Pages

Saturday, March 23, 2013

Nota Jalan-jalan Di Padang Pasir Arab Saudi (IV)

Assalamualaikum,





Suatu hari Khamis iaitu hari kelepasan Pak Long tidak kerja, kami mengambil peluang untuk jalan-jalan menjelajah di padang pasir yang luas panas kontang lagi tandus.  Hari itu cuaca seperti biasa panas mencecah lebih 115F lebih.  Mak Long sudah sediakan dengan beberapa botol air kosong untuk bekalan dalam bekas besar bertutup ("cooler") berisi air batu, tidak lupa juga sedikit makanan ringgan.  Dalam cuaca panas kita perlulah banyak minum air kosong supaya dapat menyejukkan badan dan menghindar dari kekeringan.  Kekurangan air dalam badan adalah sangat merbahaya untuk kesihatan, antaranya badan akan berasa letih tidak bermaya.  Lebih-lebih bahaya lagi boleh menyebabkan mendapat strok haba ("heat-stroke").  Seseorang yang mendapat strok haba biasanya ia tidak sedar diri atau pengsan disebabkan haba dalam badan tidak seimbang.  Selepas waktu subuh tidak panas kami bertolaklah singgah sebentar untuk mengecap sarapan pagi di kedai makan Kudus... minum kopi panas dengan lempeng (pan cake).

Pasar Lambak Di Padang Pasir

Kami tidak menentukan arah mana hendak dituju hanya ikut naluri rasa sahaja.  Betul-betul main terejah sahaja.  Kami sampai di suatu pekan yang ketika itu ada pasar lambak.    Ramai juga orang berkerumun di situ.  Sahabat kami Batti Al Qathani memberitahu sekiranya ingin melihat pasar lambak pergilah pada hari Khamis awal pagi sebelum matahari mula panas terik.  Penjual biasanya orang-orang Baduwi (Bedouin) dari pendalaman menjual barang-barang kraf hasil kerja tangan mereka seperti pakaian, permaidani, bakul, kain selimut, kurma dan lain-lain.  Ada juga orang India, Pakistan dan Bangladesh yang turut sama berniaga.  Macam-macam ada.  Tidak lama kami di situ dan tidak pula membeli apa-apa.

"Dhub"
Kami teruskan perjalanan lebih jauh lagi di kawasan pendalaman.  Keadaan padang pasir sungguh panas, lapang tanpa sebarang perlindungan.  Tiada pokok, tiada rumput, tiada air hanya sinaran matahari yang tegak membakar padang pasir dan yang ada di bawah sinaranya.  Namum kuasa Allah yang maha berkuasa, maha esa lagi maha luas pemerintahannya, walau setandus mana sekali pun keadaan di padang pasir masih ada yang boleh hidup dan bernyawa dengan keselesaan tersendiri seperti binatang "dhub", unta dan sebilangan kecil binatang lain.  Kami dapat melihat seekor "dhub" sedang merayau di atas pasir panas kemudian ia terus lari membenamkan dirinya ke dalam pasir sebelum sempat Mak Long merakamkan gambarnya.  Warna badannya menyamari warna padang pasir dan sedikit susah melihatnya kalau ia tidak bergerak.  Warnanya akan bertukar gelap kebiruan apabila cuaca gelap.  Orang Arab makan "dhub" tetapi bagi Mak Long kalau ada makanan lain biarlah tidak payah makan "dhub".  Bagaimana dengan daging unta?  Pernah makan?  Ya... Mak Long  pernah makan sekali.  Di pasar ada menjual minyak "dhub" sebagai minyak urut dan sapu.  Kata orang bagus minyak "dhub" untuk menyembuk beberapa penyakit.

Bayangkan betapa azab dan sangsaranya hidup di sini tanpa kemudahan asas yang kita nikmati setiap hari.  Di benakan fikiran Mak Long membayangkan bertapakah kehidupan mereka pada zaman dahulu kala yang penuh keperitan, kesusahan dan cabaran.  Perjalanan dari satu tempat ke suatu tempat lain hanya dengan menunggang unta atau keledai tidak seperti sekarang sudah ada jalan yang bagus dan berbagai kenderaan cangih lagi laju.  Mereka sanggup meredah kepanasan di padang pasir memenuhi tanggung jawab mencari rezeki untuk keluarga tersayang di samping memohon keredhaan dari Allah.  Sanggupkah kita hidup begitu?

Kemah Di Padang Pasir

Kami sampai di suatu tempat dan keadaannya seperti perkampungan kecil dengan beberapa kemah tempat tinggal.  Beberapa tong berisi air ditempatkan berhampiran kemah. Ingin juga mengetahui apakah nama tempat ini tambah tidak ada papan tanda diletakkan.  Hendak bertanya tidak pula pandai berbahasa mereka.  Batti mengingatkan supaya berhati-hati di tempat-tempat begitu kemungkinan nanti menempah bahaya yang tidak diundang.  Sebenarnya Batti ada mengundang Pak Long ke kemah bapanya di tengah padang pasir jauh.  Mak Long tidak pergi kerana undangan ini hanya untuk orang lelaki sahaja.  Bapanya memiliki banyak binatang ternakan unta dan kambing.  Biasanya hari-hari cuti akhir minggu mereka berkumpul, berihat, bersembang sambil menikmati masakan daging ternakan yang disembelih serta minum kopi arab dan teh panas, ada juga yang suka menghisap rokok!.


Kemah Tempat Berkumpul

Perjalanan kami semakin jauh ke pendalaman di padang pasir.  Jalanraya biasa sahaja dan sangat berdebu.  Dari jauh kami nampak seorang lelaki sedang menunggang unta.  Tidak berapa jauh darinya pula terdapat beberapa ekor unta lagi berkumpul.  Di kawasan yang lain pula kami lihat  unta-unta itu ditempatkan di dalam kandang berpagar.  Pagar-pagar itu pula nampaknya tidak berapa kukuh buatannya.  Tidak larikah unta-unta itu keluar dari pagar? Mungkin penternak tidak berasa risau .. unta mereka tidak akan lari dari kandang itu, entah Mak Long agak sahaja.  Batti memberitahu kami unta berwarna putih harganya lebih tinggi dari unta berwarna coklat atau warna gelap.  Tidak pula diterangkan mengapa unta putih lebih mahal harganya.

1.  Penunggang unta dengan anak unta
2.  Kandang unta
3.  Kini tidak kira di mana, talipon bimbit mesti ada!
4.  Unta dalam kandang
5.  Bilang unta putih tidak banyak
6.  Unta berehat


Hari hampir petang dan kami mulakan mencari jalan arah pulang ke Al Jubail.  Ketika itu angin pula mulai bertiup, mulanya tidak kuat.  Bebarapa minit kemudian semuanya berubah menjadi lebih kuat seperti ribut.  Kami tidak nampak sekeliling selain dari debu tebal dan bunyi hujan kasar menghujani kereta kami.  Pak Long berhentikan enjin kereta dan kami duduk memerhatikan di sekeling kami.  Kuatnya angin, ribut pasir rupanya.....  Kereta pun terasa bergoyang ditiup angin.  Dalam keadaan ribut dan suasana yang tidak jelas kelihatan tiba-tiba perhatian kami tertumpu di hadapan.  Kami nampak seseorang sedang berusaha mengumpulkan se kumpulan unta menyeberang jalan dalam keadaan huyung hayang dalam cuaca buruk itu.  Mukanya dibalut dengan kain melindungi dari pasir dan habuk mengenainya.  Wahai .. kesihanya, siksa hidup di padang pasir.   Lebih kurang dua puluh minit baharulah keadaan angin mulai reda dan pulih perlahan-lahan.  Kami teruskan perjalanan hala pulang dan alhamdulillah kami tidak sesat mencari jalan pulang.  


Ribut Padang Pasir













Tuesday, March 19, 2013

Nota Bumi Negara Arab - Al Khobar (III)

Assalamualaikum, 



Peta Al Khobar, Saudi Arabia

Dalam bahasa Arabic Khobar disebut sebagai ( الخبر : Al Khobar).  Bandar Al Khobar adalah sebuah bandar besar terletak di sebelah timur pantai Telok Persia, Saudi Arabia.  Menurut bancian penduduk di bandar ini melebihi dari 500,000 orang.  Terdapat dua buah lagi bandar besar yang berhampiran dengan Al Khobar iaitu Bandar Dammam dan Bandar Dhahran yang dihubungi oleh beberapa lebuhraya yang baru dan cantik.  Sekiranya melalui lebuhraya-lebuhraya ini pada waktu malam, di sepanjangan jalan diterangi dengan lampu jalan yang terang benderang tidak mengira kawasan bandar atau kawasan padang pasir hingga ke siang.  Kalau difikirkan banyaknya pembaziran di sini, tetapi yalah Saudi Arabia adalah satu-satunya negara yang terkaya di dunia.  Ketiga-tiga bandar ini telah digelar bandar berkembar atau "The Triplet Cities".  Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd adalah lapangan terbang penting sebagai pintu keluar dan masuk terbesar di daerah serantau ini.

Syarikat Saudi Aramco ialah sebuah syarikat minyak yang terbesar di dunia terletak di Al Khobar.  Sebahagian besar penduduk di sini dari berbagai bangsa dan agama adalah pekerja-pekerja syarikat gergasi ini.  Mereka datang dari seluruh pelusuk di alam ini.  Kawasan syarikat ini luas menyediakan perumahan atau compound untuk pekerja mereka dan merupakan sebuah perkampungaan khas sentiasa dikawal di bawah pengawasan tentera Saudi Arabia.  

Banyak bangunan tinggi-tinggi pencakar langit dan cantik menempatkan hotel-hotel besar, pejabat-pejabat perusahaan dan restoran antarabangsa yang bagus-bagus menyediakan berbagai jenis makanan arab, barat, asia dan lain-lain lagi.  Apabila sesuatu bandar itu sudah maju dalam pembangunannya maka banyak jugalah berbagai pusat beli-belah yang cangih dan besar umpama cendawan tumbuh, menyediakan apa jua yang diingini para pembeli.  Di antaranya ialah Venecia mall, Khobar Mall dan Al Rashid mall yang terbesar dan unik.  Pada hemah Mak Long orang Arab memang suka berbelanja besar baik dari segi makanan, pakaian, barang perhisan hinggalah benda-benda lain.



Sedutan video sekitar Al Khobar yang Mak Long ambil dari YouTube.

Pelabuhan Ras Tanura ialah sebuah pelabuhan yang memainkan peranan penting sekali dan berfungsi mengeskpot minyak keluar ke seluruh dunia. Tidak hairanlah ia menjadikan Al Khobar sebuah bandar yang indah di sepanjang pantai Telok Persia.  Bukan itu sahaja, Al Khobar menjadi sebagai pintu keluar dan masuk rakyat Saudi Arabia ke Bahrain melalui "Causeway King Fahd" iaitu sebuah tambak besar sejauh 16 batu menghubungi kedua-dua buah negara Arab ini.  

Penduduk Al Khobar terdiri daripada berbilang bangsa seperti India, Pakistan, Bangladesh dan Philipine.  Maka dengan itu terdapat banyak kumpulan sekolah antarabangsa dari pelbagai negara yang diurus secara persendirian mengikut kurikulam pendidikan dari negara masing-masing.  British International School Al-Khobar, International Philippine School, Khobar French School adalah di antara sekolah-sekolah tersebut.



Dapur Pembakar Roti, Restoran di Al Rashid Mall


Al Rashid Mall, Al Khobar



Jalanan Sekitar Al Khobar

Kami selalu juga berada di kawasan ini berbelanja barang dapur sambil jalan-jalan makan angin menikmati angin pantai Telok Persia.  Disamping itu mencuba beberapa jenis makanan Timur Tengah yang lazat .  Di suatu kawasan di bandar ini terdapat penduduknya rata-rata orang Philipina.  Malah mereka menyangka Mak Long juga orang Philipina dan mereka cuba bercakap dalam bahasa Tagaloq dengan Mak Long. Suasana ini mengingatkan Mak Long Chow Kit Road, Kuala Lumpur yang ramai rakyat Indonesia di situ.  Harga barangan di sini lebih murah tetapi kualitinya pula tidaklah seberapa.



Kedai Permaidani

Berbagai jenis permaidani dengan reka bentuk dan warna yang menarik dipamirkan untuk pelanggan menjamu mata. Jika sudah sampai di sini tidak membeli walau pun satu memang tidak sah rasanya.  Yang bagusnya tuan kedai sanggup menghantar ke mana sahaja alamat yang diberi oleh pelanggan.  Umpamanya seorang tuan kedai berbangsa Pakistan telah menghantar pesanan kami terus ke alamat kami tanpa masaalah dalam masa yang singkat.



Sebentuk Cincin Diukir Nama/Tarikh Lahir

Mak Long kira orang Arab baik lelaki mahu pun perempuan mempunyai deria kuat menyukai pada barang kemas dan minyak wangi.  Banyak kedai menjual bahan minyak wangi dan barang-barang kemas berharga dari batu permata intan, belian dan emas yang mempunyi seni ukiran yang unik dan menarik.  Mak Long sangat tertarik dengan barang kemas cincin yang dipamirkan mempunyai kelainan bentuk ukiran yang halus dan berseni seperti cincin teka-teki (puzzled ring) dan cincin yang diukir khas dalam tulisan arabic atau rumi dengan nama pelangan atau apa jua bentuk boleh ditempah dengan harga yang berpatutan.


Bangunan kontravesi

Bangunan ini telah menjadi perdebatan ahli agama dan kerajaan Saudi Arabia samaada diruntuhkan atau dibiarkan sahaja.  Bangunan ini sebenarnya dua buah bangunan tetapi bila dilihat dari jauh ia menampakkan seperti lambang salib nasrani.  



Kedai Harley Davidson

Bangunan kedai Harley Davidson mempamirkan beberapa jenis motorsikalnya.  Yang menjadi tanda tanya Mak Long ialah walaupun ada menyediakan motorsikal kuasa tinggi tetapi kami tidak pernah nampak penunggang di jalanan atau pun di mana-mana pun ketika kami berada di Saudi Arabia.  Siapakah yang membelinya?  Pak Long sukalah kerana dia memang peminat nombor satu motorsikal Harley Davidson.  Dapat beli beberapa helai baju-T Harley pun sudah mencukupi baginya.

Pejabat Jualan Proton

Lihatlah gambar di atas.... Dalam perjalanan ke Al Khobar Mak Long nampak bangunan ini .... PROTON SAGA dan memasarkan keluaran kereta Proton Malaysia!   Begitu juga Mak Long tidak nampak ada orang memandu kereta Proton!


Pasaraya Tarmimi, Al Khobar

Di pasaraya inilah kami sering berkunjung untuk mendapatkan bahan makanan selain dari pasaraya tempatan di Al Jubail berhampiran kediaman kami.  Pasaraya ini menyediakan berbagai jenis makanan antarabangsa.  Kadang-kadang rambang mata juga hendak memilih barangan kerana semuanya menarik dan ingin dibeli.  Ya, sudah tentu ada terdapat beberapa jenis barang makanan dari Malaysia juga.

Shuami Daging Kambing, Al Khobar

Memang tidak lapar sesiapa yang berkunjung di sini, sediakan sahaja duitnya.  Tempat makan begini banyak menyediakan makanan tempatan yang menjadi kegemaran kami berdua.








Saturday, March 16, 2013

Nota Bumi Negara Arab - Al Jubail (II)

Assalamualaikum,


Al Jubail, Saudi Arabia

Peta Saudi Arabia

Jubail dalam bahasa Arabic dipanggil  "الجبيل" Al Jubayl.  Bandar ini letaknya di sebelah timur Telok Persia, Saudi Arabia.  Ia merupakan sebuah bandaraya perindusterian terbesar di kawasan Negara Telok di Timur Tengah dan juga masa kini dinobatkan Jubail sebagai sebuah kawasan bandar terbesar mengedalikan dalam bidang projek "civil engineering" di dunia.  

Menurut cerita dari sahabat kami (orang Arab) Jubail mempunyai sejarah lama di mana suatu kaum dipanggil "Dilmun" telah pun ujut di situ lebih dari 7,000 tahun dahulu.  Al Jubail merangkumi dua bahagian iaitu Bandar Tua Al Jubail merupakan sebuah perkampungan nelayan dan kawasan perindusterian.  Dalam tahun 1933, pihak kerajaan Saudi Arabia telah menghantar sekumpulan ahli geologi untuk menyelidik dan mengenal pasti kawasan untuk projek pengerudi pengeluaran hasil minyak.  Penduduk Bandar Tua Al Jubail ketika itu mengusahakan hasil penangkapan dari laut sebagai sumba pendapatan utama hinggalah ke tahun 1975.  

Dalam tahun 1975 kerajaan Saudi mengistiharkan Jubail sebagai tapak kawasan bandar perindusterian dan semenjak itu juga Jubail terus melangkah berkembang dalam kemajuannya.  Ia telah dinamakan sebagai "Sina Tyah" atau "Jubail Industrial City".  Bilangan penduduk di sini semakin bertambah.  Begitu juga pelabur-pelabur dari negara asing datang merebut peluang melabur dalam pelbagai perindusterian.  Besar bilangan pekerja asing datang setiap tahun memenuhi seruan kerajaan Saudi Arabia atas keperluannya perkerja-pekerja mahir serta kepakaran dalam banyak bidang dan pekerja boroh.

Jubail mempunyai dua buah pelabuhan iaitu Jubail Commercial Seaport dan King Fahd Industrial Seaport.



Satu Dari Mesjid Di Jubail

Banyak terdapat mesjid dan surau di Jubail.  Setiap compound kediaman diadakan sebuah mesjid bagi memudahkan umat bersolat.



Logi Air (2009 masih dalam pembinaan), Al Jubail

Semasa kami tinggal di Jubail dalam tahun 2009, bangunan menara logi air ini hampir siap.  Tentunya sekarang sudah siap dan mula dinikmati penduduk Jubail sepenuhnya.


Al Jubail

Pihak kerajaan Saudi Arabia juga memperluaskan projek menanam lebih banyak jenis pokok dan tumbuhaan sebagai memperindahkan Jubail dan memberi perlindungan tempat berteduh.

Pantai Telok Persia

Banyak tempat-tempat bersantai seperti pantai di tebing Telok Parsi ini sebagai tempat beristihat bagi penduduk-penduduk Jubail.  Kaum wanita tidak dibenarkan berenang atau masuk kedalam air.  Dikatakan telah berlaku di mana seorang wanita bangsa asing telah berenang dan bermain di dalam air itu.  Tidak dinyatakan samaada berpakaian mandi atau tidak.  Pihak pegawai agama telah menahannya dan sejak dari hari itu wanita tidak dibenarkan memasuki bermain dalam air. 


Fanateer Cornich, Jubail
(Kiri: Panntai Kanan: Mesjid Fanateer)

Di Fanateer Corniche, Jubail iaitu satu kawasan perumahan baharu elit di tepi tebing Telok Persia yang menempatkan berbilang bangsa-bangsa asing, kebanyakan bukan beragama Islam tinggal di sini.  Lelaki dan perempuan dibenarkan berenang di sini.  Wanita juga bebas dari undang-undang mengenakan abaya atau tudung (hanya dalam kawasan ini sahaja).



 Jubail

Tempat rehat untuk umum dibahagikan  kepada zone - bujang dan keluarga. Begitu juga di tempat makan di restoran.  Bahagian keluarga diberi keutamaan khas iaitu tempat makan disekat dan bertutup dengan langsir atau pintu terlindung dari pengelihatan umum.  Biasanya bila sesuatu keluarga atau pasangan suami isteri sedang makan, pihak wanita akan membuka hijab penutup muka untuk menikmati juadah mereka.  Tempat makan orang bujang pula terbuka tanpa sekatan hanya untuk lelaki sahaja. Banyak restoran menyediakan makanan segera barat seperti McDonald, KFC, Subway, Burger King dan lain-lain lagi.  Makanan dari Asia juga banyak terdapat di sini.



Pokok Tamar/kurma

Di mana sahaja dalam daerah Jubail dihiasi dengan pokok tamar atau kurma.  Buahnya berharga murah dan enak dimakan.  




Buah Tamar 

Dapur Membakar Roti


Berbagai jenis manakan Arab disediakan di restoran.  Banyak juga restoran-restoran ini diusahakan oleh bangsa asing selain dari orang Arab sendiri.  



Pondok Minuman

Terdapat beberapa pondok kecil seperti dalam gambar di atas menyediakan beberapa jenis minuman sejuk dan panas.  Minuman yang digemari mereka adalah kopi Arab dan teh hitam yang pekat dan keras rasanya.  Teh sejuk di sebuah restoran China yang disediakan dalam gelas berbentuk kasut di bawah ini menarik perhatian Mak Long.









Sunday, March 10, 2013

Nota Bumi Negera Arab (1)

Assalamualaikum,


Pertengahan tahun 2007, Pak Long menerima jemputan khas dari seorang sahabat karib di Syarikat Chevron Phillips di Al-Jubail, Saudi Arabia untuk membantu mereka bahagian "commissioning & Start-up" dalam perlaksanaan pembinaan pelantar cari-gali minyak dan gas di Al-Jubail.  Mak Long tidak dapat ikut Pak Long bersama kerana beberapa sebab.  Tambahan Puteri bersekolah dan mulai bulan Julai hingga November cuaca di bahagian pantai timur selatan Texas adalah musim taufan (hurricane).  Mak Long terpaksa uruskan serta memastikan semua harta benda dan kenderan di dalam garage dialih ketempat yang lebih selamat apabila taupan dijangka.  Rumah kami hanya kira-kira dua batu dari pantai Gulf of Mexico.  Tidak mengapalah Pak Long pun balik ke rumah empat bulan sekali. Musim panas tahun 2008, setelah memastikan semua barang selamat untuk ditinggalkan Mak Long pulang ke Malaysia bersama Puteri tetapi sedihnya tidak dapat tinggal lebih lama untuk bersama keluarga tersayang.  

Awal tahun 2009 baharulah Mak Long menemani Pak Long ke negara Arab bumi kelahiran junjungan Nabi Muhammad SAW.  Puteri pun sudah masuk belajar di University of Texas. Rupanya bukanlah mudah bagi rakyat Malaysia untuk memohon visa memasuk ke tanah Arab walaupun menemani suami.  Itu pun hanya dibenarkan tinggal di sana beberapa bulan sahaja kemudian memohon semula untuk melajutkan tarikh visa.  Rakyat Amerika seperti Pak Long sangat mudah memohon visa ke negara itu.  Beliau dapat visa dengan jangka masa panjang selama lima tahun.  Adakah kerajaan Saudi Arabia lebihkan kepentingan kepada rakyat dari negara bukan Islam??  Letih bila difikirkan masaalah itu!   Begitulah pandangan Mak Long tentang kuasa politik yang banyak condong kepada kepentingan sendiri.......

Kami sampai di lapangan terbang antarabangsa Dammam jam lapan malam lebih.  Pihak kastam dan imigresen mengambil masa lama untuk melepaskan penumpang-penumpang pesawat yang turun hari itu.  Bukan apa, mereka lebih banyak membuang masa bercakap dan berlengah.  Kalau pegawai kastam dan imigresen di Malaysia dikatakan banyak songeh, pegawai imigresen di Saudi Arabia lagi teruk!  Sudahlah ketika itu Mak Long tidak berapa sihat dan terasa sungguh letih.  Hendak lepas dari imigresen mengambil masa lebih dua jam!  Arab! Arab!  Apabila kami selesai, pasport pun sudah dicap barulah hati Mak Long berasa lega dan gembira bila pemandu kereta syarikat menemui kami dan membawa kami ke rumah yang disediakan untuk Pak Long tinggal.  Malam itu Mak Long tidur mati!  Bangun hanya terdengar azan Subuh jam tiga setengah pagi berkumandang dengan kuat berhampiran.  Selepas Subuh dan Pak Long pula bersiap untuk ke tempat kerjanya.  Walaupun dapat tidur lena tetapi Mak Long masih berasa tidak sihat malah bertambah lagi teruk... selepas makan ubat Mak Long tidur tidak sedar hinggalah waktu Pak Long balik dari kerja..... Geleng kepala, Cik Abang!!  Apa nak buat, badan tidak sihat dan pengsan.......  Selepas Magrib dan Isyak baharulah kami keluar cari makan-makan.. barulah terasa kelaparan ..tetapi walaupun lapar tidak ada selera ... mulut rasa payau!   Tidak seronoknya bila badan tidak sihat....


Kediaman kami di Chevron Compound, Al-Jubail

Hari ketiga baharulah Mak Long boleh bangun melihat rupa dan sekeliling kediaman kami.    Amboii .. bukan main panasnya cuaca di situ.  Setiap hari cuaca lebih dari 110 degree. Bila buka pintu hendak keluar rumah, rasa seperti masuk dalam ketuhar panasnya!  Kediaman kami merupakan sebuah rumah banglo dua tingkat, lima bilik tidur besar dan luas di tingkat atas. Di tingkat bawah ada dua bilik keluarga (untuk tetamu lelaki dan wanita berlainan  dan berasing), bilik membaca, dapur, dewan makan dan bilik menyimpan bahan makanan kering/cuci pakaian.  

Bilik tidur kami mempunyai pintu dua lapis.  Tingkap dan pintu kalis peluru (bullet-proof) serta mempunyai pintu kecil rahsia ke satu bilik khas dari bilik tidur sekiranya ada rusuhan atau serangan.  Rupa-rupanya kereta syarikat yang kami naiki dari lapangan terbang juga kereta kalis peluru... hmmmm.  Di luar compound perumahan mempunyai gate besi yang dikawal rapi oleh beberapa orang askar Saudi.  Mereka memeriksa setiap kenderaan yang hendak masuk ke kawasan perumahan.  Macam zaman perang pulak.   



Keliling Kediaman Berpagar Tinggi

Tiap-tiap rumah berpagar tinggi tidak nampak jiran sebelah.  Kawasan compound dihias dengan tanaman berbagai jenis pokok yang subur.  Kerajaan Saudi Arabia mengambil ramai pekerja-pekerja asing terutama dari India dan Pakistan sebagai boroh kasar.  Seminggu sekali seorang lelaki Pakistan datang ke rumah membersih dalam dan luar  rumah serta mencuci baju.  Pak Long upah seorang lelaki India tukang kebun untuk tanam sayur kacang panjang, cili dan beberapa jenis sayur di keliling rumah.  Menjadi pula semua yang ditanamnya.

Garage, Gate Besar dan Gate Kecil 
 Kawasan compound ini dilengkapi dengan mesjid, dewan serba guna, gym dan kolam renang untuk kegunaan penghuni di situ.


Perumahan dalam compound


Undang-undang di Saudi Arabia, wanita tidak dibenarkan memandu kereta.  Juga tidak dibenarkan berjalan bersendirian seorang.  Sekiranya seseorang wanita hendak keluar ke bandar mestilah ia ditemani oleh muhrim atau pergi bersama-sama dalam kumpulan  beberapa orang wanita.   Wanita dikehendaki berpakaian menutup aurat bila berada di khalayak luar.  Wanita-wanita bukan Islam, bangsa asing tidak dikecualikan, mereka juga dikehendaki memakai "abaya" iaitu jubah panjang pakaian luar.



Kereta Disediakan Untuk Pak Long

Pemandu-pemandu di negara ini terlalu ganas dan merbahaya.  Walaupun ada undang-undang jalanraya tetapi sedihnya hampir semua pemandu tidak mematuhi.  Mereka seolah-olah sentiasa berlumba-lumba siapa lebih laju!!













Saturday, March 9, 2013

Nota Penyakit Kering Mata (Blepharitis)

Assalamualaikum,  


Beberapa hari yang lepas atas nasihat Dr Michael Singer, Mak Long telah menemui seorang lagi doktor pakar mata iaitu Dr Michael Orozco di Medical Center Ophtalmology Associates, San Antonio, Texas.  Di pusat inilah juga Mak Long telah menerima khidmat perubatan mata sejak satu tahun lebih dari Dr Michael Singer dan Dr Burns.  Di kelinik ini mereka memberi khidmat perubatan dalam segala jenis masaalah dan penyakit mata. Dari masaalah mata rabun hinggalah segala masaalah penyakit mata yang lebih rumit termaksuklah sessi pembedahan.  

Kali ini Mak Long mengalami kedua-dua mata terasa kering menyebabkan ada kalanya pengelihatan kurang jelas dan kurang selesa.  Sebenarnya masaalah ini telah dialami semenjak masih muda-muda lagi hanya tidak pernah diambil kesah kerana memikirkan masaalah ini tidak penting tambahan lagi sentiasa sibuk dengan perkara-perkara lain meniti hidup.  Janji-temu dengan Dr Michael Orozco berjalan dengan lancar.  Melalui ujian yang dijalankan Dr Michael memberitahu Mak Long mengalami penyakit 'Kering Mata' yang dipanggil "Blepharitis".  Kata Dr Orozco "Dry eye is a disease" iaitu mata kering adalah sejenis penyakit mata.  Katanya lagi berjuta orang mengalami penyakit ini tetapi banyak kes tidak diberi perhatian untuk mengubatinya.  Kelenja pengeluar air mata tidak dapat mengeluarkan air mata untuk melembabkan mata kerana salurannya tersumbat oleh minyak yang menjadi beku di saluran.


Fungsi Kelenja Pengeluar Air Mata dan Minyak Di Sekeliling Mata


Apakah "Blepharitis"?

Blepharitis biasanya berlaku apabila seseorang itu mengalami tidak selesa pada matanya walaupun setelah menitiskan air mata buatan (tear drop) ke dalam mata.  Beberapa tanda telah dikenal pasti melalu kajian yang dibuat oleh para pakar mata dengan menggunakan berbagai teknologi masakini.  Penyakit ini sebenarnya boleh berlaku bila-bila masa atau ketika umur seseorang itu masih kecil lagi.  Antara tanda-tanda yang nyata termasuklah:

Mata terasa tidak selesa
Mata terasa seperti berhabuk atau berpasir
Mata terasa penat dan letih
Mata selalu berair
Bibir mata terasa gatal dan menjadikan mata merah
Pemandangan kadang kala tidak jelas
Terasa tidak selesa menggunakan kanta mata/"contact len"

Menurut doktor lagi kuman bacteria ini berada pada kulit manusia, tetapi sesetengah orang kuman ini masuk ke dalam kulit di pangkal barisan bibir alis bulu mata bahagian atas dan bawah mata.  Ini menjadikan rasa tidak selesa dan rasa radang.  Kadang-kadang boleh menjadikan kulit di kawasan itu seperti kelemumur kering di sekeliling mata juga di alis bulu mata.  Apabila terjadi begini, setengah orang mendapat alahan gatat-gatal di sekeliling mata.  Lebih teruk lagi ia akan jadi radang pada tisu mata, terutama pada cornea (bahagian hadapan mata).  Orang dewasa yang telah berumur lebih biasa mengalami keadaan begini.

Bagaimana hendak merawat "Blepharitis"?

Menurut Dr Orozco, keadaan ini mungkin belum ada ubat sesuai untuk disembuhkan tetapi boleh dikawal melalui beberapa kaedah yang perlu diambil.  Antara caranya ialah:
  • Basahkan tuala kecil dengan air panas suam, perah airnya dan letakkan tuala pada mata tertutup selama 1 atau 2 minit.  Ulang cara begini hingga dua atau tiga kali dan lakukan setiap hari sekurang-kurangnya dua kali sehari. Kaedah ini akan melembutkan dan mengeluarkan kelemumur kering itu.  Ia juga akan mencairkan pengeluaran minyak dari kelenjar minyak yang terdapat di sekeliling alis mata.
  • Kemudian lap perlahan-lahan keliling pangkal bulu mata dengan menggunakan jari yang dibalut dengan tuala kecil, kapas, atau tuala lembab lab mata sekarang ada dijual di famasi.  Lakukan ini kira-kira 15 saat setiap atas dan bawa alis mata.
  • Doktor mungkin memberi pesakit titisan antibiotik yang perlu dititiskan dalam mata.  Ikutlah nasihat doktor.
  • Titisan air mata tiruan boleh digunakan untuk melegakan kering mata.
  • Doktor juga mungkin memberi antibiotik untuk dimakan sebagai mengurangkan kuman di bibir alis mata.  Sekiranya keadaan kekeringan mata lebih teruk, mungkin rawatan "tetracyckube" melalui mulut akan dilakukan.

Mengambil perubatan sahaja tidak mencukupi untuk melegakan masaalah ini.  Cara menggunakan kain tuala suam yang basah seperti yang diterangkan di atas lebih baik untuk mengawal "blepharitis".

Adalah penting bagi setiap orang selalu melakukan pemeriksaan mata oleh doktor pakar mata kerana penyakit mata boleh berlaku tidak mengira umur seseorang atau masa.  Malahan kebanyakan masaalah mata buta juga boleh dikawal dan dicegah sekiranya cepat dikenal pasti serta mendapat rawatan di peringkat awal.








Thursday, March 7, 2013

Nota Sejarah Srikandi Tun Fatimah

Assalamualaikum,

Dalam buku-buku sejarah Melayu tidak banyak menampilkan cerita mengenai sejarah Tun Fatimah.  Amatlah penting sekiranya sejarah mengenainya diperluaskan kerana beliau adalah lambang wanita Melayu yang jelas berperibadian dan ketokohan sebagai pejuang wanita Melayu hebat.  Beliau adalah seorang serikandi yang gagah dan berani berjuang mempertahankan negeri Melaka dari serangan Pertugis walau pun dalam saat genting beliau terpaksa melarikan diri ke Kampar, Perak.  Kesetiaannya pada negeri dan suaminya Sultan Mahmud Shah mekar menyelubungi dihatinya hingga ke akhir hayat.

Tun Fatimah adalah anak bungsu kepada Bendahara Seri Nara Diraja Tun Ali berketurunan Tamil Muslim dan isterinya Tun Kudu.  Anak lelaki mereka iaitu abang kepada Tun Fatimah ialah Tun Mutahir dilantik menjadi Bendahara Negeri Melaka pada waktu pemerintahan Sultan Mahmud Shah.  Sebelum Tun Kudu menjadi isteri kepada Bendahara Seri Nara Diraja Tun Ali, beliau adalah isteri kepada Sultan Muzzafar Shah dan kakak kepada Bendahara yang tersohor Tun Perak.  Rupa paras Tun Fatimah terserlah cantik dan jelita menjadi kegilaan anak-anak muda ketika itu.  Mempunyai akhlak dan budi perkertinya baik sejajar dengan kejelitaannya.  Handal dalam seni bersilat mempertahankan diri dan tangkas menggunakan alat senjata keris dan tombak untuk berjuang.

Tun Fatimah telah ditunangkan dan dikahwinkan dengan pemuda pilihan orang tuanya iaitu Tun Hassan.  Sultan Mahmud Shah telah dijemput hadir untuk meraikan majlis perkahwinan itu.  Sultan telah tertarik dengan kejelitaan Tun Fatimah dan baginda berasa terlalu murka kepada Bendahara Seri Nara Diraja Tun Ali kerana tidak pernah menyembahkan bahawa beliau mempunyai anak gadis yang jelita kepada baginda terlebih dahulu.  Baginda telah meninggalkan majlis itu tanpa menjamah santapan yang disajikan.

Sebenarnya ramai yang dengki hati kepada keluarga Bendahara Seri Nara Diraja Tun Ali.  Di antaranya ialah Raja Mandaliar, Kitul, dan Laksamana Khoja Hassan.  Mereka telah memfitnahkan Bendahara, yang kononya Bendahara itu telah menempah persalinan dan cerek yang semuanya daripada emas dan mempunyai agenda ingin merampas takhta kerajaan Melaka.  Dengan berita itu Baginda Sultan bertambahlah kemurkaannya terhadap Bendahara.  Tanpa usul periksa lagi Baginda lantas menyerahkan keris kuasanya kepada Tun Sura dan Tun Setia untuk menjatuhkan hukuman bunuh keatas seluruh keluarga Bendahara kecuali Tun Fatimah.  Maka tinggallah Tun Fatimah sebatang karah.

Akhirnya Sultan Mahmud sedar atas kesilapan dan keterlanjuran perbuatan kejamnya yang tanpa usul periksa terlebih dahulu.  Kasih dan cintanya terus membara terhadap Tun Fatimah, akhirnya mengutus pinangan kepada Tun Fatimah dan membawanya masuk ke istana dengan sambutan secara besar-besaran.  Perkahwinan antara Sultan Mahmud Shah dan Tun Fatimah telah diatur dan dilangsongkan tidak lama selepas itu. Tun Fatimah terpaksa akur dengan titah Sultan Mahmud kerana tidak mahu menderhaka.  Menurut cerita Tun Fatimah enggan beradu bersama-sama atau melayani Sultan Mahmud.  Tetapi sebagai seorang wanita yang waras serta bertimbang-rasa walaupun hatinya membenci atas tindakan zalim Sultan terhadap seluruh keluarganya, tambahanan lagi Tun Fatimah mengingati pesanan ayahnya dahulu supaya jangan sekali menderhaka kepada Sultan.  Juga menyedari keikhlasan dan keinsafan Baginda yang ditunjukkan kepada isterinya akhirnya Tun Fatimah berlembut hati membalas cinta Sultan Mahmud Shah.  Oleh kerana terlalu sayang dan mengagumi paras rupa Tun Fatimah yang cantik itu, Sultan Mahmud telah mengisytiharkan Tun Fatimah sebagai Paduka Seri Permaisuri Melaka.

Dengan menjadi Permaisuri Melaka dan mempunyai kuasa istimewa, Tun Fatimah dengan dayang-dayang istana serta rakan-rakan wanitanya yang lain telah berjaya menangkap orang-orang yang memfitnahkan keluarganya.  Ketiga-tiga pendalang Raja Mandeliar, Kitul dan Laksamana Khoja Hassan ditangkap dan dihukum bunuh, menerima hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang telah mereka lakukan.

Baginda Sultan dan Paduka Seri Permaisuri Tun Fatimah telah dikurniakan empat orang putera dan puteri.  Mereka adalah Raja Ala'uddin ibni Sultan Mahmud Shah menjadi Sultan Muda Ahmad Shah;  Raja Raden Ali ibni Sultan Mahmud Shah menjadi Sultan Johor ke-2 sebagai Sultan Alauddin Riayat Shah II selama 36 tahun; Raja Puteh binti Sultan Mahmud Shah dan Raja Khadijah binti Sultan Mahmud Shah.

Tun Fatimah adalah Srikandi Melayu dan mempunyai besar pengaruhnya terhadap Sultan agar terus berjuang mempertahan negeri Melaka menentang Portugis demi maruah dan mertabat orang Melayu. Sebagai memperingati srikandi hebat ini sebuah sekolah berasrama penuh menempatkan anak-anak perempuan orang Melayu dari seluruh daerah di tanah air telah ditubuhkan dan diberi nama Sekolah Tun Fatimah atau lebih dikenali dengan STF sahaja.

















Nota:  

Mempelajari sejarah lama adalah penting satu dari sebabnya ialah sejarah dapat membantu dalam mencapai kejayaan masa kini dan hadapan.








Monday, March 4, 2013

Nota Sekolah Tun Fatimah

Assalamualaikum, 



Sekolah Tun Fatimah (STF) ialah sebuah sekolah menengah berasrama penuh khas bagi pelajar-pelajar perempuan Melayu dari seluruh Malaysia iaitu termasuklah negeri-negeri Sabah dan Sarawak.  Sekolah Tun Fatimah telah ditubuhkan di Durian Daun, Melaka dalam tahun 1956 (?).  Sekolah ini ketika itu menumpang, berkongsi dan menggunakan beberapa bangunan lama kawasan Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka.  Dalam tahun 1958 pula, sekolah ini telah diikhtihar dengan rasmi oleh Menteri Pelajaran dengan nama Sekolah Tun Fatimah sempena nama Srikandi terulung Tun Fatimah yang dikenali dengan perwibaan pertiwinya dalam era pemerintahan kesultanan Negeri Melaka.  Dalam bulan Ogos, 1964 (mulai penggal kedua persekolahan) Sekolah Tun Fatimah telah dipindahkan ke kawasan sekarang di Jalan Larkin, Johor Bahru.  Yang Mulia Sultanah Negeri Johor iaitu Tunku Ungku Tun Aminah Ahmad telah diberi penghormatan merasmikan Sekolah Tun Fatimah yang baru pindah itu pada 25hb September, 1965.

Setahu Mak Long semasa sekolah ini mula ditubuhkan dahulu matlamat asalnya ialah memilih pengambilan pelajar-pelajar perempuan Melayu dari daerah luar bandar khasnya untuk melahirkan gulungan guru bertauliah di mana pelajar-pelajar yang lulusan LCE/SRP kemudiannya mereka akan terus dihantar dan diserapkan sebagai guru-guru pelatih di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka (Malacca Malay Women Training College atau MWTC).  Pemilihan pelajar dilakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan Menteri Pelajaran ketika itu ialah YB Encik Khir Johari.  Keputusan cemerlang dalam peperiksaan dari Penilaian Sekolah Rendah diperlukan untuk melayakkan memasuki ke sekolah berasrama penuh Sekolah Tun Fatimah.  Sekarang kalau tidak silap Mak Long permilihan diambil dari pelajar-pelajar tidak dikira dari luar bandar atau kawasan bandar.  Mereka yang layak beroleh keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR akan dipilih masuk ke sekolah ini.  Kementerian Pelajaran juga memberi peluang kepada pelajar-pelajar lulusan LCE (Lower Certificate Examination) sebelum diganti nama SRP (Sijil Rendah Persekutuan) /PMR untuk menduduki tingkatan empat.  Dalam tahun 1970an baharulah pihak sekolah mengadakan pelajaran untuk tingkatan enam.  Semasa Mak Long meneruskan tingkatan enam terpaksa menyambung di English College, Johor Bahru.


Barisan Guru Dan Kakitangan STF, Johor Bahru (1965)
Duduk Dari Kiri:  Mrs Khoo, Mrs Kang, Cik Sharifah, Miss Kanagasabai, 

Miss Jeanette Lim (Pengetua STF), Miss Chua,  (?), Miss Yoong dan Miss Khoo
Berdiri:  Ustazah Zainab, Ustazah Naemah (6 nama tidak ingat), Miss Phutucherry, 
Roslin, Mr Chan, (?), Cil Raja (Matron) dan Miss Puniah


Pengetua atau Guru Besar yang bertanggung jawab mentadbir ketika berada di Melaka dan peringkat awal di Johor Bahru ialah Miss Jeanette Lim.  Kemudian diganti pula dengan Puan Badiah Manan (sekarang bergelar Datin Badiah) sebagai Pengetua/Guru Besar dan Guru Penolong Kanan pula ialah Cik Maimunah yang kemudiannya mendokong jawatan sebagai Pengetua setelah Puan Badiah meninggalkan jawatannya.  Sekarang Mak Long sudah tidak mengikuti perkembangan sekolah srikandi lagi.


Form V 1968
Dari Kiri:  Mr Chan, (?), Cik Kalsom, Cik Azizah, Mrs Chua, Puan Badiah Manan, 

Cik Maimunah, Mrs Habarjan, Ustazah Zainab dan Mr Peter Khoo
Mak Long berdiri barisan tengah numbor 4 dari kiri

Form IIA 1965 - Guru Darjah Miss Puniah dan Cik Sharifah
Duduk Kiri:  Sapiah Hamid, Maimun Ibrahim, Khatijah Ibrahim, Ramlah Hamid, Rafeah, 
Normah, (?), Rokiah Ismail

Tengah Kiri: Cik Sayang Hamid, Hamsiah Kamarudin, Apsiah Sidik, Zalifa Md Zain, 
Cikk Sharifah, Miss Puniah, Noriah, Nornisah, Naemah Othman, Ruhani Ramli dan Zainun

Belakang kiri:  Selamah Mansor, Zaharah Salleh, Siti Rosalamiah, Asmah Ahmad, 
Hasiah A Rahman, (?) Rohani Manaf, Cik Som, Robiah Latif, Fatimah Sihi,
Mak Long, Zainab Hassan, Asiah Sian, Rohani Jelani dan Zainul Akmal






Asrama Block A, Johor Bahru

Mak Long tinggal di asrama blok A-1 di hujung sekali.  Di atas gambar baru, dulu asrama ini dicat warna kuning air. Di bawahnya rumah khas kediaman Matron Cik Raja dan keluarganya.  Cik Raja garang dan bengis orangnya, kami takut padanya, kalau kami bertembung dengannya di kawasan sekolah kami akan elak ke tempat lain.  

Dewan Makan, Johor Bahru - 1965


Dewan makan bentuknya seperti "Y".  Bahagian belakangnya luas ialah dapur.  Kami makan di dalam dewan ini mengikut masa yang diatur.  Semua pelajar mesti berada di dalam dewan ini setiap hari bila loceng berbunyi waktu makan.  Pintu dewan akan ditutup selepas beberapa minit kami berada di dalamnya.  Kalau lambat, hai.... alamat berlaparlah atau kena soal dan dimarah Cik Raja yang tidak bertimbang rasa walaupun punya sebab yang munasabah.  Kekadang terfikir juga adakah Cik Raja ingat bagaimana beliau melayan kami dahulu yang sentiasa kerinduan kasih sayang keluarga yang jauh.  Entahlah mungkin itulah caranya yang terbaik dia melayan kami...?  Undang-undang di dewan makan, waktu makan mesti menggunakan sudu, gerpu dan pisau seperti adat makan orang putih.  Bagusnya latihan ini jadi kebiasaan tidak kekok bila berada di majlis rasmi.  Sarapan pagi hidangan biasa ialah telur rebus mesti ada, roti sapu butter dan jam, hari minggu nasi lemak atau mee hoon goreng.  Semua menu pun boleh tahan sedapnya.  Mak Long suka!  

Matron biasa memeriksa kebersihan kami baik dari segi pakaian maupun kebersihan diri.  Kalau didapati kami berkuku panjang atau pakai kain kembang terlalu pendek atau ketat nasiblah siapa yang kena...   Niatnya tentu baik tetapi cara matron menyampaikan tidak sesuai.   


Bergilir Memcuci Dewan Makan

Setiap pagi hujung minggu tidak ada kelas, kami cuci dewan makan dan bersihkan kawasan mengikut giliran asrama.  Hujung minggu juga hari pelawat (ibu bapa, keluarga) dibenarkan datang melawat.  Ada juga ibu bapa dari jauh datang menjengok anak mereka.  Biasanya pada hari-hari itu kami ramai-ramai duduk dalam kelas bersidai di tepi tingkap tengok pelawat datang.  Pelajar menerima pelawat di kantin sekolah.  Pelawat wanita dibenarkan melawat dalam asrama.  Pelawat lelaki mereka dihad di kawasan kantin sahaja.  Dua minggu sekali kami dapat menikmati menonton wayang gambar di dewan besar sekolah.  Kami bayar 25 sen sahaja seorang untuk menonton.  Filem yang ditonton semuanya bagus-bagus dan baru.

Tuck Shop/kantin

Dulu di kantin ini menyediakan masakan kegemaran Mak Long iaitu mee rebus Johor masakan Mak Yah tukang masak kantin.  Setiap pelajar diberi wang saku oleh pihak kerajaan setiap bulan sebanyak MR10.00. Sebulan sekali cuti hujung minggu atau cuti awam kami dibenarkan keluar ke bandar Johor Bahru.   Bas awam disewa khas masuk kawasan sekolah mengambil kami yang inginkan keluar, sebelum pukul lima petang semua pelajar mesti berada di sekolah semula.  Wang RM10.00 itulah buat belanja.  Mak Long suka keluar tetapi tidak belanja selain dari bayar tambang bas.  Pelajar-pelajar yang tidak ada duit macam Mak Long bila sudah sampai di bandar, kami berjalan kaki melihat bandar dan taman di kawasan istana Sultan Johor. Mak Long guna duit itu untuk beli keperluan menulis dan melukis.  Mak Long suka dan sangat berminat dalam seni lukisan.  Mak Long dan kawan Siti Rukiah telah melukis sebuah lekaran pada dinding masuk ke sekolah.


Taman Bunga Di Istana Besar Sultan Johor -1966
Mek (Pet sister), Mak Long, Maimun Ibrahim, Jamilah Saleh dan Ruhani Jelani


Bersama Kakak-kakak srikandi 1967
Hadapan:  Mak Long dalam pelukan Kak Rashidah, (?), Kak Mun, (?)
Bediri:  Kak Zainab Arshad, Kak Atakyah, Kak Cik Min, Kak Fatanah dan Kak Raha Idris


Surau STF Kini

Bangunan surau ini baharu lagi.  Semasa zaman Mak Long dulu surau ini belum ada.  Kami solat di bilik solat yang disediakan setiap bangunan asrama.











Nota:  Penuhi dada kamu dengan ilmu yang baik untuk kejayaan dunia dan akhirat