Pages

Tuesday, April 24, 2018

Barry Strickland 2

Assalamualaikum,

Dari catatan:  2016


Barry Strickland

Hujung minggu lalu kami ke Kerrville seperti biasa menziarahi Barry.  Sudah masuk tiga bulan Barry keluar dari Pusat Pemulihan Hill Village atas rawatan terapi selepas kemalangan motosikal tahun lalu.  Sudah setahun berlalu dari peristiwa ngeri itu.  Pertuturan Barry bertambah baik dan sudah boleh difahami walau sesekali beliau sangkut cuba mengingatkan sesuatu perkataan.  Yang penting dia sentiasa mencuba dan sudah boleh jawab talipon bila Pak Long talipon dia.  Begitu juga sudah boleh membuat panggilan talipon bila beliau perlu.  Tangan kanannya pun sudah boleh digerak-gerakkan akibat "stroke" ketika kemalangan itu.  Paling mengembirakan sekali Barry sudah boleh berjalan perlahan-lahan walau terpaksa menggunakan "walker" dan beliau membersihkan diri sendiri tanpa bantuan. Di pusat pemulihan melatih bagaimana serba serbi untuk menjaga dan membersih diri sendiri.

Gambar di atas Barry duduk di kerusi roda untuknya bergerak dalam rumahnya.  Inilah rumah yang baharu dibeli sebelum keluar dari Pusat Pemulihan Hill Village.  Rumah itu mempunyai tiga bilik, dua bilik air, ruang tamu yang luas dan halaman hadapan dan belakang yang luas dan selesa.  Kawasan perumahan juga mempunyai jiran yang baik.  Janell telah mengubah suai dalam rumah untuk memudahkan Barry bergerak seperti laluan keluar rumah memudahkan laluan kerusi roda.

Yang seronoknya seminggu sebelum Ramadhan bermula Barry datang ke rumah kami bersama Janell dan Brady.  Brady ialah cucu iaitu anak kepada Janell.  Sudah boleh masuk dan duduk dalam kereta sendiri, tetapi belum boleh memandu kereta lagi.  Katanya beliau rindu hendak datang dan bermalam di rumah kami seperti dulu-dulu.  Apabila sampai sahaja di rumah kami, dia meminta untuk duduk di patio bahagian belakang rumah menikmati kehijauan rumput dan siulan ungas dan rusa liar di luar sebagaimana dia biasa dahulu.  Kemudian Barry mahu melihat motosikal Harley Davidson kepunyaanya (motorsikal kedua) yang Pak Long bawa dari rumahnya di Alvin beberapa bulan dahulu sebelum rumah itu dijual.  Tampak kesedihan seketika apabila Barry melihat dan memegang motosikalnya, "I miss it..!", katanya.  

Mak Long masakkan nasi goreng kegemaran Barry dan lauk daging untuk mereka.  Licin semua yang dihidangkan di atas meja.  Seronok dia bersembang dengan Pak Long seperti biasa sambil melihat Brady bermain-main di halaman.  Hampir setengah hari jugalah mereka berada di rumah dan berjanji akan datang lagi.

Semuga semangatnya sentiasa gigih untuk terus pulih seperti biasa dalam usianya yang sudah meningkat 70 tahun, setidak-tidaknya boleh mula memandu sendiri kalau tidak boleh menunggang motosikalnya lagi.














1 comment:

  1. Alhamdulillah...Barry masih mendapat peluang kedua untuk meneruskan kehidupannya...

    ReplyDelete