Assalamualaikum,
Di luar kalau tiada angin utara bertiup, sejuknya tidaklah seberapa sangat. Berat hati hendak buka pintu memulakan tugas harian. Banyak kerja menunggu, baik di luar rumah mahu pun dalam rumah. Nun di belakang rumah, tanah batas sudah sedia menunggu budi. Pak Long sudah siapkan elok-elok untuk tanam bawang. Rasa hendak demam pun ada. Sakit kepala terasa hendak keluar otak! Hendak dikatakan banyak berfikir, itu pun tidak.
Belek-belek beberapa gambar yang tersimpan, terjumpa pula gambar lama ini; membuat hati membuak-buak kerinduan pada Emak di tanah air. Aduh seksanya hati! Sudah masuk enam bulan Mak Long balik Texas. Sudah sampai masa memikirkan tarikh untuk pulang. Kalaulah Emak sihat dan boleh berjalan jauh memang sudah lama Emak tinggal bersama-sama kami.
Gambar lama ini adalah adik beradik Emak berempat beradik dari satu ibu pertama. Semua sudah lama tiada meninggalkan kami. Yang tinggal dalam gambar ini ialah Emak, Kak Milah (sebelah kanan) dan Mak Long. Adik beradik dari ibu kedua mempunyai lapan orang...ramai!
Budak comel tidak pakai kasut dalam pangkuan Emak itulah Mak Long hahaha perasan konon comel! Menurut kata Emak, waktu itu Mak Long masih belum boleh berjalan lagi, bercakap bijak!. Bergerak dengan mengesot laju macam lipas kudung. Tidak sangka pula bila sudah tua, panjang langkah.... Segalanya itu adalah sesuatu yang sudah ditentukan oleh Nya.












