Pages

Monday, July 30, 2012

NOTA ROMBONGAN KE KUALA LUMPUR

Mak Long tidak berapa ingat tahun berapa apabila orang kampung sibuk dan teruja hendak membuat rombong ke bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor (Johor Bahru), Singapore dan lain-lain tempat.  Kalau tidak silap Mak Long ketika itu Wak baru sahaja daftarkan Mak Long untuk masuk sekolah rendah (1956??) mungkin!  Arwah Tok Cik Asim (Adik kepada Atok Keti dengan emak lain) jadi ketua rombongan.  Beliau sibok benar mencari pelangan dan  sesiapa yang ingin menyertai rombongan dan beliaulah juga yang menguruskan semua tentang rombongan...mencari bas, harga tambang, kemana hendak berombong dan macam-macam lagi.

Salah satu tempat popular dalam agenda rombongan Tok Cik Asim ialah Kuala Lumpur, ibu negeri Malaysia (ketika itu masih lagi dipanggil Malaya).  Sebut sahaja hendak berombong ke Kuala Lumpur semua orang kampung sudah seronok, semua hendak pergi.  Tetapi sedih tidak semua mampu membayar tambang walaupun tidak seberapa harganya.  Yang mampu sahajalah yang dapat pergi!  Sebuah bas hanya boleh memuatkan 40 orang penumpang dan tidak dibenarkan membawa anak-anak.  Wak dan Emak teringin sangat hendak berombong, tidak pernah mereka pergi ke mana-mana selain dari di sekitar bahagian dalam kawasan Muar.  Maka mereka pun bermuafakat bersama hendak mengikut rombungan tersebut ke Kuala Lumpur.  Wak dan Emak mengira berapa wang simpanan yang mereka dapat kumpul dari hasil menjual getah keping.  Malam itu Emak keluarkan wang simpanan mereka dari tabung sebuah tin susu cap pangkah yang sudah berkarat untuk mengira tabungan.  Penuh tabung itu dan berat.. Tabung tin itu dibungkus rapi dengan kain lusuh dan disimpan di satu tempat  Mak Long tidak ingat.  Wak berkata simpanan sudah cukup untuk tambang bas pergi berombong.  Emak senyum sahaja..sukalah tu.  Esoknya Wak daftar nama dengan Tok Cik Asim kira jadilah berombong.  Tarikh dan tempat berkumpul sudah ditetapkan sekian masa dan haribulan.  Tidak ada sebut-sebut tentang Mak Long boleh ikut atau tidak.  Cuma Emak kata budak tidak boleh ikut!  Hmm....Siang malam Mak Long berdoa supaya dapat ikut berombong.  

Petang sebelum bertolak pagi esoknya, Emak sibuk masak bekalan berombong.  Mak Long ingat Emak masak nasi, sambal tumis, lauk ayam dan air.  Semua bekalan itu dimasukkan dalam mangkok tepen yang baru sahaja Wak beli.  Wah meriah sungguh hendak berombong!  Pagi-pagi masih gelap lagi Wak dan Emak sudah siap berkemas dan gerakkan Mak Long untuk mandi dan pakai baju kembang (gown).  Mak Long dapat pergi rupanya, saja mereka tidak hendak beri tahu.  Mak Long senyum macam hendak rabak hingga ke telinga..suka!!  

Kami berkumpul di satu tempat tidak jauh dari rumah kami.  Seronok!  Bas besar dan panjang pun sampai dan Tok Cik Asim mengaturkan penumpang-penumpang di tempat duduk masing-masing.  Lama proces mengatur orang kampung naik bas!, bising dan seronok.  Semua penumpang membawa bekalan, penuh bas.  Bas untuk rombongan itu bas biasa sahaja, tidak macam bas zaman sekarang bas ada tempat duduk enak dan selesa dengan hawa dingin.  Zaman dulu bas semua tingkap terbuka luas, ditutup hanya bila hujan. Mak Long dipangku Wak dan Emak bergilir-gilir.  Alarr, sepanjangan jalan Mak Long tidur ..apa entah yang ditengok!?!

Bas rombongan sampai di Kuala Lumpur hampir tengah hari.  Besar Kuala Lumpur kita pada pendapat Mak Long.  Bangunan kerajaan Sultan Abdul Samad tersergam indah.  Ageda utama rombongan ialah melawat bangunan radio Malaya ketika itu ialah bangunan baru (sekarang bangunan itu sudah tiada lagi) di hujung Jalan Kuching.  Kanak-kanak tidak dibenarkan masuk bersama jadi Mak Long tinggal dalam bas dengan mereka-mereka yang tidak hendak dan tidak larat hendak berjalan.  Wak kata, dia tengok orang radio sedang bertugas membuat penyiaran.  Zaman itu sesiapa yang mempunyai radio mesti bayar lesen radio yang dibayar setahun sekali.  Pegawai-pegawai kerajaan yang ditugaskan akan datang dari rumah ke rumah buat pemeriksaan memastikan mereka ada lesen untuk mendengar radio!

Tempat kedua ialah melawat kilang coco-cola yang ketika itu terletak di Jalan Cambell sekarang ditukar nama Jalan Dang Wangi (di tengah-tengah dalam bandar).  Semua pelawat diberi penerangan tentang minuman coco cola dan diberi minum coke percuma.

Akhir sekali kami dibawa ke Lake Garden taman bunga yang sangat tersohor ketika itu di mana penumpang akhirnya dapat menjamu selera makan bekalan yang dibawa.  Petang hampir waktu maghrib barulah bas rumbungan bergerak balik ke Kampung Jorak, Muar singgah di Seremban sebentar mengisi minyak.  Wak dan Emak belikan Mak Long sehelai baju dan mainan kuda (permainan yang pertama Mak Long miliki) bergerak bila dikunci dari salah satu gerai berhampiran dengan tempat bas berhenti.  Kami selamat sampai kerumah lewat malam. 





















Sunday, July 29, 2012

NOTA DAUN ATAP RUMBIA

Zaman kanak-kanak bagi Mak Long sungguh menyeronokkan.  Sebagai anak perempuan dan juga cucu perempuan sulung dalam keluarga memang bahgia.  Mak Long dimanjakan oleh keluarga dan suka bermanja pula walaupun kedua hidup keluarga kami miskin.  Emak dan Wak membanting tulang mencari rezeki setiap hari tidak mengira waktu untuk menyara hidup keluarga.  Terutama Emak, beliaulah tulang belakang keluarga.  Emak sanggup melakukan apa sahaja kerja yang berat atau yang ringan asal sahaja dapat membantu rezeki keluarga.  Sebut sahaja apa kerja yang Emak tidak pernah buat dalam bab kerja kampung..menoreh getah, menebas belukar, potong kayu untuk kayu api, menyangkol, ambil upah cucuk atap dan sebagainya, semua Emak sudah buat.

Rumah kami kecil sahaja, tidak ada bilik. Rumah ini terbahagi kepada tiga bahagian.  Pertama ruang depan untuk menerima tetamu, ruang tengah di mana kami semua tidur dan ruang kecil tempat kami makan dan lepak-lepak.  Hanya bahagian ruang dapur sahaja ada dibuat pisang sesikat yang berdindingkan batang buluh yang diketok leper. Tiang rumah adalah dari batang nibong, sementara lantai dan dinding rumah dari kayu papan murah.  Papan dinding tidaak berketap, kasar begitu sahaja.  Atap rumah pula dari atap daun rumbia yang Emak buat sendiri.  Atap daun rumbia tidak tahan lama, dua tiga tahun sekali perlu diganti baharu.  Kalau tidak diganti kalau sudah lama, atap jadi rapuh, kering  dan bocur pula nampak langit.  Sudah tentu bila hari hujan akan membasahi dalam rumah.  Apabila ini berlaku Emak akan sibuk cari kain buruk atau besin atau baldi buruk tadah air hujan yang bucur itu.   

Pada tahun itu atap rumah kami sudah bocor terok dan perlu diganti baru.  Emak dan Wak minta kebenaran dari Atok Saleh untuk mengambil daun rumbia di kebunnya di Kampung Seberang. Hendak mengambil daun itu pula terpaksa menyeberang Sungai Muar dan menggunakan perahun Atok.  

Pagi-pagi sebelum pergi ke kebun emak sudah siapkan bekalan nasi dan sayur kulit rambai masak lemak cair serta sedikit ikan kering goreng.  Nasi dibungkus bersama ikan kering di dalam upih pinang kering, sayur berkuah kenalah dibawa dalam mangkok tepen diikat dengan kain batik lusuh Emak dan tidak lupa air kopi.  Emak tidak bawak Mak Ngah bersama sebab dia terlalu kecil tetapi Mak Long dapat ikut.  Mak Ngah ditumpangkan dengan rumah jiran tidak ingat rumah siapa.  Di dalam perahu, emak duduk bahagian depat bersama Mak Long.  Wak duduk bahagian belakang mengayoh.  Seronok pergi tempat-tempat begini bagi Mak Long...masih kecil bukan tahu takut apa pun!  Sampai di kebun Emak dan Wak mula mengait daun rumbia yang tinggi menggnakan galah dan sabit.  Emak cakap pada Mak Long supaya duduk setempat dan  jangan merayau ke mana-mana kerana bimbang kalau ada binatang liar atau sang buaya.  Banyak jugalah daun yang dapat tiga, empat ikat besar.  Mereka berhenti bekerja hanya untuk makan bekalan dan minum air kopi cair sejuk bila lapar.  Ada pokok nipah berbuah yang sedang elok untuk diambil,  Emak tidak lepas peluang untuk mengambilnya setandan.  Isi buah nipah warna putih dan rasanya sedap.


Hari hampir gelap baharu kami pulang ke rumah dengan daun rumbia.  Esok harinya Emak dan Wak potong dan belah pokok buluh untuk buat tulang belakang atap.  Selain dari itu mereka tebang dan ambil kulit pokok bemban dijadikan sebagai benang untuk menjahit daun rumbia pada tulung buluh.  Sudah siap semua bahan-bahan yang diperlukan barulah Emak mula mencucuk daun dijadikan atap.  Bila atap sudah siap Emak bantu Wak naikkan atap baru.  Atap yang lama pula digunakan untuk buat dinding bilik air di tepi perigi.  Mak Long fikir ketika itu kami kaya sebab rumah kami beratap baru tahun itu.









Saturday, July 28, 2012

NOTA BEROK DI KEBUN GETAH

Umor Mak Long lebih kurang empat tahun lebih baru dapat seorang adik perempuan...Mak Ngah.  Mak Ngah dilahirkan di rumah Atok Saleh bapa Wak di Kampung Jorak.  Semua adik-adik Mak Long dilahirkan di sini melainkan adikd yang bungsu dilahirkan di rumah kami sendiri. Atok Keti (atok perempuan) membantu dan menjaga emak ketika "dalam pantang".  Nama sebenar Atok Keti ialah Siti Amah.  Atok Saleh panggil beliau Tiamah.  Kecil hitam manis dan  genit orangnya.  Masakan istimewa ikan keli asam rebus pekat dimasak dalam periok tanah menggunakan kayu api adalah yang paling sedap yang pernah Mak Long makan...air tangan Atok Keti masakan orang tua-tua.  Mak Long ingat lagi ketika itu rumah Atok bahagian rumah tengah baru lagi.  Cantik rumah itu dibena dari kayu yang diukir khas bahagian tingkap dan tudung tingkap dibuat seperti "shutters" sekali.  Pembenaan rumah itu tidak menggunakan paku.  Bahagian dapur masih lagi rumah lama.  Di antara rumah tengah dan bahagian rumah lama (bahagian dapur) ada pelantar dari batang nibong sebagai titi menghubungi kedua-dua bahagian rumah dan tangga kayu yang diikat dengan rotan sega untuk turun naik rumah dari bahagian pelantar.  Di atas pelantar ada beberapa tempayan berisi air dan sebiji "calong".  Di sinilah tempat Emak mandi semasa beliau "dalam pantang" selepas melahirkan Mak Ngah.  Atok Keti cedok air perigi sebelah rumah sahaja penuhkan tempayan untuk kegunaan keluarga. Di sisi tangga pula ada satu lagi tempayan berisi air dan "calong" (gayong) tersangkut di hujung kayu yang dicucokkan dalam tanah untuk cedok air basuh kaki bila naik ke rumah.  Zaman ketika itu tidak ramai orang kampung yang mampu berkasut, ramai yang berkaki ayam! Kalau ada pun selipar "jepun"!  


Semasa Emak melahirkan Mak Ngah beliau menerima bantuan dari bidan kampung.  Ketika itu jarang ibu-ibu mengandung pergi ke kelinik atau rumah sakit untuk mendapat rawatan perubatan ketika mengandung dan bersalin apa tah lagi untuk bersalin di rumah sakit! Memang tidak sekalilah...  Kalau ada masaalah bersalin selalunya ibu-ibu menderita lama dan ada kalanya tidak dapat diselamatkan.  Bidan kampung memainkan peranan penting dalam perkara ibu bersalin.  Dialah membaca doa, membuat tangkal dan mentera dibaca untuk memudahkan si ibu bersalin, tukang urut dan penasihat.  Tugasnya semua dalam satu.  Biasanya si bapa akan membayar upah atas khidmatnya mengikut keikhlasan dan kemampuan.  Orang kampung datang melawat Emak dan Mak Ngah setiap hari bergilir-gilir...lemas rasanya!  Yang paling Mak Long tidak suka sekali ialah bila mereka puji Mak Ngah putih dan comel.  Mereka bandingkan dengan Mak Long hitam legam, bermata besar macam 'mata jering' dan kuat nangis...  Rasa nak halau orang itu balik ...kurang asam!!  Bila Emak sudah "lepas hari" kami pun pulanglah kerumah semula.  Wak akan berulang alik dengan basikal membawa kami pulang ke rumah.


Tidak berapa hari kami balik rumah Emak sudah mula berangan hendak menoreh getah semula.  Emak tidak ada orang untuk menjaga Mak Ngah yang masih bayi.  Kadang-kadang kami ditumpangkan di rumah jiran-jiran yang kebanyakannya saudara mara juga apabila mereka ada kesempatan. Biasa juga Emak tumpangkan kami di rumah keluarga Nyonya Lee Cheng (orang kampung sebut Lecheng), satu-satunya keluarga Tionghua yang tinggal sekampung.  Kadang-kadang kami ditinggalkan di rumah sahaja berdua beradik ketika kami masih lagi tidur.  Mak Ngah tidur dalam buaian kain.  Emak selalu balik jengok kami kemudian beliau sambung lagi kerja. Habis membangkit susu getah perlu dibekukan dalam 'takong' untuk dimesen, dijemur dan seterusnya dikumpulkan untuk jualan. Selepas semuanya beres Emak masak untuk makan tengah hari dan Wak akan berihat tunggu makanan siap sahaja.  Kadang makan nasi berlaukkan sayur bening sahaja tidak ada lauk lain.  Wak suka makan nasi dengan belacan bakar ditenyeh dengan cili padi jerok.  Begitulah keadaan Emak setiap hari melainkan bila hari hujan Emak tidak menoreh.  Emak bekerja tidak 'kering kuku' untuk membesarkan kami.  Besar sungguh pengorbanan Emak.....


Suatu hari Mak Ngah pun sudah besar sedikit, selepas sahaja makan tengahari, Emak dan Wak pergi menebas menerangkan semak dan belukar di tempat Wak menoreh.  Emak cantis-cantis pokok kecil dan rumput kemudian bentang kain buruk untuk kami berdua beradik duduk.  Emak bawak bekalan air kopi cair sejuk dalam botol, sebiji cawan lama dan kalau ada lebih sarapan pagi seperti ubi rebus letak dalam piring dan dibungkus dalam sapu tangan untuk kami berdua.  Bahan-bahan seperti tuper-ware dan plastik belum ada keluar lagi.  Emak bagi Mak Long makan buah mata pelanduk yang banyak di kebun dan main biji getah untuk hiburan.  Banyak nyamok menghurung kami sampai habis bintat-bintat kulit kami digigit nyamok.  Nasib baiklah kulit kami sudah jadi kebal dan tidak menjadi kudis alahan gigitan nyamok.  Emak menebas guna parang panjang tidak jauh dari kami berada.  Sedang Emak dan Wak sibuk menebas, tiba-tiba kami dengar bunyi lompatan dari dahan-dahan pokok getah.  Emak nampak seekor berok jantan datang arah kami dengan lajunya dan Emak cuba menghalaunya dengan menghayu-hayunkan parang ke arah berok.  Tetapi beruk itu tidak sedikit pun menghiraukan malah ia cuba mengarang pada Emak pula dengan mencelik-celikan biji mata, kening meninggi dan menyeringaikan gigi serta taring tajamnya.  Emak rapat kepada kami dan memelok Mak Ngah.  Mak Long pegang baju Emak.  Beruk itu malah semakin dekat dengan kami macam hendak terkam sahaja lagaknya.  Emak panggil Wak sekuat hati hingga Wak sampai dan nampak masaalah kami ketika itu.  Anihnya bila si beruk nampak sahaja Wak datang, dia terus lari melompat-lompat tinggi dari pokok ke pokok hingga hilang dari pandangan.



















  

Thursday, July 26, 2012

NOTA ANAK PENOREH GETAH

Hari ini Mak Long teringat masa kecil-kecil dahulu.  Tidaklah pasti berapa umor Mak Long ketika itu, yang pasti belum masuk sekolah lagi.  Berjalan pun tidak berapa pandai lagi.  Emak kata Mak Long lambat tahu berjalan, umur hendak masuk tiga tahun baru mula hendak bertatih-tatih, kuat menangis dan bila sudah mula menangis tidak mahu berhenti sampai tertidur baru senyap kata Emak lagi.  Mak Long anak sulung, jadi manjalah lebih sedikit dengan kedua Wak dan Emak juga cucu perempuan sulong kepada kedua-dua belah datok.  Paling manja dan istimewa dengan arwah Tok Samad bapa emak.  Mak Long panggil Tok Samad Wak ikut seperti Emak panggil beliau.  Setiap kali beliau datang menjengok kami pasti ada buah tangan untuk Mak Long.  Macam-macam buah tangan yang dibawak bila beliau datang.. ada limau manis, gula-gula, kuih cina (dipanggil kuih Ce kee) berbalut dengan kertas merah dan telor rebus yang berinci (berwarna) merah.  Mak Long gembira bila Wak datang dan paling suka duduk atas pangku beliau. 

Wak Samad peramah orangnya.  Semua saudara mara panggil beliau Pak Tunggal kerana beliau anak tunggal Tok Nek Tunid.  Wak Samad kuat berkerja dan membuka hutan dijadikan kebun getah.  Banyak kebunnya termasuklah dusun buah-buahan maklum Wak ada ramai anak-anak.  Empat orang anak dari isteri pertama meninggal dunia ketika emak Mak Long masih kecil lagi dan tujuh anak dari isteri kedua.  Apabila Emak kawin dengan Wak sebagai hadiah Tok Nek Tunid memberi sebidang tanah kebun getah untuk dirikan sebuah rumah kecil tempat tinggal mereka di Kg Jorak dan tanah itu kekal hingga kini.   

Sebagai pasangan baru Emak dan Wak menoreh getah sebelah pagi dan Emak tanam ubi dan sedikit sayuran sebelah petangnya.  Emak seorang yang kuat semangat dan rajin berkerja tidak kering tangan tidak kira masa.  Ada-ada sahaja yang dibuatnya.  Kalau waktu siang dia menghempas tulang empat kerat cari rezeki, malam pula Emak mengajar mengaji koran kepada anak-anak jiran.  Sambil itu juga Emak menganyam tikar daun pandan dan mengkuang untuk dijual pada sesiapa yang berhasrat.  

Tiap-tiap hari sebelum pergi menoreh emak sudah bangun awal menyediakan sarapan pagi.. air kopi, biskot tawa keras (crackers) kadang-kadang Emak rebus ubi makan cicah dengan gula pasir atau sambal belacan.  Bila sudah siap semuanya barulah Emak turun dari rumah menoreh di sekeliling rumah sahaja tidaklah jauh.  Biasanya Mak Long masih tidur lagi dan tinggallah di rumah seorang.  Bila habis menoreh Emak balik tengok Mak Long, dokong dan bawa ke kebun dia menoreh.  Emak bentang kain yang sudah lusuh di pangkal pokok getah dan letakkan botol air kopi dan sedikit bekal.  Sementara Emak 'bangkit' susu getah ke dalam baldi Mak Long duduk senyap-senyap pangkal pokok getah.  Selalunya Mak Long leka bermain tarik-tarik rumput, punggut biji getah dan makan buah mata pelandok yang sudah ranum merah Emak petik untuk melekakan Mak Long.  Mak Long tidak ada mainan.  

Suatu hari seperti biasa Mak Long duduk di pangkal getah sambil makan buah mata pelandok.  Rasa jemu duduk Mak Long mula bermain susu getah yang meleleh ke dalam cawan.  Godeh-godeh susu itu dengan jari kemudian sapu ke muka akhirnya seluruh kepala.  Adoh!  Perit rambut sudah melekat-lekat di kulit kepala.  Mak Long mula nangis kesakitan sampai teresak-esak.  Emak jauh di hujung kebun tidak dapat mendengar tangisan Mak Long.  Lama jugalah Mak Long menangis hingga emak habis membangkit susu getah.  Bila Emak tengok apa anak dia sudah buat, terus sahaja bawa Mak Long balik rumah.  Adoi hai susu getah sudah kering dan melekat-lekat bertepek pada rambut tidak boleh disikat.  Emak tarok minyak kelapa pada rambut supaya boleh disikat...wah perit dan sakit bukan main lagi!  Sudahnya Emak terpaksa sikat pelahan-lahan dan potong rambut yang sudah tidak boleh dilerai lagi.  Jadilah rambut Mak Long panjang pendek tidak terurus.  Hendak pergi kedai potong rambut, zaman itu manalah ada,  kalau ada pun Emak tidak mampu hendak bayar!













  .     .

Monday, July 23, 2012

NOTA HARIJADI

Tiga hari yang lepas iaitu 20hb Julai, 2012 adalah harijadi Mak Long.  Sudah jauh perjalanan hidup Mak Long lalui, entah bilalah sampai ke penghujung sana?  Sudah bersediakah?  Hanya Allah SWT yang maha mengetahui.  Hampir setiap lorong perjalanan hidup sudah Mak Long lalui...dekat dan jauh, susah dan senang, kesedihan dan kedamaian, kegagalan dan kejayaan sudah pernah semuanya Mak Long lalui.  Orang kata itulah asam garam hidup.  Tetapi sebenarnya Mak Long tidak rasa pun pengelaman yang sudah dikaut, dikumpul sepanjang hidup ini.  Biasa-biasa sahaja.  Mak Long hendak perbaiki cara hidup ini kepada yang lebih baik dan bermakna untuk bekalan ke alam yang kekal.

Kebetulan harijadi Mak Long tahun ini jatuh pada 1 hari bulan mulia sempena  menyambut Ramadhan.  Rasa sungguh bertuah dan bersyukur kerana tidak selalu harijadi jatuh sempena hari sebegini, walaupun ada orang lain yang merasa tidak seronok, kerana tidak dapat meraya dan meraikan harijadi Mak Long.  Suami Mak Long menghadiakan sebuah basikal baru warna merah dan membawa Mak Long makan steak kesukan Mak Long satu hari sebelum harijadi.  Kemudian pada harijadi pula, beliau menghadiahkan sebuat set camera Canon PowerShot SX40HS.  Amboi seronoknya hati Mak Long dapat hadiah hadiah camera yang tidak disangka-sangka..Alhamdulillah..Allah murahkan rezeki dan Mak Long sangat bersyukur.  Mak Long suka ambik gambar..semua jenis keadaan.  

Setiap orang anak-anak talipon dan menghantar e-mail mengucapkan "Happy Birthday" melainkan anak yang sulung.  Hati Mak Long bimbang juga kalau dia tidak sihat ke, sakit ke, macam-macam dan apa-apalah lagi yang melintasi fikiran.  Walaupun begitu Mak Long tetap berdoa agar anak kesayangan sentiasa dilindungi Alllah dari sebarang rintangan.  Hati ibu....... Tupp tupp malam tadi kami dapat bercakap melalui alam maya Skype..  Alhamdulillah anak ku selamat dan sihat.  

Pada harijadi ini Mak Long pakai baju baru labuh warna biru kesukaan yang sudah kian lama dibelikan oleh suami tetapi tidak pernah dipakai.  Suami kata cantik Mak Long pakai baju tu.  Sepanjang hari adalah hariku dan dihabiskan di rumah sahaja tetapi hati Mak Long senang....

Ya Allah ya tuhanku aku bersyukur kepada MU yang telah memberi kehidupan yang bagus padaku.
Ya Allah ya tuhanku jadikan aku seorang muslimah yang soleh 
Ya Allah jadikanlah aku anak yang soleh kepada kedua ibu bapa ku
Ya Allah jadikanlah aku isteri yang taat dan setia kepada suamiku
Ya Allah jadikinlah aku ibu yang penyayang dan bertanggungjawab kepada anak-anak ku
Ya Allah jadikanlah aku sahabat yang dikasihi dan dihormati kepada semua insan
Ya Allah hidupkan aku dalam keimanan dan Islam dan matikan aku dalam keimanan dan Islam juga
Amin..






Basikal merah hadiah harijadi Mak Long
20hb Julai, 2012




Saturday, July 21, 2012

PERMULAAN NOTA

Assalamualaikum warahmatullah....

Sudah lama Mak Long ingin menulis berupa blog, tetapi selalu tertangguh-tangguh.  Sebab pertama sekali Mak Long ini tidak pasti bagaiamana hendak mulakan.  Tambahan Mak Long tidak pandai pula hendak menulis seperti orang-orang lain yang sungguh bijak membentuk kata-kata pena.  Berasa malu dan tidak percayakan diri sendiri pun ada menyelubungi diri.  Hari ini bolehlah cuba-cuba dahulu, kalau tidak manakan tahu boleh menulis atau tidak.

Hasrat dan tujuan utama Mak Long ialah mencoretkan cerita-cerita pengelaman harian yang dilalui sepanjang hayat,  suka dan duka untuk tatapan anak-anak Mak Long, keluarga dan sahabat-sahabat.  Sekiranya cerita dan omong Mak Long dapat diambil dan dijadikan  sebagai pendoman hidup kelian baguslah..... tetapi kalau tidak, tidak mengapalah....dan terima kasih kerana berhenti di laman Omong Mak Long ini.

Hidup ini umpana sehelai daun gugur.  Bila ditiup angin di situlah ia berlabuh.  ...dan apabila ditiup angin berkali lagi terbanglah ia lagi hingga berlabuh di suatu tempat lain...begitulah pusingan hidup hingga ia dipanggil menghadap yang satu iaitu Allah SWT.... 

Wassalam 


Mak Long