Pages

Tuesday, April 24, 2018

Barry Strickland 1

Assalamualaikum,


Dari catatan:

Membawa Barry pulang ke Texas tidak mudah dan merbahaya.  Kesihatannya membimbangkan.  Hanya dua cara membawa Barry pulang.  Pertama menggunakan khidmat helicopter tetapi terlalu mahal pihak insuran perubatannya tidak mahu menanggung perbelanjaan besar dan cara kedua ialah menggunakan perkhidmatan ambulan.  Pihak doktor-doktor yang bertanggung jawab atas keselamatan pesakit mereka membenarkan Barry meneruskan perjalanan jauh ke Texas hanya apabila beliau sudah bersedia.  Dalam perjalanan itu Barry mesti ditemani oleh seorang jururawat dan seorang pegawai perubatan dibekali dengan beberapa jenis ubat dan alat keperluan penting bagi membantu sebarang kemungkinan berlaku semasa dalam perjalanan itu.  Keadaan Barry ketika itu masih belum boleh duduk lagi dan ia diberi ubat tahan sakit dengan dos yang tinggi membuatnya tidak berapa sedar.  Segala urusan dibantu oleh Janell anak bungsu.  Sayangnya Julie berat sedikit perangainya...  Rupanya dia datang membantu Janell menjaga bapa mereka ada udang di sebalik batu....berharap agar bapa mereka tidak hidup lama...  Julie mahukan truck Barry untuk kegunaannya sendiri.  Berbalah lagi adik beradik itu kerana Janell tidak setuju dengan Julie!  Selagi Barry masih bernyawa, harta benda tidak boleh diambil atau dibahagi-bahagi lagi pun Barry ada wasiat.  Belum lagi mati, anak-anak sudah berebut harta!

Pak Long pula akan ke Ashville dengan penerbangan kemudian pulang ke Texas membawa balik motorsikal, truck dan trailer Barry.  (Ketika Barry bertolak dahulu beliau membawa motorsikalnya dengan truck dan trailer kemudian diletak di hotel tempat dia menginap apabila dia pergi menunggang motorsikal).  Ketika ini Mak Long pula terpaksa pulang ke Malaysia membantu arwah emak yang tidak sihat.

Perjalanan membawa Barry pulang mengambil masa lebih 20 jam.

Barry ditempatkan di sebuah pusat pemulihan khas di Bandar Kerrville, Texas.   Di pusat pemulihan tersebut Barry menjalani latihan bertutur, mengenal huruf dan number juga berlatih pergerakan kedua tangan dan kaki.  Tidak mudah tetapi Barry berusaha sebaik mungkin.  Barry berada di pusat pemulihan itu beberapa bulan kemudian berpindah ke Pusat Pemulihan The Hill Village yang tidak berapa jauh dalam daerah Kerrville juga di mana kosnya lebih rendah dan dipersetujui insuran perubatan.  Insuran perubatan di Amerika sangat tinggi, ramai yang tidak mampu mempunyai insuran perubatan ketika di bawah pentadbiran President Obama.

Di pusat pemulihan kedua ini semua program latihan diteruskan iaitu pertuturan dan gerak anggota.  Selain dari itu pusat ini melatih Barry mengurus diri seperti turun dan naik katil, memakai dan menukar pakaian sendiri serta cara mengguna tandas, bilik air dan membersih diri.  Pendeknya Barry terpaksa belajar semula cara-cara menjalani hidup sendiri tanpa bantuan.

Tiap-tiap minggu Pak Long meluangkan masa untuk bersama sahabatnya, kadang-kadang Mak Long ikut bersama.  Sepanjang masa Barry berada di kedua-dua pusat pemulihan beliau diberi ubat tahan sakit berlebihan dos sehingga tidak berupaya berfikir dengan baik, beliau berasa mengantuk dan penat sepanjang masa.  Janell bertanya dengan pegawai perubatan mengapa bapanya sentiasa mengantuk, letih tidak bermaya serta meminta senarai perubatan yang diberi pada bapanya.  Ubat tahan sakit rupanya yang menjadi sebab.  Janell mengarahkan agar tidak diberi ubat itu lagi.  Setelah tidak mengambil ubat tahan sakit beberapa perubahan pada Barry....lebih aktif dan mampu membuat keputusan sendiri.  Tangan kiri sudah boleh bergerak sedang tangan kanan masih belum.  Pertuturannya saban hari bertambah baik walau pun pelat.  Barry menyampaikan hasratnya untuk keluar dari pusat itu pulang ke rumahnya sendiri dan mahu mengupah jururawat menjaganya hingga betul-betul baik.  

Pusat pemulihan tersebut tidak sahaja menempatkan pesakit-pesakit yang memerlukan terapi, tetapi juga pusat menempatkan orang-orang tua yang tidak ada keluarga yang mahu menjaga kebajikan mereka.   Ramai juga penghuni orang tua di situ.  Hati Mak Long sedih melihat mereka, ada yang tidak pernah langsong menerima lawatan dari keluarga, ada yang terlalu uzur duduk tersepek di kerusi roda sepanjang hari di depan TV tanpa siapa menyapa.  Paling sedih ada dua tiga orang tua duduk di depan pintu keluar dan masuk menunggu kalau ada keluarga atau sahabat datang menemui mereka tetapi hampa!  Mereka melambai-lambai dan tanya "How are you?  Did you see who and who?.."  Walau pun semua kebajikan dijaga pihak pusat tetapi tidaklah sama sekiranya ada walau seorang ahli keluarga yang lebih perihatin datang menjengok.  Pak Long kata dia tidak hendak duduk di pusat pemulihat apabila sudah tidak mampun mengurus diri sendiri di rumah.  Allah hu.....

Janell anak Barry

Kami berpendapat lebih baik Barry tinggal bersama Janell, masaalahnya Janell tinggal di apartment dua bilik dengan dua orang anaknya tambahan terpaksa turun naik tangga.  Kami biarkan mereka dua beranak berbincang sendiri berkenaan membeli sebuah rumah yang sesuai dan selesa buat Barry.  Itu urusan mereka di luar kuasa kami.  Tambahan Barry memang merancang hendak membeli sebuah rumah baru berhampiran kami di Canyon Lake apabila dia pencen nanti.  Hasratnya menjual rumah lamanya di Alvin terlebih dahulu, kemudian dari hasil jualan baharulah beli rumah baharu.  Akhirnya Barry bersetuju agar Janell menguruskan menjual rumahnya di Alvin dan mencari/membeli rumah di kawasan Kerrville memandangkan Janell berkerja di situ.  Pak Long membantu memindahkan barang-barang rumah di Alvin.  Sebahagian darinya diletak sementara di garage rumah kami seperti motorsikal Harley Davidson kedua dan sebuah truck.  Kedua-dua kenderaan Barry minta Pak Long bantu jualkan.  Alhamdulillah kedua-dua kenderaan itu dapat dijual dengan harga yang berpatutan.



Truck dan trailer Barry

Inilah truck yang Pak Long berjaya tolong jualkan untuk Barry.

Dengan hasil penjualan rumah di Alvin, Janell berusaha membeli sebuah rumah lama tiga bilik dan membuat beberapa perubahan khas untuk bilik tidur Barry.  Apabila semua sudah sedia baharulah Barry selamat pulang ke rumah baharunya.  Jururawat datang merawatnya dua kali seminggu dan seorang pembantu datang setiap hari menguruskan Barry.  Tugasnya membantu Barry mandi, menyediakan makan dan memberi ubat apabila Janell kerja.

Keadaan Barry bertambah baik dan boleh menapak dalam rumah dengan tongkat dan walker.

Nota:

Gambar-gambar di bawah diambil kira-kira sebulan sebelum kemalangan setelah dia pencen.  Barry telah mengunjungi kami sebelum beliau bertolak ke Ashville, North Carolina.

Truck dan motorsikal di atas trailer

Dengan motorsikal ini Barry telah puas menunggangnya hampir seluruh Texas dan beberapa tempat lagi di negara ini.


Barry dan motorsikalnya

Barry memang suka menunggang motorsikal dan menjelajah Benua Amerika termasuk Canada dengan kenderan motorsikal berinjin besar.  Gambar di bawah adalah motorsikal BMW yang ditunggangnya dari hujung timur hingga ke barat Amerika Syarikat dalam masa hampir dua tiga bulan perjalanannya.  Terlalu banyak pengelamannya dalam pengetahuan dan selok belok menunggang motorsikal, tetapi walau bagaimana bijak dan berhati-hati dalam sesuatu itu masih ada kelemahan yang kita tidak tahu dan duga.


BMW Barry 
















No comments:

Post a Comment