Pages

Friday, August 29, 2014

Nota Adik Angkat

Assalamualaikum,

Dari catatan hairan:

Perjumpaan Dengan Adik 

Hari itu Mak Long sempat  juga meluangkan masa untuk keluar bersama-sama dengan adik angkat dan menjadi sahabat karib kesayangan yang telah bersusah payah datang jauh dari Terengganu.  Hubungan kami rapat seperti isi dan kuku dan mengasihinya seperti adik sendiri.  Setiap kali Mak Long pulang ke tanahair, kami pastikan ada meluangkan masa untuk kami bertemu walau pun sekejap.  Perjumpaan kami biasanya di bangunan KLCC, Kuala Lumpur kerana ia tempat yang paling sesuai dan mudah sekali untuk pertemuan.  Bukannya tidak boleh bertemu di rumah keluarga Mak Long atau di rumah singgahnya di Kuala Lumpur, tetapi kalau begitu kami tidak dapat bercerita panjang dan bebas tanpa kedengaran ke lubang telinga lain.  Kami akan memilih sesuatu restauran untuk tujuan itu di mana sambil makan kami bersembang mengisi masa yang telah lalu.  

Kali ini kami bertemu di restoran 'The Chilies'.  Adik angkat WA ditemani anak gadisnya FA yang baharu sahaja pulang dari Australia setelah tammat pengajiannya di sana membawa pulang sekeping ijazah yang berharga untuk dirinya dan keluarga.  Ada sedikit oleh-oleh kecil yang Mak Long bawa untuknya.  Begitu juga dia, sentiasa sahaja ada-ada macam-macam buah tangan untuk Mak Long.  Lama jugalah kami di restauran itu hingga beberapa gelas teh  sejuk ditambah dalam gelas kosong kami.  Selepas satu cerita hingga ke satu cerita lain.  Selepas itu kami bercadang berjalan-jalan sahaja melihat kedai-kedai yang ramai penggunjungnya.  Mak Long tidak bercadang hendak membeli-belah.  Semua sudah ada dan tidak perlu apa-apa lagi.


Kami

WA ingin memperkenalkan Mak Long dengan seorang sahabat baiknya yang juga merupakan kawan se kolej dengannya di zaman remaja mereka dahulu.  Tempat yang kami setujui kali ini pula ialah di 'The Loaf' sebuah cafe yang dimiliki oleh yang tidak lain dan tidak bukan dari bekas Perdana Menteri Malaysia kita Tun Mahathir Muhammad.  Cafe ini menghidangkan berbagai jenis minuman panas dan sejuk dengan banyak pilihan jenis kuih manisan dan roti.  Setelah kami duduk semeja menikmati kopi dan beberapa jenis kudapan sedap, serba sedikit dari perkenalan yang baharu dan singkat itu memberi gambaran beliau adalah seorang pengusaha anak negeri Kelantan yang peramah, baik serta murah hati.  Nama timangan di antara kawan-kawan ialah Abae Ngoh yang mudah memberi senyuman dan gelak ketawa.  Mak Long diberitahu beliau juga telah berjaya menembusi dalam dunia usahan bidang pembinaan dan perumahan yang dimiliki sendiri.     

Mak Long berasa sungguh bangga dan menghormati dengan pencapaian ramai dari anak-anak bangsa sendiri berusaha keras tidak mengenal penat dan lelah dalam dunia usahan.  Mak Long sentiasa mendoakan dan mengharapkan lebih ramai lagi anak-anak Melayu jenerasi baru semua bangun dari tidur dan membela bangsa dan negara yang semacam sudah hilang kegemilangannya.

Kami berborak dari berbagai perkara.  Di akhir perjumpaan ini Abae Ngoh berjanji akan mengirimkan kopi Tenom yang menurunya sejenis kopi asli yang enak dari Malaysia Timur setelah mengetahui Mak Long suka minum kopi tanpa gula.  Rezeki kata orang jangan ditolak……  


Abae Ngah

Oleh kerana Mak Long datang ke KLCC dengan menaiki LRT, WA menghantar Mak Long balik dengan kereta baru BMWnya.  Bau baru masih belum hilang lagi.  Boleh tahan juga kereta mewah ni… laju, licin dan cantik.  Tambah pula dipandu oleh seorang wanita cantik molek lagi bergaya.  Doa Mak Long agar adik yang dikasih ini akan terus maju dalam dunia perniagaan yang diceburinya dan sentiasa dilimpahi Allah dengan rezeki yang melimpah ruah disamping diberkati dengan kekuatan iman di hatinya…. Ameeen...


Adik WA & BMW







Wednesday, August 27, 2014

Pulang Kerana Emak

Assalamualaikum,

Dari nota harian:

Penerbangsn Pulang kerana Emak


Dua minggu lepas, Mai adik bungsu Mak Long telah menghantar berita kurang baik mengenai Emak kami.  Emak semakin uzur, tiada selera makan dan minum.  Asik termenung sepanjang hari dan tidak mahu berkumunikasi sangat dengan keluarga.  Dalam minda Mak Long terbayang wajah Emak yang cengkong, pucat dan lesu.  Kesedihan dan kebimbangan terus melanda hati dan fikiran.  Ada peluangkah untuk bersama-sama dengan Emak membantunya lagi seperti yang sudah-sudah?  Dapatkah peluang berkata-kata dengan Emak lagi?  Dapatkah menatap wajah Emak sekali lagi? Hish!  Macam-macam serabut dalam fikiran.  Betullah orang kata orang perempuan mempunyai terlalu banyak persoalan dan masaalah bermain di kepala.  Perkara penting atau tidak tetap bermain di kepala.  Namun begitu seseorang wanita itu harus bersikap terbuka dan sentiasa menimbangkan masaalah itu dengan bijak tidak mengikut sesuka hati.  Segera Mak Long hubungi Mai untuk mengetahui keadaan Emak lebih lanjut.  

Katanya Mai, ia hanya bimbang dengan keadaan Emak begitu, mungkin tidak ada apa-apa berlaku pada Emak.  Mai berjanji memantau keadaan Emak dan akan membawanya bertemu untuk pemeriksaan doktor seterusnya menghubungi Mak Long atas sebarang perubahan pada Emak.  Berita penting seperti ini Mak Long wajib menghabarkan kepada Pak Long.  Pak Long menasihatkan agar Mak Long segera pulang ke Malaysia untuk bersama Emak samaada keadaannya teruk atau tidak.  Katanya "you never know how much time she has...."   Benarlah katanya itu, kita hanya ada seorang Emak sahaja.....

Pak Longlah yang berusaha membeli tiket penerbangan.  Kali ini Mak Long terbang dengan penerbangan Korean Air.  Harga tiket bagi dua hala pun sangat berpatutan.  Dulu pun pernah juga menaiki penerbangan ini beberapa kali tetapi tidak mengemarinya kerana destinasinya dari Houston ke Kuala Lumpur ketika itu mengambil masa lebih panjang dan terpaksa menempuh beberapa transit bertukar pesawat yang amat meletihkan.  Dari Houston ke LA menaiki pernerbangan biasa kemudian tukar pesawat menaiki Korean Air ke Seoul, Korea seterusnya baharulah ke Kuala Lumpur. Begitu juga dengan pernerbangan pulang semula ke USA. Mak Long sudah mengalami dan melalui beberapa pernerbangan seperti ini di mana masa transitnya pendek, terpaksalah bergegas segera ke pintu perlepasan seterusnya mengejar masa agar tidak ketinggalan penerbangan.  Apabila mengalami keadaan seperti ini hati tidak tenang penuh dengan kebimbangan.  Beberapa kali juga mengalami begasi Mak Long tidak sempat dimuatkan ke dalam pesawat yang dinaiki.  Bila ini berlaku, Mak Long akan sampai dahulu dari begasi dan begasi itu akan menyusul kemudian sehari lebih lewat.  Biasanya bila ini berlaku pihak penerbangan terbabit akan menghantar begasi hingga ke rumah dengan percuma.  Kali ini khidmat ke destinasi penerbangan mereka sudah bertambah baik.  Kini sudah ada penerbangan terus dari Houston ke Kuala Lumpur dengan satu persinggahan di Lapangan Antarabangas Incheon, Seoul sahaja.



Oleh kerana penerbangan ini bertolak awal pagi, kami bertolak satu hari lebih awal ke Houston untuk memastikan tiada masaalah trafik pada hari bertolak.  Alhamdulillah semuanya berjalan baik walaupun pesawat penuh samaada kelas pertama atau kelas ekonomi.  Mak Long terpaksa menerima tempat duduk agak jauh ke belakang pesawat tetapi selesa.  Peramugari semuanya mesera melayan penumpang.  Wanita Korea juga sangat cantik walaupun kebanyakan mereka ramai yang menjalankan perawatan kecantikan plastik.

Satu sahaja yang tidak dapat dielakan iaitu tentang permakanan yang disajikan.  Tidak banyak pilihan seperti terdapat dari pesawat-pesawat lain seperti Pesawat Singapore Air atau lain-lain pesawat, penumpang dibenarkan memilih sajian yang mereka inginkan.  Maka terpaksalah berhati-hati bila mana kita sebagai orang Islam patutlah berhati-hati makanan yang disajikan.  

Orang Korea sudah tentu tidak dapat lari dari permakanan kegemaran kebangsaan mereka iaitu kimchee.  Aduhai, kuat sungguh baunya menusuk penuh seluruh hidung  dalam  pesawat apabila mereka memanaskan makanan itu.  Orang Melayu pula  sudah tentu suka makan belacan, budu dan cencalok dimana baunya juga teruk pada orang yang tidak biasa baunya.  Nasib baik pesawat MAS tidak menghidangkan sambal belacan dan berbagai kalau tidak  tentu haru semerbak seluruh dalam pesawat bau belacan kebanggan kite orang Melayu.

Penerbangan selama 22 jam lebih sungguh menyeksaan.  Tambahan apabila pesawat penuh penumpangnya.  Penerbangan sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon tepat masanya seperti yang diramalkan.  Mak Long hanya ada satu jam sahaja untuk meneruskan pertukaran pesawat ke Kuala Lumpur.  Sempatlah cuci muka dan bersugi serta tukar pakaian bersih.  Penerbangan dari Seoul ke KLIA mengambil masa lebih kurang enam jam lebih dan selamat mendarat jam 10.00 malam.  Melalui pintu imigresen, menunggu begasi keluar dari karesol memakan masa juga.  Hampir jam sebelas baharu boleh keluar.  Anak lelaki kesayangan HQ sudah menunggu di antara ramai-ramai orang lain yang menunggu ketibaan penumpang-penumpang lain.  


Emak

"Syukur Mak selamat sampai..... Kami semua berdoa supaya penerbangan Mak selamat..." kata Hylmi nampak lega sambil memeluk Mak Long erat.  Hylmi memberitahu penerbangan MAS MH17 telah ditembak jatuh di kawasan peperangan antara Russia dan Ukrain.  Pesawat MH17 sedang dalam perjalanan pulang ke KLIA dari Amsterdam dan mengorbankan semua 283 orang penumpang dan 15 orang anak kapal pesawat.  Sesampai kami di rumah adik Mai, sudah ramai adik beradik lain sedang menunggu ketibaan Mak Long.  Masing-masing mengucap kesyukuran sambil bergilir-gilir memelok Mak Long selamat sampai, mesera dan penuh dengan kasih sayang.  Emak pun ada sama.  Air mata Emak mengalir sambil mengusap kepala Mak Long ketika Mak Long cium tangan emak dan memberi pelukan sayang padanya.  Kami bersyukur kerana terlepas daripada kecelakaan dan musibah yang tidak disangka…..
Alhamdulillah…

Di awal tahun 2014, satu minggu selepas Mak Long pulang dari Malaysia berlakunya musibah kehilangan pesawat Mas yang tiada siapa tahu di mana, mengapa dan apa terjadi dengannya.  Sesungguhnya Allah juga yang mengetahui.