Pages

Tuesday, June 11, 2013

Nota Sabun Buku Dan Rusa

Assalamualaikum,


Musim panas tahun 2013 sudah lama bermula.  Tahun lalu waktu ini biasanya sudah terlalu panas mencecah antara 90-110 degree F.  Ya, tahun lepas kawasan "The Hill Country" iaitu bahagian tengah dan barat Texas mengalami kemarau teruk dan getir. Kerajaan pusat melarang kami membakar sampah sarap atau daun-daun kering. Beberapa tempat lain mengalami kemusnahan alam; banyak kebakaran berlaku kerana terlalu kering memusnahkan kawasan perumahan dan harta benda di beberapa perkampungan.  Tahun ini alhamdulillah, kawasan kami sudah beberapa kali hujan turun walaupun masih belum mencukupi.  Paras air dam Tasik Canyon dulunya susut hampir ke aras  membimbangkan tetapi kini sudah naik lebih kurang satu kaki.  Namun kami masih perlukan hujan lagi.


Tasik Canyon, Texas
Garisan Putih Di Kaki Air Menunjukkan Aras Air Yang Susut

Minggu ini diramalkan hujan tetapi masih belum turun lagi, selain dari dapat melihat awan mendung di langit sahaja.  Mungkin hujan di tempat lain, tidak sampai di kawasan kami.  Rumput di sekeliling rumah pun mula menghijau berbanding tahun lepas kuning dan seterusnya kering.  Sudah dua kali sejak musim bunga Pak Long mengetam rumput.  Kali ini Mak Long tidak susah-susah lagi ketam rumput.  Pak Long sudah balik dan harap-harap dia tidak perlu keluar negara lagi.  



Pungut Dan Longgok Batu

Hari ini pagi-pagi lagi Pak Long sudah keluar bersihkan keliling kawasan rumah.  Punggut batu yang tidak habis-habis timbul di muka bumi dan lunggunkan di suatu sudu kawasan rumah.  Banyak betul batu timbul selepas hujan, besar-besar pulak tu!  Pukul sebelas pagi Pak Long terpaksa masuk ke rumah semula kerana suhu di luar sudah mulai panas terik.  Berpeloh-peloh Pak Long, habis segelas besar air kosong ditegoknya.  Begitulah keadaannya setiap hari kalau tidak ke mana-mana.  Cuaca mulai sejuk sedikit selepas pukul enam petang sebelum Maghrib Pak Long keluar semula sambung kerja-kerja yang tergendala.  Mak Long pun ikut sertalah.  

Petang kemarin kami ke Lowes iaitu sebuah pusat belibelah barang bahan pembinaan dan nurseri pokok di bandar New Braunfel.  Mak Long terpikat dengan pokok limau nipis tot tidak berbiji buahnya dan harganya pula sudah turun 50% dari harga biasa.  Belilah sepokok.  



Pokok Limau Nipis

Kami setuju tanam pokok limau nipis di belakang rumah sebaris dengan pokok lemon yang baru hendak hidup.  Pak Long bantu gali lubang, kemudian kami tanam pokok limau itu bersama.  Mudah-mudahan ia hidup dan mengeluarkan buah.  Mak Long bimbang kalau rusa-rusa pula makan habis daun pokok yang baru ditanam itu dan cadangkan supaya dibuatkan pagar keliling pokok.  Pak Long cakap tidak payah dipagar.  Ubatnya mudah sahaja katanya.... gunakan sabun buku yang kuat baunya seperti sabun mandi jenama "Irish" atau  lain-lain jenis.  Betulkah Pak Long cakap ni?  Sejak kami tinggal di sini sudah macam-macam cara kami buat untuk hindarkan tanaman dari dimakan rusa.  Semua belum berhasil lagi.  Pak Long bagi tahu seorang sahabatnya memberi petua itu.  Tanpa memberitahu dia diam-diam membeli beberapa buku sabun tersebut. Mak Long nampak sabun itu dibilik air tetapi tidak pula bertanya. Ingatkan dia hendak buat sabun mandi; rupanya hendak dipotong-potong dan tabur keliling tanaman yang rusa suka makan.  Untuk pokok limau nipis pula Pak Long guna dua buku sabun; ditebuk lubang di tengahnya kemudian diikat dengan tali serta gantung pada dahan pokok tersebut.  Kuat sungguh bau sabun "Irish", sampai rasa tersumbat lubang hidung!  Setelah siap kami tinggalkan dan masuk rumah.  Kami intai dari tingkap kalau ada rusa datang.  Eeyapp.... seekor, dua ekor, tiga, empat ekor datang keliling pokok limau.  Tiap-tiap seekor memanjangkan leher dan muncung menghidu pokok kemudian berlalu dari situ.  Uwaaa .... menajubkan!  Tidak sehelai pun jadi mangsa rusa hingga hari ini!  Mak Long senyum lebar senang hati.......



Sabun Buku (warna hijau) Digantung Pada Pokok Limau Nipis












        



No comments:

Post a Comment