Assalamualaikum,
Kehadiran ungas dan beberapa jenis binatang liar di sekeliling kawasan rumah sungguh menghibur dan menenangkan. Terasa keistimewaan yang dialami semenjak kami bermastautin di tempat ini yang dikenali oleh penduduk Texas sebagai ' The Hill Country'. Bandar utama ialah Austin iaitu ibu negeri Texas dan diikuti beberapa bandar lain saperti, San Antonio, San Marcus, New Braunfels, Canyon Lake dan lain-lain. Keadaan daerah ini berbukit, berbatu kikir dan agak gersang sesetengah tempat. Tumbuhan utama seperti pokok oak dan cedar tumbuh melata. Cuacanya pula panas kering dalam musim panas, sejuk di musim sejuk. Kadang-kadang ada salji turun tetapi tidaklah setebal seperti negeri-negeri sebelah utara Amerika. Kebanyakan pokok-pokok ini tidak berapa tinggi kerana selalu mengalami kemarau kering.
Dengan keadaan cuaca, tumbuhan dan lain-lain sebab mengamit berbagai jenis ungas, serangga dan binatang liar seperti rusa mengemari hidup di sini.
|
Rama-rama berwarna terang |
Berbagai jenis rama-rama sentiasa berada di musim bunga dan musim panas. Lazimnya rama-rama di sini tidak besar seperti terdapat di Malaysia. Mereka lebih kecil berbanding dengan rama-rama di negara berhawa tropika. Daerah Canyon Lake terutama di lurah sungai Guadalupe menjadi tempat beribu rama-rama berhijrah di musim bunga.
|
Cardinal jantan |
|
Cardinal jantan |
Burung cardinal sangat cantik. Cardinal jantan berwarna merah sementara yang betina berwarna kemerah-merahan. Cardinal gemar makan bijian kekacang dan bunga matahari.
|
Mocking bird |
|
Mocking bird |
Gambar di atas ialah mocking bird. Mak Long tidak pasti jika di Malaysia ada burung jenis ini. Ia suka menyanyi tanpa berhenti sepanjang hari sambil duduk di tempat tinggi seperti di atas tiang letrik. Kemudian terbang tinggi ke atas dan melayang turun semula ke tiang. Baru-baru ini ia suka bertenggek di cermin kereta/truck sambil melihat dirinya di cermin serta mengotorkan kereta! Perbuatannya membuat Pak Long tidak gemar padanya. "Burung ni nak kena.... agaknya!"
Tidak tahu pula nama burung ini. Ekornya bercabang dua dan panjang melebihi ukuran badannya. Baru-baru ini dua ekor gagak hitam hinggap di tiang letrik di mana burung mocking biasa hinggap. Anehnya burung di atas terbang mengelilingi gagak beberapa kali seolah-olah mengarahkannya pergi dari situ. Gagak berlalu dan burung itu mengekori terbang dari jarak dekat tinggi sedikit dari gagak. Apabila gagak hilang dari pandangan burung itu kembali hinggap di hujung pokok oak. Leka Mak Long melihat mereka.
|
Burung Kelicap hisap manisan dari bunga |
|
Burung kelicap suka air manisan |
Berbagai jenis burung ada. Biasanya sebahagian besar jenis burung-burung di sini, akan berpindah dan berhijrah ke tempat lain yang lebih panas dalam musim sejuk. Mereka akan kembali semula se awal musim bunga. Mak Long sentiasa menyediakan manisan untuk burung kelicap (humming bird) yang berbagai warna cantik dan bijiran untuk burung-burung lain. Burung kelicap paling digemari. Mereka datang se awal pagi selepas waktu subuh hingga waktu senja untuk menikmati manisan yang sentiasa tergantung di kawasan rumah. Burung ini berupaya menghisap manisan sambil terbang tanpa hinggap di mana-mana. Setiap minggu atau dua, Mak Long akan cuci tabong dan tukar manisan itu dengan manisan yang baru. Bancuhannya ialah satu cawan gula pasir dimasak dengan empat cawan air hingga menedeh kemudian dibiarkan sejuk baru dimasukkan ke dalam tabongnya.
|
Burung buzzard |
Di Texas burung buzzard (sebutan: buss ser) ialah burung berjenis besar berwarna hitam, dan kepala botak warna hitam atau merah. Rupanya menakutkan! Burung ini makan daging dan hidup dalam kumpulan besar. Mereka makan bangkai binatang beramai hingga tinggal tulang dan kulit bangkai.
|
Road runner |
|
Road runner |
Road runner pantas berlari dan terbangnya tidak tinggi. Selalu berkeliaran di belakang rumah memburu serangga.
|
Blue Jay |
|
Blue Jay |
Blue Jay cantik bermata besar sejenis burung yang suka bergadoh dan berebut makanan tidak kira samaada dengan burung lain atau tupai.
|
Burung Belatok |
|
Burung Belatok |
Burung belatok tidak macam yang terdapat di Malaysia. Kebanyakan mereka di sini berwarna kelabu dengan hitam berlorek-lorek.
|
Burung Punai (dove) |
|
Burung Punai (dove) |
Berpuluh-puluh burung punai setiap hari mengutip bijiran yang gugur dari kantong-kantong makanan burung yang kami gantong pada pohon oak. Suka melihat burung ini, nampak jinak tetapi liar.
|
Merpati |
Tidak banyak burung merpati datang.....
|
Itik |
|
Itik |
Sepasang itik, gambarnya dirakamkan di atas telah bertelor di dalam semak di belakang rumah kami. Kami tidak menyedarinya hinggalah suatu hari Pak Long mengetam rumput di kawasan itu. Pak Long terlanggar sarangnya menyerlakkan dua biji telor. Cepat-cepat diperbaiki sarangnya bimbangkan merajuk pula tuan punya telor itu. Sah, tidak berapa lama kemudian itik-itik itu kembali kehairanan sarangnya sudah berubah! Tidak pula kami ketahui apa nama itik tersebut. Bahagian kepalanya seperti disolek terutama bahagian mata dan muncung. Lehernya seperti berkalong serta kakinya pula berwarna merah. Sesungguhnya ada beberapa jenis burung lagi yang terdapat di kawasan kediaman kami.
Di bawah ialah gambar-gambar binatang yang terdapat di sekeliling kawasan kediaman kami. Tentunya apabila melihat gambar-gambar yang Mak Long tampalkan di sini membuat kalian berfikir kediaman kami di tempat jin bertendang. Sebenarnya, penduduk Hill Country melainkan di bandar mengekalkan keadaan semula jadi tanpa memotong atau menebang pokok di kawasan perumahan. Pokok-pokok diperlukan untuk memberi keteduhan di musim panas.
|
Tupai |
|
Namanya Hollis |
|
Arnab liar (Jack rabbit) |
Ada dua jenis arnab di sini. Arnab biasa berbadan kecil dan arnab jack atau jack rabbit bersais lebih besar dan mempunyi telingga panjang. Mereka makan tunas muda pokok kaktus yang banyak tumbuh di kawasan ini.
|
Musang |
Ya, musang pun ada .......
|
Rusa jantan |
|
Rusa tunggu jagong |
|
Rusa baru dua minggu lahir |
Terlalu banyak rusa di kawasan kami. Setiap pagi Pak Long menabur jagong di belakang rumah untuk rusa makan. Kadang-kadang hingga 20 ekor datang makan jagong dalam satu masa. Empat guni seberat 50lb kadang-kadang tidak cukup untuk bekalan seminggu. Malangnya rusa memusnahkan tanaman walau diberi makan atau tidak. Musim memburu rusa ialah dalam bulan November hingga February. Lesen memburu diperlukan untuk memburu atau mengail ikan. Mak Long suka melihat anak rusa. Tabiat mereka seperti kanak-kanak kecil suka berlari kesana sini tanpa memperdulikan keadaan sekeling. Tidak kesah makan!