Assalamualaikum,
Satu pagi hari Sabtu baru-baru ini kami pergi ke sebuah "garage sale" di sebuah rumah tidak jauh dari kawasan kami tinggal. Khabarnya mereka hendak lelong jual perabis semua barang. Pak Long kini gemar benar pergi ke "garage sales". Hampir setiap hujung minggu ada sahaja tempat yang mengadakan "garage sales" yang beliau minat hendak pergi. Sebabnya tidak lain dan tidak bukan untuk mencari kerusi besi (iron benches) lama yang sudah berkarat-karat buruk untuk dibuat perojek baik-pulih. Sudah banyak yang Pak Long baik-pulih benda kerusi, meja besi buruk itu. Bukannya untuk dijual, selain dari untuk semak-semak letak di merata kawasan rumah Pak Long bagi hadiah pada kawan-kawan dan jiran-jiran sahaja. Tidak bolehlah hendak bising-bising hahaha... lagi pun ia suatu' hobi yang baik. Mak Long pun sudah terikut-ikut gemar juga ikut beliau pergi ke "garage sale". Kadang-kadang ada juga rasa teringin hendak beli benda yang menarik dan murah tetapi kena fikir dulu samaada perlu atau tidak. Tidak suka jadi penyemak dalam rumah!
Kerusi yang telah dibaik-pulih |
Omputeh Mak Long perhatikan ramai yang tidak suka membasir membuang barang-barang yang mereka telah guna. Ada juga yang bermurah hati suka bersedekah barang-barang terpakai mereka kepada yang memerlukan. Orang-orang yang menerima pula tidak ada masaalah menggunakan barang-barang terpakai. Kebanyakan orang kita suka simpan barang-barang terpakai mereka hingga bertimbun berabok di dalam dan di luar rumah dibiarkan buruk begitu sahaja. Sayangnya..itulah membasir namanya!
Di "garage sale" itu Mak Long terpandang suatu benda tempat letak kek seperti dalam gambar di bawah. Cantik sangat pada mata Mak Long ... apa namanya? Dulang kek berkaki? Hahaha Mak Long tidak tahu apa benda namanya. Maka belilah cuma USD2.00 sahaja. Murah sangat macam bagi percuma sahaja.
Dulang kek berkaki dari tulang |
Sudak berada dalam kereta hendak balik rumah, Mak Long belek-belek benda itu lebih dekat lagi. Memang cantik dan halus buatannya. Hati pun bukan main suka dapat barang berharga dengan harga murah! Tiba-tiba mata Mak Long .. nah... terpampang tulisan "China Bone made from England" di bawah dulang itu. Alamak aiiii....! Sampai rumah Mak Long tanya cik google (mujur ada kemudahan internet!) dan dapat kefahaman dari beberapa sudut. Antaranya penulisan penerangan dari Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan alat pinggan mangkok china bone. Di bawah adalah tulisannya.
Mufti Wilayah Persekutuan
September 25, 2016
HUKUM PENGGUNAAN PINGGAN MANGKUK BUAT BONE CHINA
AL-KAFI LI AL-FATAWI: SOALAN 388 (19 SEPTEMBER 2016 M/17 ZULHIJJAH 1437H)
SOALAN:
Assalamualaikum Ustaz, Apa hukumnya memakai pinggan mangkuk yang ada perkataan "Bone China?"
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Bone China diterjemahkan menurut Kamus Dewan sebagai tembikar cina. Komposisinya memiliki 50% debu tulang, 25% batu Cornish. Tulang yang digunakan ialah tulang haiwan yang dipanaskan pada susu yang tinggi. Berkenaan dengan hukum, sepakat dalam kalangan ulama penggunaan tulang daripada jenis binatang halal yang disembelih dengan betul. Namun mereka khilaf dalam penggunaan tulang binatang halal yang tidak disembelih dengan betul, ataupun bangkai. Justeru, jika diyakini syarikat berkenaan menggunakan sumber tulang yang suci, makan ia bukan najis. Jika sebaliknya, maka ia adalah najis dan tidak sesuai digunakan sebagai bekas makanan.
Kami bersetuju dengan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-99 yang bersidang pada 4-6 Mei 2012 telah membincangkan mengenai Hukum Penggunaan Peralatan Dan Perhiasan Berasaskan Abu Tulang Haiwan (Bone China). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
* Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa berdasarkan mazhab Shafie, sifat kenajisan babi masi kekal dalam produk bone china dan sifat najis tersebut tidak akan hilang kerana proses istihalah dianggap tidak berlaku.
* Muzakarah juga berpandangan bahawa sekiranya penggunaan produk bone china yang berasaskan abu tulang haiwan yang tidak halal mengikut Syarak ini diharuskan, maka ia akan membuka ruang kepada penggunaan produdk-produk bersumberkan haiwan yang tidak halal mengikut syarak berleluasa.
* Muzakarah juga berpandangan bahawa peralatan atau perhiasan bone china tidak mencapai tahap keperluan (darurah) kepada masyarakat untuk memiliki dan menggunakaannya.
* Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan bahan peralatan atau perhiasan yang dihasilkan daripada abu tulang haiwan (bone china) yang tidak halal mengikut syarak, termasuk haiwan yang halal dimakan tetapi tidak disembelih mengikut hukum syarak adalah tidak diharuskan.
* Walau bagaimanapun, penggunaan peralatan dan perhiasan berasaskan abu tulang haiwan (bone china) yang halal dimakan dan disembelih mengikut hukum syarak adalah diharuskan.
Wallahua'lam.
Pautan ke laman rasmi PMWP: https://goo.gl/UhgNbW
Jadi begitulah hukumnya.... Mak Long kena bagi orang atau buang sahajalah jawabnya....
Cantiknya dulang tu Maklong, nice colours
ReplyDelete