Pages

Thursday, June 1, 2017

2017 : Meredah Colorado - Canon City

Assalamualaikum,

Dari catatan: 6hb Mei, 2017 (Hari pertama)

Colorado kami datang lagi!

Kami bertolak dari rumah seawal 8 pagi.  Dua beg pakaian Mak Long siap kemas malam tadi.  Satu beg Pak Long punya dan satu lagi itu Mak Long punya.  Tidak boleh kongsi satu beg lagi.  Payah!  Heh heh heh ... Ini perangai baru!  Petang semalam Pak Long tanggalkan kerusi belakang kereta membuat ruang lebih luas untuk keperluan dan bekalan yang kami bawa... kotak plastik berisi jajan, bekal minuman, beg berisi keperluan mandian dan sabun bersih muka, beg alat gaget (camera, ipad dan lain) dan sepasang seorang sepatu untuk berjalan atau memanjat bukit serta pakaian musim sejuk.  Penuh kereta macam hendak pindah.  Hendak berjalan jauh biasalah ... dua minggu atau lebih.

Kali ini jiran kami tidak datang menyebok menunggu kami bertolak seperti yang sudah-sudah!  Dia sibuk sikit katanya!  Lapang sikit kepala tidak serabut.  Semua kerja menyusun barang dalam kereta dapat deras selesai tanpa soal jawab itu dan ini.  Mulut setengah orang perempuan di mana-mana pun rupanya serupa sahaja ... banyak cakap!  Heiii tepuk air di dulang pulak orang tua ini.  Percik ke mana?  Bukan kerana sombong atau apa-apa, Mak Long cuma mahu semua dilakukan dengan tenang agar tidak ada barang tertinggal atau tidak lupa kunci rumah sebagainya.

Bandar Brady, Texas

Cuaca pagi sangat baik, masih terasa dingin pagi yang nyaman.  Pak Long tidak lupa pasang "alarm" keselamatan rumah setiap kali kami berpergian.  Kita berjaga-jaga dan waspada untuk keselamatan dan berserah kepada yang Esa.  Kami singgah di sebuah bandar kecil iaitu Bandar Brady untuk sarapan.  Kopi panas makan dengan waffle siram dengan sirap maple banjir.  Sekali-kali makan manis!  Tidak sedap pun jadi sedap bila perut sudah berkeroncong lapar.  Texas adalah sebuah negeri yang besar, hendak keluar dari negeri ini mengambil masa berjam-jam, hampir makan masa setengah hari juga walau pun rumah kami letaknya di tengah-tengah Texas, lebih kurang 2.1 kali ganda Malaysia.

Perjalanan kami menghala ke barat laut Texas dan ketika dalam musim bunga memang cantik, cuaca pun cantik.  Hampir semua pokok dan tumbuhan berbunga.  Padang ternakan subur menghijau segar.  Kambing biri-biri kelihatan semua sudah ditogelkan sedang memakan rumput di padang ragut.  Laluan kami masuk di daerah Eden, Texas di mana terdapat kilang pengeluaran bulu biri-biri.  Sebelum ini Mak Long tidak tahu yang Texas mempunyai pemgeluaran bulu biri-biri juga.  Terdapat juga ladang menternak binatang 'eksotik' seperti rusa jenis 'scimitar-horned oryx' diguna untuk sukan memburu.  

Kami berhenti mengisi minyak di daerah Painted Rock, Texas.  Adohai stesen pam minyak yang dikendali oleh orang India rupanya.  Mereka tidak berjaga kebersihan bilik tandas. Jarang terjumpa bilik tandas/air yang bersih kalau yang dijaga oleh kaum ini di USA.  Ini melalui pengelaman sendiri. 

Ladang gandum

Daerah ini juga terdapat penanaman gandum yang luas.  Baru pertama kali tengok penanaman gandum terdapat di Texas cara berluasan.  Hari ini dua pengetahuan baru yang Mak Long belum tahu dari sumba ekonomi Texas.  

Kincir Angin

Texas memang kaya dengan sumba ekonomi dari alam semula jadi.  Antaranya seperti beribu perojek kincir angin (windmill) pengusaan jana letrik dan perigi cari-gali minyak.


Perigi Cari-gali


Kami sampai dan masuk New Mexico selepas lapan jam perjalanan.  Lengoh kaki duduk, sampai kekadang duduk bersila dan kekadang berlunjur.  Keistimewaan bagi penumpang hihihi....  Kami sampai di Bandar Clovis, New Mexico dan bermalam di situ.  Kawasan bandar ini baunya semacam sahaja.....

Mak Long berasa letih setelah perjalanan begitu jauh sehari suntuk.  Di bilik hotel nampak sahaja tilam empuk amboi macam terasa dipanggil-panggil untuk baring dan lena.  Tenaga sudah tidak seperti zaman muda-muda dahulu.  Hati sahaja yang tidak berubah perasan berasa muda...!  Selesai solat dan berihat sebentar kami keluar mencari stesen cuci kereta.  Cermin depan kereta dipenuhi dengan serangga kecil bertepek pada cermin menyukarkan pengelihatan.  Orang sini panggil serangga ini 'bugs'.



7hb Mei, 2017 Colorado  (Hari kedua)

Malam tadi sebenarnya mata tidak berapa boleh hendak lelap, asik terjaga apabila badan berasa lenggoh-lenggoh.  Pagi ini selepas  bersiap-siap dan sarapan pagi kami sambung semula perjalanan ke Colorado.  Menurut minah gps perjalanan akan mengambil masa selama enam jam.  Lebih pendek sedikit dari perjalanan semalam.  Kalau naik kapal terbang masa perjalanan tidaklah sampai lima atau enam jam lamanya.  

New Mexico letaknya bersempadan dengan Texas.  Penduduk yang tinggal di daerah sempadan mempunyai cari hidup yang sama, iaitu petani dan penternak lembu dan kambing biri-biri.  Jenis lembu yang diternak adalah lembu daging.  Lembu-lembu tersebut ditempatkan dalam kawasan kandang luas, beratus ekar luasnya.  Melihat dari jauh nampak binatang-binatang itu diberi makan dedak bukan dilepaskan makan rumput.  Kawasan begini menghasilkan bau minyak wangi asli hahaha.  Keluar dari pintu hotel pun hidung sudah kembang kuncup.

Sepanjang jalan di kiri kanan adalah ladang ternakan lembu.   Bau harum semerbak tidak tertahan menusuk seluruh lubang hidung.  Bagaimanalah kalau cermin kereta yang tidak boleh ditutup rapat pasti pengsan...  


Tompokan salji 

Semakin jauh arah laluan kami ke utara cuaca bertukar menjadi dingin.  Malah selepas kami lalu daerah Clayton, New Mexico masih lagi ada kesan salji belum cair di tepi-tepi jalanraya.

Ketinggian aras (elevation) daerah ini ialah kira-kira 6,125 kaki lebih dari aras laut.  Pokok masih gondol hanya beberapa jenis tumbuhan yang baru hendak menjongolkan pucuk baharu.  Setengah pokok bunga dan rumput sudah mula mengeluarkan kembangan masing-masing.




Keadaan cuaca mulai mendung dan gelap dituruti angin mula bertiup kencang apabila kami sampai di satu daerah sebelah utara New Mexico.  Sekali lagi kami berhenti mengisi minyak dan segera berlalu dari situ supaya tidak terperangkap dalam cuaca buruk itu.  Perjalanan masih jauh lagi ke tempat yang ditujui.
Kami sampai di Canon City, Colorado lewat tengahari.  Canon City adalah daerah pertama dalam rangka lawatan kami tahun ini.  Cuaca di sini sejuk dan hujan di sesetengah tempat.  Mujur kami bersedia membawa pakaian untuk cuaca begini.

Tidak banyak yang kami lakukan sebelah petang, melainkan melihat-lihat keadaan bandar dan arah jalan kawasan tersebut supaya mudah pergerakan kami nanti.  Di samping itu kami mengambil beberapa keping risalah untuk bacaan dan panduan lawatan kami, meneliti tempat-tempat yang elok untuk kami pergi.  Malam itu kami rihat sahaja untuk mengumpul tenaga baru maklumlah perjalanan jauh mengambil masa dua hari lamanya.  Masa memandu kereta lebih kurang empat belas jam tidak termasuk berhenti sana sini.


8hb Mei, 2017 Colorado (Hari ketiga)

Pagi-pagi di Canon City, Colorado berasa sejuk.  Kami tidak tergesa-gesa keluar, orang putih kata "taking our own sweet time", Mak Long senang dengan keadaan begini tidak perlu gocok-gocok mengejar masa.  Dua malam kami tinggal di Bandar Canon City.  Selepas sarapan .. (makan telor rebus dengan quaker oat campur buah badam dan cranberry) kami mulakan aktiviti ke Stesen Keretapi Royal Gorge Train Ride.  Masih belum ramai lagi orang datang maka mudahlah tidak perlu beratur mengambil tiket kami.  Pak Long sudah menempah dua tiket khas untuk kami malam tadi jadi hanya perlu mengambil tiket tersebut di stesennya sahaja.  Oleh kerana banyak masa untuk menunggu kami cuci mata di kedai cenderemata yang tersedia di bangunan stesen keretapi.  Mak Long beli sebuah buku kanak-kanak untuk Anna cucu kami.  Buku cerita bergambar yang memberi peluang pada anak-anak yang membaca menampal "sticker" pada gambar-gambar yang terkandung dalam buku tersebut.  Pasti Anna suka.  Jadual keretapi bertolak pukul 12:30 tengahari.  Tidak berapa jauh dari bangunan stesen terdapat sebuah taman rekriasi.  Ramai juga orang-orang di situ melakukan pelbagai senaman jasmani seperti berjalan kaki, berbasikal dan lain-lain.  Puluhan ekor angsa besar-besar juga berkampung di sekitar kolam besar menabur najis merata tempat.

Stesen Keretapi Royal Gorge

Colorado adalah antara beberapa buah negeri di Amerika yang telah menghalalkan dari segi undang-undang kepada penduduk awam atas penggunaan dadah "marijuana".  Papan tanda seperti gambar di bawah adalah sesuatu yang biasa kelihatan di sana.  Malah ada kedai menjual secara besar-besaran.  Namum ada juga beberapa kedai atau kedai makan yang tidak membenarkan penggunaan dadah tersebut di kawasan mereka.

Menurut kata Pak Long juga dari bacaan yang Mak Long perolehi marijuana mengandungi kimia yang mampu mengubat beberapa jenis penyakit juga boleh menghilangkan beberapa tanda-tanda sakit.  Antara penyakit yang boleh dirawat dengan pengambilan marijuana ialah penyakit mata glaukoma. 




Gambar di bawah adalah keadaan dalam keretapi yang kami naiki.  Satu meja dikungsi dengan dua orang penumpang lain.  Makanan dan minuman juga ada disediakan.  Kami berpeluang berkenalan dengan mereka yang duduk semeja dengan kami Betty dan June.  Mereka datang bercuti seperti kami juga.  Mereka peramah dan menurut mereka setiap tahun mereka berdua bercuti bersama tanpa suami menemani mereka.  Suami mereka sibuk bertugas sebagai polis. 


Penumpang dalam gerabak keretapi

Keretapi bergerak perlahan memberi peluang kepada penumpang melihat dan menikmati pemandang sekeliling sepuasnya.  Kedudukan laluan keretapi tersebut adalah di tepi tebing Sungai Arkansas di mana airnya mengalir deras sesuai untuk sukan berkayak.  Sungai Arkansas adalah sungai yang panjang mengalir melalui gaung tinggi dan sempit.



The Royal Gorge dan jembatan gantung

Gambar di atas adalah antara gaung-gaung tinggi dan sempit terdapat di Colorado.  Di bawahnya mengalir anak sungai dan gaung tinggi diberi nama The Royal Gorge.  Ada sebuah jembatan gantung untuk menyeberangi gaung The Royal Gorge.  Manakala gambar di bawah pula adalah Sungai Arkansas yang berliku-liku sedangkan airnya masih sejuk..tidak ada siapa berminat hendak berenang di situ.

Sungai Arkansas

Gambar di bawah adalah gerabak terbuka bagi penumpang-penumpang melihat lebih dekat lagi dengan alam sekitar.  Kami pun tumpang sibuk di situ hihihi.  Di gerabak terbuka terasa terlalu sejuk bagi Mak Long jadi tidak lama berdiri di situ.


Gerabak terbuka

Nasib baik kita kini semua sudah dapat menikmati zaman alam serba canggih.  Ada internet dan macam-macam lagi.  Kalau dahulu kita guna kamera jenis isi filem kemudian filem itu perlu dihantar ke kedai gambar untuk dicuci kemudian baharulah dapat melihat gambar yang diambil.  Sekarang boleh ambil gambar seberapa banyak boleh dan lebih istimewa lagi gambar yang diambil boleh diubah suai dan dibuang gambar-gambar yang tidak dikehendaki.  Pak Long kata, "saving tons of money from buying and developing the films".


Pemandangan dari gerabak terbuka

Dari keterangan yang diberitahu oleh juru pelancung di kawasan pergunungan dan gurun yang penuh dengan batu-batu tajam dan merbahaya itu ada beberapa jenis binatang liar hidup berkeliaran seperti kambing gurun (big horn sheep), beruang serta itik dan angsa hidup di sepanjang perairan sungai.  Kami bernasib baik ketika berada di gerabak terbuka, kami berpeluang melihat beberapa ekor kambing gurun sedang melompat mencari makan di celah-celah batu gurun.  Gambar yang terpapar di bawah ini ada dua ekor kambing gurun.  Gambarnya nampak terlalu kecil dan warna bulu mereka menyerupai warna batu-batu itu.  Nampak tak?






Sungai Arkansas di kaki gaung

Walaupun cuaca sejuk tidak jadi penghalang bagi anak-anak muda daripada berdayung kayak atau perahu.  Seronok melihat kegilaan dan kegembiraan mereka bersukan.  Masa zaman Mak Long dahulu tidak ada semua kemudahan seperti itu.  Yang Mak Long tahu hanyalah mendayung perahu galer (perahu kecil, leper dan tidak dalam .... atok buat sendiri). Arwah atok hampir setiap hari pergi mengail ikan dan melukah undang di Sungai Muar menggunakan perahu itu.


Berdayung

Mana tidak seronoknya berdayung beramai-ramai macam dalam gambar di bawah.  Arus air pun laju.


Berdayung di Sungai Arkansas

Dalam gambar di bawah ini, nampak tak barisan kayu melintang di dinding gaung?  Itu adalah talian salur batang paip air yang menyalurkan air kepada penduduk daerah Royal Gorge dalam tahun lewat 1800an.  Juru pelancung memberi penerangan sedikit tentang batang paip air kayu (wood stave waterline) tersebut bahawa batang paip itu diperbuat daripada kayu redwood yang dibentuk lengkong kemudian dijadikan seperti tiub.  Apabila air mengalir di dalam batang paip itu keadaan relong redwood jadi kembang memampatkan lagi kayu redwood dan air yang lalu tidak tiris keluar.  Batang paip itu diikat dengan besi supaya tidak jatuh atau rosak.  Saluran batang paip tersebut masih digunakan hingga dalam tahun 1974.



Batang paip

Sebenarnya rombongan kami itu mengambil masa hampir setengah hari juga.  Petang baharu kami pulang ke hotel.  Petang itu kami menilau-nilau Bandar Canon City.  Setiap lorong bangunan kami lalui.  Setelah puas kami terus masuk ke US Highway 50, tidak tahu apa yang akan kami temu dan lihat.   Pak Long memandu tidak laju supaya mudah kami melihat semua papan tanda di sepanjang lebuh raya itu.  Tiba-tiba kami terpandang satu papan tanda "Skyline Drive of Hogback".  Tentulah kami berhenti di situ, tetapi tidak ada sesiapa, tidak ada sebarang kenderaan pun.  Boleh masoh ke?  Kami tertanya-tanya sendirian.  Ah! Kita masuk sahajalah kata Pak Long.  Hati Mak Long berasa was-was dan gayat apabila masuk sahaja ke jalan yang hanya muat-muat untuk sebuah kereta.  Kami berada di atas bukit yang tinggi boleh nampak Bandar Canon City dan US Highway 50.  Wow!  Gayat-gayat pun rasa seronok juga hahaha.  Pemandang sungguh menakjubkan.  Dua kali ulang Pak Long udah keseronokan.  Kali ketiga pada hari esoknya Pak Long mahu Mak Long pula merasa memandu jalan itu.  Mulanya Mak Long berasa takut juga, tidak mahu memandu, Pak Long pujuk supaya cuba memandu.  Terpaksalah beranikan diri.  Apabila tangan sudah pegang stering kereta, berasa seronok pulak hahaha...


Skyline Drive Hogback



Skyline Drive adalah sebuah jalanraya sempit di sepanjang sisi dan puncak bukit dipanggil Hogback di Canyon City, Colorado.  Ia jalan sehala dan telah dibina oleh buruh banduan pada tahun 1908.  Jalanraya tersebut bemula dari US Highway 50 naik mendatar beransur-ansur menyusur tinggi hingga ke sisi dan puncak bukit.  Gayat melihat ke bawah weii...  Mak Long tidak berani hendak toleh kiri dan kanan ketika memandu hahahaha...  Di puncak jalanraya ada disediakan tempat lapang sedikit  untuk berhenti membolehkan pengunjung melihat ke kiri dan ke kanan.  Memang indah pemandangan.  Jalan turun dari puncak pula seperti "roller coaster" sehingga berhampiran ke akhir jalan di mana pemandangan yang sungguh menarik dan indah menunjukkan kedua-dua belah bandar bahagian timur dan lebuh raya sebelah barat.  Ada dua selekoh tajam yang tidak ada kepungan untuk menghadang kenderaan dari terluncur ke bawah nun...  Jalan tersebut terus ke kawasan perumahan dan boleh terus ke "Downtown Historic Canon City" atau pusat bandar tua yang penuh bersejarah.    


Skyline Drive Hogback


Di bawah ini Mak Long kepilkan U-tube yang menunjukkan Skyline Drive Hogback, Canon City.  Mak Long tak pandai-pandai hendak masukkan video ke Utube sendiri.  Jadi pinjam dari orang lain punya.

















3 comments:

  1. Assalamualaikum Mak Long. Seronoknya baca catatan perjalanan Mak Long dan Pak Long.

    Terima kasih kerana berkongsi 😊

    ReplyDelete
  2. Alahai seronoknya. Texas mmg cantik Dan byk tempat menarik. Mama tumpang cuci Mata. Nk ke Sana ntah bila

    ReplyDelete
  3. Wahhh Mak Long, rasanya inilah cerita Mak Long yang paling panjang. Saya tak berkelip baca...Menarik Mak Long...gambar-gambarnya pun menarik! Terimakasih kerana berkongsi!

    ReplyDelete