Pages

Tuesday, October 13, 2015

Nota Alahan - (Allergy)

Assalamualaikum,

Alahan atau allergy dalam bahasa Inggeris.  Pernahkah anda mengalami alahan?  Ada beberapa jenis alahan yang menyebabkan seseorang itu mengalami alahan.  Ada orang alah bila memakan makanan laut, kacang, buah-buahan dan lain-lain.  Ada alahan pula bila terkena percikan getah sesuatu pokok pada kulit badan seperti terkena getah mempelam menyebabkan kulit mendapat kegatalan, bengkak, perit membuat kulit kudis.  Ada alahan boleh membawa maut sekiranya tidak mendapat rawatan segera.  Umpamanya alahan memakan makanan laut lazimnya seperti ketam, udang dan sotong juga kacang tanah.  Alahan ini bertindak menyekat pernafasan seseorang yang mengalaminya.  Alahan dengan bulu binatang seperti bulu kucing boleh membuat seseorang itu mengidap asma.

Setiap kali bertukar musim bunga dan musim luruh Mak Long mengalami alahan.  Di Malaysia, apabila musim durian atau mangga berbunga Mak Long dapat alahan.  Di Amerika pula Mak Long mendapat alahan dari pokok cedar dan bunga rumput "rag" (Ragweed).  Ragweed pula ada beberapa jenis dan banyak tumbuh melata di Texas.  Pokok cedar banyak di sekeling rumah dan kawasan kami.  Tahun ini paling teruk rasanya.  Yalah umur semakin jauh ke hujung, maka lagi mudah segala penyakit suka datang menghampiri.  Alahan yang dialami menyekat Mak Long dari membuat kerja-kerja luar rumah.  Setiap kali keluar sahaja mulalah gejala datang meyerang - mata berair serta gatal, seluruh muka berasa gatal pula.  Bila masuk rumah, ok pulak!  Waktu-waktu macam ini habuk dalam rumah pun boleh buat hal...  Semua ini buat Mak Long manjalah, tidak boleh bersihkan rumah, hehehehe Pak Long kena buatlah!  Bermacam jenis ubat untuk melawan alahan sudah Mak Long telan.  Semua lali tidak berkesan.  Jumpa doktor!


Ragweed (Rumput Rag)

Pokok Cedar

Lihatlah betapa banyaknya pokok cedar di belakang rumah kami.  Mana tidaknya buat Mak Long alah....



Pokok Cedar

Apakah yang berlaku pada tubuh anda apabila mengalami alahan?

Immune system dalam tubuh kita mengenal pasti alahan sebagai penceroboh atau perosak, dan ia melawan dan memeranginya dengan mengeluarkan beberapa kimia dalam badan, antaranya dinamakan "histamine".  Phasa awal untuk histamine melawan alahan, ia menyebabkan beberapa gejala atau symptom seperti pesakit:

Bersin
Sempit pernafasan hidung
Mata berair dan gatal
Berhingus cair
Kulit, tekak berasa gatal

Debunga yang berterbangan di udara sekiranya masuk kedalam mata membuat mata berair dan gatal-gatal.  Apabila ini terjadi, bagi anda yang menggunakan contact len hendaklah membersihkan mata dengan titisan air mata palsu (eye drops).  Debunga akan melekat pada contact len membuat keperitan dan sakit pada mata.

Alahan, demam atau virus demam sesema?

Gejala atau symptom ketiga-tiga penyakit ini agak sukar juga untuk dibezakan kerana gejalanya mirip sama.  Alahan mempunyai gejala lebih kuat dari virus demam dan virus demam sesema dan kepastian hanya doktor yang dapat membantu menentukan.

Gejala Alahan:

Hidung berhingus cair
Gejala di kala musim bunga atau musim gugur
Gejala akan berlaku lebih dari sepuluh hari
Kegatalan pada mata, muka, tekak dan hidung
Bersin 
Gejala sepanjang tahunan
Letih

Gejala virus demam dan demam sesema:

Demam
Sakit tekak
Berhingus pekat
Batuk
Badan berasa sejuk-sejuk
Sakit-sakit badan
Letih

Walau apa sekali pun sekiranya apabila kita berasa tidak sihat hendaklah bertemu doktor untuk mendapat rawatan.




Sunday, October 11, 2015

Nota Burung Kelicap (Hummingbird)

Assalamualaikum,


Dari catatan (Lewat Ogos):


Burung Kelicap

Cacatan cuaca yang sentiasa tergantung di dinding rumah hari ini memanjat hingga 105 degree (40.6 celcius).  Panas Oo...  Panas terik serta kering.....tidak berpeluh walaupun terasa panas membakar. Siang dan malam sama sahaja rasa panasnya.  Penghawa dingin dua puluh empat jam sentiasa dibuka.  Masuk waktu subuh barulah nyaman cuaca sedikit hinggalah matahari keluar semula di awal pagi hari. Tidak lama lagi pusingan cuaca akan bertukar ganti.  Musim luruh yang bakal tiba dinantikan dengan kesyukuran.  Ia pusingan musim yang cantik dan indah; kebanyakan dedaun bertukar rupa berwarna warni. Sebelah malam setelah semua  jadual harian selesai, kami gemar duduk-duduk bersembang di luar bahagian belakang berandar rumah dengan kipas berputar laju macam hendak tercabut dari siling!  Rasa berangin sikit..  Sengaja tidak pasang lampu kerana suka gelap begitu boleh nampak bintang cerah di langit.  Tiada nyamok mengganggu kami.  Ada potongan tembikai yang sudah dipotong di dalam mangkok baru sahaja dikeluarkan dari peti sejuk.  Tabur garam halus sedikit. Hmmmm .... Best juga!

Pak Long bangun terus masuk ke garage.  Tidak lama kemudian datang semula ke meja dan berkata, "Come, I need your help!!".  

Mak Long bangun cepat-cepat mengekurinya dari belakang ke garage.  Apa hal agaknya ek?  Laa hai... rupanya ada seekor burung kelicap (hummingbird) sesat sedang terbang berpusing-pusing dalam garage.  Tidak tertuju pintu hendak keluar agaknya?  Pintu itu kan terbuka besar boleh lalu kereta!  Pintu besar garage sudah dibuka luas tetapi si kelicap tidak mahu keluar jua.  Tidak nampak atau apa agaknya!?  Hari pula sudah gelap di luar.  Lama-lama akhirnya ia berhenti terbang dan hinggap di daun pintu.  Ekor kecilnya nampak mengeletar, takutkah atau kepenatankah...?  Mesti berasa kedua-dua sekali agaknya!  Pak Long ambil tangga dan cuba menhalaunya keluar sementara Mak Long cuba mengarahkannya hala ke pintu dengan penyapu.  Kelicap terbang keluar garage tetapi tidak terus keluar ke laman, malah terbang berlegar-legar di bumbung garage kereta bahagian luar mengelilingi lampu.  Aduhai, sekejap dan pantas sekali kelicap masuk semula ke dalam garage utama terus terjelepuk ke lantai simen..

Mak Long dekati kelicap itu, keras, tidak bergerak lagi seperti sudah mati.  Kena kejutan sakit jantungkah dia?!  Perlahan-lahan dengan cermat Mak Long kaup kelicap dengan kedua belah tapak tangan.  Perhatikan dengan teliti... betulkah si kenit ini sudah mati?  Tiada tindak balas bila diusik sedikit..  Sedihnya hati, kelicap mungkin mati keletihan kehilangan tenaga!  Pak Long bantu carikan sesuatu bekas kecil untuk isikan air manisan yang memang sentiasa ada dalam botol berisi air manisan untuk burung kelicap, mungkin kelicap boleh menyedut sedikit air memberi tenaga. Ya, Pak Long dapat tudung botol..isikan air manisan di situ.  Kelicap dibaringkan di lantai berdekatan dengan tudung botol berisi air manisan tadi.  Mak Long titikkan setitik air manisan di hujung muncungnya.  Kedua-dua matanya terbuka besar tidak berkelip dan tiada sebarang riaksi...!





Sedihnya hati Mak Long, melihat burung kelicap...  sambil berdoa agar ia tidak mati dan agar ia bangun terbang semula kepangkuan keluarganya.  Hilang rasa selera hendak makan tembikai.....




Pak Long kembali duduk bersama dan pujuk Mak Long, mungkin burung itu kepenatan dan pengsan sahaja katanya.  Ya mungkin..!

Sejam kemudian ketika Mak Long sudah masuk ke dalam rumah, Pak Long panggil "Dear!  Come!  Come quick!... you won't believe this!!!"  Mak Long berlari menghampiri Pak Long yang sedang berdiri hampir dengan tempat burung itu diletakkan tadi.  Di mana burung?  

Pak Long kata dia hanya usik burung itu perlahan-lahan di kepalanya dan titikkan air manisan ke hujung muncung.  Tetiba burung tersebut bergerak dan terus terbang dari tangan Pak Long.  Alhamdulillah, burung kelicap hidup...


Hummingbird (Kelicap)

Keesokan paginya, seperti biasa kami minum pagi di tempat yang sama di beranda bahagian belakang rumah.  Seekor burung kelicap terbang rendah berdekatan di mana kami duduk sambil mengeluarkan bunyi buzzzz buzzzz gitu...  Bulunya berwarna hijau berkilat seperti yang malam tadi itu.  Adakah ia burung yang sama telah kami selamatkan malam tadi?  Entahlah...


Botol penuh dengan air manisan untuk humingbird














 

Nota Camping

Assalamualaikum,

Dari catatan:

Minggu ini mencatat minggu bersejarah buat diri Mak Long.  Kenapa?  Mak Long ni walau sudah tua begini tidak pernah mengalami suasana riadah berkemah (camping).  Masak makanan di luar dan tidur di kemah.  Zaman persekolahan dulu pasukan pandu puteri (girl guide) adalah buat acara "campfire" di padang sekolah tetapi tidaklah berpeluang tidur di kemah.  Bila api dipadamkan, kami kemas dan bersihkan kawasan kemudian semua jalan menonong balik ke asrama untuk tidur!  Di college pun tidak pernah menyertai berkemah.

Pak Long sudah lama... bertahun, sebut berniat hendak bawak Mak Long camping.  Setiap kali ada ura-ura hendak camping ada sahaja yang membuatkan riadah itu bantut.  Di negara ini aktiviti bercamping dan berkelah tidak mengenal umur.  Tua muda sama sahaja bagi yang gemar dengan hidup aktif di luar.  Tidaklah rasa malu kami yang sudah tua-tua ini bercamping.  Dahulu kami tinggal di Freeport, Texas iaitu kawasan yang berdekatan dengan perairan Telok Mexico tetapi kami tidak pernah pun lakukannya.  Rumah kami terletak dalam kawasan terusan di mana setiap rumah menghadap aliran terusan.  Air dari terusan mengalir terus ke Telok Mexico, jadi bila teluk tersebut pasang dan surut ia menguasai keadaan air di terusan.  Pantai di Telok Mexico itu dinamakan Surfside Beach dan pantainya cantik sesuai untuk camping.  Suatu malam gelap kami bentang "sleeping bag" di atas pelantar (deck) di anjung rumah kami.  Konon hendak tidur di bawah langit yang bergemerlapan dengan bintang.  Cuaca pun sangat baik dengan tiupan bayu dari terusan (canal) yang nyaman.  Tidak sampai sepuluh minit kami terpaksa gulung tikar!  Nyamok besar-besar mengetip dan menyerang kami.  Bantut niat kami hahaha... bintat-bintat merah dapatlah di badan!  Gambar di bawah adalah rumah lama kami di Freeport, Texas.  Di bawah pelantar adalah tempat kami gantung boat guna untuk memancing di laut dalam.


Pelantar (deck) rumah kami

Kali ini kami buat percubaan camping hahaha tak jauh.....!  Belakang rumah sahaja.  Pak Long beli sebuah kemah muat untuk lima orang, boleh tahan luas juga dalamnya.  Sampai sahaja di rumah Pak Long pasanglah, Mak Long tolong sikit-sikit.  Malam pertama bersemangat betul hendak tidur dalam kemah .... pukul tiga pagi Pak Long cabut keluar, "sakit belakang", katanya.  Mak Long pun ikut masuk dalam rumah sambung tidur hingga subuh.  Malam kedua kami cuba lagi.  Petang itu, sekembalinya kami dari melawat sahabat sakit di rumah pemulihan kami beli sebiji tilam angin pula.  Best juga... pukul tiga pagi kami terjaga.. tilam baru itu bucur!  Habis angin keluar.  Leper melepek atas rumput ...!  Kami pulangkan balik tilam itu dan tukar yang lain.



Camping belakang rumah

Pada malam minggu itu kami sudah bersedia untuk bercamping betul-betul.  Diramalkan juga malam itu bulan mengambang 14% lebih besar dari biasa kemudian dituruti oleh gerhana pula.  Tapak camping pun tidaklah jauh, kira-kira 3 batu sahaja dari rumah, di tepian Canyon Lake.  Canyon Lake Camping Site ini diuruskan oleh pihak US Army Corps of Engineers di mana ia menyediakan tapak-tapak khas untuk bercamping sahaja terbuka kepada awam.  Pembayaran sewa tempat berkemah murah sahaja hanya USD12.00 semalam.  Kemudahan asas disediakan di tapak perkemahan seperti bilik air, paip air untuk memasak dan minum berhampiran serta "picnic table" atau meja berkelah di setiap satu spot berkemah yang disediakan.  Mudah sangat untuk berwuduk.  Sayangnya pusat camping ini ditutup setiap musim luruh dan musim sejuk,  Ia dibuka semula pada musim bunga dan musim panas.  Kebetulan malam itu adalah malam terakhir dibuka untuk awam bagi musim panas tahun ini.

Senja di Canyon Lake

Kami dirikan kemah bersama.  Mudah sahaja kerjanya.  Setelah siap Pak Long turunkan basikal dan letak di sebelah kemah.  Sudah siap kami pulang ke rumah mengumpulkan keperluan untuk malam nanti.  Oleh kerana sekarang masih lagi dalam larangan membakar - "Burn Ban In Effect" berkuat kuasa.., tidak bolehlah kami hendak memasak masa bercamping.  Mak Long sediakan sandwich tuna dan buah untuk makan malam cukuplah.  Selepas asar baharulah kami ke tempat perkemahan.  Seronok juga tempat ini, memang sesuai untuk beriadah samaada sendirian atau pun berkumpulan.


Tapak Camping, Canyon Lake

Rupa-rupanya malam itu hanya kami berdua sahaja berkemah hahaha.... Walaupun hujung minggu, tidak ramai orang datang..mungkin esoknya hari Isnin ada yang kena pergi kerja dan anak-anak pula kena ke sekolah.  Malam itu Mak Long dengar ponggok woot.. woot... woot..... Tidak rasa takut, Pak Long ada...

Aktiviti kami petang itu ialah kayuh basikal mengelilingi sebahagian semenanjong tasik.  Macam-macam jenis burung dan binatang kami jumpa.  Antaranya rusa, burung blue jay dan armadillo.  Armadillo ialah sejenis binatang mamalia apabila keselamatannya tergugat kerana bertemu musuh atau diganggu ia akan menggulung diri jadi bentuk bola.  Adakah ia sama jenis tenggiling seperti yang terdapat di Malaysia?   Mungkinlah....  Kulitnya bersisik keras, pengelihatan matanya tidak jelas. Armadilla menggunakan gerakan naluri untuk mengetahui keadaan sekeliling, pantas juga berlari binatang ini dan memakan serangga seperti semut, ulat dan lain-lain.  Hidup dalam lubang (borrow) biasanya di bawah pokok, di tepi tempat-tempat lurah seperti di sungai, tasik dan parit.



Armadillo (Tenggiling?)

Armadillo


Sebelum Isyak kami berjalan-jalan di persekitaran berdekatan menikmati kedamaian dan ketenangan di tepian tasik.  Air di tasik sejuk dan sangat jernih.  Boleh juga berenang tetapi mesti berhati-hati kerana banyak batu-batu dan lubang besar di dalamnya.  Ikan dalam gambar di bawah ialah "bass".. sudah bernyawa ikan.  Agaknya dibuang oleh pengail nun...  Goreng berkunyit sedap tu!


Ikan beryawa ikan

Malangnya malam itu awan tebal melindungi bulan ketika gerhana.  Nampaklah cahaya bulan merah menyala sekejap kemudian terus kegelapan. 

Walau pun hanya kami di situ, selepas bulan gerhana tammat, beberapa "pontoon boat" lalu.  Omputeh suka berparty, berseronok dan minum-minum.  Di dalam pontoon boat" mereka melalak, ketawa riang ditambah bingat dari bunyi muzik kuat yang mereka dendangkan.  "Pontoon boat" ialah sejenis boat berbentuk seperti kotak seperti gambar di bawah.  Di atasnya barisan kerusi untuk duduk.  Biasanya pontoon boat tidak laju.  Pak Long sudah berangan untuk memilik satu daripadanya.



Pontoon boat (gambar dari google)

Lena pulak  tidur dalam kemah di tepi tasik di bawah cahaya bulan mengambang terang.  Cuaca pun sangat baik.  Sedar-sedar sudah pukul lima pagi.  Bulan masih mengambang cantik di sebelah barat.  Gambar yang Mak Long ambil tidak mampu melakarkan seindah yang kami lihat dengan mata sendiri.  Setiap saat bertukar rupa dan bentuk..  Air paip terasa sejuknya ketika berwuduk.  Pak Long tidak galakkan guna air dari tasik kerana masih gelap.


Bulan mengambang awal pagi

Pukul lima suku pagi

Pukul lima setengah lima pagi

Pukul lima empat puluh lima pagi


Pukul enam pagi

Sementara di sebelah timur pula, pemandangan tidak mengeciwakan mata dan hati.  Matahari mula muncul dengan kehebatan yang tiada bandingan.  Allah hu indah dan besarnya ciptaan Mu....


Pukul enam suku pagi

Pukul enam setengah pagi

Lihatlah sudah banyak burung-burung bangun dan berterbangan sedia mencari rezeki untuk mengisi perut yang telah kosong di sepanjang malam.  Pusingan hidup bermula lagi......


Hari dah siang

Apabila hari siang kami kemas-kemas barang dan balik ke rumah.  Nampak tak dalam gambar di atas itu ada sebuah sampan kecil.  Lelaki itu sedang memeriksa jala yang dipasangnya petang semalam.  Seronok juga penggelaman camping.  Pak Long cakap, bila kami pergi ke mana-mana dalam masa terdekat nanti bolehlah bawa kemah itu.  Guna apabila ada tempat sesuai untuk camping.  
























Sunday, September 27, 2015

Nota Salam Apa Khabar?

Assalamualaikum,

Apa khabar semua?  Sekian lama Mak Long tidak membuat sebarang coretan di sini.  Lantaran kudrat dan kesihatan tidak mengizinkan berbuat demikian.  Kudrat untuk berfikir menjadi tumpul dan letih.  Namun mampu juga melawat ke beberapa blog kegemaran walau pun melalui beberapa masaalah untuk membaca.  Pengelihatan mata Mak Long tidak berapa baik buat beberapa minggu ini.  Mata terasa amat kering serta perit seperti ada habuk disebabkan penyakit kering mata.  Sudah lama mengidap penyakit ini sejak muda-muda lagi cuma tidak diindahkan kerana menganggap ianya perkara biasa-biasa sahaja.  Segera kami bertemu dengan doktor pakar mata yang merawat kami.  Rupanya Mak Long sudah ketinggalan satu temu-janji dengan Dr Singer ketika berada di Malaysia dahulu dan  kami lupa pula hendak membuat tarikh yang baharu walau sudah diberi peringatan oleh jururawat klinik.  Bising jugalah jururawat itu.. 

Alhamdulillah kini sudah beransur baik dan sangat bersyukur mendapat khidmat seorang pakar doktor mata yang berpengelaman luas dalam bidang yang diceburinya.  Dr Singer sentiasa memahami masaalah pesakitnya.  




Pohon Apple



Sunday, September 6, 2015

Nota Terapi (Therapy) Minda

Assalamualaikum,

Duduk rehat-rehat di luar rumah.  Angin pula bertiup sepui-sepui.. Alhamdulillah inilah hasilnya (lukisan No. 1).  Terapi minda yang sering Mak Long lakukan.  Segala serabut di kepala jatuh pada warna-warna lukisan Mak Long..

Lukisan No. 2 itu telah lama Mak Long lukis.  Guna color pensil kemudian disapu dengan sedikit air.  Mak Long simpan, entah kenapa suka sangat dengan lukisan buruk itu.  Sudah masuk tong sampah, Mak Long kutip semula dan simpan baik-baik dalam buku lukisan. 


No. 1





No. 2


















Saturday, September 5, 2015

Nota Garage Sale Lagi!

Assalamualaikum,

Dari catatan:

Ingat hari ini hendak lepak-lepak sahaja di rumah.  Buat kerja sendiri, diam-diam duduk di loteng.  Ada beberapa benda hobi lama yang hendak disudahkan dan sambung kerja semula... Macam-macam kerja yang sudah lama tinggal terbengkalai.  Niat hati hendak sudahkan salah satu dari jahitan quilt ker, atau sudahkan "painting" pada seketul batu yang dipunggut dari tepi sungai ker atau hendak muat turunkan gambar-gambar yang diambil beberapa lama lalu dari kamera ...  Jahitan quilt (ada empat helai bersusun dalam gerobok) itu.  Semua sudah terbengkalai sekian lama tidak berusik.. sampai jadi lupa corak apa hendak guna sebagai jahitan "quilting" iaitu jahit-hias melekatkan quilt dengan lapisan bawahnya..... issshhh!    



Quilt 

Gambar di atas adalah antara quilt yang terbengkalai jahitannya.  Sudah masuk dua tahun lebih tidak siap-siap.  Mulanya disebabkan kesihatan kedua-dua belah mata tidak sihat selepas menjalani pembedahan mata.  Setiap kali bila hendak sambung kerjanya ada-ada sahaja yang menghalang.....  Bilalah boleh siap? 


"Remember estate sale sign we saw yesterday, Dear? "  tanya Pak Long.

Hmmm.... Terbengkalai lagi kerja ku....

Istilah "Estate sale" juga dipanggil "Tag Sale" terdapat di beberapa daerah di Amerika.  Waktu yang biasa diadakan ialah di hujung minggu.  Estate sale adalah jualan barang-barang berupa harta benda atau harta pusaka keluarga seperti perabut, barang kemas dan barang-barang lain disebabkan kematian, bankrup, berpindah atau penceraian dan berbagai sebab lain.  Estate sale lazimnya lebih besar dari "garage sale".  Ia menggunakan khidmat agen di mana antara tugas agen ialah menandakan harga barangan dan menjualnya.  Orang luar dibenarkan dan dijemput masuk ke dalam rumah dan di sekeliling kawasan untuk melihat barang jualan dan seterusnya mereka boleh membeli kiranya berkenan.  

Hari ini kami pergi ke sebuah rumah yang mengadakan estate sale itu.  Ia hanya beberapa batu sahaja jauhnya dari rumah kami.  Ketika kami sampai di sana sudah ramai orang berkerumun baik di bahagian luar mahu pun di dalam rumah tersebut..  Besar juga rumahnya dan di sana kami dijemput masuk ke dalam rumah apabila selesai kami tinjau-tinjau jualan di luar rumah.    Bermacam-macam benda ada di dalam garage.  Melihat dari barang-barang yang terdapat di situ, mungkin tuan punya rumah tersebut adalah seorang tukang kayu.  Ada banyak alat-alat pertukangan kayu di situ.  Orang lelaki sukalah benda-benda macam itu.

Pak Long berkenan dengan sebuah bangku (bench) lama, kotor dan buruk rupanya.  Fram bangku itu diperbuat dari besi keluli dan lantainya dari kayu teguh tidak mudah rosak atau patah.  Mak Long tidak tahu jenis kayu apa agaknya.  Murah harganya.  Cepat-cepat Pak Long chup (perkataan orang kampung di Muar maknanya "book" atau tanda sudah ada orang hendak) terus agar orang lain tidak ambil hihihi...  Di dalam rumah semua barang sudah diatur dan bertanda dengan harga sekali di atas meja, di atas lantai dan di merata tempat...  Ada katil dan tilam, pakaian, alat dapur semua ada hinggalah barang makanan yang masih tersimpan dalam almari simpan barang makanan pun hendak dijual.  Banyak barang-barang berharga.  Mak Long hanya berkenan pada sebuah acuan untuk bakar kek.  Baru lagi belum digunakan dan harganya hanya USD2.00 sahaja.


Acuan kek

Itu sahajalah dua barang yang kami teringin dan setelah membayarnya kami ronda-ronda di tempat lain.  "Garage Sale" bagi masyarakat orang putih di sini memang tidak asing bagi mereka.  Barang yang tidak diperlukan lagi mereka jual atau dermakan kepada sesiapa yang perlu. 

Ada dua buah pusat popular di mana menerima semua jenis barang dermaan dari orang ramai.  Pusat-pusat itu dinamakan "Salvation Army" dan "Goodwill".  Pusat itu dianjurkan dan dikendalikan oleh badan agama kristian.  Barang-barang yang diterima akan dijual semula kepada orang ramai.  Keuntungan dari jualan akan diagihkan kepada masyarakat miskin dan memberi bantuan kepada anak-anak miskit ke sekolah.





Hobi Pak Long pula suka memperbaiki barang-barang lama seperti bangku yang dibeli itu.  Bangku itu dibuka satu persatu, kemudian dicuci menggunakan mesen "power washer" hingga bersih.  Apabila bersih dan kering, Pak Long gosok dan licinkan dengan "sand paper".  Kemudian baharulah dicat minyak dengan warna cekelat tua.   




Bangku sudah siap

Pak Long mengambil masa hampir empat hari mengerjakan baik pulih bangku itu.  Gambar di bawah ialah hasil usaha Pak Long.  Berjaya menukar wajah bangku dari bangku buruk, kotor dan berkarat kepada wajah baru!  Bangku ini adalah bangku yang kedua Pak Long perbaiki.















Sunday, August 30, 2015

Nota Sempena Hari Merdeka

Assalamualaikum,

31hb Ogos setiap tahun adalah hari bersejarah bagi Malaysia melengkongi sultannya, rajanya, orang besarnya,  rakyatnya dan tanahnya...  Ia itulah hari kemerdekaannya yang sudah mencapai 58 tahun lamanya.

Tertarik dengan nukilan ini yang dikatakan dari A. Samad Said dan ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat semua khasnya rakyat Malaysia, negara tercinta.  


Bunga Raya Bunga Negara Malaysia





HAI MELAYU..

Hai Melayu!

rumahmu semua dibina indonesia,
ekonomi pula dikuasai cina,

golongan profesional semuanya india,
warung makan pun, mamak dan siam yang berkuasa,
warga bangla pula menjadi Jaga,
orang Nepal yang menabur baja,
orang pakistan usung karpet jaja merata,
lalu melayu ada apa?
harapkan ustaz, saling menyesat,
harapkan hiburan, lagi best filem barat,
harapkan bahasa, banyak telah bertukar kesat
harapkan tulisan, jawi pun mereka hambat,
harapkan tanah, banyak digadai kepada korporat!
Hai melayu!
masih mendabik menjadi tuan?
sibuk mahu menjadi tuan,
rupanya kerja kelas bawahan,
ditipu mentah orang atasan,
konon perjuangan ini untuk kalian!
kerja sikit, sembang kencang,
banyak rungut, sikit rancang,
siapa tegur, dituduh lancang
duduk warung, gigit kacang!
Hai melayu!
konon kau pantang dicabar,
konon kau tangkas menyambar,
tapi cuma indah khabar,
rentakmu makin lama makin hambar
kau melayu aku pun melayu,
aku menulis bukan cemburu,
aku mahu engkau tahu,
kenapa melayu tak macam dulu.....
Hai melayu!
jari mu hebat bertutur di facebook alam maya,
bila berdepan ekonomi semasa kau tidak ber daya,
kau cuma tahu ber gaya,
Hai melayu!
kau melaung-laung di jalan raya,
bagi tahu kepada dunia ini bumi aku yang punya,
pada hakikat ia digadai kepada sepet yang kaya!
Hai melayu!
kerana hendak bergaya kau gadai pusaka,
bila dah kaya kau jadi puaka,
ini tandanya kau sudah derhaka!
Hai melayu!
sedarlah bangsa ku,
buka lah minda mu,
bersatulah bangsa ku,
kerana malaya bukan lagi milik mu !
aku pun melayu,
engkau pun melayu,
bodoh sombong harus di tepis,
riak,bongkak dan hasad dengki sesama bangsa harus guris,
bersatulah melayu kerana agama, bangsa, moyang-moyang yang telah berjasa,
kerana ini mungkin peluang akhir bangsaku untuk negara, berjasa dan berkuasa....


Oleh:
A.Samad Said.








Nota:    

Mak Long telah diberitahu oleh seorang pembaca bahawa nukilan puisi ini bukanlah nukilan dari A. Samad Said.  Lantas Mak Long mengikuti siaran Utube untuk kepastian.  Setelah menatap satu temuramah itu nukilan di atas jelas bukanlah milik beliau.  Siapakah penulisnya?  Yang menghairankan mengapa menggunakan nama penulis agong?  Mengapa pula mahu mengelirukan masyarakat?