Pages

Sunday, September 27, 2015

Nota Salam Apa Khabar?

Assalamualaikum,

Apa khabar semua?  Sekian lama Mak Long tidak membuat sebarang coretan di sini.  Lantaran kudrat dan kesihatan tidak mengizinkan berbuat demikian.  Kudrat untuk berfikir menjadi tumpul dan letih.  Namun mampu juga melawat ke beberapa blog kegemaran walau pun melalui beberapa masaalah untuk membaca.  Pengelihatan mata Mak Long tidak berapa baik buat beberapa minggu ini.  Mata terasa amat kering serta perit seperti ada habuk disebabkan penyakit kering mata.  Sudah lama mengidap penyakit ini sejak muda-muda lagi cuma tidak diindahkan kerana menganggap ianya perkara biasa-biasa sahaja.  Segera kami bertemu dengan doktor pakar mata yang merawat kami.  Rupanya Mak Long sudah ketinggalan satu temu-janji dengan Dr Singer ketika berada di Malaysia dahulu dan  kami lupa pula hendak membuat tarikh yang baharu walau sudah diberi peringatan oleh jururawat klinik.  Bising jugalah jururawat itu.. 

Alhamdulillah kini sudah beransur baik dan sangat bersyukur mendapat khidmat seorang pakar doktor mata yang berpengelaman luas dalam bidang yang diceburinya.  Dr Singer sentiasa memahami masaalah pesakitnya.  




Pohon Apple



Sunday, September 6, 2015

Nota Terapi (Therapy) Minda

Assalamualaikum,

Duduk rehat-rehat di luar rumah.  Angin pula bertiup sepui-sepui.. Alhamdulillah inilah hasilnya (lukisan No. 1).  Terapi minda yang sering Mak Long lakukan.  Segala serabut di kepala jatuh pada warna-warna lukisan Mak Long..

Lukisan No. 2 itu telah lama Mak Long lukis.  Guna color pensil kemudian disapu dengan sedikit air.  Mak Long simpan, entah kenapa suka sangat dengan lukisan buruk itu.  Sudah masuk tong sampah, Mak Long kutip semula dan simpan baik-baik dalam buku lukisan. 


No. 1





No. 2


















Saturday, September 5, 2015

Nota Garage Sale Lagi!

Assalamualaikum,

Dari catatan:

Ingat hari ini hendak lepak-lepak sahaja di rumah.  Buat kerja sendiri, diam-diam duduk di loteng.  Ada beberapa benda hobi lama yang hendak disudahkan dan sambung kerja semula... Macam-macam kerja yang sudah lama tinggal terbengkalai.  Niat hati hendak sudahkan salah satu dari jahitan quilt ker, atau sudahkan "painting" pada seketul batu yang dipunggut dari tepi sungai ker atau hendak muat turunkan gambar-gambar yang diambil beberapa lama lalu dari kamera ...  Jahitan quilt (ada empat helai bersusun dalam gerobok) itu.  Semua sudah terbengkalai sekian lama tidak berusik.. sampai jadi lupa corak apa hendak guna sebagai jahitan "quilting" iaitu jahit-hias melekatkan quilt dengan lapisan bawahnya..... issshhh!    



Quilt 

Gambar di atas adalah antara quilt yang terbengkalai jahitannya.  Sudah masuk dua tahun lebih tidak siap-siap.  Mulanya disebabkan kesihatan kedua-dua belah mata tidak sihat selepas menjalani pembedahan mata.  Setiap kali bila hendak sambung kerjanya ada-ada sahaja yang menghalang.....  Bilalah boleh siap? 


"Remember estate sale sign we saw yesterday, Dear? "  tanya Pak Long.

Hmmm.... Terbengkalai lagi kerja ku....

Istilah "Estate sale" juga dipanggil "Tag Sale" terdapat di beberapa daerah di Amerika.  Waktu yang biasa diadakan ialah di hujung minggu.  Estate sale adalah jualan barang-barang berupa harta benda atau harta pusaka keluarga seperti perabut, barang kemas dan barang-barang lain disebabkan kematian, bankrup, berpindah atau penceraian dan berbagai sebab lain.  Estate sale lazimnya lebih besar dari "garage sale".  Ia menggunakan khidmat agen di mana antara tugas agen ialah menandakan harga barangan dan menjualnya.  Orang luar dibenarkan dan dijemput masuk ke dalam rumah dan di sekeliling kawasan untuk melihat barang jualan dan seterusnya mereka boleh membeli kiranya berkenan.  

Hari ini kami pergi ke sebuah rumah yang mengadakan estate sale itu.  Ia hanya beberapa batu sahaja jauhnya dari rumah kami.  Ketika kami sampai di sana sudah ramai orang berkerumun baik di bahagian luar mahu pun di dalam rumah tersebut..  Besar juga rumahnya dan di sana kami dijemput masuk ke dalam rumah apabila selesai kami tinjau-tinjau jualan di luar rumah.    Bermacam-macam benda ada di dalam garage.  Melihat dari barang-barang yang terdapat di situ, mungkin tuan punya rumah tersebut adalah seorang tukang kayu.  Ada banyak alat-alat pertukangan kayu di situ.  Orang lelaki sukalah benda-benda macam itu.

Pak Long berkenan dengan sebuah bangku (bench) lama, kotor dan buruk rupanya.  Fram bangku itu diperbuat dari besi keluli dan lantainya dari kayu teguh tidak mudah rosak atau patah.  Mak Long tidak tahu jenis kayu apa agaknya.  Murah harganya.  Cepat-cepat Pak Long chup (perkataan orang kampung di Muar maknanya "book" atau tanda sudah ada orang hendak) terus agar orang lain tidak ambil hihihi...  Di dalam rumah semua barang sudah diatur dan bertanda dengan harga sekali di atas meja, di atas lantai dan di merata tempat...  Ada katil dan tilam, pakaian, alat dapur semua ada hinggalah barang makanan yang masih tersimpan dalam almari simpan barang makanan pun hendak dijual.  Banyak barang-barang berharga.  Mak Long hanya berkenan pada sebuah acuan untuk bakar kek.  Baru lagi belum digunakan dan harganya hanya USD2.00 sahaja.


Acuan kek

Itu sahajalah dua barang yang kami teringin dan setelah membayarnya kami ronda-ronda di tempat lain.  "Garage Sale" bagi masyarakat orang putih di sini memang tidak asing bagi mereka.  Barang yang tidak diperlukan lagi mereka jual atau dermakan kepada sesiapa yang perlu. 

Ada dua buah pusat popular di mana menerima semua jenis barang dermaan dari orang ramai.  Pusat-pusat itu dinamakan "Salvation Army" dan "Goodwill".  Pusat itu dianjurkan dan dikendalikan oleh badan agama kristian.  Barang-barang yang diterima akan dijual semula kepada orang ramai.  Keuntungan dari jualan akan diagihkan kepada masyarakat miskin dan memberi bantuan kepada anak-anak miskit ke sekolah.





Hobi Pak Long pula suka memperbaiki barang-barang lama seperti bangku yang dibeli itu.  Bangku itu dibuka satu persatu, kemudian dicuci menggunakan mesen "power washer" hingga bersih.  Apabila bersih dan kering, Pak Long gosok dan licinkan dengan "sand paper".  Kemudian baharulah dicat minyak dengan warna cekelat tua.   




Bangku sudah siap

Pak Long mengambil masa hampir empat hari mengerjakan baik pulih bangku itu.  Gambar di bawah ialah hasil usaha Pak Long.  Berjaya menukar wajah bangku dari bangku buruk, kotor dan berkarat kepada wajah baru!  Bangku ini adalah bangku yang kedua Pak Long perbaiki.