Pages

Friday, April 27, 2018

Sembang Kami - Keju

Assalamualaikum,


Keju pelbagai perisa mengikut warna


Dari catatan:  April, 15

Hari ini adalah hari terakhir kami untuk bersiar-siar dan melihat-lihat serta menikmati Bandaraya Amsterdam.  Mak Long kepingin mebawa sedikit oley-oley pulang.  Cheese atau keju.  Jadi kami rayau-rayau hampir semua kedai keju...lengoh kaki tidak terkira..  kami masuk kedai keju ini, Henri Willig Kaas di Nieuwe Zijde.

Punyalah banyak jenis keju, penuh semua dinding diatur kemas seperti dalam gambar di bawah sampai tidak tahu mana satu hendak pilih.  Ada keju berperisa macam-macam semua sedap-sedap.  Pak Long suka keju berperisa jintan manis di mana jintan itu dicampur dalam keju.  Kami beli beberapa ketul yang  ada beberapa perisa.  Keju biasa, kiju kambing, keju bercili dan lain-lain.  Hendak beli lebih tetapi keju berat walau nampak kecil sahaja saisnya.

Di meja pembayaran:




Casher:         Ready Madam?

Mak Long:    Yes

Casher:        €30.00 Madam.  Do you need a bag.... 25cents one bag.

Mak Long:  No, thank you.  I think I will be alright.  (Mak Long cuba masukkan keju yang dibeli itu dalam bag yang sedia ada di tangan.

Casher:      I think you need a bag Madam, yes? ..  Here, please take this.  I see accident is cuuumming on your way.....!

Hahaha geli hati, satu kita tidak pernah dipanggil Madam, biasa di US wanita biasa dibahasakan dengan panggilan sopan seperti maam, miss atau sweetie.  Kedua gaya casher tu bertutur dengan lorgat Belanda yang lain bunyinya.  Dan ketiga oleh kerana tidak hendak bayar bag 25 sen tu....  

Apabila kami sudah keluar dari kedai, Pak Long cakap "Awak sanggup bayar beribu dollar nak datang ke Amsterdam, ..... ini awak tak bayar harga 25 sen satu bag".  Hahahaha...



Keju, keju, keju










Tuesday, April 24, 2018

Barry Strickland 2

Assalamualaikum,

Dari catatan:  2016


Barry Strickland

Hujung minggu lalu kami ke Kerrville seperti biasa menziarahi Barry.  Sudah masuk tiga bulan Barry keluar dari Pusat Pemulihan Hill Village atas rawatan terapi selepas kemalangan motosikal tahun lalu.  Sudah setahun berlalu dari peristiwa ngeri itu.  Pertuturan Barry bertambah baik dan sudah boleh difahami walau sesekali beliau sangkut cuba mengingatkan sesuatu perkataan.  Yang penting dia sentiasa mencuba dan sudah boleh jawab talipon bila Pak Long talipon dia.  Begitu juga sudah boleh membuat panggilan talipon bila beliau perlu.  Tangan kanannya pun sudah boleh digerak-gerakkan akibat "stroke" ketika kemalangan itu.  Paling mengembirakan sekali Barry sudah boleh berjalan perlahan-lahan walau terpaksa menggunakan "walker" dan beliau membersihkan diri sendiri tanpa bantuan. Di pusat pemulihan melatih bagaimana serba serbi untuk menjaga dan membersih diri sendiri.

Gambar di atas Barry duduk di kerusi roda untuknya bergerak dalam rumahnya.  Inilah rumah yang baharu dibeli sebelum keluar dari Pusat Pemulihan Hill Village.  Rumah itu mempunyai tiga bilik, dua bilik air, ruang tamu yang luas dan halaman hadapan dan belakang yang luas dan selesa.  Kawasan perumahan juga mempunyai jiran yang baik.  Janell telah mengubah suai dalam rumah untuk memudahkan Barry bergerak seperti laluan keluar rumah memudahkan laluan kerusi roda.

Yang seronoknya seminggu sebelum Ramadhan bermula Barry datang ke rumah kami bersama Janell dan Brady.  Brady ialah cucu iaitu anak kepada Janell.  Sudah boleh masuk dan duduk dalam kereta sendiri, tetapi belum boleh memandu kereta lagi.  Katanya beliau rindu hendak datang dan bermalam di rumah kami seperti dulu-dulu.  Apabila sampai sahaja di rumah kami, dia meminta untuk duduk di patio bahagian belakang rumah menikmati kehijauan rumput dan siulan ungas dan rusa liar di luar sebagaimana dia biasa dahulu.  Kemudian Barry mahu melihat motosikal Harley Davidson kepunyaanya (motorsikal kedua) yang Pak Long bawa dari rumahnya di Alvin beberapa bulan dahulu sebelum rumah itu dijual.  Tampak kesedihan seketika apabila Barry melihat dan memegang motosikalnya, "I miss it..!", katanya.  

Mak Long masakkan nasi goreng kegemaran Barry dan lauk daging untuk mereka.  Licin semua yang dihidangkan di atas meja.  Seronok dia bersembang dengan Pak Long seperti biasa sambil melihat Brady bermain-main di halaman.  Hampir setengah hari jugalah mereka berada di rumah dan berjanji akan datang lagi.

Semuga semangatnya sentiasa gigih untuk terus pulih seperti biasa dalam usianya yang sudah meningkat 70 tahun, setidak-tidaknya boleh mula memandu sendiri kalau tidak boleh menunggang motosikalnya lagi.














Barry Strickland 1

Assalamualaikum,


Dari catatan:

Membawa Barry pulang ke Texas tidak mudah dan merbahaya.  Kesihatannya membimbangkan.  Hanya dua cara membawa Barry pulang.  Pertama menggunakan khidmat helicopter tetapi terlalu mahal pihak insuran perubatannya tidak mahu menanggung perbelanjaan besar dan cara kedua ialah menggunakan perkhidmatan ambulan.  Pihak doktor-doktor yang bertanggung jawab atas keselamatan pesakit mereka membenarkan Barry meneruskan perjalanan jauh ke Texas hanya apabila beliau sudah bersedia.  Dalam perjalanan itu Barry mesti ditemani oleh seorang jururawat dan seorang pegawai perubatan dibekali dengan beberapa jenis ubat dan alat keperluan penting bagi membantu sebarang kemungkinan berlaku semasa dalam perjalanan itu.  Keadaan Barry ketika itu masih belum boleh duduk lagi dan ia diberi ubat tahan sakit dengan dos yang tinggi membuatnya tidak berapa sedar.  Segala urusan dibantu oleh Janell anak bungsu.  Sayangnya Julie berat sedikit perangainya...  Rupanya dia datang membantu Janell menjaga bapa mereka ada udang di sebalik batu....berharap agar bapa mereka tidak hidup lama...  Julie mahukan truck Barry untuk kegunaannya sendiri.  Berbalah lagi adik beradik itu kerana Janell tidak setuju dengan Julie!  Selagi Barry masih bernyawa, harta benda tidak boleh diambil atau dibahagi-bahagi lagi pun Barry ada wasiat.  Belum lagi mati, anak-anak sudah berebut harta!

Pak Long pula akan ke Ashville dengan penerbangan kemudian pulang ke Texas membawa balik motorsikal, truck dan trailer Barry.  (Ketika Barry bertolak dahulu beliau membawa motorsikalnya dengan truck dan trailer kemudian diletak di hotel tempat dia menginap apabila dia pergi menunggang motorsikal).  Ketika ini Mak Long pula terpaksa pulang ke Malaysia membantu arwah emak yang tidak sihat.

Perjalanan membawa Barry pulang mengambil masa lebih 20 jam.

Barry ditempatkan di sebuah pusat pemulihan khas di Bandar Kerrville, Texas.   Di pusat pemulihan tersebut Barry menjalani latihan bertutur, mengenal huruf dan number juga berlatih pergerakan kedua tangan dan kaki.  Tidak mudah tetapi Barry berusaha sebaik mungkin.  Barry berada di pusat pemulihan itu beberapa bulan kemudian berpindah ke Pusat Pemulihan The Hill Village yang tidak berapa jauh dalam daerah Kerrville juga di mana kosnya lebih rendah dan dipersetujui insuran perubatan.  Insuran perubatan di Amerika sangat tinggi, ramai yang tidak mampu mempunyai insuran perubatan ketika di bawah pentadbiran President Obama.

Di pusat pemulihan kedua ini semua program latihan diteruskan iaitu pertuturan dan gerak anggota.  Selain dari itu pusat ini melatih Barry mengurus diri seperti turun dan naik katil, memakai dan menukar pakaian sendiri serta cara mengguna tandas, bilik air dan membersih diri.  Pendeknya Barry terpaksa belajar semula cara-cara menjalani hidup sendiri tanpa bantuan.

Tiap-tiap minggu Pak Long meluangkan masa untuk bersama sahabatnya, kadang-kadang Mak Long ikut bersama.  Sepanjang masa Barry berada di kedua-dua pusat pemulihan beliau diberi ubat tahan sakit berlebihan dos sehingga tidak berupaya berfikir dengan baik, beliau berasa mengantuk dan penat sepanjang masa.  Janell bertanya dengan pegawai perubatan mengapa bapanya sentiasa mengantuk, letih tidak bermaya serta meminta senarai perubatan yang diberi pada bapanya.  Ubat tahan sakit rupanya yang menjadi sebab.  Janell mengarahkan agar tidak diberi ubat itu lagi.  Setelah tidak mengambil ubat tahan sakit beberapa perubahan pada Barry....lebih aktif dan mampu membuat keputusan sendiri.  Tangan kiri sudah boleh bergerak sedang tangan kanan masih belum.  Pertuturannya saban hari bertambah baik walau pun pelat.  Barry menyampaikan hasratnya untuk keluar dari pusat itu pulang ke rumahnya sendiri dan mahu mengupah jururawat menjaganya hingga betul-betul baik.  

Pusat pemulihan tersebut tidak sahaja menempatkan pesakit-pesakit yang memerlukan terapi, tetapi juga pusat menempatkan orang-orang tua yang tidak ada keluarga yang mahu menjaga kebajikan mereka.   Ramai juga penghuni orang tua di situ.  Hati Mak Long sedih melihat mereka, ada yang tidak pernah langsong menerima lawatan dari keluarga, ada yang terlalu uzur duduk tersepek di kerusi roda sepanjang hari di depan TV tanpa siapa menyapa.  Paling sedih ada dua tiga orang tua duduk di depan pintu keluar dan masuk menunggu kalau ada keluarga atau sahabat datang menemui mereka tetapi hampa!  Mereka melambai-lambai dan tanya "How are you?  Did you see who and who?.."  Walau pun semua kebajikan dijaga pihak pusat tetapi tidaklah sama sekiranya ada walau seorang ahli keluarga yang lebih perihatin datang menjengok.  Pak Long kata dia tidak hendak duduk di pusat pemulihat apabila sudah tidak mampun mengurus diri sendiri di rumah.  Allah hu.....

Janell anak Barry

Kami berpendapat lebih baik Barry tinggal bersama Janell, masaalahnya Janell tinggal di apartment dua bilik dengan dua orang anaknya tambahan terpaksa turun naik tangga.  Kami biarkan mereka dua beranak berbincang sendiri berkenaan membeli sebuah rumah yang sesuai dan selesa buat Barry.  Itu urusan mereka di luar kuasa kami.  Tambahan Barry memang merancang hendak membeli sebuah rumah baru berhampiran kami di Canyon Lake apabila dia pencen nanti.  Hasratnya menjual rumah lamanya di Alvin terlebih dahulu, kemudian dari hasil jualan baharulah beli rumah baharu.  Akhirnya Barry bersetuju agar Janell menguruskan menjual rumahnya di Alvin dan mencari/membeli rumah di kawasan Kerrville memandangkan Janell berkerja di situ.  Pak Long membantu memindahkan barang-barang rumah di Alvin.  Sebahagian darinya diletak sementara di garage rumah kami seperti motorsikal Harley Davidson kedua dan sebuah truck.  Kedua-dua kenderaan Barry minta Pak Long bantu jualkan.  Alhamdulillah kedua-dua kenderaan itu dapat dijual dengan harga yang berpatutan.



Truck dan trailer Barry

Inilah truck yang Pak Long berjaya tolong jualkan untuk Barry.

Dengan hasil penjualan rumah di Alvin, Janell berusaha membeli sebuah rumah lama tiga bilik dan membuat beberapa perubahan khas untuk bilik tidur Barry.  Apabila semua sudah sedia baharulah Barry selamat pulang ke rumah baharunya.  Jururawat datang merawatnya dua kali seminggu dan seorang pembantu datang setiap hari menguruskan Barry.  Tugasnya membantu Barry mandi, menyediakan makan dan memberi ubat apabila Janell kerja.

Keadaan Barry bertambah baik dan boleh menapak dalam rumah dengan tongkat dan walker.

Nota:

Gambar-gambar di bawah diambil kira-kira sebulan sebelum kemalangan setelah dia pencen.  Barry telah mengunjungi kami sebelum beliau bertolak ke Ashville, North Carolina.

Truck dan motorsikal di atas trailer

Dengan motorsikal ini Barry telah puas menunggangnya hampir seluruh Texas dan beberapa tempat lagi di negara ini.


Barry dan motorsikalnya

Barry memang suka menunggang motorsikal dan menjelajah Benua Amerika termasuk Canada dengan kenderan motorsikal berinjin besar.  Gambar di bawah adalah motorsikal BMW yang ditunggangnya dari hujung timur hingga ke barat Amerika Syarikat dalam masa hampir dua tiga bulan perjalanannya.  Terlalu banyak pengelamannya dalam pengetahuan dan selok belok menunggang motorsikal, tetapi walau bagaimana bijak dan berhati-hati dalam sesuatu itu masih ada kelemahan yang kita tidak tahu dan duga.


BMW Barry 
















Wednesday, April 18, 2018

Sembang Kami - Taman Cactus

Asslamualaikum,

Pak Long sudah lama berangan hendak buat taman cactus.  Mak Long biarkan sahaja.    Nanti-nanti bila hendak mula Mak Long boleh tolong tengok!  Hahaha..... Maka beberapa hari lepas beliau berkerja keras dan berjaya buat dan tanam beberapa jenis cactus yang kami kutip dari merata tempat di Texas.  Antaranya diambil dari Big Bend National Park.  Tengoklah tu.... Cantik kan?  Yang tidak bagusnya cactus banyak duri tajam, halus, luncup dan menyakitkan bila dipegang tanpa sampul tangan tebal.

Cactus ungu

Big ear cactus

Lepas itu Pak Long cakap beliau hendak alih "windmill" dari tempat kedua benda itu dialih dahulu.  Bertanya dia di mana harus dialih "windmill" itu.  Mak Long cadangkan letak di taman cactus itu dan berliau setuju.  "Bagus juga tu... terpikir juga tadi!.."  katanya.  Jadi sepetang ini kerja-kerja mengalih "windmill" besi yang berat bukan main lagi.  Hahaha kerja gila... kalaulah apa-apa berlaku mati kena timpa "windmill"!



Windmill di tempat kedua

Mula-mula Pak Long ikat bahagian tapak "windmill" dengan tali dan sangkutkan di belakang trektor mesen pemotong rumput.

Mak Long:       Boleh ker heret "windmill" dengan mesen ni ?

Pak Long:       Tentulah....  

Mak Long:       Ooookkk....  (rasa tidak yakin tapi diam-diam sahaja)

Pak Long:        Awak drive, saya jaga dari belakang......

Mak Long:       Hahhhh!  Me!  Ok!   (dalam hati risau bukan main, takut benda ala tu terbalik menimpa kan bala nanti)



Windmill di tapak tanam cactus

Alhamdulillah,  berjaya juga kerja mengalih windmill.  Mintak-mintak situlah tempat tetapnya.  Nyaya nanti, tidak memasal kena timpa windmill....   Kita tengoklah nanti beralih lagi atau tidak.


Mesen rumput 

Mesen rumput ini bagus tidaklah penat menyorong seperti mesen rumput yang lagi satu jenis itu.  Benda ini kita drive macam pandu kereta.  Dulu-dulu tugas Mak Long mesen rumput ketika Pak Long masih berkerja.  Mak Long ambil dua hari untuk mesen rumput sorong, sehari bahagian belakang rumah dan sehari lagi bahagian hadapan rumah.  Dengan mesen ini sehari boleh siap kerja.  

















Nota Malang Tidak Berbau

Assalamualaikum,

Sudah sekian lama ... bertahun ... catatan ini terbiar tidak habis tulisannya.  Itulah kalau kerja itu ditunda selalu akhirnya terlalut lupa...


Catatan:  25th Mei, 2015



Pemandangan indah di Pergunungan Asheville, North Carolina

Dalam perjalanan ke bandar tiba-tiba talipon Pak Long berdering.  Aduhai kuatnya deringan itu.  Terkejut Mak Long yang sedang menggelamun melihat pokok semua menghijau segar selepas hujan.  Sekarang pun masih juga hujan turun.  Sudah lebih dari beberapa minggu hari-hari hujan.  Hati berkata, tidak payahlah siram pokok selagi hujan turun sambil senyum sendirian.  

Bulan ini cuaca buruk, setiap hari hujan lebat.  Guruh berdentum sekali sekala mengegar bumi.   Kerana cuaca begini juga telah mengurbankan dua puluh dua nyawa apabila banjir kilat berlaku menghanyutkan beberapa buah rumah dan merobohkan dua buah jambatan memisahkan beberapa kawasan berhampiran kami dari bandar.  Ada mangsa yang masih belum ditemui entah kemana agaknya dihanyut arus deras.  Mak Long teringat pula tentang bah besar di Kelantan baru-baru ini pun belum selesai masaalah yang dialami oleh mangsa-mangsa yang terlibat dalam bencana alam tersebut.  Sayu pula rasa hati .....

Barbara Robinson rupanya yang menalipon.  Katanya Barry Strickland sahabat karib Pak Long mendapat kemalangan motorsikal teruk di Asheville, North Carolina.  Asheville adalah satu daerah pergunungan yang indah terdapat jalan-jalan sempit berliku tajam.  Memang menjadi kegilaan dan kegemaran mereka yang bermoto tidak kira motosikal kecil atau besar.  Menurutnya kemalangan itu teruk menyebabkan empat tulang selangka dan tulang kolar Barry patah; kini berada di wad kecemasan Asheville Mission Hospital.  Katanya lagi sudah dua kali Barry mengalami stroke ketika di hospital menyebabkan ia hilang daya bercakap.  Doktor menasihatkan agar anak-anaknya datang melihat bapa mereka.  Barry mempunyai tiga orang anak perempuan iaitu Sara, Judy dan Janell.

Barry adalah sahabat lama dan paling rapat dengan Pak Long.  Mereka biasa bertugas bersama di India, China dan Houston.  Ia seorang yang pendiam tidak banyak cakap dan besikap penyayang.  Beliau rajin menjengok kami, kadang-kadang hingga beberapa hari tinggal dan lepak di rumah kami.  Mereka mempunyai hobby yang sama iaitu gemar dan sering menonggang motorsikal besar Harley Davidson di merata tempat.  Pak Long berkira-kira hendak pergi ke Asheville, menghulur bantuan kepada Barry iaitu selepas Icah pulang ke Dallas di hujung minggu.  Icah pulang ke rumah, rindu pada emak dan dad katanya.  

Sebenarnya banyak kali Barry mengajak kami pergi bersama-samanya ke Asheville, North Carolina termasuklah daerah-daerah lain di sana, tetapi Pak Long menolak dengan alasan kami baru sahaja pulang dari perjalanan jauh di Utara Amerika.  Penat masih terasa lagi dan sengal-sengal badan masih belum hilang sebenarnya.


26/5/2015

Perjalanan kami ke North Carolina dengan truck mengambil masa selama 18 jam .. dua hari perjalanan.  Ya jauh..!  Ada beberapa jalan menuju ke sana.  Semuanya lebih kurang sama jauh dan sama masa perjalanan.  Pak Long berpendapat merentas jalan melalui lebuhraya I-35 North, kemudian gunakan leburaya I-97 North melalui bandar-bandar kecil seperti Taylor, Palestine seterusnya ke leburaya I-20 East dan bertukar ke beberapa lebuhraya lain hingga sampai ke Asheville.  Perjalanan hendak keluar dari Texas memang mengambil hampir sehari suntuk.  Besar betul Texas!  Kami berhenti hanya perlu.

Sepanjangan perjalanan cuaca mendung dan hujan di sepanjang jalan.  Sungai, parit dan lurah penuh melimpah air dan arus di sungai-sungai deras lagi merbahaya.  Banyak ladang tanaman ditengelami air.  Tanaman yang baharu sahaja mula tumbuh banyak yang rosak dan mati tengelam.

Kami sampai di Meridian, Mississippi Pak Long cakap, "Cukup sampai di sini dahulu untuk hari ini.  Kita rehat.."  Kami sampai di situ jam 7:24 petang dan bermalam di Hampton Inn.  Cuaca sentiasa mendung tiada matahari bersinar sepanjang perjalanan kami.  

Waktu subuh sangat awal di daerah itu.  Pukul 4:25 pagi sudah masuk waktu.  Semalam waktu Maghrib pula pukul 9:15 malam baru masuk waktu.  Mak Long berfikir tentang puasa bulan Ramadhan di kawasan ini waktu berpuasa lebih panjang lagi baharu boleh berbuka.  Musim panas siangnya lebih panjang dari malam.  Kami keluar awal dari kelaziman bila kami berpergian.  Pagi ini pukul 6:30 pagi kami sudah di jalanan.  Hujan lebat hari itu hingga tidak boleh nampak jelas.

Jam 7:00 pagi kami sudah masuk dalam Negeri Alabama "Sweet Home Alabama" ... Cogan kata Negeri  Alabama.  Pernah dengahkah lagu bertajuk Sweet Home Alabama?  Hihihi sebuah lagu lama .. suka juga telinga ni dengar lagu lama itu.

Pendeknya kami memang tidak banyak berhenti melainkan berhenti untuk isi minyak kereta dan "melepas keperluan".  Perjalanan kami sampai di Negeri Tennessee jam 11:50 pagi di mana "eastern time change" iaitu waktu bertukar lebih satu jam awal.  Singgah di "Welcome Center" untuk mengambil peta (tidak mengharapkan sangat pada si Minah GPS) ... sesat nanti maklumlah tempat tidak biasa.  

Sampai di North Carolina kami berhenti lagi di "Welcome Center" untuk mendapatkan peta negeri itu.  Peta adalah sangat penting kalau kita dalam perjalanan di tempat-tempat yang tidak biasa.  North Carolina dan Tennessee negeri yang amat indah di mana banjaran The Smokey Mountains terletak indah tetapi merbahaya dengan jurang dalam dan jalanraya yang bengkang bengkok.  Perut pula sudah berkerok-kerok kosong minta makan.  Rezeki kami baik alhamdulillah terjumpa Restauran Captain Ds yang menghidangkan juadah makanan laut.  


Barry dalam wad kecemasan

Sampai di Hospital Asheville, North Carolina sudah masuk pukul 2:18 petang.  Kami  terus ke hospital di mana Barry sedang dirawat di wad Kecemasan/ICU.  Keadaan Barry teruk tidak sedarkan diri..koma!  


Wad kecemasan


Kami dibenarkan masuk ke wad kecemasan tanpa masaalah pada bila-bila masa sahaja.  Janell dan Judy sudah berada di situ bergilir-gilir menjaga bapa mereka.  Pihak hospital tersebut menyediakan tempat tidur untuk keluarga yang menjaga pesakit di sebuah perumahan yang sangat selesa dan cantik di pergunungan berhampiran dengan hospital.

Hanya satu yang menjadi masaalah dalam penjagaan Barry.  Barbara Robinson!  Dia mahu mengambil alih sebagai ketua dalam keluarga Barry.. Mana boleh "engkau" bukan isteri atau keluarga Barry!  Sehinggakan hal peribadi dan kewangan Barry dia mahu pegang di tangannya.  Aduhai!  Tentulah anak-anak Barry tidak gemar dan mahu Barbara keluar.  Maka terjadilah perselisihan antara mereka.  Pihat doktor dan jururawat juga menghadapi kesulitan untuk merawat Barry kerana sering diganggu Barbara.  Kesudahannya doktor terpaksa menggunakan kuasa vitonya agar Barbara tidak masuk wad itu dan tidak mengganggu keluarga terutama Barry.  Habislah!  Sebenarnya si Barbara adalah sahabat "rapat" Barry tetapi ternyata wanita itu yang lebih-lebih.  Walau pun Barry koma tetapi nyata dia dapat mendengar semua percakapan dalam wad itu.   


Motorsikal Barry

Kemudian kami dibawa ke tempat di mana motorsikal Barry disimpan selepas kemalangan. Dua minggu selepas itu Pak Long datang semula ke tempat simpan motorsikal dan membawa motorsikal tersebut pulang ke Texas untuk diperbaiki.


Beberapa kerosakan pada motorsikal

Di jalanraya bahaya itulah (dalam gambar bawah) di mana kemalangan berlaku yang hampir-hampir meragut nyawanya.  Barry tidak ingat apa yang telah berlaku hingga ke hari ini.  Seorang wanita yang bertugas sebagai jururawat melalui jalan bahaya itu dan berhenti apabila beliau nampak kesan-kesan kemalangan di jalanraya tetapi tidak nampak sebarang kenderaan di situ.  Setelah berjalan beberapa ela ke hadapan beliau jumpa Barry yang sudah biru mukanya kerana lehernya terjerat dengan ikatan tali keledar.  Setelah dibuka keledar baharulah merah semula mukanya.  Barry telah dibawa ke hospital segera untuk rawatan.

Jalan berbiku-biku

Hampir dua bulan Barry dirawat di hospital itu dan apabila keadaan Barry mula sedar dan beransur kuat kesihatan untuk perjalanan jauh, beliau dibawa pulang ke Texas dengan khidmat embulan dan beliau telah ditempatkan di rumah permulihan di mana beliau diberi terapi percakapan dan gerak anggota yang tidak berupaya bergerak.

Selama dalam rawatan itu tiap-tiap minggu Pak Long datang melawat dan menemani serta memberi semangat kepada Barry.


Bangunan Hospital