Pages

Thursday, November 14, 2013

Nota Ke Dallas

Assalamualaikum,

Hati Mak Long tidak sabar menunggu hari  Jumaat datang.  Pak Long berjanji hendak pergi ke Dallas; hendak tengok pamiran motorsikal dari berbagai jenis baru dan lama di Convention Center, Dallas mulai hari Sabtu.  Mak Long tidaklah berminat benar hendak melihat pamiran itu, buat penat kaki berjalan sahaja.  Yang penting bagi Mak Long ialah hendak menemui puteri S kesayangan kini tinggal di Dallas.  Seperti ibu-ibu lain yang sentiasa merindui anak-anak mereka yang berjauhan, Mak Long juga sangat merindui Puteri S walau pun minggu lepas beliau telah pun meluangkan masa menjengok kami di rumah.  Kami tidak bermalam di rumahnya, sebaliknya kami menginap di Hampton Inn.  Alasan Pak Long, rumah Puteri S ada satu bilik sahaja susah hendah guna bilik kecil!  Ada-ada sahaja Pak Long nih!



Dallas, Texas

Pada hari Jumaat itu pukul sembilan pagi lagi kami sudah dalam perjalanan menuju ke Dallas.  Lalu lintas sibuk terutama bila kami sampai di Bandaraya Austin.  Dengan bantuan GPS menunjuk jalan kami selamat sampai di Hampton Inn jam dua petang.  Tidak tahulah dapatkah kami cari Hampton Inn tanpa bantuan GPS?  Mungkin sukar juga sebab kami tidak biasa di Dallas.  Inilah satu daripada kebaikan dan kepentingan adanya kuasa satelite terkini.  

Sementara menunggu Puteri S balik dari kerja kami berihat-rihat sambil minum kopi panas.  Di luar sana sejuk sampai ke tulang!  Orang tua berjalan jauh sedikit cepat berasa penatnya, tidak macam zaman muda-muda dulu sentiasa bertenaga.   Puteri S habis kerja jam lima petang dan dia terus sahaja datang ke hotel menemui kami secepat mungkin.  Hilang rasa rindu Mak Long bila sudah melihat batang hidung dan senyuman manis Puteri.  Malam itu Mak Long berselera sungguh makan malam bersama.  Puteri S berjanji membawa kami ke pamiran motorsikal ke esokan paginya di Convention Centre.  Orang muda-muda mudah ingat jalan tidak kira di mana.  Bagi Mak Long sekarang janganlah tanya arah jalan, sesatlah jadinya.



Dallas Convention Center


Bangunan Sekitar Convention Center

Gambar di bawah adalah di antara motorsikal yang dipamirkan.  Beratus buah motorsikal dipamirkan dari jenama Harley Davidson, Triumph, BMW hinggalah Honda, Kawasaki dan sebagainya.  Ada juga jenama yang tidak pernah didengar sebelum ini pun ada.  









Triumph




Dirt Bike





Triumph


"Hello Pretty!..." Kata burung kakak tua

Kami bertemu Mat Saleh ini dengan seekor burung kakak tua yang pandai bercakap.  Dia mengembangkan sayapnya kepada Puteri S menunjukkan ia suka padanya.  Burung pun pandai hendak mengurat!

Lama juga kami di pamiran itu tunggu Pak Long membelek, membaca penerangan motor-motor.  Berminat sungguh dengan motorsikal terutama Harley Davidson.  Perut pun sudah berkeruncong minta diisi.  


Sejarah Texas Longhorn 

Di luar berhampiran dengan bangunan Convention Center terdapat gambaran istimewa iaitu bentuk beratus ekor lembu Texas Longhorn dibuat dari logam sedang turun dan naik bukit serta melalui sungai dan lurah.  Beberapa bentuk lembaga cowboy pula menunggang kuda  seolah-olah sedang mengawasi Texas Longhorn menuju ke suatu arah.  Sejarah Texas Longhorn pernah Mak Long ceritakan bertajuk "Texas Longhorn" pada awal bulan November, 2013 baru-baru ini.

Dalam perjalanan kami ke tempat makan, Pak Long ternampak pula satu pamiran kereta lama dan kereta mewah berhampiran tidak jauh dari kawasan Convention Center.  Dia minta Puteri S berhenti dan melihat pamiran kereta pula.....  Tertangguhlah lagi perut kosong buat seketika.



Kawasan Pamiran Kereta


Kereta dua alam

Kereta di atas "The Shark" boleh diguna dua alam iaitu di darat sebagai kereta dan di dalam air sebagai boat.  Di bahagian belakang di bawah bersebelahan dengan tayar ada dua kipas (propeller).


Corvette 2014

Ferrari

Lamborghini Reventon

Kereta lama


Akhirnya hampir pukul tiga petang baru beredar dari tempat pamiran kereta di atas.  Perut pun sudah hendak merajuk kelaparan....  Sebenarnya banyak kereta-kereta mewah dipamirkan seperti Lamborghini, Ferrari, Porsche dan lain-lain.  Yang menariknya pemilik-pemilik kereta itu kebanyakan dari warga emas.


Salad kale, pecan dan avacado

Hari itu Puteri S beria benar hendak belanja kami makan tengahari di restauran vegetarian....hasil gaji pertamanya.  Alhamdulillah.. Ya Allah semuga Engkau tambah dan murahkan lagi rezeki anak ku....


Buah petola

Menurut kata Puteri, restauran ini menggunakan hampir semua bahan sayuran hasil dari tanaman mereka sendiri di belakang restauran dan pelanggan dibenarkan melihat tanaman mereka. 

Selepas makan Puteri membawa kami ke pusat beli-belah terkenal di Dallas iaitu Northpark Mall.  Besar sungguh pusat beli-belah tersebut.  Kami tidak membeli apa-apa pun cuma tengok-tengok sahaja.  Hujung minggu begitu terlalu ramai penggunjung datang.  Bukan datang untuk membeli belah sahaja, macam kami juga sahaja tenggok-tenggok "window shopping" cakap orang putihnya.  Berbagai jenis barang berjenma terkenal ada.  Harga pun boleh tahan juga!  Yang menjadi istimewa pusat ini ialah di seluruh ruang kosong diindahkan dengan berbagai seni, lukisan dan hiasan yang ditukar ganti mengikut musim.  Ketika dalam lawatan kami temanya adalah musim luruh.  Berbagai jenis labu dan cactus serta pokok X'mas ada dihiasi.



















Tidak pun habis kami pusing pusat beli belah.  Mak Long sudah tidak tahan penat berjalan.  Kaki sudah rasa hendak patah kepenatan.  Pak Long sukalah sebab kami boleh balik ke hotel.  












Thursday, November 7, 2013

Nota Pokok Limau Nipis Ku!

Assalamualaikum,


Pagi-pagi seperti biasa selepas Subuh Mak Long ke dapur jerang air buat kopi.  Sambil lalu ke dapur intai keluar tingkap.  Aduhai!!  Apa dah jadi dengan pokok limau nipis kesayangan Mak Long?  Satu dahan dengan buahnya terkopak jatuh ke bumi....  Sampainya hati kau rusa!  Tidak pun dimakannya daun dan buah, saja jahat memusnahkan tanaman.  Seminggu lepas pokok cactus kesayangan Pak Long dirosakkan.  Sedih ... apakan daya.. diberi makan atau tidak diberi makan setiap hari pun sama.  Dahlah rebeh sebelah pokok limau nipis Mak Long!  Harap-harap pokok itu tak mati, tambah-tambah cuaca sejuk sekarang.  Nanti Mak Long nak balut batangnya dengan kain dan plastik macam tahun-tahun lepas bila terlalu sejuk.



Cactus 

Inilah hasil kerja rusa yang sering merosakkan tanaman.  Pada hal cactus itu berduri keras bukan main lagi.  Ranab dan punah dibuatnya ..dimakan tidak!  Dipagar atau tidak sama sahaja.  Rusa boleh melompat pagar setinggi 6-8 kaki tinggi.

Pak Long cakap "I will stop feeding them after those bags of corn are finished!!!!!...."  Yalah tu!  




Rusa betina


Inilah rupa musuh ketat Mak Long!  Toya jer rupa muka dia......










Monday, November 4, 2013

Nota Maal Hijrah

Bismillahirrahmannirahim,



Ya Allah, Ya Rabbi
Berilah kami cahaya dan hidayah serta petunjuk 

Ke jalan yang lurus lagi benar
Sebagaimana Engkau telah memberi petunjuk
kepada mereka-mereka yang terdahulu



Hari ini adalah hari mulia bagi umat Islam.  Tammatnya tahun 1434H berganti dengan tahun baharu 1435H.  Di kesempatan ini Mak Long dan keluarga mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1435H.  Semuga penghijrahan ke tahun baharu ini akan memberi barkah untuk kita dan berazam lebih untuk meninggikan lagi ketakwaan dan amalan dunia dan akhirat.








Sunday, November 3, 2013

Nota Texas Longhorn

Assalamualaikum,




Texas Longhorn


Semenjak menjejakkan kaki di bumi Texas hampir tujuh belas tahun lalu, Mak Long mendapati sesuatu kelainan yang istimewa dalam ternakan lembu di negeri ini.  Berbagai jenis lembu terdapat di Amerika Utara.  Lembu untuk susu, lembu untuk daging, lembu untuk pertandingan rodeo dan lain-lain lagi.  Bermacam-macam nama diberikan kepada lembu-lembu mengikut jenis dan baka seperti American angus, American beef friesian, blue lingo, beefalo, Texas Longhorn dan banyak lagi yang Mak Long tidak tahu.  


Texas Longhorn

Satu jenis baka lembu yang Mak Long dapati istimewa di sini ialah Texas Longhorn.  Apa yang uniknya Texas Longhorn?  Apakah yang menjadikan Texas Longhorn berlainan daripada semua jenis baka lembu yang terdapat di Amerika?  Jawapannya hanyalah Texas Longhorn mampu menyesuaikan hidup mereka dalam semua suasana dan cuaca di mana sahaja di bumi Amerika.  Mereka hidup liar tanpa perlu perhatian dan dikatakan tidak mempunyai penyakit seperti lembu biasa lain. Texas Longhorn ialah hasil dari kacukan lembu dari Spanyol dan England yang dibawa masuk ke benua ini hampir 500 ratus tahun dahulu.  Hasil kacukan asli dari dua jenis lembu yang berlainan baka tanpa bantuan atau usaha manusia, justeru  hasilnya ialah Texas Longhorn.



Texas Longhorn

Texas Longhorn sejenis lembu yang unik mempunyai sifat-sifat istimewa terdapat pada tanduk dan warna.  Tanduk longhorn panjang dengan ukuran menjangkau hingga tujuh kaki dari hujung tanduk ke hujung tanduk.  Sedangkan lembu jenis biasa panjang tanduk mereka hanya antara 36 inci ke 80 inci sahaja panjangnya diukur dari hujung tanduk ke hujung tanduk.  Satu lagi keistimewaan longhorn mempunyai kelainan warna yang berbeza.  Setengahnya hanya mempunyai satu warna merah terang atau putih.  Setengahnya pula berwarna campur dan bertompok-tompok putih dengan hitam atau merah dengan putih.  Texas Longhorn yang mempunyai baka istimewa pula boleh dijual dengan harga USD40,000.00 seekor.  Dalam satu jualan lelong seekor Texas longhorn jantan telah berjaya dilelong dengan harga tertinggi iaitu USD170,000.



Texas Longhorn

Texas Longhorn ini masih muda usianya kerana tanduknya masih agak pendek lagi.



Lembu Angus

Di Texas, penternak lembu membiarkan lembu mereka berkeliaran di ladang ternak (ranch)



Lembu Angus Merah

Menurut sejarah dalam Peperangan Saudara (Civil War) di Amerika, dengan pupusnya bison (sejenis kerbau) mereka kekurangan bekalan makanan daging.  Mereka perlukan bekalan daging, justeru Texas Longhorn telah dihantar dari Texas ke beberapa negeri di utara Amerika iaitu Nebraska, Wyoming, Dakotas dan Montana yang mempunyai kawasan ragut yang baik.  

Kedatangan penjajah Amerika (Orang Inggeris, Perancis, Pertugis dan lain-lain) terutama orang Inggeris berhasrat menghapuskan semua puak orang Red Indian yang sejak asal-asal lagi menjadi peribumi Amerika.  Kononnya orang Red Indian itu jahat tambahan puak mereka tidak ada tertulis dalam kitab Injil mereka.  Langkah jahat mereka ialah menghapus hampir semua baka bison yang menjadi bahan makanan utama, pakaian dan alat-alat lain bagi orang-orang Red Indian.  Ramai orang Red Indian mati kebuluran ketika itu.  Namun era kecermerlangan Texas Longhorn tidak lama disebabkan berbagai jenis baka lembu lain telah dibawa masuk ke negeri itu sebagai bahan makanan rakyat.



Bison (kerbau) 

Dalam gambar di atas ialah kumpulan bison yang diternak di Zion Park, Utah.  Kami telah singgah di padang ternak ketika perjalanan kami ke Utah dua tahun lalu.  Beberapa usaha mengkacukkan bison dengan lembu telah diusahakan.  Lembu hasil kacukan itu dipanggil beefalo.



Bison

Menyedari baka Texas Longhorn hampir pupus, pihak kerajaan telah mengambil langkah untuk menyelamatkan baka lembu tersebut.  Dalam tahun 1927 usaha pembiakan longhorn  semula telah diambil.  Beberapa penternak lembu di Texas juga mengambil langkah untuk menternak Texas Longhorn di ladang ternak mereka.  



Lembu biasa 


Didapati juga khasiat daging Texas Longhorn jauh lebih baik dari daging lembu biasa.  Dagingnya kurang berlemak, lembut dan lebih enak dimakan.  Penternak lembu mendapati pertumbuhan untuk membesarkan Texas Longhorn mengambil masa lebih lama daripada lembu biasa.  Dari segi ekonomi pula, ternakan Texas Longhorn sebagai bekalan daging kepada orang ramai tidak mendatangkan hasil yang baik kerana Texas Longhorn mengambil masa yang lama untuk membesar.  



Texas Longhorn

Texas Longhorn dikatakan tidak bertindak garang dan boleh ditunggang seperti kuda. 















Friday, November 1, 2013

Nota Canyon Lake, Texas

Assalamualaikum,



Canyon Lake




Canyon Lake adalah sebuah tasik dan airnya megalir dari Sungai Guadalupe (gua-da-lupee).    Ia terletak di Texas Hill Country iaitu bahagian utara/tengah Texas.  Menurut United States Census Bureau, Canyon Lake mempunyai keluasan lebih kurang 156.9 batu persegi (406 km persegi) termasuklah kawasan perairan dan tanah.  Ia juga satu-satunya tasik terdalam di Texas.  Canyon Lake terletak di antara dua bandaraya iaitu San Antonio dan Austin (ibu negeri Texas).  Dua bandar lebih kecil terdekat sekali ialah San Marcos dan New Braunfels.  



Guadalupe River

Canyon Lake terbahagi kepada lima daerah kecil.  Di sebelah utara adalah dua buah pekan kecil Hancock dan Canyon City.  Kami sekeluarga tinggal dalam daerah ini.  Canyon Lake Marina pula terletak di persisiran pantai utara berdekatan dengan Canyon Park dalam daerah Hancock.  Di situ terdapat dua buah Yacht Club yang mampu menempatkan banyak boat berinjin laju dan kapal layar.  Beberapa pengkalan untuk menurunkan boat ke air di tasik juga disediakan bagi pengguna-pengguna boat.  Pengguna dan pelawat berpeluang untuk menikmati sukan air seperti berenang, memancing, bermain tube, berkelah dan lain-lain aktiviti lagi.

Aktiviti lain ialah memburu rusa yang dibenarkan adalah dalam bulan November hingga Februari, menunggang kuda dan merentas desa.  Untuk memburu rusa, pemburu dikenakan membayar lesen memburu dan bilangan rusa yang ditangkap juga dihadkan lima ekor seorang untuk setahun.  Bilangan tangkap biasanya dikurangka atau ditambah mengikut biaknya rusa.




Canyon Lake Daerah Selatan

Empangan sepanjang 5 km dengan ketinggian 224 kaki telah dibina oleh U.S. Army Corps of Engineers dalam tahun 1958 dan siap pembinaannya dalam tahun 1964.  Penduduk dan pelawat boleh berjalan dan bersiar-siar di atas empangan itu untuk senaman atau bersantai menikmati keindahan pemandangan tasik dan air di sepanjang empangan itu.  Mak Long suka berjalan kaki setiap pagi sebelum matahari naik tinggi.

Di daerah selatan Canyon Lake pula ialah Sattler, Startzville, dan Crane's Mill.  Crane's Mill Marina terletak di kawasan ini.

Bilangan penduduk dianggarkan seramai 21,262 dalam tahun 2010.  Penduduk di sini terdiri dari orang-orang kulit putih dan Mexican.  Mata pencarian boleh dikatakan kebanyakan mereka mengendalikan aktiviti perlancungan, perniagaan kecil-kecilan juga berternak lembu dan kambing/kambing biri-biri.  Mereka yang berternak kebanyakan mempunyai ladang besar dipanggil "ranch".  Keluasan tanah mereka mencecah beratus ekar bagi setiap penternak.  Boleh dikatakan mewah jugalah hidup mereka.  Begitu juga banyak rumah-rumah besar dan cantik dibina di sini.  Kebanyakan rumah-rumah itu rumah kedua kepada orang-orang berada. 

Setiap daerah kecil ini mempunyai sekolah rendah masing-masing dan sebuah sekolah peringkat  tinggi iaitu Canyon Lake High School bagi keseluruh Canyon Lake.  




Bencana Kebakaran Musim Kemarau
Bastrop, Texas


Bencana Kebakaran

Tahun lepas seluruh Texas Hill Country mengalami kemarau teruk sepanjang dalam musim panas tanpa hujan hinggalah masuk ke musim luruh.  Keadaan kering ini menyebabkan aras air susut mendadak di Canyon Lake dan di Sungai Guadalupe.  Tanaman, pokok dan tumbuhan banyak mati kekeringan.  Larangan membakar telah dikuat-kuasakan di sepanjang musim panas tahun lepas.  Beberapa daerah seperti daerah Bastrop terjadi kebakaran menyebabkan hampir setengah penduduk di situ mengalami bencana kebakaran itu hingga tinggal sehelai sepinggang.  Mereka yang mempunyai insuran bernasib baiklah dapat pampasan tetapi bagi mereka yang tiada dan tidak mampu membeli insuran terpaksalah menerima bantuan belas ikhsan dari orang ramai.



Matahari Terbit




Pemandangan ini ialah ketika matahari terbit di awal pagi.












Matahari Terbenam



Keindahan setiap hari kalau tidak hujan di sekitar kediaman kami di Canyon Lake.














Canyon Lake 
Musim Bunga




Latar belakang itu adalah empangan.













Musim Bunga






Pemandangan ini di awal musim bunga.  Semua tumbuhan akan tumbuh segar dan berlumba-lumba mengeluarkan bunga.








Sungai Guadalupe
Musim Panas







Pengemar sukan air "tubing" di Sungai Guadalupe dalam musim panas.  Selain tubing ialah berkayak.








Sungai Guadalupe
Musim Panas



Orang Amerika, kalau dalam musim panas, air juga  yang dicari.  Tidak kiralah sungai ke, di kolam ke, di tasik ke atau di mana-mana sahaja asalkan ada air untuk menyejukan badan.  Sanggup bersesak-sesak macam sardin dalam tin.









Ditepian Sungai Guadalupe
Musim Luruh


Pemandangan ketika musim luruh berakhir masuk ke musim sejuk.  Dedaun sudah luruh, yang tinggal hanyalah pokok dan ranting.  Pokok yang tumbuh hidup dan tinggi itu dipanggil pokok "cypress".  Pokok ini suka akar dan umbinya di dalam air.  Ia akan mati kalau tidak ada air.









Rusa Berkeliaran
Musim Sejuk


Dalam musim sejuk pokok oak dan pokok cedar daunnya tidak bertukar warna dan  tidak luruh seperti pokok cypress dan lain-lain jenis pokok.