Pages

Friday, April 25, 2014

Nota Bandar Biloxi, Mississipi


Assalamualaikum,

Catatan September 21, 2013

Hampir sepanjang perjalanan kami dari Belmont, North Carolina ke Texas hujan lebat, menyebabkan perjalanan kami mengambil masa lebih lama kerana perlu berhati-hati di jalanraya.  Lebat betul hujannya seperti hujan musim monsoon di Malaysia hingga tidak nampak jalan dengan jelas.  Dari Belmont Pak Long memandu hinggalah kami sampai di Biloxi, Mississippi dan bermalam di situ.  Hampton Inn di mana kami bermalam belum pernah menghampakan kami dengan keselesaan bilik dan kemudahan yang disediakan.  Selepas memunggah bag pakaian ke dalam bilik hotel, kami keluar semula melihat-lihat kawasan Bandar Biloxi melepaskan penat dari duduk dalam kenderaan.  Cuaca ketika itu muram dengan tiupan angin laut.  Malam itu kami menikmati makan malam di sebuah restauran yang menghidangkan makanan laut di tepi pantai.  Makanan yang Mak Long pesan tidak berapa memuaskan tekak makanya tidak habis dimakan.  Mak Long tidak dapat mengambil gambar, di luar restauran sudah gelap gelita….  Hanya bunyi deruan angin dan ombak memukul pantai sahaja kedengaran dari restauran itu.


Pokok Palm Di Tepi Pantai Biloxi

Bandar Biloxi terletak di bahagian pantai dalam negeri Mississippi iaitu di susur pantai Teluk Mexico.  Banyak bangunan dan rumah-rumah lama terdapat di sepanjang pantai.  Bandar ini lebih dikenali dengan gelaran bandar "casino" tempat perjudian terapong yang dikuasai oleh pemilik hotel-hotel besar, kebanyakannya terletak di tepi pantai.  Sebuah rumah api terdiri megah sebagai lambang bandar itu untuk tarikan penggunjung terletak di tengah-tengah jalan raya besar di tepi pantai tersebut.  


Rumah Api Di Tengah Jalan Di Bandar Biloxi, Mississippi

Dalam lewat bulan Ogos, 2005 Mississippi dan beberapa buah negeri lain di sebelah pantai Teluk Mexico telah ditimpa suatu bencana alam dari Taufan Katrina (Hurricane Katrina) yang mengerikan.  Dianggarkan 90% dari harta benda orang ramai, gereja, perpustakaan, bangunan pejabat dan hotel-hotel tempat perjudian semua telah musnah.  Taufan Katrina melanda dengan ganas mengila tanpa mengenal belas kasihan.  Setengah bangunan masih boleh diperbaiki manakala kebanyakannya memang punah dan tidak dapat diselamatkan lagi serta memerlukan pembinaan semula.  Adakah ini satu dari bala menimpa kerana kedangkalan mereka dengan perintah Allah?

Hotel Tanpa Penghuni Mangsa Katrina
Tiupan angin Taupan Katrina menganas selama hampir 17 jam, meroboh dan meranapkan apa sahaja yang dilaluinya.  Semua rumah-rumah dan bangunan di tepi pantai rosak, ada yang hanya tinggal bekas dan tapak sahaja.  Pokok-pokok tua seperti pokok oak dahulunya banyak berderet di sepanjang jalan dan pantai turut dilanda angin, tetapi anihnya semua pokok-pokok itu masih berdiri tegap walaupun beberapa dahan dan ranting patah dan hanyut. 

Kini beberapa buah hotel casino seperti Grand Biloxi Casino Hotel Spa, Hard Rock Hotel & Casino telah dibuka semula menjalani perniagaan mereka seperti biasa. 

Ada terdapat beberapa buah rumah api di bandar ini.  Gambar di bawah ialah rumah api terletak di semenanjung kecil di tepi pantai tidak pula rosak akibat Taufan Katrina.  Masih tegap berdiri!

Rumah Api
Rumah Api 
Rumah Api Lagi

Menurut perancangan perbandaran Biloxi, mereka merancang membangunkan semula Bandar Biloxi lebih moden dan lebih baik, lebih kukuh untuk melindungi Bandar Biloxi dari kerosakan bila-bila bencana alam datang lagi.  Tidak semua penduduk di tepi pantai mampu membeli dan mempunyai insuran melindungi harta benda mereka bila berlaku sesuatu.  Dengan itu pihak perancangan bandar mahu membeli harta mereka.













No comments:

Post a Comment