Pages

Wednesday, February 13, 2013

Nota Selamat Harijadi Putera Bonda

Assamualaikum,

Hari ini ialah 14hb February, 2013.  Hari ini juga sangat istimewa dalam hidup buat Mak Long dan putera.  Hari ini ialah harijadinya.  Walaupun Mak Long tidak dapat bersamanya menyambut mengingati hari istimewa kami, juga tiada hadiah dapat dikirimkan untuk mu, sayang .  Hanya kiriman limpahan doa, diiring dengan kasih dan sayang yang tiada bertepi hingga ke akhir hayat.  Walaupun berjauhan tidak bermakna kasih dan sayang itu pun jauh.  Biar jauh di mata tetapi dekat di hati.

Pada pagi hari Jumaat bersamaan dengan February 14, 1980, kami menerima kehadiran putera dengan penuh kesyukuran.   Seperti puteri sulung, putera dilahirkan di Hospital Bersalin Tan Chee Koon, Jalan Tungku Adul Rahman berhampiran dengan Chow Kit Road. Hari kedua kami berada di hospital itu, Mak Long diberitahu oleh seorang dari jururawat hospital, kebakaran telah berlaku di bilik bayi-bayi yang baru lahir.  Mak Long kaget dan meminta bawakan putera kepada Mak Long ketika itu juga.  Alhamdulillah semua selamat tidak ada apa-apa kecederaan berlaku kerana api itu cepat disedari dan dipadamkan.

Malam pertama sebelum putera dilahirkan, Mak Long tidur seorang di bilik hospital tidak ada siapa menemankan.  Emak masih di kampung dan Pak Long sudah pun bertolak ke sana  menjemput Emak datang melihat cucu baru.  Ketika Mak Long sedang tidur, jururawat datang meluru kepada Mak Long, tetapi berhenti bila melihat Mak Long tidur.  Mak Long tersedar sambil bertanya, "Kenapa nurse?"  Katanya lampu locing di bilik jururawat menyala menandakan kecemasan dari bilik Mak Long.  Hmmmm.... Malam keduanya Mak Long minta ditukar bilik lain.

Putera pandai menambat hati sesiapa sahaja yang melihatnya serta seorang buah hati yang baik tidak banyak kerenah, senang menjaganya, janji ada puting tersumbat di mulut.  Putera suka main enjut-enjut duduk di atas kaki bila Mak Long baring di lantai sambil menyanyi: 


"Enjut-enjut siput, air pasang dalam.  
Adik nak ikut hari sudah malam

Gendang gendut tali kecapi 
Kenyang perut suka hati

Pat pat nya
Siapa dapat dia punya"

Inilah di antara pantun dua kerat yang putera suka.  Suka menyanyi dan pandai menyanyi lagu Tionghua.  Suatu hari Mak Long berada di tingkat atas rumah dan mendengar kanak-kanak menyanyi lagu Tionghua.  Ingatkan anak orang Cina sebelah yang menyanyi.  Bila turun ke tingkat bawa rupa-rupanya putera yang menyanyi yang dipelajarinya dari kelas tadika.  Baju kegemaranya ialah satu sut "Captain America".  Berhari-hari pakai sampai naik bau masam masih tidak mahu lucut untuk dibasuh.  Kadang-kadang hendak pakai untuk tidur.  Terpaksa dipujuk untuk dibasuh baju itu.  Sanggup menahan gigil kesejukan punyalah suka memakai baju itu walaupun masih lembab lagi.  Putera! Putera!  Putera juga suka pakai kain pelekat tetapi selalu terlondeh.  Syukur dan sejuk hati Mak Long mempunyai seorang zuriat cantik seperti putera .... anugrah Allah SWT. 


Enjot-enjot siput air pasang dalam
Adik nak ikut hari sudah malam

SELAMAT MENYAMBUT HARIJADI, SAYANG

Putera, ingatlah pesanan ini, .... tingkatkan maruah diri dengan ilmu pengetahuan, keimanan dan amalan soleh.  








Tuesday, February 12, 2013

Nota Belajar Mengaji Dulu-dulu

Assalamualaikum,


Masa Mak Long kecil berlajar mengaji quran dengan Emak sahaja.  Emak mengajar mengaji quran dan berzanji kepada anak-anak jiran.  Kebanyakan anak-anak jiran pula ada kaitan tali persaudaraan dengan keluarga Mak Long.  Kiranya sekampung itu  semuanya saudaralah.  Mana tidaknya asal usul Tok nenek Mak Long datang membuka Kampung Jorak dan Kampung Jalan Raja, ketika itu masih lagi hutan belantara bersama-sama dengan adik beradik, sepupu dan bapa saudara Tok Nek.  Masing-masing punya keluarga bertambah hingga kini.  Ada yang kawin antara sepupu atau dua pupu.  Kami bersaudara ha ha ha sepusat sepusing.

Masa Emak mengajar mengaji adalah malam selepas Maghrib.  Masa siang Emak menoreh getah dan selalu sibuk dengan kerja-kerja lain menambah rezeki keluarga.  Ramai juga anak-anak yang datang, ada yang sudah besar panjang.  Emak tidak pernah mengambil bayaran; Emak ikhlas mengajar mengaji.  Waktu itu kampung kami belum ada kemudahan air paip atau kuasa letrik.  Bekalan air hanyalah dari air perigi atau kolam yang digali sendiri atau diupah mengali.  Manakala bekalan letrik pula kebanyakan orang kampung menggunakan pelita minyak tanah dan lampu pam.  Kekadang orang kampung panggil minyak tanah itu minyak gas (gasoline).  Minyak tanah Wak beli dari kedai Cina yang berhampiran dengan rumah kami.  Bila hampir senja Wak akan pasangkan lampu pam untuk menerangi tempat kami mengaji.  

Tiap-tiap hari budak-budak yang lebih besar datang awal cedok air dari perigi penuhkan semua tempayan yang Emak ada di pelantar dekat dapur.  Emak boleh guna air itu untuk memasak dan mencuci pinggan.  Ringanlah sedikit kerja Emak.  Kalau mereka tidak pergi kemana-mana lepas waktu sekolah mereka datang tolong bersihkan laman rumah dan angkat kayu api, susun di bawah dapur.  Itulah sahaja cara mereka membalas budi Emak mengajar mengaji.  Emak tidak tidak pernah meminta atau menyuroh mereka berbuat begitu, mereka sendiri yang suka rela hati memberi bantuan tulang.  

Mak Long dengan yang lain, kami lebih kecil sedikit kerjanya pasang rihal; keluarkan quran dan buku rawi (buku berzanji) untuk mereka yang mengisi air tempayan.  Hari-hari begitu melainkan malam Jumaat tidak mengaji sebab Emak perlu menunaikan kewajiban diri ... kekadang pergi ke surau atau mesjid bila ada orang beri syarahan agama.  

Bila Mak Long ingatkan keadaan masa dulu-dulu hidup masyarakat di kampung walau pun banyak kekurangan dalam serba serbi, kami hidup rukun dan damai, bila ada buat kenduri kendara ramai-ramai datang berkumpul bergotong-royong memberi bantuan.  Ada yang menghulur bantuan berupa kewangan atau barang untuk meringankan beban.  Suasana sangat meriah dan mesera ....  Sekarang sudah jauh berbeza.  Anak-anak muda lepas sekolah ada yang menyambung pelajaran peringkat tinggi di bandar.  Bila tamat belajar mereka akan terus tinggal di sana kerana tugas masing-masing ada yang mendirikan rrumah tangga pula.  Ramai yang meninggalkaan kampung mencari rezeki di tempat lain atau lain-lain hal.  Kampung kami sudah sunyi tidak seperti dulu-dulu.  Sudah ramai orang luar warga asing masuk dan tinggal di kampung.  Mereka datang dari negara-negara seberang.  Sering mereka ini tidak hormat dengan penduduk kampung.  Mereka membuat kacau, mencuri, meragut dan sebagainya membuat orang-orang kampung lebih berhati-hati menjaga keselamatan.   


Berat sama dipikul
Ringgan sama dijinjing












Nota:   Amalan tolong menolong antara sesama insan adalah amalan yang terpuji.


Saturday, February 9, 2013

Nota Lesong Kayu

Assalamualaikum,

Sudah beberapa hari ini Mak Long teringatkan kampung sahaja.  Hati rindu tidak terhingga kepada keluarga dan sanak saudara serta sahabat sekelian.  Tetapi masih belum ada masa dan peluang untuk pulang ke kampung.  Lambatnya Pak Long balik!  Hari ini sepanjang hari hujan, angin kencang dan disambut dengan kabus tebal.  Sejuk pula mengulit kulit walau suhu dalam rumah sudah Mak Long tinggikan hingga 76 darjah F.  Mungkin orang kurus macam Mak Long tidak tahan sejuk agaknya?  Banyak pekara yang perlu diberi perhatian dalam rumah tetapi hari ini malas sungguh .... berangan sahaja.  

Mak Long terkenang kesah lama, zaman kanak-kanak dahulu.  Arwah Tok Kiah pangkat atok saudara Mak Long, rumahnya berdekatan dengan rumah kami, hanya beberapa ela sahaja jaraknya.  Mak Long suka bertandang ke rumahnya bermain dengan arwah Mak Puteh.... main congkak atau main buah biji saga.  Bukan pandai pun bermain selalu kalah dengan arwah.  Mata pencarian arwah Tok Kiah dan suami  hanyalah dengan mencucuk atap rumbia yang dijual kepada orang China di Bukit Pasir dan di Bandar Muar; kalau musim buah-buahan mereka murah rezeki dengan jualan durian, manggis dan duku.   Ketika itu banyak kedai dan rumah penduduk kampung juga penduduk bandar beratapkan atap daun rumbia.  Rumah kami pun beratapkan daun rumbia yang Emak cucuk daun sendiri.  Bila atap itu sudah lama tidak berganti, Mak Long boleh nampak langit dan waktu malam boleh nampak cahaya bulan mengambang dari celah-celah daun atap yang sudah kering dan jarang itu.  Kalau hari hujan Emak suruh ambil besen atau baldi tadah air tempat bucur.  Hai... hidup orang kampung, begitulah.......

Tiap-tiap kali hendak menyambut raya di bulan Syawal, emak dan arwah Tok Kiah sibuk membuat persediaan mebuat kuik untuk hari raya.  Mereka mesti menjemur tepong dan gula dalam beberapa nyiru di tempat panas bawah cahaya matahari.  Bukannya boleh ditinggalkan barang jemuran bergitu sahaja.  Arwah Tok Kiah membela banyak ayam kampung begitu juga dengan Wak dan Emak.  Itik nila pun ada juga, tetapi tidak banyak.  Ayam-ayam itu jahat, kais dan melingkupkan nyiru.  Bertaburlah tepung melambak atas tanah.  Bising Emak marah!  Jadi Mak Longlah kena jaga ayam-ayam itu.  Geram dengan ayam-ayam itu sungguh degil... orang cakap jangan dekat hai lagilah...... itulah dia buat.  Puas dikejar dan baling dengan kayu.  Ada juga yang mengena sampai dengkat kaki ayam-ayam itu kena balon.  Baru puas hati...   Muga-muga Allah ampunkan dosa Mak Long berlaku zalim pada ayam.

Bila masa hendak kacau dodol atau kuih menderam, Emak dan arwah Tok Kiah pun mula lah menumbuk beras pulut yang sudah direndam semalaman dengan mengunakan lesung kayu.  Ada dua batang antan panjang untuk menumbuk.  Emak angkat tinggi antannya, Tok Kiah pula turunkan antannya ke dalam lesung.  Kemudian bila arwahTok Kiah angkat antannya, Emak pula turunkan antannya ke dalam lesung.  Begitulah halnya turun naik mereka menumbuk beras pulut bersama-sama tanpa jemu.  Bila beras pulut itu hancur, ia akan diayak kedalam besen besar.  Beras yang masih kasar akan ditumbuk beberapa kali dan diayak hinggalah habis semuanya.  Ayak pun sudah uzur, ada lubang-lubang kecil.  Waktu inilah ayam suka berkerumun di sekeliling kawasan orang sedang kerja.  Kerja kejar ayam tugas Mak Long dengan kayu panjang  menghalau ayam.  Tapi ialah kadang-kadang kalau malang hendak berlaku tidak siapa dapat menghalang.  Sedang Mak Long mengejar anak-anak ayam itu, entah macam mana seekor darinya lari termasuk dalam lesong!  Aduh, aduh habis penyek anak ayam ditumbuk antan yang sedang rancak!   Berlecek bunyi mengilukan.  Mak Long tercegat  dan bengang kepala melihat kejadian itu.  Kena marah lagi........hai!  Nasiblah ...... tetapi bila dikenangkan kembali peristiwa itu geli hati, lucu pun ada, pilu pun ada.  Pilu kerana memikirkan betapa usaha gigih dengan tidak mengenal penat dan lelah kedua wanita bergelar ibu ini rela hati sentiasa berkurban untuk keperluan dan kebahagian keluarga masing-masing.  Betapa susahnya kehidupan ketika itu.  Walaupun hidup susah dan miskin kami bahagia....Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah SWT.  

Ya Allah, ya Rabbi limpah kurniakan kami dengan rezeki yang lebih melimpah ruah lagi halal.... Aminn.


Ayam Kampung


Itik Nila






Nota:     

Hormati dan kasihani kedua ibu bapa yang telah berkurban membesar dan mendidik kita semasa kita kecil dalam pemeliharaan mereka.  Balaslah budi mereka selagi mereka masih hidup.





Thursday, February 7, 2013

Nota Bai Jual Kain

Assalamualaikum,

Cerita ini sudah lama zaman Mak Long kanak-kanak dahulu.  Tidak pula ingat tahun berapa.  Zaman itu pusat beli belah tidak ujut lagi walau pun di Kuala Lumpur.  Di bandar Muar, tanah tumpah darah Mak Long yang ada ketika itu hanyalah deretan kedai China dan India yang menjual kain baju dan barangan lain-lain.  Tidak macam sekarang barang pasar di tempat lain dan barang pakaian di tempat lain.  Emak Mak Long kalau hendak pergi ke bandar sebulan sekali pun susah, pengangkutan yang ada hanyalah bas yang lalu tiga atau empat kali sehari.  Itu pun ikut rasa pemandu bas.  Kalau dia malas atau ada kerja lain sekali sahajalah dia lalu masuk kampung.  Pukul lima petang bas sudah tutup kedai.  Teksi hanya ada dua atau tiga buah sahaja itu pun kadang-kadang tidak ada lalu langsong.  Zaman itu motosikal memang tidak ada.  Arwah Wak Mak Long hanya ada basikal tua yang dibasuh dan digilap setiap kali ada habok hinggap pada basikalnya.  Bekilat basikal itu dijaganya seperti basikal baru beli.  Hmm cermat betul arwah dengan hartanya walau pun hanya sebuah basikal tua.  Basikal tua inilah yang menghantar dan menjemput Mak Long pergi dan balik ke sekolah rendah kampung; hinggalah Wak dan Emak ada rezeki lebih membelikan kami sebuah lagi basikal.  Mak Long tidak tahu pulak bila arwah membeli basikal itu, seingat Mak Long basikal itu sentiasa ada di rumah.  Bila malam atau kalau arwah tidak pergi ke mana-mana, basikal itu duduk dalam rumah siap diselimutkan lagi supaya habuk tidak hinggap.

Suatu masa musim hendak raya menyambut Syawal, emak berhasrat membeli baju raya untuk Mak Long dan arwah Mak Ngah.  Hendak ke bandar memang tidak ada peluanglah sebab hendak bercermat tidak hendak bayar tambang bas.  Waktu itu tambang bas hanyalah dua puluh atau dua puluh lima sen sekali jalan.  Kanak-kanak bawah umur dua belas tahun naik bas percuma sahaja tidak perlu bayar tambang.  Tetapi kalau orang ramai dalam bas itu, kanak-kanak tersebut mesti duduk atas pangku.  Jangan ketawa.... Mak Long pun pernah alami begitu!  Tingkap bas tidak pernah tutup melainkan hari hujan, itu pun kalau tingkap itu tidak jam.  Bila tingkap tidak boleh tutup hai... nasib basah kuyuplah jawabnya.  Habis jambol semua roboh kena tiup angin.  Sebab itulah pada masa itu orang lelaki suka guna minyak rambut warna hijau cap bunga melekit-lekit supaya kekal tidak ditiup angin dalam bas.  Bau minyak rambut itu masya Allah bukan main lagi penuh hidung semerbak baunya.  Rasa terbayang-bayang baunya.  Arwah Wak pun sama.  Biasanya bila sudah hendak dekat-dekat perayaan adalah dua tiga orang China atau India penjual kain dengan berkayoh basikal.  Penuh dan sarat basikal dengan bungkusan kain besar tinggi mengatasi kepala bila dia duduk atas basikal.  Bungkusan besar ini diikat di atas para basikal yang lebar.  Kadang terlalu berat penjual itu akan minta tolong pegangkan bahagian depan basikal supaya dia boleh naik dan turun serta mengimbankan berat bungkusannya.  Penjual kain berbasikal ini orang kampung Mak Long panggil "China kelentong kain" atau "Keling Bai jual kain".  Untuk menarik perhatian orang kampung yang dia berada di sekitaran, penjual ini akan membunyikan kelentongnya sambil mengayoh basikal atau pun berteriak, "kain! kain!.....Kaiiiin".  Tahukah apa itu kelentong?  Ia adalah sejenis alat bunyian seperti gendang kecil yang ada tempat pemegang panjang.  Di keliling gendang ini ada beberapa gundil diikat padanya.  Bila digoyangkan ia akan mengeluarkan bunyi.  Biasanya penjual orang China menggunakan alat ini untuk menarik pelanggan.

Setiap hari Khamis Bai jual kain akan datang ke kampung.  Emak dengan dua, tiga orang jiran sudah sedia menunggu Keling Bai datang.  Sampai sahaja di depan rumah Keling Bai pun masuk singgah.  Tetapi dia bermasaalah hendak berhenti melencong arah rumah melalui titi parit depan rumah..... Dia tidak dapat mengawal basikalnya!  Terhuyung hayang dia dengan basikalnya,........ "Aiyooo ama, ama toloooonglah......!"  Belum sempat apa-apa dia dan basikalnya, sekali dengan bungkusan sudah tersungkur tepi parit.  Koyak kain pelekat yang dipakainya.. kesihan tengok dia.  Nasib baik tidak masok dalam parit terus atau patah tulang.  Ada jugalah dapat cendawan kukur di lengan dan kakinya.  Mungkin lebam pun dapat gamaknya.  Emak dan jiran bingkas mambantu penjual kain itu.  Tersipu-sipu Keling itu bila menyedari kain pelekatnya sudah koyak panjang.  Hari itu Emak dan jiran dapat rezeki baik.  Dapatlah beli kain kurang sedikit harganya kerana menolong Keling Bai ketika dia jatuh.   






Basikal Tua Hiasan Sahaja










Nota:    


Kita hendaklah bersyukur dan menghargai harta yang dilimpahi Allah serta menjaga harta itu sebaik mungkin.

Wednesday, February 6, 2013

Nota Orang Arab

Assalamualaikum,

Pagi semalam Pak Long seperti biasa tiap-tiap pagi talipon melalui skype secepat dia pulang ke rumah dari kerja.  Jadi kami dapat bertemu setiap hari walaupun di alam maya.  Itulah antara kebaikan dan keajaipan adanya teknologi kini.  

Mak Long mengamati dia tidak begitu ceria seperti biasa.  Mak Long tanyakan mengapa nampak bersedih sahaja. Jawabnya, "Hari ini saya dengar berita sedih dari seorang sahabat bangsa Arab di tempat kerja.  Peristiwa ini berlaku beberapa hari lepas.  Seorang lelaki Arab telah medera keluarganya."  Kata Pak Long lagi, "yang menyedihkan saya ialah lelaki itu telah merogol anak perempunnya sendiri yang baru berumur belasan tahun kemudian membunuh anaknya. Menambahkan lagi kekejaman, lelaki itu telah membelah dan menebuk bahagian bawah anaknya dengan menyumbatkan sesuatu di situ.  Sungguh kejam! ......... Pihak berkuasa tidak berbuat apa-apa atas perbuatan yang di luar peri kemanusian itu dengan alasan *itu urusan rumah tangga individu*.  Pihak berkuasa tiada hak mencampuri urusan keluarga!  Lelaki itu hanya dihukum membayar sebanyak lebih kurang 8,000 Rial sahaja sebagai bayaran ganti darah anaknya kepada isterinya".

Sedih Mak Long dengar cerita Pak Long.  Patutlah dia tidak ceria seperti biasa.  Sudah banyak Mak Long dengar dan baca berita-berita buruk seperti itu berlaku di negara Islam seperti Saudi Arabia.  Ramai wanita-wanita malang diseksa dan kemudiannya dibunuh dengan kejam tanpa ada rasa belas kasihan atau penyesalan.  Perbuatan keji ini kebanyakannya dilakukan ke  atas kalangan wanita-wanita asing yang datang ke negara itu berkerja sebagai pembantu rumah.  Mak Long percaya mereka ini bukanlah orang senang atau kaya sanggup berpisah dengan keluarga kerana mungkin desakan keadaan kehidupan yang miskin.  Mereka datang meninggalkan keluarga dan negara masing-masing kerana untuk mencari rezeki halal.  Tidak kiralah sama ada wanita itu Islam atau kafir.  Yang amat dikesali sekali ialah peristiwa seperti itu berlaku dalam negara Islam yang menjadi tumpuan dan pandangan luas mata dunia.  Sudahlah separuh dari penghuni dunia mengecap orang Islam sebagai "terrorists" atau penganas.  Betapa sesetengah kaum lelaki tidak kira apa bangsa, walau di mana-mana pun di muka bumi ini sungguh rendah mertabat mereka terhadap kaum wanita.  

Allah SWT memuliakan kaum wanita sebagaimana Ia memuliakan kaum lelaki.  Bermakna wanita dan lelaki sama-sama mulia kejadian dan tarap.  Hanya akhlak manusia itu yang menentukan tinggi dan rendahnya mertabat seseorang insan.



Ribut Pasir di Padang Pasir







Nota,

Belaku adil sesama insan dan takutilah hukuman Allah yang amat perit dan keras.






Tuesday, February 5, 2013

Nota Mana Wayar Sambung Bateri?

Assalamualaikum,


Hari ini beberapa tugas dalam rumah dapat dibereskan.  Hampir-hampir terlupa untuk mengemaskinikan "sticker" pelekat cukai jalan pada kereta Mak Long yang sudah dua bulan tamat tempoh.  Aduhai susahnya hendak menanggalkan pelekat yang lama.  Hampir setengah jam lamanya hendak bersihkan tempat pelekat dan ganti dengan yang baharu.  Pelekat jenis apa agaknya sampai susah benar hendak ditanggalkan?

Kemudian kereta ini perlu dihidupkan dan dipandu.  Sudah tiga bulan dia berlaboh dalam garage tanpa diusik.  Mujurlah sebelum Pak Long pergi ke Saudi dahulu dia pasang pengecas pada bateri kereta tersebut jadi tidaklah mati baterinya.  Mak Long matikan pengecas dari letrik tetapi bagaimana hendak cabut wayar pengecas dari beteri?  Puaslah Mak Long belek-belek wayar panjang pengecas, tidak nampak pun sambungannya sebab wayar pengecas dan wayar bateri itu sama warna.  Pandangan mata sudahlah kelabu... aisayman .. macam mana nih!  Pada hal Pak Long sudah tunjuk dan terangkan bagaimana hendak buat.   Tidak boleh jadi juru mekanik orang tua ini......  :(   Lamalah juga baru jumpa dan nampak sambungan wayar itu.  Sudah puas dipegang dan belek baru nampak ...hmmm.  Lorqatttt.... berbenar!  Tekan butang engin kereta......vrooooomm!  Sudah ok!
















Nota Berita Dari Jauh

Assalamualaikum,


Lama juga rasanya Mak Long tidak berceloteh atau omong kata orang Jawa di sini.  Haaa sibuk sikit tetapi tidak tahu pula apa yang Mak Long sibukan.  

Pagi ini Mak Long menerima berita sedih dari seorang sahabat karib "T" di Malaysia.  Beliau kehilangan seorang dari puteri kembarnya yang dikasihi.  Innalillahiwainnaillaihirajioon dan Al-Fatihah bagi arwah yang telah pergi, semuga arwah puteri "A" ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh....  Setiap yang bernyawa pastinya akan kembali kepada Nya jua.

Mak Long dapat rasakan kesugulan dan gundah hati seorang ibu seperti "T" atas kehilangan anak yang disayang.  Mak Long juga turut sama bersedih dengan pemergian arwah.  Sudah lama kami tidak bertemu, mungkin hampir berbelas tahun lamanya.  Hubungan Mak Long dengan "T" sekeluarga sangat rapat.  Kami sering bertukar-tukar lauk pauk hampir setiap hari makan tengahari atau petang.  Arwah puteri "A" pandai memasak walaupun usianya ketika itu masih terlalu muda berbanding dengan kakaknya yang lebih tua.  Arwah puteri "A" kembar dua, lelaki dan perempuan.  Semasa hayatnya arwah seorang yang patuh kepada ibunya dan kepada adik beradik arwah yang lain juga, baik budi bahasa, sangat bersopan santun dan berhemah tinggi apabila berhadapan dengan sesiapa sahaja terutama kepada yang lebih tua darinya.  Mak Long bergilir-gilir dengan "T" menghantar dan mengambil arwah pergi belajar kelas tambahan waktu malam bersama-sama dengan anak-anak Mak Long.

Kami tinggal berjiran beberapa tahun lalu di pantai timur.  Rumah kami di tepi pantai indah menghadapi Laut China Selatan yang luas saujana yang tidak nampak tepinya.  Di kala waktu lapang terutama hari-hari cuti Mak Long dan "T" biasa berjalan menyusur pantai menikmati tiupan angin laut yang bersih lagi nyaman.  Mak Long suka punggut kulit siput untuk dibuat berbagai hiasan atau sebagai sumba kerjatangan.  Biasa kami tengok nelayan pulang dari mencari tangkapan mereka di laut dalam.  Ada kala kami beli hasil tangkapan mereka yang masih segar, masih hidup meletik-letik bila dipegang dengan harga yang murah dari harga di pasar.  Bila leka menikmati angin pantai terutama waktu petang tanpa disedari kaki kami melangkah hingga berbatu jauhnya berjalan sambil bercerita, berborak atau berbincang perkara-perkara biasa atau penting.  "T" baik orangnya kalau sudah mengenali hati budinya.  Bila kami balik biasanya Mak Long singgah ke rumahnya dahulu sebelum balik ke rumah.  Arwah "A" sudah sedia dengan minuman untuk kami walaupun segelas air kosong.  Betapa hati Mak Long rindu seperti dipanggil-panggil untuk kembali ke pantai timur menemui "T" dan keluarga juga adik angkat Mak Long.  Mak Long ingin menikmati makanan orang pantai timur yang sudah lama tidak menjamah, duduk di tepi pantai ............ Mak Long sedang membayangkan suasana di sana........



Perahu Nelayan Di Pantai Timur













Note:

Allah maha berkuasa.  Hidup dan mati kita sesungguhnya di tangan Allah.