Pages

Monday, July 27, 2015

Nota Siapa Agaknya?

Assalamualaikum,

Suatu petang di bulan Ramadan baru-baru ini selepas waktu Asar, Mak Long lepak-lepak berhampiran pembaringan Emak sambil melayari sesawang facebook.  Malas hendak nonton TV yang asik-asik menayangkan drama sahaja.  Banyak betul tayangan drama!  Bosan juga menonton kalau hampir semua jalan cerita yang ditayangkan walau tajuknya berlain dekat-dekat hendak sama sahaja.  Lagi-lagi banyak wabak-wabak gadoh dan jerit-jerit serta penindasan sesama sendiri.  Mungkin jalan cerita ada kebenaran hidup orang Melayu kini, tetapi jarang yang mampu memberi contoh ke arah membangun.

Sedang Mak Long ralit dengan ipad kecil, tiba-tiba Mak Long dengar suara lelaki lembut memberi salam di luar pintu tengah.  Mak Long tidak terus menjawab sambil berdiam diri kerana mahu memastikan betulkah pendengaran tadi.  Mak Long pasang telinga, kalau ada bunyi tapak kaki bergerak di luar.  Senyap!  Beberapa saat kemudian sah Mak Long dengar orang memberi salam lagi.  Suaranya sama macam mula-mula tadi.  Lantas Mak Long bangun dan menjawab salamnya kemudian berjalan menuju ke pintu sambil membukanya dan menjengok keluar.  Pelik!  Tidak ada siapa di luar...  Mak Long tanya Along adik ipar yang sedang berjalan hala ke dapur.  "Along, dengar tak suara orang memberi salam kejap tadi?"

Along menjawab, "Tak dengar..." sambil melangkah ke anjong dan menjengok ke tingkap hala ke jalanraya.  "Tak ada sapa pun di luar.....!" 

Mata kami berpandangan...... siapa agaknya ya?  Hai.. hairan kami.  "Berdiri bulu roma, Kak", kata Along.  

"Tak ada apa-apalah Along... pendengaran Mak Long jerr", Mak Long cuba meyakinkan Along.  Mak Long patutnya tunggu salam ke tiga barulah jawab kot!  Tetapi suara itu benar-benar Mak Long dengar dengan jelas.  Suara siapakah itu agaknya....... ?




Siapa Itu?








Tuesday, July 21, 2015

Nota Otak Kuda Kayu

Otak kuda kayu

Di manakah budi bahasa mu?
Emak tidak pernah ajar kita biadap!

Di mana tutur kata lembut mu?
Tajam lafaz menikam jiwa..

Ke mana tanggungjawab mu?
Maka sanggup kamu pinggirkan..

Di mana belas kasih mu?
Langsung tidak ada peduli..

Cemarkah pangkat kalau merendah diri?
Maka menuding jari tanpa periksa

Rugikah kalau berterus terang?
Agar semua mengerti..

Apa dikejar pada taraf dan pangkat 
Kalau hanya menjadi sombong dan riak..

Lihatlah ke bumi bila kamu di atas
Agar langkah mu tidak jerobos ke lubang

Wahai...
Otak kuda kayu

Akan rugi hidup nanti.....
Akan pendek rezeki nanti...








Wednesday, July 15, 2015

Nota Ramadan Di Ambang Syawal

Ramadan Di Ambang Syawal






Esok Khamis adalah hari terakhir umat Islam berpuasa di bulan Ramadan iaitu bulan tarbiyyah dan ibadat yang penuh berkat bagi tahun 2015.  Tahun ini Mak Long berpeluang menyambut lembaran Syawal bersama Emak dan keluarga.  Tetapi hati Mak Long berasa hambar dan bersaja dengan kedatangan hari lembaran setelah berjaya menjalani ibadah berpuasa.  Rasa sedih dan sayu pun ada untuk melepaskan perginya bulan Ramadan.  Tiada persediaan apa-apa untuk sambutan lembaran.  Hanya sepasang baju kurung Johor pemberian dari adik angkat tersayang Mak Long.  Cantik warnanya!  Terima kasih Dik, budi mu dikenang sentiasa. Semuga Allah limpahi rahmat dan rezeki yang melimpah ruah. Mungkin disebabkan kesihatan Emak yang sedang sangat uzur.  Pada pandangan kasar tidak mungkin Emak kembali pulih seperti sedia kala.  Tetapi kuasa Allah tidak siapa tahu dan menduga atas perancangan azali Nya.  Mungkin esok lusa Emak pulih kembali.  Boleh bangun, berjalan dan duduk sendiri tanpa bantuan!  Atau boleh menyudu makanan ke mulutnya sendiri.  Manalah tahukan!  Namun Mak Long redha serta bersedia menghadapi segala dugaan dan kemungkinan.

Di kesempatan ini juga Mak Long ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri istimewa untuk semua pengunjung yang dihormati dan dikasihi ke blog ini.  Mohon maaf zahir dan batin kiranya terselit lafaz dan ungkapan Mak Long yang menyentuh dan menyentap hati.  Bagi anda yang berperjalanan jauh untuk bersama keluarga dan sanak saudara berhati-hatilah ketika memandu di jalanraya.  Doa dan harapan Mak Long agar semua selamat dan sejahtera di hari raya.  Amin...