Pages

Saturday, April 16, 2016

Tweeting

Assalamualaikum,




Tweeting




He is on line
Tweeting......, tweeting........., tweeting....
Breaking news....
Hot gossips....
Stories and everything.....
From a person to another
Tweeting all over
 Across the globe
What good does it do?






Tweeting Red Bird







Cecah Kicap + Wasabi

Assalamualaikum,

Sudah lama benar teringin kuih bakar.  Terasa seperti sudah dalam tekak, macam mak andeh menggandung pula!!  Kuih bakar adalah antara kuih muih Melayu yang menjadi kesukaan sejak dari kecil hinggalah sudah tua-tua begini.  Telepon Icah puteri bungsu Mak Long kalaulah dia balik hujung minggu ini.  Boleh makan bersama sambil sembang-sembang emak dengan anak gadis manis.  "Very sorry Mom, I cannot come home...got to work on weekends...".  Tidak mengapalah, kalau sudah begitu buat sikit cukuplah lepaskan rasa teringin.  Buat setengah bancuhan sahaja.  

Bahan semua ada cuma tidak menggunakan gula pasir yang digantikan dengan gula kelapa.  Warnanya tidaklah hijau cantik seperti kuih bakar biasa.  Yalah warna hijau daun pandan campur gula kelapa lain benar rupanya... Tidak tahu warna apa namanya hahaha....  Yang paling seronok bukan main sekali ialah tengok dalam peti sejuk terjumpa lempok durian, you.... Lupa ada!!  Sudah berapa bulan bawa balik dari kampung baru terjumpa dan ingat!  Apa lagi masukkan sedikit dalam bancuhan kuih bakar..  Senyum manjang orang tua ini...  Poooohh!  sedap dan nyaman rasa hendak pengsan baunya bila hampir masak dari dalam ketuhar...  "What are you cooking!  Smell so good....!"  Tanya Pak Long..  


Kuih Bakar 

Memang sedap weiii....  Tambah sedap rasanya bila cicah dengan kicap campur sedikit wasabi.  Berdengung otak sampai ke telinga perkena wasabi... Hahahaha  Cicah kuih manis dengan kicap campur wasabi??  Haaa itulah kesahnya.  Orang Johor terutama dari Daerah Muar biasa makan goreng pisang atau mee siput goreng (mee kuning dilipat-lipat jadi bulat leper dan dikeringkan hendak makan baru digoreng)  dengan sambal tumis cair.   



Mee siput Muar (mentah)

Tidak malu Mak Long puji masakan kuih bakar ini.  Tetapi memang sedap!  Tiga hari habis dan licin... sarapan dan manisan cuci mulut selepas makan.



Kuih bakar cicah kicap + wasabi












Tuesday, April 12, 2016

Musim Bunga 2016

Assalamualaikum,

Negara yang mempunyai empat musim iaitu musim panas, musim luruh, musim sejuk dan musim bunga, mereka kebanyakannya mengubah waktu sebanyak dua kali setahun.  Ini dilakukan bermaksud untuk menikmati masa siang lebih panjang.  Dalam bahasa Inggeris disebut "Daylight Savings Time".  Tarikh mula dan akhir  "Daylight Savings Time" tidak sama dari tahun ke tahun juga ia bergantung tempat dan daerah.

Tahun 2016 di Amerika, "Daylight Savings Time" bermula pada hari Ahad kedua dalam bulan March.  Jadi tahun ini jam diubah waktunya pada hari Ahad, 13hb March dari pukul 1:00 pagi diubah kehadapan kepada pukul 2:00 pagi.  Pertukaran waktu ini nanti akan berakhir pada hari Ahad pertama dalam bulan November, 2016 mulai pada pukul 2:00 pagi diubah waktunya kebelakang kepada pukul 1:00 pagi.  Pada tarikh 20hb March secara rasminya bermula musim bunga atau "spring season".  Omputeh di sini biasa sebut spring sahaja.

Apabila putaran musim bunga kembali semula, ia bagaikan saat membuka lembaran baru selepas mengalami kelembapan dalam musim sejuk. Tumbuhan yang kehilangan dedaun malah ada yang mati kesejukan bercambah semula menyerikan alam dengan kembangan indah berwarna warni menawan hati dan minda sehinggakan rumput pun tidak mahu ketinggalan memceriakan alam.  


Bulu tebal mula tanggal dari biri-biri

Haiwan mulai bangun dari tempat pertapaan di lubang, di gua seperti ular, buaya, tenggiling, beruang dan lain-lain binatang yang tidur sepanjang musim sejuk.  Bulu tebal berwarna gelap mereka akan gugur berganti baru lebih nipis dan berwarna cerah.  


Burung kelicap 

Burung-burung akan kembali semula dari permergian mereka yang jauh merentas belantara kala mencari tempat yang lebih panas.  Rama-rama kembali menyeri bunga.  Pendeknya inilah juga musim mengawan masa mereka membiak.



Mr Hollis si tupai

Mr Hollis si tupai datang semula cari makan.  Musim sejuk dia tidak keluar dari tempat pertapaannya.  Laparlah dia hingga sanggup bergayut bergitu rupa... malangnya Mak Long belum sempat memenuhi tabung bijiran itu...kesihan!


Rusa jantan

Setiap tahun rupanya tanduk rusa jantan itu tumbuh dan berganti.  Musim sejuk adalah puncak tanduk-tanduk itu membesar kemudiannya gugur bila musim berganti iaitu masuk musim bunga semua tanduk rusa jantan tanggal dan gugur ke bumi.  Sebelum tanduk-tanduk itu tanggal dari kepala, mereka  menggosok-gosokkan tanduk pada batang kayu dan pokok-pokok hingga rosak pokok dan tanaman.  

Tanah keras kerana sejuk diselimuti salji beku di musim sejuk.  Apabila cuaca mulai bertukar panas tanah menjadi lembut dan lembab semula.  Peladang dan petani sibuk menyemai dan menanam tanaman baru.  Suasana mulai rancak dan ceria semula.  


Awan mendung, angin bertiup kencang

Tetapi musim bunga bukanlah bermakna keadaan sentiasa indah tanpa masaalah.  Hujan bermakna juga musim banjir di setengah tempat ditambah dengan salji pula mulai cair.  Begitu juga angin ribut yang kuat membawa hujan air batu (hails) dan tornado (angin puting beliong).  Tornado terjadi apabila cuaca sejuk dan cuaca panas berlaga.  Musim bunga tahun ini sudah dua kali termasuk malam ini kawasan kami mengalami hujan air batu sebesar bola soft ball merosakkan kenderaan yang diletak di tempat lapang dan atap serta tingkap cermin rumah.  Alhamdulillah, rumah kami tidak apa-apa..

Walau apa pun pertukaran cuaca adalah urusan Allah SWT.  Umpamanya tahun ini, di kawasan kami musim bunga bermula lebih awal dilimpahi dengan cuaca lembab, hujan hampir setiap hari.  Pokok dan rumput seolah-oleh keliru mengeluarkan bunga dan berputik.  Kemudian cuaca beku dan sejuk (freeze) terakhir dari utara datang mengakibatkan bunga dan putik buah-buahan menjadi lecur dan rosak.  Kebiasaan dalam bulan April adalah musim hujan hingga menjadi satu perpatah Inggeris menyebut "April showers bring May flowers".

Masyarakat tempatan sibuk kemas kinikan kawasan dan rumah mereka.  Tiap-tiap hujung minggu ada sahaja "garage sales" di sana sini.  Mak Long suka aktiviti "garage sales".   Tidak perlu simpan barang-barang yang tidak diguna dan tidak berfaedah disimpan menyemakkan sahaja.  "Someone's trash is someone's treasure".  Sekiranya barang-barang itu tidak laku maka boleh dihantar ke suatu tempat untuk disedekah kepada mereka yang perlu.  

Kalau ada aktiviti seperti itu di Malaysia alangkan baiknya.  Bukanlah bermaksud menghina atau memburuk-burukkan bangsa sendiri.  Sanggup simpan sampai buruk barang-barang yang tidak diguna pakai yang akhirnya nanti dibuang sahaja, sedangkan agama kita melarang pembaziran.  Tambahan pula ada juga orang-orang yang tidak mahu menerima barangan yang sudah guna pakai ("secondhand") seperti pakaian dan perabut.  Keluarga Mak Long sendiri ada yang tidak mahu terima malah menganggap ia satu penghinaan apabila diberi barang "secondhand" itu.  Hendak yang baru dan berharga walau pun memang sah dia itu berkeadaan susah!  Hah!  Mak Long sudah terkeluar dari tajuk dah!

Rumput di kawasan rumah kami mulai menghijau.  Enam tahun lalu ketika kami baru pindah, rumput tidak tumbuh disebabkan terlindung dari cahaya matahari dan banyak batu kecil dan besar di sekeliling rumah.  Pak Long tebang kebanyakan pokok cider agar terang kawasan dan kami kutip batu-batu yang timbul.  


Bluebonnet

Paling Mak Long suka musim ini ialah banyak jenis pokok bunga liar yang cantik tumbuh walau pun di tanah gersang.  Tengoklah Mak Long pula melaram dalam gambar di bawah.  Kak Noor, Uncle dan Iryanti, Mak Long sudah tunaikan permintaan hendak tengok gambor orang tua dari kampung ini hahahaha....




Bluebonnet ialah bunga liar, bunga kebangsaan Texas rancak berbunga tidak kira di mana.  Di tepi  jalan dan lebuhraya, di bukit-bukit, di ranches, di keliling rumah ia akan tumbuh melata tidak perlu ditanam.  Mak Long diberitahu tidak boleh memetik atau merosakkan bluebonnet tumbuh di kawasan awam. Di hadapan dapur kami penuh melaut dengan bluebonnet.  Ribuan lebah sibuk menghisap manisan.  


Bunga antelope horn dan bluebonnet

Ladang (ranch) ternak kambing dan biri-biri

Paling Mak Long gemar bila melihat binatang ternakan di ranch yang menternak lembu, biri-biri dan kambing damai meragut rumput hijau.  Tenang rasa hati melihat mereka.


Burung belatuk hinggap di tabung bijiran

Burung berbagai jenis berkicauan meriahkan suasana alam sepantas matahari membuka tirai cahaya.  Burung belatuk juga tidak ketinggalan datang berpasangan.  


Kudup bunga morning glory

Di atas itu adalah pokok bunga morning glory, tidak lama lagi kembanglah dia.


Bunga "Redbud"

Akhir tahun lepas kami tanam pokok "redbud".  Tahun ini ia mengeluarkan bunga cantik hingga ke hujung ranting.  Bunganya tahan lama berkembang, apabila layu dan gugur daun hijau pula menjonggol berpucuk.




Bunga liar ini Mak Long tidak tahu namanya.  Baunya lembut harum sermerbak umpama bau harum minyak wangi "Pleasure" dari keluaran Estee Lauder.


Daffodil

Beberapa deffodil kuning Mak Long tanam sudah pun mengeluarkan bunga.  Kurus! Tidak gemok.


Pokok Tin (fig)

Pokok tin Mak Long berdaun kembali setelah gondol di musim sejuk.  Harap-harap akan berbuah lebat tahun ini.

Mak Long bersyukur dapat melihat dan menikmati ciptaan Illahi.  Juga gembira dapat berkongsi walau pun melalui gambar-gambar sahaja dengan sahabat-sahabat yang tidak dapat  bersama melihat di antara ciptaan Allah yang maha berkuasa.
















Sunday, April 10, 2016

Windmill (Kincir Angin)


Assalamualaikum,

Dua hari ini Pak Long sibuk.  Buat tapak mendirikan "windmill" di belakang rumah.  Untuk hiasan di laman belakang rumah sahaja.  Mak Long hanya bantu sedikit sahaja, tolong pegang kayu bila Pak Long memotong atau ketuk paku pada kotak yang dibinanya.  

"Windmill" atau kincir angin dalam bahasa Melayu ialah suatu alat yang menggunakan kuasa angin menukarkan kuasanya kepada tenaga putaran melalui bilah atau kipas.  Zaman dahulu windmill memainkan peranan penting kepada manusia digunakan untuk mengepam air kegunaan dan bekalan air di ladang dan di rumah.  Windmill lama seperti itu yang pernah Mak Long lihat mempunyai pam air di mana air dinaikan dari mata air di bawah tanah.  Air itu disimpan dalam tangki besar terletak berhampiran dengan windmill.  Windmill juga digunakan sebagai kuasa mengisar bijiran seperti jagong, gandum dan lain-lain untuk menghasilkan bahan makanan seperti tepung.  

Di Texas windmill digunakan untuk menjana eletrik yang dikenali sebagai turbin angin.  Windmill juga digunakan sebagai hiasan di laman rumah, di kebun sebagainya.



Turbin angin

Gambar dari Google
Ia adalah windmill biasa terdapat di Negeri Belanda

Windmill hiasan

Windmill hiasan
Pak Long tidak tahu kita ambil gambar dia....kalau dia tahu mesti tidak suka punya .... 




Yang ini orang tua pun sama sibuk bergambar sebelah windmill!   Berangan hendak tanam pokok menjalar seperti peria atau kacang di tengah-tengah kotak itu nanti.  Biar pokok itu nanti menjalar memanjat "windmill".  Cuma hendak isikan tanah sahaja, lepas itu bolehlah tanam pokok itu.

















Thursday, April 7, 2016

Ehh....! Dia Berbunga!!

Assalamualaikum,

Mak Long adalah tiga jenis orkid.  Orkid koman, biasa-biasa sahaja yang terdapat di Texas.  Memang pengemar orkid tetapi di sini tidak ada orkid istimewa seperti terdapat di Malaysia atau di Singapura.  Pernah dulu-dulu Mak Long seludup benih beberapa jenis orkid.  Semua mati meragan apabila ditinggalkan ikut Pak Long keluar negara.  

Tiga pokok yang ada sekarang, masa beli dulu siap semua ada bunga cantik.  Kerana berbungalah Mak Long tertarik membeli.  Yang pertama ini sudah empat tahun Mak Long jaga macam emas suasa!!  Itulah sekali dia berbunga lepas itu haram pun ... Berputik pun tidak!   Bukan tidak berbaja, semua siap berbaja.  Terlebih tarok baja agaknya?



Orkid No. 1


Yang kedua itu baharu dua tahun, harapkan gemok sahaja!  Begitu juga kesahnya tidak mahu berbunga.  Pada hal jaga dia macam intan!  


Orkid No. 2


Yang ketiga ini pulak lain sedikit.  Ketika beli dulu memang dia nampak layu sedikit mungkin sebab musim panas tetapi mempunyai bunga lebat dan cantik.  Dua minggu selepas beli semua bunga gugur.. Yap!  Bunga gugur kemudian daun-daun sekali gugur melainkan sehelai daun yang tinggal.  Kecewa juga tetapi Mak Long teruskan juga jaga bebaik.  Mak Long aleh dia ke dalam pasu cantik sikit.  Kekadang rasa macam orang gila bercakap dengan orkid tiga pokok itu.  Setiap kali berbicara dengan pokok-pokok itu Mak Long pastikan Pak Long tidak berada dekat takut dia dengar Mak Long bercakap dengan pokok orkid!  Nanti ketengghi (malu bahasa kampung di Muar) nanti...hahahaha.  Sekali itu Mak Long kata kalau tidak berbunga juga Mak Long hendak buang dalam tong sampai!  

Semua orkid itu Mak Long tempatkan di tepi tingkap dapur supaya dapat cahaya matahari.  Bila memasak mesti tengok dan bercakap dengan mereka  hahaha.... 

Baru-baru ini Mak Long perasa macam berputik pulak.  Sudah sah memang itulah kuntum bunga yang keluar.   Wow!  Dia berbunga.... tidak sangka!  


Orkid No. 3

Walau pun tidaklah seberapa orkid no. 3 itu tetapi dia buat hati orang tua ini senyum setiap kali memandang ke arahnya....  Thank YOU!


Bunga orkid No. 3













Tuesday, April 5, 2016

Hendak Bergambar

Assalamualaikum,


Linda jiran kami datang melihat lautan bunga bluebonnet di halaman rumah kami.  Kebetulan ketika itu Mak Long sedang mengambil beberapa gambar di beberapa sudut kawasan.  Mak Long pelawa Linda agar beraksi biar Mak Long ambil gambarnya.  Seronok dia bila dipelawa begitu.


Linda Frank













Kerusi, Meja Buruk Lagi

Assalamualaikum,


Catatan dari beberapa bulan lalu:

Selepas zohor kami ke Bastrop suatu daerah kira-kira 70 batu jauhnya dari rumah kami.  Pak Long unjukkan satu alamat pada Mak Long untuk masukan data ke dalam minah GPS.  Pak Long buat temu-janji dengan seseorang di sana untuk melihat kerusi, meja besi lama untuk dijual yang diiklankan di laman Craiglist.  Pak Long cakap kalau Mak Long tidak suka, tidak perlu beli.  Tengok sahaja!  Ikutkan sahaja.  Sebenarnya sudah lebih dari cukup kerusi, meja besi buruk yang sudah ada di sekeliling rumah.  Kami selamat sampai di alamat rumah itu di mana pasangan suami isteri itu telah menunggu.  Ramah orangnya, mereka menyambut kami dengan mesera seperti sudah kenal lama.  Kami diperlihatkan pada barangan yang dijanjikan.  Pak Long tanya pendapat Mak Long samaada jadikah kerusi meja itu untuk dibeli.  Mak Long anggok sahaja, yang berminat sangat Pak Longlah.  Mak Long tidak pun kesah, samada jadi beli atau pun tidak.  Kerja-kerja tukang baik-pulih barang besi mahu pun kayu Mak Long tidak minat sangat.  Harga asal yang diminta adalah $190.00.  Pak Long minta kurangkan harga memandangakan kerusi meja itu sudah lama dan berkarat di sana sini serta kayunya pun mulai reput memerlukan baik-pulih yang remeh.  "Do you take $150.00?"  Lama si isteri merenung suaminya... "I agree whatever you think best.....", akhirnya dia berkata.   "Ok...I take USD160.00", kata si suami.


Kerusi besi buruk

"Deal!!", laju jawab Pak Long sambil tersengeh lebar.  Mereka bantu memuatkan belian kami iaitu sebuat meja, dua kerusi dan satu kerusi panjang ke dalam truck.  Berat bukan main benda alah itu. 



Cast iron chairs


Memang unik reka-benuk kerusi dan meja besi itu, terutama mejanya.  Keliling meja dihiasi dengan bunga rose begitu juga tempat bersandar kerusinya.



Meja besi

Sebelum sampai rumah kami singgah di gedung Lowes iaitu sebuah "home depot".  Pak Long perlu beberapa tin cat warna hitam untuk memulakan projek baru.  
  


Kerja baik-pulih bermula

Asyik dan tekun


Siap satu kerusi



Hasil dari kerja baik-pulih

Hampir dua minggu lebih Pak Long mengerjakan projeknya.  Tekun dan amat halus kerjanya.  Dia buka satu persatu meja dan kerusi itu, bertarai merata tempat belakang garage.  Bahagian kayunya digosok dengan "sand paper" sampai licin.  Kemudian disapu cat kayu.  Bahagian besinya begitu juga, dibersihkan dahulu kemudian disapu cat hitam.  Apabila kerja siap Pak Long nampak puas hati dengan hasil titik peluhnya itu.  

Sebelum membeli dan pindah di kediaman kami sekarang, kami berhasrat membeli rumah di kawasan Bastrop.  Kami berpendapat tempat tersebut amat ideal untuk tempat tinggal apabila Pak Long bersara nanti.  Tanah bukit dipenuhi dengan kehijauan pokok-pokok pine yang tegak dan tinggi menjolok langit.  Design rumah-rumah di situ juga sesuai tidak terlalu kecil dan tidak terlalu besar.  Sebenarnya kami telah pun memilih sebuah rumah yang kami fikir sesuai cuma satu masaalahnya "garage" rumah tersebut tidak memenuhi cintarasa Pak Long.  Pak Long perlu garage besar!  Lagi besar garage itu lagi bagus pada Pak Long.  Sahabat kami Lisa sebagai "realtor" atau agen membeli/menjual rumah berkerja keras membantu kami.  Tetapi saat-saat akhir kami tidak jadi beli rumah di Bastrop.  

Tahun 2012 iaitu dua tahun selepas kami pindah di Canyon Lake, Texas menghadapi kemarau panjang terutama di kawasan kami Texas Hill Country dan Bastrop.  Air di beberapa batang sungai menjadi kering, tanaman tidak menjadi dan tumbuhan banyak yang mati.  Air di Tasik Canyon susut ke aras yang getir sekali.  Suhu setiap hari mencecah antara 105-113 degrees Fahrenheit... panas terik sangat!  Bastrop telah mendapat bencana alam yang teruk dan menyedihkan.  Hampir tiga suku dari kawasan Bastrop dilanda kebakaran.  Beratus buah rumah dan kedai habis runtuh rentong menyembah bumi.   Ketika bencana berlaku kebanyakan penghuni-penghuni rumah keluar pergi kerja.  Mereka pulang, rumah sudah tiada.  Ramai yang hanya tinggal sehelai sepinggang.  Rumah yang kami pilih juga tidak terlindung.....  Kami bersyukur Allah telah menghindarkan kami dari musibah yang ditakuti.  Alhamdulillah.....

Ketika kami di situ, masih jelas kesan-kesan kebakaran kelihatan.  Tunggul pokok pine yang terbakar masih ada.  Kini rumah-rumah yang terbakar itu sudah dibangunkan dengan pembinaah rumah-rumah baharu yang lagi hebat, cantik dan moden.  Betapa cepatnya kawasan itu membangun semula.