Pages

Tuesday, March 19, 2013

Nota Bumi Negara Arab - Al Khobar (III)

Assalamualaikum, 



Peta Al Khobar, Saudi Arabia

Dalam bahasa Arabic Khobar disebut sebagai ( الخبر : Al Khobar).  Bandar Al Khobar adalah sebuah bandar besar terletak di sebelah timur pantai Telok Persia, Saudi Arabia.  Menurut bancian penduduk di bandar ini melebihi dari 500,000 orang.  Terdapat dua buah lagi bandar besar yang berhampiran dengan Al Khobar iaitu Bandar Dammam dan Bandar Dhahran yang dihubungi oleh beberapa lebuhraya yang baru dan cantik.  Sekiranya melalui lebuhraya-lebuhraya ini pada waktu malam, di sepanjangan jalan diterangi dengan lampu jalan yang terang benderang tidak mengira kawasan bandar atau kawasan padang pasir hingga ke siang.  Kalau difikirkan banyaknya pembaziran di sini, tetapi yalah Saudi Arabia adalah satu-satunya negara yang terkaya di dunia.  Ketiga-tiga bandar ini telah digelar bandar berkembar atau "The Triplet Cities".  Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd adalah lapangan terbang penting sebagai pintu keluar dan masuk terbesar di daerah serantau ini.

Syarikat Saudi Aramco ialah sebuah syarikat minyak yang terbesar di dunia terletak di Al Khobar.  Sebahagian besar penduduk di sini dari berbagai bangsa dan agama adalah pekerja-pekerja syarikat gergasi ini.  Mereka datang dari seluruh pelusuk di alam ini.  Kawasan syarikat ini luas menyediakan perumahan atau compound untuk pekerja mereka dan merupakan sebuah perkampungaan khas sentiasa dikawal di bawah pengawasan tentera Saudi Arabia.  

Banyak bangunan tinggi-tinggi pencakar langit dan cantik menempatkan hotel-hotel besar, pejabat-pejabat perusahaan dan restoran antarabangsa yang bagus-bagus menyediakan berbagai jenis makanan arab, barat, asia dan lain-lain lagi.  Apabila sesuatu bandar itu sudah maju dalam pembangunannya maka banyak jugalah berbagai pusat beli-belah yang cangih dan besar umpama cendawan tumbuh, menyediakan apa jua yang diingini para pembeli.  Di antaranya ialah Venecia mall, Khobar Mall dan Al Rashid mall yang terbesar dan unik.  Pada hemah Mak Long orang Arab memang suka berbelanja besar baik dari segi makanan, pakaian, barang perhisan hinggalah benda-benda lain.



Sedutan video sekitar Al Khobar yang Mak Long ambil dari YouTube.

Pelabuhan Ras Tanura ialah sebuah pelabuhan yang memainkan peranan penting sekali dan berfungsi mengeskpot minyak keluar ke seluruh dunia. Tidak hairanlah ia menjadikan Al Khobar sebuah bandar yang indah di sepanjang pantai Telok Persia.  Bukan itu sahaja, Al Khobar menjadi sebagai pintu keluar dan masuk rakyat Saudi Arabia ke Bahrain melalui "Causeway King Fahd" iaitu sebuah tambak besar sejauh 16 batu menghubungi kedua-dua buah negara Arab ini.  

Penduduk Al Khobar terdiri daripada berbilang bangsa seperti India, Pakistan, Bangladesh dan Philipine.  Maka dengan itu terdapat banyak kumpulan sekolah antarabangsa dari pelbagai negara yang diurus secara persendirian mengikut kurikulam pendidikan dari negara masing-masing.  British International School Al-Khobar, International Philippine School, Khobar French School adalah di antara sekolah-sekolah tersebut.



Dapur Pembakar Roti, Restoran di Al Rashid Mall


Al Rashid Mall, Al Khobar



Jalanan Sekitar Al Khobar

Kami selalu juga berada di kawasan ini berbelanja barang dapur sambil jalan-jalan makan angin menikmati angin pantai Telok Persia.  Disamping itu mencuba beberapa jenis makanan Timur Tengah yang lazat .  Di suatu kawasan di bandar ini terdapat penduduknya rata-rata orang Philipina.  Malah mereka menyangka Mak Long juga orang Philipina dan mereka cuba bercakap dalam bahasa Tagaloq dengan Mak Long. Suasana ini mengingatkan Mak Long Chow Kit Road, Kuala Lumpur yang ramai rakyat Indonesia di situ.  Harga barangan di sini lebih murah tetapi kualitinya pula tidaklah seberapa.



Kedai Permaidani

Berbagai jenis permaidani dengan reka bentuk dan warna yang menarik dipamirkan untuk pelanggan menjamu mata. Jika sudah sampai di sini tidak membeli walau pun satu memang tidak sah rasanya.  Yang bagusnya tuan kedai sanggup menghantar ke mana sahaja alamat yang diberi oleh pelanggan.  Umpamanya seorang tuan kedai berbangsa Pakistan telah menghantar pesanan kami terus ke alamat kami tanpa masaalah dalam masa yang singkat.



Sebentuk Cincin Diukir Nama/Tarikh Lahir

Mak Long kira orang Arab baik lelaki mahu pun perempuan mempunyai deria kuat menyukai pada barang kemas dan minyak wangi.  Banyak kedai menjual bahan minyak wangi dan barang-barang kemas berharga dari batu permata intan, belian dan emas yang mempunyi seni ukiran yang unik dan menarik.  Mak Long sangat tertarik dengan barang kemas cincin yang dipamirkan mempunyai kelainan bentuk ukiran yang halus dan berseni seperti cincin teka-teki (puzzled ring) dan cincin yang diukir khas dalam tulisan arabic atau rumi dengan nama pelangan atau apa jua bentuk boleh ditempah dengan harga yang berpatutan.


Bangunan kontravesi

Bangunan ini telah menjadi perdebatan ahli agama dan kerajaan Saudi Arabia samaada diruntuhkan atau dibiarkan sahaja.  Bangunan ini sebenarnya dua buah bangunan tetapi bila dilihat dari jauh ia menampakkan seperti lambang salib nasrani.  



Kedai Harley Davidson

Bangunan kedai Harley Davidson mempamirkan beberapa jenis motorsikalnya.  Yang menjadi tanda tanya Mak Long ialah walaupun ada menyediakan motorsikal kuasa tinggi tetapi kami tidak pernah nampak penunggang di jalanan atau pun di mana-mana pun ketika kami berada di Saudi Arabia.  Siapakah yang membelinya?  Pak Long sukalah kerana dia memang peminat nombor satu motorsikal Harley Davidson.  Dapat beli beberapa helai baju-T Harley pun sudah mencukupi baginya.

Pejabat Jualan Proton

Lihatlah gambar di atas.... Dalam perjalanan ke Al Khobar Mak Long nampak bangunan ini .... PROTON SAGA dan memasarkan keluaran kereta Proton Malaysia!   Begitu juga Mak Long tidak nampak ada orang memandu kereta Proton!


Pasaraya Tarmimi, Al Khobar

Di pasaraya inilah kami sering berkunjung untuk mendapatkan bahan makanan selain dari pasaraya tempatan di Al Jubail berhampiran kediaman kami.  Pasaraya ini menyediakan berbagai jenis makanan antarabangsa.  Kadang-kadang rambang mata juga hendak memilih barangan kerana semuanya menarik dan ingin dibeli.  Ya, sudah tentu ada terdapat beberapa jenis barang makanan dari Malaysia juga.

Shuami Daging Kambing, Al Khobar

Memang tidak lapar sesiapa yang berkunjung di sini, sediakan sahaja duitnya.  Tempat makan begini banyak menyediakan makanan tempatan yang menjadi kegemaran kami berdua.








No comments:

Post a Comment