Pages

Monday, March 4, 2013

Nota Sekolah Tun Fatimah

Assalamualaikum, 



Sekolah Tun Fatimah (STF) ialah sebuah sekolah menengah berasrama penuh khas bagi pelajar-pelajar perempuan Melayu dari seluruh Malaysia iaitu termasuklah negeri-negeri Sabah dan Sarawak.  Sekolah Tun Fatimah telah ditubuhkan di Durian Daun, Melaka dalam tahun 1956 (?).  Sekolah ini ketika itu menumpang, berkongsi dan menggunakan beberapa bangunan lama kawasan Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka.  Dalam tahun 1958 pula, sekolah ini telah diikhtihar dengan rasmi oleh Menteri Pelajaran dengan nama Sekolah Tun Fatimah sempena nama Srikandi terulung Tun Fatimah yang dikenali dengan perwibaan pertiwinya dalam era pemerintahan kesultanan Negeri Melaka.  Dalam bulan Ogos, 1964 (mulai penggal kedua persekolahan) Sekolah Tun Fatimah telah dipindahkan ke kawasan sekarang di Jalan Larkin, Johor Bahru.  Yang Mulia Sultanah Negeri Johor iaitu Tunku Ungku Tun Aminah Ahmad telah diberi penghormatan merasmikan Sekolah Tun Fatimah yang baru pindah itu pada 25hb September, 1965.

Setahu Mak Long semasa sekolah ini mula ditubuhkan dahulu matlamat asalnya ialah memilih pengambilan pelajar-pelajar perempuan Melayu dari daerah luar bandar khasnya untuk melahirkan gulungan guru bertauliah di mana pelajar-pelajar yang lulusan LCE/SRP kemudiannya mereka akan terus dihantar dan diserapkan sebagai guru-guru pelatih di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka (Malacca Malay Women Training College atau MWTC).  Pemilihan pelajar dilakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan Menteri Pelajaran ketika itu ialah YB Encik Khir Johari.  Keputusan cemerlang dalam peperiksaan dari Penilaian Sekolah Rendah diperlukan untuk melayakkan memasuki ke sekolah berasrama penuh Sekolah Tun Fatimah.  Sekarang kalau tidak silap Mak Long permilihan diambil dari pelajar-pelajar tidak dikira dari luar bandar atau kawasan bandar.  Mereka yang layak beroleh keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR akan dipilih masuk ke sekolah ini.  Kementerian Pelajaran juga memberi peluang kepada pelajar-pelajar lulusan LCE (Lower Certificate Examination) sebelum diganti nama SRP (Sijil Rendah Persekutuan) /PMR untuk menduduki tingkatan empat.  Dalam tahun 1970an baharulah pihak sekolah mengadakan pelajaran untuk tingkatan enam.  Semasa Mak Long meneruskan tingkatan enam terpaksa menyambung di English College, Johor Bahru.


Barisan Guru Dan Kakitangan STF, Johor Bahru (1965)
Duduk Dari Kiri:  Mrs Khoo, Mrs Kang, Cik Sharifah, Miss Kanagasabai, 

Miss Jeanette Lim (Pengetua STF), Miss Chua,  (?), Miss Yoong dan Miss Khoo
Berdiri:  Ustazah Zainab, Ustazah Naemah (6 nama tidak ingat), Miss Phutucherry, 
Roslin, Mr Chan, (?), Cil Raja (Matron) dan Miss Puniah


Pengetua atau Guru Besar yang bertanggung jawab mentadbir ketika berada di Melaka dan peringkat awal di Johor Bahru ialah Miss Jeanette Lim.  Kemudian diganti pula dengan Puan Badiah Manan (sekarang bergelar Datin Badiah) sebagai Pengetua/Guru Besar dan Guru Penolong Kanan pula ialah Cik Maimunah yang kemudiannya mendokong jawatan sebagai Pengetua setelah Puan Badiah meninggalkan jawatannya.  Sekarang Mak Long sudah tidak mengikuti perkembangan sekolah srikandi lagi.


Form V 1968
Dari Kiri:  Mr Chan, (?), Cik Kalsom, Cik Azizah, Mrs Chua, Puan Badiah Manan, 

Cik Maimunah, Mrs Habarjan, Ustazah Zainab dan Mr Peter Khoo
Mak Long berdiri barisan tengah numbor 4 dari kiri

Form IIA 1965 - Guru Darjah Miss Puniah dan Cik Sharifah
Duduk Kiri:  Sapiah Hamid, Maimun Ibrahim, Khatijah Ibrahim, Ramlah Hamid, Rafeah, 
Normah, (?), Rokiah Ismail

Tengah Kiri: Cik Sayang Hamid, Hamsiah Kamarudin, Apsiah Sidik, Zalifa Md Zain, 
Cikk Sharifah, Miss Puniah, Noriah, Nornisah, Naemah Othman, Ruhani Ramli dan Zainun

Belakang kiri:  Selamah Mansor, Zaharah Salleh, Siti Rosalamiah, Asmah Ahmad, 
Hasiah A Rahman, (?) Rohani Manaf, Cik Som, Robiah Latif, Fatimah Sihi,
Mak Long, Zainab Hassan, Asiah Sian, Rohani Jelani dan Zainul Akmal






Asrama Block A, Johor Bahru

Mak Long tinggal di asrama blok A-1 di hujung sekali.  Di atas gambar baru, dulu asrama ini dicat warna kuning air. Di bawahnya rumah khas kediaman Matron Cik Raja dan keluarganya.  Cik Raja garang dan bengis orangnya, kami takut padanya, kalau kami bertembung dengannya di kawasan sekolah kami akan elak ke tempat lain.  

Dewan Makan, Johor Bahru - 1965


Dewan makan bentuknya seperti "Y".  Bahagian belakangnya luas ialah dapur.  Kami makan di dalam dewan ini mengikut masa yang diatur.  Semua pelajar mesti berada di dalam dewan ini setiap hari bila loceng berbunyi waktu makan.  Pintu dewan akan ditutup selepas beberapa minit kami berada di dalamnya.  Kalau lambat, hai.... alamat berlaparlah atau kena soal dan dimarah Cik Raja yang tidak bertimbang rasa walaupun punya sebab yang munasabah.  Kekadang terfikir juga adakah Cik Raja ingat bagaimana beliau melayan kami dahulu yang sentiasa kerinduan kasih sayang keluarga yang jauh.  Entahlah mungkin itulah caranya yang terbaik dia melayan kami...?  Undang-undang di dewan makan, waktu makan mesti menggunakan sudu, gerpu dan pisau seperti adat makan orang putih.  Bagusnya latihan ini jadi kebiasaan tidak kekok bila berada di majlis rasmi.  Sarapan pagi hidangan biasa ialah telur rebus mesti ada, roti sapu butter dan jam, hari minggu nasi lemak atau mee hoon goreng.  Semua menu pun boleh tahan sedapnya.  Mak Long suka!  

Matron biasa memeriksa kebersihan kami baik dari segi pakaian maupun kebersihan diri.  Kalau didapati kami berkuku panjang atau pakai kain kembang terlalu pendek atau ketat nasiblah siapa yang kena...   Niatnya tentu baik tetapi cara matron menyampaikan tidak sesuai.   


Bergilir Memcuci Dewan Makan

Setiap pagi hujung minggu tidak ada kelas, kami cuci dewan makan dan bersihkan kawasan mengikut giliran asrama.  Hujung minggu juga hari pelawat (ibu bapa, keluarga) dibenarkan datang melawat.  Ada juga ibu bapa dari jauh datang menjengok anak mereka.  Biasanya pada hari-hari itu kami ramai-ramai duduk dalam kelas bersidai di tepi tingkap tengok pelawat datang.  Pelajar menerima pelawat di kantin sekolah.  Pelawat wanita dibenarkan melawat dalam asrama.  Pelawat lelaki mereka dihad di kawasan kantin sahaja.  Dua minggu sekali kami dapat menikmati menonton wayang gambar di dewan besar sekolah.  Kami bayar 25 sen sahaja seorang untuk menonton.  Filem yang ditonton semuanya bagus-bagus dan baru.

Tuck Shop/kantin

Dulu di kantin ini menyediakan masakan kegemaran Mak Long iaitu mee rebus Johor masakan Mak Yah tukang masak kantin.  Setiap pelajar diberi wang saku oleh pihak kerajaan setiap bulan sebanyak MR10.00. Sebulan sekali cuti hujung minggu atau cuti awam kami dibenarkan keluar ke bandar Johor Bahru.   Bas awam disewa khas masuk kawasan sekolah mengambil kami yang inginkan keluar, sebelum pukul lima petang semua pelajar mesti berada di sekolah semula.  Wang RM10.00 itulah buat belanja.  Mak Long suka keluar tetapi tidak belanja selain dari bayar tambang bas.  Pelajar-pelajar yang tidak ada duit macam Mak Long bila sudah sampai di bandar, kami berjalan kaki melihat bandar dan taman di kawasan istana Sultan Johor. Mak Long guna duit itu untuk beli keperluan menulis dan melukis.  Mak Long suka dan sangat berminat dalam seni lukisan.  Mak Long dan kawan Siti Rukiah telah melukis sebuah lekaran pada dinding masuk ke sekolah.


Taman Bunga Di Istana Besar Sultan Johor -1966
Mek (Pet sister), Mak Long, Maimun Ibrahim, Jamilah Saleh dan Ruhani Jelani


Bersama Kakak-kakak srikandi 1967
Hadapan:  Mak Long dalam pelukan Kak Rashidah, (?), Kak Mun, (?)
Bediri:  Kak Zainab Arshad, Kak Atakyah, Kak Cik Min, Kak Fatanah dan Kak Raha Idris


Surau STF Kini

Bangunan surau ini baharu lagi.  Semasa zaman Mak Long dulu surau ini belum ada.  Kami solat di bilik solat yang disediakan setiap bangunan asrama.











Nota:  Penuhi dada kamu dengan ilmu yang baik untuk kejayaan dunia dan akhirat






12 comments:

  1. SALAM MAK LONG LAMA SAYA TAK BAGI KOMEN.STF MEMANG BANYAK MELAHIRKAN AHLI POLITIK DAN CENDIKIAWAN WANITA MELAYU STF INI JUGA BERDEKATAN DENGAN RUMAH SAYA DI BANDAR BBU,TAMPOI.ELOK LAH KERAJAAN MEMBERIKAN PERHATIAN DENGAN MENGUBAHSUAI BANGUNAN STF YANG NAMPAK UZUR SEJAJAR DENGAN ARUS PEMODENAN JB

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih kerana masih sudi menjengok laman blog Mak Long. STF ialah satu-satunya sekolah berasrama penuh selain dari Kolej Tengku Kursiah yang menempatkan anak-anak puteri bumiputera sahaja. Sudah lama tidak ke Johor Bahru pastinya banyak perubahan ketara.

      Delete
  2. I still recall the years in the mid 1950's when a couple of my girl relatives were sent to MWTC, who later came out to be come teachers. It was then the women's conterpart of Sultan IdrisTTC in Tg Malim where my would be FIL was a lecturer. I read about these two TTC with nostalgia. How I wish they remain to become a perstigious establishment the likes of LSE (Londo School of Economics), MIT ( Mass Inst of Tech) and IC (Ipoerial College), all of which have become among world leaders in their specialisation, without our unrealistic ambition turning everything into UNIVERSITY, in the process becoming a 'pariah' in world education. You and I come from generations that were highly regarded in respect of education, especially in English, and our Malay was of higher standard that what it is today, a rojak language.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mak Long sangat setuju dengan komen yang diberi. Zaman berubah maka mutu pendidikan yang kita bangga serta hormati dulu pun turut diubah. Yang sedihnya perubahan itu kononnya mengikut peredaran semasa lebih tinggi taraf setanding dan sejajar dengan zaman teknologi kini. Tetapi mereka lupa, mereka membunuh keaslian dan mutu bahasa mengakibatkan kejangalan di mata dan di telinga. Lebih menghampakan lagi mereka yang bergelar guru/pendidik sepatutnya menitik-beratkan penggunaan bahasa yang betul dan baik. Apa nak jadi ya....?

      Delete
  3. Salaam hormat

    Terima kasih atas lawat balas ke Almanar. Seperti yang dapat dlilehat saya banyak memumpukan pendidikian anak anak yang tercicir. Ada juga kadang kala saya ingin bertanya maklumat dari pelawat saya, tetapi melalui email, jika mereka bersetuju. Boleh saya dapat cara menghubungi Puan? Email saya; almanar@pd.jaring.my. Kalau Puan bermustatin di USA lagi bangak bahan maklumat yang berharga.

    ReplyDelete
  4. Salam saya SK90. Mmg banyak kenangan di stf dan mengajar saya menjadi manusia yang berjaya. saya sangat rindu zaman2 beada di stf

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Marini,

      Alhamdulillah, syabas dan tahniah Mak Long ucapkan untuk Marini. STF memberi peluang dan berjaya mendidik anak-anak bumiputera terpilih ke mercu kejayaan justeru meningkatkan taraf hidup orang Melayu khasnya. Mak Long SK68, sudah 46 tahun berlalu. Ingatan hidup membesar di bawah bumbung STF masih mekar di ingatan.

      Delete
  5. a beautiful school in Asia, Scola Ton Fatemah (STF) . a pleasent and charming view ...i missed it... Loves from Hamburg, Germany....

    ReplyDelete
  6. Adakah para pelajar yang beragama cina dan india tidak dibenarkan belajar di STF?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Haah ni sekolah perempuan melayu dan islam sahaja drpd tingkatan 1-5 dan keputusan upsr atau pt3 mestilah yang terbaik untuk masuk stf😊

      Delete
  7. pada asal nya hanya pelajar melayu islam dari sekolah melayu d luar bandar d beri peluang untok melanjutkan pelajaran mereka k aliran bahasa inggeris d stf....akan tetapi pada pertengahan tahun 1970'an pelajar bangsa cina dan india juga telah d ambil setelah tiada lagi aliran bahasa inggeris atau melayu dan d gantikan oleh aliran kebangsaan.

    ReplyDelete
  8. pada asal nya hanya pelajar melayu islam dari sekolah melayu d luar bandar d beri peluang untok melanjutkan pelajaran mereka k aliran bahasa inggeris d stf....akan tetapi pada pertengahan tahun 1970'an pelajar bangsa cina dan india juga telah d ambil setelah tiada lagi aliran bahasa inggeris atau melayu dan d gantikan oleh aliran kebangsaan.

    ReplyDelete