Pages

Sunday, December 3, 2017

Emak

Assalamualaikum,

Dari cacatan:

Lama benar Mak Long tidak menulis dan menjenggok blog-blog yang biasa Mak Long lawati.  Rasa hendak menulis memang ada tetapi tiada berkesempatan sebenarnya.  Buat masa ini Mak Long berada di kampung, sudah hampir dua bulan, membantu dan merawat Emak kami yang sedang uzur terlantar di pembaringan.  Keadaan Emak terlalu lemah tiada kudrat untuk menjaga dan mengurus diri sendiri.  Kebersihan dirinya dalam serba serbi harus dijaga sentiasa.  Permakanan dan minuman juga mesti diawasi sentiasa melalui tube yang dimasukkan melalui lubang hidung yang terus masuk ke ususnya.  Tube ini pula perlu diganti baru setiap dua minggu sekali.  Begitu juga tube untuk buang air kecilnya.  Tidak mudah mengurus keadaan pesakit begitu di mana ia memerlukan minda kesabaran, ketabahan dan kemahiran yang tinggi.  Berkat tunjuk ajar dari jururawat Hospital KPJ yang datang lima hari setiap minggu ke rumah membersihkan luka bedsore Emak, alhamdulillah hampir semua tugasan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.  Kira-kira kalau nak jadi jururawat tidak bertauliah jaga orang sakit boleh dah rasanya ... haha berangan Mak Long nih!  Mak Long bersyukur, Allah SWT memberikan peluang untuk berbakti kepada Emak tersayang walau pun tidaklah seberapa kalau dibandingkan pengurbanan yang telah Emak berikan kepada kami adik beradik hingga kini.

Pak Long seorang suami yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan yang tidak ternilai.  Beliau tidak jemu memberi semangat dan kekuatan setiap kali saat-saat hati ini mengalami kesedihan dan kehampaan keadaan.  Kerana itu Mak Long sekali lagi bersyukur kepada Illahi yang maha pengasih serta memberi kemudahan kepada hamba Nya yang lemah.

Tugas Mak Long bermula awal pagi selepas subuh hingga ke malam tidak mengira masa. Menguruskan Emak perlu berhati-hati dan memerlukan masa yang panjang oleh kerana keadaan beliau.  Emak mengalami sakit osteoprosis tulang berserta dengan sakit sendi keronik, paru-paru berair dan "bedsore".  "Bedsore" itu berlaku atas kelalaian rawatan dari pihak hospital besar Kuala Lumpur.  Sebelum Mak Long sampai ke Kuala Lumpur, Emak telah dimasukkan ke sana oleh adik bungsu kerana Emak rupanya telah mengalami "stroke" yang baharu disedari adik setelah Emak mengalami tidak boleh berkata-kata serta tidak boleh mengerakkan kedua-dua tangannya.  

Di hospital Emak telah dimasukkan wad untuk rawatan lanjut di mana wad tersebut telah pun penuh sesak dengan ramai pesakit-pesakit yang mengalami seribu jenis penyakit.  Bayangkanlah, bagaimana pihak kakitangan yang hanya beberapa kerat mampu memberi khidmat yang baik kepada pesakit yang ramai?  Permohonan untuk mendapatkan sebuah bilik berasing atau pun berkongsi dengan seorang dua pesakit lain diajukan kepada pihak pentadbir (ketua doktor bertugas) hospital supaya mudah untuk menjaga Emak.  Apa jawab pihak hospital? Belum ada bilik kosong!  Setelah Mak Long sampai dan melihat keadaan dan masaalah, kami berbincang adik beradik untuk keluarkan Emak dan dipindahkan ke hospital Muar.  Emak memang sudah lama berhasrat balik ke rumahnya di kampung. 

Mak Long kesal jawapan yang diberi oleh ketua doktor di wad itu.  Kami tidak dibenarkan memindahkan Emak dari wad neraka itu!  Alasannya mereka (doktor dan jururawat) pakar mampu merawat pesakit walau dalam apa jua penyakit serta bertanggung-jawab merawat Emak kami.  Kami dapati belakang Emak sudah mula mendapat "bedsore" kerana terlalu lama baring tidak berpaling-paling pembaringannya.  Mak Long beri tahu mereka, tetapi menyedihkan sekali.  Kita beritahu pagi, petang baharu mereka tengok luka Emak.  Minta tukarkan baju yang sudah dua hari dipakai pun tidak mendapat perhatian.  Tidak kesahlah kami sendiri boleh tukar pakaian Emak tetapi jururawat tidak benarkan, sehinggalah Mak Long sendiri buat degil pergi mengambil pakaian bersih di tempat simpan pakaian pesakit hospital.

Rupanya luka bedsore itu cepat merebak jika tidak dirawat segera.  Ketika itu luka Emak sudah merebak hingga sebesar dua tapak tangan hingga menampakkan tulang dan berbau.  Tiga hari selepas permintaan kami ditolak untuk mengeluarkan Emak, tiba-tiba doktor bertugas memberitahu Mak Long, menyuroh kami membawa Emak balik supaya Emak dapat menikmati suasana keluarga di rumah sendiri!!!  Mungkin juga Emak tidak sempat sampai ke rumah, katanya lagi.  Dalam kata lain, umur Emak sudah hampir di penghujung jalan.  Aduhai doktor!  Beralaslah sedikit bercakap di hadapan Emak.  Muga Allah SWT memberi kesedaran kepada doktor tersebut!

Hendak bawa Emak keluar pun bermasaalah juga!  Pihak hospital tidak mahu hantar Emak ke Hospital Muar atau ke rumah!  Keciwa benar dengan budi bicara doktor itu.  Mak Long terpaksa berkeras dengan beliau dengan bahasa yang diplomasi.  Mak Long kata kami sanggup bayar khidmat ambulan berapa sahaja bayarannya.  Mak Long tidak sekali-kali mahu bersikap sombong hidung tinggi tetapi keadaan begitu memaksa...  Seseorang doktor tidak patut bersikap lepas tangan atau pandang poket penuh wang ringgit pesakit. Pendek cerita kami dapat membawa Emak pulang ke rumah beliau di kampung menggunakan khidmat ambulan swasta.  Lebihlah sedikit bayarannya tetapi berbaloi.  Kami tidak kesah asal sahaja Emak selesa.  Kami tahu, semua tahu adanya udang di sebalik batu antara doktor tersebut dengan tuan punya ambulan swasta itu.  Mak Long sendiri menemani Emak dalam ambulan itu.  Lajulah juga ambulan itu bergerak,

Di kampung, kami berusaha dan berjaya mendapatkan khidmat jururawat Hospital KPJ datang ke rumah lima hari seminggu merawat serta membersihkan luka Emak.... Alhamdulillah..




















2 comments:

  1. AllahhuAkbar... masih ada lagi doktor yang berhati batu begitu. Alangkah sedihnya. Nanti bila di buat laporan ke pihak atasan, macam-macam pula alasan yang mereka beri.

    Kakcik pernah buat aduan tetang layanan pegawai perubatan sebuah hospital kerajaan terhadap bapa kakcik. Berkali-kali Pengarah hospital itu menelefon kakcik minta maaf. Secara halus, kakcik beri dia sedikit ilmu walaupun kakcik bukan siapa-siapa...

    ReplyDelete
  2. Saya mendoakan agar Mak Long tabah. Nikmat apabila dapat menjaga ibubapa kita sendiri diakhir hayatnya. Saya dulu mengambil peluang untuk tidak memperbaharui 'work prmit' saya di Mekah dulu kerana arwah mama sedang sakit tenat. Arwah mama mengalami masalah 'dementia'. Untuk menjaga arwah, saya terlebih dahulu pergi berjumpa dengan physciatrist di PPUM untuk berbincang kerana saya sebagai penjaga haruslah kuat mental dan fizikal...anyway, saya memahami Mak Long. You take care!

    ReplyDelete