Pages

Thursday, July 28, 2016

Malam Perjumpaan Hari Pelajar


Assalamualaikum,

9hb July, 2016

Hari ini adalah hari ketiga musafir kami.  Kami berada di Paducah, Kentucky iaitu kampung halaman di mana Pak Long dibesarkan.  Perjumpaan hari pelajar akan berlangsung malam ini di sebuah dewan.  Kami menghabiskan waktu pagi itu dengan menziarahi keluarga dan sahabat Pak Long.  Malam nanti baharulah meraikan Perjumpaan Hari Pelajar.


Kuda peliharaan Eric

Rumah pertama yang kami singgah pagi itu ialah rumah Eric adik lelaki Angela di Kevil, Paducah.  Terperanjat besar dia bila pintu rumahnya diketuk dan mendapati kami tercegat di muka pintu.  Bukan main gembira Eric menyambut kami.  Eric seorang duda tinggal sendirian, hujung minggu atau cuti sekolah anak tunggalnya bernama Wes akan tinggal bersamanya.  Kami bersembang meliputi pelbagai topik tentang keluarga.  Ketika mudanya Eric jadi cowboy penunggang lembu jantan liar dan kuda di rodeo serata tempat di mana sahaja ada pertunjukan dan pertandingan rodeo terutama di Texas.  Sekarang tidak lagi aktif setelah banyak kali mengalami tulang patah terjatuh dari tunggangannya.  Memang sudah sampai masa pun untuk bersara dari melakukan sukan-sukan lasak.  Rodeo adalah suatu sukan lasak digemari ramai omputeh di Amerika menunjukkan kebolehan seseorang cowboy menunggang lembu jantan liar tanpa sebarang alat selain dari menggunakan tenaga kekuatan diri untuk menewaskan binatang tunggangan.  Atau pun menangkap anak lembu menggunakan tali jerat dan sebagainya.  Rodeo bermula dari Barat Texas kira-kira lewat tahun 1800han.  Suatu sukan lasak dan merbahaya. 

Bangsal dan kandang kuda Eric

Menurut Eric ramai penduduk Paducah mengidap berbagai jenis penyakit kronik terutama barah.  Beberapa orang keluarga juga mengidap barah yang akhirnya tewas dengan kematian.  Sepupu Pak Long telah membuat kajian di kawasan Paduca.  Bapa Pak Long dan bapa Judy meninggal dunia disebabkan barah.  Didapati pencemaran sisa nuklear meresap dalam tanah dan menjangkit pada kandungan air dalam bumi.  Kerajaan tahu tetapi rahsia itu tetap dikunci cuma segelintir mengetahui.  


Kebun tembakau jiran Eric

Cerita Eric yang juga bekerja di kilang nuklear hanya akhir-akhir ini baharulah pihak kilang menyediakan lapisan pakaian keselamatan luaran dan penutup muka ketika bertugas.  Sisa nuklear amat merbahaya kepada semua yang bernyawa dan tumbuhan.  Walaupun pihak majikan mengambil beberapa langkah keselamatan, tetapi berapa kerat sahaja yang patuh dengan garis-garis pandu yang diberikan.  Eric berkerja di situ kerana bayaran yang lumaian.

Gambar di bawah ialah tongkat hadiah hasil kerja-tangan dari Eric pada Mak Long.  Kegemarannya di masa lapang adalah membuat tongkat dari kayu, akar kayu yang diperolehinya dari hutan di belakang kilang dia berkerja.  Orang lain sibuk makan tengah hari dia sibuk merayau dalam semak mencari kayu untuk dibuat tongkat.



Tongkat berseni

Mak Long sahaja tanya kalau dia jual tongkat-tongkat yang berderet di tepi dinding bangunan di pinggir rumahnya.  Berseni tongkat-tongkat itu.  Dalam hati ingin memilikinya sekiranya Eric mahu menjual.  Adalah sebatang tongkat itu memang ngam dengan tinggi mak tua ni hihihi.... Tengah Mak Long belek-belek tongkat itu, tiba-tiba Eric cakap, "I feel that one suits you perfectly Miss K..... and it is yours now..."   Owaaah bestnye dapat tongkat gambar di atas itu....hihihi.

Kemudian kami singgah ke rumah Tommy Cruise seperti yang dijanjikan.  Mereka sudah sedia menanti kedatangan kami.  Linda Kay iaitu isteri Tommy mengidap penyakit lupus.  Mereka ada seekor anjing kecil comel yang faham arahan.  Boleh buka pintu sangkarnya dan ikut kata tuan.  Melopong mulut kami melihat perkara begitu hahaha nasib tidak masuk lalat!  Tommy ini kelakar orangnya, bila dia buka mulut bercerita mesti kelakar semua perkataan yang keluar buat kami semua ketawa terbahak.  Bercerita masa zaman kanak-kanak mereka.  Perkara bodoh yang mereka lakukan dan zaman remaja.


Judy

Rumah ketiga yang kami kunjung ialah rumah Judy dan suaminya Junior.  Judy ialah sepupu Pak Long dan ibu kepada Angela dan Eric.  Mereka tidak kelihatan ketika kami sampai tetapi kereta semua ada di hadapan rumah.  "Heyyyy, heyyyy I am here... I am here..." kedengaran suara dari jauh.  Rupanya Judy berada di belakang bercucuk tanam di kebun.  Itulah kerjanya sejak pencen.  Nampak sihat dan ceria tidak seperti dia masih berkerja dahulu.  Junior pula pergi kutip buah blackberry.  Teringin pulak tapi malu hendak mintak tambahan mereka tidak pelawa sekiranya kami teringin.  



Bangunan tempat keluarga berkumpul
dan "workshop" Junior

Kolam hadapa bangunan

Dulu-dulu kolam itu adalah kolam tempat lembu minum.  


Kebun jagung keluarga

Setiap tahun penanaman jagung atau kacang soya diupah kepada seseorang untuk mengusahakannya.  

Mereka yang kami temui mengesyorkan kami agar melawat Bandar Cairo, Illinois.  Kata mereka bandar itu sudah hampir menyembah bumi.  Cairo letaknya di sebelah kampung Pak Long dan bersempadan antara Kentucky dan Illinois.  Jadi dari rumah Judy kami ke sanalah.  Dulu pernah Mak Long tulis sedikit tentang Bandar Cairo.  Memang betul cerita mereka tentang keadaan Bandar Cairo.  Banyak bangunan lama yang sudah runtuh membuat bandar itu seperti bandar hantu.  Ada beberapa keluarga lagi yang masih tinggal di situ kebanyakannya keluarga orang kulit hitam.




Antara bangunan lama di Cairo

Tengah hari kami makan ala kadar sahaja, malam nanti ada jamuan.  Tetapi kami tidak begitu berharap untuk menikmati makanan yang disediakan itu halal.  Maka Mak Long sudah sedia sedikit rezeki di bilik hotel sekiranya itulah yang terjadi...  "Sediakan payong sebelum hujan" hehehe...

Malam yang dinanti-nanti sudah pun tiba.  Kami ke dewan yang ditetapkan dan kami datang awal sedikit agar dapat berkenal suai dengan dia orang.  Mulanya Pak Long mengenakan kemeja batik, tidak jadi pulak kerana terasa sempit sedikit di ketiak.  Ketika mencubanya di rumah masa hendak kemas-kemas beg boleh pakai.  Boleh naik berat badan dalam dua tiga hari!.  Pakai sahaja kemeja biru tua itu.  Mak Long pakai baju kurung Johor.  Sambutan mereka apabila melihat pakaian Mak Long buat orang tua ini kembang dan rasa senang hati kerana dapat memperkenalkan Malaysia kepada mereka yang tidak pernah dengar nama Malaysia.  Mak Long tidak perlu terhegeh-hegeh datang kepada mereka memperkenalkan diri, sebaliknya mereka datang jumpa memperkenalkan diri mereka.  Banyak pertanyaan yang mereka tanya seperti di mana letaknya Malaysia, apa jenis makanan utama rakyat Malaysia.  Mak Long ceritakan rakyat Malaysia berbilang bangsa dan penduduk utama ialah orang Melayu, China dan India.  Mereka terpesona dan ada yang hairan kita di Malaysia mempunyai pelbagai bangsa dan ugama hidup aman dalam sebuah negara yang kecil dibandingkan dengan negara-negara gergasi lain.  Ada juga yang anggap Malaysia adalah negara "third world country" dan ada yang fikir kita masih duduk atas pokok!  Apalah!  Ada dua tiga orang yang pernah melawat Malaysia dan banyak lagi pertanyaan. Yang penting bagi Mak Long ialah dapat memperkenalkan Malaysia negara tercinta kepada mereka.



Barisan bekas pelajar tua (1968)
Baylor Highschool, Paducah, Kentucky

Ramai juga bekas pelajar-pelajar tua dengan isteri dan "pasangan" hadir malam itu hampir 70-75 orang semua.  Yang pasti umur mereka sebaya sama mendokong angka besar antara 68-69 tahun hahaha...  Ada yang nampak muda dan berlagak muda!  Ada yang nampak uzur dan tua!  Ada juga yang kuat semangat datang meraikan walaupun terpaksa datang dengan tongkat dan kereta sorong.  Macam-macam perangai pun ada!  Ada yang sampai-sampai sahaja cari minuman keras!  Dam!!... itulah kata hati.  Ada antara mereka berpangkat besar, jadi lawyer buka busines sendiri dan ada yang berjaya jadi jutawan.  Mereka yang berjaya itu semua berhijrah ke bandaraya besar-besar mengejar dan mengembangkan sayap lebar.  Ada juga setengahnya masih tinggal jadi penunggu di Paducah sebagai petani moden atau petani lama.  Antara yang jadi petani ialah Tommy Cruise kawan baik Pak Long.  Kebunnya luas melaut dan dia berusaha kuat tidak mengenal lelah memajukan hasil pertaniannya.


Kumpulan pelajar dari Wickliffe

Majlis dimulakan dengan menjamu selera dahulu.  Macam-macam jenis makanan ada, steak, ayam panggang dan bbq.... Tidak halal semua.  Tetapi ada banyak buah-buahan dan salad yang boleh dimakan.  Minuman pun begitu juga selain minuman keras ada beberapa jenis minuman yang tidak mengandungi alkohol.  Macam adat dan adab kita juga, mereka baca doa sebelum menyentuh makanan ... doa cara merekalah!  Simple sahaja atur-cara perjumpaan itu.  Sudah kenyang setiap bekas pelajar memberi ucap-ucapan kenal diri seperti jenis kerjaya, keluarga dan lain-lain.  Bila sampai giliran Pak Long,  hihi geli hati pulak.  Pak Long kata dia memang sudah lama meninggalkan kampung halaman dan terlalu jarang pulang.  Cita-cita untuk mengubah taraf hidup lebih kental di hati katanya.  Pak Long sebut juga kerja kampung bukan untuknya.... tidak berminat menjadi petani atau gembala lembu.  Tidak gemar kerja memicit tetek lembu hari-hari untuk mengeluarkan susu di kandang lembu.  Ibu lembu pula memang seteru besar dengan Pak Long, maka itulah sebabnya ibu lembu geram untuk memijak dan tekan kaki Pak Long dalam lumpur sampai berdarah!  Sampai pada giliran Arnold, "You know me!  Immm Arnold and this my wife Jewel...that all I gotta say..."


Pak Long dengan Gary Fowler

Kami duduk semeja dengan Tommy Cruise, Gary Fowler dan Linda, Arnold Beaver dan Jewel.  Mak Long suka bercakap dengan Linda.  Ia periang dan mudah Mak Long hendak menyesuaikan diri dengannya.  Sebalinya pula lain dengan Jewel..  Heran juga mengapa dia tidak suka bermesera walau pun kami duduk semeja.  Ayat yang keluar dari mulutnya.. "I don't know these people.... Im from Missouri......"   Alaaahai...

Majlis bersurai lebih kurang pukul 9.30 - 10.00 malam.  Sebelum bersurai ada antara mereka bertukar-tukar numbur talipon dan alamat dengan keinginan mengiratkan hubungan silaturahim.  Kami terus pulang ke hotel.  Nasib baik Mak Long sudah bersedia dengan sedikit makanan di hotel untuk menggalas perut yang tadinya hanya di isi dengan salad tomato (best tomato ni!), sayur-sayur dan buah.























4 comments:

  1. Assalamu'alaikum Mak Long...

    baca catatan Mak Long dan Pak Long yang berziarah dari rumah, terasa macam ziarah hari raya di sini pulak... :)

    Biasalah, bila ada perjumpaan rakan-rakan lama, macam-macam cerita, macam-macam gaya boleh kita lihat...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Kakcik,

      Yerlah memang pun rasa macam beraya.... cuma bukan sesama dengan seagama macam kat tanah air.

      Delete
  2. Bestnya Mak Long/Pak Long...mula baca ingatkan kawan Pak Long tu Tom Cruise! hahahahahahaha....Pak Long tu batch 68 ye...saya baru lahir lah Mak Long!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehehe Uncle, bagi chance ler sikit kat Tommy.... Umur Pak Long sudah 68 tahun..dah banyak angka dikumpul...sebakul penuh dah! Tapi hati tetap orang muda...

      Delete