Pages

Monday, November 4, 2013

Nota Maal Hijrah

Bismillahirrahmannirahim,



Ya Allah, Ya Rabbi
Berilah kami cahaya dan hidayah serta petunjuk 

Ke jalan yang lurus lagi benar
Sebagaimana Engkau telah memberi petunjuk
kepada mereka-mereka yang terdahulu



Hari ini adalah hari mulia bagi umat Islam.  Tammatnya tahun 1434H berganti dengan tahun baharu 1435H.  Di kesempatan ini Mak Long dan keluarga mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1435H.  Semuga penghijrahan ke tahun baharu ini akan memberi barkah untuk kita dan berazam lebih untuk meninggikan lagi ketakwaan dan amalan dunia dan akhirat.








Sunday, November 3, 2013

Nota Texas Longhorn

Assalamualaikum,




Texas Longhorn


Semenjak menjejakkan kaki di bumi Texas hampir tujuh belas tahun lalu, Mak Long mendapati sesuatu kelainan yang istimewa dalam ternakan lembu di negeri ini.  Berbagai jenis lembu terdapat di Amerika Utara.  Lembu untuk susu, lembu untuk daging, lembu untuk pertandingan rodeo dan lain-lain lagi.  Bermacam-macam nama diberikan kepada lembu-lembu mengikut jenis dan baka seperti American angus, American beef friesian, blue lingo, beefalo, Texas Longhorn dan banyak lagi yang Mak Long tidak tahu.  


Texas Longhorn

Satu jenis baka lembu yang Mak Long dapati istimewa di sini ialah Texas Longhorn.  Apa yang uniknya Texas Longhorn?  Apakah yang menjadikan Texas Longhorn berlainan daripada semua jenis baka lembu yang terdapat di Amerika?  Jawapannya hanyalah Texas Longhorn mampu menyesuaikan hidup mereka dalam semua suasana dan cuaca di mana sahaja di bumi Amerika.  Mereka hidup liar tanpa perlu perhatian dan dikatakan tidak mempunyai penyakit seperti lembu biasa lain. Texas Longhorn ialah hasil dari kacukan lembu dari Spanyol dan England yang dibawa masuk ke benua ini hampir 500 ratus tahun dahulu.  Hasil kacukan asli dari dua jenis lembu yang berlainan baka tanpa bantuan atau usaha manusia, justeru  hasilnya ialah Texas Longhorn.



Texas Longhorn

Texas Longhorn sejenis lembu yang unik mempunyai sifat-sifat istimewa terdapat pada tanduk dan warna.  Tanduk longhorn panjang dengan ukuran menjangkau hingga tujuh kaki dari hujung tanduk ke hujung tanduk.  Sedangkan lembu jenis biasa panjang tanduk mereka hanya antara 36 inci ke 80 inci sahaja panjangnya diukur dari hujung tanduk ke hujung tanduk.  Satu lagi keistimewaan longhorn mempunyai kelainan warna yang berbeza.  Setengahnya hanya mempunyai satu warna merah terang atau putih.  Setengahnya pula berwarna campur dan bertompok-tompok putih dengan hitam atau merah dengan putih.  Texas Longhorn yang mempunyai baka istimewa pula boleh dijual dengan harga USD40,000.00 seekor.  Dalam satu jualan lelong seekor Texas longhorn jantan telah berjaya dilelong dengan harga tertinggi iaitu USD170,000.



Texas Longhorn

Texas Longhorn ini masih muda usianya kerana tanduknya masih agak pendek lagi.



Lembu Angus

Di Texas, penternak lembu membiarkan lembu mereka berkeliaran di ladang ternak (ranch)



Lembu Angus Merah

Menurut sejarah dalam Peperangan Saudara (Civil War) di Amerika, dengan pupusnya bison (sejenis kerbau) mereka kekurangan bekalan makanan daging.  Mereka perlukan bekalan daging, justeru Texas Longhorn telah dihantar dari Texas ke beberapa negeri di utara Amerika iaitu Nebraska, Wyoming, Dakotas dan Montana yang mempunyai kawasan ragut yang baik.  

Kedatangan penjajah Amerika (Orang Inggeris, Perancis, Pertugis dan lain-lain) terutama orang Inggeris berhasrat menghapuskan semua puak orang Red Indian yang sejak asal-asal lagi menjadi peribumi Amerika.  Kononnya orang Red Indian itu jahat tambahan puak mereka tidak ada tertulis dalam kitab Injil mereka.  Langkah jahat mereka ialah menghapus hampir semua baka bison yang menjadi bahan makanan utama, pakaian dan alat-alat lain bagi orang-orang Red Indian.  Ramai orang Red Indian mati kebuluran ketika itu.  Namun era kecermerlangan Texas Longhorn tidak lama disebabkan berbagai jenis baka lembu lain telah dibawa masuk ke negeri itu sebagai bahan makanan rakyat.



Bison (kerbau) 

Dalam gambar di atas ialah kumpulan bison yang diternak di Zion Park, Utah.  Kami telah singgah di padang ternak ketika perjalanan kami ke Utah dua tahun lalu.  Beberapa usaha mengkacukkan bison dengan lembu telah diusahakan.  Lembu hasil kacukan itu dipanggil beefalo.



Bison

Menyedari baka Texas Longhorn hampir pupus, pihak kerajaan telah mengambil langkah untuk menyelamatkan baka lembu tersebut.  Dalam tahun 1927 usaha pembiakan longhorn  semula telah diambil.  Beberapa penternak lembu di Texas juga mengambil langkah untuk menternak Texas Longhorn di ladang ternak mereka.  



Lembu biasa 


Didapati juga khasiat daging Texas Longhorn jauh lebih baik dari daging lembu biasa.  Dagingnya kurang berlemak, lembut dan lebih enak dimakan.  Penternak lembu mendapati pertumbuhan untuk membesarkan Texas Longhorn mengambil masa lebih lama daripada lembu biasa.  Dari segi ekonomi pula, ternakan Texas Longhorn sebagai bekalan daging kepada orang ramai tidak mendatangkan hasil yang baik kerana Texas Longhorn mengambil masa yang lama untuk membesar.  



Texas Longhorn

Texas Longhorn dikatakan tidak bertindak garang dan boleh ditunggang seperti kuda. 















Friday, November 1, 2013

Nota Canyon Lake, Texas

Assalamualaikum,



Canyon Lake




Canyon Lake adalah sebuah tasik dan airnya megalir dari Sungai Guadalupe (gua-da-lupee).    Ia terletak di Texas Hill Country iaitu bahagian utara/tengah Texas.  Menurut United States Census Bureau, Canyon Lake mempunyai keluasan lebih kurang 156.9 batu persegi (406 km persegi) termasuklah kawasan perairan dan tanah.  Ia juga satu-satunya tasik terdalam di Texas.  Canyon Lake terletak di antara dua bandaraya iaitu San Antonio dan Austin (ibu negeri Texas).  Dua bandar lebih kecil terdekat sekali ialah San Marcos dan New Braunfels.  



Guadalupe River

Canyon Lake terbahagi kepada lima daerah kecil.  Di sebelah utara adalah dua buah pekan kecil Hancock dan Canyon City.  Kami sekeluarga tinggal dalam daerah ini.  Canyon Lake Marina pula terletak di persisiran pantai utara berdekatan dengan Canyon Park dalam daerah Hancock.  Di situ terdapat dua buah Yacht Club yang mampu menempatkan banyak boat berinjin laju dan kapal layar.  Beberapa pengkalan untuk menurunkan boat ke air di tasik juga disediakan bagi pengguna-pengguna boat.  Pengguna dan pelawat berpeluang untuk menikmati sukan air seperti berenang, memancing, bermain tube, berkelah dan lain-lain aktiviti lagi.

Aktiviti lain ialah memburu rusa yang dibenarkan adalah dalam bulan November hingga Februari, menunggang kuda dan merentas desa.  Untuk memburu rusa, pemburu dikenakan membayar lesen memburu dan bilangan rusa yang ditangkap juga dihadkan lima ekor seorang untuk setahun.  Bilangan tangkap biasanya dikurangka atau ditambah mengikut biaknya rusa.




Canyon Lake Daerah Selatan

Empangan sepanjang 5 km dengan ketinggian 224 kaki telah dibina oleh U.S. Army Corps of Engineers dalam tahun 1958 dan siap pembinaannya dalam tahun 1964.  Penduduk dan pelawat boleh berjalan dan bersiar-siar di atas empangan itu untuk senaman atau bersantai menikmati keindahan pemandangan tasik dan air di sepanjang empangan itu.  Mak Long suka berjalan kaki setiap pagi sebelum matahari naik tinggi.

Di daerah selatan Canyon Lake pula ialah Sattler, Startzville, dan Crane's Mill.  Crane's Mill Marina terletak di kawasan ini.

Bilangan penduduk dianggarkan seramai 21,262 dalam tahun 2010.  Penduduk di sini terdiri dari orang-orang kulit putih dan Mexican.  Mata pencarian boleh dikatakan kebanyakan mereka mengendalikan aktiviti perlancungan, perniagaan kecil-kecilan juga berternak lembu dan kambing/kambing biri-biri.  Mereka yang berternak kebanyakan mempunyai ladang besar dipanggil "ranch".  Keluasan tanah mereka mencecah beratus ekar bagi setiap penternak.  Boleh dikatakan mewah jugalah hidup mereka.  Begitu juga banyak rumah-rumah besar dan cantik dibina di sini.  Kebanyakan rumah-rumah itu rumah kedua kepada orang-orang berada. 

Setiap daerah kecil ini mempunyai sekolah rendah masing-masing dan sebuah sekolah peringkat  tinggi iaitu Canyon Lake High School bagi keseluruh Canyon Lake.  




Bencana Kebakaran Musim Kemarau
Bastrop, Texas


Bencana Kebakaran

Tahun lepas seluruh Texas Hill Country mengalami kemarau teruk sepanjang dalam musim panas tanpa hujan hinggalah masuk ke musim luruh.  Keadaan kering ini menyebabkan aras air susut mendadak di Canyon Lake dan di Sungai Guadalupe.  Tanaman, pokok dan tumbuhan banyak mati kekeringan.  Larangan membakar telah dikuat-kuasakan di sepanjang musim panas tahun lepas.  Beberapa daerah seperti daerah Bastrop terjadi kebakaran menyebabkan hampir setengah penduduk di situ mengalami bencana kebakaran itu hingga tinggal sehelai sepinggang.  Mereka yang mempunyai insuran bernasib baiklah dapat pampasan tetapi bagi mereka yang tiada dan tidak mampu membeli insuran terpaksalah menerima bantuan belas ikhsan dari orang ramai.



Matahari Terbit




Pemandangan ini ialah ketika matahari terbit di awal pagi.












Matahari Terbenam



Keindahan setiap hari kalau tidak hujan di sekitar kediaman kami di Canyon Lake.














Canyon Lake 
Musim Bunga




Latar belakang itu adalah empangan.













Musim Bunga






Pemandangan ini di awal musim bunga.  Semua tumbuhan akan tumbuh segar dan berlumba-lumba mengeluarkan bunga.








Sungai Guadalupe
Musim Panas







Pengemar sukan air "tubing" di Sungai Guadalupe dalam musim panas.  Selain tubing ialah berkayak.








Sungai Guadalupe
Musim Panas



Orang Amerika, kalau dalam musim panas, air juga  yang dicari.  Tidak kiralah sungai ke, di kolam ke, di tasik ke atau di mana-mana sahaja asalkan ada air untuk menyejukan badan.  Sanggup bersesak-sesak macam sardin dalam tin.









Ditepian Sungai Guadalupe
Musim Luruh


Pemandangan ketika musim luruh berakhir masuk ke musim sejuk.  Dedaun sudah luruh, yang tinggal hanyalah pokok dan ranting.  Pokok yang tumbuh hidup dan tinggi itu dipanggil pokok "cypress".  Pokok ini suka akar dan umbinya di dalam air.  Ia akan mati kalau tidak ada air.









Rusa Berkeliaran
Musim Sejuk


Dalam musim sejuk pokok oak dan pokok cedar daunnya tidak bertukar warna dan  tidak luruh seperti pokok cypress dan lain-lain jenis pokok.




























Sunday, October 27, 2013

Nota Pasar Lambak

Assalamualaikum,

Setiap tiga bulan sekali pada hari Sabtu penduduk di kampung kami Canyon Lake mengadakan hari pasar lambak.  Aktiviti ini diadakan di luar dan di dalam dewan serba guna kampung.  Bermacam-macam benda ada dijual terutama hasil dari kerjatangan penduduk seperti mangkok dan cawan yang diusahakan dari kayu oak, barang perhiasan dari batu permata, manik dan lain-lain.  Beberapa jenis makanan juga ada dijual.  Tidak ketinggalan pakaian, pokok-pokok bunga dan cactus.

Kebetulan semalam adalah harinya.  Pak Long dengan tetamu kami Barry pada hujung minggu ini sudah ada agenda mereka sendiri.  Mereka hendak melihat sebuah rumah untuk dijual.  Barry sedang mencari rumah yang sesuai untuk dibeli.  Hendak pindah dari tempatnya sekarang katanya untuk menghabiskan hidup bersara yang tidak lama lagi.  Mereka ajak Mak Long pergi bersama-sama mereka, tetapi Mak Long tidak berminat.  Lebih baik Mak Long pergi ke pasar lambak mungkin ada rezeki yang menarik hati.

Dewan serba guna itu tidaklah jauh dari rumah, lebih kurang enam batu sahaja di bawah lereh empangan Canyon Lake.  Apabila Mak Long sampai di situ, sudah ramai orang datang.  Hari itu nampaknya tidak berapa banyak pula jualan di bahagian luar dewan.  Biasa kawasan di luar penuh dengan perbagai barang dijual.  Sebenarnya Mak Long minat membeli madu lebah tempatan, tetapi sayang tidak ada pula.  Menurut kepercayaan makan madu lebah tempatan lebih baik kerana lebah-lebah itu mengumpul madunya dari bunga-bunga tempatan.  Madu tempatan berupaya menguatkan sistem imun (immune) iaitu sistem yang dapat melindungi badan daripada jangkitan penyakit seperti selesema dan alahan. 

Di dalam dewan penuh dengan macam-macam jualan.  Jiran kami Bob pun tidak ketinggalan memamirkan barang jualannya di suatu meja besar.  Ramai juga yang berminat melihat dan membeli mangkok dan cawan kayunya.  

Kali ini lain pula agendanya.  Ada persembahan tari menari di bahagian belakang.  Apabila Mak Long keluar dari dewan tarian gipsi sedang ditunjukkan.  




Tarian Gipsi (gypsy)

Mak Long singgah di sebuah gerai membeli secawan ice cream yang dibuat dari mangga dan strawberry tanpa gula.  Sedap juga makan duduk bersila di atas jalan mengadap penari itu menari.  Selepas penari itu tamat menari kami dialu-alukan membaling wang coin kepadanya.  Walaupun ada matahari, suhu masih dingin.  Kemudian ada beberapa persembahan tarian lagi.  Tarian Scotish, Irish dan Tango.  Saja suka-suka saksikan aktiviti penduduk kampung Canyon Lake.  Tarian Scottish mengingatkan waktu-waktu Mak Long di sekolah dahulu.  Kami belajar tarian Scottish dan Irish dengan guru senaman kami.  Di hari sukan kami membuat persembahan tarian itu siap dengan pakaian seragam Scottish sekali.


Tarian Irish


Tarian Let's Dance













Saturday, October 26, 2013

Nota Ke Luckenback, Texas

Assalamualaikum,

Pertengahan minggu ini kami dikunjungai dua orang suami isteri sahabat Pak Long.  Telah beberapa kali mereka berkunjung sejak kami pindah di tempat kami sekarang.  Janjinya mereka akan sampai pada hari Selasa, tetapi kerana sesuatu yang tidak dapat dielakkan mereka sampai pada tengah hari Rabu.  

Isterinya mengidap barah usus peringkat akhir dan doktor meramalkan ia hanya punya dua tahun untuk hidup.  Manalah mungkin doktor meramal hidup dan mati seseorang.  Dia bukan tuhan pandai-pandai meramal hari kematian seseorang.  Satu tahun sudah pun berlalu baginya dan kononya tinggal lagi setahun untuk hidup.  Tentunya hati seseorang pesakit yang tiada iman pada Allah akan terus percaya dengan kata-kata keramat doktor itu.  Seperti Elaine, dia percaya bulat-bulat ramalan doktor, tetapi namun begitu mungkin dia masih yakin penyakitnya boleh disembuhkan.  Di samping itu dia cuba sebanyak mungkin memenuhi apa sahaja yang diingini sebelum mati.... mahu makan dan minum yang diingini, melancung tempat-tempat yang diingini, melihat apa sahaja yang terlintas di kepalanya... entah apa-apa lagi.  


Mike & Elaine Raymers


Kali ini ia keinginan pergi ke Luckenback dengan motosikal besar.  Pak Long membenarkan suaminya mengguna motosikal HD barunya kerana pendapat Pak Long ia lebih selesa untuk Elaine memboncing di belakang.  Oleh kerana Luckenback itu jauh perjalanannya, dipersetujui bertolak ke situ hari esok apabila suhu mulai panas.  Sekarang adalah musim luruh dan cuaca mulai sejuk terutama pagi dan petang.  

Kami hanya bertolak selepas jam sebelas pagi dan suhu ketika itu hanya 78 degree F.  Menunggang motosikal cuaca begini mestilah mengenakan pakaian sesuai supaya tidak terasa kesejukan.

Lukenback ialah sebuah perkampungan kecil di bahagian barat Texas Hill Country.  Tempat ini menjadi suatu tempat perhentian dan perjumpaan bagi penunggang motorsikal berbagai jenis yang datang dari setiap pelusuk di Amerika.  Terutama sekali di hujung minggu tempat ini penuh dengan penggunjung.  Di situ terdapat sebuah pentas untuk ahli-ahli musik bermain alat musik.  Kalau hari-hari biasa adalah seorang dua pemain musik tempatan dan jalanan suka-suka bermain musik atau menyanyi.  Sesiapa yang bermurah hati akan meletakkan wang ke dalam botol yang disediakan berhampiran.



Luckenback

Mak Long tidak dapat menilai keistimewaan tempat ini.  Pada Mak Long Luckenback hanyalah tempat biasa-biasa sahaja tiada nampak keistimewaanya langsong.  Tiada kisah sejarah istimewa untuk diingati.  Tetapi orang lain berkata kalau sudah datang ke Texas Hill Country mesti datang ke Luckenback.  


Bilik Belakang


Dikatakan penduduk di tempat ini hanya tiga orang dari keturunan orang German.  Lukenback mengandungi sebuah bangunan seperti bangsa lama dulunya menjadi sebagai pejabat pos dan kedai.  Sebuah bangunan lagi ialah dewan menari tempat penggunjung datang menari bila ada sambutan tertentu.  Kini pejabat pos sudah ditutup pada tahun 1979.  Yang tinggal hanyalah kedai menjual barang-barang cenderamata dan bar menjual minuman ringan dan beer.



Ayam penduduk tetap Luckenback

Beberapa ekor ayam hidup liar, melabor di merata tempat.  Ada yang duduk tinggi di atas pokok oak sedang ramai orang di bawah duduk-duduk santai sambil mendengar musik.  Nasib tidak baik dapat bonus pelaburan ayam jatuh di kepala!

Bangsal Jual Minuman


Di bawah pula adalah serumpun lima pokok oak tua, tiada siapa tahu berapa lama pokok-pokok itu telah hidup di situ.  Begitu juga pokok oak di hadapan bangunan lama itu.


Serumpun lima pokok oak

Kami pulang ke rumah keletihan.  Herannya Elaine masih mahu suaminya menunggang motosikal lagi esok sebelum mereka pulang.  Ikut sukalah Elaine oiii......  Enough for me and I am not coming!

Lagu bertajuk Luckenback dipopularkan oleh penyanyi (country singer) Waylon Jennings.




















Tuesday, October 22, 2013

Nota Perayaan Halloween Datang Lagi

Assalamualaikum,

Tahun lepas pernah Mak Long menulis tentang sambutan perayaan "Halloween" di Amerika.  Perayaan ini disambut setiap tahun pada akhir bulan October.  Malah seawal dalam bulan September lagi persediaan mengumpul bahan-bahan telah dibuat untuk sambutan ini terutama di bahagian utara negeri.  Dalam bulan September tahun ini kami sekeluarga telah berpeluang membuat perjalanan dan melawat di bahagian timur utara negeri iaitu di pergunungan dalam Alabama, Tennessee dan North Carolina.  Di kawasan sebelah sini cuaca biasanya lebih cepat mengalami hawa sejuk berbanding dengan tempat kami tinggal di Texas Hill Country Utara tengah Texas.  Di Texas Hill Country akan mula berasa sejuk dalam pertengahan bulan October di awal musim luruh.  


Hiasan Jerami Dan Patong Berpakaian Sebagai Petani

Di sepanjang jalan kami menuju ke North Carolina dari Tennessee Mak Long perhatikan penududuk-penduduk tempatan telah pun mula bersiap sedia menyambut Halloween.  Mereka menghias di hadapan rumah mereka, bangunan kedai dan taman-taman awam dengan longgokan jerami, labu kuning, patong-patong yang berpakaian sebagai petani dan halloween.


Labu Kuning Yang Dianggap Penting Dalam Halloween


Hiasan Di tepi Jalan Dan Hadapan Rumah

Semalam ketika kami berada di sebuah pasaraya kecil berdekatan dengan rumah kami pula ada menjual labu kuning dan beberapa jenis labu lain.  Harga labu kuning biasa mahal harganya kalau dibeli dari pasaraya besar seperti di Kroger dan  HEB.  Apabila melihat labu-labu itu Mak Long teruja pula ingin membelinya sebiji dua untuk kegunaan masakan.  Pak Long senyum bila Mak Long memberitahu padanya.  Macam faham sahaja apa yang sedang Mak Long fikirkan.  Harganya pula murah, sedangkan saisnya pula boleh tahan juga besarnya dan berat.  Harganya hanya USD9.99 (hahaha ...... heran mengapa mereka tidak tandakan sahaja USD10.00) untuk tiga biji labu.  Gambar di bawah inilah labu-labu yang Mak Long bawak balik dari pasaraya semalam.  Sedang memikirkan apakah jenis masakan yang boleh dimasak?  Kuih kochi labu?  Masak lemak labu?  Pie labu?  Macam-macam terbayang jenis masakan.  Suka masak, makannya hanya sedikit sahaja.



Labu Kuning


Di bawah adalah sahabat Mak Long bernama Vickie Williams yang datang bertandang di rumah kami tahun lepas.  Kami melawat sebuah nurseri yang membekalkan pelbagai jenis benih buah, bunga dan pokok.  Di suatu sudut mereka letakkan longgokan labu kuning untuk jualan.  Oleh kerana keluaran labu kuning terlalu banyak setiap tahun, buah-buah ini hanya terbiar buruk makan diri.  Sayang terbuang!  Buah labu tahan lama dan tidak rosak kalau disimpan di kawasan redup.



Labu Kuning


Labu Kuning


Labu Kuning

Buah labu kuning jenis ini bentuknya bulat dan kebanyakannya bersais besar dan berat.  Kulitnya lembut mudah dipotong tidak seperti labu kuning berkulit tebal dan keras yang biasa terdapat di Malaysia.  Warnanya pula kuning terang hampir warna oren.  Mungkin lebih sesuai kalau disebut labu oren!?....  Isinya pula nipis dan sedikit kasar dari labu di Malaysia.  Mungkin juga sebab itulah orang di Amerika memilih jenis labu ini sebagai bahan menyambut perayaan Halloween.  Labu ini mudah diukir mengikut bentuk yang dikehendaki.   Ketika melawat keluarga di Belmont, North Carolina dulu kebetulan bulan menyambut Halloween, Mak Long berkesempatan menyaksikan sambutan itu.  Mak Long juga cuba kebolehan seni mengukir dengan hanya menggunakan pisau kecil.   Mula-mula sekali ialah labu ditebuk keliling bahagian atas kira-kira tiga inci dari tangkai. Bahagian ini dijadikan penutup lubang.  Isi dan biji labu dibuang dan dibersihkan, kemudian baharulah diukir.  Di dalam gambar di bawah itulah hasilnya....  Waktu malam ia diletakan dengan menyalakan lilin di dalam labu.


Lampu Labu Kuning

Di mana-mana pasaraya waktu ini sibuk membekalkan menjual berbagai jenis gula-gula, candy dan cocolat.  Gula-gula ini untuk dibahagi kepada kanak-kanak yang datang dari rumah ke rumah.  

Pada petang menyambut halloween iaitu pada 31 haribulan October, kanak-kanak akan mengenakan pakaian berbagai ragam dan rupa.  Bukan kanak-kanak sahaja yang berpakaian berbagai rupa, malah orang dewasa juga turut serta.  Ada yang berpakaian seperti hantu, bidadari dan sebagainya.  Mereka membawa bakul kecil atau pun kantung untuk mengisi gula-gula yang diberi oleh tuan-tuan rumah yang mereka singgah.  Mak Long gemar melihat kanak-kanak comel berpakaian bermacam-macam rupa.  Pada hari itu juga tuan rumah akan menyalakan lampu bahagian hadapan pintu rumah, bermakna kanak-kanak boleh datang mengetuk pintu sambil berkata "trick - or - treat?......."  Bila gula-gula sudah diberi mereka akan terus beredar ke rumah lain yang ada lampu menyala.




Comel anak-anak ini

Berpakaian lebah dengan kantong di tangan

Cowgirl dan mami


Peladang dan cowgirl