.  Mahukah kita hidup tanpa kuasa letrik…..?
  


Ternakan Kuda

Setiap keluarga mempunyai penternakan kuda.  Di belakang rumah mereka pun biasanya ada tanah lapang khusus untuk ternak kuda serta juga bercucuk tanam.



Tempat Letak Kereta Kuda

Setiap bangunan dan tempat di sediakan tempat letak kereta kuda bagi kemudahan penduduk untuk berurusan.


Bangunan Perusahan Masyarakat

Gedung Perniagaan

Ladang Amish

Kawasan luas seperti dalam gambar di atas untuk berladang.  Semuanya menggunakan kaedah pertanian secara lama tanpa peralatan moden.


Pusat Beli Belah Amish


Pusat Beli Belah Amish dan Beca


Wanita Amish

Orang Amish tidak suka gambar mereka diambil.  Macam mana pun dapat juga curi-curi ambil gambar mereka.  Wanita Amish berpakaian sopan, berkain labuh, tutup kepala dipanggil bonnet.  Pakaian mereka juga menggunakan warna gelap seperti hitam, biru tua dan putih tanpa bercorak.  Lelaki Amish juga berpakaian sopan, berseluar hitam, berbaju putih dan bertopi.  Rata-rata lelaki mereka menyimpan janggut panjang.


Quilt Amish

Wanita Amish aktif dalam perusahan perniagaan.  Antaranya ialah perusahan memasak pelbagai jenis makanan iaitu jam, roti, keju dan lain-lain.  Perusahaan membuat/menjahit quilt adalah satu daripada bidang utama menampung ekonomi masyarakat ini.  Mutu kerjatangan membuat quilt mereka sangat tinggi, unik dan halus.  Ia mampu dijual dengan harga yang tinggi di pasaran dunia.  Selain dari perusahan quilt ialah perusahaan perabut kayu.  Begitu juga mutu perabut mereka sangat tinggi dan cantik.  

Hari ketiga di sana, kami berpeluang pergi ke pasar lambak bulanan yang diadakan pada hari kelepasan iaitu hari-hari Sabtu dan Ahad.  Semua ada dari bahan tanaman, pokok dan sebagainya.  Penjual-penjual dari luar kawasan dan daerah digalakkan berniaga di situ.  Terasa kesal pula kerana penjual-penjual dari luar ini menjual barangan dari negeri China yang tidak ada mutu…. teringat macam jualan murah di pasar malam…...


Pasar Lambak

Kedai Pasar Lambak

Adalah pula jualan sapu tangan mengingatkan Mak Long waktu zaman kanak-kanak dahulu di mana sapu tanggan memainkan peranan penting dalam hidup masa itu.



Pemandangan Pasar Lambak Dari Jauh

Pembuat ice-cream

Orang perempuan kalau tidak membeli barang dan cenderamata apabila pergi ke tempat-tempat baru memang tidak sahlah.  Pak Long tidak bising tapi geleng kepala bila tengok kita membeli macam-macam benda.  Antaranya Mak Long beli alat membuat "pop corn" atau berteh jagong untuk Pak Long.  Pop corn kegemaran makanan kudapannya.


Periok Buat Pop Corn

Dalam Periok










Friday, September 19, 2014

Nota Tiada Kata Hanya Gambar

Assalamualaikum,

Hari ini hanya mahu merehatkan mata, kenang kembali …



Wak dan SH



SH Bela Kura-kura
Paka, Trengganu


Perth, Australia


Korea


Lincoln, New Mexico


Mekah, Saudi Arabia


Deals Gap, North Carolina/Tennessee


Sand Storm In The Desert, Saudi Arabia


Quilt Yang Punya Cerita



























Wednesday, September 17, 2014

Nota "American Pickers"

Assalamualaikum,

"Pickers" dalam bahasa Melayu lebih kurang bermakna pengutip atau tukang kutip atau pemungut atau tukang pungut.  

American Pickers adalah satu siaran di TV yang sedang popular di Amerika Syarikat.  Siaran ini asalnya memaparkan satu kumpulan pengutip barang-barang lama, barang-barang yang pelik dan tidak berguna.  Mereka ialah Mike Wolf, Frank, Robbie dan Danielle.  Kegiatan mereka bermula secara kecilan sahaja di Virginia.  Kerana menerima banyak sambutan yang menggalakan dalam urus niaga mengutip mereka terus menerus memperluaskan pencarian mengutip barang-barang lama tidak berguna dari rumah-rumah, bangsal-bangsal, reban atas kebenaran dari tuan punya di mana sahaja mereka perolehi.  Meredah semak samun dan mengeledah bangsal buruk pun mereka sanggup buat.   Sebenarnya cara begitu mereka dapat membeli dengan harga lebih murah atau harga lelong.  Ada kala nasib baik mereka dapat mengutip barang-barang percuma yang sudah tidak dikehendaki lagi oleh tuan punya.  Kutipan mereka tidak terhad hanya di sekitar Virginia sahaja, malah kini di seluruh Amerika.  Apabila mereka menjelajah misi kutip mereka menggunakan kenderaan besar agar dapat memuatkan segala barang kutipan mereka.  

Barang kutipan itu akan dipilih, dibersih dan diasingkan menurut nilai harga dan usia kutipan itu ditempatkan di kedai atau di gudang besar mereka.  Sekiranya barangan itu boleh dibaik pulih, mereka akan lakukan juga kemudian dijual dengan harga yang lebih tinggi.    

Siaran TV ini disiarkan secara langsong menunjukkan pengutip-pengutip itu sedang membuat kutipan barang dari merata tempat.  Mak Long sendiri suka menontonnya kadang kala apabila ada masa terluang. 

Pak Long pula suka melayari sesawang "craigslist".  Sesawang ini  menyenaraikan barang-barang lama dan baru untuk dijual.  Suatu hari Pak Long terjumpa bangku dan meja lama di sesawang craigslist.  Masih elok lagi dan harganya hanya USD125.00 kesemuanya.  Mak Long suka boleh letak di luar rumah di bawah pokok.  Petang-petang bolehlah duduk di situ boleh baca buku dan menghirup tiupan angin petang bila tidak panas.



Meja dan Bangku Lama


Setelah Pak Long hubungi tuan punya perabut itu dan bertemu janji di tempat yang ditentukan iaitu di Lockhart, Texas.  Lockhart adalah sebuah bandar tua di Texas lebih kurang 50 batu dari rumah kami.  Bangku dan meja itu tidak menghampakan kami, nyata ia barang tulin.  Kaki bangku dan meja dari besi tuangan? (cast iron) dan kayu itu pula kayu baik.  Mak Long tidak pasti apa makna  perkataan 'cast iron' dalam bahasa Melayu......

Pada hari itu di Lockhart pula ada ramai penduduk di situ mengadakan 'garage sale'.  Kami singgah salah satu rumah lama yang mengadakan 'garage sale'.  Mak Long tertarik dengan beberapa buah kerusi lama dan berminat untuk mendapatkan kerusi goyang (rocking chair). Nak jadikan cerita rupa-rupanya tuan rumah itu adalah pasangan yang menjadi Texan Pickers.  Mereka beritahu itulah kerjanya sebagai sumba rezeki mereka berdua.  Mereka suka hati bila Mak Long minta untuk mengambil gambar mereka.  Kerana ambil gambarlah mereka (isterinya) menjemput kami masuk ke rumah lama mereka.  Suaminya berkata biasanya isterinya tidak akan membenarkan sesiapa masuk ke rumah mereka.  Itulah rezeki kami hari itu dapat melihat dalaman rumah lama.  Serba serbi lama, 'wall paper' dinding rumah masih lama tidak rosak, kerusi, meja dan alat dalam rumah semuanya barangan lama menurut mereka sejak dari tahun 1800an.  Kami dibawa ke bahagian bilik kecil, menurutnya bilik 'butler', dalam bahasa Melayu bermakna ketua orang suruhan.  Di bilik ini masih tidak diusik, bilik air dan tandanya kecil dan lama tetapi masih boleh digunakan.  Dinding kayu berukir seni cantik teringat urkiran seni Melayu lama yang pernah dilihat di istana-istana raja.  Mak Long tidak ambil gambar kerana menghormati mereka.  Mereka memberitahu kami mereka  memiliki sebuah lagi rumah lama yang juga penuh dengan kumpulan barang-barang lama 1800an di Missuri.  

Kalau hendak tahu kerja jadi pengutip pun boleh dapat hidup mewah dan selesa.  Di Malaysia pun sudah ramai orang berminat mengumpulkan barang-barang lama.  Seorang dari anak buah Mak Long pun sudah membuka perniagaan menjual barang lama di Muar, Johor secara kecil-kecilan.   Cuma terkilan juga kerana tidak dapat menjengok kedainya kerana kesuntukan masa.



Texan Pickers
Di Lockhart, Texas

Rumah Lama Kediaman Texan Pickers


'Garage Sale'
Beberapa jenis dan rupa kerusi lama untuk dijual










Tuesday, September 16, 2014

Nota Sandwich Lobster

Assalamualaikum,

Catatan Harian

Kami suka pergi ke pasar tani atau pun ke garage sale.  Di Texas kegiatan pasar tani dan 'garage sale' atau cakap Melayunya jual lambak di hadapan atau di belakang rumah itu adalah suatu daripada kegiatan hujung minggu.  Orang putih di sini pun suka pasar tani walau pun harga lebih tinggi dari harga di pasar biasa kerana keluaran pertanian menggunakan baja oganik, tidak menggunakan baja buatan dari bahan kimia.  Pasar tani biasanya diadakan setiap hari Sabtu.  Di kawasan kediaman kami pun ada pasar tani juga setiap hari Sabtu.  

Kami biasa juga pergi ke tempat yang lebih jauh seperti pasar tani di Austin baru-baru ini.    Saja hendak tukar-tukar angin.  Matlamat yang sebenarnya pergi ke situ kerana ada menyediakan sesuatu yang istimewa.  Itulah, kami ingin merasa 'sandwich lobster' atau sandwich udang karang yang diwar-warkan sedap dan istimewa.  Tidak pasti apa nama jenis udang ini dalam bahasa Melayu.  Ada juga orang kampung di Muar namakan udang ketak.

Kami sampai di Austin di mana pasar tani itu diadakan hampir waktu tengah hari.  Pasar tani itu terletak di hadapan sebuah pusat membeli belah.  Orang ramai sudah berpusu-pusu ke bahagian pasar di mana keluaran hasil petanian sudah pun bermula sejak awal pagi lagi.



Tingkap Tempat Pesanan


Truck di mana tempat menjual sandwich lobster pun sudah dibuka sejak pukul sebelas pagi tadi.  Penjual sandwich itu hanya menjual sandwich lobster sahaja, mereka tidak jual makanan lain.  Tiga cara lobster itu dimasak, rebus, bakar atau goreng dengan butter.  Kami buat pesanan masing-masing.



Kotak Sandwich Lobster

Sandwich lobster yang kami pesan dibungkus macam dalam gambar di atas.



Sandwich Lobster


Tidaklah begitu istimewanya fikir Mak Long.  Roti mentega sebuku dibelah dua dan dibakar selepas disalut dengan butter dan bawang putih di atas kedua permukaan roti.  Satu ekor lobster rebus dipotong kecil digaul dengan sedikit minyak zaitun campur sedikit rempah ratus dan sos.  Daun bawang dan dua belahan lemon pun ada di letakan bersama sandwich.  Itu sahaja.  Rasanya?  Sedap juga!  Harganya?  USD15.00 satu... Mahal!!  Tapi kerana hendak sangat merasa, beli juga…



Pasar Tani

Pemandangan kebiasaan di pasar tani di Texas.



Macam-macam Jualan

Macam-macam ada dijual...pelbagai jenis sayur ada seperti carot, beet, timun, apple hijau, cili dan lain-lain sayur hijau.  Sayur kangkong, sawi yang berlambak dijual di Malaysia tidak ada!  Mak Long beli beet, timun, dan beberapa jenis sayur hijau seperti kale, untuk buat jus minuman pagi.  Pelbagai jenis roti pun ada di mana semuanya dibakar oleh petani sendiri.














Nota Pulang


Assalamualaikum,

Dari catatan harian


Berat Hati



Masa berlalu begitu cepat sekali umpama tidak sabar-sabar berlalu.  Betullah masa itu tidak menunggu, tidak menanti sesiapa atau apa-apa pun.  Dulu masa zaman budak-budak Emak biasa cakap "….. jangan buang masa.  Jangan buang masa.  Masa tak tunggu kite.." apabila Mak Long dan adik-adik melengah-lengahkan berbuat sesuatu yang disuruhnya seperti belajar mengaji al-quran.   Guru di sekolah dahulu pun selalu menyebut "Masa itu emas…… ".   

Ya...  Masa untuk Mak Long pulang ke pangkuan suami yang sedang menunggu jauh beribu batu di sana sudah pun tiba.  Tinggal di perantauan jauh dari kampung halaman tercinta ada baik, buruk dan seronoknya.  Namun tanggung jawab sebagai anak kepada kedua ibu bapa, sihat atau uzur tidak boleh dilupa dan tidak boleh diabaikan.  Mujurlah Pak Long memahami serta membantu meringankan beban yang dialami.   Andai kata jasad ini boleh dibahagi dua tugasnya, satu di sana dan satu di sini sudah lama Mak Long buat begitu.  Kita hanya dapat  melakukan setakat yang mampu dan terbaik serta ikhlas seadanya.  Bertapa  berat rasa hati untuk meninggalkan Emak yang masih sangat uzur.  Rasa tidak mahu berpisah dengan Emak dan keluarga di tanahair sungguh menebal di hati.  Tetapi perlu berkorban untuk yang dikasihi tanpa menuntut sebarang balasan.  Melakukan dengan penuh keikhlasan hati.  Entah bilalah dapat bertemu kembali hanya yang Maha Berkuasa sahaja dapat menentukan.  Manusia hanya merancang, Allah menentukan.  

Hari Isnin 25hb Ogos, 2014 adalah harinya.  Hari itu pagi-pagi selepas Subuh Mak Long sudah ke dapur jerang air dan buat persiapan untuk sarapan pagi.  Mak Long bercadang hendak masak nasi goreng belacan.  Sudah lama teringin hendak masak nasi goreng belacan, lagi pun nasi lebih makan malam tadinya banyak dan tidak mahu membaszir.  AHQ anak Mak Long masuk ke ruang dapur, tanya kalau Mak Long hendak beliau belikan apa-apa di luar sana, kuih ke apa ke?  Mak Long tidak kesah, kalau beliau suka bolehlah beli apa-apa sahaja jawab Mak Long.  Tidak jauh dari rumah kami ada deretan rumah kedai di mana ada restauran mamak dan warong-warong makan menyediakan bermacam-macam jenis makanan untuk dijual.  Pilih sahaja apa yang berkenan. Biasa juga berjalan kaki sendirian ke situ beli roti canai dan roti bom untuk sarapan pagi.  Sedap juga roti bom itu dimakan dengan kuah kari dan sambal tumis.  Kalau ikut nafsu dua keping pun boleh habis.  Nasi lemaknya pun boleh tahan sedap.  Emak suka makan roti telor.  Nasi goreng belacan pun dah siap dihidang .... Kopi 434 pekat kegemaran keluarga pun sudah siap dalam koleh di atas meja makan sana.

Pagi itu Emak masih lagi tidur di pembaringannya.  Sarapannya sudah Mak Long sediakan di sebelah tingkap, tempat yang Emak selalu gemar duduk sekoding.  Sambil makan Emak suka tengok keluar tingkap.  Tengok kereta-kereta lalu, tengok burung hinggap di pokok sebagainya.  Ketika kami bersarapan Emak tidak bangun walau sudah dikejutkan.  Bimbang juga. Semalam katanya kesakitan tulang belakangnya terlalu mengganggunya.  Hendak tolong urut Emak tidak mahu.  Air mandinya pun sedang dijerang di atas dapur.  Apabila siap semua Mak Long hampiri Emak pelahan-lahan mengeraknya untuk mandi bersihkan diri.  Emak menurut sahaja.  Emak perlu dibantu untuk bangun dan dudukkan Emak di atas kerusi yang dibeli khas untuk mandian.  Mak Long rasa puas dapat menjaga Emak sebaik yang Mak Long mampu walaupun sekejap. Emak sentiasa mengucapkan terima kasih apabila selesai tugas membersih dirinya.  Setiap kali pula Mak Long hadiahkan ciuman kasih sayang padanya.  Emak selalu senyum.  

Mak Long beritahu Emak yang Mak Long hendak berangkat pulang malam nanti.  Kesedihan meliputi air mukanya.  Mak Long pun berasa macam itu juga.  Benci benar saat-saat berpisah tidak tahan menahan sebak di dada.  Perpatah orang putih menyebut "Parting is a sweet sorrow", mana ada sweetnya?  Buat sakit jiwa adalah!

Penerbangan Mak Long sebenarnya lewat malam, jadi sepanjang hari itu kami habiskan masa bersama-sama anak beranak di rumah sahaja.  Ramai yang hendak menghantar ke lapangan terbang.  Emak pun hendak ikut sama.  Kebetulan pula AHQ sekeluarga juga akan pulang ke Sibu di awal pagi selepas subuh esoknya.  Bagi memudahkan mereka yang menghantar kami supaya tidak perlu berulang alik ke lapangan terbang dalam masa terdekat AHQ dan keluarga mahu bermalam sahaja di hotel berdekatan dengan Lapang terbang.    




Rose









Thursday, September 11, 2014

Nota 'Idilfitri 2014


Assalamualaikum,

Catitan Harian


'Idilfitri 2014

Tarikh bagi rakyat Malaysia menyambut Shawal telah ditetapkan pada 28hb Julai, 2014.  Orang Islam di Amerika mula berpuasa mengikut tarikh dan hari yang sama dengan rakyat Saudi Arabia.  Rakyat Malaysia pula berpuasa sehari selepas Saudi Arabia dan Amerika berpuasa bermakna rakyat Malaysia berpuasa hanya 29 hari.  

Kami sepakat akan pulang ke Kampung Jorak, Muar iaitu kampung halaman kami di Johor untuk menyambut hari raya 'Idulfitri bersama-sama keluarga yang lain.  Mai bercadang bertolak awal pagi selepas Subuh dan berharap jalan raya tidak sesak dengan trafik.  Malam sebelum bertolak, kami bersiap terlebih awal dengan memuatkan barang-barang yang hendak dibawa pulang ke dalam kereta.  Penuh kereta....entah apa-apa yang Mai muatkan macam hendak pindah.  Kalau lori agaknya penuh juga diisi.  Beg pakaian Mak Long hanya sebuah beg kecil sahaja.

Menguruskan Emak untuk bertolak mengambil masa lebih panjang dari yang dijangka.  Tidak mengapalah!  Yang penting Emak selesa.  Sesungguhnya Allah menguji kesabaran kami dua beradik.  Tetapi alhamdulillah segalanya dapat kami lakukan sebaik mungkin dan termampu oleh kami sendiri.

Di perjalanan sudah banyak kenderaan lain yang berlumb-lumba memandu laju seolah-olah mereka tidak ada hari esok!  Mujurlah Mai tahu mengikut jalan dalam walau pun jauh sedikit dari melalui jalan lebuh raya biasa.  Emak sedikit pun tidak tidur sepanjang perjalanan.  Sekali sekali Emak bertanya "tang mana kita ni....?"  Kebanyakan orang Malaysia memandu kereta terlalu laju dan memerbahayakan pengguna-pengguna jalan raya yang lain.  Malah ada juga mereka itu bersikap kurang sopan dan kasar.

Kami sampai di kampung hampir jam sepuluh pagi.  Adik Mak Long Daril dan keluarganya sudah menunggu kepulangan kami.  Rumah Emak sudah dihias cantik dan bersih.  Langsir baru berwarna hijau gelap diganding dengan kain kasa putih jarang sejuk dan damai mata memandang.  Along adik ipar Mak Long berkerja keras membersih dan menghias rumah menimbulkan suasana meriah raya.  Seterusnya hari itu kami sekeluarga sibuk membuat persediaan untuk jamuan di hari raya, anyam ketupat, masak rendang dan sebagainya.  Seronok .... adik beradik bersama keluarga masing-masing dengan anak-anak buah mula pulang berkumpul di bawah satu bumbung.  Rioh rendah gelak ketawa dengan keletah anak-anak buah maklumlah bila sudah berkumpul sama, buat Emak tersenyum terhibur melihat cucu-cucunya.  Rumah Emak di kampung berseri kembali dengan kehadiran ahli keluarga.  Lampu-lampu terang menghias rumah sedang anak-anak pula gembira bermain mercun.

Suara takbir berkumandang di TV membuat hati kecil terusik sayu kerana Pak long dan empat dari anak-anak tidak dapat bersama merayakan hari yang mulia.  Tidak dapat bersama kerana ada yang bertugas dan jauh di luar negara juga ada yang mempunyai giliran untuk beraya di rumah sebelah mentua.  Namun hati kecil tetap berasa hiba dan cuba menahan sebak di dada.  Semuga yang tidak dapat bersama-sama juga dapat menjiwai hari kemulian ber'idilfitri.  

Mak Long awal lagi sudah bersiap sedia untuk ke Mesjid di kampung menunaikan solat sunat Syawal.  Anak muda Mak Long HQ nampak segak dengan pakaian baju Melayu siap bersongkok hitamnya sudah bersedia untuk membawa Mak Long ke masjid.  Sampai di masjid, ramai muslim dan muslimah, tua dan muda sudah berada di sana menanti untuk bersolat.  Penuh masjid hingga ke tangga ada orang bersolat.  Ramai juga saudara mara yang ditemui di masjid.  Antaranya emak saudara Busu Peah, Mak Melah, sepupu Biah, Kak Milah dan lain-lain.  

Imam mesjid Pak Haji Othman satu-satunya insan tertua di kampung mengimamkan jemaah.  Suaranya terketar-ketar membaca ayat-ayat alquran tetapi penuh khosyok dan bersemangat.  Subhanallah.......  

Selesai solat raya kami pulang ke rumah di mana ahli keluarga sudah menunggu kami untuk bersalaman dan bermaafan.  Semua terutama anak-anak sudah tidak sabar-sabar mahu menikmati juwadah yang telah kami sediakan bersama.  Sebagai anak sulung Mak Long diberi penghurmatan pertama dari keluarga melutut menghulur sepuluh jari mohon ampun dan maaf dari Emak.  Emak merenung lama dan mata kami bertemu.  ".... Tak ada-apa salah ko.  Emak dah ampunkan semua dosa-dosa anak-anak".  Aduhai mulianya hati Emak.  Emak menciup kedua pipi dan dahi Mak Long dan kami berpelukan.

Sesungguhnya tidak dapat kami membalas segala kasih sayang, budi dan pengorbanan Emak yang dicurahkan kepada kami.  Segala yang dilakukan untuk kami, tidak pernah Emak minta balasan.  Wajah Emak kelihatan tenang tetapi air matanya berlinangan ketika kami bergilir-gilir melutut di hadapanya mohon ampun dan maaf.  Dalam hati Mak Long tertanya-tanya .... Apalah agaknya yang sedang berlegar dalam pemikiran Emak? Apakah getaran dalam sanubarinya? .  Gembirakah, sedihkah atau berserabut hingar bingar dengan kehadiran kami…. entahlah sukar diertikan.  Yang sudah tentu Emak pasti  berasa bersyukur dikelilingi oleh zuriatnya yang semakin bertambah ramai.  Dulu Emak berdua dengan arwah Wak.  Kemudian ditambah lima orang anak (kami), tambah lagi dengan cucu-cucu.  Dari cucu tambah pula bercicit....

Sudah menjadi kebiasaan menyambut raya di hari pertama adalah yang paling sibuk.  Anak-anak buah dan saudara mara Emak dan arwah Wak datang tidak berhenti-henti hingga ke malam.  Mak Long tidak kemana-mana hanya sibuk membantu tetamu yang berkunjung.  Kebanyakan Emak sudah tidak kenal lagi saudara mara yang datang terutama yang lapis-lapis muda.  Banyak kali Emak bertanya "Siapa engko…..?  Anak sapa engko…?"   Mak Long perhatikan Emak mula nampak letih setelah sehari suntuk menerima tamu.  Sudah sampai masa untuk Emak merihatkan diri di katilnya.  Akhirnya Emak tidur keletihan dan beberapa orang yang datang kemudiannya tidak dapat bercakap dengan Emak.




Selamat Hari Raya 'Idilfitri
Maaf zahir dan batin









Sunday, September 7, 2014

Nota Sehari Dalam Kenangan

Assalamualaikum,



Duduk:  Naemah Othman, Mak Long, Datin Cik Gu Badiah Manan, Maimun Ibrahim, Zainul Akmar
Berdiri: Datok Shakir

Tidak disangka hari itu akan menjadi satu kenangan manis dalam hidup Mak Long.  Tidak pula menyangka ada rezeki untuk bertemu dengan seorang yang selama ini sering diingati dan selalu tertanya-tanya akan kabar berita tentangnya.  Di manakah ia sekarang?  Masih hidupkah ia sekarang?  Kini terjawab sudah segala yang tersirat di kalbu.  Ia adalah Pengetua di Sekolah Tun Fatimah dalam tahun 1965-1970an.  Seorang pengetua yang bersikap tegas, cekap dan penuh dengan keibuan yang sangat pengasih.  

Kawan sedarjah Maimun Ibrahim dan Naemah Othman telah menghubungi Mak Long menyatakan hasrat mereka hendak melawat pengetua sekolah STF di rumahnya di Mindef.  Mereka mengajak Mak Long pergi bersama.  Bagikan pucuk dicinta, ulam mendatanglah gamaknya, apa lagi terus sahaja setuju.  Sebelum pergi Mak Long pastikan Emak selesa di rumah dan sediakan keperluannya serta memastikan puteri AM berada di rumah menemani Emak. 

Naemah datang mengambil Mak Long dahulu kemudian ke rumah Zainul Akmal seorang lagi kawan sedarjah yang tinggal tidak berapa jauh dari rumah Mak Long.  Jalan kaki pun boleh sampai!  Maimun Ibrahim pandu keretanya sendiri dan berjanji bertemu di pintu masuk Mindef di mana Datok Shakir berjanji menunggu kami di situ bagi memudahkan kami masuk ke kawasan kediaman askar-askar di situ.


Zainul Akmar Dan Maimun Ibrahim

Rumah kediaman yang kami tujui itu nyatalah kediaman seorang pahlawan askar Malaysia berpangkat tinggi.  Tiga buah kereta mewah dengan 'license plate' kenderaan khas terlabuh di kawasan rumah.  Ketibaan kami disambut mesera oleh pasangan bahagia Datok Shakir dan Datin Cik Gu Badiah Manan, …. kami bersalaman mesera dan dipersilakan duduk di ruang tamu yang dihias dengan alat perabut serba mewah dan cantik.  Cik Gu Badiah masih ingat dan kenal kami walau pun penampilan kami sudah jelas jauh berubah.  Kami sedarjah kini masing-masing sudah bersara dan rupa pun sudah banyak berubah.  MasyaAllah… Mak Long sungguh kagum melihat beliau yang masih bergaya, masih sihat, masih cantik lagi anggun dan daya ingatannya sangat menakjubkan walaupun umurnya sudah melewati 76 tahun.  Kami berborak mesera mengimbar kembali ke zaman persekolahan kami.  Beliau mengajukan banyak soalan itu dan ini kepada kami, ingin tahu perjalanan tentang hidup kami selepas zaman persekolah di Sekolah Tun Fatimah.  Banyak sungguh soalan yang ditanya pada Mak Long…. macam-macam hahaha….



Datin Cik Gu Badiah Manan

Kami bercerita tentang beberapa siri kenakalan kami ketika di bawah penjagaannya di sekolah.  Rupa-rupanya dan ingatkan Cik Gu tidak tahu tentang pergerakan kami dahulu.  Umpamanya satu kejadian seperti kami korek tanah di bawah pagar sekolah kemudian menyusup keluar dari pagar di waktu jaga sekolah tidak nampak.  Bukan pergi kemana pun bila sudah dapat menyusuk keluar pagar.  Saja nakal, kami jalan-jalan di tepi Jalan Larkin.  Di antara kami, ada yang bawa kertas lukisan dan melukis…  Bila sudah puas duduk di luar pagar kami masuk balik menyusup lubang yang dikorek itu.  Habis baju kotor kena debu tanah.

Satu lagi kami pakai telekong dan duduk di tepi tingkap cermin dewan sembahayang sambil kibai-kibai telekong mengusik menakutkan guru bertugas waktu malam sedang berkawal setiap bilik di asrama.  Biasanya waktu bulan terang mengambang jadi bila guru bertugas lalu depan dewan ia akan nampak.  Bila rahsia terbuka tentulah kena hukum… kutip sampah, basuh dewan asrama dan macam-macam hukuman!  
  
"Saya tau semua tu… kamu semua nakal tapi kamu murid-murid yang baik dan saya tak bimbang.  Tapi hukuman tetap jatuh juga kan!!…" katanya sambil tersenyum lebar.  Daaa… kami kena hukum berdiri di dewan makan diperhatikan oleh pelajar-pelajar lain.  Kena syarah panjang lebar….  

Kami dihidangkan dengan mee rebus masakan istimewa orang Johor dan beberapa jenis kuih raya.  Cik Gu Badiah berasal dari Johor Bahru, Johor.  Ya, masih bulan Shawal lagi.  Sedap masakannya dan kami dilayan mesera termasuk menantu perempuannya yang sedang sarat mengandung.  Menurutnya jantina kandungan itu adalah seorang perempuan dan akan melahirkannya pada bulan November ini.  Mudah-mudahan dipermudahkan kelahiran cucu Cik Gu Badiah hendaknya.

Itulah hari yang bersejarah dalam hidup Mak Long dapat berkunjung mesra di kediaman Datin Cik Gu Badiah Manan.  Beliau ialah seorang yang sangat istimewa dan berjaya dalam membentuk corak pelajar-pelajar Sekolah Tun Fatimah dalam pertengahan tahun 1960han. Cik Gu, jasa mu tidak mampu dibalas dan sentiasa dikenang serta disanjung tinggi.  Di akhir kunjungan kami bersalaman.  Berat hati untuk berpisah, entah bilalah dapat bertemu kembali…?

"Cik Gu, mohon ampun dan maaf segala kesilapan dan kenakalan saya ketika di sekolah dulu." kata Mak Long sambil menghulurkan kedua tangan kepadanya.  Tiba-tiba dan tidak disangka Cik Gu Badiah meletakkan kedua tangannya di muka Mak Long sambil mencium mesera kedua-dua belah pipi Mak Long kemudian memelok mesera.  Senyumannya manis sekali, "Awak tak ada apa-apa salah dengan saya…..  Saya bangga dengan kejayaan kalian dan sudi pula datang menjengok kami suami isteri di sini.  Datang lagi jangan serik……"




Dalam catitan Datin Cik Gu Badiah di Facebooknya beliau menulis:

"Assalamualaikum.  Cikgu berdua sungguh bertuah  semalam dikunjungi oleh srikandi dari Australia n harini dari Amerika pula.  Gambar dirakam bersama Kamisah (Amerika) Naemah, Maimun, Zainul Akmar tengahari tadi."