Pages

Wednesday, December 18, 2013

Nota Ada-ada Sahaja

Assalamualaikum,

Cuaca sejuk-sejuk begini berat hati hendak melangkah keluar dari pintu rumah.  Ditambah pula tiupan angin kuat terasa maka bertambah sejuknya hingga ke tulang.  Pak Long pula sudah sibuk dengan kerjanya di dalam garage.  Mesin pemanas kuasa gas sudah dipasang untuk memanaskan dalam garage.  Radio di sudut tepi dinding sudah pun berkumandang di stesen "103.5-Bob Plays Anything" mendendangkan lagu-lagu orang putih kegemaran Pak Long.  Tidak mahu ganggu dialah......

Mak Long alihkan perhatian ke bilik jahitan, sambung kerja-kerja menjahit quilt yang masih terbengkalai sejak lebih dari satu tahun.  Disebabkan pembedahan pada kedua-dua mata terpaksalah semua kerja menjahit Mak Long ditangguhkan untuk sementara waktu.  Emak Mak Long pesan kalau  buat sesuatu kerja jangan tidak siap atau tinggalkan terbengkalai.  Tidak siapa suka menyudahkan kerja orang lain yang terbengkalai katanya lagi.  Benarlah kata-kata Emak.  Hai, baru hendak mula menjahit, dari anak mata ini pula ternampak pula lipatan quilt di sisi meja di hujung sana.  Berhenti dan tengoklah sekejap ….  Quilt yang ini pun perlu disambung kerjanya rupanya.  Banyak juga yang belum siap.  

Tiba-tiba sayup-sayup kedengaran suara Pak Long memanggil Mak Long dari luar…  Apa agaknya?  Mak Long segera turun ke bawah.  Yalah big boss panggil, sebagai isteri kenalah menghormati suami tersayang.  Tanpanya sunyi pula tidak seronok juga hidup ini.   

Pak Long berada di bahagian dapur kami, "Awak rasa panaskah?"  Apalah Pak Long ni, tanya orang rasa panas pulak!  Kan musim sejuk ni!  

"Kenapa?"  Tanya Mak Long tanpa menjawab soalannya.  

"I think our heater and air conditioner are not working, dear……"  Barulah Mak Long perasan di dalam rumah kami tidak berasa panas.  Mak Long pakai baju panas.  Alat air conditioner di luar tidak berfunsi seperti biasa.  Pak Long segera menalipon seseorang untuk melihat apa masaalahnya.  Kami bernasib baik, dalam masa 2 jam kemudian seorang mat saleh datang melihat masaalah dan didapati alat heater dan alat air conditioner sesuatu sudah rosak dan perlu diganti baru.  Dia tidak buat kerja membaiki hari itu dan berjanji kembali hari esok dengan alat ganti baru.  

Seperti yang dijanjikan mat saleh itu kembali dan menunaikan kerja memperbaiki kerosakan yang mengambil masa lebih kurang 3 jam.  Amboi!  Mahalnya harga membaiki kerosakan itu.  Alat heater dan air conditioner sudah berfunsi seperti biasa, bersyukurlah.  Harga alat ganti tidak seberapa tetapi upah memperbaiki itu yang sungguh tinggi harganya.   Harga alat ganti dan upah sahaja memakan belanja USD700.00.  Sudah setengah harga tiket kapal terbang untuk Mak Long balik ke Malaysia!   Sebab itulah orang-orang di sini lebih suka buat kerja sendiri daripada menggupah orang lain.  Tetapi dalam hal ini Pak Long tidak ada kemahiran membuat kerja-kerja itu dan terpaksalah memanggil orang luar.

Besok eloklah bakar kayu api di "fire place" itu buat ungun sebagai pemanas dalam rumah.  Akhirnya hari itu terbengkalai lagilah kerja menjahit quilt Mak Long!





Ungun Api




No comments:

Post a Comment