Pages

Saturday, June 17, 2017

2017 - Meredah Colorado - Colorado Spring

Assalamualaikum,

Dari catatan:

9hb & 10hb May 2017

Amboi bukan main lena Mak Long tidor malam tadi.  Hampir-hampir melepas Subuh.  Adohai orang tua inilah!  Kenyang makan sandwich sayuran dari restauran segera Jimmy John's agaknya!

Selepas sarapan kami teruskan perjalanan ke Colorado Spring, Colorado.  Cuaca sejuk, lebih sejuk dari yang Mak Long agak.  Colorado menikmati cuaca panas hanya dari June hingga September sahaja.  Di Texas waktu macam ini memang sudah panas berdenting.


Perjalanan ke Pikes Peak

Rancangan kami untuk hari ini ialah melawat ke puncak Pikes Peak dengan menaiki keretapi Pikes Peak Cog Railway.  Puncak Pikes Peak adalah rangkaian banjaran pergunungan Rocky Mountain sebelah timur Colorado mempunyai ketinggian 14,115 kaki dari aras laut.  Tempat pelancungan yang kerap dikunjungi pelawat oleh kerana keindahan alam semulajadi.  Malah Pike Peak dinobatkan sebagai sebuah gunung kedua yang paling ramai dikunjunggi selain dari Gunung Fuji di Jepun.  Pak Long sudah menempah tiket untuk kami berdua beberapa hari lalu dikuatiri jualan tiket cepat habis.  Perkhidmatan keretapi ke puncak gunung itu berkhidmat sepanjang tahun melainkan dalam cuaca buruk yang merbahayakan.  Kami diberitahu ramai juga pendaki-pendaki gunung cuba mendaki hingga ke puncak Pikes Peak dengan berjalan kaki.  Juga ada beberapa acara sukan mendaki naik dan turun gunung itu dalam bulan Ogos setiap tahun.  Bukan itu sahaja, malah dalam musim panas terdapat pula sukan perlumbaan memandu kereta.  Sukan tersebut telah menarik beribu peserta dari seluruh dunia.



Landasan Keretapi Pikes Peak Cog

Cuaca hari ini pulak mendung menandakan juga hari akan hujan bila-bila masa sahaja begitu juga suhu pun sejuk.  Rancangan terpaksa diteruskan sedangkan tiket kami sudah ditempah.  Perjalanan dari Canon City ke Colorado Spring tidak jauh sangat.  Jalanraya yang membawa kami ke stesen keretapi Pikes Peak berliku-liku dan sempit.  Bangunan rumah-rumah peranginan dan hotel terlalu berdekatan dengan jalan.  Seriau rasanya!  Tompokan salji masih kelihatan dan jalan pun agak licin.  Kami sampai di stesen lebih awal dan setibanya di kaunter tiket, penjual tiket memohon maaf dan memberitahu khidmat perjalanan keretapi hari ini hanya setengah jalan sahaja.  Menurutnya adalah disebabkan ribut salji berlaku di puncak Pikes Peak waktu malam tadi dan tidak selamat membawa penumpang keretapi memanjat gunung.  Penjual tiket bertanya jika kami masih mahu turut serta dalam perjalanan serta bayaran yang terlah diterima akan dikembalikan.  Kami masih mahu meneruskaan rancangan kami..bayar separuh sahajalah.  Sekiranya kami tidak juga teruskan rancangan itu, entah bilalah pula kami akan ke situ lagi.



Keretapi Pikes Peak Cog

Ramai juga yang masih mahu meneruskan menaiki keretapi.  Ada tiga buah gerabak semuanya tidak panjang seperti keretapi lain yang telah kami naiki.  Gerabak pertama dan kedua menempatkan pelawat-pelawat seperti kami sementara gerabak ketiga bahagian belakang pula dipenuhi oleh murid-murid sekolah berumur dalam lengkongan sepuluh hingga sebelas tahun.  Porak dan riuh rendah jugalah sehinggalah terpaksa guru-guru bertugas mengawal lebih ketat lagi.  



Kabus tebal di pergunungan

Perjalanan kami di peringkat permulaan keadaan di pergunungan mengalami kabus tebal.  Salji juga tebal di bumi.  Sekiranya memandu kenderaan memang tidak boleh nampak dengan jelas.


Dalam gerabak keretapi

Keadaan cuaca bertambah baik apabila keretapi semakin tinggi naik ke atas pergunungan.  Pemandangan di kiri dan kanan amat menakjubkan keindahanya.  Indahnya ciptaan Allah.  Tingkap cermin keretapi boleh diturun-naikkan untuk kemudahan penumpang melihat di luar lebih jelas.  Tingkap sebelah kami hanya diturunkan apabila Mak Long mengambil gambar, kemudian cepat-cepat ditutup semula.  Sejuklah!


Salji tebal


Seperti yang diberitahu awal tadi, keretapi hanya sampai di pertengahan pergunungan sahaja.  Keretapi diberhentikan di suatu tempat selama lebih kurang tiga puluh minit, kemudian menerusakan perjalanan menurun ke stesen keretapi.  Kami keluar melihat suasana dalam hutan di pergunungan tetapi tidak lama.  Tidak tahan kesejukan hahahah..


Salji tebal

Kami rasa terkilan juga keretapi tidak dapat terus ke puncak Pikes Peak, tidak ada rezeki     kami.  Tetapi kami tidak berputus asa.  Kami belek-belek beberapa keping risalah yang kami peroleh dari hotel.  Satu dari risalah tersebut ada Pikes Peak Highway.  Bolehlah!  Ada orang tersenyum lebar dari telinga ke telinga.  Jadilah kami ke situ ajelah...  manalah tahu boleh naik sampai ke atas sana.  Pak Long arahkan minah gps ke sana.  Perjalanan tidak berapa jauh dari stesen keretapi tadi melalui berhampiran dengan bandar juga.


Bangunan pintu masuk ke lebuhraya bertol

Lebuhraya Pikes Peak mempunyai jarak sejauh sembilan belas batu sebelum sampai di puncaknya.  Ia adalah satu-satunya jalan yang paling indah di muka bumi Allah ini yang pernah Mak Long lihat dan lalui.  Sentuhan angin alam semula-jadi memberi nikmat ketenangan jiwa dan keindahan mata memandang.  Namun di dalam masa yang sama ia juga mengerikan dengan jurang selekoh tajam yang amat merbahaya sekali kiranya nasib malang kenderaan terbabas.  Keseluruhan lebuhraya itu tidak mempunyai pagar atau tembok untuk menghalang kenderan dari terbabas ke dalam gaung.  Kalau berlaku nahas memang tidak ada harapanlah melainkan dengan kuasa Allah.



Leburaya Pikes Peak

Kami sampai di gate masuk ke lebuhraya dan disambut baik oleh seorang pegawai "ranger" berbangsa Korea yang bertugas dan beliau sangat peramah.  Beliau memberi penerangan dan nasihat yang terperinci tentang keselamatan cara memandu naik dan turun Pikes Peak Highway dalam cuaca sejuk bersalji.  Menurutnya ada kejadian runtuhan salji dari ribut malam semalam sangat tebal, licin dan merbahaya terutama di puncak Pikes Peak.  Kami hanya dibenarkan memandu naik ke atas hingga ke batu tanda ke 13 sahaja di mana di situ katanya akan ada seorang pegawai "ranger" bertugas di tempat itu.  Tidak boleh pergi ke puncak!!  Alaa kata hati!  Setelah membayar toll dan menerima peta lebuhraya dan risalah, maka kami pun teruskan perjalanan kami naik ke atas.  Dari pintu masuk ke lebuhraya tersebut sahaja keadaan jalan itu sudah mendatar tinggi dengan ketinggian 7,400 kaki dari aras laut.  Tinggi oo..




Saujana alam luas

Bagaimana pemandangan dari atas lebuhraya di situ?  Masya Allah tidak mampu hendak Mak Long bayangkan betapa indahnya di situ dengan pokok-pokok pine tinggi meruncing ke langit dibalut oleh salji putih bersih.  Sedang di buminya pula memang sudah diliputi salji tebal membuat suasana mengeluarkan bau aroma dari pokok pine serta alam semula jadi yang nyaman.  Terasa tiupan angin sejuk menampar muka.  Segalanya itu tidak dapat dirakamkan melalui gambar atau video.  Luasnya kuasa Pencipta tidak dapat dibandingkan dengan apa sekali pun.


Salji meliputi gunung


Kami selamat sampai ke batu tanda ke 13 .... hmmm mana orangnya?  Tidak ada siapa pun di situ!  Gate pula terbuka luas dan keadaan lebuhraya nampak kering tiada air batu di permukaannya.  Pak Long berhentikan kereta dan kami tunggu seketika .... tiada siapa kelihatan pun.  Pak Long berpendapat mungkin mereka sudah benarkan pelawat-pelawat meneruskan memandu ke atas.  Lagi pun cuaca yang sejuk beku mungkin pegawai itu tidak perlu susah-susah tunggu di situ.  Tempat bertedup pun tiada.  Maka kami teruskan naik ke atas perlahan-lahan hingga sampai melalui batu-batu tanda ke 14, 15, 16, 17, 18 hinggalah seterusnya ke batu tanda ke 19.  Di situ gate tertutup tetapi tidak juga nampak pegawai "ranger" yang sepatunya bertugas di situ.  Salji di kawasan itu tebal dan jalan juga licin kerana air batu.  Hanya lebih kurang satu batu lebih sahaja untuk sampai ke puncak Pikes Peak.  Melihat keadaan begitu mengingatkan peristiwa pengelaman yang kami alami ketika berada di pergunungan di California tahun lalu.  Merbahaya!!  Pak Long berhentikan kereta dengan berhati-hati dan letak kereta di sisi jalan.  Rupanya ramai pelawat-pelawat lain yang sudah sedia sampai di tempat itu lebih awal dari kami tetapi mereka semua tidak berani naik ke atas di puncak memandangkan salji tebal berbukit-bukit sedia untuk runtuh.  Kebanyakan mereka itu adalah anak-anak mudah warga India sedang berseronok main salji bagai hendak gila!  Hahaha.  Tidak lama kami di situ.  Kami kesejukan dan perlahan-perlahan memandu turun gunung.  Walau pun tidak tercapai hajat untuk ke puncak Pikes Peak, cukuplah buat kali ini.  Mungkin di lain kali kami akan datang lagi ke situ.  Mungkin bila cuaca lebih baik dan tidak sesejuk seperti sekarang.



Glen Cove Inn

Dalam perjalanan turun kami berhenti sebentar di hadapan Glen Cove Inn (gambar di atas), tetapi tidak masuk ke dalam bangunan.  Di situ ada disediakan restauran kecil menyediakan minuman panas, menjual barang-barang cenderamata dan bilik air.


Crystal Creek Reservoir

Kami terus turun perlahan-lahan sehingga kami sampai dan singgah di tempat rehat di Crystal Creek Reservoir.  Di dalam bangunan terdapat berbagai jenis cenderamata  yang unik dijual juga beberapa jenis pakaian musim sejuk.  Harga pun agak mahal juga jadi hati pun tidak berasa teringin hendak membeli.   


Crystal Creek Reservoir

Ketika kami sedang membelek-belek barang-barang seorang pegawai ranger masuk.  Beliau memberitahu kami yang mereka akan menutup semua gate.  Ribut salji diramalkan akan turun dalam beberapa jam lagi dan menasihatkan kami agar segera turun ke pengkalan bawah.  Pak Long memberitahu kepada beliau masih ada ramai lagi pelawat di aras papan tanda batu ke 19 di mana gate ke puncak telah sedia ditutup.  Bermakna terpaksalah beliau gigihkan naik ke sana memberitahu mereka-mereka di atas sana supaya meninggalkan tempat tersebut.

Menurut penerangan dari penjual kedai cenderamata itu, ramai pelawat datang untuk menyaksikan perlumbaan kereta di lebuhraya itu yang sering diadakan dalam musim bunga dan musim panas. 


Crystal Creek

Hehehe walau pun begitu sempat juga kami menikmati keindahan di kawasan Crystal Creek itu.  Mak Long terjumpa seekor jenis tupai comel yang dipanggil "chipmunk" sedang membuat sarang.  Dalam gambar di bawah mulutnya penuh dengan rumput kering bahan membuat sarang.  Tengoklah chipmunk comelkan?


Chipmunk

Kami selamat sampai kembali ke bahagian bawah lebuhraya, hari pula sudah petang, cuaca pun sejuk.  Kami terus pulang ke hotel, esok rancangannya kami akan ke Durango menaiki keretapi lama menggunakan kuasa arang batu.  Setelah sampai di hotel Pak Long cakap sebenarnya beliau pun terasa cuak dan seriau juga ketika memandu di lebuhraya itu.  Banyak selekoh tajam tanpa sebarang pagar sebagai pelindung. 


10hb Mei, 2017

Pagi-pagi yang cerah dan ceria membuat hati pun berasa riang begitulah bisik hati sendiri.  Selepas sarapan Mak Long capai dua bag kertas bekalan yang mengandungi air, buah apple, roti muffin dan gula-gula angin (disediakan oleh pihak hotel untuk tetamu yang berpergian) meneruskan perjalanan kami ke Durango untuk menaiki keretapi ke Bandar Silverton.  Ini adalah kali kedua kami ke sana.  Kali pertama kami  ke sana dahulu dalam tahun 2015, tetapi kami hanya dapat naik keretapi sampai setengah jalan sahaja dan tidak dapat meneruskan hingga ke Bandar Silverton disebabkan runtuhan ribut salji teruk menimbus laluan keretapi setinggi dua puluh lima kaki.  



Papan tanda ke Royal Gorge Bridge Park

Perjalanan ke Durango melalui Royal Gorge Bridge Park jadi kami singgah ke sana.  Sambil menyelam sambil minum airlah...



Pemandangan jambantan gantung
Royal Gorge

Sebenarnya kami memang tidak ada rancangan datang ke sini kerana kami pernah berkunjung ke Royal Gorge Bridge Park kira-kira tujuh tahun lalu.  Tetapi alang-alang sudah berada di kawasan itu, kami singgah jugalah untuk ulang tengok!  Dalam masa tujuh tahun berlalu hingga sekarang ternyata telah banyak perubahan berlaku di Royal Gorge Bridge Park. 


Jambatan gantung Royal Gorge   

Royal Gorge Bridge Park adalah tempat yang sama dengan laluan landasan keretapi Royal Gorge tetapi mempunyai jalan masuk berlainan.


The Royal Gorge Bridge

Jambatan gantung Royal Gorge telah dibina dalam tahun 1879.  Nun berbatu-batu jauh ke bawah gaung sana terdapat landasan keretapi di pinggir sepanjang Sungai Arkansas.  Dalam tahun 2013 lalu kawasan perhutanan di The Royal Gorge Bridge Park telah mengalami nahas kebakaran menyebabkan 3,200 ekar kawasan terbakar termasuk sebanyak 48 bangunan turut punah.  Namun jambatan gantung tersebut telah terselamat dan tidak mengalami kebakaran teruk.  Kerja-kerja binan untuk baik pulih telah dijalankan dan dibuka semula untuk penggunjung tidak lama selepas itu.  





Gambar di bawah ini kelihatan dari atas jambatan sayup ke bawah sana ialah Sungai Arkansas dan di pinggirnya pula adalah landasan keretapi yang kami naiki sebelum ini.


Jurang Gunung, Sungai Arkansas dan landasan keretapi


Berjalan di atas jambatan gantung itu berasa jambatan seperti berbuai.  Lagi kuat buaiannya apabila truck atau kereta taman itu lalu.  Kenderaan awam tidak dibenarkan melalui jambatan itu.  Terasa gayat jugalah apabila Mak Long cuba jengok tengok ke bawah.  Kalau jatuh ke bawah memang hancur tidak ada harapan bernyawa melainkan dengan kuasa Allah.  Namun menurut pegawai ranger di situ ada juga insan-insan 'sakit' yang memilih penyelesaian jalan buntu mereka dengan terjun dari jambatan itu.     




Di sepanjang kiri dan kanan pagar jambatan itu diletakan bendera dari setiap buah negeri dalam Amerika Syarikat.  Ada lima puluh dua helai bendera semuanya.  Adalah orang itu teringin hendak ambil gambar sebelahan bendera Texas hahaha.


Banjaran Gunung President Kennedy

Dari jambatan itu juga kelihatan banjaran gunung yang dinamakan Gunung President Kennedy.  Nampak tak puncak gunung itu menyerupai mirip wajah President Kennedy sedang baring tidur?

Selepas pusing-pusing kawasan itu kami teruskan perjalanan ke Durango pula.  Dalam perjalanan kami ternampak kawasan ini dan kami berhenti singgah sebentar melihat air terjun dari gunung.  Cantik! 




Kami sampai di Durango lewat tengah hari.  Kami terus ke hotel, makan tengah hari, dan berihat sebentar.  Kami tinggal di Durango selama tiga hari, dua malam.  














No comments:

Post a Comment