Assalamualaikum,
Puteri S adalah puteri bungsu Mak Long. Selama setahun di tadika taman didikan kanan-kanak, enam tahun di bangku sekolah kebangsaan di Pantai Timur dan di Kuala Lumpur, dua tahun di Sekolah Menengah Taman Melawati, Selangor. Kemudian turut berhijrah ke bumi Amerika dan meneruskan pendidikan hinggalah berjaya memanjat ke mercu menara gading. Puteri S sentiasa berkerja keras dan menjadi seorang anak yang bertanggung-jawab dalam serba serbi. Mak Long sebagai ibu hanya memerhatikannya dan membantu di mana-mana yang perlu.
Mak Long sangat bangga atas pencapaiannya dalam bidang akademi. Sejak ia menjejakkan kakinya di persekolahan di Amerika, Puteri S telah berjaya mencapai dan terpilih sebagai seorang pelajar terbaik dalam beberapa bidang terutama ilmu kira-kira (sekarang disebut ilmu matematik kalau tidak salah Mak Long) dan lukisan. Ternyata curriculam pembelajaran dari Malaysia sangat tinggi kualiti dan nilainya setanding dengan sistem pembelajaran dari negara asing. Mengapa Mak Long berkata bergitu? Dalam mata pelajaran kira-kira umpamanya Puteri S telah pun belajar dan mendahului dari pelajar-pelajar seumur dalam sedarjahnya di Sekolah Tinggi di Amerika. Begitu juga mata pelajaran sains dan ilmu alam. Pun begitu Puteri S perlu memperdalamkan pengetahuan dalam ilmu sejarah Amerika sebagai salah satu mata pelajaran penting. Rakyat Malaysia patut berbangga dengan kebolehan pencapaian sistem pelajaran Malaysia. Malah Mak Long tidak nampak perlunya menghantar anak-anak Malaysia belajar keluar negara lagi. Kerana Malaysia Boleh! Mak Long tidak nafikan juga masih ada beberapa bidang yang kita perlu hantar pelajar keluar negara. Keluarga orang 'berada' lazimnya menghantar anak-anak mereka belajar keluar negara mungkin kerana mahukan nama dan taraf. Tetapi itu bukankah satu pembasiran terutama dari segi kewangan kerana universiti-universiti di Malaysia mampu menyediakan sistem pelajaran yang setanding dengan universiti di luar negara.
Puteri S telah menerima ijazahnya pada malam 10hb Mei, 2013 diraikan bersama beberapa keluarga yang turut hadir ke majlis penerimaan ijazahnya. Mak Long sungguh bersyukur dan bangga dengan kejayaan Puteri S. Bermakna sudah tammat satu perenggan tanggung-jawab Mak Long sebagai ibu memberi pendidikan utama dalam hidupnya. Namun tanggung-jawab sebagai ibu akan berterusan hingga ke akhir hayat. Mak Long bangga menjadi seorang ibu dan tiada penyesalan malah amat bersyukur kerana diberi Nya peluang untuk menikmati anugerah Nya.
Nota: Pengetahun ilmu itu adalah ibarat lampu penyuluh hidup......