Pages

Monday, May 9, 2016

Kembara Ke California 1

Assalamualaikum,

Sudah masuk seminggu kami balik dari bercuti.  Penatnya masih belum hilang lagi.  Sesampainya kami di rumah kelihatan bersepah di sekeliling kawasan rumah.  Apa sudah jadi?  "Wind mill" tumbang, daun gugur bersepah merata kawasan.  Kabarnya malam sebelum kami sampai ada ribut, petir, hujan dan hujan air batu melanda kawasan kami juga di beberapa tempat lain.  Pokok cactus kami ada yang berlubang-lubang penangan hujan air batu yang sebesar bola golf.  Menurut Brenda di keliling rumahnya juga sama seperti rumah kami, beberapa buah pasu bunga pecah.  Belum hilang penat berjalan terpaksa bersihkan yang bersepah itu pula.  Hendak kena tengok atap pula kemungkinan ada kebocuran, harap-harap tidak ada apa-apa hendaknya.


Pokok pudina dan iris lesak ditiup angin

Memang sudah lama kami berangan hendak menilau-nilau negeri yang letaknya paling sebelah barat Amerika Syarikat.  Jangkaannya kami hendak ke sana pada awal musim bunga tahun lepas tetapi terpaksa dibatalkan lantaran keadaan tidak begitu baik di sana.  Tempat-tempat yang hendak kami lawati mengalami kebakaran oleh bencana alam yang tidak siapa dapat menahan dari berlaku.  Akhirnya kami ke Washington State melawat kebun tulip seterusnya ke Nanaimo, Canada menziarah sahabat lama kami yang bermastautin di sana.  Kemudian dalam musim luruh sekali lagi lawatan ke California ditangguh atas sebab-sebab yang sama.  Sebaliknya kami ke Niagara Falls, Canada dan negeri-negeri yang berhampiran termasuklah di Pennsylvania, New York, Tennessee dan North Carolina.

Alhamdulillah, tahun ini tercapai juga hasrat kami untuk melihat dan menikmati alam ciptaan Nya di sana.  California sebuah negeri yang popular dengan keindahan dan mempunyai banyak keistimewaan dan kelainan menurut dari mulut-mulut orang.  Betulkah?  Nanti kita tengok betul atau sebaliknya! 



Dari catatan:  Hari Pertama Kembara ke California



Peta Kedudukan California
Peta Google

Perjalanan bermula dari rumah seawal 8.00 pagi.  Kami tidak menetapkan berapa hari kembara kami kali ini.  Ikut berapa lama boleh bertahan berjauhan dari rumah.  Berjalan suka!  Tetapi Mak Long hanya boleh tahan sekejap sahaja kalau pergi jauh-jauh hati mulalah meragam tidak tahan hendak balik!  Di luar rumah keadan kabus amat menebal membuat hati berasa curiga.  Setiap kali kabus tebal menyelubungi memang membuat hati gundah rasa tidak mahu ke mana-mana.  Teringat peristiwa ngeri berlaku dahulu ketika menghantar Ica anak Mak Long pergi sekolah dalam keadaan kabus tebal.  Pak Long selepas siap-siap diri mula mengatur barang yang hendak dibawa bersama ke dalam kereta.  Sebenarnya Mak Long terlambat sedikit bangun pagi ini kerana badan terasa letih mengemas rumah dan mengemas barang yang hendak dibawa sama.  Terasa benar keuzuran diri sudah kehilangan tenaga dimamah usia.  Tetapi berjalan punya pasal, letih-letih pun tenaga dikuatkan juga....  Pak Long seorang kaki jalan.  Kakinya sentiasa gatal kalau duduk di rumah lama sedikit. 

Di luar sudah terdengar suara Brenda tok tek tok tek bercakap dengan Pak Long yang sedang sibuk.  Apabila Mak Long keluar dan mengucapkan selamat pagi kepadanya Pak Long sudah siap semua kerja.  Brenda mengajak kami minum kopi panas yang sudah tersedia dirumahnya untuk kami.  Sedap juga kopi panas omputeh itu.  Minum kopi sambil makan bersama puff berinti cherry.  Brenda janji akan tolong menyiram pokok-pokok kesayangan Mak Long.  Alhamdulillah ada jiran baik dan rajin serta sukarela membantu dan tolong tengok-tengokkan rumah kami.  Biasanya tiada masaalah meninggalkan rumah kosong walau berminggu-minggu ditinggalkan.  Mudah-mudahan begitulah selamanya.

Sementara itu kabus sudah mula beransur cerah.  Suhu pagi ini hanya 65 degrees walaupun hujan sejak semalam.  Kami mula bergerak menghala ke lebuhraya I-10 melalui Bourne menuju ke El Paso, Texas.  Perjalanan ini jauh mengambil masa hampir tiga hari suntuk.  Sekadar untuk merentas keluar dari Texas ke New Mexico sahaja sudah mengambil masa satu hari.  New Mexico adalah negeri bersempadan dengan Texas.  Lebih mudah sekiranya perjalanan dengan menaiki kapal terbang tetapi tidaklah dapat berhenti dan menikmati suasana tempat-tempat di sepanjang perjalanan.




Di kiri dan kanan lebuhraya dihiasi dengan perbagai jenis tumbuhan dan bunga rumput, merah, biru terutama bunga warna kuning yang berbunga dan tumbuh melata.   Seperti hamparan berwarna warni indahnya.   Semakin jauh perjalanan arah ke barat, landskap alam semula jadi perlahan-lahan berubah rupa.  Segala tumbuhan semakin rendah dan renih mengitu perubahan keadaan cuaca sekeliling.  Ini adalah kerana kawasan beransur ke arah kawasan 'desert'.  Terdapat beribu wind mill menjana kuasa letrik sepanjang perjalanan.

Lebuhraya I-10

Setelah hampir dua jam perjalanan Mak Long ambil alih memandu.  Lama betul tidak memandu kereta ini.  Tempat duduknya rendah berasa terlalu dekat di atas jalan!  Pak Long tanya kenapa tidak guna "cruise" apabila dia perasan kelajuan turun naik antara 80 dan 85 batu sejam.  Sahaja buat begitu jawab Mak Long supaya tidak mengantuk dengan tidak menggunakkan "cruise".  Suhu mulai panas naik ke 76 - 80 +++ degree apabila berhampiran dengan kawasan Fort Stockton, Texas.  Kami berhenti untuk makan tengahari.  All you can eat salad sahaja.  Kemudian Pak Long ambil alih memandu.  Sampai simpang ke Van Horn, Texas waktu bertukar ke "mountain time zone" maknanya dari pukul 3:15 petang undur ke  belakang jadi pukul 2:15 petang.  Kami bergerak dari Texas Hill Country iaitu bahagian tengah Texas, sekarang masih lagi dalam Texas.  Besarnya Texas!


Las Cruces, New Mexico

Pukul 4:15 petang waktu tempatan akhirnya kami keluar juga dari Texas dan masuk New Mexico "the Land of Enchanment".  Kami berhenti di "Welcome center" untuk dapatkan peta New Mexico.  Terasa panas menyambar sesaat membuka pintu kereta.  Cuaca panas padang pasir sudah mencecah 90 degree walau pun di awal musim bunga.  Malam itu kami bermalam di Deming, New Mexico.  



Road runner gergasi
Las Cruces, New Mexico

Kami pernah tinggal di Deming di mana Pak Long bertugas di sana selama setahun dalam tahun 2001.  Setelah "check-in" di hotel, kami pusing-pusing Deming menapak kembali jalan dan liku hidup yang pernah kami lalui di situ.  Sudah banyak perubahan dan pembangunan yang pesat.  Dulu tidak ada hotel dua tingkat kini sudah ada empat buah hotel baharu termasuklah hotel yang kami bermalam malam itu.  Begitu juga pasaraya.  Mak Long biasa berjalan kami dari rumah sewa ke Bandar Deming hampir setiap hari sebagai riadah pagi.  Keistimewaan kawasan Deming, ia mempunyai mata air semula jadi di bawah tanah antara kualiti air paling terbaik di Amerika walau pun kawasan itu adalah kawasan padang pasir.  Pengeluaran hasil pertanian di situ adalah bawang besar dan cili merah.  Bila tiba musim bawang, baunya serata kampung!



Tumbuhan (agave)  di Padang Pasir Deming



20/4/2016 :  Hari kedua Kembara ke California

Dari Deming, New Mexico seawal 7:30 pagi kami sudah bergerak menuju ke Barstow, California melalui dari Lebuhraya I-10 ke utara timur New Mexico.  Suhu pagi ini sejuk kira-kira 46 degrees.  Tempat begini pagi-pagi memang sejuk tetapi bila matahari pagi mulai naik suhu pun perlahan-lahan ikut naik.



Desert di Arizona

Jam 8:30 pagi kami sudah masuk dalam negeri Arizona Land of Sunshine.  Rata-rata tanah di situ tandus padang pasir atau "desert".  Padang pasir di sini tidak sama dengan padang Pasir Sahara.  Tidak ada "sand dune" melainkan ditumbuhi bermacam-macam jenis pokok cactus dan pokok reneh.  Ada sejenis cactus yang hanya tumbuh dan hidup di Arizona sahaja iaitu cactus saguaro berbentuk dan bercabang seperti ada tangan orang.  Cactus ini pertumbuhannya amat perlahan memakan masa berpuluh tahun untuk membesar.  Tumbuhan di padang pasir itu  semuanya reneh dan keding (slang orang Muar perkataan kurus kering).  Kami lalu di pingiran Tucson di mana bukit dan gunung ditumbuhi oleh saguaro cactus.


Saguaro cactus

Saguaro cactus berbunga

Terdapat juga penanaman pecan dan pistacio di tanah padang pasir di Arizona.  Tentulah menelan perbelanjaan yang besar bagi menyalorkan saluran tali-air di ladang-ladang tersebut.



Station Minyak Terrible's

Mak Long tertarik dengan nama station minyak "Terrible's" di mana kami berhenti untuk isi minyak.

Kami sampai di Phoenix iaitu ibu negeri Arizona.  Sebuah bandaraya bercuaca amat panas dan bersih.  Sepajang lebuhraya di situ sangat indah dengan pokok-pokok ditanam yang tahan dengan cuaca panas seperti bunga kertas dan oleander.  Lebuhraya I-10 yang kami lalui merentang dari timur Amerika berakhir di Los Angeles, California dengan lalu lintas yang sibuk!

Dari Lebuhraya I-10 GPS tunjuk ke arah Lebuhraya 72..  Mak oii! Panas benar mencecah 98 degree.  Ini baru musim bunga belum musim panas lagi...!  Agak-agak boleh hidup tak di tempat ini?  Lebuhraya ini melalui Indian reservation dipanggil Colorado River Indian Reservation.  Dalam hati bertanya bagaimanalah orang India boleh tinggal di situ.  Namanya ada sungai tetapi setitik air pun tiada dalam sungai itu.  Memang zalim orang putih Amerika dahulu menempatkan mereka di situ.



Welcome to California

Pukul 2:40 petang kami sampai California.  Ternampak papan tanda amaran bertulis "Warning!  Beware of wild burros" (dongkey) atau keledai liar.  (Amaran!  Awas Keledai Liar).  GPS sekali lagi mengaleh arah ke Lebuhraya 62 jalan yang turun naik bukit... Banyak debu berkepul-kepul apabila kami lalu di situ!  Nampak pula beberapa taman rekreasi dan banyak RV (recreation vehicle) di tengah desert.  Gila ke berekreasi duduk di tengah desert? 


Kawasan Desert di Selatan California

Kami selamat sampai ke Barstow, California sebuah bandar yang sederhana besarnya terletak di selatan California.  Kawasan ini juga adalah kawasan padang pasir.  Malam itu kami bermalam di Best Western Hotel sebuah hotel lama tetapi selesa.  




















2 comments:

  1. assalamualaikum maklong..harap sihat hendaknya..jauh bjalan kali ni ye mak long..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Yan, Terima kasih... alhamdulillah kami sihat, muga Yan dan keluarga juga begitu. Masing-masing sudah pencen, apabila ada rezeki tu jalan-jalan juga.

      Delete