Assalamualaikum,
Pagi itu Mak Long sibuk di dapur menyediakan mandian Emak. Panaskan air, sediakan towel, shampoo/conditioner dan sabun semua lengkap di tepi kolah air dalam bilik air. Emak bangun awal tetapi belum mahu menjamah sarapan pagi lagi sambil duduk di kerusi menonton TV mendengar ceramah ustaz.
Daril adik Mak Long masuk ke ruang dapur di mana air yang Mak Long jerang hampir mendidih. Di tangannya menjinjit seekor ikan, besar jugalah lalu diletak di dalam sinki. "Ikan tapah, Kak… sedap ni kalo masak asam rebus…… Ada budak jual tadi.." Sudah sahlah tu Daril hendak Mak Long masak asam rebus macam arwah Atok Keti (Atok perempuan kami sebelah Wak).
Arwah Atok Keti selalu masak asam rebus sahaja kalau memasak ikan dari sungai. Nama sebenar Atok Keti ialah Siti Amah. Kami juga panggil beliau Tok Tine. Sedap sungguh masakan dari air tangan Atok. Mudah sahaja cara memasaknya tetapi rasanya amboii mak mentua lalu bawah tangga pun tidak nampak. Arwah Tok Jantan (Suami Atok Keti, Atok lelaki dari sebelah Wak) biasa menggail dan memasang lukah serta guguh di Sungai Muar. Kadang-kadang jeratnya mengena dan dapat rezeki lebih, kekadang hanya sedikit sahaja cukup untuk makan pada hari itu. Biasanya dapat beberapa jenis ikan air tawar seperti ikan tapah, ikan tilan dan udang galah. Atok Tine akan memasak ikan-ikan yang dibawa pulang sama ada digulai atau digoreng. Kalau dapat rezeki lebih Atok Jantan hantar ke rumah kami yang tidak berapa jauh jaraknya atau pun Atok bagi lauk yang sudah siap digulai. Atok Keti jarang masak kari atau masak lemak, biasalah orang kampung sebelah daerah Muar, balik-balik masak asam rebus, asam tumis atau pun masak singgang kuning berdaun kunyit sebagai masakan harian. Sayur pula selalunya masak air sahaja atau masak lemak cair. Daging lembu atau daging ayam baharulah Atok Keti masak kari atau masak lemak. Hendak dikirakan kami jarang makan lauk daging lembu. Pasar jauh di bandar Muar. Terpaksa tunggu lama dan menambang naik bas atau taxi sekiranya hendak ke pasar. Lauk daging ayam adalah, kami bela ayam sendiri tidak payah beli.
Masakan kampung hanya rebus-rebus tidak menggunakan banyak minyak, berulam pucuk daun seperti pucuk putat, pegaga, pucuk ubi, pucuk tunjuk langit lebih berhasiat dan amat bermunafaat untuk kesihatan. Sekarang kebanyakan orang kampung sudah mewah hidup dari dulu. Mereka sudah mampu membeli berbagai jenis makanan, tidak perlu tanam sayur di belakang rumah atau pergi ke sungai memancing ikan. Makan makanan buatan dari luar. Kebanyakan makanan ini tidak mengandungi khasiat baik.....jadinya masa kini ramai orang kampung bermasaalah berat badan.. gemok dan tidak sihat. Jangan heran ramai anak-anak sekarang tidak kenal jenis-jenis pucuk kayu yang dimakan sebagai ulaman dengan sambal belacan.
Inilah rupanya ikan tapah yang adik Mak Long bawa balik.
Muhammad Idham anak saudara Mak Long tidak lepas peluang hendak bergambar dengan ikan tapah. Memang dia suka bergaya untuk bergambar. Senyuman tidak pernah lekang dari bibirnya.
Ikan tapah kononnya mempunyai kaitan dengan cerita lagenda Pak Kadok penyabung ayam. Pernah dengar cerita Pak Kadok? Seorang kawan Mak Long dari Perak pun pernah menceritakan kesah Pak Kadok ketika kami di Sekolah Tun Fatimah dulu. Ceritanya lebih kurang begini:
Pak Kadok berasal dari keluarga bangsawan datang dari Negeri Siak, Sumatera. Beliau merantau ke tanah seberang iaitu ke Semenanjung Tanah Melayu nama Malaysia ketika itu. Pak Kadok bertemu jodoh dan berumah tangga serta terus tinggal di Perak. Ketika itu sultan yang memerintah ialah Sultan Muzafar Shah Ibni Al-Marhun Sultan Mansur Shah. Kegemaran Pak Kadoh ialah menyabung ayam di mana permainan menyabung ayam pula sudah terkenal jadi kegemaran dan kegilaan rakyat termasuklah ahli bangsawan di zaman itu. Dalam setiap penyabungan mereka membuat pertaruhan…berjudilah tu. Orang Melayu pun sudah pandai berjudi sejak zaman berzaman lagi.
Suatu hari Pak Kadok ternampak seekor ulah membawa sebiji telor ayam di mulutnya dan ular itu meletakkan telor tersebut berhampiran dengan rumahnya. Apabila ular itu berlalu, Pak Kadok pun mengambil telor itu dan dieramkan oleh ayamnya. Telor menetas menjadi seekor ayam jantan yang cantik dan sihat, kemudian bila sudah besar dijadikan sebagai ayam laganya. Ayam sabung ini ternyata seekor ayam sabung yang handal dan kuat. Setiap kali masuk dalam pertandingan sabung, ayam ini pasti menang. Kehandalan ayam sabung Pak Kaduk mendapat perhatian dari Sultan yang ingin pula memiliki ayam Pak Kadok. Justeru baginda dengan muslihat tidak baik mencabar Pak Kadok supaya menyabung ayam. Apa lagi Pak Kadok yang tidak bersangka buruk pun bukan main gembira kerana Sultan mahu menyabung dengan ayamnya. Sultan memgenakan beberapa syarat kepada Pak Kadok dalam perlawanan menyabong itu. Sayangnya tanpa berfikir panjang Pak Kadok menerima syarat Sultan asalkan dapat menyabung ayamnya.
Syarat yang ditetapkan oleh Sultan ialah:
Memang sudah dijangka dalam pertandingan sabung ayam yang diadakan, ayam Pak Kadok menang. Pak Kadok bersorak gembira melihat ayamnya menang tetapi dia lupa bahawa ayam Pak Kadok sekarang sudah ditukar dengan ayam Sultan. Ayamnya sudah jadi milik Sultan! Dalam pengumuman yang dibuat barulah Pak Kadok sedar bahawa Sultan sudah mempermaikannya…. Ya Sultan pun lagi pandai menipu. Pak Kadok terpaksa akur dengan syarat permainan sabung Sultan, maka dengan berat hati terpaksalah menyerahkan kampung halaman, isi dalam rumah iaitu isteri dan anaknya kepada Sultan. Tinggallah Pak Kadok sehelai sepinggang ditemani oleh seekor kucingnya, bersedih dan menyesali perkara yang telah berlaku.
Pak Kadok terpaksa meninggalkan segala yang dimiliki lalu pergi ke sebuah tempat di tebing Sungai Perak. Sedang Pak Kadok termenong begitu memikirkan nasib masa hadapan, kucingnya datang kepadanya seolah-olah mahu memberitahu sesuatu. Puas dihalau kucing itu namun tidak juga mahu dia pergi. Pak Kadok akhirnya mengikut kucingnya itu di tepi sungai. Di situ terdapat seekor ikan tapah yang gemok terdampar. Pak Kadok membelah perut ikan itu dengan sejenis pisau dan alangkah terperanjatnya melihat dalam perut ikan tersebut dipenuhi dengan emas. Kiranya Pak Kadok dapat harta karunlah cumanya harta itu keluar dari dalam perut ikan bukan dari dalam tanah atau gua. Selepas mengambil semua emas itu Pak Kadok menjahit semula perut ikan tapah itu. Apabila selesai kerja Pak Kadok melepaskan ikan itu ke dalam sungai sambil ia bersumpah iaitu mulai saat itu dia tidak akan menyabong ayam lagi dan setiap orang dari ahli keturunannya dilarang memakan, menangkap, memegang atau menyakitkan ikan tapah dengan sengaja atau tidak sengaja. Sekiranya melanggar sumpahan, orang yang melakukan itu akan mendapat sakit kulit gatal-gatal dan bengkak berbisa terok. Penawarnya hanyalah dengan meminum dan menyapukan tempat sakit itu dengan air rendaman emas yang Pak Kadok dapat dari perut ikan tapah.
Dengan harta yang baharu dimilikinya itu Pak Kadok kembali semula kepada Sultan menebus semula kampung halaman dan keluarganya yang telah tergadai. Selebih dari emas itu digunakan sebagai sara hidupnya dan ada juga sebahagian yang dilebur semula untuk dijadikan barang kemas.
Kesudahannya Pak Kadok hidup aman dan bahagia bersama keluarganya serta bersyukur atas harta yang diterima. Kawan Mak Long cakap beberapa barang kemas Pak Kadok masih ada tersimpan oleh seorang dari keturunannya….. wallalhuwaklam….
Perlu ambil iktibar dari cerita ini, kita adalah manusia biasa bersifat lemah. Justeru memerlukan akal fikiran yang bijak untuk mengenali yang baik dan buruk. Tidak bersangka yang buruk terhadap seseorang adalah ajaran ugama tetapi kita dikehendaki berhati-hati supaya tidak tertipu atau dipermainkan orang.

- Ayam Pak Kadok yang handal itu hendaklah ditukar dengan ayam Sultan.
- Pak Kadok mesti mempertaruhkan kampung halaman, rumah dan semua isi rumahnya.
- Sekiranya ayam laga Sultan kalah, Pak Kadok akan diberi kuasa memerintah di sebahagian kawasan negeri.

No comments:
Post a Comment