Pages

Sunday, November 3, 2013

Nota Texas Longhorn

Assalamualaikum,




Texas Longhorn


Semenjak menjejakkan kaki di bumi Texas hampir tujuh belas tahun lalu, Mak Long mendapati sesuatu kelainan yang istimewa dalam ternakan lembu di negeri ini.  Berbagai jenis lembu terdapat di Amerika Utara.  Lembu untuk susu, lembu untuk daging, lembu untuk pertandingan rodeo dan lain-lain lagi.  Bermacam-macam nama diberikan kepada lembu-lembu mengikut jenis dan baka seperti American angus, American beef friesian, blue lingo, beefalo, Texas Longhorn dan banyak lagi yang Mak Long tidak tahu.  


Texas Longhorn

Satu jenis baka lembu yang Mak Long dapati istimewa di sini ialah Texas Longhorn.  Apa yang uniknya Texas Longhorn?  Apakah yang menjadikan Texas Longhorn berlainan daripada semua jenis baka lembu yang terdapat di Amerika?  Jawapannya hanyalah Texas Longhorn mampu menyesuaikan hidup mereka dalam semua suasana dan cuaca di mana sahaja di bumi Amerika.  Mereka hidup liar tanpa perlu perhatian dan dikatakan tidak mempunyai penyakit seperti lembu biasa lain. Texas Longhorn ialah hasil dari kacukan lembu dari Spanyol dan England yang dibawa masuk ke benua ini hampir 500 ratus tahun dahulu.  Hasil kacukan asli dari dua jenis lembu yang berlainan baka tanpa bantuan atau usaha manusia, justeru  hasilnya ialah Texas Longhorn.



Texas Longhorn

Texas Longhorn sejenis lembu yang unik mempunyai sifat-sifat istimewa terdapat pada tanduk dan warna.  Tanduk longhorn panjang dengan ukuran menjangkau hingga tujuh kaki dari hujung tanduk ke hujung tanduk.  Sedangkan lembu jenis biasa panjang tanduk mereka hanya antara 36 inci ke 80 inci sahaja panjangnya diukur dari hujung tanduk ke hujung tanduk.  Satu lagi keistimewaan longhorn mempunyai kelainan warna yang berbeza.  Setengahnya hanya mempunyai satu warna merah terang atau putih.  Setengahnya pula berwarna campur dan bertompok-tompok putih dengan hitam atau merah dengan putih.  Texas Longhorn yang mempunyai baka istimewa pula boleh dijual dengan harga USD40,000.00 seekor.  Dalam satu jualan lelong seekor Texas longhorn jantan telah berjaya dilelong dengan harga tertinggi iaitu USD170,000.



Texas Longhorn

Texas Longhorn ini masih muda usianya kerana tanduknya masih agak pendek lagi.



Lembu Angus

Di Texas, penternak lembu membiarkan lembu mereka berkeliaran di ladang ternak (ranch)



Lembu Angus Merah

Menurut sejarah dalam Peperangan Saudara (Civil War) di Amerika, dengan pupusnya bison (sejenis kerbau) mereka kekurangan bekalan makanan daging.  Mereka perlukan bekalan daging, justeru Texas Longhorn telah dihantar dari Texas ke beberapa negeri di utara Amerika iaitu Nebraska, Wyoming, Dakotas dan Montana yang mempunyai kawasan ragut yang baik.  

Kedatangan penjajah Amerika (Orang Inggeris, Perancis, Pertugis dan lain-lain) terutama orang Inggeris berhasrat menghapuskan semua puak orang Red Indian yang sejak asal-asal lagi menjadi peribumi Amerika.  Kononnya orang Red Indian itu jahat tambahan puak mereka tidak ada tertulis dalam kitab Injil mereka.  Langkah jahat mereka ialah menghapus hampir semua baka bison yang menjadi bahan makanan utama, pakaian dan alat-alat lain bagi orang-orang Red Indian.  Ramai orang Red Indian mati kebuluran ketika itu.  Namun era kecermerlangan Texas Longhorn tidak lama disebabkan berbagai jenis baka lembu lain telah dibawa masuk ke negeri itu sebagai bahan makanan rakyat.



Bison (kerbau) 

Dalam gambar di atas ialah kumpulan bison yang diternak di Zion Park, Utah.  Kami telah singgah di padang ternak ketika perjalanan kami ke Utah dua tahun lalu.  Beberapa usaha mengkacukkan bison dengan lembu telah diusahakan.  Lembu hasil kacukan itu dipanggil beefalo.



Bison

Menyedari baka Texas Longhorn hampir pupus, pihak kerajaan telah mengambil langkah untuk menyelamatkan baka lembu tersebut.  Dalam tahun 1927 usaha pembiakan longhorn  semula telah diambil.  Beberapa penternak lembu di Texas juga mengambil langkah untuk menternak Texas Longhorn di ladang ternak mereka.  



Lembu biasa 


Didapati juga khasiat daging Texas Longhorn jauh lebih baik dari daging lembu biasa.  Dagingnya kurang berlemak, lembut dan lebih enak dimakan.  Penternak lembu mendapati pertumbuhan untuk membesarkan Texas Longhorn mengambil masa lebih lama daripada lembu biasa.  Dari segi ekonomi pula, ternakan Texas Longhorn sebagai bekalan daging kepada orang ramai tidak mendatangkan hasil yang baik kerana Texas Longhorn mengambil masa yang lama untuk membesar.  



Texas Longhorn

Texas Longhorn dikatakan tidak bertindak garang dan boleh ditunggang seperti kuda. 















No comments:

Post a Comment