Pages

Thursday, February 28, 2013

Nota Selamat Harijadi Pak Long

Assalamualaikum,

1st March, 2013

Today is a special day for Pak Long and here is my wish for you....




HAPPY BIRTHDAY, MY LOVE..

My wish for you
I wish for you
Comfort on difficult days
Smile when sadness intrudes
Rainbow to follow the cloud
Sunsets to warm your heart
Gentle hugs when spirits sag
Friendships to brighten your beings
Beauty for your eyes to see
Confidence for when you in doubt
FAITH
Faith, so that you can believe
Courage to know yourself
Patience to accept the truth
And love to complete your life
God bless you!
I asked the Lord to bless you
As I prayed for you today...
To guide you and protect you
As you go along your way
His love is always with you
You know He'll see us through....
So when the road you're travelling on
Seems difficult at best.....
Know that God will do the rest!!!!!
And so ... I wish you the very best
Both in this life and the next!

*******
***











Friday, February 22, 2013

Nota Selamat Harijadi Putera MM Bonda

Assalamualaikum,

February adalah bulan yang sangat istimewa bagi Mak Long dan dua orang putera.  Mereka dilahirkan dalam bulan yang sama berlainan haribulan.  Hari ini 23 haribulan, February harijadi putera bungsu.  Sudah masuk setahun lebih kami tidak bersua.  Rindu seorang ibu mebalut jantung dan hati, seluruh senubari dirasai menahan kerinduan terhadap putera dan puteri yang jauh di mata.  Kalau ada sayap dan boleh terbang ketika ini juga mahu menemui mereka.  Kalau badan ini boleh dibahagi dua rasa mahu dibelah dua...sebelah di sana dan sebelah di sini.  Di kesempatan ini diiringi dengan limpahan doa dan restu serta kasih dan sayang yang tiada penghujungnya untuk putera.  Mak Long menunggu dengan penuh harapan akan kedatangan putera menemui kami di sini tidak lama lagi.  Semuga segala yang dijangka dan diatur menjadi kenyataan,  insya Allah..... dengan izin Nya.


Putera dilahirkan di Pantai Medical Centre, Bangsar.  Anak kelahiran di wilayah Kuala Lumpur dan dilahirkan secara dipaksa kerana sudah terlewat masa hampir dua minggu lebih dari tarikh yang dijangka.  Tahun itu February, 1980 mengandungi 29 hari dan kalau ia lahir pada hari ke 29 haribulan nampaknya putera hanya berpeluang menyambut hari kelahiran empat tahun sekali.  Nasib juga tidak!  Juga semasa kelahiran ini Pak Long ada bersama dalam bilik bersalin.  Hahaha hampir pitam dia hingga Dr McCoy nasihatkan kalau tidak selesa bolehlah tinggalkan bilik.  Adalah sangat disarankan supaya suami bersama-sama membantu mententeramkan isteri yang sedang bergelut dengan nyawa ketika melahiran zuriat semuga suami lebih mengerti pengorbanan seseorang isteri.

Putera menjadi buah hati number satu bapa dan emak saudara Mak Long.  Merekalah yang menjaga putera ketika Mak Long pergi kerja.  Mereka sangat menyayangi putera.  Hari-hari hujung minggu pun dengan merekalah duduknya putera.  Kalau mereka pergi ke mana-mana putera jugalah yang dibawa bersama... tidak pernah tinggal.  Putera MM memanggil mereka pun "daddy dan mama".  


Putera MM
Putera MM suka membaca buku-buku komik dan katun.  Kalau dapat kertas dan pensil, katun jugalah yang dilukis.  Mak Long kerap berkata di dalam hati... "apa nah jadi dengan Putera MM ni?  Nak jadi macam Lat ke? ... Bagus juga kerana tidak ramai orang berkebolehan macam Lat."  Oleh kerana terlalu banyak membaca agaknya mengakibatkan mata rabun.  Hmmm...  Kecil-kecil lagi sudah kena pakai cermin mata. Zaman persekolahannya di sekolah rendah, antara yang disukainya memakai baju-T besar dan labuh hingga ke lutut.  Pak Long geleng kepala melihat telatahnya.  Bukan kami tidak tegur cara pakaiannya.. Mak Long sudah berbuih mulut menegornya.  Jangan main-main Putera pandai tae-kuan-do dan ada tali pinggang hitam!  Jangan silap langkah nanti kena sigi...

Putera MM berusaha kuat untuk memanjat ke mercu menara gading walaupun pun terpaksa meredah berbagai rintangan.  Akhirnya Putera MM berjaya membawa pulang ijazah dalam "Mechanical Engineering" dengan kecemerlangan.  Kejayaanya menjadikan hati Mak Long terlalu sebak dan menitiskan air mata kerana terlalu bangga dan bersyukur kehadrat Allah SWT yang telah mengabulkan doa Mak Long....alhamdulillah.


Hari Konvokesyen Putera MM

SELAMAT MENYAMBUT HARIJADI, SAYANG


Wahai Putera MM, ingatlah pesanan ini; berusahalah untuk kejayaan dalam hidup dan akhirat.  Disamping itu jangan sekali-kali lupa memandang ke bawah sana, hulurkan tangan membantu pada yang kurang bernasib baik dan ingat dari mana asal usul mu.














Wednesday, February 20, 2013

Nota Mengimbas Masa Dulu-dulu (II)

Assalamualaikum,

Tahun 1962 Mak Long masuk dalam darjah enam 'A' dan ditempatkan di bangunan yang baru siap.  Bangunan ini tidak besar hanya menempatkan dua buah bilik khas bagi darjah enam 'A' dan 'B'.  Guru darjah enam 'A' ialah arwah Cik Gu Said dan guru besar pula ialah Cik Gu Mat 'Tampal' (nama gelaran keluarga).  Adik beliau Cik Gu 'Mat Boyor' (juga nama gelaran keluarga) mengajar murid darjah enam 'B'.  Mereka berdua ialah pangkat bapa saudara Mak Long dan tidak ingat nama sebenarnya.

Darjah enam ialah tahun akhir di sekolah rendah sebelum masuk ke peringkat sekolah menengah.  Akhir tahun Mak Long mengambil peperiksaan menentukan tempat ke sekolah menengah.  Oleh kerana murid-murid darjah enam tidak ramai, Mak Long dan murid lain terpaksa pergi ke sekolah rendah kebangsaan di kampung jiran iaitu Sekolah Rendah Kampung Batu Enam untuk menduduki peperiksaan penting itu.  Kenderaan diuruskan oleh pihak sekolah.

Sebelum hujung tahun keputusan peperisaan keluar.  Cik Gu Mat Tampal? (tidak berapa ingat) datang ke rumah kami memberi tahu Wak dan Emak, yang Mak Long telah lulus dengan kecermerlangan.  Cik Gu cakap Mak Long terpilih seorang sahaja untuk masuk ke sekolah menengah berasrama penuh di Melaka iaitu Sekolah Menengah Tun Fatimah, Durian Daun.  Beliau memyerahkan satu borang untuk diisi supaya dapat dihantar ke pejabat pelajaran bagi memasuki ke sekolah itu.  Sebelum itu Mak Long tidak pernah pun dengan nama sekolah tersebut.  Emak gembira kesyukuran atas kejayaan Mak Long. Tetapi Wak tidak menunjukan riaksi sama.  

Malam itu Mak Long dengar dari tempat tidur, mereka berbincang menentukan masa depan Mak Long.  Wak tidak setuju menghantar Mak Long ke Melaka.  Jauh katanya susah hendak jengok-jengok lagi pun Mak Long terlalu kecil untuk tinggal jauh dari mereka; dan bimbang belanja mahal tidak terbayar nanti. Emak pula memujuk Wak dengan nadar suara lembut merayu agar mengambil peluang keemasan itu dengan harapan mendapat menukar kesempitan hidup keluarga masa depan yang lebih baik.  Berita baik itu sekejap sahaja tersebar seluruh kampung... semua tahu.  Wak Sungai Bilah (datuk Mak Long) pun datang ingin tahu lebih lanjut tentang berita itu.  Beliau juga tidak setuju menghantar Mak Long sekolah jauh-jauh.  Antara katanya "budak betina tempanya di dapur!"  Sedih dengar kata-katanya.  Selama ini Mak Long sentiasa menghormati dan manja dengannya.  Mak Long berdoa sungguh-sungguh berdoa supaya dapat belajar di Sekolah Tun Fatimah.  Setelah Wak Sungai Bilah balik, Wak koyakkan borang permohonan itu dan lemparkan keluar.  Bila Wak tidak nampak dengan rupa sedih dan air mata berlinangan Emak kutip borang itu dan bawa kepada arwah Pak Teh adik Emak.  Mereka cantumkan semula borang itu dengan pelekat dari nasi lembek.  Arwah Pak Tehlah yang mengisi borang tersebut dan menghantarnya terus kepada Cik Gu Mat Tampal.  Mak Long sungguh terhutang budi yang tidak ada bandingan hargannya kepada Emak dan Pak Teh.  Merekalah yang membantu dan berusaha untuk menentukan Mak Long masuk belajar keperingkat lebih tinggi.





Di Hujung Sana Ada Cahaya







Nota:  Hidup mestilah ada pengorbanan yang ikhlas agar hidup itu lebih bermakna dan sempurna.


Tuesday, February 19, 2013

Nota Mengimbas Masa Dulu-dulu (I)

Assalamualaikum,

Sambil duduk-duduk menyelak beberapa muka surat sebuah majalah "American Patch Work & Quilting" lama untuk mencari ilham membuat sehelai quilt baru.  Keinginan di hati hendak dihadiahkan kepada seseorang yang telah banyak budinya diterima, tetapi tiba-tiba timbul rasa hilang minat pula.  Kenapa rasa demikian ya?  

Hai.. tidak semena-mena Mak Long teringat kepada Arwah Wak pula. Mak Long merinduinya .... baiklah sedekahkan fatihah untuk arwah ...Al-Fatihah.....  Mak Long masih ingat lagi, ketika itu baharu sahaja masuk sekolah darjah satu di Sekolah Rendah Kebangsaan Jorak, Muar.  Umur Mak Long muda setahun sudah masuk sekolah.  Dalam masa hampir sebulan mula-mula masuk sekolah Wak menghantar dan menjemput Mak Long pergi dan balik setiap hari.  Betapa kasihnya seorang bapa kepada anaknya.  Selepas itu Mak Long pergi sendiri berjalan kaki dengan budak-budak lain.  Mak Long ingat murid-murid darjah satu guna papan batu hitam tempat menulis.  Bila sudah boleh menulis sedikit barulah guna buku betul.  Pakaian seragam ketika itu hampir menyerupai yang ada sekarang, baju kemeja putih dan di luar gaun kembang biru tua.  Arwah Wak belikan satu bag rotan berupa bakul ha ha ha ... diisi, papan batu, sebotol air kopi sejuk dan payong.  Kadang Emak bekalkan ubi rebus atau biskot kering untuk makan waktu rihat.

Sekolah Rendah Jorak ketika itu mempunyai tiga buah bangunan sahaja.  Sebuah rumah guru di hadapannya sebatang pokok manggis rendang dan berhampiran dengan kantin sekolah.  Tidak jauh dari rumah guru ialah sebuah bangunan tinggi bertiang batu dan beratap batu genting.  Bentuk bangunan itu ala-ala bangunan rekaan dari bangunan British.  Di bangunan ini biasanya menempatkan murid-murid darjah empat hingga enam.  Bangunan sebuah lagi lebih kecil seperti bangunan pisang sesikat.   Dinding papan sekerat dan beratapkan atap rumbia.  Orang luar boleh bersidai di dinding tengok murid-murid belajar dari luar.  Di sinilah murid-murid darjah satu hingga darjah tiga ditempatkan.  Pintu keluar masuk bangunan hanya melalui dua pintu, iaitu di kedua hujung bangunan.  Bangunan itu dapat menampung hanya lima buah darjah sahaja.  Skrin pengadang dari papan digunakan sebagai pemisah di antara satu darjah ke darjah yang lain.  Murid boleh intai dan dengar murid dan guru di sebelah.  Meja murid-murid pula meja panjang dan tempat duduknya pula sepadan dengan meja iaitu bangku panjang.  Lima atau enam orang murid boleh duduk sekali semeja.  Bahagian belakang darjah ialah lorong lalu-lalang masuk dan keluar pintu bangunan.  Bila hari hujan tempias masuk dalam darjah dan kalau atap bocur habislah menitik membasahi dalam darjah.  Bila hujan terlalu lebat air akan melimpah masuk ke dalam darjah.  Boleh bayangkan?  Hmmm... ya.. daif sungguh sekolah ketika itu.  Dari sekolah daif itulah Mak Long menerima ilmu asas untuk mengembangkan sayap mengenal erti hidup sebenar.  

Padang sekolah sentiasa bersih.  Tiap-tiap pagi sebelum beratur masuk darjah masing-masing, kami diarah pungut sampah dahulu.  Cik Gu bertugas jaga dengan rotan atau kayu pembaris panjang jadi mandor.  Cik Gu tidak pernah suruh cuci dan bersihkan tangan murid-murid selepas pungut sampah!  Arwah Pak Mat Kelepek, tukang kebun potong rumput dengan pedang rumput yang sangat tajam.  Isterinya pula menjual makanan di kantin sekolah.... jual nasi empit, mee goreng, kuih, mee siput goreng dan lain-lain masakan orang Johor.  Mak Long jarang membeli di situ, Emak tidak bagi duit belanja.

Guru-guru sekolah pula boleh dikatakan semuanya garang-garang.  Mereka gunakan kayu pembaris lebar dan panjang untuk memukul murid-murid nakal.  Kadang-kadang kalau murid yang kurang cergas pun cik gu bantai.  Zaman itu kalau melihat kelibat cik gu, semua takut dan kecut pada mereka,..... lari menyorok takut hendak bersua muka.  Tidak seperti sekarang ... sudah terbalik, guru pulak yang takut kepada anak murid!!

Guru yang masih Mak Long ingat ialah arwah Cik Gu Kandis, arwah Cik Gu Hamdan yang mendiami rumah guru bersama keluarganya dan Cik Gu Bahanan bin Makrof.  Kedua-dua mereka ini terkenal dengan kegarangan serta digeruni murid-murid. 

Dalam tahun sembilan belas enam puluhan bangunan sekolah lama dirobohkan dan diganti dengan bangunan baru berdinding batu dan beratap zinc.  Sebuah lagi bangunan didirikan bersebelahan dengan sekolah tinggi khas untuk murid darjah enam.  Mak Long antara murid pertama menggunakan bilik darjah baru itu dalam tahun 1962.  Hmmm... sudah jauh perjalanan hidup Mak Long rasai.......  




Buku Adalah Gedung Pengetahuan










NOTA:  Tuntulah ilmu walau pun terpaksa ke hujung dunia






Monday, February 18, 2013

Nota Pokok Rosmary

Assalamualaikum,

Alhamdulillah hari ini cuaca sangat cantik walaupun pagi tadi menampilkan awan hitam tanda hari akan hujan.  Ya, hujan juga renyai-renyai sahaja tetapi akhirnya terang dan matahari mulai keluar menyinar indah.  Burung-burung pun sudah sibuk menyanyi gembira dan berebut-rebut makan bijiran yang Mak Long sediakan dalam tabung tergantung di pokok 'oak'.  Mak Long pun turut rasa gembira dan bersemangat untuk membuat sesuatu.  

Pertama sekali selepas panggilan dari Pak Long, Mak Long ke pasar 'H.E.B' membeli perbagai jenis sayur, buah dan ikan untuk keperluan seminggu.  Lama tidak pergi ke pasar ini.  Jangan tanya sayur apa Mak Long beli .... jangan harap ada sayur pucuk manis atau kangkong di sini!  Buat kempunan sahaja!

Sebelah petang Mak Long ambil keputusan mencantas semua pokok rosmary di sekeliling rumah.  Rosmary ialah sejenis pokok herba yang mempunyai banyak kegunaan.  Dikatakan bahawa rosmary berasal dari kawasan Mediterranean dan Asia.  Baunya semerbak dan ia diletakan di bawah senarai pokok yang tahan lasak dengan cuaca panas dan sejuk.  Daunnya halus dan panjang menyerupai batang jarum dan mempunyai bunga berwarna biru, putih atau ungu.   Di Texas rosmary diguna dan ditanam sebagai pokok perhiasan di kawasan rumah atau pun di taman.  Ia juga digunakan dalam masakan, perubatan tradisi, minyak dan sabun mandi.  Pokok ini dipercayai boleh membantu menguatkan daya peringatan.  Shakespeare penulis tersohor dan ahli sastera pernah berkata di dalam sebuah dari bukunya, "Rosmary adalah simbol tanda ingatan....."

Bila dicantas pokoknya nanti ia akan tumbuh semula lebih baik pada musim bunga yang tidak berapa lama lagi akan datang.  Amboii... semerbak bau rosmary sungguh kuat menusuk hidung, patutlah rusa tidak berminat langsong hendak makan daunnya.  Pakaian Mak Long pun lekat dengan baunya.  Dahan dan tangkai yang dipotong Mak Long kumpulkan masuk dalam tiga bag plastik besar.  Hendak buat apa dengan rosmary ini?  Buang?  ...... Sayanglah!  Akhirnya Mak Long lurut daun-daun kecil rosmary itu dari tangkainya kumpul di suatu bekas besar untuk dikeringkan.  Bila sudah kering nanti bolehlah dipelbagaikan kegunaanya seperti bahan masakan atau pun masukkan dalam balang untuk mendapatkan baunya menyegarkan bau dalam rumah.



Pokok Rosmary







Sunday, February 17, 2013

Nota Rawatan Laser

Assalamualaikum,

Sudah dua hari suntuk Mak Long memerap dalam rumah.  Di luar sejuk dan angin pula bertiup kencang bagikan hendak tercabut pokok-pokok di sekeliling.  Suhu dalam rumah sudah tinggi tetapi Mak Long masih berasa sejuk.....   Demam ke?  Entahlah... 

Dua hari lepas iaitu hari Jumaat Mak Long ada temujanji dengan Dr Michael Singer, doktor merawat mata kiri yang masih bermasaalah.  Rawatan itu berjalan lancar sebagai yang dijadualkan jam tiga setengah petang.  Tujuan rawatan laser pada anak mata ialah untuk membersihkan titik lapisan yang melindungi  pengelihatan.  Amnya Mak Long kalau dengan mata kasar boleh nampak jelas di sekeliling tetapi bermasaalah untuk menumpukan untuk membaca kerana titik lapis itu.  Ini disebabkan dari rawatan pembedahan "macular hole" dahulu.  Kira-kira cacatlah mata kiri Mak Long ya......  

Sebelum rawatan itu dilakukan seperti biasa juru technician (pembantu yang menguji keupayaan pengelihatan pesakit) menyuroh membaca beberapa huruf di dinding dengan mata sebelah ditutup.  Hasilnya sama juga, Mak Long tidak boleh baca.  Kemudian beliau menitikkan beberapa titik ubat untuk membesarkan anak mata hitam bagi persedian rawatan.  Dalam hati risau juga, bolehkah Mak Long pandu kereta pulang kerumah selepas rawatan ini ... Tawakal sajalah, kata hati memujuk.  Dr Singer membuat rawatan hanya beberapa saat sahaja sudah selesai.  Cepat sungguh!  Dia berharap rawatan laser itu akan membantu memulihkan pengelihatan mata Mak Long.  Mak Long pun berharap begitu juga... Dalam masa dua, tiga hari ini pandangan akan kabur katanya dan akan mula baik selepas itu.....insya Allah dengan izin Nya.

Temujanji dengan Dr Singer seterusnya ditetapkan tiga minggu dari sekarang.  Asyik jumpa doktor ini sahaja, naik jemu pula.  Sebenarnya Dr Singer sangat bagus dan berdidikasi dalam kerjayanya sebagai doktor pakar mata.  Dia seorang yang bertanggong jawab dan perihatin terhadap pesakit-pesakitnya. Mak Long puas hati dengan perkhidmatnya dan berbaloi juga.

Dalam kereta Mak Long duduk lama hingga rasa selesa sedikit baharulah mulakan perjalanan balik ke rumah.  Amboi.... banyaknya kereta..... masa orang balik dari kerja, semuanya laju-laju belaka.  Sungguh tidak selesa memandu dengan satu biji mata hari itu.  Dalam hati berkata, beginilah agaknya rasa orang yang ada mata satu tengok.... Mujurlah orang di sini walaupun memandu laju, mereka masih bersopan dan mengikuti undang-undang jalanraya.  Kalau di Malaysia sudah pasti dengan cara Mak Long memandu sudah lama kena ten.. ten.. dan dimaki oleh pemandu-pemandu yang tidak sabar.  Akhirnya sampai juga di rumah dan bersyukur kepada Nya.  



Mendung Dan Kesejukan










Saturday, February 16, 2013

Nota Pete The Cat


Assalamualaikum,

Petang tadi Pak Long talipon lagi.  Biasa dia talipon Mak Long sekali sahaja tetapi hari ini dua kali.  Suaranya berbunyi terlalu girang dan ceria.  

Pak Long:     Guess who I saw today?

Mak Long:     Who?  My friend Katya?

Pak Long:      No!  Pete!  I saw Pete!  Our cat!  He recognized me, Dear!   He came to 
                        me when I called him.  I can't believe he remembers me.

Mak Long:     Really?  Wow.... apa kabar dia?

Pak Long:     He looks so well and fat.  Someone must be feeding him well.  Amazing, 
                       normally cats don't do that.

Pete adalah seekor kucing liar berkeliaran di kawasan kediaman kami di Al Jubail, Saudi Arabia.  Kami biasa bagi makan kucing-kucing liar yang datang setiap hari - dua kali sehari.  Pertama kali kami nampak Pete, dia tidak sihat.  Badannya penuh dengan luka-luka dan kurus kelaparan.  Kesihan tengoknya.  Sejak dari hari itu kami beri dia makan hinggalah saat terakhir kami hendak pulang semula ke Amerika.  Beberapa ekor kucing liar lain juga turut datang sama-sama makan dengan Pete.  Hanya Pete dan Frances jinak suka dibelai.    Francis mempunyai mata sebelah warna hijau dan sebelah lagi warna biru.  Cantik!  Masa kami beri mereka makan ialah jam lima pagi ketika Pak Long sudah sedia hendak ke tempat kerja.  Sekali lagi jam lima petang sebelum Pak Long pulang dari kerja.  Anihnya kucing-kucing itu datang tepat pada waktunya macam tahu sahaja masa.


Pete, mengantuk tapi nak makan

Pete

Frances

Grandpa








Nota:  Kasihanilah pada binatang.  Mereka juga antara mahlok ciptaan Allah





Wednesday, February 13, 2013

Nota Selamat Harijadi Putera Bonda

Assamualaikum,

Hari ini ialah 14hb February, 2013.  Hari ini juga sangat istimewa dalam hidup buat Mak Long dan putera.  Hari ini ialah harijadinya.  Walaupun Mak Long tidak dapat bersamanya menyambut mengingati hari istimewa kami, juga tiada hadiah dapat dikirimkan untuk mu, sayang .  Hanya kiriman limpahan doa, diiring dengan kasih dan sayang yang tiada bertepi hingga ke akhir hayat.  Walaupun berjauhan tidak bermakna kasih dan sayang itu pun jauh.  Biar jauh di mata tetapi dekat di hati.

Pada pagi hari Jumaat bersamaan dengan February 14, 1980, kami menerima kehadiran putera dengan penuh kesyukuran.   Seperti puteri sulung, putera dilahirkan di Hospital Bersalin Tan Chee Koon, Jalan Tungku Adul Rahman berhampiran dengan Chow Kit Road. Hari kedua kami berada di hospital itu, Mak Long diberitahu oleh seorang dari jururawat hospital, kebakaran telah berlaku di bilik bayi-bayi yang baru lahir.  Mak Long kaget dan meminta bawakan putera kepada Mak Long ketika itu juga.  Alhamdulillah semua selamat tidak ada apa-apa kecederaan berlaku kerana api itu cepat disedari dan dipadamkan.

Malam pertama sebelum putera dilahirkan, Mak Long tidur seorang di bilik hospital tidak ada siapa menemankan.  Emak masih di kampung dan Pak Long sudah pun bertolak ke sana  menjemput Emak datang melihat cucu baru.  Ketika Mak Long sedang tidur, jururawat datang meluru kepada Mak Long, tetapi berhenti bila melihat Mak Long tidur.  Mak Long tersedar sambil bertanya, "Kenapa nurse?"  Katanya lampu locing di bilik jururawat menyala menandakan kecemasan dari bilik Mak Long.  Hmmmm.... Malam keduanya Mak Long minta ditukar bilik lain.

Putera pandai menambat hati sesiapa sahaja yang melihatnya serta seorang buah hati yang baik tidak banyak kerenah, senang menjaganya, janji ada puting tersumbat di mulut.  Putera suka main enjut-enjut duduk di atas kaki bila Mak Long baring di lantai sambil menyanyi: 


"Enjut-enjut siput, air pasang dalam.  
Adik nak ikut hari sudah malam

Gendang gendut tali kecapi 
Kenyang perut suka hati

Pat pat nya
Siapa dapat dia punya"

Inilah di antara pantun dua kerat yang putera suka.  Suka menyanyi dan pandai menyanyi lagu Tionghua.  Suatu hari Mak Long berada di tingkat atas rumah dan mendengar kanak-kanak menyanyi lagu Tionghua.  Ingatkan anak orang Cina sebelah yang menyanyi.  Bila turun ke tingkat bawa rupa-rupanya putera yang menyanyi yang dipelajarinya dari kelas tadika.  Baju kegemaranya ialah satu sut "Captain America".  Berhari-hari pakai sampai naik bau masam masih tidak mahu lucut untuk dibasuh.  Kadang-kadang hendak pakai untuk tidur.  Terpaksa dipujuk untuk dibasuh baju itu.  Sanggup menahan gigil kesejukan punyalah suka memakai baju itu walaupun masih lembab lagi.  Putera! Putera!  Putera juga suka pakai kain pelekat tetapi selalu terlondeh.  Syukur dan sejuk hati Mak Long mempunyai seorang zuriat cantik seperti putera .... anugrah Allah SWT. 


Enjot-enjot siput air pasang dalam
Adik nak ikut hari sudah malam

SELAMAT MENYAMBUT HARIJADI, SAYANG

Putera, ingatlah pesanan ini, .... tingkatkan maruah diri dengan ilmu pengetahuan, keimanan dan amalan soleh.  








Tuesday, February 12, 2013

Nota Belajar Mengaji Dulu-dulu

Assalamualaikum,


Masa Mak Long kecil berlajar mengaji quran dengan Emak sahaja.  Emak mengajar mengaji quran dan berzanji kepada anak-anak jiran.  Kebanyakan anak-anak jiran pula ada kaitan tali persaudaraan dengan keluarga Mak Long.  Kiranya sekampung itu  semuanya saudaralah.  Mana tidaknya asal usul Tok nenek Mak Long datang membuka Kampung Jorak dan Kampung Jalan Raja, ketika itu masih lagi hutan belantara bersama-sama dengan adik beradik, sepupu dan bapa saudara Tok Nek.  Masing-masing punya keluarga bertambah hingga kini.  Ada yang kawin antara sepupu atau dua pupu.  Kami bersaudara ha ha ha sepusat sepusing.

Masa Emak mengajar mengaji adalah malam selepas Maghrib.  Masa siang Emak menoreh getah dan selalu sibuk dengan kerja-kerja lain menambah rezeki keluarga.  Ramai juga anak-anak yang datang, ada yang sudah besar panjang.  Emak tidak pernah mengambil bayaran; Emak ikhlas mengajar mengaji.  Waktu itu kampung kami belum ada kemudahan air paip atau kuasa letrik.  Bekalan air hanyalah dari air perigi atau kolam yang digali sendiri atau diupah mengali.  Manakala bekalan letrik pula kebanyakan orang kampung menggunakan pelita minyak tanah dan lampu pam.  Kekadang orang kampung panggil minyak tanah itu minyak gas (gasoline).  Minyak tanah Wak beli dari kedai Cina yang berhampiran dengan rumah kami.  Bila hampir senja Wak akan pasangkan lampu pam untuk menerangi tempat kami mengaji.  

Tiap-tiap hari budak-budak yang lebih besar datang awal cedok air dari perigi penuhkan semua tempayan yang Emak ada di pelantar dekat dapur.  Emak boleh guna air itu untuk memasak dan mencuci pinggan.  Ringanlah sedikit kerja Emak.  Kalau mereka tidak pergi kemana-mana lepas waktu sekolah mereka datang tolong bersihkan laman rumah dan angkat kayu api, susun di bawah dapur.  Itulah sahaja cara mereka membalas budi Emak mengajar mengaji.  Emak tidak tidak pernah meminta atau menyuroh mereka berbuat begitu, mereka sendiri yang suka rela hati memberi bantuan tulang.  

Mak Long dengan yang lain, kami lebih kecil sedikit kerjanya pasang rihal; keluarkan quran dan buku rawi (buku berzanji) untuk mereka yang mengisi air tempayan.  Hari-hari begitu melainkan malam Jumaat tidak mengaji sebab Emak perlu menunaikan kewajiban diri ... kekadang pergi ke surau atau mesjid bila ada orang beri syarahan agama.  

Bila Mak Long ingatkan keadaan masa dulu-dulu hidup masyarakat di kampung walau pun banyak kekurangan dalam serba serbi, kami hidup rukun dan damai, bila ada buat kenduri kendara ramai-ramai datang berkumpul bergotong-royong memberi bantuan.  Ada yang menghulur bantuan berupa kewangan atau barang untuk meringankan beban.  Suasana sangat meriah dan mesera ....  Sekarang sudah jauh berbeza.  Anak-anak muda lepas sekolah ada yang menyambung pelajaran peringkat tinggi di bandar.  Bila tamat belajar mereka akan terus tinggal di sana kerana tugas masing-masing ada yang mendirikan rrumah tangga pula.  Ramai yang meninggalkaan kampung mencari rezeki di tempat lain atau lain-lain hal.  Kampung kami sudah sunyi tidak seperti dulu-dulu.  Sudah ramai orang luar warga asing masuk dan tinggal di kampung.  Mereka datang dari negara-negara seberang.  Sering mereka ini tidak hormat dengan penduduk kampung.  Mereka membuat kacau, mencuri, meragut dan sebagainya membuat orang-orang kampung lebih berhati-hati menjaga keselamatan.   


Berat sama dipikul
Ringgan sama dijinjing












Nota:   Amalan tolong menolong antara sesama insan adalah amalan yang terpuji.


Saturday, February 9, 2013

Nota Lesong Kayu

Assalamualaikum,

Sudah beberapa hari ini Mak Long teringatkan kampung sahaja.  Hati rindu tidak terhingga kepada keluarga dan sanak saudara serta sahabat sekelian.  Tetapi masih belum ada masa dan peluang untuk pulang ke kampung.  Lambatnya Pak Long balik!  Hari ini sepanjang hari hujan, angin kencang dan disambut dengan kabus tebal.  Sejuk pula mengulit kulit walau suhu dalam rumah sudah Mak Long tinggikan hingga 76 darjah F.  Mungkin orang kurus macam Mak Long tidak tahan sejuk agaknya?  Banyak pekara yang perlu diberi perhatian dalam rumah tetapi hari ini malas sungguh .... berangan sahaja.  

Mak Long terkenang kesah lama, zaman kanak-kanak dahulu.  Arwah Tok Kiah pangkat atok saudara Mak Long, rumahnya berdekatan dengan rumah kami, hanya beberapa ela sahaja jaraknya.  Mak Long suka bertandang ke rumahnya bermain dengan arwah Mak Puteh.... main congkak atau main buah biji saga.  Bukan pandai pun bermain selalu kalah dengan arwah.  Mata pencarian arwah Tok Kiah dan suami  hanyalah dengan mencucuk atap rumbia yang dijual kepada orang China di Bukit Pasir dan di Bandar Muar; kalau musim buah-buahan mereka murah rezeki dengan jualan durian, manggis dan duku.   Ketika itu banyak kedai dan rumah penduduk kampung juga penduduk bandar beratapkan atap daun rumbia.  Rumah kami pun beratapkan daun rumbia yang Emak cucuk daun sendiri.  Bila atap itu sudah lama tidak berganti, Mak Long boleh nampak langit dan waktu malam boleh nampak cahaya bulan mengambang dari celah-celah daun atap yang sudah kering dan jarang itu.  Kalau hari hujan Emak suruh ambil besen atau baldi tadah air tempat bucur.  Hai... hidup orang kampung, begitulah.......

Tiap-tiap kali hendak menyambut raya di bulan Syawal, emak dan arwah Tok Kiah sibuk membuat persediaan mebuat kuik untuk hari raya.  Mereka mesti menjemur tepong dan gula dalam beberapa nyiru di tempat panas bawah cahaya matahari.  Bukannya boleh ditinggalkan barang jemuran bergitu sahaja.  Arwah Tok Kiah membela banyak ayam kampung begitu juga dengan Wak dan Emak.  Itik nila pun ada juga, tetapi tidak banyak.  Ayam-ayam itu jahat, kais dan melingkupkan nyiru.  Bertaburlah tepung melambak atas tanah.  Bising Emak marah!  Jadi Mak Longlah kena jaga ayam-ayam itu.  Geram dengan ayam-ayam itu sungguh degil... orang cakap jangan dekat hai lagilah...... itulah dia buat.  Puas dikejar dan baling dengan kayu.  Ada juga yang mengena sampai dengkat kaki ayam-ayam itu kena balon.  Baru puas hati...   Muga-muga Allah ampunkan dosa Mak Long berlaku zalim pada ayam.

Bila masa hendak kacau dodol atau kuih menderam, Emak dan arwah Tok Kiah pun mula lah menumbuk beras pulut yang sudah direndam semalaman dengan mengunakan lesung kayu.  Ada dua batang antan panjang untuk menumbuk.  Emak angkat tinggi antannya, Tok Kiah pula turunkan antannya ke dalam lesung.  Kemudian bila arwahTok Kiah angkat antannya, Emak pula turunkan antannya ke dalam lesung.  Begitulah halnya turun naik mereka menumbuk beras pulut bersama-sama tanpa jemu.  Bila beras pulut itu hancur, ia akan diayak kedalam besen besar.  Beras yang masih kasar akan ditumbuk beberapa kali dan diayak hinggalah habis semuanya.  Ayak pun sudah uzur, ada lubang-lubang kecil.  Waktu inilah ayam suka berkerumun di sekeliling kawasan orang sedang kerja.  Kerja kejar ayam tugas Mak Long dengan kayu panjang  menghalau ayam.  Tapi ialah kadang-kadang kalau malang hendak berlaku tidak siapa dapat menghalang.  Sedang Mak Long mengejar anak-anak ayam itu, entah macam mana seekor darinya lari termasuk dalam lesong!  Aduh, aduh habis penyek anak ayam ditumbuk antan yang sedang rancak!   Berlecek bunyi mengilukan.  Mak Long tercegat  dan bengang kepala melihat kejadian itu.  Kena marah lagi........hai!  Nasiblah ...... tetapi bila dikenangkan kembali peristiwa itu geli hati, lucu pun ada, pilu pun ada.  Pilu kerana memikirkan betapa usaha gigih dengan tidak mengenal penat dan lelah kedua wanita bergelar ibu ini rela hati sentiasa berkurban untuk keperluan dan kebahagian keluarga masing-masing.  Betapa susahnya kehidupan ketika itu.  Walaupun hidup susah dan miskin kami bahagia....Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah SWT.  

Ya Allah, ya Rabbi limpah kurniakan kami dengan rezeki yang lebih melimpah ruah lagi halal.... Aminn.


Ayam Kampung


Itik Nila






Nota:     

Hormati dan kasihani kedua ibu bapa yang telah berkurban membesar dan mendidik kita semasa kita kecil dalam pemeliharaan mereka.  Balaslah budi mereka selagi mereka masih hidup.





Thursday, February 7, 2013

Nota Bai Jual Kain

Assalamualaikum,

Cerita ini sudah lama zaman Mak Long kanak-kanak dahulu.  Tidak pula ingat tahun berapa.  Zaman itu pusat beli belah tidak ujut lagi walau pun di Kuala Lumpur.  Di bandar Muar, tanah tumpah darah Mak Long yang ada ketika itu hanyalah deretan kedai China dan India yang menjual kain baju dan barangan lain-lain.  Tidak macam sekarang barang pasar di tempat lain dan barang pakaian di tempat lain.  Emak Mak Long kalau hendak pergi ke bandar sebulan sekali pun susah, pengangkutan yang ada hanyalah bas yang lalu tiga atau empat kali sehari.  Itu pun ikut rasa pemandu bas.  Kalau dia malas atau ada kerja lain sekali sahajalah dia lalu masuk kampung.  Pukul lima petang bas sudah tutup kedai.  Teksi hanya ada dua atau tiga buah sahaja itu pun kadang-kadang tidak ada lalu langsong.  Zaman itu motosikal memang tidak ada.  Arwah Wak Mak Long hanya ada basikal tua yang dibasuh dan digilap setiap kali ada habok hinggap pada basikalnya.  Bekilat basikal itu dijaganya seperti basikal baru beli.  Hmm cermat betul arwah dengan hartanya walau pun hanya sebuah basikal tua.  Basikal tua inilah yang menghantar dan menjemput Mak Long pergi dan balik ke sekolah rendah kampung; hinggalah Wak dan Emak ada rezeki lebih membelikan kami sebuah lagi basikal.  Mak Long tidak tahu pulak bila arwah membeli basikal itu, seingat Mak Long basikal itu sentiasa ada di rumah.  Bila malam atau kalau arwah tidak pergi ke mana-mana, basikal itu duduk dalam rumah siap diselimutkan lagi supaya habuk tidak hinggap.

Suatu masa musim hendak raya menyambut Syawal, emak berhasrat membeli baju raya untuk Mak Long dan arwah Mak Ngah.  Hendak ke bandar memang tidak ada peluanglah sebab hendak bercermat tidak hendak bayar tambang bas.  Waktu itu tambang bas hanyalah dua puluh atau dua puluh lima sen sekali jalan.  Kanak-kanak bawah umur dua belas tahun naik bas percuma sahaja tidak perlu bayar tambang.  Tetapi kalau orang ramai dalam bas itu, kanak-kanak tersebut mesti duduk atas pangku.  Jangan ketawa.... Mak Long pun pernah alami begitu!  Tingkap bas tidak pernah tutup melainkan hari hujan, itu pun kalau tingkap itu tidak jam.  Bila tingkap tidak boleh tutup hai... nasib basah kuyuplah jawabnya.  Habis jambol semua roboh kena tiup angin.  Sebab itulah pada masa itu orang lelaki suka guna minyak rambut warna hijau cap bunga melekit-lekit supaya kekal tidak ditiup angin dalam bas.  Bau minyak rambut itu masya Allah bukan main lagi penuh hidung semerbak baunya.  Rasa terbayang-bayang baunya.  Arwah Wak pun sama.  Biasanya bila sudah hendak dekat-dekat perayaan adalah dua tiga orang China atau India penjual kain dengan berkayoh basikal.  Penuh dan sarat basikal dengan bungkusan kain besar tinggi mengatasi kepala bila dia duduk atas basikal.  Bungkusan besar ini diikat di atas para basikal yang lebar.  Kadang terlalu berat penjual itu akan minta tolong pegangkan bahagian depan basikal supaya dia boleh naik dan turun serta mengimbankan berat bungkusannya.  Penjual kain berbasikal ini orang kampung Mak Long panggil "China kelentong kain" atau "Keling Bai jual kain".  Untuk menarik perhatian orang kampung yang dia berada di sekitaran, penjual ini akan membunyikan kelentongnya sambil mengayoh basikal atau pun berteriak, "kain! kain!.....Kaiiiin".  Tahukah apa itu kelentong?  Ia adalah sejenis alat bunyian seperti gendang kecil yang ada tempat pemegang panjang.  Di keliling gendang ini ada beberapa gundil diikat padanya.  Bila digoyangkan ia akan mengeluarkan bunyi.  Biasanya penjual orang China menggunakan alat ini untuk menarik pelanggan.

Setiap hari Khamis Bai jual kain akan datang ke kampung.  Emak dengan dua, tiga orang jiran sudah sedia menunggu Keling Bai datang.  Sampai sahaja di depan rumah Keling Bai pun masuk singgah.  Tetapi dia bermasaalah hendak berhenti melencong arah rumah melalui titi parit depan rumah..... Dia tidak dapat mengawal basikalnya!  Terhuyung hayang dia dengan basikalnya,........ "Aiyooo ama, ama toloooonglah......!"  Belum sempat apa-apa dia dan basikalnya, sekali dengan bungkusan sudah tersungkur tepi parit.  Koyak kain pelekat yang dipakainya.. kesihan tengok dia.  Nasib baik tidak masok dalam parit terus atau patah tulang.  Ada jugalah dapat cendawan kukur di lengan dan kakinya.  Mungkin lebam pun dapat gamaknya.  Emak dan jiran bingkas mambantu penjual kain itu.  Tersipu-sipu Keling itu bila menyedari kain pelekatnya sudah koyak panjang.  Hari itu Emak dan jiran dapat rezeki baik.  Dapatlah beli kain kurang sedikit harganya kerana menolong Keling Bai ketika dia jatuh.   






Basikal Tua Hiasan Sahaja










Nota:    


Kita hendaklah bersyukur dan menghargai harta yang dilimpahi Allah serta menjaga harta itu sebaik mungkin.

Wednesday, February 6, 2013

Nota Orang Arab

Assalamualaikum,

Pagi semalam Pak Long seperti biasa tiap-tiap pagi talipon melalui skype secepat dia pulang ke rumah dari kerja.  Jadi kami dapat bertemu setiap hari walaupun di alam maya.  Itulah antara kebaikan dan keajaipan adanya teknologi kini.  

Mak Long mengamati dia tidak begitu ceria seperti biasa.  Mak Long tanyakan mengapa nampak bersedih sahaja. Jawabnya, "Hari ini saya dengar berita sedih dari seorang sahabat bangsa Arab di tempat kerja.  Peristiwa ini berlaku beberapa hari lepas.  Seorang lelaki Arab telah medera keluarganya."  Kata Pak Long lagi, "yang menyedihkan saya ialah lelaki itu telah merogol anak perempunnya sendiri yang baru berumur belasan tahun kemudian membunuh anaknya. Menambahkan lagi kekejaman, lelaki itu telah membelah dan menebuk bahagian bawah anaknya dengan menyumbatkan sesuatu di situ.  Sungguh kejam! ......... Pihak berkuasa tidak berbuat apa-apa atas perbuatan yang di luar peri kemanusian itu dengan alasan *itu urusan rumah tangga individu*.  Pihak berkuasa tiada hak mencampuri urusan keluarga!  Lelaki itu hanya dihukum membayar sebanyak lebih kurang 8,000 Rial sahaja sebagai bayaran ganti darah anaknya kepada isterinya".

Sedih Mak Long dengar cerita Pak Long.  Patutlah dia tidak ceria seperti biasa.  Sudah banyak Mak Long dengar dan baca berita-berita buruk seperti itu berlaku di negara Islam seperti Saudi Arabia.  Ramai wanita-wanita malang diseksa dan kemudiannya dibunuh dengan kejam tanpa ada rasa belas kasihan atau penyesalan.  Perbuatan keji ini kebanyakannya dilakukan ke  atas kalangan wanita-wanita asing yang datang ke negara itu berkerja sebagai pembantu rumah.  Mak Long percaya mereka ini bukanlah orang senang atau kaya sanggup berpisah dengan keluarga kerana mungkin desakan keadaan kehidupan yang miskin.  Mereka datang meninggalkan keluarga dan negara masing-masing kerana untuk mencari rezeki halal.  Tidak kiralah sama ada wanita itu Islam atau kafir.  Yang amat dikesali sekali ialah peristiwa seperti itu berlaku dalam negara Islam yang menjadi tumpuan dan pandangan luas mata dunia.  Sudahlah separuh dari penghuni dunia mengecap orang Islam sebagai "terrorists" atau penganas.  Betapa sesetengah kaum lelaki tidak kira apa bangsa, walau di mana-mana pun di muka bumi ini sungguh rendah mertabat mereka terhadap kaum wanita.  

Allah SWT memuliakan kaum wanita sebagaimana Ia memuliakan kaum lelaki.  Bermakna wanita dan lelaki sama-sama mulia kejadian dan tarap.  Hanya akhlak manusia itu yang menentukan tinggi dan rendahnya mertabat seseorang insan.



Ribut Pasir di Padang Pasir







Nota,

Belaku adil sesama insan dan takutilah hukuman Allah yang amat perit dan keras.






Tuesday, February 5, 2013

Nota Mana Wayar Sambung Bateri?

Assalamualaikum,


Hari ini beberapa tugas dalam rumah dapat dibereskan.  Hampir-hampir terlupa untuk mengemaskinikan "sticker" pelekat cukai jalan pada kereta Mak Long yang sudah dua bulan tamat tempoh.  Aduhai susahnya hendak menanggalkan pelekat yang lama.  Hampir setengah jam lamanya hendak bersihkan tempat pelekat dan ganti dengan yang baharu.  Pelekat jenis apa agaknya sampai susah benar hendak ditanggalkan?

Kemudian kereta ini perlu dihidupkan dan dipandu.  Sudah tiga bulan dia berlaboh dalam garage tanpa diusik.  Mujurlah sebelum Pak Long pergi ke Saudi dahulu dia pasang pengecas pada bateri kereta tersebut jadi tidaklah mati baterinya.  Mak Long matikan pengecas dari letrik tetapi bagaimana hendak cabut wayar pengecas dari beteri?  Puaslah Mak Long belek-belek wayar panjang pengecas, tidak nampak pun sambungannya sebab wayar pengecas dan wayar bateri itu sama warna.  Pandangan mata sudahlah kelabu... aisayman .. macam mana nih!  Pada hal Pak Long sudah tunjuk dan terangkan bagaimana hendak buat.   Tidak boleh jadi juru mekanik orang tua ini......  :(   Lamalah juga baru jumpa dan nampak sambungan wayar itu.  Sudah puas dipegang dan belek baru nampak ...hmmm.  Lorqatttt.... berbenar!  Tekan butang engin kereta......vrooooomm!  Sudah ok!
















Nota Berita Dari Jauh

Assalamualaikum,


Lama juga rasanya Mak Long tidak berceloteh atau omong kata orang Jawa di sini.  Haaa sibuk sikit tetapi tidak tahu pula apa yang Mak Long sibukan.  

Pagi ini Mak Long menerima berita sedih dari seorang sahabat karib "T" di Malaysia.  Beliau kehilangan seorang dari puteri kembarnya yang dikasihi.  Innalillahiwainnaillaihirajioon dan Al-Fatihah bagi arwah yang telah pergi, semuga arwah puteri "A" ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh....  Setiap yang bernyawa pastinya akan kembali kepada Nya jua.

Mak Long dapat rasakan kesugulan dan gundah hati seorang ibu seperti "T" atas kehilangan anak yang disayang.  Mak Long juga turut sama bersedih dengan pemergian arwah.  Sudah lama kami tidak bertemu, mungkin hampir berbelas tahun lamanya.  Hubungan Mak Long dengan "T" sekeluarga sangat rapat.  Kami sering bertukar-tukar lauk pauk hampir setiap hari makan tengahari atau petang.  Arwah puteri "A" pandai memasak walaupun usianya ketika itu masih terlalu muda berbanding dengan kakaknya yang lebih tua.  Arwah puteri "A" kembar dua, lelaki dan perempuan.  Semasa hayatnya arwah seorang yang patuh kepada ibunya dan kepada adik beradik arwah yang lain juga, baik budi bahasa, sangat bersopan santun dan berhemah tinggi apabila berhadapan dengan sesiapa sahaja terutama kepada yang lebih tua darinya.  Mak Long bergilir-gilir dengan "T" menghantar dan mengambil arwah pergi belajar kelas tambahan waktu malam bersama-sama dengan anak-anak Mak Long.

Kami tinggal berjiran beberapa tahun lalu di pantai timur.  Rumah kami di tepi pantai indah menghadapi Laut China Selatan yang luas saujana yang tidak nampak tepinya.  Di kala waktu lapang terutama hari-hari cuti Mak Long dan "T" biasa berjalan menyusur pantai menikmati tiupan angin laut yang bersih lagi nyaman.  Mak Long suka punggut kulit siput untuk dibuat berbagai hiasan atau sebagai sumba kerjatangan.  Biasa kami tengok nelayan pulang dari mencari tangkapan mereka di laut dalam.  Ada kala kami beli hasil tangkapan mereka yang masih segar, masih hidup meletik-letik bila dipegang dengan harga yang murah dari harga di pasar.  Bila leka menikmati angin pantai terutama waktu petang tanpa disedari kaki kami melangkah hingga berbatu jauhnya berjalan sambil bercerita, berborak atau berbincang perkara-perkara biasa atau penting.  "T" baik orangnya kalau sudah mengenali hati budinya.  Bila kami balik biasanya Mak Long singgah ke rumahnya dahulu sebelum balik ke rumah.  Arwah "A" sudah sedia dengan minuman untuk kami walaupun segelas air kosong.  Betapa hati Mak Long rindu seperti dipanggil-panggil untuk kembali ke pantai timur menemui "T" dan keluarga juga adik angkat Mak Long.  Mak Long ingin menikmati makanan orang pantai timur yang sudah lama tidak menjamah, duduk di tepi pantai ............ Mak Long sedang membayangkan suasana di sana........



Perahu Nelayan Di Pantai Timur













Note:

Allah maha berkuasa.  Hidup dan mati kita sesungguhnya di tangan Allah.