Pages

Sunday, September 30, 2012

NOTA MAKAN ANGIN KE QURAY, COLORADO - 2011

Ogos 24, 2011


Dua bag pakaian termasuklah pakaian tebal, bag telekong dan sejadah, bag bedak-bedak, beberapa botol air minum, beberapa pasang kasut, camera dan lampu picit semua sudah siap disusun dalam kereta.  Padam semua lampu, cek keliling rumah kemudian kunci rumah.  Baca selawat tiga kali barulah kami bertolak dari rumah awal-awal pagi lagi setelah menunaikan solat subuh.  Kami hendak berjalan jauh lagi untuk melihat-lihat tempat yang belum kami pergi .... yerrr makan anginlah...

Tempat pertama kami singgah dalam perjalanan ialah Peco, Texas.  Kami melawat museum yang menyimpan barang-barang kazanah  sejarah lama Peco.  Cuaca di sini masih panas lagi walaupun sudah akhir bulan Ogos.  Lama juga kami di museum ini leka melihat barang-barang lama yang masih baik keadaan.


Museum Peco, Texas



Batu giling dan bakul lama orang Red Indian menarik hati; 
ada persamaan dengan alat batu giling orang Melayu.

Pengembaraan diteruskan menghala ke New Mexico.  Negeri Texas ialah negeri yang terbesar di Amerika.  Untuk keluar dari Texas ke negeri lain berjiran dengannya mengambil masa berjam-jam malah hampir satu hari lamanya barulah sampai di sempadan negeri.  Waktu senja kala barulah kami sampai di Roswell, New Mexico dan bermalam sahajalah di situ.

Ogos 25, 2011  

Cuaca di Roswell, New Mexico dalam bulan Ogos biasa panas kering walaupun awal pagi.  Hari itu pagi-pagi lagi selepas Subuh kami sudah bersedia untuk meneruskan perjalanan kami ke Quray (Uu-ray), Colorado.  Kami sangat selesa bermalam di hotel itu. Roswell menjadi pusat persinggahan kami setiap kali kami hendak meneruskan perjalanan kami di sebelah barat Amerika dan akan bermalam di hotel yang sama.  Perjalanan kami bertambah jauh ke utara dan cuaca semakin menurun hingga ke 70 degree F.  Terasa kedinginannya menyalut muka dan badan bila kami berhenti rehat sebentar meluruskan kaki yang penat duduk sahaja dalam kereta di tempat rehat kemudian meneruskan perjalanan seterusnya semula.

Kami hanya berhenti untuk mengisi minyak kereta bila perlu.  Di satu tempat bernama Cuba, kedudukan tempat ini mempunyai dataran ketinggian kira-kira 70,000 kaki tinggi dari aras laut.  Tidak berapa jauh dari Cuba, satu papan tanda menunjukkan "Continental Divide".  Pak Long tanya tahukah apa itu Continental Divide?  Mak Long geleng kepala.  Masa zaman sekolah dulu pun Cik Gu tidak pernah pun sebut atau ajar apa benda alanya itu Continental Divide.  Pak Long menerangkan iaitu sungai yang mengalir dua hala, timur dan barat disebabkan banjaran dataran yang tinggi membuat aliran air berbahagi.  Hari itu Mak Long dapat pengetahuan baharu dalam ilmu alam sain.  

Aztec Ruins (Runtuhan Aztec), New Mexico -------    Setelah beberapa jam kami sampai hampir di penghujung sempadan antara New Mexico dan Colorado.  Kami terpandang papan tanda yang menunjukkan arah ke Aztec Ruins. Pak Long tanya kalau Mak Long hendak singgah dan melihat tempat itu.  Lantas Mak Long beritahu dia yang kami berdua pernah mengunjungi Aztec Ruins beberapa tahun (2001??) lalu ketika kami tinggal di Demming, New Mexico.  Laaa Pak Long tidak ingat pulak dan berkeras mengatakan belum pernah lagi ke situ.  Oklah....jom kita pergi tengok betul atau tidak cakap Mak Long.  Kami menyusur arah Aztec Ruins hingga ke bahagian hadapan tempat itu.  Kan sudah Mak Long cakap..sudah pernah datang dah tempat ini ...tidak percaya cakap orang!!!!  Kami pernah sampai di situlah!  Jadi pusing baliklah.  Akhir-akhir sekali berhenti minum "root beer" di A&W.  Istimewanya bangunan restauran ini adalah satu dari restauran makanan Amerika yang mula-mula sekali dibuka di Amerika.  


Restauran A&W lama

Dalam Restauran A&W

Kaedah memesan makanan dan minuman juga masih seperti dulu.  Tidak ada pelayan datang mengambil pesanan.  Duduk sahaja di mana-mana ada meja dan kerusi kosong.  Untuk memesan gunakan talipon yang tersangkut di dinding tepi meja itu.  Root beer adalah minuman asli jenama keluaran mereka sendiri.  Rasanya sungguh sedap dan menyegarkan dan dihidang dalam gelas tinggi tanpa air batu.

Di Malaysia dahulu dalam tahun enam puluhan ada sebuah restauran A&W di Petaling Jaya dan Mak Long pernah berkunjung di restauran itu.  

Jam 3.15 petang kami sampai di sempadan New Mexico dan Colorado.  Tidak jauh pun dari restauran A&W.  Cuaca di sini sejuk, mujur kami sudah bersedia dengan baju panas.  Kami berhenti di Molas Park menikmati keindahan alam dan cuaca yang sejuk kira 57 degree.  Sibuklah Mak Long ambil gambar bagikan hendak rak hingga kehabisan bateri!


Molas Park

Bunga menghampari Molas Park seperti musim bunga 

Bandar seterus yang kami lalui ialah bandar Silverton tempat pelancungan di musim sejuk yang tersohor dengan sukan bermain gelongsor atau ski dalam bahasa inggerisnya.  Suhu di sini semakin sejuk hampir 50-53 degree.  Di puncak gunung banjaran "the Rocky Mountain" diliputi salji memutih.  


Banjaran The Rocky Mountains


Akhirnya kami sampai ke Quray setelah melalui jalan yang bengkang bengkok dan bergurun dalam di sepanjang jalan.  Permandangan di sini memang cantik sejuk lagi menyegarkan.


Jalan bahaya bengkang-bengkok

Chipmonk


Quray

Quray ialah sebuah bandar kecil dan bersejarah terletak di lembah sungai di tengah=tengah pergunungan The Rocky.  Bandar ini telah digelarkan sebagai "Switzerland of America" kerana kedudukannya yang subur, indah dan strategik sekali sebagai tempat percutian dan pelancungan.  Di kiri dan kanan jalan utama adalah bangunan-bangunan lama yang dijaga.  


Bandar Quray 

Sebelum kedatangan pelomong-pelombong emas dan galian lain, bandar ini didiami oleh kaum "Tabeguarch Indian" satu dari puak Red Indian.  Dalam tahun 1871 Chief Quray dipaksa oleh pihak kerajaan agar menyerahkan tanah mereka kepada kerajaan Amerka supaya orang kerajaan dapat melombong di kawasan itu.  Chief terpaksa dengan berat hati menandatangi perjanjian menyerah kuasa tanah mereka kepada kerajaan.  Beliaulah juga menjadi sebagai alat pengaman di antara kaum Ute Indian dengan pendatang-pendatang baru yang bagi Mak Long macam perangai lanon merompak terang-terangan.  Bandar ini dinamakan sempena nama Chief Quray.  Di sini juga sebuah filem "The True Grit" telah difilemkan.  Mak Long sudah nonton cerita ini.


Red Indian Chief Quray

 Bandar Quray



Bandar Quray

Air Terjun Quray

Setelah mendaftar di hotel Comfort Inn, kami berjalan kaki sahaja mengelilingi bandar kecil itu.  Cuaca memang sejuk seperti musim sejuk.  Walaupun bandarnya kecil, ia lengkap dengan sebuah sekolah, kelinik, gereja, pejabat pos dan pasar kecil.  Rumah-rumah lama juga cantik dan masih terjaga indah. Di jalan utama keseluruhan bangunan telah dijadikan kedai membeli-belah untuk pelancung, bank, hotel dan restauran.  Kami juga berkesempatan mendaki pergunungan bahagian bawah kaki Air Terjun Quray.  Penat dan berpeluh jugalah kami yang sudah masing-masing agak montok hihihi.. 





Tuesday, September 25, 2012

NOTA CUTI 2011 - SCHOOL UNION (4)

Apa khabar semua yang singah di sini.  Semuga semua ceria dan beroleh sihat dan sejahtera serta hidup bahagia selalu hendaknya.  Juga janganlah lupa mengucap kesyukuran kepada Allah SWT setiap hari yang mengurniakan kita kehidupan yang sihat dan rezeki yang lebih lagi halal. 

Percutian tahun 2011 kami hampir penghujungnya sudah.  Mak Long sudah rindu hendak balik ke rumah apa halnya pula di sana.  Bukanya tidak suka bercuti berjalan makan angin jauh-jauh tetapi hati kita yang sudah lewat ke petang macam Mak Long ini kalau lama-lama berjalan jauh dari rumah rasanya rindu dan mahukan keselesaan di rumah.  Memang anih sekali!  Dulu-dulu masa muda-muda dahulu pantang disebut tentang berjalan atau makan angin.  Bukanlah Mak Long masa muda-muda dulu selalu makan angin.....tidak!!  Jarang ada peluang untuk membawa keluarga makan angin atau bercuti dan bersantai di tempat indah.  Manalah ada wang untuk itu semua....hidup kami sekeluarga ketika itu pun susah bukan senang.  Kami berkerja keras mencari rezeki lebih membesarkan dan mendidik anak-anak kesayangan.  Namun Mak Long tidak menyesali hidup dalam keadaan seperti dahulu yang semuanya dalam serba kekurangan.  Dengan pengajaran dan pengelaman keadaan hidup susah dan bermasaalah itulah mengajar Mak Long hidup lebih bersyukur kepada Illahi kerana sesungguhnya IA menguji keimanan, kesabaran, ketabahan dan pengorbanan hidup Mak Long.

Ahhhh!  .... sudah melencung tajuk!  

Kami meninggalkan hotel dan terukkan perjalanan ke Paducah, Kentucky.  Paducah ialah sebuah bandar yang menempatkan "The National Quilt Museum" yang tersohor dalam mempamirkan kerja tangan quilt yang cantik, bermutu tinggi dari zaman dahulu dan sekarang.  Pamiran tahunan diadakan di sini setiap tahun dengan ramai pengunjong-pengunjong yang berminat dalam quilt datang di situ.  Paducah juga adalah salah satu daripada bandar bersejarah lama dalam sejarah Amerika. Bandarnya ini dipanggil juga dengan nama "the Four-Rivers Area" kerana letaknya berhampiran dengan sungai-sungai Ohio, sungai Tennenssee, sungai Cumberland dan sungai Mississippi.  


Jambatan di Sungai Mississippi

Sampai sahaja di bandaraya itu kami terus mencari hotel untuk menginap beberapa hari.  Kami ke sini kerana menghadiri jemputan "class union 2011" Pak Long di suatu restauran di situ.  Ketika kami sampai hari sudah petang dan Pak Long sudah ada temujanji dengan Gary dan isterinya Linda sahabat lama zaman persekolahan di rumah mereka.  Sampai lewat malam kami di rumah mereka berborak entah apa!  Gary berminat mengumpul dan mebaik pulih kereta-kereta lama.  


Ini salah satu dari kereta Gary tahun 1948 
yang sudah dibaik-pulih


Esoknya pagi-pagi lagi sudah sarapan. Mak Long mesti pekena kopi dulu baharu ada tenaga hendak berjalan ke mana-mana. Pak Long berhasrat pulang dan  melihat kampung Wickliff tempat dia dibesarkan.  Wickliff adalah sebuah kampung kecil sahaja, cantik menghijau dan tanah subur.  Penduduknya berhuma menanam jagong, kacang soya dan sayuran.  Di situ Pak Long singgah beberapa rumah kawan-kawan baik lamanya yang tidak pernah keluar dari Kentucky sejak selepas zaman persekolahan.  Pak Long nampaknya sangat gembira dapat bertemu semula dengan mereka.  Banyak kenangan lama manis dan pahit yang menjadi ingatan dalam sejarah hidupnya.  



Wickliff

Rumah putih tempat Pak Long dibesarkan
Sekarang kosong tiada penghuni

Selain dari melawat kawan-kawan sekolah, Pak Long bawa Mak Long ke Cairo, Illinois sebuah bandar lama di sempadan Kentucky dan Illinois.  Orang tempatan menyebut "Kay-row". Di suatu ketika Cairo adalah sebuah bandar yang maju.  Dalam zaman gemilingnya Cairo mempunyai pusat perniagaan serta menjadi pusat industri perkapalan di muara sungai Ohio dan Mississippi.  Kemunduran berlaku selepas perbalahan di antara orang-orang kulit putih dan kulit hitam dengan terjadi satu pembunuhan ke atas seorang penjahat orang kulit hitam. Menurut Pak Long selepas kejadian itu orang kulit putih tidak berminat lagi tinggal di Cairo and apabila orang kulit hitam mula datang dan tinggal di bandar itu, mereka sering membuat kekacauan dan tidak menjaga kawasan kediaman mereka hingga tidak terurus dan  ini juga menyebabkan orang kulit putih meninggalkan tempat itu.  Kini, bandar Cairo sunyi dan banyak bangunan lama rosak yang dikosongkan dan ditinggalkan begitu sahaja.  Maka jadilah Cairo sebagai sebuah bandar yang runtuh.



Pihak tertentu cuba baik-pulih bangunan-bangunan lama sebagai penarik pelancungan datang ke situ


Cairo

Kemudian kami singgah di pusat membuat dan menjual barangan untuk quilt ..Quilt In A Day milik Miss Elenor Burns seorang pembuat, guru dan ahli perniagaan quilt yang gigih.  Banyak kain kapas yang cantik-cantik dijual di sini dan harganya pula sangat berpatutan berbanding di Texas.  Pak Long faham Mak Long suka menjahit dan membuat quilt, itulah sebab dia singgah di situ sebelum sempat Mak Long cakap.  Mak Long banyak buat quilt untuk mengisi masa lapang dan banyak juga yang sudaah dihadiahkan kepada keluarga dan sahabat tersayang.  


Dalam kedai quilt  Quilt In A Day


Quilt untuk dijual

Sebelah malamnya kami pergilah ke jamuan "Class Union 2011". Ramai juga yang hadir.  Seronok betul Pak Long dapat berjumpa kawan-kawan lama.  Rioh rendah bunyi di restauran itu.  Restauran makanan laut.  Ada juga yang Pak Long tidak ingat dan kenal jadi si Gary membantu dan perkenalkan.  Kebanyakan mereka tidak pernah pun keluar dari Kentucky melainkan menetap di situ.  Duduk situ, kawin pun dengan orang situ, berkeluarga dan beranak penak pun di situ.  Kiranya Pak Long satu-satu anak kampung Wickliff yang ulung-ulung kali meninggalkan Wickliff mencari rezeki ke negeri lain dan pernah berkerja di luar negara pula.  Kami berdua menjadi tumpuan khas mereka ingin tahu lebih lanjut lagi tentang kami yang selalu hidup di rantau.

Kami mulakan perjalanan pulang ke Texas pada esok harinya yang mengambil masa selama dua hari.  Orang putih kata "home sweet home".









NOTA CUTI 2011 - NASCAR RACING, KENTUCKY (3)

Assalamualaikum wahai pembaca sekelian.  Bertemu lagi di halaman blog Mak Long.  Diharap semua yang membaca ini sentiasa dirahmati Allah SWT yang maha esa.

Lawatan kami ke tempat perusahaan menternak kuda untuk perlumbaan di Lexington, Kentucky sungguh meletihkan Mak Long tetapi menyeronokkan.  Terhibur rasa hati ini melihat kuda perlumbaan.  Kami bermalam dua malam lagi di hotel yang sama.  Sebenarnya Pak Long sudah ada rancangan baru untuk hari esok....pergi menonton lumba kereta NASCAR.  Hmmmm tidak mahu pergilah!  Pak sudah beli tiket untuk dua orang sudah!  Pak Long kalau apa-apa sahaja bersangkut paut dengan racing NASCAR ke,  Fomular 1 ke dia memang berminar sangat.  Kebiasaan kalau di rumah pada tiap-tiap hari minggu ada perlumbaan kereta NASCAR di TV juga selalu ada perlumbaan kereta Formula 1.  Sanggup tidak makan kerana hendak tengok TV dan sanggup bangun pukul tiga pagi hanya pasal F1 punya hal.  Janganlah diganggu dia atau TV.  Jangan cari nahas!!



Bangunan Speedway, Kentucky

Jadi pagi esoknya kami hanya berihat sahaja, tengah hari nanti kami akan pergi ke Kentucky Speedway di mana perlumbaan itu diadakan.  Pak Long berpendapat lebih baik pergi awal untuk mengelakan sesak lalu lintas yang semua hendak ke Speedway hari itu.  Speedway ini baharu sahaja siap dibena.  Beratusan peminat lumba akereta sudah sedia berada di sana, ada yang tidur bermalam dan bercamping di kawasan berhampiran speedway, trailer, mobile home semua ada. Di bahagian luar bangunan dan speedway diadakan pertunjukan kereta-kereta lumpa seperti kereta No. 88 kepunyaan pelumba tersohor Dale Earnhart Jr, dan banyak lagi.  Banyak barang-barang jualan seperti barang pakaian (jaket, baju T, dan lain-lain).  Tidak berminat pulak hendak membeli.  Terukkan Mak Long!  Mak Long tidak suka membasir tidak tentu pasal.




Di dalam dalam speedway sudah beribu-ribu orang mengambil tempat duduk masing-masing sabar menunggu perlumbaan dimulakan.  Kami dapat tempat yang sangat jelas sekali.  



Ramai macam ulat tahi!


Perlumbaan dimulakan dengan kata-kata aluan dari seseorang terhormat.  Kemudian lagu kebangsaan Amerika dinyanyikan barulah perlumbaan dimulakan.  Adoi!!! pekak telinga mak oiii... Entah apa yang seronoknya dengan enjin kuat-kuat dan beberapa perlanggaran sesama sendiri pun banyak juga berlaku.  Hai mana seronoknya Mak Long tidak faham.  Yelah kalau ada minat tu memanglah ia suatu hiburan yang menyeronokan.



Di selekoh itu banyak ragut nahas bahaya



Bahagian tengah-tengah speedway adalah garage pelumba-pelumba
dengan juru mekenik mereka sendiri

Semasa perlumbaan beberapa nahas berlaku.  Habis remok kereta pun ada tetapi mujurlah tidak ada yang maut.

Kami meninggalkan kawasan speedway secepat yang kami boleh setelah perlumbaan tammat untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas yang beribu-ribu banyaknya itu.  Kami selamat sampai di hotel tanpa masaalah trafik.  Kami dapat tahu dari berita yang disiarkan melalui TV kesesakan lala lintas teruk hingga polis trafik bermasaalah mengawal dan mengambil masa yang terlalu lama untuk menyuraikan kesesakan itu.


NOTA:

Kesimpulannya kalau hendak pergi ke tempat awam yang sesak pergilah awal dan tinggalkan tempat itu awal juga agar tidak terperangkap dalam kesesakan.





Monday, September 24, 2012

NOTA CUTI 2011 - KENTUCKY (2)


Assalamualaikum semua yang membaca yang dikasihi di muka surat blog ini.  Semuga semua sihat, sejahtera serta ceria hendaknya.  

Selepas berposing-posing bergambar dan mengucapkan selamat tinggal kepada Betty Lou dan keluarganya kami teruskan perjalanan kami ke Kentucky.  Kami melalui arah utara ke selatan Indiana dan masuk sedikit negeri itu.  Sehari suntuk dalam perjalanan sahaja, berhenti hanya meluruskan kaki, makan dan minum sahaja.  Lengoh badan kalau duduk sahaja dalam kereta, sekali-kali tertidur juga.  Kesihan Pak Long terus memandu, dia tidak merunggut-runggut sedikit pun.  Malas hendak melayan dia bercakap bila badan sudah penat.  Sekali- kali digeraknya juga Mak Long bila perjalanan melalui tempat-tempat yang cantik.


Dari selatan Indiana kami masuk ke Kentucky sebelah utaranya.  Perjalanan jauh ini membawa kami ke suatu bandaraya Georgetown. Georgetown adalah sebahagian dari  kawasan "the Lexington-Fayette, Kentucky Metropolitan".  Dalam tahun 1980an bandaraya ini bertambah maju dan sibuk dengan  adanya pembukaan sebuah kilang terbesar Toyota Motor Manufacturing Kentucky di United States dengan keluasan kawasan sebanyak lebih dari 200 ekar.  Pak Long merunggut-runggut kesal orang-orang putih di sini tidak sedar diri, tidak sokong barangan sendiri tetapi mengagong-agongkan barangan buatan dari Jepun atau China. Sedangkan buatan di sini lebih baik dan berkualiti tinggi dibandingkan dengan buatan Jepun atau China. Biasalah, bukankah sudah lumrah alam, macam di Malaysia, rakyatnya lebih mengemari kereta buatan Jepun, India dan lain-lain.  Hanya orang berpendapatan rendah sahaja yang dan mampu membeli kereta buatan negara sendiri, kalau mereka punya banyak duit sudah pasti bergitu juga arah mereka pandang ke Jepun, China, Australia, India dan seterusnya....

Di bandaraya ini juga terkenal dengan perusahaan penternakan kuda terbesar.  Kentucky dikenali dengan nama sebagai "the Bluegrass State".  


Bunga petunia seperti ini bergayut-gayut di tiang tepi jalan

Kami mengambil keputusan untuk bermalam di sini sahaja kerana banyak tempat-tempat menarik untuk dilawati. Georgetown adalah sebuah bandar lama, di suatu ketika dulunya dipanggil dengan nama Bandar Lebanon.  Seluruh bandar ini sangat bersih serta dihiasi pula dengan keindahan tanaman bunga-bunga bergantung di tiang-tiang khas di sepanjang jalan dalam bandar.  



Bahagian bandar lama Georgetown



Di Kentucky kelihatan banyak design quilt menghiasi bangunan

Pada keesokan hari, pagi-pagi lagi kami sudah bersedia untuk melancung seluruh bandaraya Georgetown.  Banyak juga kedai-kedai menjual barang lama dan quilt.  Mak Long tidak berminat sangat membeli dan menyimpan barang-barang lama.  Buat semak rumah sahaja tambahan harga barang begitu bukanya murah malah ada yang lebih mahal dari barangan yang baharu.  Jadi tidak payahlah beli buat basir sahaja.  Pak Long cakap Mak Long ni kedekut!  Yelah!  Agenda utamanya ialah untuk melawat ladang ternak kuda di Horse Farm, Lexington, Kentucky.  Ia tersohor sebagai tempat menternak dan pengeluar kuda-kuda jenis terbaik untuk perlumbaan.



Kandang kuda di Lexington Horse Farm

Kandang-kandang kuda di Lexington semua dilengkapi dengan hawa dingin dan hawa panas lebih bagus dan mewah serta kalah rumah manusia biasa.  Pak Long memandu mengeliling ladang besar ini.  Di suatu ketika kami terpaksa berhenti lama apabila sepasokan penonggang-penonggang kuda melintasi jalanraya melatih kuda-kuda itu berlumba.  Ketak! ketuk! ketak! ketuk! bunyi macam musik rentak kaki kuda-kuda itu berjalan di atas jalanraya. Seronok tengok penonggang-penonggang semua kemas berpakaian rapi menunggang kuda-kuda yang besar sais mereka. Siap ada polis trapik sekali.. hebat kan!  Sehari suntuk kami berada di kawasan itu.


Ladang Ternakan Kuda Lexington



Banyak kuda-kuda di Lexington Horse Farm
besar, cantik dan sihat


Mak Long leka melihat kuda-kuda semua.  Mereka dijaga dengan rapi, ada doktor haiwan merawat, ada tukang mandi, tukang bersih, tukang berus bulu dan uruskan badan.  Memang terlebih jaga dari kita sendiri manusia.  Terasa ingin juga hendak menyalut badan kuda-kuda itu tetapi tidak berani.  Kalaulah Mak Long tahu dan pandai menunggang kuda alangkan bagusnya... berangan aja nih, tetapi manalah tahu kalau ada rezeki punya kuda sendiri suatu hari.  Pasti cita-cita tercapai kan!

Petang barulah kami pulang ke hotel semula... kami berdua keletihan.



Kuda Lumba

Nota:

Moral dari lawatan ini kita mestilah berasa bangga dan memberi sokongan penuh dengan buatan barangan negera sendiri.  Kita sebagai penggunalah yang boleh memberi perasang dan teguran kepada pembuat-pembuat untuk memperbaiki pengeluaran hasil buatan dari kilang mereka.


Sunday, September 23, 2012

NOTA CUTI 2011 - MISSOURI (1)

Assalamualaikum semua semuga dikurniai rahmat dan kesejahteran oleh Allah SWT yang maha esa.  Dua bulan setelah Mak Long kembali dari Malaysia, Pak Long sudah menyatakaan rancangannya hendak melawat adik perempuannya yang tinggal di Missouri.  Mak Long mengiakan sahaja.  Entaklah kali ini Mak Long tidak begitu berminat hendak ke mana-mana.  Hati Mak Long masih bersedih atas pemergian adik kesayangan dalam bulan May, 2011.  Innalilla hiwainnaillaihirajioon, setiap yang hidup pasti akan kembali kepada NYA jua.  Semuga rohnya diterima dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.

Pak Long rancangkan untuk bertolak ke sana pada awal bulan Julai, 2011 dan menyambut hari kemerdekaan Amarika yang jatuh pada 4hb Julai, 2011 bersama-sama adiknya Betty Lou dan keluarganya di Kingsville, Missouri.  Perjalanan dari Texas ke sana jauh mengambil masa dua hari perjalanan dengan kereta.  Pak Long tahu Mak Long masih bersedih.  Beliau ingin mengembirakan hati Mak Long dan mencadangkan kami singgah semalam di Lewisville, Dallas menjengok buah hati puteri bungsu.  Mak Long pun memang sudah rindu sangat kepadanya.  Hati seorang ibu sentiasa merindui semua putera-putera dan puteri-puteri yang berjauhan.  Kalau boleh hendak dibelah dua badan ini agar sebelah dapat bersama mereka dan sebelah lagi di sisi suami.  Tapi mana boleh begitu bukan!?  Hmmmm...




Puteri Bungsu

Pada 2hb Julai kami teruskan perjalanan arah Missouri dari Lewisville melalui sedikit sebahagian Oklahoma dan Kansas.  Kami berhenti dan bermalam di suatu bandar Mak Long tidak ingat melepaskan lelah dan bersolat.  Syukurlah dalam Islam Allah memudahkan bagi hamba-hambanya yang bermusafir menunaikan solat.

Kami sampai di Kingsville, Missouri di rumah Betty Lou pada 3hb Julai sudah lewat tengah hari.  Sambutan keluarga ramah dan mesera.  Anak lelaki Betty Lou bernama Bill ada bersama isterinya Lucy dan anak-anak mereka Wyatt dan Bonnie.  Mereka juga sedang bercuti dan menghabiskaan masa di sana.  Bonnie seorang anak kecil yang comel.  Sejak kami bersua dia tidak lekang dari Mak Long.  Kemana pergi dia mengekor sahaja.  Betty Lou dan suaminya John dengan bangga menunjukkan kami kawasan keliling rumah mereka... di garage ada beberapa mesin tractor dan truck.  



Satu daripada tractor lama yang telah dibaik-pulih

Mereka adalah peladang moden dan mempunyai beratus ekar tanah.  Tanaman utama ialah jagong, ada juga mereka tanam berbagai jenis sayuran untuk makan sendiri serta kolam besar tempat pemeliharaan ikan.  




Kolam di belakang rumah Betty Lou



Jagong manis dan sayuran

Kami tidak makan tengahari bersama mereka hari itu dan tidak pula bermalam di rumah mereka memandangkan sudah ramai sudah tentu tidak ada bilik kosong untuk kami.  Kami bermalam di hotel sahaja tambahan Mak Long lebih selesa begitu senang hendak menunaikan kewajiban solat.  Tetapi dalam hati terfikir juga kalau kita dalam masyarakat Melayu terutama di kampung kita akan berusaha menjemput dan menyediakan hidangan untuk tetamu terutama sekali ahli keluarga untuk bermalam sahaja di rumah kita walaupun sudah ramai berada di rumah.  Begitu juga kalau tetamu datang waktu tengahari (waktu makan) kita akan menyediakan apa-apa juadah untuk dihidangkan tanda hurmat.  Tidak dalam masyarakat orang putih.  Mereka berangapan keselesaan mereka sendiri lebih penting.  Mereka hanya menyediakan kemudahan untuk tetamu bila sudah dibuat temujanji dan perancangan.  Memikirkan perkara ini Mak Long membuat kesimpulan adat Melayu lebih mesera dan berbudi bahasa halus dibandingkan dengan adat orang putih!  Kemeseraan mereka lain.  Mak Long bangga menjadi orang Melayu!




Ikan yang dikail dari kolam

Hari esoknya pagi-pagi lagi kami sudah ke rumah Betty Lou semula.  Mak Long malas dan berat rasanya hendak pergi tetapi kerana Pak Long, ikutkan juga.  Sesampai kami di sana sudah ramai keluarga menunggu kami termasuk anak perempuan Betty Lou bernama Brenda dan dua orang cucunya Twila dan  Tori.  Mereka sedang sibuk menyediakan masakan tengahari.  Mak Long lihat sahaja tidak berminat hendak menolong.  Menu mereka ialah salad dedaun, salad kentang, kacang (direbus dengan rempah ratus dan daging) kami tidak usik, steaks dan ada lain lagi Mak Long tidak tahu dan tidak makan.  Selepas makan kami bersantai di belakang rumah melihat cucu-cucu membakar mercun dan di tepi kolam mengail ikan.  Waktu malamnya pula Bill membakar bunga api sempena menyambut 4hb Julai.  Kami beramai-ramai duduk di kerusi yang mereka sediakan berhampiran belakang rumah melihat mereka membasir membakar duit!  Kami pulang ke hotel semula malam itu dan berasa letih seharian di rumah mereka.



Bunga api

Keesokan paginya kami keluar dari hotel terus ke rumah Betty Lou semula sebentar dan meneruskan perjalanan kami ke Kentucky pula.


Buah pear di tepi rumah Betty Lou



Nota:

Moral dari pertemuan keluarga ini ialah kemeseran dijalin dalam keluarga dan kelainan adat masyarakat berlainan antara timur dan barat, bangsa dan agama.



Thursday, September 20, 2012

NOTA HARI RELAX

Assalamualaikum semua umat Allah SWT.

Hari ini Mak Long hendak manjakan diri sendiri.  Berlambah kerja di luar dan dalam rumah tetapi malas hendak gerak tulang empat kerat ini.  Sejak selepas Subuh Mak Long siap minum jus campuran carot, apple merah dan horse radish buat pagi semalam kemudian perahkan sedikit jus lemon dan sesudu madu lebah.  Sedap tau!  

Selepas itu tabur jagong belakang rumah bagi rusa-rusa makan. Hmmmm semakin banyak rusa datang, kecil dan besar ada...  Haiii.... ada beberapa ekor anak pula melompat-lompat seronok tengok. Sebenarnya malas hendak bagi mereka makan tetapi tidak sampai hati pulak mereka terdangok tengok arah rumah tidak kebil-kebil mata.  Sebenarnya Mak Long masih rasa marah pada mereka sebab makan pokok-pokok lada yang ditanam.  Lebat buah habis gondol mereka kerjakan!  Mak Long baling mereka dengan kasut, penyapu haram pun mereka takut.  Malah mereka macam seronok pulak tengok orang tua ini marah baling-baling barang pada mereka.  Rusa jahat!!!   


Rusa dengan anak pun nak gadoh!


Selesai tabur jagong Mak Long isi dan penuhkan jagong hancur dalam bekas makanan burung pula.  Harap-harap Mr Hollis si tupai tidak habiskan untuk burung-burung.  Macam-macam jenis burung ada, merpati, merbuk, blue jay, road runner dan lain-laian jenis unggas.  Yang paling Mak Long suka tengok ialah humming bird atau burung kelicap dalam bahasa Melayu dan burung red cardinal. Mak Long ada tiga botol berisi air sirap gula di gantung tepi rumah untuk burung kelicap.  Kalau musim bunga burung kelicap sibuk menghisap nektar bunga dan rama-rama cantik pula menyeri bunga.


Cantikkan rama-rama ini!?


Humming bird atau burung kelicap



Sudah siap semua hal-hal hidupan liar Mak Long kayuh basikal turun naik bukit.  Penat tetapi seronok berpeloh.  Kena pakai cermin mata hitam dan topi untuk melindungi mata masih sensitif dengan tiupan angin pagi.  Hari ini sejuk dan suhu antara 60 - 62 degrees fereinhait gitu.  Hampir lebih kurang dua puluh minit berkayuh...penat dah dan berihat melayari siber alam maya pula barulah bersarapan dan bersihkan diri untuk Zohor pula.  Tadi juga Mak Long dapat kenalan baru dari keluarga Malaysia yang tinggal di Chicago.  Dia membuka perniagaan catering yang mendapat sambutan baik terutama dari pelajar-pelajar Malaysia.  Dia juga gigih memperkenalkan masakan Melayu asli kepada orang-orang di Amerika melalui perniagaannya bernama Sutera Kitchen.  Baguskan!  Mak Long doakan semuga perniagaan dia berjaya dan berharap masakan Melayu mendapat tempat yang baik di kalangan orang sini.

Amboii seronoknya relax semacam hari ini!  Dengar lagu ini dari Yusoff Islam, kegemaran Mak Long:






Monday, September 17, 2012

NOTA DOKTOR SALAH KIRA!!

Assalamualaikum,  doa Mak Long agar setiap insan yang membaca blog ini berada dalam sihat sejahtera, ceria dan sentiasa bersyukur atas setiap kurnia dari Allah SWT.  Hari ini juga (17hb September, 2012) adalah hari yang sungguh cantik dan ceria sekali.  Sang suria memberi cahaya sepanjang hari dengan suhu yang sungguh segar tidak panas.  Omputih di sini kata "cold front" datang juga menandakan musim luruh yang tidak lama lagi akan hadir.  Pendeknya jadual Mak Long hari ini penuh dengan aktiviti kerja sendiri.

Hari ini Mak Long berpuasa mengantikan puasa yang tertinggal selama dua hari.  Esok pun insyaalah berpuasa jugalah.  Dua perkara penting Mak Long bereskan ialah menghubungi pejabat Dr Salim Dabaghi untuk mengetahui keputusan ujian darah bulan lepas.  Menurut jururawat beliau kolesterol Mak Long baik tetapi masih perlu terus mengambil ubat "Zocor" setiap hari.  Kedua menghubungi pejabat talipon GVTC supaya memperbaiki hubungan talian yang rosak sejak Jumaat lepas.  Semua beres!

Hari Sabtu lepas Pak Long berangkat ke Saudi Arabia memulakan tugas baru di sana.  Mak Long tunggu panggilannya semalam... dia selamat sampai di sana.  Hari ini berdering lagi talipon.  Lama juga kami bercakap.  Katanya dia sudah mula kerja dan masih letih dengan pernerbangan semalam.  

Sahabat kami Batti Saad Al Qatani menemui Pak Long di tempat kerja.  Isterinya May sedang sarat hamil anak ke tiga dan akan bersalin bila-bila masa sahaja.  Batti cakap doktor beri tahu mereka May akan melahirkan pada 14hb September lepas tetapi hingga ke hari ini masih belum bersalin lagi.  Katanya "14 September sudah lepas, my wife belum bersalin lagi....what happened? Doctor, you didn't count right!".  Ha ha doktor itu salah kira haribulan gamaknya sebab itu isterinya belum bersalin lagi atau May bagi tahu doctor tarikh akhir haidnya yang salah.   Walau apa pun berserahlah pada Allah kerana Allah  lebih mengetahui segalanya.



Batti