Pages

Thursday, August 29, 2013

Nota Hati Ibu

Assalamualaikum,

Hati Ibu


Dulu ditatang bagaikan minyak penuh

Tangismu cepat dipujuk sayang

Laparmu segera disuap kenyang

Tidurmu dibuai mimpi

Sakitmu buat ibu cemas
Tawamu buat penghibur ibu

Dipupuk penuh kasih sayang
Ilmu disemai bekal hidup
Harapan menggunung tinggi
Doa ibu tidak pernah putus
Agar hidupmu bisa jaya
Sejahtera....

Kini jauh sudah langkah....
Hati ibu hiba kerinduan
Berkurban segala demi mu
Doa ibu hujungnya tiada
Kasih ibu membawa ke syurga

Kini sayapmu berkembang lebar
Kuntum  berseri mengoda
Terperangkap dicelah duri dan onak
Kepingitan disunting bawa teritip beban
Hati ibu terhiris ditepian
Berkurban demi mu...
Doa ibu tiada tepinya......














Tuesday, August 13, 2013

Nota Malam Terakhir Ramadhan

Assalamualaikum,

(Catitan pada malam terakhir Ramadhan)

Esok adalah hari terakhir bagi umat Islam menunaikan ibadah puasa pada tahun 2013..  Maka malam ini adalah malam terakhir bersahor.  Pagi ini juga pagi terakhir bagi umat Islam bangun di awal pagi bermunajat menadah kedua tangan dengan syahdu berdoa memohon dan mengharapkan kemunculan Lailatul Qadar, yang diharap setiap Muslim dan Muslimah di bulan yang mulia.   

Memohon keampunan membersih segala dosa-dosa yang telah kian lama menjadi pekasam dan berkarat dalam jiwa sepanjang hayat kehidupan.

Memohon keredhaan Nya dengan penuh harapan agar Allah memberi keampunan dan rahmat dunia dan akhirat.

Memohon agar Allah sentiasa membuka hati-hati yang tertutup menguatkan iman di dada dan ketabahan  menjalani hidup yang berbagai corak dan ragam.

Memohon agar Allah jauhkan kita daripada melakukan kekupuran, kekafiran, maksiat dan jauhi dari musibah.

Memohon agar Allah makbulkan semua doa yang baik, iratkan hubungan silaturrahim keluarga, suami/isteri, anak-anak, cucu, cicit dan sesama insan.
 Memohon agar Allah jadikan kita anak yang soleh kepada kedua ibu bapa.  

Memohon agar Allah jadikan kita seorang isteri atau suami yang taat dan setia pada pasangan.  

Memohon agar Allah jadikan ibu atau bapa yang pengasih dan bertanggung jawab kepada anak-anak.

Memohon agar Allah jadikan kita orang yang berakhlak baik sebagaimana Allah telah menyempurnakan kejadian kita. 

Memohon agar diberi ketabahan,kesabaran,kesejahteraan hidup dunia akhirat, kedamaian dan murah rezeki.
 Bertawakal, berharap dan berserah sebulat hati kepada Illahi.

Kita hanyalah manusia biasa lagi lemah semuga diberi Allah taufiq dan hidayah hendaknya.

Amin ya rabbul 'alamin...



 

.

Sunday, August 4, 2013

Nota Jalan Mesjid India

Assalamualaikum,


Dua hari lepas puteri sulung bawa Mak Long ke Jalan Mesjid India, pusat jualan tersohor bagi peniaga jalanan di kalangan penduduk tempatan bandaraya Kuala Lumpur.  Kami naik LRT ke situ kerana ia lebih mudah dari memandu kereta.  Lalu-lintas di kota terlalu sibuk.  Dari rumah kami menaiki taxi ke perhentian LRT, tidaklah jauh.  Tetapi kalau berjalan kaki berpeluhlah juga.  Kira-kira ini adalah kali ke empat atau kelima Mak Long merasa menaiki LRT semenjak projek ini ditubuhkan beberapa tahun lalu.  Hahahaha... Mak Long senyum sendirian memikir diri yang rasa kejakunan lagi kagum melihat dan mengalami kecangihan perkhidmatan pengangkutan moden negara sendiri.  Semua sudah menggunakan kuasa komputer canggih! Ya, Mak Long berasa bangga sekali melihat tanah air tercinta pesat membangun dalam rangka masa hampir 17 tahun iaitu dalam masa pemergian Mak Long ke negara asing.  Rasa tidak percaya dalam jangka masa itu beratus bangunan besar-besar dan menjulang tinggi tersergam tegap di seluruh bandaraya seperti cendawan tumbuh selepas hari hujan.  Bangunan lama "Perhentian Bas Stand Kelang" (nama yang sering disebut-sebut oleh orang kota) juga sudah dirobohkan menyembah bumi. 

I am very proud of my Malaysia!!!

LRT berhenti di Perhentian Mesjid India.  Kami bergegas keluar dari keretapi itu.   Mak Long hampir-hampir tidak mengenali suasana sekitar di kawasan tersebut.  Sibuk sekali dengan manusia dari berbagai kaum berpusu-pusu membeli belah terutama apabila menjelangnya hari perayaan bulan Syawal yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.  Separuh dari jalan itu ditutup dari lalu lintas memberi ruang untuk anak tempatan berniaga.  Di situ beratus peniaga jalanan memenuhi jalan raya menjual perbagai jenis pakaian terutama pakaian Islam moden.  Bangunan Wisma Yakin yang sangat tersohor dengan barisan peniaga-peniaga anak watan masih ada berniaga kain, baju hinggalah buku-buku agama pun ada.  Kalau ingin menempah membuat pakaian Melayu terutama baju Melayu lelaki, di situlah tempat pakarnya.  Mereka menyediakan pelbagai jenis kain yang sangat sesuai untuk membuat baju Melayu.  Mungkin upah jahitan juga berpatutan agaknya.  

Mak Long bukanlah hendak membeli belah, tetapi hanya mahu melihat dan menyusur kembali kenangan dan gambaran yang pernah Mak Long lewati berpuluhan tahun dahulu ketika menjadi sebagai penduduk kota raya.  Melewati kenangan nostalgia gitu.  Dulu-dulu tempat ini tidak begitu sibuk seperti sekarang.  Tidak ramai ada orang asing dari seberang berniaga di Jalan Mesjid India.  Kini sudah sudah berubah, didapati terlalu ramai, malah peratusnya sangat tinggi pada kiraan Mak Long orang seberang berniaga membolot mengambil alih peniaga Melayu.  Ke mana perginya peniaga-peniaga Melayu? 

Di suatu kedai kami singgah, jurujual itu juga seorang dari seberang lantas Mak Long bertanya, "Anda datang dari mana?"

"Saya dari Indonesia.... saya kawin dengan orang sini...."

Kemudian kami singgah di kedai lain yang menjual telekong pula.  Ingin pula untuk memiliki sepasang lagi telekong.  Macam-macam jenis dan warna telekong ada, bersulam penuh seluruh kain telekong menjadi tradisi kegemaran wanita Muslim sekarang.  Susah hendak mendapatkan telekong yang biasa-biasa tanpa bersulam tebal dan penuh berkerawang.  Mak Long tidak berminat langsong pada telekong yang berjahit sulam tebal dan berbunga penuh seperti yang terdapat sekarang.  Buat rasa gatal-gatal dan mencucuk sahaja bila memakainya hingga tidak khusyok bersolat.  Allah tidak pandang kecantikan atau harga telekong yang mahal untuk menunaikan solat.  Semuanya terletak pada keikhlasan hati sendiri untuk mendekatkan hati kepada yang Esa.

"Anda orang di sinikah?  Tanya Mak Long pada seorang anak muda, penjual telekong itu.

"Tidak, saya dari Indonesia.  Sudah lama saya tinggal di sini," terangnya.  Loghat percakapannya tidak banyak telor orang Indonesia lagi. 

"Sudah jadi rakyat Malaysia?", Tanya lagi kerana ingin tahu.

"Tidak jugak.  Saya kerja sini tidak perlu ada paspotnya....,"  jelasnya tanpa rasa takut atau bimbang.   Hmmmmm pendatang haram rupanya.  Boleh hidup dengan senang lenang dia.  Kemana lesapnya orang Melayu kita?  Agak menggeciwakan!  Kegusaran ini bermain-main di kepala Mak Long.... kalau begini keadaan berterusan sudah tentu Melayu akan hilang di muka bumi ini.  Wahai kaum Melayu bangunlah dari bermimpi di siang hari.  Ia merugikan kita semua!  Bangunlah demi bangsa dan Negara ....

Mesjid India masih ada.  Sudah lama masjid ini.





Bunga Raya Bunga Negara







 













Saturday, August 3, 2013

Nota Gara-Gara Mak Nyah

Assalamualikum,

Mak Long masih belum dapat menyesuaikan suasana tempatan.  Waktu hari siang tersenggut-sengut mata rasa mengantuk tidak terbendung.  Waktu malam mata celik segar macam si  burung ponggok.  Inilah namanya "jet lag" ya!?  Pada hari Isnin ini Mak Long perlu berurus di pejabat imigresen untuk memperbaharui passport Malaysia yang hanya tinggal kurang tiga bulan dari tarikh luput.  Mak Long ke pejabat imigresen Wangsa Maju sendirian tanpa ditemani oleh puteri sulung.  Naik taxi!  Tidaklah jauh dari rumah keluarga ke pejabat itu.  Sesampai sahaja menjejakkan kaki keluar taxi, Mak Long dikejutkan dengan beberapa orang wanita Tionghua menyerbu Mak Long.

"Cik!! Cik! ..... Mali!  Mali! Amik ngambor lor muatt paspot.... Boleh kasi mullah. mullah ma...".

"Cik! ... Saya moleh isikan morlangg aa sekali lepas tangkap ngambor...."  

Masing-masing berebutkan Mak Long memilih mereka.  Ishhhh!  Lemaslah dengan telatah mereka yang berani dan keterlaluan itu.  Mulanya Mak Long menjawab baik menerangkan tidak perlu khidmat mereka.  Aduhai!  Mereka terlalu mendesak kita...... Lama kelamaan tidak boleh jadi macam ini dan terpaksa berjalan laju meninggalkan mereka.  Mereka ikut terkejar-kejar dari belakang.   Teruk betul !!

Perkhidmatan membuat passport sudah bertambah baik dan cepat sekarang dengan adanya kecanggihan zaman ini.  Dalam masa satu jam lebih sudah siap passportnya.  Paling suka sekali bila sampai pat membayar.  Kata juruwang itu, "MR150.00 sahaja, Puan..."

"ehhh saya mohon untuk tempoh lima tahun, Cik...."

"ya, betul Puan.  Puan dapat harga istimewa sebagai Warga Emas!  Lepas ini Puan tunggu sejam hingga number Puan dipanggil untuk terima passport".

"Terima kasih, Cik...."  sambil tersenyum lebar sampai ke telinga.

Bagus juga jadi warga emas ni ya...., boleh mendapat beberapa keistimewaan yang disediakan.  Tempat duduk untuk menunggu juga berbaris-baris banyaknya tersedia.  Setelah beberapa minit Mak Long duduk menunggu, tiba-tiba masuk seorang Mak Nyah bangsa India melalui pintu masuk.  Berpakaian gaun pendek... pendek sependeknya warna merah garang.  Kalau dia membongkok ah... malunya!  Tinggi dan besar orangnya.  Rambut bertocang satu diletak di bahunya, sambil berjalan dengan lengang lenggoknya... Gaya mengiorkan!  Sebelah tangan memegang talipon bimbit di telingga dan lalu di hadapan kami sedang duduk menunggu.  Semua mata terpaku padanya tidak berkelip hingga dia hilang dari pandangan.  Tua, muda, kak aji, pak aji pun sama!   Beberapa minit kemudian Mak Nyah tersebut lalu semula di hadapan kami.  Haha... sekali lagi dia menguji keimanan kami, semua biji mata melekat padanya.  Beberapa orang anak muda di situ berpandangan antara mereka dengan senyum bermakna.... nakal hati orang muda!  Kelakar!  Wadooo haii...godaan dan cabaran di bulan Ramadhan.  Eh! Eh! Eh Mak Long!  Sedar diri tu........


 
 










Thursday, August 1, 2013

Nota Tidak Puasakah?

Assalamualaikum,
 
Semua penumpang dari berbilang bangsa dan agama dalam pesawat MAS itu sudah duduk selesa dengan mengenakan tali pinggang keselamatan.  Pihak anak-anak kapal pula sedang sibuk menyediakan hidangan minuman ringgan dengan sebungkus kacang tanah bakar kepada penumpang-penumpang.  Seorang daripada anak kapal yang jelita menghampiri Mak Long sambil menghulurkan bungkusan kacang dan minuman.
 
"Saya puasa...... " jawab selamba sambil merenung mukanya.  Tetapi tiada riaksi dari mukanya.
 
"Ooo..."  pendek jawab pramugari tersebut
 
Si jelita itu terus berlalu ke belakang meneruskan tugasnya menghulur hidangan ringgan itu kepada penumpang-penumpang lain.  Ramai juga orang Melayu di antara kami dan Mak Long beranggapan tentulah mereka juga orang Islam.  Ada yang menerima hidangan itu..... tidak puasakah mereka?  Mungkin mereka lupa atau beranggapan kerana bermusafir jauh dari tempat kediaman.  Yalah macam-macam kerenah manusia.  Sesungguhnya tidak baik beranggap buruk terhadap orang lain.  Cepat-cepat Mak Long berastrafal dan buangkan tanggapan itu...   Wahai... banyaknya dugaan ya..
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
.   

Nota Pramugari, ..... Senyumlah

Assalamualaikum,

Penerbangan SIA atau Singapore Air dari Moscow selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi jam 5:08 pagi.  Mak Long bimbang juga sekiranya pesawat sampai lambat, tentunya bermasaalah untuk meneruskan jadual penerbangan ke Kuala Lumpur pula.  Setelah keluar dari pesawat, Mak Long segera ke terminal 2 dengan menggunakan khidmat keretapi lapangan terbang.  Alhamdulillah semuanya berjalan lancar seperti yang dijadualkan.  Suasana di lapangan terbang pagi itu agak lengang dan tidak sibuk.  Masih terlalu awal ya.  Sempat jugalah membersihkan diri untuk menyegarkan penampilan diri sedikit.  Yang penting sekali dapat gosok gigi!  Cuba melakukannya ketika berada di bilik air pesawat.  Hmmm... rasa tidak puaslah....  Kemudian terus berlalu ke pintu perlepasan melalui peperiksaan keselamatan lagi!  Tidak lama menunggu untuk masuk ke perut pesawat.  Sementara menunggu, Mak Long hantar e-mail untuk Pak Long supaya dia tidak bimbang.
 
Di pintu pesawat penerbangan MAS, tiga orang pramugari jelita anak Melayu sudah sedia menunggu di muka pintu menyambut penumpang masuk ke dalam perut pesawat.  Tetapi kenapa ya.... mereka tidak senyum melihat kami datang!  Senyumlah!  Tugas sebagai pramugari pun satu tugas yang penting dan mulia.  Ia melambangkan kewibaan dan kemeseraan peribadi rakyat Malaysia yang terkenal dengan sentiasa senyum dan peramah lagi bersopan santun.  Kalau pun ada masaalah dalaman hendaknya janganlah ditunjukkan kepada orang lain terutama kepada orang-orang asing dari luar negara yang datang ke negara kita. Kesal rasa hati Mak Long dengan sikap mereka.  Entahlah .....

Bagi Mak Long, penampilan yang bijak, bersopan dan mesera amatlah penting apabila bertugas berhadapan dengan perkhidmatan awam.  Anda yang bertugas berhubung dengan awam ada ambassador negara.  
  Seperti tangapan ramai termasuklah Mak Long sendiri tentang orang Russia yang mahal senyuman.  Ramai beranggapan mereka sombong, tidak mesera!




Kuntum sebagai hiasan