Pages

Sunday, March 10, 2013

Nota Bumi Negera Arab (1)

Assalamualaikum,


Pertengahan tahun 2007, Pak Long menerima jemputan khas dari seorang sahabat karib di Syarikat Chevron Phillips di Al-Jubail, Saudi Arabia untuk membantu mereka bahagian "commissioning & Start-up" dalam perlaksanaan pembinaan pelantar cari-gali minyak dan gas di Al-Jubail.  Mak Long tidak dapat ikut Pak Long bersama kerana beberapa sebab.  Tambahan Puteri bersekolah dan mulai bulan Julai hingga November cuaca di bahagian pantai timur selatan Texas adalah musim taufan (hurricane).  Mak Long terpaksa uruskan serta memastikan semua harta benda dan kenderan di dalam garage dialih ketempat yang lebih selamat apabila taupan dijangka.  Rumah kami hanya kira-kira dua batu dari pantai Gulf of Mexico.  Tidak mengapalah Pak Long pun balik ke rumah empat bulan sekali. Musim panas tahun 2008, setelah memastikan semua barang selamat untuk ditinggalkan Mak Long pulang ke Malaysia bersama Puteri tetapi sedihnya tidak dapat tinggal lebih lama untuk bersama keluarga tersayang.  

Awal tahun 2009 baharulah Mak Long menemani Pak Long ke negara Arab bumi kelahiran junjungan Nabi Muhammad SAW.  Puteri pun sudah masuk belajar di University of Texas. Rupanya bukanlah mudah bagi rakyat Malaysia untuk memohon visa memasuk ke tanah Arab walaupun menemani suami.  Itu pun hanya dibenarkan tinggal di sana beberapa bulan sahaja kemudian memohon semula untuk melajutkan tarikh visa.  Rakyat Amerika seperti Pak Long sangat mudah memohon visa ke negara itu.  Beliau dapat visa dengan jangka masa panjang selama lima tahun.  Adakah kerajaan Saudi Arabia lebihkan kepentingan kepada rakyat dari negara bukan Islam??  Letih bila difikirkan masaalah itu!   Begitulah pandangan Mak Long tentang kuasa politik yang banyak condong kepada kepentingan sendiri.......

Kami sampai di lapangan terbang antarabangsa Dammam jam lapan malam lebih.  Pihak kastam dan imigresen mengambil masa lama untuk melepaskan penumpang-penumpang pesawat yang turun hari itu.  Bukan apa, mereka lebih banyak membuang masa bercakap dan berlengah.  Kalau pegawai kastam dan imigresen di Malaysia dikatakan banyak songeh, pegawai imigresen di Saudi Arabia lagi teruk!  Sudahlah ketika itu Mak Long tidak berapa sihat dan terasa sungguh letih.  Hendak lepas dari imigresen mengambil masa lebih dua jam!  Arab! Arab!  Apabila kami selesai, pasport pun sudah dicap barulah hati Mak Long berasa lega dan gembira bila pemandu kereta syarikat menemui kami dan membawa kami ke rumah yang disediakan untuk Pak Long tinggal.  Malam itu Mak Long tidur mati!  Bangun hanya terdengar azan Subuh jam tiga setengah pagi berkumandang dengan kuat berhampiran.  Selepas Subuh dan Pak Long pula bersiap untuk ke tempat kerjanya.  Walaupun dapat tidur lena tetapi Mak Long masih berasa tidak sihat malah bertambah lagi teruk... selepas makan ubat Mak Long tidur tidak sedar hinggalah waktu Pak Long balik dari kerja..... Geleng kepala, Cik Abang!!  Apa nak buat, badan tidak sihat dan pengsan.......  Selepas Magrib dan Isyak baharulah kami keluar cari makan-makan.. barulah terasa kelaparan ..tetapi walaupun lapar tidak ada selera ... mulut rasa payau!   Tidak seronoknya bila badan tidak sihat....


Kediaman kami di Chevron Compound, Al-Jubail

Hari ketiga baharulah Mak Long boleh bangun melihat rupa dan sekeliling kediaman kami.    Amboii .. bukan main panasnya cuaca di situ.  Setiap hari cuaca lebih dari 110 degree. Bila buka pintu hendak keluar rumah, rasa seperti masuk dalam ketuhar panasnya!  Kediaman kami merupakan sebuah rumah banglo dua tingkat, lima bilik tidur besar dan luas di tingkat atas. Di tingkat bawah ada dua bilik keluarga (untuk tetamu lelaki dan wanita berlainan  dan berasing), bilik membaca, dapur, dewan makan dan bilik menyimpan bahan makanan kering/cuci pakaian.  

Bilik tidur kami mempunyai pintu dua lapis.  Tingkap dan pintu kalis peluru (bullet-proof) serta mempunyai pintu kecil rahsia ke satu bilik khas dari bilik tidur sekiranya ada rusuhan atau serangan.  Rupa-rupanya kereta syarikat yang kami naiki dari lapangan terbang juga kereta kalis peluru... hmmmm.  Di luar compound perumahan mempunyai gate besi yang dikawal rapi oleh beberapa orang askar Saudi.  Mereka memeriksa setiap kenderaan yang hendak masuk ke kawasan perumahan.  Macam zaman perang pulak.   



Keliling Kediaman Berpagar Tinggi

Tiap-tiap rumah berpagar tinggi tidak nampak jiran sebelah.  Kawasan compound dihias dengan tanaman berbagai jenis pokok yang subur.  Kerajaan Saudi Arabia mengambil ramai pekerja-pekerja asing terutama dari India dan Pakistan sebagai boroh kasar.  Seminggu sekali seorang lelaki Pakistan datang ke rumah membersih dalam dan luar  rumah serta mencuci baju.  Pak Long upah seorang lelaki India tukang kebun untuk tanam sayur kacang panjang, cili dan beberapa jenis sayur di keliling rumah.  Menjadi pula semua yang ditanamnya.

Garage, Gate Besar dan Gate Kecil 
 Kawasan compound ini dilengkapi dengan mesjid, dewan serba guna, gym dan kolam renang untuk kegunaan penghuni di situ.


Perumahan dalam compound


Undang-undang di Saudi Arabia, wanita tidak dibenarkan memandu kereta.  Juga tidak dibenarkan berjalan bersendirian seorang.  Sekiranya seseorang wanita hendak keluar ke bandar mestilah ia ditemani oleh muhrim atau pergi bersama-sama dalam kumpulan  beberapa orang wanita.   Wanita dikehendaki berpakaian menutup aurat bila berada di khalayak luar.  Wanita-wanita bukan Islam, bangsa asing tidak dikecualikan, mereka juga dikehendaki memakai "abaya" iaitu jubah panjang pakaian luar.



Kereta Disediakan Untuk Pak Long

Pemandu-pemandu di negara ini terlalu ganas dan merbahaya.  Walaupun ada undang-undang jalanraya tetapi sedihnya hampir semua pemandu tidak mematuhi.  Mereka seolah-olah sentiasa berlumba-lumba siapa lebih laju!!













4 comments:

  1. assalamualaikum
    dalam pencarian saya untuk ke Saudi bersama anak-anak sekeluarga saya terjumpa blog ini. Apakah saranan mak long untuk saya dapatkan visa lawatan ke Saudi?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam,

      Dari pengelaman kami memohon visa ke Saudi semuanya diuruskan oleh pihak syarikat iaitu majikan suami di mana kertas kerja lebih mudah jika mereka uruskan. Lazimnya ketua keluarga iaitu pihak suamilah yang perlu berurus sekiranya hendak pergi ke sana melalui ambassy negara yang hendak kita masuki. Mesti punya sebab2 dan recommendation yang kukuh mengapa mahu ke sana selain dari menunaikan haji.

      Delete
    2. Assalamualaikum Mak Long,

      Terjumpa blog ni masa google informasi pasal Jubail. Boleh mak long email sy....sy ada beberapa perkara nak minta pendapat tentang Jubail.

      Ini email saya mashafiza@gmail.com

      Delete
    3. Waalaikumsalam Pn Fiza, terima kasih singgah ke laman blog Mak Long. Ini adalah alamat email Mak Long:
      misacamyshah@gmail.com. Buat masa kini, Mak Long berada di Indiana urusan keluarga. Insya Allah bila balik minggu hadapan barulah mampu menulis kepada puan.

      Delete