Pages

Sunday, March 6, 2016

Tempeh

Assalamualaikum,



Tempeh

Tempeh adalah satu dari permakanan tradisi kegemaran orang Melayu dan orang Jawa yang telah berzaman ujutnya.  Mak Long pasti tempeh berasal dari ciptaan orang Jawa dahulu.  Kedatangan orang Jawa dari Indonesia ke Tanah Melayu dahulu kala membawa ilmu membuat tempeh kepada penduduk tempatan.  Malah kini bukan dari kalangan orang Melayu dan Jawa sahaja yang suka makan tempeh.  Orang China dan India sudah menerima tempeh sebagai sebahagian dari permakanan mereka.   Akhir-akhir ini tempeh sudah mendapat tempat istimewa di kalangan penduduk Amerika Syarikat terutama mereka-mereka yang tinggal di bandar-bandar dan mengetahui khasiat tempeh.  Mereka mengutamakan permakanan sihat.  Sebenarnya sudah banyak pengenalan bahan makanan dari Asia seperti kelapa, kuetiaw, popia/spring roll antaranya yang mula mendapat sambutan baik di negara luar.       

Kandungan utama dalam tempeh adalah seratus peratus kacang soya.  Kacang soya mengandungi  zat protein, vitamin B dan serat.  Zat-zat itu penting untuk tubuh badan manusia juga haiwan.    Penanaman dan pengeluaran kacang soya adalah satu daripada bidang pertanian utama di Amerika Syarikat.  Kacang soya diproses untuk bahan makanan seperti minyak soya, mayonais, butter, makanan haiwan ternakan dan lain-lain jenis pengeluaran.


Kacang soya

Tempeh adalah satu dari makanan kegemaran Mak Long.  Makan nasi berlaukkan tempeh masak bening (masak air, perkataan sering digunakan oleh orang Johor) atau goreng cecah kicap pun sudah mencukupi.  Macam-macam cara dan resepi memasak tempeh.  Masak lemak lodeh kalau tidak ada tempeh, memang tidak sempurna rasanya.  Di kampung apabila hendak menyambut hari raya puasa tempehlah antara bahan masakan yang paling laris di pasar Muar.  Bungkusan tempeh yang belum menjadi pun berebut orang membeli untuk disimpan dan guna apabila tempeh sudah jadi.


Tempeh goreng

Isteri arwah bapa saudara Mak Long bernama Mak Yam berketurunan Jawa pandai membuat tempeh untuk jualan.  Keluarganya dulu memang tokey tempeh di pasar Bukit Gambir, Muar.  Tempeh yang paling sedap ialah tempeh yang dibungkus dengan daun pisang atau dengan sejenis daun yang Mak Long tidak pasti namanya.  Pernah Mak Yam beritahu bagaimana hendak buat tempeh.  

Menurutnya, pertama sekali kacang soya dibersihkan dari barang asing seperti pasir kemudian dicuci dengan air bersih beberapa kali.  Setelah bersih hendaklah direndam sehari atau dua hari dengan menukar air rendaman itu dua kali sehari sehingga kacang soya itu kembang.  Setelah kacang soya kembang bolehlah dibuang kulit arinya dengan meramas kacang soya hingga tanggal semua kulit ari.  Rebus kacang soya yang sudah bersih itu tanpa garam selama 30 minit.  Toskan dan keringkan biar sejuk suhu bilik di dalam dulang besar.  Setelah itu bolehlah meragi kacang soya dengan menggunakan ragi tempeh.  Ragi tempeh jarang dijual di pasaran, tidak seperti ragi tapai yang mudah dapat dibeli di pasar orang Melayu atau Jawa.  Kata Mak Yam sekiranya tidak ada ragi tempeh, gunakan tempeh yang sudah jadi itu sahaja dengan mengeringkan tempeh itu dahulu kemudian dihancurkan jadi raginya.  Cara meragi ialah dengan menaburkan ragi kepada kacang soya, digaul hingga rata barulah dibungkus dengan daun, biasanya Mak Yam bungkus bahagian luar bungkusan tempeh dengan kertas surat kabar.  Apabila siap membukus, simpan tempeh di tempat kering selama lebih kurang 36 hingga 48 jam.  Tempeh menjadi bila kulat putih meliputi dan memampatkan rupa tempeh.  Nah sudah boleh dimasak! 

Mak Long pandai beli, buat tidak pernah.  Mungkin sudah sampai masa untuk cuba membuat tempeh sendiri.  Di Texas pasaran tempeh terdapat di kedai-kedai menjual barang makanan oganik untuk diet sihat juga dijual di pasaraya Kroger sahaja.  Tempeh yang ada di Texas diusahakan oleh orang Indonesia.  Tempeh dibungkus dengan plastik kemudian dikedap udara agar tahan lama (gambar atas sekali).  Ada terdapat beberapa kelainan pembuatan tempeh di sini.  Tempeh ditambah perisa seperti dicampur dengan beberapa jenis bijiran seperti biji flax, biji gandum dan lain-lain.  Biasanya Mak Long beli lebih kemudian simpan dalam peti beku.  Pak Long tidak suka makan tempeh dan tahu katanya.  Itu dulu!  Mak Long masak tempeh goreng bercili bersama-sama ikan bilis, kacang tanah dah kentang yang dipotong kecil-kecil.  Goreng semuanya dengan minyak kemudian disira dengan sambal manis-manis sedikit.  Elehh mula-mula dia jual mahal... Mak Long saja biarkan dalam mangkok atas meja dan makan sebagai kudapan depan dia.  Hahaha tidak tahan Pak Long akhirnya tergoda juga dengan tempeh.  



Tempeh goreng bercili dengan
kacang tanah, ikan bilis dan kentang

Tengok gambar mangkok di bawah sudah tinggal kekoret hingga nampak warna mangkok....


Tempeh goreng bercili














Tuesday, March 1, 2016

Selamat Harijadi "Dear"


Assalamualaikum,


Hari ini genab 68 tahun usia Pak Long 
Kekasih hati tempat mencurah kasih dan cinta  
Dahan rendang tempat berpaut 

Muga Allah SWT

Sentiasa membuka hati mu 
Memberi petunjuk arah perjalanan mu 
Ke jalan yang lurus lagi benar.




Dearest "Dear"

It is your birthday
I wish you
Many Happy Returns Of The Day
May you have much pleasure and joy
May each hour and minute be filled with delight
May you have many more birthdays to come





Love

"Miss K"






















Sunday, February 28, 2016

Hujung Minggu Akhir February 2016

Assalamualaikum,

Malam tadi Pak Long pesan supaya siap awal boleh pergi ke Austin.  Bandaraya Austin adalah ibu negeri Texas, kira-kira satu jam memandu dari rumah.  Bandaraya ini lebih kecil dari Dallas dan Houston.  Kami sering ke situ hanya untuk berbelanja bahan makanan halal.  Tetapi kali ini Pak Long berhajat untuk membeli sebuah tangki tandas ganti tangki di bilik mandi tingkat atas yang pecah dua beberapa hari lalu.  Patutlah lama benar Pak Long mengadap komputer, rupanya melayari sesawang "craiglist" cari benda.  Terjumpalah seseorang mempunyai set tangki yang hendak dijual.  Omputeh di sini sekiranya ada barang yang tidak perlu, mereka jual sahaja tidak disimpan buat semak kawasan.

Pak Long dengan pertolongan Brenda jiran kami membaik-pulih bilik mandi utama kami.  Sementara kerja siap kami gunakan bilik mandi di tingkat atas.  Leceh!  Pak Long tergelincir dalam tab mandi (bath tub) ketika cuba mengambil sebuku sabun yang terlepas dari tangannya lalu terkena pada tangki.  Melimpah air hingga tiris ke bawah melalui saluran lampu di dapur.  Basah dapur!  Alhamdulillah Pak Long tidak apa-apa.  Tahun ini sudah dua kali beliau jatuh.  Kali pertama berlaku bulan lalu.  Mak Long sibuk menjahit, Pak Long pula tidak ada kerja pergi merayau belakang rumah mencari kayu cedar kering dan tunggul buruk untuk menambah timbunan kayu kering yang diatur bertingkat jadikan macam tugu atau monument kayu.  Tunggul yang terkumpul diletakkan atas kereta sorong.  Gamaknya terlalu penuh dan berat apabila ditarik, tayar kereta sorong tersangkut akar... tunggul dan kereta sorong sekali terbalik menghempap Pak Long.  Tidak boleh bergerak katanya bila cuba bangun dan tangan pula tidak sampai hendak mencapai talipon bimbitnya dari saku seluar untuk panggil Mak Long.  Bergelut dia sorang-sorang melepaskan diri.  Mujur tidak apa-apa.  Mak Long tegur agar lain kali tidak mengulangi perbuatan begitu tanpa sesiapa bersama.  Udah tua, kekuatan sudah banyak yang kurang.....



Sebelah kanan sekali itulah tugu kayu cedar yang Pak Long kerjakan sedikit demi sedikit hingga tinggi.  Pokok-pokok di sekeliling ialah pokok cedar.  Kayu cedar cantik berbau wangi boleh dibuat perabut, tahan lama tidak lut dimakan anai-anai.

Apabila kami sampai di Austin di rumah yang maksudkan menjual tangki sudah menunggu kami.  Amboi cantik dan besarnya rumah dia.  Macam istana, lengkap dengan taman dan kolam renang besar.  Beliau menunjukkan kami pada tiga set tangki dan harganya cumalah USD35.00 seunit.  Pilih sahaja yang mana kami suka.  Masih baru.  Tetapi sayangnya design tangki tersebut tidak sesuai untuk dipasang di bilik mandi kami.  Jenis lain!  Menurut lelaki muda itu, dia hendak menganti tangki tandas baru mengikut design baru.  Orang muda kaya!   

Seterusnya kami singgah ke rumah sahabat kami yang tinggal di Austin.  Lisa seorang agen jual-beli rumah dan harta tinggal di apartment mewah menghadap Tasik Travis.  Indah dan tenang di situ.  Selepas makan tengahari, Lisa membawa kami turun ke tasik...jalan kaki dan turun tangga.


Tasik Travis

Pemandangan Tasik Travis dari atas bukit

Tasik Travis

Pelantar boat

Boleh memancing dan naik boat kalau ada boat sendiri.  Dalam tasik itu, airnya hijau disebabkan banyak lumut dan rumpai.  Pelantar itu terapong, maksudnya apabila air naik tinggi ia akan naik juga tidak tenggelam.

Air menghijau

Tangga-tangga ke tasik

Lamalah juga kami di situ menikmati suasana tasik yang indah dan tenang.  Mak Long perhatikan tangga untuk naik semula ke atas sangatlah tinggi dan curam.   Lisa tanya samaada kami hendak ikut jalan mula-mula turun bukit tadi atau hendak menapak naik tangga dalam gambar atau hendak naik tram.  Pak Long kata ikut suka.  Mak Long perasan Lisa nampak letih jadi kami naik tram sahajalah.  Heee.... gayat duduk dalam kotak tram yang sempit.  Jalan pelan-pelan panjat tangga lebih baik.  Mak Long ada masaalah kalau masuk di tempat kecil yang sempit.  

Lisa mengidap barah dua kali, barah paru-paru dan dua tahun lepas ia disahkan dengan barah payu dara pula.  Doktor berjaya membuat pembedahan dan merawat ke dua-dua barah yang diidapinya.  Namun begitu ia masih memerlukan mengambil perubatan setiap hari supaya barah lama tidak kembali.


Tangga dan tram


















Friday, February 26, 2016

Terapi Minda Pagi Jumaat

Assalamualaikum,

Suasana tenang di pagi hari Jumaat ini.  Embun pagi yang telah beku semalam putih bersih mulai meleleh di cucur atap kerana sang suria sudah muncul.  Ungas dan haiwan liar berkeliaran sibuk mencari rezeki di belakang rumah.  Ungas-ungas berkicau sedang menikmati butir-butir bijiran dalam sangkar yang sentiasa tersedia ada.  Rusa jantan dan betina menunggu penuh harapan untuk memakan butiran jagung habuan mereka.  Pak Long segera mengenakan baju panas terus ke belakang menabur jagung.  Alhamdulillah KAU beri peluang untuk menikmati keindahan ciptaan Mu lagi hari ini.


Menunggu!

Tunggu lagi!

Terlambat!

Tunggu lagi!

Sarapan pagi

Cik punai kutip yang gugur

Tiada masaalah cari makan..

Bib! Bib! Bib!

Burung roadrunner cari ulat..

Burung roadrunner











Wednesday, February 24, 2016

Hendak Masak Apa?

Assalamualaikum,

Bab masak memasak dalam rumah tangga memang kebiasaannya terserah kepada pihak isteri.  Ada juga pihak suami yang suka dan rajin ke dapur menyediakan makanan untuk keluarga.  Beruntunglah si isteri itu.  Ada juga suami isteri yang lebih suka makan masakan di kedai makan setiap hari.  Cara begini pada dasarnya lebih mudah tidak perlu bersusah payah membeli bahan untuk dimasak, tidak perlu memasak, tidak perlu membasahkan dan mengotorkan tangan mengemas dan mencuci pinggan mangkuk.  Sudah kenyang boleh terus berihat atau meneruskan aktiviti lain.  Masaalahnya terpaksalah berbelanja lebih.  Sekiranya cuaca kurang baik macam mana?

Bukan bermaksud Mak Long mengeluh atau merungut.  Namun tiap-tiap hari menyediakan masakan untuk keluarga dan mencari bahan menu  jenuh rasanya.  Hendak masak menu yang sama setiap hari, balik-balik itu, itu sahaja jemu pula.  Ada kalanya hilang akal hendak masak apa pada hari itu dan seterusnya.   Mulalah keluar semua buku dan majalah masak mencari resepi.  Lepas satu muka surat ke satu muka surat jari mencari bahan.  Kekadang lain yang dicari, lain yang terjumpa.  Cari masakan lauk pauk, terjumpa pula resepi buat kuih sedap!

Hari ini umpamanya, Mak Long garu kepala hendak masak apa untuk tengahari ini.  Tanya Pak Long hendak makan apa...  Jawapannya lagi buat kepala pusing.  "Anything...!"  Aduhai...

Buka tutup peti sejuk beberapa kali masih juga bengong!  Masak asam rebus kang kita yang makan seorang, Pak Long tidak makan!  Akhirnya Mak Long keluarkan apa yang ada hahahaha penuh meja di dapur!  Makanya inilah jadinya...


Siap untuk masuk dalam ketuhar

Cheese sudah cair sedia untuk dinikmati

Pencuci mulut


"Resepi baru..?" Tanya Pak Long
"Yes... Resepi cempak tebor..."
"What is that?"  Geli hati pulak tidak perasan Mak Long cakap bahasa ibunda.  Pak Long tidak pernah dengar perkataan cempak tebor!
"Looks like casserole...."
"Cempak tebor casserole...."

Hendak tahu apa dalam resepi  casserole cempak tebor?

1 ketul daging bahagian dada ayam direbus kemudian dicarik-carik
1 bawang besar dipotong-potong ikut suka hati
1 mangkok spinach segar (itu sahaja yang tinggal)
1 cawan cottage cheese 
1/2 cawan colby jack cheese diparut
1/2 cawan parmesan cheese diparut
1 biji lada sulah panggang dalam botol 

Tumis bawang dan masukkan daging ayam, balik-balik masukkan sayur spinach, garam, cube pati ayam, serbuk lada hitam dan lada sulah panggang dan anggkat.  Masukkan cottage cheese dan kacau rata.  Kemudian masukkan campuran dalam mangkok, tabur semua cheese diatasnya.  Masukkan dalam ketuhar panas "broil" selama 15 minit hingga cheese itu cair.  Buah limau tengerin untuk pencuci mulut.  Buah ini sedang musim di Texas dan murah harganya.  5lb berharga USD4.00 sahaja.

Pak Long kata sedap!   Entah!

Alhamdulillah lepas derita tentang masak hari ini.  

Rupa cheese di atas dari google :


Cottage cheese

Parmesan cheese

Colby jack cheese















Saturday, February 20, 2016

Gambar Dulu-dulu

Assalamualaikum,

Di luar kalau tiada angin utara bertiup, sejuknya tidaklah seberapa sangat.  Berat hati hendak buka pintu memulakan tugas harian.  Banyak kerja menunggu, baik di luar rumah mahu pun dalam rumah.  Nun di belakang rumah, tanah batas sudah sedia menunggu budi.  Pak Long sudah siapkan elok-elok untuk tanam bawang.  Rasa hendak demam pun ada.  Sakit kepala terasa hendak keluar otak!  Hendak dikatakan banyak berfikir, itu pun tidak.

Belek-belek beberapa gambar yang tersimpan, terjumpa pula gambar lama ini; membuat hati membuak-buak kerinduan pada Emak di tanah air.  Aduh seksanya hati!  Sudah masuk enam bulan Mak Long balik Texas.  Sudah sampai masa memikirkan tarikh untuk pulang.  Kalaulah Emak sihat dan boleh berjalan jauh memang sudah lama Emak tinggal bersama-sama kami.

Gambar lama ini adalah adik beradik Emak berempat beradik dari satu ibu pertama.  Semua sudah lama tiada meninggalkan kami.  Yang tinggal dalam gambar ini ialah Emak, Kak Milah (sebelah kanan) dan Mak Long.  Adik beradik dari ibu kedua mempunyai lapan orang...ramai!

Budak comel tidak pakai kasut dalam pangkuan Emak itulah Mak Long hahaha perasan konon comel!   Menurut kata Emak, waktu itu Mak Long masih belum boleh berjalan lagi, bercakap bijak!.   Bergerak dengan mengesot laju macam lipas kudung.  Tidak sangka pula bila sudah tua, panjang langkah....  Segalanya itu adalah sesuatu yang sudah ditentukan oleh Nya.



Arwah Uteh Man, Arwah Mak Long Semah, Emak, Arwah Uda Timah, Kak Milah
Arwah Abang Yunus dan Mak Long












Friday, February 19, 2016

Tak Nak Tapi Nak

Assalamualaikum,

"I don't understand.. We are supposed to be on diet.  You are baking a cake!?"

"Desert lah..."

Jadiiii inilah dia, sedap betul basic pound cake.... Sudah tiga kali Mak Long bakar cake ini dalam bulan ini.  Bakaran yang pertama 100% ikut resepi.  Kali kedua dan ketiga Mak Long buat setengah bancuhan.  Guna gula kelapa gantikan gula biasa.  Yang ketiga ini Mak Long guna acuan cupcake.  Pun sedap juga.  Pada Mak Longlah makan cake tanpa icing lebih sedap minum pula dengan kopi pekat panas... Hmmmm.. Memang tidak nampak orang lalu di belakang.




Beberapa minggu lepas dalam perjalanan kami menziarah Barry, kami berhenti di sebuah pasar tani di Sisterdale.  Macam-macam jenis barangan ada dijual.  Kebanyakan jualan hasil dari tanaman kampung, seperti bawang, tomato dan lain-lain.  Ada juga jualan jenis makanan popular mereka seperti "brisket" (daging lembu bahagian dada dibakar dengan api pelahan sehingga daging berderai lembut), hot dog, burger dan lain-lain lagi.  Selain itu ada jualan barang-barang kerjatangan juga.

Mak Long singgah di suatu gerai yang menjual beberapa bahan pencuci barang kemas dan minyak pengilap perabut.  Penjualnya sibuk betul memperkenalkan beberapa barang baru katanya... Antaranya KELAPA!  Memang terkini omputeh di Amerika sedang berkobar-kobar gila perkenalkan keistimewaan bahan-bahan kelapa, asam geluggur dan biji selasih.  Mereka percaya kelebihan istimewa dan keajiaban zat kelapa.  Memacam jenis barangan keluaran menggunakan bahan kelapa seperti syampu kelapa, gula kelapa, tepung kelapa, minyak kelapa, sabun mandi kelapa dan macam-macamlah.   Jelasnya barangan yang dibuat dari kelapa mengandungi banyak khasiat bla..bla..bla..bla... Tapi si mat saleh itu tidak tahu macam mana rupa pokok kelapa!  Mak Long senyum dengar sahaja dari tepi sambil mula mengundurkan diri. "Excuse me maam, do you know that coconut oil is good for you?".  Laaa... "Yes I know... I grew up with coconuts and coconut trees around me from day one..!".




Gula kelapa bernentuk seperti gula tebu dan gula pasir antara keluaran yang digemari. Keluaran seperti ini kebanyakannya datang dari negara tropika.



Keluaran untuk kegunaan mandian juga terlalu banyak terdapat di pasaran di Amerika.  Syampu rambut dari santan kelapa (coconut milk syampoo) adalah kegemaran Mak Long.

Sebentar tadi, ada orang datang mengendeng siap ambil icing dari peti sejuk hendak sapu atas cupcake.  Sedap katanya hahahaha Pak Long nih!  Tak nak tetapi nak!  Mak Long kongsi resepinya.  Satu resepi lama sudah turun temurun..

Pound cake

Bahan:

1 lb butter, lembut suhu bilik
3 cawan gula
6 biji telor sais besar
4 cawan tepung gandum (ayak dua kali dan sukat semula biar tinggal 4 cawan)
3/4 cawan susu cair atau susu segar
1 camca teh esen almond 
1 camca teh esen vanilla

Cara:

Pukul butter menggunakan mesin bancuh letrik (electric mixer) hingga kembang.  (Warna butter jadi putih, ini langkah penting kerana tugas mesin bancuh adalah mengembangkan butter supaya cake naik.  Proses ini mengambil masa antara 1 hingga 7 minit terpulang pada kuasa mesin bancuh. Cake ini tidak menggunakan baking powder.

Pelahan-lahan dan sedikit-sedikit masukkan gula.  Pukul hingga kembang.  Masukkan telur, sebiji demi sebiji hingga habis.  Pelahankan putaran, masukkan tepung berselang dengan susu (masuk tepung dahulu dan yang akhir pun tepung).  Akhir sekali masukan esen.

Tuang bancuhan dalam acuan bulat ukuran 10 inci yang sudah disapu minyak atau butter dan ditabur tepung.  Tentang apa jenis acuan dan bentuk ikut pilihan sendiri.  Bakar cake dalam ketuhar 300 degree F (150 degree C) selama 1 jam 40 minit atau cucuk dengan lidi tidak lekat.  Sejukkan cake yang sudah masak itu di atas wire rack 10 hingga 15 minit sebelum dikeluarkan dari cetak.  Mak Long lebih suka makan cake ini tanpa letak apa-apa, sebab terasa cakenya.