Pages

Sunday, April 20, 2014

Nota Happy Anniversary Miss "K"

Assalamualaikum,








He calls me Miss "K"
He always says with his gentle smile …..
What Miss "K" wants, Miss "K" gets

The green eyes twinkle with amusement
A pack of loving kisses landed on my forehead 
But then…..
It makes me sound like I am a spoilt demanding kind of woman
It makes me sound like I am an arrogant kind of little brown woman
It makes me sound like I am kind of a self centered old woman
I do sometimes wonder what he is up to……???
But then….
I expect nothing of no good
Thing is …....I feel good about it
Truth is …..
 Miss "K" gets all the attention she wants….
Because I feel …. I get his attention
Because I feel …. I am cared
Because I feel … I am loved 
Because I feel … I am loved
For that I feel so blessed and grateful to HIM Ya Allah subhanallah..

Happy Anniversary to us
20th April, 2014







Sunday, April 6, 2014

Manusia Merancang, Allah Menentukan

Assalamualaikum,

Sudah banyak hari Mak Long dengar perbincangan hendak pergi ke Big Bend di bahagian barat sempadan Texas dan Mexico antara Pak Long dengan sahabat baiknya Barry Strickland.  Tarikh bertolak ialah pada hari Jumaat  4 haribulan April.  Berjam-jam bercakap di talipon!  Namun begitu Pak Long masih belum memberi kata putus mahu ikut serta atau tidak dalam rombongan empat orang sahabat iaitu Pak Long, Barry Strickland, Tom Callaghan dan Terri Wills.  Pak Long ajak Mak Long bersama pergi, tetapi Mak Long tidak berminat berjalan jauh menunggang motorsikal walau pun Mak Long hanya duduk memboncing di belakang.  Buat penat dan sakit pinggang saja…  Tambahan Mak Long sudah beberapa kali melawat Big Bend…. empat kali dah!

Hari Rabu lepas akhirnya Pak Long buat keputusan mahu pergi bersama mereka.  Pagi Khamis Barry awal lagi sudah sampai ke rumah tunggu kami buka pintu.  Motorsikal Fat Boy Harley Davidson warna merahnya sudah diturunkan dari "trailer" yang ditunda dengan truck Toyotanya.  Barry biasa datang dan bermalam di rumah kami terutama hari-hari hujung minggu.  Kadang-kadang berturut minggu dia datang berkunjung ke rumah kami.  Katanya suasana di kawasan tempat tinggal kami tenang, damai dan paling digemarinya tidur atas katil bertilam tebal dan kukuh (firm mattress) di bilik atas.  Kasihan, baru-baru ini Barry telah disahkan pendapat penyakit kencing manis.  Doktor menasihatkan agar dia mengubah kepada cara makan permakanan sihat, turunkan berat badan disamping menelan pelbagai ubat.  

Memahami keadaan Barry, Mak Long melayari sesawang untuk memahami lebih lanjut tentang kencing manis dan mencari resepi mudah sebagai hidangan yang boleh kami nikmati bersama.  Tidaklah susah sangat untuk mencarinya.  Tambahan semua bahan ada dalam peti sejuk dan pantry.  Maka jadilah satu resepi baru yang enak lagi mudah dimasak, semua dapat menikmatinya.  Sop sayuran dicampur tomato dalam tin, barley dan daging ayam dimakan dengan 'biscuit' (roti atau bun).  Boleh tahan juga sedapnya!  Hahaha Mak Long puji masakan sendiri...

Malam itu Pak Long dan Barry sibuk mengatur dan berbincang jalan raya yang hendak dilalui serta membuat tempahan awal untuk bilik tempat bermalam di hotel di Bandar Del Rio.  Nampak gayanya mereka berdua sahaja yang sibuk mengatur perjalanan itu.  Tom dan Terri akan datang ke rumah kami esoknya pada hari Jumaat di mana mereka akan bertolak bersama.  Satu sahaja masaalahnya….cuaca!  Cuaca diramalkan hujan dan ribut angin pada hari Jumaat seterusnya di hujung minggu hingga hari Rabu hadapan.  Cuaca terlalu sejuk di Big Bend akan mencecah di bawah 30 degree F menyukarkan penunggang  menunggang motorsikal.  Ada kalanya ramalan cuaca yang dibuat tidak juga menepati, itulah harapan Pak Long dan Barry.  

Pada pagi hari Jumaat, cuaca masih tidak menyebelahi malah lebih sejuk dari yang diramalkan.  Angin pula bertiup kuat memangnya tidak selamat untuk penunggang motorsikal.  Kerana untuk keselamatan dan keselesaan Pak Long dan Barry terpaksa mengambil keputusan tidak meneruskan perjalanan dan memberi tahu Tom dan Terri keputusan itu.  Mereka yang berdua lagi itu setuju sahaja walau pun berasa terkilan.  Itulah dikatakan manusia hanya mengatur dan berusaha tetapi Allah jua yang menentukan.

TetapiTerri tetap hendak datang juga ke rumah kami dengan motorsikal Diana Glyde Harley Davidson warna hitam.  Dia berpakaian lengkap menahan dari kesejukan untuk menunggang motorsikal.  Katanya ingin kenal tempat kediaman kami.  Terry belum pernah datang ke rumah kami dan Mak Long tidak pernah bertemu dengannya sebelum ini.  Sudah berumor juga orangnya, sudah mencecah tujuh puluhan tahun.  Masih sihat dan kuat lagi.  Pak Long dan Barry kata Terri ni seorang hartawan memiliki tiga buah kapal terbang, berberapa buah kereta mewah, berumah besar di Cedar Park, dan ladang di Utara Texas.  Orangnya peramah dan tidak sombong.  Apabila Terri sampai, yang lain semua duduk berborak macam-macam mengelilingi meja tempat Mak Long buat kerja dapur.  Dia mengundang kami datang dan bermalam di rumahnya bertemu dengan Babara isterinya.  "I will take you take you on the plane ……" katanya mesera.
  
Apabila matahari sudah tinggi, angin bertiup pun sudah berhenti dan cuaca mulai panas sedikit mereka bertiga sahabat keluar menonggang/merempit motorsikal masing-masing menikmati suasana keindahan "Texas Hill Country".   Tidak jadi pergi ke Big Bend pun tidak mengapalah, boleh juga berjalan lihat-lihat kawasan berdekatan dengan rumah.







Pak Long sudah siap dengan pakaian untuk merempit dengan Barry dan Terri.







Mak Long masih pobia dengan kapal terbang.  Takut hendak naik kapal terbang tambahan lagi selepas nahas kapal terbang Malaysia MH370 baru-baru ini.  Mak Long senyum sahaja dengan pelawaan Terri dan mengucapkan terima kasih.  

Malam itu Barry bermalam lagi di rumah kami.  Pagi-pagi lagi esok harinya selepas sarapan pagi dia bertolak balik ke rumahnya di Alvin, Texas kira-kira 250 batu dari rumah kami.





Pak Long bantu Barry menaikkan motorsikalnya ke atas trailer.














Sedang menaikkan motorsikal ke atas trailer.  Pak Long jadi mandor….











Sudah naik atas trailer.  Pak Long jadi mandor…











Barry memastikan trailer di ikat kukuk pada belakang truck kemudiannya mengikat kiri dan kanan motorsikal dengan tali khas supaya motorsikal tidak mengelonsor turun bila trailer ditunda dengan truck nanti.











Sudah siap sedia untuk bertolak.  Bye Barry...



























Friday, April 4, 2014

Nota Lauk Ikan Tapah

Assalamualaikum,

Pagi itu Mak Long sibuk di dapur menyediakan mandian Emak.  Panaskan air, sediakan towel, shampoo/conditioner dan sabun semua lengkap di tepi kolah air dalam bilik air.  Emak bangun awal tetapi belum mahu menjamah sarapan pagi lagi sambil duduk di kerusi menonton TV mendengar ceramah ustaz.  

Daril adik Mak Long masuk ke ruang dapur di mana air yang Mak Long jerang hampir mendidih.  Di tangannya menjinjit seekor ikan, besar jugalah lalu diletak di dalam sinki.  "Ikan tapah, Kak…  sedap ni kalo masak asam rebus……  Ada budak jual tadi.."  Sudah sahlah tu Daril hendak Mak Long masak asam rebus macam arwah Atok Keti (Atok perempuan kami sebelah Wak).  

Arwah Atok Keti selalu masak asam rebus sahaja kalau memasak ikan dari sungai.  Nama sebenar Atok Keti ialah Siti Amah.  Kami juga panggil beliau Tok Tine.  Sedap sungguh masakan dari air tangan Atok.  Mudah sahaja cara memasaknya tetapi rasanya amboii mak mentua lalu bawah tangga pun tidak nampak.  Arwah Tok Jantan (Suami Atok Keti, Atok lelaki dari sebelah Wak) biasa menggail dan memasang lukah serta guguh di Sungai Muar.  Kadang-kadang jeratnya mengena dan dapat rezeki lebih, kekadang hanya sedikit sahaja cukup untuk makan pada hari itu.  Biasanya dapat beberapa jenis ikan air tawar seperti ikan tapah, ikan tilan dan udang galah.  Atok Tine akan memasak ikan-ikan yang dibawa pulang sama ada digulai atau digoreng.  Kalau dapat rezeki lebih Atok Jantan hantar ke rumah kami yang tidak berapa jauh jaraknya atau pun Atok bagi lauk yang sudah siap digulai.  Atok Keti jarang masak kari atau masak lemak, biasalah orang kampung sebelah daerah Muar, balik-balik masak asam rebus, asam tumis atau pun masak singgang kuning berdaun kunyit sebagai masakan harian.  Sayur pula selalunya masak air sahaja atau masak lemak cair.  Daging lembu atau daging ayam baharulah Atok Keti masak kari atau masak lemak.  Hendak dikirakan kami jarang makan lauk daging lembu.  Pasar jauh di bandar Muar.  Terpaksa tunggu lama dan menambang naik bas atau taxi sekiranya hendak ke pasar.  Lauk daging ayam adalah, kami bela ayam sendiri tidak payah beli.

Masakan kampung hanya rebus-rebus tidak menggunakan banyak minyak, berulam pucuk daun seperti pucuk putat, pegaga, pucuk ubi, pucuk tunjuk langit lebih berhasiat dan amat bermunafaat untuk kesihatan.  Sekarang kebanyakan orang kampung sudah mewah hidup dari dulu.  Mereka sudah mampu membeli berbagai jenis makanan, tidak perlu tanam sayur di belakang rumah atau pergi ke sungai memancing ikan.  Makan makanan buatan dari luar.  Kebanyakan makanan ini tidak mengandungi khasiat baik.....jadinya masa kini ramai orang kampung bermasaalah berat badan.. gemok dan tidak sihat.  Jangan heran ramai anak-anak sekarang tidak kenal jenis-jenis pucuk kayu yang dimakan sebagai ulaman dengan sambal belacan.








Inilah rupanya ikan tapah yang adik Mak Long bawa balik.
















Muhammad Idham anak saudara Mak Long tidak lepas peluang hendak bergambar dengan ikan tapah.  Memang dia suka bergaya untuk bergambar.  Senyuman tidak pernah lekang dari bibirnya.








Ikan tapah kononnya mempunyai kaitan dengan cerita lagenda Pak Kadok penyabung ayam.  Pernah dengar cerita Pak Kadok?  Seorang kawan Mak Long dari Perak pun pernah menceritakan kesah Pak Kadok ketika kami di Sekolah Tun Fatimah dulu.  Ceritanya lebih kurang begini:

Pak Kadok berasal dari keluarga bangsawan datang dari Negeri Siak, Sumatera.  Beliau merantau ke tanah seberang iaitu ke Semenanjung Tanah Melayu nama Malaysia ketika itu.  Pak Kadok bertemu jodoh dan berumah tangga serta terus tinggal di Perak.  Ketika itu sultan yang memerintah ialah Sultan Muzafar Shah Ibni Al-Marhun Sultan Mansur Shah.  Kegemaran Pak Kadoh ialah menyabung ayam di mana permainan menyabung ayam pula sudah terkenal jadi kegemaran dan kegilaan rakyat termasuklah ahli bangsawan di zaman itu.  Dalam setiap penyabungan mereka membuat pertaruhan…berjudilah tu.  Orang Melayu pun sudah pandai berjudi sejak zaman berzaman lagi.

Suatu hari Pak Kadok ternampak seekor ulah membawa sebiji telor ayam di mulutnya dan ular itu meletakkan telor tersebut berhampiran dengan rumahnya.  Apabila ular itu berlalu, Pak Kadok pun mengambil telor itu dan dieramkan oleh ayamnya.  Telor menetas menjadi seekor ayam jantan yang cantik dan sihat, kemudian bila sudah besar dijadikan sebagai ayam laganya.  Ayam sabung ini ternyata seekor ayam sabung yang handal dan kuat.  Setiap kali masuk dalam pertandingan sabung, ayam ini pasti menang.  Kehandalan ayam sabung Pak Kaduk mendapat perhatian dari Sultan yang ingin pula memiliki ayam Pak Kadok.   Justeru baginda dengan muslihat tidak baik mencabar Pak Kadok supaya menyabung ayam.  Apa lagi Pak Kadok yang tidak bersangka buruk pun bukan main gembira kerana Sultan mahu menyabung dengan ayamnya.  Sultan memgenakan beberapa syarat kepada Pak Kadok dalam perlawanan menyabong itu.  Sayangnya tanpa berfikir panjang Pak Kadok menerima syarat Sultan asalkan dapat menyabung ayamnya.

Syarat yang ditetapkan oleh Sultan ialah:


  • Ayam Pak Kadok yang handal itu hendaklah ditukar dengan ayam Sultan.
  • Pak Kadok mesti mempertaruhkan kampung halaman, rumah dan semua isi rumahnya.
  • Sekiranya ayam laga Sultan kalah, Pak Kadok akan diberi kuasa memerintah di sebahagian kawasan negeri.

Memang sudah dijangka dalam pertandingan sabung ayam yang diadakan, ayam Pak Kadok menang.  Pak Kadok bersorak gembira melihat ayamnya menang tetapi dia lupa bahawa ayam Pak Kadok sekarang sudah ditukar dengan ayam Sultan.  Ayamnya sudah jadi milik Sultan!  Dalam pengumuman yang dibuat barulah Pak Kadok sedar bahawa Sultan sudah mempermaikannya….  Ya Sultan pun lagi pandai menipu.  Pak Kadok terpaksa akur dengan syarat permainan sabung Sultan, maka dengan berat hati terpaksalah menyerahkan kampung halaman, isi dalam rumah iaitu isteri dan anaknya kepada Sultan.  Tinggallah Pak Kadok sehelai sepinggang ditemani oleh seekor kucingnya, bersedih dan menyesali perkara yang telah berlaku.

Pak Kadok terpaksa meninggalkan segala yang dimiliki lalu pergi ke sebuah tempat di tebing Sungai Perak.  Sedang Pak Kadok termenong begitu memikirkan nasib masa hadapan, kucingnya datang kepadanya seolah-olah mahu memberitahu sesuatu.  Puas dihalau kucing itu namun tidak juga mahu dia pergi.  Pak Kadok akhirnya mengikut kucingnya itu di tepi sungai.  Di situ terdapat seekor ikan tapah yang gemok terdampar.  Pak Kadok membelah perut ikan itu dengan sejenis pisau dan alangkah terperanjatnya melihat dalam perut ikan tersebut dipenuhi dengan emas.  Kiranya Pak Kadok dapat harta karunlah cumanya harta itu keluar dari dalam perut ikan bukan dari dalam tanah atau gua.  Selepas mengambil semua emas itu Pak Kadok menjahit semula perut ikan tapah itu.  Apabila selesai kerja Pak Kadok melepaskan ikan itu ke dalam sungai sambil ia bersumpah iaitu mulai saat itu dia  tidak akan menyabong ayam lagi dan setiap orang dari ahli keturunannya dilarang memakan, menangkap, memegang atau menyakitkan ikan tapah dengan sengaja atau tidak sengaja.  Sekiranya melanggar sumpahan, orang yang melakukan itu akan mendapat sakit kulit gatal-gatal dan bengkak berbisa terok.  Penawarnya hanyalah dengan meminum dan menyapukan tempat sakit itu dengan air rendaman emas yang Pak Kadok dapat dari perut ikan tapah.

Dengan harta yang baharu dimilikinya itu Pak Kadok kembali semula kepada Sultan menebus semula kampung halaman dan keluarganya yang telah tergadai.  Selebih dari emas itu digunakan sebagai sara hidupnya dan ada juga sebahagian yang dilebur semula untuk dijadikan barang kemas.

Kesudahannya Pak Kadok hidup aman dan bahagia bersama keluarganya serta bersyukur atas harta yang diterima.  Kawan Mak Long cakap beberapa barang kemas Pak Kadok masih ada tersimpan oleh seorang dari keturunannya….. wallalhuwaklam….

Perlu ambil iktibar dari cerita ini, kita adalah manusia biasa bersifat lemah.  Justeru memerlukan akal fikiran yang bijak untuk mengenali yang baik dan buruk.  Tidak bersangka yang buruk terhadap seseorang adalah ajaran ugama tetapi kita dikehendaki berhati-hati supaya tidak tertipu atau dipermainkan orang.

















Thursday, March 27, 2014

Nota Dallas Aboretum

Assalamualaikum,

Hujung minggu lepas (March 21 hingga 23, 2014) kami ke Dallas menjengok Puteri SH.  Dia baharu sahaja pindah ke sebuah apartment lain.  Sebuah apartment lama yang kecil berbilik sebuah.  Letaknya di antara kawasan beberapa bangunan-bangunan lama bersejarah.  Alat pemanas masih menggunakan pemanas gas lama.  Selesa juga dan sesuai untuk tinggal seorang.  Sudah dua minggu Mak Long tidak jumpa, hati ibu memang sentiasa merindui setiap orang anak-anaknya.  

Minggu lepas diistiharkan mulanya musim bunga bagi tahun ini.  Namun kesejukan masih terasa membalut diri.  Masih perlu memakai pakaian tebal terutama di Dallas.  Pada hari Sabtu, Puteri SH membawa kami ke Dallas Aboretum iaitu sebuah taman botanical yang besar dijaga rapi oleh pihak persendirian.  Ini adalah kali kedua Mak Long ke situ.  Lawatan pertama ialah dalam musim panas tahun 2012 ketika pamiran karya gelas diadakan.  Tetapi sayangnya semua gelas-gelas yang dipamirkan itu telah habis pecah kerana ditimpa hujan air batu yang berlaku tahun lalu.  Cantik dan damai si situ.  Bunga kegemaran Mak Long ialah tulip yang berbagai warna dan jenis.

Tiga daripada gambar pertama di bawah ialah karya gelas (blow glass) dalam musim panas 2012.


Kaca-kaca ini dibentuk berbagai rupa, kemudian ditanamankan dalam kawasan taman.













Bermacam-macam rupa bentuk dan warna bebola dari kaca diatur cantik dalam sebuah perahu kecil dan ditempatkan dalam kolam kecil yang berhampiran kira-kira beberapa kaki sahaja di tepi Tasik Putih.













Naa lihatlah gambar-gambar di bawah, betapa cantiknya bunga-bunga taman itu.  Pemandangan dan lanskap setiap tahun sangat berbeza bertukar ganti mengikut musim.


Bunga tulip ditanam begitu rapat di antara satu sama lain, bila mengeluarkan bunga tampak seperti hamparan berwarna-warni yang begitu menarik dan menawan.




Chinese Snowball
Ini sejenis pokok yang tidak begitu besar dan tinggi.  Mak Long baca papan tanda ia dinamakan Chinese Snowball.  Bunga-bunga kecil berwarna hijau bila mula kembang bertukar warna putih.  Bunganya menrupai bunga tiga bulan, bezanya bunga Chinese Snowball lebih kecil sedikit.











Monday, March 17, 2014

Emak Cakap..

Assalamualaikum,


Sudah hampir sebulan Mak Long berada di kampung menjaga Emak.  Tidak ada masaalah menjaga Emak.  Pastikan pakaiannya sentiasa bersih agar dapat menjaga wudhudnya.  Menyediakan makan dan minum setiap hari pun tiada bermasaalah.  Emak makan sahaja apa yang dihidangkan di hadapannya.  Emak suka makan lauk ayam yang sudah Mak Long carik-carik halus supaya mudah Emak konyel.  Janji air yang diberi mesti manis medu, bila dirasa Mak Long tidak boleh telan kerana terlalu medu.  Hanya satu sahaja, Emak tidak suka mandi, sejuk katanya walaupun Mak Long sediakan air panas suam untuk mandian.  Terpaksa dipujuk lembut agar Emak setuju mandi, cuci rambut dan potong kuku bila kukunya panjang.  Begitulah jadualnya setiap dua hari sekali apabila masa untuk mandi.  Emak tidak boleh berdiri lama atau berjalan jauh, jadi kami belikan sebuah kerusi sorong yang berfunsi sekiranya Emak tidak larat ke bilik air Emak boleh gunakan sebagai tandas.  Kalau Emak tidak larat berjalan ke bilik air untuk mandi boleh guna sebagai kerusi sorong dan duduk di situ untuk tempat mandi.  Mak Long berasa puas dapat membantu Emak.  Emak suka dan selalu senyum apabila selepas mandi ditukar pakaian bersih, sikat dan ikat rambutnya serta sapu bedak wangi di mukanya.  Sekali-kali Mak Long buat tocang tinggi di tengah kepalanya.  Bila semua sudah siap Mak Long cium pipinya dengan ucapan "Sayang Emak."  Emak tidak pernah lupa mengucapkan terima kasih serta memandang lembut kepada Mak Long.

 Suatu petang Mak Long membantu Emak dengan minuman petang.  Mak Long buatkan air sirap merah paling manis segelas untuknya dan segelas lagi kurang manis dicampur dengan perahan lemon untuk Mak Long sendiri.  Emak suka minuman yang manis dan medu, kalau tidak manis Emak tidak mahu minum.  Emak sanggup tidak minum apa-apa kalau air yang diberi tidak manis.  Tidak ada masaalah makan manisan gula lebih bagi Emak.  Emak tidak ada kencing manis atau kolesterol tinggi.  Boleh makan apa juga.  Petang itu Mak Long rebus kacang kuda dan Along adik ipar belikan sedikit kuih.  Emak suka makan kacang kuda rebus.  Habis sepiring yang Mak Long bagi padanya.  Kuih Emak tidak hendak..tak sedap katanya.

Sambil makan emak bercakap-cakap…..  seolah-olah bercakap sendirian sedang matanya melihat arah atas ….

"Atok aku bercakap aku ni hidup macam sirih naik junjung patah.  Akak aku atok cakap dia tu bertuah …..  Dapat laki baik, emak mentua baik.  Kawin ajer, mak mentua bagi gelang emas, rantai emas……. tapi dia mati dulu…."  Emak berhenti mengonyel kacang rebus lembut itu.

Mak Long mendengarnya terkebil-kebil, bengong mengapa tiba-tiba Emak cakap begitu.  Kemudian terasa juga ingin tahu lagi lalu Mak Long bertanya, "…. Uda Timah cam mana……?"

"….dia tu orang biasa aje…. Atok marin cakap baka kite tak ramai….  Empat beradik ajer…  Anak emak kemudian (ibu tiri Emak) lapan semuanya…  Timah dah mati, tinggal Man dengan kite.   Man dah mati tinggal kite sorang……"  

Mak Long amati air muka Emak.  Tidak ada riaksi, sama sahaja.  Kini Emak jarang senyum dan ketawa.  Gigi pun sudah habis rompong.  Hendak kami ganti dengan gigi palsu baru, mati-mati dia tidak mahu.  Tidak tahu mengapa?  Emak sudah kurang ingatan.  Kadang-kadang Emak tidak ingat siapa Mak Long tetapi apabila Emak dengar suara Mak Long dia ingat semula.  Mak Long sedih dan sangat sebak melihat keadaan Emak.  Sayu tidak sedar air mata membasahi pipi.  Mak Long dapati apabila Emak menyantun dirinya kite, Emak tidak ingat dengan siapa dia bercakap.  Tetapi apabila Emak ingat, Emak akan menukar santunan panggilan dirinya kepada "Mak".  Subhanallah..  Emak tetap bersolat dan membaca ayat-ayat quran.

Percakapan Emak terhenti apabila Idah anak saudara Mak Long memberitahu dia hendak ke rumah kawan sekolahnya untuk bincang-bincang tentang kerja sekolah.  Mak Long tanya macam mana dia hendak pergi?  Katanya, "jalan kaki…".   Jauh juga kalau hendak berjalan kaki.  Mak Long memberitahunya Mak Long boleh tolong hantar dengan kereta Daril adik Mak Long iaitu bapa Idah.  Tambahan bimbang ramai sangat orang bangsa asing berkeliaran di kampung…rasa tidak ada keselamatan!

Sudah lama sungguh Mak Long tidak memandu kereta yang "manual".  Hmmm…kekok rasanya.  Idah buka "gate" yang sentiasa ditutup sebab ada dua ekor kambing, Adam dan Hawa selalu lepas kandang.  Kadang-kadang pandai pula buka pintu rumah dan masuk dalam rumah.  Kambing-kambing itu dibuat seperti binatang mainan "pet" pula.  Mak Long tidak berapa suka kambing kerana bau hamis kuat menusuk hidung.  Yang lucunya bila Idah hendak masuk kereta pintu kereta pula terkunci.  Mak Long cuba buka dengan memicit butang di tepi sebelah kanan….. laa tidak terbuka.  Idah tunjuk butang dekat pintu tepi sekali suruh picit itu….  tidak terbuka juga.  Kena picit kuat-kuat rupanya.  Teruknya Mak Long ha ha ha….  Kami sama-sama tergelak besar….  




Emak (28hb Februari 2014)




SYURGA ITU DI BAWAH TELAPAK KAKI IBU.
BERBAKTILAH KEPADA IBU MU SELAGI ADA PELUANG












Saturday, March 15, 2014

Jemputan Kawin, Makan Nasi Minyak Muar

Assalamualaikum

Malam itu selepas menikmati makan malam kami sekeluarga duduk berkumpul di hadapan TV.  Emak tidak kesah apa pun, duduk di atas katil yang kami sediakan khas untuknya di sebelah tingkap.  Sebuah TV disediakan untuk Emak supaya beliau dapat menonton bila-bila suka.  Biasanya Emak suka menonton hal-hal ceramah agama.  Menonton gelagat raja lawak, entah siapa namanya Mak Long pun tidak tahu.  Along, adik ipar Mak Long mengelekek geli hati melihat gelagat pelawak dituruti Idah anak perempuannya.   Mohd Daril, adik Mak Long nampak menyeringaikan gigi, pasti geli hati juga agaknya.   Dua orang dari anak buah lelaki Mak Long pula sibuk mengemaskan dan menjadual buku-buku sekolah.  Becok sungguh mereka bercakap, bising entah apa yang dibecokkan pula ditambah dengan gelak ketawa hingga tidak terdengar apabila seseorang memberi salam di luar.   Daril menjawab salam sambil bergegas membuka pintu hadapan.  

"Waalaikumsalam……., ehh Utehhhhh..  Jemput masuk Teh.. tak dengar bising tadi..."  Tetamu tersebut ialah Uteh Satar pangkat dua pupu Mak Long.  Umur kami tidak jauh berbeza.  Uteh Satar lebih kurang dua atau tiga tahun lebih tua dari Mak Long.  Uteh Satar, adik beradiknya dan arwah emaknya Busu Chik tinggal di Kampung Seberang Kolam.  Kami pergi sekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Jorak sama.   Lama juga kami tidak bertemu.  Uteh Satar hanya bekerja kampung.  Macam-macam kerja dibuatnya untuk menyara keluarga dan beliau mempunyai banyak kelebihan dan kebolehan dalam beberapa bidang kerja.  Antaranya ialah tukang kayu membuat rumah, tukang masak untuk kenduri kendara untuk masyarakat kampung, menangkap ikan dan udang dari Sungai Muar untuk jualan dan macam-macam lagi.  Uteh Satar juga pernah membuat rumah untuk keluarga kami di Bumi Hijau, Kuala Lumpur.  Hasil kerja tangannya sungguh halus dan berkualiti.  Isterinya Rokiah dan kami panggil Mak Teh seorang yang lemah lembut dan berbudi bahasa tinggi dan peramah.  Kalau datang ke rumahnya air teh kosong manis dan panas mesti ada untuk kami.  Keluarganya banyak membantu kami dan kami menghormatinya.


Uteh Satar Dan Mak Uteh Ror

"…. Eeehh Mak Long pun ada!  Bila balik?"  sapa Uteh Satar mesera apabila ternampak Mak Long.  Dalam kalangan keluarga tidak kira tua atau muda, mereka semua menyantun Mak Long dengan panggilan Mak Long.  Seronok juga dengan panggilan itu.  Terasa lebih mesera begitu.

"Dah seminggu lebih, Teh... Apa kabo keluarga semua?" jawab Mak Long guna logat Kampung Jorak.

"Alhamdulillah semua sihat, Mak Long...." .katanya.  "Uteh ni datang ada hajat dari keluarga…....", sambungnya lagi sambil melabohkan dirinya di kerusi yang Daril sediakan untuknya.  "...... Kami nak buat kenduri kawin, Mak Long, Ril...  Tarikhnya pada 1hb dua (Februari).  Uteh jemput semu ahli keluarg kita di rumah ni datang ke rumah kami meraikan pernikahan Kak Longnya…….  Jangan tak datang yer Mak Long…"

"Insya Allah….  Orang mana lawannya, Teh?  Terima menantu pertamalah nie yer?"

"Dari Perak…...jauh beno tempatnya.  Dah ke situ jodohnya, Mak Long… nak buat macam mana..?  Orang sebelah pulak nak nyambut pada 6 haribulan dua nie .. lat (jarak masa) tak berapa hari jer…. Budak-budak nie semua kerja, susah nak dapat cuti sama tarikh…..dah tu pulak Kak Long mengajo di Johor....bakal suaminya pulak kerja di Kuala Lumpo ... Entah macam manalah nanti...…. sorang selatan sorang lagi di sana.  Mintak-mintak salah sorang dapat tukar bior dapat bersama….".  Keluh Uteh Satar.  "....nak ikutkan tarikh tu kurang sesuai kerana Che Gu Said pun nak buat kerja kawin juga pada 2 haribulan tu pulak.  Jadi kalau ikut pakatan kampung kite ni, kita tak boleh buat kenduri pada tarikh yang telalu dekat sebab masaalah penggunaan barang dan alat rantam (alat-alat yang dikongsi bersama seperti khemah, periok belanga, pinggan mangkok masyarakat penduduk kampung).  Orang tukang masak pun tak boleh nak kite guna sebab ada dua buah kenduri tarikh berdekatan.  Jadi saya tak guna barang-barang rantam.  Nasib baik orang kampung sebelah Mak Teh dah saggup nak bantu semua… tu yang buat kat Kampung Sungei Terap…." jelas Uteh Satar panjang lebar.

Pada 1 haribulan tarikh kenduri kawin anak Uteh Satar, ketika Emak tidur Mak Long bersama adik bungsu Busu Mai mengambil peluang pergi meraikan kenduri kawin dan makan nasi minyak Muar.  

Pengantin Baru 

Uteh Satar Dengan Puteri Sulungnya




Dua hari selepas Uteh Satar datang menjemput kami ke majlis perkahwinan anaknya, pagi-pagi lagi kami sudah terima tetamu.  Mereka ialah Che Gu Said bersama isterinya terdiri di hadapan pintu bahagian rumah tengah.  Daril, anak-anaknya sudah ke sekolah maka tingallah Mak Long berdua dengan Emak.  Mak Long persilakan mereka masuk ke ruang tengah rumah sambil bersalaman dengan isterinya.

"Apa kabo?"  belum sempat Mak Long jawab sudah ditanya bila balik…

"Alhamdulillah baik-baik saja.  Jemput duduk Cik Gu, kak…." sambil Mak Long tunjukan kerusi terdekat.

"Tak pe, tak pe…. kami nie sebenarnya ada hajat nak jemput semua ahli keluarga di rumah nie.  Kami nak buat majlis perkahwinan anak bungsu kami pada 2hb Februari yang kita adap (hadap) nie.  Jemputlah datang yer… ehhh Emaknya pun ada di sini juga ya!  Tadi tak perasan… Emak tak berapa sihat yer?…" sambil menghulul tangan untuk bersalam dengan Emak.

"Emak tak berapa sihat dan dah tak kuat lagi….." Jelas Mak Long.

"Yelah Emak nie dulu sungguh rajin bekerja, kuat bekerja siang malam cari rezeki…. Dah tiba masa Emak berihat….." kata Cik Gu Said.

"Beno….. tulah kami bergilir-gilir jaga emak sekararang…"

"Alhamdulillah…….."

Begitulah keadaan penduduk di kampung Mak Long hingga ke hari ini.  Masih mengamalkan cara hidup bergontong-royong seperti dulu-dulu apabila ada sahaja jiran-jiran yang memerlukan bantuan.  Tolong menolong antara satu sama lain.  Apabila ada orang kampung hendak mengadakan kenduri kendara biasanya orang yang berhasrat membuat kenduri itu biasanya jemputan dibuat melalui mulut sahaja, tidak menjemput dengan kad jemputan seperti yang lazim berlaku di hari ini.  Mereka akan menyusur dari rumah ke rumah menjemput dan menggumumkan berkenaan kenduri tersebut.






















Saturday, March 8, 2014

Nota Penerbangan Emirates


Assalamualaikum,


Tiket penerbangan Mak Long pulang ke Malaysia telah ditetapkan pada 11hb Januari, 2014.  Kali pertama Mak Long menggunakan khidmat pesawat Penerbangan Emirates.  Biasa-biasa Mak Long guna perkhidmatan pesawat SIA yang dikelola dan berasal dari Singapore.  Pak Long memberi pandangannya eloklah tidak menggunakan pesawat SIA kali ini dengan cuaca musim sejuk yang tidak menentu.  SIA biasanya berhenti di Moscow, Russia untuk muat dan tukar pesawat sebelum terus terbang ke Singapore dan seterusnya tukar lagi pesawat ke Lapangan Terbang di KLIA.  Pernerbangan boleh jadi tergendala apabila cuaca buruk seperti ribut salji melanda atau salji di landasan menebal di lapangan terbang menyebabkan dan bermasaalah bagi pesawat-pesawat mendarat atau berangkat terbang.  Sebenarnya baharu tiga bulan Mak Long pulang dari Malaysia.  Tetapi kepulangan kali ini kerana menerima berita Emak tidak sihat dan adik-adik tidak dapat menjaga Emak yang sedang uzur.  Mereka sibuk dengan tugas kerjaya dan keluarga masing-masing.  Mak Long tidak kerja dan ada masa untuk membantu Emak.  Pak  Long juga menggalakkan agar Mak Long pulang segera membantu Emak ketika masih ada peluang untuk berbakti pada Emak yang memerlukan bantuan.  Sesungguhnya Mak Long sangat bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kerana Pak Long memahami dan membenarkan Mak Long pulang membantu Emak.

Pada hari Mak Long bertolak, Pak Long menghantar Mak Long ke Lapangan Terbang Antarabangsa George Bush, Houston lebih awal; tidak tahu bagaimana keadaan lalu lintas pastinya.  Perjalanan dari rumah kami ke Houston dengan kenderaan biasa mengambil masa lebih kurang empat setengah jam.  Dua buah beg besar penuh dengan oleh-oleh untuk keluarga di Malaysia yang berat dan sebuah beg bimbit tidak senang mengendalinya.  Banyak bawa buah tangan untuk keluarga di kampong.  Begitulah biasanya bila balik kampong.  Nasib baik Pak Long ada dan membantu.  "Check-in" tiada masaalah dan selepas semuanya beres Mak Long terus masuk ke bahagian pemeriksaan keselamatan.  Seperti biasa keadaan di sini sungguh melecehkan dan mudah hendak naik darah ke tahap menggunung tinggi.  Keadaan di sini selalu kelam kabut dengan pelbagai perangai manusia.  Wahai hati sabarlah.....  Bukannya apa, orang-orang ni, sudah tahu hendak kena periksa bersedialah lebih dahulu.  Ini tidak, sudah sampai giliran untuk diperiksa baharu terhegeh-hegeh hendak buka kasutlah, bukak jeketlah, keluarkan camera dan computerlah … hish!  Leceh sungguh!  Walhal awal-awal lagi pihak pertugas sudah mengarahkan untuk bersedia.

Selepas pemeriksaan keselamatan Mak Long terus ke balai menunggu.  Ramai penumpang dari pelbagai pelusuk sudah sedia menunggu masa untuk masuk ke pesawat masing-masing untuk berlepas.  Teringin juga hendak membeli buku atau majalah sebagai bahan bacaan.  Sayangnya lapangan terbang ini kecil tidak ada banyak pilihan untuk membeli bahan bacaan.  Kedai menjual barang tanpa cukai pun hanya sebuah sahaja. Bagus lagi KLIA!  Sudahnya Mak Long tidak beli apa pun tanbahan harga barang mahal di sini.   Mak Long cari tempat berhampiran dengan pintu masuk untuk ke pesawat Emirates.  Kiri kanan kerusi yang Mak Long duduk kosong.  Di situlah Mak Long melaboh sambil membuka iPad untuk mengisi masa menunggu.  Tiba-tiba seorang wanita hmm besar juga orangnya duduk menghempas punggung lebarnya di belah.  Rasa melambung jugalah kerusi yang Mak Long duduk itu.  Mak long buat tak tahu sahaja sambil terus main game dari iPad.  

"Excuse me maam, do you know why some people walk to that counter?". Wanita itu tina-tiba  bertanya Mak Long sambil menunjukkan jarinya arah meja penerbangan pesawat Qatar.  Jawab Mak Long "I heard the announcement that those who have connecting flight from other airlines to go to Doha have to re-check for their boarding pass....".
   "Ooo… Sorry for interupting your game.."

"That's alright…..I was just passing time.."  sambil menutup iPad dan masukkannya kedalam beg bimbit.

"Where are you flying to?", tanya Mak Long ingin tahu lebih lanjut tentang wanita tersebut.

"Oo .. I am going to Tehran in Iran .. and transit in Doha".


"Are you from Iran?,  Mak Long tanya lagi kerana heran juga seorang wanita dari Iran boleh berjalan jauh sendirian tanpa muhrim.


"Ya, I come here for a few weeks visiting my brother.  He wants me to migrate here but if I do that I won't be able to return to Tehran ever again to see my families…"  terangnya.  "Those radical crazy people will kill anyone without mercy….You don't want to come to Tehran.  It is not safe for everyone especially tourists!" katanya lagi sambil mencebikkan bibirnya.

"But you travel…. Do they allow you to wear like this over there?" melihat wanita itu berpakaian gaun berlengan pendek dan tanpa hijap kepala.


"Ooo once I arrive over there I will have to wear long jackets like this one and cover my head…." jawabnya.


Perbualan kami terhenti apabila pengumuman dilaungkan untuk penumpang-penumpang pesawat Emirates dijemput masuk ke dalam pesawat.  Mak Long bergegas dan beratur ke lorong yang disediakan untuk masuk kedalam pesawat.  Pesawat penuh dan ramai sungguh penumpang berbangsa Arab dan India ke Dubai.  Di mana sahaja orang Arab berada memang susah sesiapa pun hendak mengawal bangsa ini.  Degil dan bising!  Puas juga pramugari hendak mengawal dan menyuroh mereka duduk di tempat masing-masing terutama apabila ada gangguan awan dalam penerbangan.  Mamat-mamat Arab itu gemar sungguh bersidai keliling tempat pramugari-pramugari berkerja menyediakan jamuan untuk penumpang-penumpang.  Macam-macam perangai.. hendak tangkap gambarlah, hendak minumlah.  Hai.. tidak dapat berihatlah nampaknya dalam penerbangan ini.


Penerbangan sampai di Dubai sedang baik masuk waktu Subuh.  Besar juga surau yang disediakan oleh pihak lapangan terbang.  Ada bilik mandi jika penumpang perlu dan bilik wuduk khas untuk wanita juga selesa.  Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai besar dan cantik.  Macam-macam barang berjenama bebas cukai ada dijual dan pamiran yang menarik.  Kedai barang kemas emas dan batu permata juga ada dijual, harganya pun mahalah bila sudah duduk dalam peti kaca cantik.  Sempat jugalah membeli buah tangan untuk Anna yang akan datang menemui Mak Long bila sampai nanti.  Mak Long ada satu jam setengah di situ sebelum meneruskan pernerbangan dan selamat sampai di KLIA tepat jam lapan pagi.  Adik bungsu Mak Long, Mai terlambat beberapa minit berada di ruang menunggu kepulangan Mak Long.  Alhamdulillah… selamat sampai.  Adik Mai membawa Mak Long balik ke rumahnya dahulu untuk menyegarkan badan dan tukar pakaian kemudian baharulah kami bertolak terus ke kampung di Muar, Johore.





Emak (1989)