Pages

Monday, April 1, 2013

Nota Menziarah Keluarga Batti Al-Qatani

Assalamualaikum,

Sudah hampir tiga kali Batti Al Qatani iaitu sahabat baik Pak Long menggundang kami ke rumah keluarganya.  Mak Long memang teringin pun hendak menziarah rumah keluaga orang Arab.  Bila sudah diundang bak kata pucuk dicinta, ulam mendatanglah.  Di hari kelepasan Pak Long tidak kerja baharulaah dapat kami penuhi undangan itu.  Masa dan hari iaitu selepas waktu Asar sudah pun ditetapkan.  Sehari sebelum itu, Mak Long sibuklah menyediakan sejenis "brownie" iaitu kek chocolate and satu pie pecan sebagai buah tangan untuk keluarga Batti itu.  

Jauh juga perjalanan ke rumah Batti.  Ketika kami sampai di rumah keluarga Batti selepas Asar dan beliau telah sedia menunggu di  hadapan pinttu rumah dengan senyuman bersama dengan anak perempuan sulung kecilnya bernama Maha.  Keadaan perumahan di sini seperti juga kawasan tempat kami tinggal.  Di sekeliling kawasan dan rumah berpagar tinggi dan rapi tidak nampak jiran di rumah sebelahan.  

Kawasan Perumahan Keluarga Batti

Sesampainya kami di muka pintu, Batti sudah menunggu kzmi dan terus membawa Mak Long ke sebuah pintu sebelah kanan, kemudian membawa Pak Long ke sebuah pintu lain di sebelah kiri bersamanya.  Ada dua pintu!!  Baharu Mak Long perasan, di rumah kami pun ada dua buah pintu untuk keluar dan masuk; satu pintu untuk tetamu wanita dan satu lagi untuk tetamu lelaki rupanya.  Mak Long disambut mesera oleh isteri Batti bernama May yang sungguh cantik dan manis .. cium pipi kanan dan kiri Mak Long.  Mak Long tidak tahu adat mereka samaada Mak Long mesti balas kembali sebagaimana yang dilakukan oleh May kepada Mak Long.  Sepatutnya Mak Long baca dahulu antara adat-adat orang Arab di saluran alam maya sebelum datang.  Tapi... Taram ajelah, Mak Long pun balas bagaimana yang dilakukan oleh May.  Mak Long serahkan buah tangan yang dibawa kepadanya dan ia mengucapkan "shukran" tidak habis-habis.  May membantu membuka abaya Mak Long dan meletakkannya di suatu tempat.  Kemudian Mak Long dibawa ke ruang tamu yang luas, bersih, dan cantik dihiasi dengan langsir-langsir tebal, cantik dan tinggi berwarna keemasan dan merah.  Kerusi moden dan empuk diatur kemas memenuhi di sekeliling ruang tamu.  Beberapa batang lilin besar diatur molek di atas almari/meja kecil di sudut ruang.  Lantainya pula dilapik dengan permaidani tebal dan cantik sekali.  Di dinding rumah tidak ada sebarang gambar atau perhiasan seperti setengah dari orang-orang kita, melainkan lampu besar di tengah siling rumah dan lampu kecil di dinding, tetapi suasana di ruang tamu itu sungguh tenang dan selesa.


Batti Saad Al Qatani

Di sini Mak Long disambut pula oleh ibu Batti yang sangat peramah walau pun beliau tidak pandai berbahasa Inggeris.  Begitu juga adat berbalas cium-cium dan gesel pipi berlaku lagi.  Ibu ini memakai hijab hitam menutupi seluruh muka dibuka hanya beberapa minit kemudian.  Tidak berapa lama kemudian kakak sulung Batti pula muncul untuk bersama-sama kami.  Namanya Maha juga dan beliau adalah seorang guru di buah sekolah tinggi bagi pelajar perempuan berhampiran di Bahrin.  Maha berpakaian baju kemeja tangan panjang warna merah jambu muda lembut dan jeans ketat.  Ia pandai bertutur dalam bahasa Inggeris walaupun mulanya agak sukar juga memahaminya dengan lorgat Arab yang pekat. Namun mudahlah kami bercakap tidak macam itih dengan ayam.  Bila ibunya bercakap Maha akan terjemahkan begitu juga bila Mak Long bercakap ia akan terjemahkan pula ke dalam bahasa Arab.  



Sedang kami bercakap dan berkenalan seorang lagi tamu wanita datang.  Beliau adalah sahabat Maha.  Pakaian abaya dan hijabnya dibuka sebaik sahaja ia masuk ke ruang tamu, menunjukan kehebatan pakaiannya. Ia bergaun panjang tanpa berlengan dengan manik bergermerlapan di seluruh pakaian.  Wow... "low-cut" atau bertebuk leher luas bahagian hadapan dan belakang.  Baharulah Mak Long faham, mengapa di kedai beli-belah di Saudi Arabia sungguh banyak menjual dan mempamirkan pakaian wanita yang terlalu mendedah aurat dan berbagai fesyen dari barat yang mahal juga harganya.  Termasuklah pakaian mandi berbagai rupa dan warna.  Rupanya wanita Arab suka berpakaian cantik dan berhias dengan barang kemas begitu kemudian menutup pakaian itu dengan abaya dan hijab apabila keluar dari rumah atau berhadapan dengan lelaki yang bukan muhrim.  





Tidak berapa lama kemudian May muncul memberitahu hidangan minum petang telah sedia.  Kami beralih ke suatu ruang lebih kecil.  Hidangan telah dihidang di atas lantai permaidani yang berlapik dengan alas kain putih.  Berbagai juadah manisan Arab yang Mak Long tidak pernah tengok dan rasa.  Tidak ketinggalan buah tamar.  Ibu Batti tanya Mak Long hendak minum kopi atau teh.  Mak Long jawab "kopi!".  Cawan kopi yang digunakan kecil dan comel .. sekali tegok sudah kosong dan Mak Long letakkan di tepi piring.  Apabila terletak sahaja cawan itu di sisi piring Ibu Batti cepat-cepat isi semula.  Begitulah seterusnya sampai rasa kenyang pula dengan kopi Arab pekat!   Rupa-rupanya memang adat orang Arab melayan tetamu.  Apabila cawan kopi sudah kosong mereka akan tambah lagi sehinggalah tetamu kata sudah cukup atau letak jari dipermukaan cawan tersebut.  Kalau tetamu itu tidak disukai oleh tuan rumah, maka selepas cawan kopi kosong diminum oleh tetamu itu, tuan rumah tidak akan tambah lagi kopi ke dalam cawan tersebut dan dinasihatatkan bersurailah segera.  Selepas minum kopi dijamu pula dengan minuman teh panas.  Cawan teh lebih besar sedikit sais dari cawan kopi.

Cawan kopi Arab

Semua juadah yang dihidangkan manis belaka dan Mak Long tidak kuat makan manis!  Masaalah rasanya hendak ditelan!  Di puncak hidangan, pembantu rumah (seorang dari Indonesia bernama Fatimah) membawa sedulang hidangan besar seperti kentang lenyek (mashed potato) yang dibentuk bulat.  Ibu Batti memotongnya untuk dibahagi-bahagi.  Di dalam masakan itu ada inti dari daging dan sayur yang dimasak seperti masakan Timur Tengah.  Mereka menyuruh Mak Long rasa.  Mak Long jamah sedikit, sedap juga tetapi terlalu berlemak membuatkan rasa cepat muak.  Sebagai tetamu Mak Long mestilah menghormati tuan rumah.  Sedang kami menikmati makanan seorang lagi  wanita muda datang dan kami diperkenalkan dengan cium-cium dan gesel pipi.  Beliau rupanya madu ibu Batti, isteri bapanya yang muda.  Hitam manis dan cantik sering berseloroh membuat kami semua ketawa dengan keletahnya.  Kedua madu ini rapat seperti sahabat baik (??).  Ibu Batti berkata dengan memekkan mukanya dan tangan goyang-goyang sekali...  "She is not a good!  Bad woman ..  very bad .. always make us laugh!!!"  Tetapi nyata mereka amat mesera.  Hmmmm .. tidak ramai wanita sanggup berkongsi suami dengan wanita lain.

Mak Long juga berpeluang bertemu dengan sepupu perempuan Batti yang sedang dalam pantang.  Ibu Batti membantu menjaganya kata Maha.  Menurutnya lagi beliau dan suami pernah datang ke Malaysia dan ia tanya samaada Mak Long beragama Islam!  Tersentak Mak Long dibuatnya!!  Astrafillullahhal'azim!!!  Dia ingin tahu samaada orang Malaysia beragama Islam.  Mak Long terangkan bahawa Malaysia mempunyai berbagai bangsa dan agama.  Orang Melayu adalah peribumi dan tuan rumah Malaysia adalah beragama Islam.  


  • Terfikir juga di dalam hati, apakah ramai orang Arab terutama wanitanya beranggapan orang Melayu di Malaysia bukan Islam?  


  • Apakah mereka fikir hanya mereka sahaja yang beragama Islam? 


  • Adakah ini antara sebab mereka bersikap kurang hormat dan sombong pada dunia luar amnya pada orang Malaysia atau Indonesia bila mereka datang ke negara kita sepertii yang pernah Mak Long lihat?  


  • Atau memang sikap mereka tidak hormat dan kasar begitu hanya kerana mereka anak jati di negara di mana tumpahnya darah junjungan nabi kita Nabi Muhammad SAW?  


Betapa ilmu pengetahuan itu penting bagi setiap insan lelaki dan perempuan; bukanlah setakat ilmu agama sahaja yang mesti dipenuhi dada.  Semuga ilmu itu dapat mencelikkan mata dan meluaskan pemikiran yang sempit.  Setidak-tidaknya berupaya membaca berita di dalam dan di luar negera. Sesungguhnya pertanyaan sepupu Batti itu amat mengecewakan!

Tidak sedar masa berlalu hingga ke waktu Maghrib.  Ibu Batti menjemput bersolat.  Mak Long ambil wuduk di bilik mandi tamu dan Ibu Batti memberi Mak Long sehelai kain panjang dari sebuah peti yang penuh dengan kain yang sama sebagai telekong.  Mak aii .. tidak tahu macam mana nak guna kain ini dan Mak Long diperhatikan.  Akhirnya Ibu Batti membantu... alhamdulillah...  Sepatutnya Mak Long bawa telekong tetapi terlupa kerana tidak menyangka akan lama di situ.  

Sebelum waktu Isyak, May datang memberitahu, Pak Long sudah menunggu bersedia untuk pulang.  Kami bertukar-tukar cium-ciuman dan gesel-gesel pipi.  May membawa abaya Mak Long dan membantu memakainya.  Ibu Batti menghadiahkan sepasang baju labuh Arab berwarna biru dijahit dengan manik-manik lagi.  Selepas mengucapkan terima kasih kerana mengundang kami dan sudi memeriahkan kedatangan kami, Mak Long diiring ke pintu.  

Maha berkata, "You are our friend and you are always welcome in our family.  Do come and visit us again any time and shukran for coming..." dan dia baca doa untuk kami sekelian.  Amin....









No comments:

Post a Comment