Pages

Sunday, May 22, 2016

Kembara Ke California 2

"Assalamualaikum,

Catatan perjalanan kami ke California

21/4/2016 :  Perjalanan Hari Ketiga




Hari ini adalah perjalanan kami hari yang ke tiga.  Kami sampai di California semalam dari sebelah selatan negeri dan kami bermalam di Hotel Best Western di bandar yang serderhana besarnya iaitu Bandar Barstow.  Hotel itu adalah sebuah hotel lama.  Ramai pula penghuni di hotel tersebut malam itu, agak-agak penuhlah juga memandangkan dari jumlah kereta yang terletak di situ.


Snow cap

Selepas sarapan kami mula bergerak meninggalkan hotel.  "Dear, buka peta besar tentukan kita menuju ke arah yang betul" kata Pak Long setelah bergerak beberapa batu.  Crappppp!  Mana perginya buku peta yang dibeli semalam?  Ya ampun......  Buku peta tertinggal di bilik hotel.  Kebiasaan bila hendak meninggalkan hotel Mak Long tengok dua tiga kali pusingan supaya tidak ada tertinggal apa-apa...  Apa sudah jadi kali ni?  Kami pusing semula ke hotel, tiga kali pusing tawab terlepas masuk ke lorong hotel.  Penyambut tamu kata dia nampak kami pusing beberapa kali dan dia sudah sedia untuk bagi kunci bilik.......hahahah mujur!  "Thank you Dear, for being so patient with me...!"

Banjaran Sierra Nevada Mountains

Sepanjang perjalanan itu kami menggunakan Lebuhraya 395 hinggalah ke Lake Tahoe.  Sampai di suatu tempat nama Mammoth Lake kami berhenti di situ isi minyak.  Cantik tempat itu, terasa ketenangan di sekitarnya.  Ia adalah sebuah bandar pusat perlancungan kecil.  Rasa malas pulak untuk menilau-nilau di situ.  Belikan air minuman energy untuk Pak Long supaya tidak mengantuk.  Penjualnya orang India berbangsa Punjabi.  Ketika berada di situ terbau pula masakan kari sedap berhampiran menyumbat lubang hidung.  Bau yang  membuka selera lapar hmmm aduhaii...   Mak Long teringatkan lauk kari ayam yang dibekukan dalam peti beku di rumah!  Teruknya aku, kata hati!!!   Kami teruskan perjalanan perlahan-lahan mengikut had laju di kawasan itu.  Puaslah melihat banjaran gunung di mana salji putih (snow cap) bersih masih terdapat di puncaknya.  Semakin jauh perjalanan ke utara cuaca pula semakin sejuk walau pun sudah musim bunga.  Banjaran gunung itu ialah Sierra Nevada Mountains  terletak di sepanjang California Timur.


Snow cap

Memang cantik pemandangan di situ.  Pak Long kata eloklah singgah sebentar di Mammoth Lakes visitor centre bukan kena bayar apa-apa pun.  Beliau sengaja cari tempat letak kereta berhampiran dengan bangunan "visitor centre", senang hendak berlari ke bilik kecil melepas rasa sesak...hehehehe.  


Visitor Centre

Kami berjalan perlahan-lahan di sekitar tempat itu melembutkan urat yang sudah keras dan bengkok.  Kedengaran deruan angin bertiup sepui-sepui dari pokok pine yang tinggi menjolok langit.  Segar dan indah alunan deruan angin masuk ke telinga sesuai sangat bagi seseorang penulis mendapat dan mencari ilham menulis. Sayangnya Mak Long tidak pandai hendak bermadah macam pujangga hahahaha ... 

Lihalah gambar-gambar yang sempat Mak Long lekarkan.  Terpesona dengan keindahan alam di sana!

Rest Area

Dari situ kami singgah satu lagi kawasan rihat (rest area) ... lihat gambar di atas dan di bawah.  Itulah pokok redwood yang mempunyai keistimewaan dan unik terdapat di California.  Pertama kali tengok pokok redwood.  Pokok redwood ialah sejenis pokok paling tinggi di dunia.  Pokoknya lebih besar dan lebih tinggi dari pokok-pokok lain serta mempunyai hayat yang menjangkau hingga beribu tahun umurnya. Walaupun usia pokok-pokok itu masih muda tetapi sudah lurus tinggi mecakar langit. 


Pokok redwood

Destinasi dalam agenda perjalanan kami ke California ialah Lake Tahoe, Redwood National Park, Drive through redwood trees, Yosemite National ParkHighway 1, Golden Gate of San Francisco dan Big Sur Coastline.  Satu perjalanan yang jauh mengambil masa beberapa hari untuk sampai ke tempat-tempat tersebut dengan memandu kereta. 


Banjaran pergunungan Sierra Nevada

Bandar Pelancungan Musim Sejuk


Nasib baik hari itu ada orang mahu gambarnya dilekarkan.  Kalau tidak memang susah hendak ajak bergambar.  Itu pun tidak mahu menghadap ke cahaya terang buat mukanya gelap!

Silver Lake

Semasa kami lalu di kawasan Silver Lake, keadaan mulai bertambah sejuk.  Semalam kami melalui kawasan "desert" yang kering kontang di mana rumput pun tidak mahu tumbuh.  Hari ini kami melalui kawasan pergunungan yang masih lagi bercuaca sejuk walau pun sudah masuk bulan bulan May.


Mono Lake

Daerah itu terdapat beberapa tasik-tasik kecil yang menjadi pusat pelancungan sukan salji musim sejuk.  Mono Lake adalah tasik yang paling besar di daerah yang sama, cantik biru airnya kelihatan dari jauh tetapi kami tidak berhenti.


Kawasan Torpez Lake

Kami melalui kawasan Torpez Lake yang memang menarik dan cantik di situ, tenang lagi damai.  Tidak berapa jauh dari situ perjalanan kami masuk sempadan Nevada.  Minah GPS kata pusing kiri....kiri lagi....kanan .... kiri hala ke Lake Tahoe!   Buat orang pusing-pusing pula Si Minah GPS.  Kadang-kadang Minah GPS walaupun sudah dikemas-kinikan datanya buat hal juga maka peta amat berguna sebagai pengganti untuk menunjukkan arah yang tepat. Pemandangan perkampungan yang kami lalu menarik dan sangat cantik.  Terdapat suatu padang ragut sayup menghijau luas mata memandang berlatar belakangkan banjaran pergunungan bersalji di puncaknya.



Padang ragut

Kawasan perkampungan dan padang ragut

Gambar di atas itu nampak senget sikit, disebabkan oleh kawasan pergunungan jalannya menurun.  Suhu ketika itu ialah 50 degree feranheit.  

Lewat tengah hari itu akhirnya kami sampai di sebelah selatan Lake Tahoe, California destinasi pertama kami.  Perut kami sudah puas berkeroncong minta diisi tidak kami pedulikan.  Sepanjang perjalanan kami hanya mengunyah kacang badam (almond) dan minum air kosong yang kami bawa selain dari sarapan pagi di hotel sebagai pengalas perut.  Memang dalam perjalanan kali ini kami tidak membawa banyak jajan seperti yang sudah-sudah.  Pak Long hendak kurangkan berat badan katanya!  Kaki Mak Long pula sudah berasa kebas dan lengoh duduk terlalu lama dalam kereta .... Aduhhh....  

Lake Tahoe

Lake Tahoe diiktirafkan sebagai tasik kedua terdalam di Amerika juga tasik berair tawar terbesar di Banjaran Pergunungan Sierra Nevada.  Ia adalah pusat pelancungan yang tersohor menjadi pusat pelancungan dari dalam dan luar negeri. Tasik ini juga menjadi sempadan antara California dan Nevada.  Banyak Mak Long dengar tentang keindahan dan keistimewaan tasik tersebut samaada dari bahan bacaan termasuklah dari cerita Pak Long sendiri.  Pak Long telah menempah sebuah bilik lebih awal di Best Western Hotel di situ seminggu sebelum kami sampai.  Ketika kami sampai di hotel Pak Long minta tukar taraf bilik "suite" agar lebih selesa.  Kami tidak perlu bayar apa-apa kerana kami sudah melebihi "point" (tahap terkumpul yang perlu dicapai oleh sistem komputer bagi melaksanakan sesuatu kegunaan) untuk mengubah taraf bilik.

Setelah mendapat kunci bilik, apa lagi, berihatlah kami sebentar melepaskan letih yang mengatasi perut kosong yang tidak berhenti-henti berkeroncong.  Selesa benar bilik hotel itu, ada dua buah TV, satu di bilik tidur dan satu lagi di ruang bilik rihat.  Ada tab mandi jaquzzi sampai berangan mungkin nanti boleh berendam menghilangkan keletihan.  Tetapi Mak Long kalau sudah dapat bantal maka liatlah hendak bangun.  Hilang pasal hendak berendam dalam jaquzzi!


Lake Tahoe sebelah petang

Antara Lake Tahoe dan hotel kami menginap tidak jauh.  Kami berjalan kaki sahaja ke situ.  Cuaca sejuk dan Pak Long tidak mahu lama-lama di tepi tasik.  Itulah ada baju panas tidak mahu pakai!!!

Pak Long balik semula ke bilik hotel hendak sambung rihat dan buat rancangan seterusnya untuk hari esok pula.  Mak Long pula tidak mahu lepas peluang melihat-lihat di kawasan sekeliling.  Jalanlah sorang-sorang.  Best juga sekali sekala jalan sesorang ni..tapi tidak boleh buat selalu, yang penting suami benarkan dan percaya kepada isterinya.

Bandar Lake Tahoe

Banyak betul bunga-bunga yang ditanam di setiap lorong.  Kebanyaknya pokok tulip dan daffodil, dua-dua jenis bunga kegemaran Mak Long.

Daffodil

Hari itu kami menjamu selera di sebuah restoran makanan Mediterranean.  Sedap cara mereka menyediakan hidangan ikan tuna.  Salad greek kegemaran Mak Long, sampai licin pinggan!!  Agaknya kerana lapar kot yang pinggan semua jadi licin.  Kopi Turki panas sebagai pencuci mulut, sedap juga rasanya macam rasa kopi tradisi Arab biasa dihidangkan dalam cawam kecil yang comel. 


Kopi Turki panas


22/4/2016:  Perjalanan Hari Keempat

Malam semalam kami melayari internet untuk mengetahui keadaan cuaca hari esok dan hari-hari seterusnya di Lake Tahoe.  Menurut catatan kaji cuaca mulai hari esok diramalkan cuaca buruk sepanjang minggu dengan salji, hujan dan ribut.  Salji dalam musim bunga?? Mengembara jauh-jauh eloklah mengetahui keadaan cuaca agar tidak membawa masaalah. Juga supaya tidak lupa membawa pakaian yang sesuai dan mencukupi.

Oleh kerana cuaca buruk itu Pak Long mengambil keputusan untuk meninggalkan Lake Tahoe dan meneruskan perjalanan ke Red Bluff menuju ke tempat kedua iaitu melawat hutan lipur redwood di daerah Eureka di utara California.

Selepas waktu Subuh kami tidak berlengah lagi terus bersiap-siap kemudian ke restauran hotel yang letaknya bersebelahan dengan bangunan bilik kami untuk sarapan pagi kemudian "check-out".  Oooowee suhu pagi hari itu mencecah 46 degrees feranheit (7.7 celcius) berbanding semalam hanya 60 degree feranheit (15.5 celcius).  Kami mula bergerak keluar dari hotel sudah hampir pukul lapan pagi.  Kami membuat pusingan mengelilingi Lake Tahoe hala di sebelah utara di mana pemandangannya lebih indah dan menarik.  Kami berhenti di kawasan dalam gambar di bawah, cuaca pula mulai bertambah sejuk hingga 35 degrees feranheit (1.6 celcius) dan salji mulai turun lebat diikuti dengan angin ribut.  Takut pula rasanya namun hati tetap mahu mengambil seberapa banyak gambar yang dapat...hahaha gilanya!  Pak Long sudah "sound" time to move on...!  Dalam hati teringin benar hendak melihat beruang hitam yang dikatakan terdapat di situ.  Nasib juga tidak ada!  


Lake Tahoe sebelah utara

Lake Tahoe sebelah utara

Dari situ kami terus beredar dan bergerak perlahan-lahan.  Pak Long amat berhati-hati memandu dalam keadaan cuaca buruk itu.  Salji berkeping-keping melayang terbang jatuh ke cermin kereta, bumbung kereta dan ke bumi.  Cantik!  Tetapi sekejap sahaja, salji yang turun bertukar menjadi hujan ice dengan lebatnya.  Jalanraya licin dengan air batu beku di atasnya membuat tugas memandu kereta memerlukan perhatian yang lebih.  Begitu cepat keadaan cuaca berubah dalam sekelip mata.  Kalaulah tidak kerana cuaca buruk, kami memang merancang untuk tinggal di Lake Tahoe beberapa hari lagi.  Kami merancang hendak berjalan-jalan di pantai Lake Tahoe dan menikmati suasana di bawah pokok redwood di situ tidak kesampaian.  Benarlah kata-kata, "manusia merancang, tetapi Allah jua yang menentukannya.."



Salji mula menebal di bumi


Keadaan cuaca buruk begitu boleh berlarutan beberapa lama, kami kuatir akan tersangkut di Lake Tahoe lama...mungkin dua tiga hari, mungkin seminggu tidak siapa tahu bila cuaca kembali pulih.  Pak Long nampak bersahaja tetapi Mak Long tahu bagaimana dalam hatinya.  Bukan salah sesiapa, urusan cuaca Allah yang memegang kuasanya.  Kita berusaha dan bertawakal.  


Mengenakan "snow chain" pada tayar

Ketika perjalanan kami menghampiri Bandar Yuba, semua terafik mulai bergerak perlahan dan berderet panjang. Truck-truck berat bertayar lapan belas ke atas berhenti di tepi jalanraya.  Pihak berkuasa mengarahkan semua kenderan berhenti.  Semua kenderaan dikehendaki memasang "snow chain" (rantai salji) pada tayar kenderaan atau tidak dibenarkan meneruskan perjalanan melalui jalan yang hendak kami lalui ke utara atau pusing balik dari mana kami datang atau tukar arah pergi ke Reno, Nevada di mana cuaca lebih baik.  Siapa yang tidak ada "snow chain" mereka ada menyediakan dengan bayaran sebanyak US$30.00 memasangnya kemudian membukakan semula setelah selamat melalui menyeberang jalan bahaya itu di sebelah sana.  


"Snow chain" untuk keselamatan

Seorang dari pihak berkuasa menghampiri kami dan Pak Long menurunkan cermin kereta.  "Sir, I guess you don't want us to fix snow chain on to your tyres?  We can do it if you wish, but I don't recommend it.  I have one like this myself and its ground clearance is very low..."

"No, Sir... I don't think so", jawab Pak Long.  "How bad is it?"

"Very bad...snow is up to 2-3 feet in the mountains.  No one can pass through the mountains without the snow chains..... I recommend you go to Reno or anywhere that way.... " jawab polis tersebut.

"Thank you....",  kata Pak Long.  Aduhaiii kami terperangkap nampaknya kali ini!

Ribut salji

Pak Long tidak mahu "snow chain" dipasang pada tayar tambahan kereta kami terlalu rendah untuk dipasang "snow chain".  Jadi kenalah pusing balik mengikuti jalanraya ke Reno.  Salji turun semakin lebat hingga hampir-hampir enam inci tebalnya di atas jalan ditambah dengan ribut sekali membuat pemandangan tidak jelas dan merbahaya. Tidak pula boleh berhenti ditakuti kenderaan yang lalu tidak nampak dan salji yang semakin lebat akan tengelamkan kami pula.






Video U-tube di atas banyak persamaan yang kami lalui ketika berada di Yuba City, California.  Mak Long masih belum mampu/pandai bagaimana hendak masukkan video sendiri ke U-tube.

Pak Long tukar fikiran banyak kali tidak pasti arah mana patut kami pergi, ke Reno atau ke Carson City atau pusing ke arah selatan!  Betul-betul buat Mak Long takut dan susah hati.... Stress ooo.

Pak Long pandu kereta arah ke suatu jalanraya yang nampaknya tiada banyak salji.  GPS tidak berfunsi dengan baik untuk mengetahui arah jalan sedangkan papan tanda sudah diselaputi salji!  Jalan itu lengang seperti boleh dilalui, jadi sedaplah hati kami sedikit.  Tetapi hanya seketika sahaja ... tidak sampai lebih kurang sepuluh batu salji mulai turun seperti awal tadi.  Kemudian kami nampak seorang lelaki berhenti di sisi jalan.  Nampak gayanya dia sedang bersedia untuk mengenakan "snow chain" pada tayar trucknya.  Pak Long berhenti bertanya, "Is it worst up there?...."



"Seems that way.  I saw those cars skided and slided down....!" jawab lelaki itu.



Sedang pasang "snow chain"

Pak Long teragak-agak samaada mahu teruskan atau pusing balik!..  Kami dapat mara kehadapan hanya beberapa ela sahaja apabila kereta kami mulai menggelongsor menghala ke gaung berhampiran yang entah berapa jauh dan dalam ke bawah!  Pak Long tekan break tetapi tidak berapa makan!  Kereta oh kereta ....  Mak Long berasa nyawa sudah terlalu hampir sangat di penghujung .. entah berapa puluh kali banyaknya Mak Long mengucap dan berdoa tidak putus-putus agar Allah lindungi kami dan semua yang terlibat.  Pak Long minta Mak Long turun dan tengokkan anggaran antara jalan dan parit di sebelah gunung bila Pak Long cuba mengundur untuk berpusing.  Waaa .... salji hampir masuk dalam kereta apabila pintu kereta dibuka!  Kaki tenggelam dalam salji hampir setengah ke lutut.  Mungkin oleh kerana terlalu ketakutan dalam keadaan yang mencemaskan itu Mak Long sedikit pun tidak terasa kesejukan ketika itu.  Kereta tidak boleh bergerak kehadapan, setiap kali tekan minyak kereta menggelongsor hingga melintasi lorong sebelah menuju ke gaung.  Kalau ada kenderaan datang ketika itu habislah kami!   Akhirnya Pak Long memberi isyarat agar Mak Long masuk semula ke kereta.  Kesihan Pak Long banyak kali dia meminta maaf dan menyesali kerana membawa dan menakutkan Mak Long ke jalan itu.  Mak Long cuba menenangkan hatinya bukanlah salah sesiapa.  Perlahan-lahan dengan berhati-hati Pak Long undur seinci dua kemudian berhenti pelan-pelan dan ulang perbuatan begitu hingga kereta sudah boleh berpusing ke belakang.  Mungkin mengambil masa lebih kurang lima belas minit berkeadaan begitu.  Allah hu akbar .... Alhamdulillah...   


Kami teruskan perjalanan perlahan-lahan.  Tiba-tiba Pak Long kata "Oh no!... a truck with a trailer is coming fast behind....!"  Mak Long lihat melalui cermin sebelah kanan... satu truck sedang menghirit trailer seperti tidak terkawal datang dari arah belakang kami.  Alamak!  sekali lagi bahaya mendatang... belum habis lagi!  Kami tawakal dan berserah bulat-bulat pada Allah!  Itulah kuasa Allah... tetiba truck itu tidak nampak lagi di belakang kami entah ke mana perginya ... phewww....


Kami mengalih jalan menghala ke Reno.  Punyalah lega rasa hati kami...  Kami berhenti untuk isi minyak.  Hujan masih lebat berserta tiupan angin ribut kuat tetapi tiada salji turun.  Ternampaklah pula terpampang tanda amaran digital tepi jalan mengatakan "CAUTION! STRONG WIND!".  Allah hu akbar!  Setelah berhampiran dengan Bandaraya Reno, Pak Long berkata tidak perlu berhenti di situ.  


Reno adalah sebuah bandar terkenal dengan aktiviti perjudian casino dan kami tidak berminat bermalam di situ.  Maka perjalanan diteruskan arah selatan melalui Carson City di Nevada.  Kami menggunakan lebuhraya 395 apabila sampai di kawasan Minden iaitu lebuhraya yang sama kami lalu ketika datang beberapa hari lalu.  Suhu yang dicatat oleh kereta di luar sana ketika itu bertambah sejuk dari 30 degrees feranheit ke bawah aras beku.





Rupanya pengelaman ngeri dan bahaya yang baharu sahaja dilalui masih belum habis bagi kami pada hari itu.  Semua simpang ke jalan melintas menyeberang Pergunungan Sierra Nevada seperti Senora Pass, Bishop dan Lee Vining ditutup kepada semua lalu-lintas kerana ribut salji.  Bermakna kami terpaksa terus ke selatan kemudian mungkin baharulah boleh menuju ke bahagian barat dan utara California.  Lebuhraya 395 ke selatan juga dituruni salji tebal dengan ribut sekali.  Jalan licin dan bahaya.  Kelihatan beberapa kenderaan tersadai di tepi jalan, ada yang sudah hampir masuk gaung, ada yang sudah terbabas dan ditimbus salji!  Macam-macam rupa kemalangan kenderaan di jalanraya.  Yang pelik dan menariknya ada beberapa penunggang motorsikal berenjin kuasa tinggi (Harley Davidson dan BMW) terkial-kial menyorong motor.  Alhamdulillah, kereta kami tidak apa-apa, ... kami amat bersyukur kepada Illahi yang masih sayang dan memberi peluang untuk kami terus hidup.

Hampir jam lima petang baharulah keadaan reda dan dapat memandu kereta lebih baik dan selesa.  Sepanjang perjalanan itu kami hanya berpandukan pada peta mencari jalanraya yang boleh dan  selamat dilalui.  Keadaan cuaca terlalu mendung, membaca peta tidak jelas.  Mujur juga kerana kami membawa lampu suluh untuk membaca peta.  Kami sampai di persimpangan Jalan 178 simpang terakhir yang dibenarkan untuk dilalui menyeberang pergunungan.  Jalan itu melalui bandar-bandar kecil seperti Onyx dan Lake Issabella menujuk ke Bandar Delano di balik gunung.  Ketika sampai di situ hari sudah mulai gelap dan tiada satu pun hotel atau homestay terdapat di sepanjang jalan kelihatan.  Jalan itu pula semakin sempit dan bengkang bengkok seperti ular kena beduk.  Banyak selekoh bahaya...gelap tidak nampak pemandangan di luar.  Kami redah dan tawakal sambil mohon perlindungan dari Nya agar kami selamat sampai ke seberang sana. Sekali sekala kami melalui kawasan perkampungan dan pekan kecil.  Mak Long meletakan sepenuh kepercayaan kepada suami memandu sambil berdoa kepada Nya.  Akhirnya kami selamat menyeberang banjaran gunung dan sampai di balik sebelah sana.  Lega rasanya bukan main....  Kami sampai di Bandar Delano lewat pukul sepuluh malam di mana kami bermalam di Hotel Best Western.  Dengan peristiwa yang berlaku sepanjang hari itu membuat kami lupa bahawa perut juga perlu diisi.  Tidak perasan perut sudah puas berkeroncong hahaha.  Sudah lewat kami malas hendak cari tempat makan.  Makan sahaja bekalan yang kami bawa dari rumah... sardine bercili dalam tin dan biskot  hahaha... ok rezeki juga.


23/4/2016:  Perjalanan Hari Kelima    


Hotel Best Western di Delano tidak ada yang istimewanya selain harga yang tinggi tidak berpatutan dengan harga yang dibayar.  Sarapan pagi pun seperti tidak mencukupi untuk pelangan.  Tetapi itukan California sebuah negeri yang mahal taraf hidupnya.  Namun kami bersyukur dapat tidur atas katil merehatkan keletihan badan.  Kami telah mengalami peristiwan bahaya dalam ribut salji semalam.  Peristiwa yang tidak akan lupa dari ingatan.  Juga beroleh pengajaran untuk mengatasi keadaan  seperti itu serta belajar bersabar dan bersyukur.


Ladang Pecan

Pepagi pukul lapan lagi kami sudah meninggalkan hotel menuju ke utara.  Matahari bersinar menjanjikan hari yang cantik mendatang.  Lebuhraya yang kami lalui kali ini ialah Lebuhraya 99 di mana di kiri dan kanan sepanjang jalan terdapat ladang-ladang luas menghijau dengan subur.  Tidak tahu pula penanaman apakah.  Yang pasti Mak Long kenal adalah ladang anggur dan pecan.  California ialah antara negeri di Amerika yang menjadi pengeluar terbesar dalam bidang makanan dan pertanian.   Antara pertanian yang terbesar ialah strawberry, badam, minyak zaitun dan buah kurma.




Kami berhenti untuk makan tengahari di Restauran Red Lobster, Stanton.  Ikan salmon dan salad pilihan Mak Long.  Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senangnya hati hahaha.....

Selepas makan Pak Long beria mencari tempat mencuci kereta.  Kereta perlu dicuci kerana jalanraya yang dilalui semalam mengandungi garam yang disembur untuk mencairkan air batu atas jalan.  Kalau tidak dicuci nanti berkarat pulak kereta...  "Stress" juga hendak cari tempat cuci kereta!  Bekalan air di California sentiasa dicatu.

Kami telah rugi satu hari semalam.  Sepatutnya hari kelima kami sudah sampai di daerah Red Bluff terletak di utara California.  Tidak mengapalah ... jadikan satu pengelaman hidup.






       







Thursday, May 12, 2016

Rindu

Assalamualaikum,


Hujung minggu lepas mereka sibuk meraikan kaum ibu masing-masing sempena menyambut hari ibu.  Setiap orang anak-anak Mak Long tidak pernah melupakan hari tersebut untuk mengucapkan Selamat Hari Ibu.  Masing-masing dengan gaya dan cara mereka tersendiri menyampaikan rasa di hati mereka membuat seorang ibu tua ini menitiskan air mata kesyukuran.  Sesungguhnya Mak Long sangat bersyukur kepada Allah yang telah mengurniakan kami zuriat yang terbaik bagi kami, taat kepada kami berdua, dan beriman kepada Illahi.  Sebagai seorang ibu setiap hari itu adalah hari ibu.

Masih belum dapat dipastikan bilakan pula dapat bersama-sama dengan Emak Mak Long di tanah air.  Mak Long rindukan Emak, rindu suaranya, rindu menyuapkan nasi ke mulutnya, rindu menyempurnakan rutin pagi baginya.. mandi, mendandan rambutnya dan menyalin pakaiannya serta rindu mencium tangannya.  Rindu ini menebal membendung hati.  





Monday, May 9, 2016

Kembara Ke California 1

Assalamualaikum,

Sudah masuk seminggu kami balik dari bercuti.  Penatnya masih belum hilang lagi.  Sesampainya kami di rumah kelihatan bersepah di sekeliling kawasan rumah.  Apa sudah jadi?  "Wind mill" tumbang, daun gugur bersepah merata kawasan.  Kabarnya malam sebelum kami sampai ada ribut, petir, hujan dan hujan air batu melanda kawasan kami juga di beberapa tempat lain.  Pokok cactus kami ada yang berlubang-lubang penangan hujan air batu yang sebesar bola golf.  Menurut Brenda di keliling rumahnya juga sama seperti rumah kami, beberapa buah pasu bunga pecah.  Belum hilang penat berjalan terpaksa bersihkan yang bersepah itu pula.  Hendak kena tengok atap pula kemungkinan ada kebocuran, harap-harap tidak ada apa-apa hendaknya.


Pokok pudina dan iris lesak ditiup angin

Memang sudah lama kami berangan hendak menilau-nilau negeri yang letaknya paling sebelah barat Amerika Syarikat.  Jangkaannya kami hendak ke sana pada awal musim bunga tahun lepas tetapi terpaksa dibatalkan lantaran keadaan tidak begitu baik di sana.  Tempat-tempat yang hendak kami lawati mengalami kebakaran oleh bencana alam yang tidak siapa dapat menahan dari berlaku.  Akhirnya kami ke Washington State melawat kebun tulip seterusnya ke Nanaimo, Canada menziarah sahabat lama kami yang bermastautin di sana.  Kemudian dalam musim luruh sekali lagi lawatan ke California ditangguh atas sebab-sebab yang sama.  Sebaliknya kami ke Niagara Falls, Canada dan negeri-negeri yang berhampiran termasuklah di Pennsylvania, New York, Tennessee dan North Carolina.

Alhamdulillah, tahun ini tercapai juga hasrat kami untuk melihat dan menikmati alam ciptaan Nya di sana.  California sebuah negeri yang popular dengan keindahan dan mempunyai banyak keistimewaan dan kelainan menurut dari mulut-mulut orang.  Betulkah?  Nanti kita tengok betul atau sebaliknya! 



Dari catatan:  Hari Pertama Kembara ke California



Peta Kedudukan California
Peta Google

Perjalanan bermula dari rumah seawal 8.00 pagi.  Kami tidak menetapkan berapa hari kembara kami kali ini.  Ikut berapa lama boleh bertahan berjauhan dari rumah.  Berjalan suka!  Tetapi Mak Long hanya boleh tahan sekejap sahaja kalau pergi jauh-jauh hati mulalah meragam tidak tahan hendak balik!  Di luar rumah keadan kabus amat menebal membuat hati berasa curiga.  Setiap kali kabus tebal menyelubungi memang membuat hati gundah rasa tidak mahu ke mana-mana.  Teringat peristiwa ngeri berlaku dahulu ketika menghantar Ica anak Mak Long pergi sekolah dalam keadaan kabus tebal.  Pak Long selepas siap-siap diri mula mengatur barang yang hendak dibawa bersama ke dalam kereta.  Sebenarnya Mak Long terlambat sedikit bangun pagi ini kerana badan terasa letih mengemas rumah dan mengemas barang yang hendak dibawa sama.  Terasa benar keuzuran diri sudah kehilangan tenaga dimamah usia.  Tetapi berjalan punya pasal, letih-letih pun tenaga dikuatkan juga....  Pak Long seorang kaki jalan.  Kakinya sentiasa gatal kalau duduk di rumah lama sedikit. 

Di luar sudah terdengar suara Brenda tok tek tok tek bercakap dengan Pak Long yang sedang sibuk.  Apabila Mak Long keluar dan mengucapkan selamat pagi kepadanya Pak Long sudah siap semua kerja.  Brenda mengajak kami minum kopi panas yang sudah tersedia dirumahnya untuk kami.  Sedap juga kopi panas omputeh itu.  Minum kopi sambil makan bersama puff berinti cherry.  Brenda janji akan tolong menyiram pokok-pokok kesayangan Mak Long.  Alhamdulillah ada jiran baik dan rajin serta sukarela membantu dan tolong tengok-tengokkan rumah kami.  Biasanya tiada masaalah meninggalkan rumah kosong walau berminggu-minggu ditinggalkan.  Mudah-mudahan begitulah selamanya.

Sementara itu kabus sudah mula beransur cerah.  Suhu pagi ini hanya 65 degrees walaupun hujan sejak semalam.  Kami mula bergerak menghala ke lebuhraya I-10 melalui Bourne menuju ke El Paso, Texas.  Perjalanan ini jauh mengambil masa hampir tiga hari suntuk.  Sekadar untuk merentas keluar dari Texas ke New Mexico sahaja sudah mengambil masa satu hari.  New Mexico adalah negeri bersempadan dengan Texas.  Lebih mudah sekiranya perjalanan dengan menaiki kapal terbang tetapi tidaklah dapat berhenti dan menikmati suasana tempat-tempat di sepanjang perjalanan.




Di kiri dan kanan lebuhraya dihiasi dengan perbagai jenis tumbuhan dan bunga rumput, merah, biru terutama bunga warna kuning yang berbunga dan tumbuh melata.   Seperti hamparan berwarna warni indahnya.   Semakin jauh perjalanan arah ke barat, landskap alam semula jadi perlahan-lahan berubah rupa.  Segala tumbuhan semakin rendah dan renih mengitu perubahan keadaan cuaca sekeliling.  Ini adalah kerana kawasan beransur ke arah kawasan 'desert'.  Terdapat beribu wind mill menjana kuasa letrik sepanjang perjalanan.

Lebuhraya I-10

Setelah hampir dua jam perjalanan Mak Long ambil alih memandu.  Lama betul tidak memandu kereta ini.  Tempat duduknya rendah berasa terlalu dekat di atas jalan!  Pak Long tanya kenapa tidak guna "cruise" apabila dia perasan kelajuan turun naik antara 80 dan 85 batu sejam.  Sahaja buat begitu jawab Mak Long supaya tidak mengantuk dengan tidak menggunakkan "cruise".  Suhu mulai panas naik ke 76 - 80 +++ degree apabila berhampiran dengan kawasan Fort Stockton, Texas.  Kami berhenti untuk makan tengahari.  All you can eat salad sahaja.  Kemudian Pak Long ambil alih memandu.  Sampai simpang ke Van Horn, Texas waktu bertukar ke "mountain time zone" maknanya dari pukul 3:15 petang undur ke  belakang jadi pukul 2:15 petang.  Kami bergerak dari Texas Hill Country iaitu bahagian tengah Texas, sekarang masih lagi dalam Texas.  Besarnya Texas!


Las Cruces, New Mexico

Pukul 4:15 petang waktu tempatan akhirnya kami keluar juga dari Texas dan masuk New Mexico "the Land of Enchanment".  Kami berhenti di "Welcome center" untuk dapatkan peta New Mexico.  Terasa panas menyambar sesaat membuka pintu kereta.  Cuaca panas padang pasir sudah mencecah 90 degree walau pun di awal musim bunga.  Malam itu kami bermalam di Deming, New Mexico.  



Road runner gergasi
Las Cruces, New Mexico

Kami pernah tinggal di Deming di mana Pak Long bertugas di sana selama setahun dalam tahun 2001.  Setelah "check-in" di hotel, kami pusing-pusing Deming menapak kembali jalan dan liku hidup yang pernah kami lalui di situ.  Sudah banyak perubahan dan pembangunan yang pesat.  Dulu tidak ada hotel dua tingkat kini sudah ada empat buah hotel baharu termasuklah hotel yang kami bermalam malam itu.  Begitu juga pasaraya.  Mak Long biasa berjalan kami dari rumah sewa ke Bandar Deming hampir setiap hari sebagai riadah pagi.  Keistimewaan kawasan Deming, ia mempunyai mata air semula jadi di bawah tanah antara kualiti air paling terbaik di Amerika walau pun kawasan itu adalah kawasan padang pasir.  Pengeluaran hasil pertanian di situ adalah bawang besar dan cili merah.  Bila tiba musim bawang, baunya serata kampung!



Tumbuhan (agave)  di Padang Pasir Deming



20/4/2016 :  Hari kedua Kembara ke California

Dari Deming, New Mexico seawal 7:30 pagi kami sudah bergerak menuju ke Barstow, California melalui dari Lebuhraya I-10 ke utara timur New Mexico.  Suhu pagi ini sejuk kira-kira 46 degrees.  Tempat begini pagi-pagi memang sejuk tetapi bila matahari pagi mulai naik suhu pun perlahan-lahan ikut naik.



Desert di Arizona

Jam 8:30 pagi kami sudah masuk dalam negeri Arizona Land of Sunshine.  Rata-rata tanah di situ tandus padang pasir atau "desert".  Padang pasir di sini tidak sama dengan padang Pasir Sahara.  Tidak ada "sand dune" melainkan ditumbuhi bermacam-macam jenis pokok cactus dan pokok reneh.  Ada sejenis cactus yang hanya tumbuh dan hidup di Arizona sahaja iaitu cactus saguaro berbentuk dan bercabang seperti ada tangan orang.  Cactus ini pertumbuhannya amat perlahan memakan masa berpuluh tahun untuk membesar.  Tumbuhan di padang pasir itu  semuanya reneh dan keding (slang orang Muar perkataan kurus kering).  Kami lalu di pingiran Tucson di mana bukit dan gunung ditumbuhi oleh saguaro cactus.


Saguaro cactus

Saguaro cactus berbunga

Terdapat juga penanaman pecan dan pistacio di tanah padang pasir di Arizona.  Tentulah menelan perbelanjaan yang besar bagi menyalorkan saluran tali-air di ladang-ladang tersebut.



Station Minyak Terrible's

Mak Long tertarik dengan nama station minyak "Terrible's" di mana kami berhenti untuk isi minyak.

Kami sampai di Phoenix iaitu ibu negeri Arizona.  Sebuah bandaraya bercuaca amat panas dan bersih.  Sepajang lebuhraya di situ sangat indah dengan pokok-pokok ditanam yang tahan dengan cuaca panas seperti bunga kertas dan oleander.  Lebuhraya I-10 yang kami lalui merentang dari timur Amerika berakhir di Los Angeles, California dengan lalu lintas yang sibuk!

Dari Lebuhraya I-10 GPS tunjuk ke arah Lebuhraya 72..  Mak oii! Panas benar mencecah 98 degree.  Ini baru musim bunga belum musim panas lagi...!  Agak-agak boleh hidup tak di tempat ini?  Lebuhraya ini melalui Indian reservation dipanggil Colorado River Indian Reservation.  Dalam hati bertanya bagaimanalah orang India boleh tinggal di situ.  Namanya ada sungai tetapi setitik air pun tiada dalam sungai itu.  Memang zalim orang putih Amerika dahulu menempatkan mereka di situ.



Welcome to California

Pukul 2:40 petang kami sampai California.  Ternampak papan tanda amaran bertulis "Warning!  Beware of wild burros" (dongkey) atau keledai liar.  (Amaran!  Awas Keledai Liar).  GPS sekali lagi mengaleh arah ke Lebuhraya 62 jalan yang turun naik bukit... Banyak debu berkepul-kepul apabila kami lalu di situ!  Nampak pula beberapa taman rekreasi dan banyak RV (recreation vehicle) di tengah desert.  Gila ke berekreasi duduk di tengah desert? 


Kawasan Desert di Selatan California

Kami selamat sampai ke Barstow, California sebuah bandar yang sederhana besarnya terletak di selatan California.  Kawasan ini juga adalah kawasan padang pasir.  Malam itu kami bermalam di Best Western Hotel sebuah hotel lama tetapi selesa.