Pages

Sunday, October 27, 2013

Nota Pasar Lambak

Assalamualaikum,

Setiap tiga bulan sekali pada hari Sabtu penduduk di kampung kami Canyon Lake mengadakan hari pasar lambak.  Aktiviti ini diadakan di luar dan di dalam dewan serba guna kampung.  Bermacam-macam benda ada dijual terutama hasil dari kerjatangan penduduk seperti mangkok dan cawan yang diusahakan dari kayu oak, barang perhiasan dari batu permata, manik dan lain-lain.  Beberapa jenis makanan juga ada dijual.  Tidak ketinggalan pakaian, pokok-pokok bunga dan cactus.

Kebetulan semalam adalah harinya.  Pak Long dengan tetamu kami Barry pada hujung minggu ini sudah ada agenda mereka sendiri.  Mereka hendak melihat sebuah rumah untuk dijual.  Barry sedang mencari rumah yang sesuai untuk dibeli.  Hendak pindah dari tempatnya sekarang katanya untuk menghabiskan hidup bersara yang tidak lama lagi.  Mereka ajak Mak Long pergi bersama-sama mereka, tetapi Mak Long tidak berminat.  Lebih baik Mak Long pergi ke pasar lambak mungkin ada rezeki yang menarik hati.

Dewan serba guna itu tidaklah jauh dari rumah, lebih kurang enam batu sahaja di bawah lereh empangan Canyon Lake.  Apabila Mak Long sampai di situ, sudah ramai orang datang.  Hari itu nampaknya tidak berapa banyak pula jualan di bahagian luar dewan.  Biasa kawasan di luar penuh dengan perbagai barang dijual.  Sebenarnya Mak Long minat membeli madu lebah tempatan, tetapi sayang tidak ada pula.  Menurut kepercayaan makan madu lebah tempatan lebih baik kerana lebah-lebah itu mengumpul madunya dari bunga-bunga tempatan.  Madu tempatan berupaya menguatkan sistem imun (immune) iaitu sistem yang dapat melindungi badan daripada jangkitan penyakit seperti selesema dan alahan. 

Di dalam dewan penuh dengan macam-macam jualan.  Jiran kami Bob pun tidak ketinggalan memamirkan barang jualannya di suatu meja besar.  Ramai juga yang berminat melihat dan membeli mangkok dan cawan kayunya.  

Kali ini lain pula agendanya.  Ada persembahan tari menari di bahagian belakang.  Apabila Mak Long keluar dari dewan tarian gipsi sedang ditunjukkan.  




Tarian Gipsi (gypsy)

Mak Long singgah di sebuah gerai membeli secawan ice cream yang dibuat dari mangga dan strawberry tanpa gula.  Sedap juga makan duduk bersila di atas jalan mengadap penari itu menari.  Selepas penari itu tamat menari kami dialu-alukan membaling wang coin kepadanya.  Walaupun ada matahari, suhu masih dingin.  Kemudian ada beberapa persembahan tarian lagi.  Tarian Scotish, Irish dan Tango.  Saja suka-suka saksikan aktiviti penduduk kampung Canyon Lake.  Tarian Scottish mengingatkan waktu-waktu Mak Long di sekolah dahulu.  Kami belajar tarian Scottish dan Irish dengan guru senaman kami.  Di hari sukan kami membuat persembahan tarian itu siap dengan pakaian seragam Scottish sekali.


Tarian Irish


Tarian Let's Dance













Saturday, October 26, 2013

Nota Ke Luckenback, Texas

Assalamualaikum,

Pertengahan minggu ini kami dikunjungai dua orang suami isteri sahabat Pak Long.  Telah beberapa kali mereka berkunjung sejak kami pindah di tempat kami sekarang.  Janjinya mereka akan sampai pada hari Selasa, tetapi kerana sesuatu yang tidak dapat dielakkan mereka sampai pada tengah hari Rabu.  

Isterinya mengidap barah usus peringkat akhir dan doktor meramalkan ia hanya punya dua tahun untuk hidup.  Manalah mungkin doktor meramal hidup dan mati seseorang.  Dia bukan tuhan pandai-pandai meramal hari kematian seseorang.  Satu tahun sudah pun berlalu baginya dan kononya tinggal lagi setahun untuk hidup.  Tentunya hati seseorang pesakit yang tiada iman pada Allah akan terus percaya dengan kata-kata keramat doktor itu.  Seperti Elaine, dia percaya bulat-bulat ramalan doktor, tetapi namun begitu mungkin dia masih yakin penyakitnya boleh disembuhkan.  Di samping itu dia cuba sebanyak mungkin memenuhi apa sahaja yang diingini sebelum mati.... mahu makan dan minum yang diingini, melancung tempat-tempat yang diingini, melihat apa sahaja yang terlintas di kepalanya... entah apa-apa lagi.  


Mike & Elaine Raymers


Kali ini ia keinginan pergi ke Luckenback dengan motosikal besar.  Pak Long membenarkan suaminya mengguna motosikal HD barunya kerana pendapat Pak Long ia lebih selesa untuk Elaine memboncing di belakang.  Oleh kerana Luckenback itu jauh perjalanannya, dipersetujui bertolak ke situ hari esok apabila suhu mulai panas.  Sekarang adalah musim luruh dan cuaca mulai sejuk terutama pagi dan petang.  

Kami hanya bertolak selepas jam sebelas pagi dan suhu ketika itu hanya 78 degree F.  Menunggang motosikal cuaca begini mestilah mengenakan pakaian sesuai supaya tidak terasa kesejukan.

Lukenback ialah sebuah perkampungan kecil di bahagian barat Texas Hill Country.  Tempat ini menjadi suatu tempat perhentian dan perjumpaan bagi penunggang motorsikal berbagai jenis yang datang dari setiap pelusuk di Amerika.  Terutama sekali di hujung minggu tempat ini penuh dengan penggunjung.  Di situ terdapat sebuah pentas untuk ahli-ahli musik bermain alat musik.  Kalau hari-hari biasa adalah seorang dua pemain musik tempatan dan jalanan suka-suka bermain musik atau menyanyi.  Sesiapa yang bermurah hati akan meletakkan wang ke dalam botol yang disediakan berhampiran.



Luckenback

Mak Long tidak dapat menilai keistimewaan tempat ini.  Pada Mak Long Luckenback hanyalah tempat biasa-biasa sahaja tiada nampak keistimewaanya langsong.  Tiada kisah sejarah istimewa untuk diingati.  Tetapi orang lain berkata kalau sudah datang ke Texas Hill Country mesti datang ke Luckenback.  


Bilik Belakang


Dikatakan penduduk di tempat ini hanya tiga orang dari keturunan orang German.  Lukenback mengandungi sebuah bangunan seperti bangsa lama dulunya menjadi sebagai pejabat pos dan kedai.  Sebuah bangunan lagi ialah dewan menari tempat penggunjung datang menari bila ada sambutan tertentu.  Kini pejabat pos sudah ditutup pada tahun 1979.  Yang tinggal hanyalah kedai menjual barang-barang cenderamata dan bar menjual minuman ringan dan beer.



Ayam penduduk tetap Luckenback

Beberapa ekor ayam hidup liar, melabor di merata tempat.  Ada yang duduk tinggi di atas pokok oak sedang ramai orang di bawah duduk-duduk santai sambil mendengar musik.  Nasib tidak baik dapat bonus pelaburan ayam jatuh di kepala!

Bangsal Jual Minuman


Di bawah pula adalah serumpun lima pokok oak tua, tiada siapa tahu berapa lama pokok-pokok itu telah hidup di situ.  Begitu juga pokok oak di hadapan bangunan lama itu.


Serumpun lima pokok oak

Kami pulang ke rumah keletihan.  Herannya Elaine masih mahu suaminya menunggang motosikal lagi esok sebelum mereka pulang.  Ikut sukalah Elaine oiii......  Enough for me and I am not coming!

Lagu bertajuk Luckenback dipopularkan oleh penyanyi (country singer) Waylon Jennings.




















Tuesday, October 22, 2013

Nota Perayaan Halloween Datang Lagi

Assalamualaikum,

Tahun lepas pernah Mak Long menulis tentang sambutan perayaan "Halloween" di Amerika.  Perayaan ini disambut setiap tahun pada akhir bulan October.  Malah seawal dalam bulan September lagi persediaan mengumpul bahan-bahan telah dibuat untuk sambutan ini terutama di bahagian utara negeri.  Dalam bulan September tahun ini kami sekeluarga telah berpeluang membuat perjalanan dan melawat di bahagian timur utara negeri iaitu di pergunungan dalam Alabama, Tennessee dan North Carolina.  Di kawasan sebelah sini cuaca biasanya lebih cepat mengalami hawa sejuk berbanding dengan tempat kami tinggal di Texas Hill Country Utara tengah Texas.  Di Texas Hill Country akan mula berasa sejuk dalam pertengahan bulan October di awal musim luruh.  


Hiasan Jerami Dan Patong Berpakaian Sebagai Petani

Di sepanjang jalan kami menuju ke North Carolina dari Tennessee Mak Long perhatikan penududuk-penduduk tempatan telah pun mula bersiap sedia menyambut Halloween.  Mereka menghias di hadapan rumah mereka, bangunan kedai dan taman-taman awam dengan longgokan jerami, labu kuning, patong-patong yang berpakaian sebagai petani dan halloween.


Labu Kuning Yang Dianggap Penting Dalam Halloween


Hiasan Di tepi Jalan Dan Hadapan Rumah

Semalam ketika kami berada di sebuah pasaraya kecil berdekatan dengan rumah kami pula ada menjual labu kuning dan beberapa jenis labu lain.  Harga labu kuning biasa mahal harganya kalau dibeli dari pasaraya besar seperti di Kroger dan  HEB.  Apabila melihat labu-labu itu Mak Long teruja pula ingin membelinya sebiji dua untuk kegunaan masakan.  Pak Long senyum bila Mak Long memberitahu padanya.  Macam faham sahaja apa yang sedang Mak Long fikirkan.  Harganya pula murah, sedangkan saisnya pula boleh tahan juga besarnya dan berat.  Harganya hanya USD9.99 (hahaha ...... heran mengapa mereka tidak tandakan sahaja USD10.00) untuk tiga biji labu.  Gambar di bawah inilah labu-labu yang Mak Long bawak balik dari pasaraya semalam.  Sedang memikirkan apakah jenis masakan yang boleh dimasak?  Kuih kochi labu?  Masak lemak labu?  Pie labu?  Macam-macam terbayang jenis masakan.  Suka masak, makannya hanya sedikit sahaja.



Labu Kuning


Di bawah adalah sahabat Mak Long bernama Vickie Williams yang datang bertandang di rumah kami tahun lepas.  Kami melawat sebuah nurseri yang membekalkan pelbagai jenis benih buah, bunga dan pokok.  Di suatu sudut mereka letakkan longgokan labu kuning untuk jualan.  Oleh kerana keluaran labu kuning terlalu banyak setiap tahun, buah-buah ini hanya terbiar buruk makan diri.  Sayang terbuang!  Buah labu tahan lama dan tidak rosak kalau disimpan di kawasan redup.



Labu Kuning


Labu Kuning


Labu Kuning

Buah labu kuning jenis ini bentuknya bulat dan kebanyakannya bersais besar dan berat.  Kulitnya lembut mudah dipotong tidak seperti labu kuning berkulit tebal dan keras yang biasa terdapat di Malaysia.  Warnanya pula kuning terang hampir warna oren.  Mungkin lebih sesuai kalau disebut labu oren!?....  Isinya pula nipis dan sedikit kasar dari labu di Malaysia.  Mungkin juga sebab itulah orang di Amerika memilih jenis labu ini sebagai bahan menyambut perayaan Halloween.  Labu ini mudah diukir mengikut bentuk yang dikehendaki.   Ketika melawat keluarga di Belmont, North Carolina dulu kebetulan bulan menyambut Halloween, Mak Long berkesempatan menyaksikan sambutan itu.  Mak Long juga cuba kebolehan seni mengukir dengan hanya menggunakan pisau kecil.   Mula-mula sekali ialah labu ditebuk keliling bahagian atas kira-kira tiga inci dari tangkai. Bahagian ini dijadikan penutup lubang.  Isi dan biji labu dibuang dan dibersihkan, kemudian baharulah diukir.  Di dalam gambar di bawah itulah hasilnya....  Waktu malam ia diletakan dengan menyalakan lilin di dalam labu.


Lampu Labu Kuning

Di mana-mana pasaraya waktu ini sibuk membekalkan menjual berbagai jenis gula-gula, candy dan cocolat.  Gula-gula ini untuk dibahagi kepada kanak-kanak yang datang dari rumah ke rumah.  

Pada petang menyambut halloween iaitu pada 31 haribulan October, kanak-kanak akan mengenakan pakaian berbagai ragam dan rupa.  Bukan kanak-kanak sahaja yang berpakaian berbagai rupa, malah orang dewasa juga turut serta.  Ada yang berpakaian seperti hantu, bidadari dan sebagainya.  Mereka membawa bakul kecil atau pun kantung untuk mengisi gula-gula yang diberi oleh tuan-tuan rumah yang mereka singgah.  Mak Long gemar melihat kanak-kanak comel berpakaian bermacam-macam rupa.  Pada hari itu juga tuan rumah akan menyalakan lampu bahagian hadapan pintu rumah, bermakna kanak-kanak boleh datang mengetuk pintu sambil berkata "trick - or - treat?......."  Bila gula-gula sudah diberi mereka akan terus beredar ke rumah lain yang ada lampu menyala.




Comel anak-anak ini

Berpakaian lebah dengan kantong di tangan

Cowgirl dan mami


Peladang dan cowgirl














Saturday, October 19, 2013

Nota Bingkisan Kecil

Assalamualaikum,

Semenjak akhir-akhir ini tiap-tiap hari Pak Long membuka peti surat mengutip surat-surat kami.  Kadang-kadang beliau mahu Mak Long menemannya ke peti surat.  Bukannya jauh pun, hanya kira-kira 500 meter sahaja dari rumah.

Hari ini, balik dari kedai terdekat kami berhenti di peti surat.  Ada beberapa surat sampai.  Di antara surat-surat itu ada dua sampul surat agak kecil dan unik dari yang lain.  Dialamatkan satu untuk Pak Long dan satu lagi untuk Mak Long.  Rasa-rasa kenal pula tulisan di sampul surat itu tetapi tidak dapat pastikan dari siapa.  Sekarang semua alamat di sampul surat ditaip sahaja jarang benar ditulis tangan.  Sampai di rumah (masih dalam kereta) kami tidak sabar hendak buka surat misteri itu.  Kami buka serentak, macam telatah bebudak pula.  Pak Long membaca bingkisannya senyap-senyap.  






Lama juga Mak Long renung bingkisan yang dialamatkan kepada Mak Long, ... lama kemudian barulah membacanya.  Kandungan persuratan itu mudah seperti bahasa pertuturan sahaja tetapi ia terlalu menyentuh hati.  Ia membuat sebak rasa hati, .... Tanpa disedari bingkisan sekecil itu membuat air mata berderai di pangkuan.  Bertaut rasa kasih ibu kepada permata hatinya.






Memang tabi'at Puteri gemar melukis.  Tengoklah bingkisan sekecil tapak tangan ini pun ada diselitkan lukisannya.   Seperti Mak Long semua anak-anak minat melukis, satu kebolehan semula jadi yang dianugerahi Allah.  








Pak Long pula setelah habis membaca bahagiannya menghulurkan bingkisannya untuk Mak Long baca.  Kami berkongsi membaca kedua-dua bingkisan bersama.  "That is so sweet........" Pak Long memecah kesunyian seketika.  Mak Long hanya mampu senyum sambil menyapu air mata  dengan tangan.  



  







Hati ibu mana yang tidak terusik dan berlinang air mata apabila menerima berita yang mengembirakan hatinya.... air mata gembira!  Apatah lagi kalau menerima berita yang menyedihkan, sudah tentu banjir hujan lebat....



"Allah hu Akbar,  aku bersyukur pada Mu..."















Monday, October 14, 2013

Nota Selamat Menyambut Aidul Adha

Assalamualaikum,









Menjelang 10 Zulhijjrah 1434H
Selamat Menyambut 'Aidil Adha
Semuga Dilimpahi Allah SWT Dengan Rahmatnya

Bagi jumaah-jumaah yang sedang menunaikan ibadat haji didoakan semuga diberi NYA kemudahan dan mendapat Haji Mabror.. Amin.












Saturday, October 12, 2013

Nota Kerana Jagong

Assalamualaikum,

Hingga sekarang Pak Long masih lagi menabur jagong setiap hari pada rusa-rusa liar.  Setiap pagi tidak kira panas atau sejuk Pak Long tidak pernah gagal menabur jagong untuk rusa-rusa. Kadang-kadang beliau bercakap-cakap pada rusa itu.  Seolah-olah mereka faham pula apa yang dituturkan.  Dahulu kami menabur jagong pagi dan petang.  Kini tidak lagi hanya pagi sahaja.  Rusa-rusa itu pun tidak datang waktu petang lagi.  Agaknya itulah yang dicakapkan Pak Long kepada mereka.  Mak Long sudah jarang menabur jagong malah sudah lama tidak berbuat demikian.  Rusa-rusa itu memusnahkan tanaman Mak Long, jadi rasa merajuk sikit.  Bagi makan, mereka rosakkan tanaman, tidak diberi makan pun, mereka makan dan rosakkan tanaman.  Namun begitu, kehadiran mereka di kawasan rumah kami tetap menghiburkan hati.  Terutama apabila ada anak-anak rusa yang baharu lahir.  Mereka terlau comel dan aktif berlari, melompat-lompat merata tempat.  

Minggu lepas seperti biasa Pak Long menunaikan tugasnya dengan rusa-rusa, menabur jagong di belakang rumah.  Cuaca pada hari itu pun baik dan cerah, justeru Pak Long merancang mengetam rumput yang sudah tinggi.  Selepas mengetam rumput Pak Long tidak segera meyimpan semula mesen ketam rumput ke dalam bangsal di mana beberapa kampit jagong disimpan.  Hinggalah ke petang hari Pak Long pun sudah lupa menutup pintu bangsal yang terganga luas....  Ketika itu kami sedang menuntun TV.  Mak Long nampak seekor rusa  terhendap-hendap  menghampiri bangsal.  Toleh kiri, toleh kanan.... tidak nampak apa-apa!  Lega rasanya .... Langkah kemas diatur perlahan-lahan melangkah masuk ke bangsal  Yeyyyyy ... ada jagong!  Bayangkanlah apa rusa itu buat!!!  



Bangsal tempat simpan jagong


Mak Long beritahu Pak Long dengan menunjuk jari ke bangsa.  Kami sama-sama senyum geli hati dengan telatah rusa dapat jumpa kampit jagong....   Senyap-senyap bertonjet Pak Long keluar rumah menuju ke bangsal...  Gelagat Pak Long pun sudah macam pencuri hendak masuk rumah!  Sampai di situ Pak Long "Hhah!!..." sergah sambil mengetuk daun pintu dengan sebatang kayu.   Uwaaa... lintang pukang, lempang lempung si rusa terkejut hingga tidak nampak pintu yang luas ternganga itu.  Habis kampit jagong rabak dibuatnya.  Bertaburan jagong dalam bangsal.  Hampir-hampir dia terjatuh kerana kelam kabut cuba lari dari bangsal.  Lucu tengok telatah rusa, kesihan pun ada.....



Terhendap-hendap dari semak









Friday, October 11, 2013

Nota Doktor Perihatin

Assalamualaikum,

Hari ini Mak Long ada temujanji dengan Dr Micheal Singer di pejabat kelinik mata di MCOP, Northeast, San Antonio.  Lawatan ini ialah lawatan rawatan susulan setiap enam bulan sekali untuk melihat perkembangan kesihatan mata terutama mata kiri setelah menerima rawatan pembedahan 'macular hole'.  Seperti biasa apabila sampai di kelinik, Mak Long mendaftar nama sebelum dipanggil oleh pembantu jururawat bertugas.  Selepas semua selesai Mak Long dipanggil masuk ke bilik rawatan.  Di situ jururawat menguji tahap pengelihatan.  Mata kanan bagus 20/20.  Tetapi mata kiri menunjukan menurun tahap pengelihatan.  Mak Long tidak boleh baca huruf yang ditunjukan.  

Kemudian jururawat mengambil tekanan mata, tekanan menunjuk normal iaitu 13, 13 kedua-dua mata.  Kedua-dua mata diberi titisan pelali dan titisan dilation.

Dr Singer menyatakan kebimbangannya tentang tahap pengelihatan mata sebelah kiri menurun.  Katanya lagi, sepatutnya pengelihatan bertambah baik atau tidak kurang dari pemeriksaan dahulu.  Katanya juga kedua-dua mata terdapat sedikit kekeringan walaupun dulu Mak Long sudah menjalani rawatan 'Lipi Flow'.  Lantas ia meminta jururawat terlatih mengambil gambar kedua-dua mata.  Mak Long dibawa ke suatu bilik di mana sebuah mesen canggih mampu mengambil gambar menunjukkan lapisan dalam mata.  Hmmm canggih sungguh teknoloji kini.




Macular Hole Berjaya Dirawat


Beberapa minit kemudian Mak Long dibawa ke bilik Dr Singer semula.  Di situ Dr Singer memberitahu bahawa tiada apa-apa masaalah pada mata kiri.  Beliau menunjukkan imej lapisan dalam mata (imej di atas) yang diambil oleh jururawat sebentar tadi.  Macular hole juga sudah sembuh dan nampak rata.  Yang ada hanyalah parut bedahan yang sangat halus.  Parut inilah membuat kekadang Mak Long tidak boleh nampak jelas apabila merenung tepat pada sesuatu objek.  Sebelum menjalani rawatan di tengah-tengah lapisan warna hijau itu ada satu lekuk atau lubang dalam.  Kini lubang itu sudah tiada dan hampir normal.  Beliau memeriksa mata Mak Long lagi, kali ini ia lebih cermat dan berhati-hati serta cuba mencari punca masaalah.  Beliau bertanya kalau Mak Long ada mengambil sebarang ubat baru.  Ya, Mak Long ambil ubat alahan 'claritin' kerana gatal tekak, mata, bersin dan berair hidung.  Memang waktu begini dalam musim luruh dan bunga Mak Long mudah mendapat alahan dari pokok cider dan bunga-bunga rumput yang banyak di sekeliling kawasan rumah.  Habuk juga menjadi alahan pada Mak Long.  

"Hahhh... that's it!  Your medication is making your eyes dry!  When your eyes are dry you will not see clearly!......!"

"Okkk..... I guess that explains everything ... actually I do feel dry in my eyes",  Mak Long mengaku.

Dr Singer sangat bagus menjalankan tugasnya. Beliau sentiasa membuat pesakitnya berasa penting serta istimewa.  Keselesaan pesakit diutamakan membuat pesakit percaya ia mampu membantu.  Dr Singer mahu melihat perkembangan seterusnya selepas tiga bulan dari sekarang.  Jadi temujanji telah diatur oleh jururawat pada awal bulan Januari 2014.  Nampak gaya tidak boleh pergi ke mana-manalah pada tarikh yang ditentukan itu.  Siang-siang lagi Dr Singer telah mengucapkan Selamat Tahun Baru 2014.



















Sunday, October 6, 2013

Nota Pasar Tani

Assalamualaikum,

Beberapa bulan lepas jalan lalu lalang kami ke bandar San Marcus, Mak Long perasan sebuah bangunan balai besar telah didirikan di sebuah tanah kepunyaan seorang "Rancher".  Rancher dalam bahasa Melayu ialah peladang biasanya mempunyai ladang besar beratus-ratus ekar luasnya.  Di dalam balai itu dibuat sekat-sekat petak kecil seperti biasa terdapat dipasar-pasar di Malaysia.  Kemudian tidak lama selepas itu sebuah lagi bangunan didirikan.  Bangunan yang ini kecil sedikit dan dindingnya dicat warna merah.  Fikir juga hendak buat apa agaknya ya.....?

Kira-kira dua minggu lepas pula beberapa papan tanda terpacak di setiap penjuru jalanraya di sana sini.  Di pagar dan pintu masuk kawasan itu terpapang tanda:

"FARMERS MARKET - EVERY SATURDAY FROM 9.00A.M - 3.00 P.M"
COMING SOON!

Bagus juga ada pasar tani berdekatan dengan rumah.  Sekurang-kurangnya mudah hendak dapat bekalan barang dapur "organic".  Sekarang ramai 'mat saleh' berminat dengan bahan makanan organik kerana dikatakan lebih berhasiat.  Istilah organic mengikut faham Mak Long ialah tanaman seperti sayur ditanam tidak mengunakan baja dari kimia.  Jadi guna baja aslilah sepeti tahi lembu dan sebagainya.  Memang telah banyak jenis baja asli dipasarkan di negara ini.  Harganya sedikit mahal dari baja kimia.  Hmmm... baja asli di sekiling rumah kami pun banyak melambak melata.... tahi rusa!

Hari Sabtu minggu ini pasar tani tersebut mula dibuka.  Kami meluangkan masa untuk melihat-lihat pasar tani baru kot ada apa-apa yang sesuai untuk kami beli.  Sesampai kami di situ, tidak ramai penjual mengambil tempat yang disediakan.  Hanya 1/4 sahaja mengisi ruang.  Mungkin masih baharu lagi dan perlu diperkenalkan lebih luas lagi.  Namun ada juga barang-barang yang dipamir dan dijual.  Di antaranya ialah telor kampung, berberapa jenis jem buatan sendiri, benih pokok juga sedikit seni kerja tangan.  Kami tidak membeli apa-apa pun kali ini.  Mungkin lain kali apabila sudah banyak pilihan lain.  Sebaliknya Pak Long mencadangkan Mak Long menyewa satu daripada petak itu untuk mempamirkan quilt yang Mak Long usahakan.  Entahlah..... Mak Long tidak jual quilt!



Pasar Tani, Di Texas

Quilt Mak Long

Quilt Mak Long

Agak-agak ada orang hendak belikah quilt macam yang Mak Long jahit di atas?  Bunyinya Mak Long tidak berasa pasti kebolihan sendiri kan!  Ada rahsia tersendiri kenapa Mak Long tidak mahu jual quilt-quilt yang dijahit..........









Friday, October 4, 2013

Nota Deals Gap, Tennessee/North Carolina

Assalamualaikum,



Deals Gap ialah satu dari destinasi yang sangat tersohor di muka bumi ini di kalangan pengemar penungang motorsikal dan pemandu laju kereta sport baik dalam Amerika mahu pun dari luar negara.  Deals Gap terletak sebelah Tennessee di sepanjang jalan raya dua-hala dikenali lagi semenjak tahun 1981 sebagai "The Dragon" atau Naga kerana dikatakan jalan sepanjang kawasan itu menyerupai bentuk ekor naga dan mempunyai selekoh-selekoh tajam yang bahaya.  Panjangnya jalan raya itu ialah 11 batu panjang mempunyai sebanyak 318 selekoh maut.  Di antara selekoh-selekoh maut ini dinamakan Copperhead Corner, Hog Pen Bend, Wheelie Hell, Shade Tree Corner, Mud Corner, Sunset Corner, Gravity Cavity, Beginner's End, dan Brake atau Bust Bend.   





Kebetulan pula jalan raya ini terletak di sebelah barat selatan bersempadan dengan Great Smoky Mountains National Park.  Maka ia dibiarkan seperti keadaan sediakala tanpa pembesaran jalan dibina di sepanjang 11 batu jalan itu.  Pemandangan di kawasan ini sungguh menakjubkan dan menarik serta indah sekali walau pun merbahaya.  Had kelajuan memandu di jalan raya ini ialah 30 batu sejam atau 48 km sejam sahaja.  Papan tanda khas memberi amaran keras tidak membenarkan kenderan besar seperti 'mobil home', 'trailer' dan 'truck 18 wheeler' atau lebih lalu atau menggunakan jalan raya itu.  Banci bilangan penduduk di Deals Gap hanya 6 orang sahaja tidak bertambah semenjak beberapa tahun dan belum lagi berkurangan.


Papan Tanda Lama (Lawatan pertama)
Bilangan Penduduk 6
Papan Tanda Lama (Lawatan kedua)
Bilangan Penduduk 6
Papan tanda baru (Lawatan ketiga)
Bilangan Penduduk 6

Papan tanda ini baharu sahaja dibina mengantikan papan tanda yang lama seperti dua gambar (lawatan pertama dan kedua) di atas.  Sekarang sebuah restauran baru telah dibina di sebelah kanan papan tanda ini.  Manakala di sebelah kiri pula ialah bangunan lama yang sedia ada sudah ditambah sebuah restauran.  Bangunan panjang sebelah belakang seperti dalam gambar (bangunan warna putih beratap hijau) di bawah ialah rumah tumpangan.



Bangkai Motosikal 

Setiap kemalangan yang berlaku di kawasan Deals Gap, serpihan bangkai motosikal dari kemalangan itu dikutip dan digantung pada pokok oak hingga hampir sampai di hujung puncak pokok dan pokok oak itu dinamakan "Tree of Shame".  Apa yang hendak disampaikan maksudnya tidaklah diketahui..  Mungkin untuk mengingatkan mereka-mereka yang berkenaan supaya lebih berhati-hati apabila memancu motosikal mereka.  Hakikatnya masih ramai mereka yang tidak sayangkan nyawa.


Patong naga ini juga baru

Patong naga ini baharu sahaja dibuat.  Ia ditempatkan di hadapan restauran lama.


Lelehan Mata Air 

Suatu peristiwa yang tidak dapat dilupakan dalam hidup Mak Long dalam gambar di atas, ia adalah lelehan mata air keluar dari celah-celah dinding batu di tepi jalan raya menuju ke Deals Gaps.  Ketika itu kami dalam perjalanan jauh arah dari Tennessee.  Sampai di situ Pak Long memberhentikan motosikal.  Katanya Mak Long boleh ambil air yang meleleh itu untuk basuh muka.  Apa lagi, Mak Long pun jadi gairah sangat terus sahaja turun dari motosikal... Bokkk!  bunyinya macam buah nangka jatuh ke tanah!  Kedua-dua kaki Mak Long tidak berasa!  Apa lagi tergoleklah tepi jalan......  malunya nasib tidak ada orang lain nampak.


Jalan Ke Deals Gap


Terowong 













Wednesday, October 2, 2013

Nota Pergunungan Blue Ridge

Assalamualaikum,

Sudah masuk dua minggu kami pulang dari Kuala Lumpur.  Alahan "jet-lag" cakap orang putih atau alahan mual penerbangan jauh dan pertukaran angin antara benua juga sudah hilang...  ya, waktu siang mata mengantuk mengikut waktu di Malaysia.  Sedang waktu malam mata terang dan segar tidak boleh tidur.  

Pak Long merancang pergi ke pergunungan menikmati suasana cuaca di banjaran pergunungan "Blue Ridge Mountains" dua hari kemudian meneruskan perjalanan ke Belmont, North Carolina menjengok keluarga di sana.  Blue Ridge Mountains ialah sebahagian besar kawasan pergunungan dari banjaran Appalachian Mountains.  Banjaran Blue Ridge  Mountains ini terletak di bahagian timur United States bermula dari Georgia, dan berakhir banjarannya hingga ke utara Pennsylvania.  Sungai Roanoke mengalir berhampiran di antara kedua banjaran itu.  Di sebelah barat Blue Ridge Mountains pula ialah The Great Appalachian Valley.


Tempat Perhentian Di Alabama

Perjalanan kami ke sana mengambil masa dua hari iaitu perjalanan dengan kenderaan biasa.  Perjalanan dari rumah kami untuk keluar dari Texas mengambil masa yang terlalu panjang dan membosankan.  Ini kerana Texas adalah negeri kedua terbesar di Amerika Syarikat.  Tempat persingahan pertama untuk meluruskan kaki sedikit adalah Alabama.  Kami tidak terus ke Blue Ridge Mountains, sebaliknya berlengahan di sekitar perhutanan sebelah timur Alabama.  Malam itu kami bermalam di Hampton Inn, di sebuah bandar kecil Athen, Alabama.  Di awal pagi esoknya kami bertolak ke pergunungan menikmati alam semesta yang indah dan syahdu.  Cuaca pagi itu dingin juga tetapi tidak memerlukan memakai baju panas.

Blue Ridge Mountains terkenal dengan kecantikan yang unik warna kebiruan dari dedaun pokok-pokok hutan di situ apabila dilihat dari jauh.  Dari sebab itulah ia dinamakan Blue Ridge Mountains.  Pergunungan ini mempunyai dua taman rimba iaitu Shenandoah National Park di sebelah utara dan Great Smoky Mountains National Park di sebelah selatan banjaran pergunungan.  Blue Ridge Mountains juga mengandungi lebuh raya terkenal dinamakan Blue Ridge Parkway.  Lebuhraya ini dibina untuk menyambung perhubungan jalan antara Shenandoah National Park ke Great Smoky Mountains National Park.  Panjang lebuhraya ini ialah 469 batu atau 755 km dengan pemandangan yang indah dan damai.   


Blue Ridge Mountains



Cantikkan!

Sebenarnya ini kali ketiga Pak Long dan Mak Long berada di kawasan itu.  Kali pertama kami ke situ dalam awal musim luruh tahun 1999 dengan motorsikal berenjin besar Pak Long.  Cuaca ketika itu mulai sejuk dan hujan lebat menyebabkan kami basah kuyup seperti tikus masuk longkang!  Kami terpaksa berhenti dan mengeringkan kasut dan pakaian di sebuah hotel berdekatan.  

Dalam akhir bulan September dedaun hutan masih kehijauan, hanya baru mencelah-celah bertukar warna, hujan  dan sesetengah kawasan mengalami kabus tebal menghindar dari pengelihatan jelas.  Keadaan lebuhraya Blue Ridge Parkway sangat berbengkang bengkok memerlukan kemahiran untuk memandu kenderaan yang sangat baik dan cermat.  Di sepanjang lebuhraya disediakan banyak tempat-tempat berhenti yang selamat bagi pengguna lebuhraya berhenti dan menikmati keindahan alam sekitar ciptaan Illahi.



Peta Menunjukan Aliran Sungai 

Sungai yang panjang mengalir deras juga berbengkok-bengkok tajam amat sesuai untuk membina dam.  Banyak dam yang dibina di sepanjang sungai.


Ocoee No. 1 Dam

Blue Ridge Parkway

Pemandangan Di Blue Ridge Parkway

Pemandangan Sungai Roanoke Bengkang-bengkok
Di Blue Ridge Parkway


Sempadan Sebelahan Tennenssee

Dari Tennessee kami keluar dan masuk ke sempadan sebelah North Carolina.


Sempadan Sebelahan North Carolina

Tidak berapa jauh setelah kami masuk dalam kawasan North Carolina, kami singgah di Graham County di mana terdapat sebuah dam yang besar dan tinggi.  Air sungai mengalir deras dan merbahaya.  


Graham County, North Carolina


Graham County Dam, North Carolina

Bunga Di Hutan


Cuaca di pergunungan sedikit dingin di kala kami berada di sana seperti musim bunga.  Tidak hairanlah beratus jenis bunga hutan mekar di sepanjang tepi jalan dan di seluruh hutan belantara.  Dedaun pula mulai sedikit-sedikit bertukar warna.  Dalam bulan Oktober hingga November sudah pasti suasana lebih cantik dan menarik sebelum semua dedaun keguguran menyambut musim sejuk.

Bunga Di Hutan

Melalui kawasan Blue Ridge Parkway mengambil masa hampir sehari suntuk disebabkan jalan yang bahaya di kaki gunung dan gaung-gaung juram yang dalam ke bawah.  Tidak menjadi masaalah kepada kami yang gemarkan suasana hijau dan tenang.  Kawasan segar tidak tercemar amat baik bagi kesihatan dan fikiran.


Kawasan Indah di Brookfield, Blue Ridge Parkway

Haa tau takut!!

Pak Long suka bergurau dengan kedua Puteri AM dan SH ... mengoyang-goyang jetty terapong di sungai dalam.  Air sungainya terlalu cernih menampakkan bayangan di dasarnya.  Kalaulah Mak Long berada di zaman budak-budak lagi sudah lama terjun berkubang di dalam sungai itu.


Jembatan di Brookfield

Sukan air dibenarkan hanya setelah mendapat kebenaran dari pihak keselamatan.  Ramai juga pelawat dari penduduk tempatan mahupun pelawat dari luar negara lain yang datang untuk bersukan atau sahaja singgah menikmati kecantikan alam hutan rimba.


Perlu Mematuhi Amaran