Pages

Sunday, July 31, 2016

Bowling Green, Kentucky

Assalamualaikum,

11/7/2016


Kami meninggalkan Bandar Paducah awal pagi selepas sarapan pagi.  Perjalanan hari ini menuju ke utara Illinois.  Kami ingin menziarah adik lelaki Pak Long yang tinggal di Bandar Champaign, Illinois.  Jauh juga perjalanan.... mengambil satu hari sekiranya tidak berhenti di mana-mana tempat jika melalui jalan biasa tidak menggunakan lebuhraya.


Museum Corvette

Sebelum ke sana kami singgah di Bowling Green, telahan sudah satu jalan.  Bowling Green adalah sebuah daerah perindustrian terbesar Kentucky di mana terdapat pelbagai jenis perkilangan di situ.  Pengeluaran terbesar dan tersohor sekali adalah kilang pengeluaran kereta sport dari General Motor iaitu Chevrolet membuat kereta sport Corvette. 

Corvette Stringray 2016 dalam gambar di bawah inilah jadi kesukaan Pak Long!  Hendak yang berwarna oren!!!


2016 Corvette Stingray

Pak Long memang berminat sangat dengan kereta jenis Corvette.  Berusaha bukan main agar perjalanan lalu di kawasan itu.  Ini kali ketiga kami ke situ....naik muak rasa hati.  Kali pertama datang ke situ dalam tahun 2008, kali kedua pula ialah tahun 2014 selepas terjadinya malapetaka "sink hole" (tanah runtuh) di tengah-tengah dewan pamiran kereta Corvette.  Ini kali ketiga ke sana setelah tanah runtuh itu siap diperbaiki.  Hendak masuk meseum dikenakan bayaran juga.



Dewan pamiran kereta Corvette sebelum "sink hole"


"Sink hole" di tengah dewan pamiran


Antara Corvette yang ranap dalam "sink hole"

Kami bermalam di Hilton Garden Inn, Bowling Green berhampiran dengan museum tersebut.  Sebuah hotel tempat penginapan suasana yang selesa.  Di dalam bilik kami disediakan sebuah jequzi dan kami gunakan untuk melongarkan sendi yang tegang.  

Malam itu Pak Long menerima panggilan dari salah seorang kawan sekolahnya untuk bertemu dan ia berjanji datang ke hotel untuk makan sarapan pagi bersama.  Ketika malam perjumpaan pelajar hari itu beliau datang sekejap sahaja sebelum sempat menjamu selera dia sudah meninggalkan majlis kerana urusan.  Namanya Faye seorang peguam mempunyai pejabat guaman sendiri.  Seorang duda dan ramah orangnya, berbual rancak dengan Pak Long mengimbar kembali zaman silam mereka sewaktu zaman mereka membesar.  Omputeh cakap "catching up the lost time story...".  

Dari Bowling Green perjalanan kami terus menuju ke utara.

















Thursday, July 28, 2016

Malam Perjumpaan Hari Pelajar


Assalamualaikum,

9hb July, 2016

Hari ini adalah hari ketiga musafir kami.  Kami berada di Paducah, Kentucky iaitu kampung halaman di mana Pak Long dibesarkan.  Perjumpaan hari pelajar akan berlangsung malam ini di sebuah dewan.  Kami menghabiskan waktu pagi itu dengan menziarahi keluarga dan sahabat Pak Long.  Malam nanti baharulah meraikan Perjumpaan Hari Pelajar.


Kuda peliharaan Eric

Rumah pertama yang kami singgah pagi itu ialah rumah Eric adik lelaki Angela di Kevil, Paducah.  Terperanjat besar dia bila pintu rumahnya diketuk dan mendapati kami tercegat di muka pintu.  Bukan main gembira Eric menyambut kami.  Eric seorang duda tinggal sendirian, hujung minggu atau cuti sekolah anak tunggalnya bernama Wes akan tinggal bersamanya.  Kami bersembang meliputi pelbagai topik tentang keluarga.  Ketika mudanya Eric jadi cowboy penunggang lembu jantan liar dan kuda di rodeo serata tempat di mana sahaja ada pertunjukan dan pertandingan rodeo terutama di Texas.  Sekarang tidak lagi aktif setelah banyak kali mengalami tulang patah terjatuh dari tunggangannya.  Memang sudah sampai masa pun untuk bersara dari melakukan sukan-sukan lasak.  Rodeo adalah suatu sukan lasak digemari ramai omputeh di Amerika menunjukkan kebolehan seseorang cowboy menunggang lembu jantan liar tanpa sebarang alat selain dari menggunakan tenaga kekuatan diri untuk menewaskan binatang tunggangan.  Atau pun menangkap anak lembu menggunakan tali jerat dan sebagainya.  Rodeo bermula dari Barat Texas kira-kira lewat tahun 1800han.  Suatu sukan lasak dan merbahaya. 

Bangsal dan kandang kuda Eric

Menurut Eric ramai penduduk Paducah mengidap berbagai jenis penyakit kronik terutama barah.  Beberapa orang keluarga juga mengidap barah yang akhirnya tewas dengan kematian.  Sepupu Pak Long telah membuat kajian di kawasan Paduca.  Bapa Pak Long dan bapa Judy meninggal dunia disebabkan barah.  Didapati pencemaran sisa nuklear meresap dalam tanah dan menjangkit pada kandungan air dalam bumi.  Kerajaan tahu tetapi rahsia itu tetap dikunci cuma segelintir mengetahui.  


Kebun tembakau jiran Eric

Cerita Eric yang juga bekerja di kilang nuklear hanya akhir-akhir ini baharulah pihak kilang menyediakan lapisan pakaian keselamatan luaran dan penutup muka ketika bertugas.  Sisa nuklear amat merbahaya kepada semua yang bernyawa dan tumbuhan.  Walaupun pihak majikan mengambil beberapa langkah keselamatan, tetapi berapa kerat sahaja yang patuh dengan garis-garis pandu yang diberikan.  Eric berkerja di situ kerana bayaran yang lumaian.

Gambar di bawah ialah tongkat hadiah hasil kerja-tangan dari Eric pada Mak Long.  Kegemarannya di masa lapang adalah membuat tongkat dari kayu, akar kayu yang diperolehinya dari hutan di belakang kilang dia berkerja.  Orang lain sibuk makan tengah hari dia sibuk merayau dalam semak mencari kayu untuk dibuat tongkat.



Tongkat berseni

Mak Long sahaja tanya kalau dia jual tongkat-tongkat yang berderet di tepi dinding bangunan di pinggir rumahnya.  Berseni tongkat-tongkat itu.  Dalam hati ingin memilikinya sekiranya Eric mahu menjual.  Adalah sebatang tongkat itu memang ngam dengan tinggi mak tua ni hihihi.... Tengah Mak Long belek-belek tongkat itu, tiba-tiba Eric cakap, "I feel that one suits you perfectly Miss K..... and it is yours now..."   Owaaah bestnye dapat tongkat gambar di atas itu....hihihi.

Kemudian kami singgah ke rumah Tommy Cruise seperti yang dijanjikan.  Mereka sudah sedia menanti kedatangan kami.  Linda Kay iaitu isteri Tommy mengidap penyakit lupus.  Mereka ada seekor anjing kecil comel yang faham arahan.  Boleh buka pintu sangkarnya dan ikut kata tuan.  Melopong mulut kami melihat perkara begitu hahaha nasib tidak masuk lalat!  Tommy ini kelakar orangnya, bila dia buka mulut bercerita mesti kelakar semua perkataan yang keluar buat kami semua ketawa terbahak.  Bercerita masa zaman kanak-kanak mereka.  Perkara bodoh yang mereka lakukan dan zaman remaja.


Judy

Rumah ketiga yang kami kunjung ialah rumah Judy dan suaminya Junior.  Judy ialah sepupu Pak Long dan ibu kepada Angela dan Eric.  Mereka tidak kelihatan ketika kami sampai tetapi kereta semua ada di hadapan rumah.  "Heyyyy, heyyyy I am here... I am here..." kedengaran suara dari jauh.  Rupanya Judy berada di belakang bercucuk tanam di kebun.  Itulah kerjanya sejak pencen.  Nampak sihat dan ceria tidak seperti dia masih berkerja dahulu.  Junior pula pergi kutip buah blackberry.  Teringin pulak tapi malu hendak mintak tambahan mereka tidak pelawa sekiranya kami teringin.  



Bangunan tempat keluarga berkumpul
dan "workshop" Junior

Kolam hadapa bangunan

Dulu-dulu kolam itu adalah kolam tempat lembu minum.  


Kebun jagung keluarga

Setiap tahun penanaman jagung atau kacang soya diupah kepada seseorang untuk mengusahakannya.  

Mereka yang kami temui mengesyorkan kami agar melawat Bandar Cairo, Illinois.  Kata mereka bandar itu sudah hampir menyembah bumi.  Cairo letaknya di sebelah kampung Pak Long dan bersempadan antara Kentucky dan Illinois.  Jadi dari rumah Judy kami ke sanalah.  Dulu pernah Mak Long tulis sedikit tentang Bandar Cairo.  Memang betul cerita mereka tentang keadaan Bandar Cairo.  Banyak bangunan lama yang sudah runtuh membuat bandar itu seperti bandar hantu.  Ada beberapa keluarga lagi yang masih tinggal di situ kebanyakannya keluarga orang kulit hitam.




Antara bangunan lama di Cairo

Tengah hari kami makan ala kadar sahaja, malam nanti ada jamuan.  Tetapi kami tidak begitu berharap untuk menikmati makanan yang disediakan itu halal.  Maka Mak Long sudah sedia sedikit rezeki di bilik hotel sekiranya itulah yang terjadi...  "Sediakan payong sebelum hujan" hehehe...

Malam yang dinanti-nanti sudah pun tiba.  Kami ke dewan yang ditetapkan dan kami datang awal sedikit agar dapat berkenal suai dengan dia orang.  Mulanya Pak Long mengenakan kemeja batik, tidak jadi pulak kerana terasa sempit sedikit di ketiak.  Ketika mencubanya di rumah masa hendak kemas-kemas beg boleh pakai.  Boleh naik berat badan dalam dua tiga hari!.  Pakai sahaja kemeja biru tua itu.  Mak Long pakai baju kurung Johor.  Sambutan mereka apabila melihat pakaian Mak Long buat orang tua ini kembang dan rasa senang hati kerana dapat memperkenalkan Malaysia kepada mereka yang tidak pernah dengar nama Malaysia.  Mak Long tidak perlu terhegeh-hegeh datang kepada mereka memperkenalkan diri, sebaliknya mereka datang jumpa memperkenalkan diri mereka.  Banyak pertanyaan yang mereka tanya seperti di mana letaknya Malaysia, apa jenis makanan utama rakyat Malaysia.  Mak Long ceritakan rakyat Malaysia berbilang bangsa dan penduduk utama ialah orang Melayu, China dan India.  Mereka terpesona dan ada yang hairan kita di Malaysia mempunyai pelbagai bangsa dan ugama hidup aman dalam sebuah negara yang kecil dibandingkan dengan negara-negara gergasi lain.  Ada juga yang anggap Malaysia adalah negara "third world country" dan ada yang fikir kita masih duduk atas pokok!  Apalah!  Ada dua tiga orang yang pernah melawat Malaysia dan banyak lagi pertanyaan. Yang penting bagi Mak Long ialah dapat memperkenalkan Malaysia negara tercinta kepada mereka.



Barisan bekas pelajar tua (1968)
Baylor Highschool, Paducah, Kentucky

Ramai juga bekas pelajar-pelajar tua dengan isteri dan "pasangan" hadir malam itu hampir 70-75 orang semua.  Yang pasti umur mereka sebaya sama mendokong angka besar antara 68-69 tahun hahaha...  Ada yang nampak muda dan berlagak muda!  Ada yang nampak uzur dan tua!  Ada juga yang kuat semangat datang meraikan walaupun terpaksa datang dengan tongkat dan kereta sorong.  Macam-macam perangai pun ada!  Ada yang sampai-sampai sahaja cari minuman keras!  Dam!!... itulah kata hati.  Ada antara mereka berpangkat besar, jadi lawyer buka busines sendiri dan ada yang berjaya jadi jutawan.  Mereka yang berjaya itu semua berhijrah ke bandaraya besar-besar mengejar dan mengembangkan sayap lebar.  Ada juga setengahnya masih tinggal jadi penunggu di Paducah sebagai petani moden atau petani lama.  Antara yang jadi petani ialah Tommy Cruise kawan baik Pak Long.  Kebunnya luas melaut dan dia berusaha kuat tidak mengenal lelah memajukan hasil pertaniannya.


Kumpulan pelajar dari Wickliffe

Majlis dimulakan dengan menjamu selera dahulu.  Macam-macam jenis makanan ada, steak, ayam panggang dan bbq.... Tidak halal semua.  Tetapi ada banyak buah-buahan dan salad yang boleh dimakan.  Minuman pun begitu juga selain minuman keras ada beberapa jenis minuman yang tidak mengandungi alkohol.  Macam adat dan adab kita juga, mereka baca doa sebelum menyentuh makanan ... doa cara merekalah!  Simple sahaja atur-cara perjumpaan itu.  Sudah kenyang setiap bekas pelajar memberi ucap-ucapan kenal diri seperti jenis kerjaya, keluarga dan lain-lain.  Bila sampai giliran Pak Long,  hihi geli hati pulak.  Pak Long kata dia memang sudah lama meninggalkan kampung halaman dan terlalu jarang pulang.  Cita-cita untuk mengubah taraf hidup lebih kental di hati katanya.  Pak Long sebut juga kerja kampung bukan untuknya.... tidak berminat menjadi petani atau gembala lembu.  Tidak gemar kerja memicit tetek lembu hari-hari untuk mengeluarkan susu di kandang lembu.  Ibu lembu pula memang seteru besar dengan Pak Long, maka itulah sebabnya ibu lembu geram untuk memijak dan tekan kaki Pak Long dalam lumpur sampai berdarah!  Sampai pada giliran Arnold, "You know me!  Immm Arnold and this my wife Jewel...that all I gotta say..."


Pak Long dengan Gary Fowler

Kami duduk semeja dengan Tommy Cruise, Gary Fowler dan Linda, Arnold Beaver dan Jewel.  Mak Long suka bercakap dengan Linda.  Ia periang dan mudah Mak Long hendak menyesuaikan diri dengannya.  Sebalinya pula lain dengan Jewel..  Heran juga mengapa dia tidak suka bermesera walau pun kami duduk semeja.  Ayat yang keluar dari mulutnya.. "I don't know these people.... Im from Missouri......"   Alaaahai...

Majlis bersurai lebih kurang pukul 9.30 - 10.00 malam.  Sebelum bersurai ada antara mereka bertukar-tukar numbur talipon dan alamat dengan keinginan mengiratkan hubungan silaturahim.  Kami terus pulang ke hotel.  Nasib baik Mak Long sudah bersedia dengan sedikit makanan di hotel untuk menggalas perut yang tadinya hanya di isi dengan salad tomato (best tomato ni!), sayur-sayur dan buah.























Perjumpaan Hari Pelajar (Perjalanan Hari Kedua)

Assalamualaikum ,

8hb Julai, 2016

Hari ini adalah hari kedua perjalanan kami ke Kentucky untuk menghadiri majlis perjumpaan hari pelajar sekolah Pak Long.  Malam tadi kami bermalam di Hotel Best Western, Lonoke, Arkansas.  Pak Long merunggut tidak berpuas hati keadaan bilik hotel.  Berbau hapak dan lantai permadaninya berasa lembab.  Mahal dan nama sahaja boleh diharap.  Jarang dengar Pak Long merungut.....  

Pukul tujuh setengah pagi kami sudah di atas jalan semula.  Cuaca mulai panas awal-awal lagi.  Semalam cuaca mencecah 102 degree farenheit.  Mujur duduk dalam kereta tidak berasa keperitan hangat.  Arkansas tanahnya sangat subur mempunyai pusingan penanaman setiap tahun iaitu jagong dan kacang soya.  Tanah ladang luas terbentang menghijau sayup sejauh mata memandang hingga ke kaki langit.  Tiada bukit dan tiada banjaran pergunungan sebagai perlindungan dari sebarang kemungkinan tiupan angin puting beliong yang sering berlaku di kawasan itu. 

Kami selamat sampai Paducah, Kentucky jam dua belas setengah hari.  Suara radio berkumandang mengumumkan bahawa cuaca buruk pada sebelah petang hari ini nanti.  Mudah-mudahan tidak seteruk yang diramalkan. Kami terus ke kampung Pak Long iaitu Wickliffe.  Semacam tidak sabar sahaja Pak Long...  Orang balik kampunglah katakan kan, sapa pun akan berasa seronok.  Kami lalu hampir setiap lorong di Wickliffe.  Hahaha Pak Long menyusur ukur jalan....  Setengah dari lorong-lorong itu hanya muat-muat untuk sebuah kereta lalu sahaja.  Bila berselisih kereta, salah satu kenderaan kena berhenti memberi laluan pada kereta yang mendatang.  Jangan heran, dalam negara serba canggih pun masih ada kampung dan penduduk yang masih ketinggalan di takuk yang sama sepanjang zaman.  Inilah satu-satunya.....  Ramai masih berfikiran lama tidak berubah!  Terutama dari kalangan masyarakat tua. Daerah ini juga dikenali sebagai daerah "the bible belt region".  Bermakna penduduk daerah itu penganut tegar ugama Nasrani atau Kristian.  


Warna merah itu
The bible belt region


Kami singgah di rumah Angela iaitu anak sepupu Pak Long tetapi dia belum pulang dari kerja jadi kami terus ke rumah sahabat rapat Pak Long semasa kecil dahulu ....Tommy Cruise.  Rumahnya tidak jauh dari rumah Angela.  Sebelum meninggalkan rumah Angela sempat juga Mak Long tangkap gambar di belakang rumahnya yang dipenuhi penanaman jagung (gambar bawah).




Penanaman jagung

Sampai di situ Tommy sudah siap sedia hendak keluar menghantar isterinya Linda Kay ke kelinik.  "Itulah, tidak mahu talipon dulu hendak singgah!"  Mak Long merunggut sikit!  Hihihi...sekarang ni orang tua ni sudah pandai merunggut.... 

Pak Long janji dengan Tommy akan datang semula esok walau pun Tommy bersedia membatalkan temujanji doktor isterinya.  Mana boleh macam itu kan...  Kay mengidap penyakit "lupus" selepas mereka mendirikan rumah tangga 50 tahun lalu.  Penyakit lupus adalah sejenis penyakit "chronic" yang boleh merosakkan sistem imun tubuh lazimnya menyerang kulit, sendi juga organ dalam tubuh manusia.  Masih belum ada ubat untuk merawat penyakit itu.

Kemudian kami ke rumah Arnold Beaver pula.  Macam raya pulak!  Mak Long tidak pernah jumpa Arnold sebelum ini.  Pak Long cakap sudah lima puluh tahun mereka tidak berjumpa.  Sejak lepas sekolah...!  Kata Pak Long lagi dia ini lain sedikit orangnya.  Mak Long tidak faham apa maksudnya.  Nanti tengoklah apa maksudnya.  Ketika kami sampai di hadapan rumahnya seorang wanita berbadan besar dan tinggi berada di muka pintu.  "Who're you?" sergahnya kepada Pak Long.  Amboi...  Garangnya bunyi!  Masam cuka air mukanya membuat kami berasa serba salah.  Rasa hendak pusing balik!  Pak Long perkenalkan diri.  Wanita itu memanggil Arnold dan kedengaran suara dari dalam rumah menyuruh kami masuk.  Rupanya wanita itu adalah isteri baru Arnold bernama Jewel.  Jururawat pencen kata dia orang ....hmmmm...  

Kami disuruh duduk....eikkk mana hendak duduk ek?  Arnold duduk di kerusi "recliner" (kerusi yang boleh dibaringkan atau duduk tegak).... di sebelah ada sebuah lagi kerusi "recliner" sarat dengan kertas surat khabar, gebar!  Pak Long buat selamba sahaja sambil kais-kais barang di kerusi itu ketepi lalu duduk.  Mak Long?  Bertengek atas bangku kecil berdekatan dengan TV heheheh...  Mak Long tidak kesah dengan keadaan begitu tetapi terasa keganjilan suasana rumah tangga itu.  Beberapa balang besar berisi air berwarna merah tua terletak di tengah-tengah rumah yang bersepah.  Tidak baik Mak Long bercerita hal orang ni...berdosa!




Pak Long dan Arnold mula berbual mengingati zaman mereka dulu-dulu.  Selepas habis sekolah masing-masing menjalani kehidupan berlainan.  Menurut cerita Arnold, dia jadi askar dan dihantar ke Vietnam yang ketika itu sedang berkancah dalam peperangan.  Pulang dari Vietnam dia balik dan kerja kampung serta mendirikan rumahtangga yang berakhir dengan penceraian.  Beberapa tahun lalu dia dapat kemalangan teruk ketika bertukang membina rumahnya.  Ia terjatuh dari bumbung dan hampir maut.  Dua tulang selangka dan tulang belakangnya patah serta terlantar beberapa lama.  Kesihatannya masih tidak pulih seperti sedia kala.  Ia juga mengidap penyakit lupa, dan dapat stroke.  Mereka suami isteri membuat minuman keras "wine" dari strawberry, black berry dan rasberry.  Maka terjawablah soalan tentang balang-balang besar di tengah rumah itu.  Setiap tahun hasil wine yang mereka usahakan melebihi 175 gelen.  Pak Long tanya berapa harga dia jual minuman..."Hell!  I don't sell..!"  Patutlah......  Tidak lama kami di rumahnya dan segera beredar apabila Arnold mula merepek hal ugama dan gereja!  Membenci Islam!  Agama Islam agama setan katanya....  Pak Long kata tidak guna berbahas dengan orang seperti itu!


Duduk dari kanan ialah Jewel, Arnold dan Tommy Cruise

Dari rumah Arnold kami singgah pula ke rumah Gary Fowler.  Kami pernah menggunjungi Gary dan isterinya Linda lima tahun lalu.  Pasangan ideal menyambut kedatangan kami penuh kemeseraan.  Luas kawasan keliling rumahnya dihias dengan beberapa lori bajak antik di sana sini seperti museum.  Rumput menghijau diketam kemas.   Menurut Gary ia terjatuh ditimpa trakter ketam rumput besar ketika mengetam rumput di kawasan bukit curam di sisi rumah.  Tulang belakangnya mengalami keretakan teruk dan sekarang masih dalam proses pemulihan.  Kesihan Gary...!  Nasib baik Linda juga seorang jururawat terlatih.  Sempat Linda membawa Mak Long ke sebuah "barn" (bangsal) di belakang rumahnya dan menunjukkan koleksi barang-barang lama yang diperolehi dari keluarga.  Macam-macam ada seperti dapur oven lama, kerusi lama, pinggan mangkok lama dan lain-lain.  Mak Long suka tengok semua itu tetapi tidak berminat untuk memiliki sebagai koleksi sendiri.  Sementara Gary pula beria-ia mengajak Pak Long melihat koleksi beberapa kereta dan truck lama miliknya.


Gary dan Linda Fowler

Cuaca nampak mendung.  Kami bergegas ke hotel Hampton Inn di mana kami tinggal selama dua tiga hari di situ.  Pihak hotel menaik-taraf  bilik kami, bilik yang luas dan amat selesa.  Alhamdulillah cuaca buruk yang diramal tidak berlaku... hujan sahaja!

Selepas Maghrib kami ke tebing Sungai Mississippi menikmati matahari terbenam dan tiupan angin di sungai terpanjang di Amerika Syarikat.  Dulu di situ terkenal sebagai pengkalan "barge" (tongkang pengangkutan) membawa dan pemunggahan barangan yang dibawa melalui perairan.  Walaupun kini ia masih diguna sebagai pengkalan tetapi sudah agak merosot.  Bandar Paducah terbahagi kepada dua iaitu bahagian bandar tua dan baru.  Kami bersiar-siar di bahagian bandar tua yang terletak di sebelah sungai itu.  Bandar tua itu mempunyai banyak menyimpan khazanah dan sejarah lama.  Bangunan tua banyak yang sudah dibaik-pulih sebagai menarik pelancungan.  Ada sebuah hotel tua di mana Pak Long teringin bermalam di situ.  Menurutnya hotel itu hanya memiliki sepuluh buah bilik sahaja...mungkin berhantu!  Hahaha!  Hajat tidak kesampaian kerana semua bilik sudah dipenuhi.  Melepaslah labu....
























Wednesday, July 20, 2016

Hari Ini...

Assalamualaikum,





Hari ini .....

15 Shawal 1437AH
Hari kelahiran ku
Ku toleh ke belakang...
Berderet angka tersusun...

Ku renung angka-angka itu...
Berpuluh-puluh bilangan...
Bertambah besar ...
Berat bahu memikul...

Sayu menyelubungi jiwa..
Betapa waktu terbuang
Dengan kelalaian......
Rumah ku kata pergi...
Kubur ku kata mari...

Semalaman ku susur
Lembah dan lurah silam ku
Membilang jariah dan bakti...
Nipis amalan ku ...

Dada ku kering.... kosong..!!
Penganyiaan ku sendiri...
Sesalan membalut hati...
Ku sujut merendah diri....

Allah hu Robbi...ampuni daku
Jika Engkau tidak ampuni
Nescaya termasuk aku
Gulungan yang rugi.....

Allah....
Terimalah taubat ku....
Amiiin ya robbal'alamiin...








Thursday, July 7, 2016

Perjumpaan Hari Pelajar (Perjalanan Hari 1)

Assalamualaikum,



Kampung Wickliffe, Kentucky

Sejak bulan January lagi Pak Long selalu menyebut tentang hari perjumpaan pelajar-pelajar tua ketika beliau di sekolah tinggi dahulu yang mereka adakan setiap lima tahun sekali.  Hubungan mereka di sekolah tinggi lebih rapat lagi dari hubungan sahabat-sahabat lain di kolej.  Mungkin mereka itu boleh dikatakan membesar dan menghabiskan zaman remaja di peringkat awal hidup mereka di Kampung Wickliffe.  Kawan sepermainan dan mereka membesar bersama membuat mereka lebih rapat.  Membajak tanah perkebunan, menanam tembakau, jagung dan pelbagai jenis tanam juga menjaga binatang ternak bersama.  Tahun ini sudah sampai masanya untuk perjumpaan itu lagi yang akan diadakan pada 9hb July, 2016.  Pak Long menyatakan keinginannya hadir dan mengajak Mak Long pegi sama.  Jadi kenalah balik kampung gamaknya dimana perjumpaan itu akan diadakan.  Tidak seronok pergi seorang katanya.....  Jauhlah di Paducha (pa-duu-ka), Kentucky sana...lebih kurang 14 jam perjalanan dengan kenderaan.  Pak Long lebih selesa pandu kereta sendiri dari naik kapal terbang.  Senang ... Ada kereta senang hendak ke sana ke mari tidak perlu sewa kereta.

Jadi hari ini 7hb Julai bersamaan dengan hari kedua raya 'Idilfitri, kami bertolak awal dari rumah sebelum pukul tujuh pagi.  Mak Long minta singgah di Dallas singgah di rumah Icah hantar rendang, lemang daun pisang, cake dan buah-buahan serba sedikit.  Kesian anak Mak Long tidak dapat balik pada hari raya pertama dan hari raya kedua pula Icah ada temujanji dengan doktor gigi untuk cabut ke empat-empat gigi bongsu yang bermasaalah.  Temujanji itu telah dijadualkan sejak dua bulan lalu...tidak boleh tukar tarikh lain.

Pukul 11.00 pagi kami sudah sampai terpacak di hadapan rumahnya tetapi Icah belum balik lagi.   Mak Long telepon Icah, sahabatnya yang jawab.  Sahabat se pejabatnya telah menemani.  Di US ini sekirannya hendak cabut gigi pun mesti ada seseorang untuk membawa/hantar pesakit itu balik dari kelinik.  Kalau tiada sesiapa membantu segala temujanji berupa pembedahan walau pun kecil akan dibatalkan temujanji itu.  Mereka singgah di famasi untuk mendapatkan ubat tahan sakit.  Adalah lebih kurang lima belas minit kemudian mereka sampai.

Anak Mak Long yang ini lain sedikit, maklumlah anak bongsu ..manjanya yang lebih.  Pak Long bukakan pintu kereta...nampak sahaja dia muka emaknya air mata dan dan itu juga berserebeh berderai turun macam hujan!  Kememeh betul!  Hahaha..manjanya anakku!  Selepas makan ubat tahan sakit Mak Long suruh tidur...sakit katanya berdenyut-denyut.  Siap bawak balik gigi yang sudah dicabut.  Dua gaham sebelah atas terpaksa dibelah dan dipecahkan sebab tidak dapat hendak dikeluarga.  Ada beberapa jahitan kecil.  Patutlah sakit..

Lebih kurang tiga jam kemudian kami teruskan perjalanan dan bermalam di bandar Lonoke, Arkansas.  Telepon Icah, katanya sudah tidak berapa sakit dan tidak berdarah lagi gaham yang luka itu.   Esok pagi-pagi kami akan teruskan perjalanan hingga destinasi kami di Paducha, Kentucky.  Malam Sabtu ialah perjumpaan kelas murit-murid tua..



Monday, July 4, 2016

Salam Eid Mubaraq

Assalamualaikum,






Istimewa kepada muslimin dan muslimat di seluruh tanah air, tidak kira di mana juga berada di bumi Allah.  Sempena menyambut hari yang mulia dan bahagia di bulan Shawal 1437AH, kami di perantauan mengucapkan SELAMAT HARI RAYA 'IDILFITRI.

Salam dihulur memohon maaf zahir dan batin.  Semuga segala kekhilapan dan ketelanjuran dalam kata-kata dimaafkan.

Kepada yang pulang ke kampung, berhati-hatilah ketika memandu kenderaan agar selamat sampai kepangkuan keluarga.  Biarlah lewat sedikit asalkan selamat dan dapat bergembira bersama keluarga tersayang.


Salam Eid Mubaraq,
Mak Long sekeluarga
Canyon Lake
Texas












Sunday, July 3, 2016

Cypress Creek, Comfort, Texas

Assalamualaikum,

Setiap kali kami ke rumah Barry di Kerrville, kami melalui Daerah Comfort, Texas.  Sebuah daerah perkampungan lama. Bila lalu kawasan itu, kami nampak papan tanda "Cypress Creek" dan anak panah terpampang menunjuk arah.  Sudah beberapa kali kami lalu tidak terasa hendak menyempang ke situ.  Kali ini Pak Long kata "Let's go there....!"  "Ok!..." saja jawab Mak Long.  

Haaaa ini yang kami temui......

Jambatan bawah air 

Kami menyeberang sebuah jambatan di bawah air.  Airnya sangat jernih menyeberangi jambatan.


Jernih airnya

Sejuk airnya

Jernih

Airnya sejuk dan jernih hingga nampak batu dasar sungai.  Kami berhenti di hilir dan berjalan perlahan-lahan menikmati keindahan cipatan Ilahi.  Tenang dan damai di mata dan di hati.


Damainya

Di situ airnya berwarna kehijauan dan beransur dalam menambahkan lagi keindahan.  Rasa mahu terjun berendam dan berkubang macam masa dulu-dulu zaman kanak-kanak.  Boleh guna tali yang terjuntai digantung dari dahan pokok cypress yang tinggi itu dan boleh terjun macam tarzan..hahaha berangan kita!


Tali tarzan

Hendak jadikan cerita hari itu, ketika kami asyik dengan keindahan alam tiba-tiba kami terdengar suara meminta tolong.  Kami toleh kiri dan kanan tetapi tidak kelihatan.  Jadi kami diamkan seketika.  Jauh di hujung sana kedengaran suara seorang wanita, "Are you ready to go?".  Nampak seorang wanita pertengahan umor berbaju T warna merah jingga sedang bangkit dari tebing sungai dan berjalan arah ke truck hitamnya.

Sekali lagi kami terdengar suara meminta tolong.  "HELP.. HELP ME!".  Kali ini suara itu jelas kedengaran arah dari hilir...  Kami bergegas ke situ dan Pak Long sampai dahulu.  Seorang lelaki dalam air tinggal bahagian kepala sahaja yang nampak dan timbul.  Pak Long segera membantu dengan menghulur kedua tangan kepada lelaki itu dan menariknya keluar dari air.  Hampir-hampir Pak Long jatuh sekali ke dalam air itu...mujur!  

Rupanya lelaki itu sedang memancing ikan dalam air jernih dan tidak perasan dia berjalan arah air dalam, ceritanya.  Terlau asyik benar hendak tangkap ikan!  Sampai jatuh!  Sebelah tangan memegang batang kail dan sebelah lagi cuba mencapai tebing untuk berpaut.  Lehernya pula memakai kolar membantu lehernya kerana urat tegang jadi dia tidak mampu menoleh ke kiri dan ke kanan.  Memang..., apalah omputeh itu sengaja mencari nahas, sudah tahu awak tidak boleh menoleh hendak memancing lagi!  Kalau lemas?  Mujur ada orang....  

Wanita tadi itu rupanya datang untuk mengambilnya pulang...  Lagi-lagi dia tanya, "Are ready to go?" beberapa kali.  Apalah!  Dia sebenarnya dengar suara lelaki itu meminta tolong, tetapi saja buat tidak dengar..  Hai macam-macam perangai manusia.....kan?

Lencun habis basah pakaian lelaki itu.  Topinya pun sekali kuyup...   Menurutnya ada banyak ikan bass iaitu sejenis ikan air tawar di sungai itu.  Setelah mengucapkan terima kasih kepada Pak Long, dia pun berlalu.

Dia hampir lemas









Saturday, July 2, 2016

Ramadhan Oh Ramadhan

Assalamualaikum,




Ramadhan hampir berlalu....
Permergiannya hanya sementara ....
Kehadhirannya mengikut putaran....
Mengikut giliran yang ditentu....
 Sayu hati melepaskannya....
Walau sementara....



Ramadhan pasti menyusur kembali....
Namun usia tanpa kepastian......
Entah esok, entah lusa.....
Kita menyambut seruan NYA
Kita kembali kepangkuan NYA


Ya Allah....
Ampunilah dosa-dosa kami....
Kami telah menganiyai diri kami....
Jika Engkau tidak mengampuni kami....
Dan memberi rahmat pada kami....
Nescaya pastilah kami....
Termasuk antara orang-orang....
Yang merugikan....