Pages

Thursday, November 27, 2014

Nota White Sands National Monument di Alamogordo, New Mexico

Assalamualaikum,

Dari catatan harian:





Sudah seminggu anak Mak Long HQ berada di Texas.  Hampir setahun lebih HQ merancang untuk datang ke Texas.  Baharu kini tercapai hasratnya dan doa Mak Long juga dimakbulkan.  Ada-ada sahaja yang menghalang HQ dari menunaikan kedatangannya ke Texas.  Setiap kali ada ura-ura hendak datang, ada-ada sahaja menghalang... HQ sedang melengkapi diri untuk peperiksaan di universiti; sedang tunggu interview untuk kerjalah, bila sudah dapat kerja sibuk pula dengan projek di tempat kerja dan tidak boleh ambil cuti.  Apa pun Mak Long senang hati dan bersyukur kini HQ ada bersama walau pun hanya buat beberapa minggu sahaja.  Alhamdulillah....

Kami tiga beranak menunggu ketibaannya dengan penuh kesabaran di Lapangan Terbang Antarabangsa George Bush, Houston.  Diam-diam Mak Long tidak putus-putus berdoa agar HQ selamat sampai tanpa masaalah.  Bagi SH pula sudah hampir lima tahun tidak bertemu abang kesayangnya.  Tentulah hatinya tidak sabar menunggu seperti hati ibu mereka, tertunggu-tunggu kemuncualan HQ dipintu keluar dari balai ketibaan.

Akhirnya HQ muncul juga dari pintu balai ketibaan sambil menyorong begasinya.  Senyum lebar meleret dia bila nampak kami.  Alhamdulillah anak Mak Long selamat sampai.  Nampak letih dia setelah mengalami penerbangan jauh selama 23 jam.  Hari itu kami tidak terus balik ke rumah sebaliknya menempah bilik hotel agar dapat membawah HQ melihat Bandaraya Houston sebelum pulang ke rumah.  Letih-letih pun HQ gembira dan bersedia melihat Texas.  Kami bawa dia melihat Pulau Galveston dan menaiki feri menyeberang ke tanah seberang.  Keesokkan pula kami bawa dia ke Freeport, tempat kami mula-mula tinggal di Texas lapan belas tahun dahulu.  Tengok rumah lama kami!  

HQ berhasrat membeli belah membeli beberapa barang untuk dirinya juga beberapa barang lain untuk dibawa pulang nanti.  SH sibuk melayan abangnya membeli belah.  Emaknya pun sama sibuk juga...

Sebelum HQ sampai kami memang sudah merancang hendak membawanya berjalan melihat beberapa tempat di Texas.  Tempat-tempat yang dirancang adalah White Sands National Monumen di Alamagordo, New Mexico, kemudian ke Big Bend dan Caverns of Sonora di Texas.  

Sehari sebelum bertolak ke New Mexico Mak Long pula tidak berapa sihat, demam dan batuk-batuk pula terutama waktu malam hendak tidur tetapi digagahkan jugalah.  Makan ubat mengikut jadual supaya segera sembuh.  Oleh kerana terlalu makan ubat pada hari kami bertolak Mak Long rasa duduk di awangan, macam mabuk dadah.  Pak Long dan anak-anak semua sudah siap, tinggal emaknya sahaja masih terhegeh-hegeh.  Aduhai ... berhentilah batuk dan sihatkanlah kesihatanku ya Allah.


7hb November 2014
Perjalanan bermula:



Perjalanan ke New Mexico


Pagi kami bertolak cuaca cerah serta sejuk menggigil.  Sesetengah tempat pula hujan panas renyai tidak menggangu perjalanan kami.  Mak Long tertarik dengan pelangi dua lapis seperti melengkongi jalanraya di mana sempat juga merakamkan gambarnya.



Ladang Kapas di Texas

Perjalanan ke Almagordo mengambil masa selama lebih kurang sepuluh jam dengan menggunakan arah jalan 'GPS'.  Pak Long dan SH bergilir memandu kereta.  SH pemandu kereta yang cermat dan baik namun hati Mak Long sahaja berasa takut.  Perjalanan kami hanya berhenti untuk makan tengahari dan mengisi minyak kereta di Daerah Midland, Texas menuju ke New Mexico.  



Ladang Kapas, Texas


Berhampiran daerah Midland ada banyak ladang kapas luas sayup mata memandang sedang memutih kapas sudah kembang di pokok.  Pokok kapas di situ tidak tinggi, kira-kira dua atau tiga kaki sahaja tingginya.  Sesetengah tempat kapas sudah dituai dan dikumpul menjadi "cotton bale".  "Cotton bale" ialah kapas yang sudah dituai dikumpul dan dipadatkan dengan mengikatnya dengan tali.


Perigi carigali minyak


Sepanjang perjalanan di daerah Texas Barat pula Mak Long lihat daerah itu terlalu besar dan luas saujana hingga ke kaki langit.  Tiada pokok-pokok tinggi hanya rumput reneh pendek dan keras menjadi tumbuhan utama di kawasan ini kerana ketandusan air.  Di situ juga terdapat beribu buah perigi carigali minyak di mana hampir seluruh kawasan dalam sepanjang perjalanan kami.  Ada perigi yang baharu dibuat dan ada yang memang telah sedia ada.  Semua perigi carigali minyak itu berfunsi dua puluh empat jam sehari.  Kaya Texas... Patutlah Mr Obama tidak suka Texas sebab orang Texas tidak mahu Obama menguasai kekayaan orang Texas.  Texas adalah negeri terbesar dalam Benua Amerika Syarikat.  


Perigi carigali minyak

Perjalanan masuk ke New Mexico berjalan lancar.  Suasana di Timur New Mexico juga hampir sama dengan Texas.  Tanahnya rata, tiada lurah, tiada bukit dan tiada gunung ganang.  Di sini juga banyak terdapat perigi carigali minyak.  Rumput keras yang tumbuh sudah kering kerana musim panas disulami dengan pokok cactus yang rendah sesuai dengan keadaan di situ.  Kami sampai di Hampton Inn, Alamogordo sudah masuk waktu maghrib.  Perut masing-masing sudah pun lapar untuk diisi.  Kami bermalam di situ selama dua malam.  Ubat yang Mak Long makan buat Mak Long tidur lena hampir-hampir kesuntukan waktu Subuh.  Musim sejuk waktu solat lebih cepat dan jarak antara solat lebih dekat.     



8hb November 2014
White Sands National Monument
Alamogordo, New Mexico



Alamogordo, New Mexico

Selepas sarapan pagi kami sudah bersedia untuk aktiviti lawatan ke White Sands National Monument.  Kamilah antara pelawat pertama sampai di pusat itu.  Suhu pagi itu 40 degree Fahranheit sejuk sampai ketulang.



White Sands National Monument

White Sands National Monument

White Sands National Monument

Laluan berjalan kaki
White Sands National Monument

White Sand National Monument terletak di Tularosa Basin di bahagian utara Chihuahuan Desert.  Sebutan Chihuahuan ialah "Chiwawa" .. eja lain sebutan lain!   Di situ ialah kawasan pergunungan semula jadi yang cantik dan menjadi salah satu dari keajaiban dunia ciptaan Illahi.  Pasir putih dan halus dinamakan "dunes of gypsum sand" bergerak dengan tiupan angin sepanjang 275 batu persegi desert menjadikan tempat itu padang "gypsum dune"  terbesar di dunia.




White Sands National Monument


Penunggang kuda di White Sand


Hanya beberapa jenis tumbuhan sahaja yang boleh tumbuh dan hidup dalam pertukaran dan pergerakan gypsum dune yang sering menimbusi mereka.  Begitu juga hanya beberapa jenis binatang dan serangga yang boleh hidup dalam keadaan di situ.



Tumbuhan Di White Sands National Monument



Cactus Agave di
White Sands National Monument


Anak-anak nampaknya sungguh gembira dan seronok dapat menjelajah kawasan baharu, tidak putus-putus mengambil gambar sekeliling.  Bagi kami berdua pula, kami mengambil kesempatan berjalan dari satu dune ke satu dune mengikut tanda jalan yang disediakan.  Hampir dua batu jauhnya kami berjalan kemudian berpatah balik ke kereta di mana anak-anak sudah menunggu.  

Kami keluar dari situ pulang ke hotel untuk makan tengahari dan menunaikan kewajipan diri. Apabila selesai seterusnya kami menilau-nilau bandar Alamogordo sebelum kembali semula ke White Sands waktu petang untuk melihat keindahan matahari petang pula.  Pemandangan ketika matahari masuk menutup tirai malam memang tidak menghampakan.  Cantik dan menakjubkan!



Matahari Petang



Senja di White Sand

Setiap saat matahari turun ke barat memperlihatkan tukaran warna-warna cerah yang indah.  Tidak puas-puas menatap kebesaran Illahi.....




Senja di White Sand

Berlatar belakangkan berwarna kuning jingga itu adalah bajaran pergunungan seolah-olah tabir jarang melindungi dune pasir putih itu.




Senja di White Sand


Akhirnya tabir kuning jingga menutup pintu malam..... malam tanpa matahari menambah menyejukkan suhu White Sands.