Pages

Thursday, March 31, 2016

Leo

Assalamualaikum,

Dua hari lepas Brenda jiran kami datang hendak pinjam mesen ketam rumput. Katanya mesen dia rosak sudah puas dia cuba menghidupkan tidak berhasil. Katanya lagi dia terpaksa beli sahaja mesen baru.  Hendak tolong potong rumput depan rumah Leo. "I help you.....", kata Pak Long sukarela lalu mengambil mesen " grass trimmer" (mesen perapi rumput) sementara Brenda tolak mesen rumput.  Sama-sama mereka berjalan menuju ke rumah Leo di seberang jalan sahaja.  Mak Long berat tulang kali ini, cuma duduk di buaian di sisi rumah melihat mereka berkerja dari jauh.  Hendak rehat sebentar lepas cabut rumput.  Musim hujan rumput berebut-rebut tumbuh di batas tanaman.  Ketika itu Leo tiada di rumah.  Hendak buat kejutanlah kononnya agar bila Leo balik kerja memotong rumput sudah siap. Tidak payahlah bagi tahu Leo siapa yang potongkan rumput depan rumahnya.



Kerja kuat

Belum pun habis mereka memotong rumput Leo sudah balik.  Kantoi!!  Pecah tembelang! Mereka teruskan juga kerja. Sementara Brenda mengetam rumput di bahagian hadapan rumah, Pak Long ke bahagian belakang rumah bersihkan rumput yang sudah mula menjalar memanjat rumah.  Dalam pondok di belakang rumah Leo ada sebuah mesen rumput. Nampak masih baru lagi tetapi satu dari roda hadapan sudah bengkok seperti kena langgar.  Menurut Leo, mesen potong rumputnya sudah lama rosak sebab itu dia tidak ketam rumputnya.  Sudah dipanggil seseorang untuk baiki tapi bila orang itu balik mesen tidak juga baik. Upahnya pula hingga $150.00, betul-betul orang itu mengambil kesempatan dari seorang tua yang sudah tidak berapa upaya lagi. Pak Long belek-belek mesen tersebut...boleh baiki.  Roda yang bengkok itu rupanya Leo terlanggar pulak.  Pak Long menonong pulang ke rumah mengambil beberapa jenis alat tukangnya kemudian kembali semula ke rumah Leo.  Setengah jam kemudian berderoooom mesen rumput Leo berbunyi dan boleh mengetam rumput.  Pak Long cakap, dia nampak mata Leo berlenangan air mata, hatinya sebak melihat mesen rumputnya dapat diperbaiki semula.  "Thank you, thank you ..... Y'all are good neighbours......" 


Leo seorang yang sudah berumur juga.  Melalui raut muka dan pergerakan kakinya mengatur langkah seperti anak baru pandai berjalan itu mungkin umurnya sudah melewati lapan puluh tahun lebih.   Mengidap kencing manis, penyakit biasa idapan omputeh di Amerika.  Pengelihatan matanya tidak berapa jelas terutama mata kirinya boleh dikatakan buta terus.  Tidak tahulah macam mana dia boleh nampak ketika memandu truck besarnya itu.  Isterinya meninggal dunia sudah hampir tiga tahun lebih kerana mengidap barah.  Keluarga terdekatnya pula tidak pernah menjengok sejak kematian isterinya. Hidupnya hanya bertemankan dengan seekor anjing jenis "the winnie dog" bernama Heldi sejenis anjin kecil berbadan panjang berbentuk seperti "hot dog" dan berkaki pendek. Gemoknya anjing itu apabila berjalan perutnya menyeret ke tanah.  Terlalu banyak diberi makanlah agaknya.  Setiap pagi dan petang kalau tidak hujan Leo membawa si Heldi keluar depan rumah dan di tepi jalan.  Rantai panjang diikat di leher Heldi agar ia tidak lepas merayau ke arah lain.  Bukannya jauh pun perginya hanya dalam lima, enam ela dari simpang rumahnya kemudian pusing balik. Kadang-kadang Leo berhenti di hadapan rumah Brenda agaknya harap-harap Brenda duduk di luar rumah atau berkerja di laman rumah.  Dia suka pada Brenda hahahaha....  Pasti Brenda perasaan juga yang Leo sukakan dia..  Janganlah mengorat sangat pada Brenda ya Leo nanti Marla marah kalau dia tahu ....

Hari ini pula Pak Long tengok-tengokkan mesen rumput Brenda pula.  Satu jam kemudian brooomm bunyi mesen itu.  Bukan main gembira Brenda .... "Yeay, I don''t have to buy a new lawn mow.... Thank you.  I know you won't let me pay.... I buy y'all lunch!...." 

Kebetulan ketika Pak Long sedang memperbaiki mesen rumput, sebuah truck putih perlahan-lahan berhenti di hadapan garage kami.  Leo rupanya!  Ada oleh-oleh di tangannya.  Berhati-hati dia mengatur langkah supaya tidak tersilap langkah.  "For you good neighbours!...."   sambil mengunjukkan beg kecil kepada Mak Long.

"You don't have to do that Leo.... We are happy to be of help ..... just let us know any time you need us..."  Kata Pak Long.

"Ya Leo....." kata Brenda pula.

Leo senyum lebar, "I need a woman...."  Kacau weii...

Hah Pak Long pulak sudah jadi tukang baiki mesen potong rumput!  Teringat pulak satu movie berjodol "The Sling Blade" dibintangi oleh Billy Bob Thornton.  Hidup dan berkesan lakunannya.  Best movie ini.  Sudah empat kali Mak Long nonton movie ini.




Cabut rumput






















Wednesday, March 30, 2016

Nak Masak Apa?

Assalamualaikum,


Hendak masak apa hari ini?  Buntu.....  Pak Long hendak makan sikit, hendak kurangkan berat badan...!  Selalu beliau tidak kesah apa sahaja letak atas meja pasti bersih pinggan.  Lama sudah beliau tidak mahu makan nasi putih, banyak zat kanji katanya.  Maka masaklah sedikit untuk makan sendiri.  Rasa letih kalau tidak dapat nasi.  Nasi yang tidak habis Mak Long sejuk-bekukan.  Nanti-nanti bila terasa hendak makan nasi panaskan sahaja. Hari ini Mak Long pun rasa buntu apa hendak masak.  Jesteru inilah jadinya:

Masakan sihat katanya lagi pun ringkas dan mudah!

Sekeping daging dada ayam potong 4 digoreng sedikit minyak setengah masak
Kentang muda potong nipis-nipis tapi tidak putus
Beberapa biji buah anggur
Potongan buah nenas, tabur garam dan sedikit lada hitam
Semuanya siram dengan minyak zaitun, garam dan lada hitam

Bakar sampai masak dalam ketuhar 400 degrees.  Kira-kira 25-30 minit.  Siap ..!!!

Pak Long senyum berselera makan kentang itu, dipenyek-penyaknya dengan sedikit butter.

It is a females' matter.....















Sunday, March 27, 2016

Key Lime Tart

Assalamualaikum,




Kermit's Key Lime Shoppe, Key West, Florida

Basikal Kermit's Key Lime Shoppe


 "Remember Kermit's?", tiba-tiba Pak Long tanya setelah beberapa ketika termenung.

"Hmmmm.... Kermit's the key lime shoppe in Key West?  That ....I do remember...."  Mana boleh lupa weii..  Kermit's Key Lime Shoppe ialah sebuat kedai kecil menyediakan pelbagai barang cenderamata.  Antara jualan yang jadi popular ialah rempah ratus, tepung adunan untuk membuat pie.  Yang popular sekali ialah "key lime pie".  Kalau ada peluang pergi melancung ke Key West, Florida anda mesti pergi ke situ rasa key lime pie yang sangat, sangat sedap rasanya.  Kami telah membeli dua biji pie tersebut itu pun macam tidak cukup hingga tidak ingat hendak tangkap gambar ... punyalah sedapnya.  Elok beli sebiji pie daripada beli yang sudah dipotong, lebih murah beli sebiji-sebiji. 

Kami pergi ke Key West, Florida  dalam bulan Jun, 2014.  Seronok di sana, ia bercuaca tropika seperti di Malaysia.  Tumbuhan juga seperti yang terdapat di Malaysia.

Alahai Pak Long teringatkan halwa mulut "key lime tart.." satu-satunya pencuci mulut menjadi kegemarannya.  Nampaknya kena buatlah hari ini untuk Pak Long.  Jangan kempunan nanti!  Pertama sekali kena pergi pasar beli buah limau nipis.  Limau nipis senang dapat di Texas, di mana-mana pasaraya ada limau nipis.  Ada dua jenis terdapat di pasaran.  Satu adalah limau nipis kecil seperti yang sering terdapat di tanah air.  Mereka panggil jenis ini key lime.  Harganya pula lebih sedikit.  Satu lagi buahnya lebih besar sebesar buah lemon lebih murah.  Buah limau nipis jenis ini tiada biji, senang hendak perah keluarkan airnya.

Ok sudah ada semua bahan, bolehlah mulakan buat key lime pie.

Bahannya:

1 kulit pie ukuran 9"  garis pusat (diameter)
1 14oz tin susu pekat (1 1/4 cawan)
1/2 cawan perahan air limau nipis
1 camca kecil parutan kulit limau nipis
4 biji telor (ambil merahnya sahaja)
perwarna hijau

Caranya:

Sediakan kulit pie/tart dan ketepikan.  Panaskan ketuhar 350 degree F.
Pukul telor merah dengan dawai pemutar atau dengan gerpu.  Perlahan-lahan masukkan susu pekat, kacau hingga bersatu.  Kemudian masukan perahan air limau nipis, parutan kulit limau nipis dan sedikit warna.  Kacau.  Adunan akan menjadi sedikit pekat.  Akhir sekali masukkan ke dalam kulit pie dan bakar selama 20-25 minit atau sehingga adunan masak.  Keluarkan dari ketuhar.  Sejukan kira-kira satu jam, kemudian sejukkan dalam peti sejuk selama lebih kurang dua atau tiga jam bolehlah dinikmati.  Letak whipped cream di atas key lime pie yang sudah dipotong...tambah sedapnya.




Cara buat kulit pie:

1/3 cawan butter atau margarin
1/4 cawan gula halus
1 1/4 cawan biskut graham (graham cracker) - hancurkan hingga seperti tepung (kira-kira 18 keping) .... boleh guna biskut oreo atau biskut mary

1.  Cairkan butter dan campur gula.  Masukkan cairan ke dalam biskut yang sudah dihancur tadi dan gaul.  Masukkan adunan itu dalam pinggan pie ukuran 9".  Mampatkan adunan dalam pinggan dan tepi pingan.  Sejukkan baharulah boleh masukkan inti pie kedalam kulit yang sudah sejuk.














Friday, March 18, 2016

Cuaca Mendung

Assalamualaikum,



Bluebonnet 

Cuaca suram sahaja hari ini.  Matahari segan hendak menjongol.  Pak Long kata petang ini ribut akan turun bersama hujan air batu.  Maka eloklah dikemaskan barang-barang yang boleh jadi mangsa terbang.  Hujan air batu yang turun bukannya kecil...nah sebesar bola golf.  Kalau jatuh pada cermin kereta nasiblah.... Kalau jatuh di badan kereta ..lencut-lencutlah....

Betulah kata ramalan kaji cuaca kali ini.  Sebelum senja, awan sudah gelap berarak pelahan menakong air.  Angin kuat mula menghembus mencari mangsa.  Pokok bergoyang macam hendak tercabut.  Habislah pokok bluebonnet depan dapur digoyang, ditiup menyembah bumi.  Bukan setakat itu sahaja, kilat dan petir pun sama memainkan peranan.  

Kini hujan bersama angin.  Internet sekali ada sekali hilang...kuatnya kuasa alam ciptaan Illahi.  Baiklah masuk tidur dahulu, mungkin esok keadaan bertambah baik, insya-Allah..










Tuesday, March 15, 2016

Mega Jingga

Assalamualaikum,









Tiada kata seindah rupa
Mega senja melabuh tirai
Merah, jingga dan ungu
Antara malam dan siang







Monday, March 14, 2016

Spring Cleaning

Assalamualaikum,


Hendak "spring cleaning" kata Pak Long.  Hendak bersihkan bangsal belakang itu bagi kosong biar ada ruang hendak letak meja kerja tukangnya.  Baguslah....  Hendak jual semua mesen yang tidak diguna..  Mesen potong rumput, Brenda sudah beli untuk adik lelakinya yang sedang mencari mesen macam itu kata Brenda.  Mesen rumput ini mampu memotong rumput tinggi dan anak kayu kecil.  Kurang sudah satu benda.


Mesen rumput

Semalam ada orang datang hendak beli "mulcher chipper" iaitu mesen penyerpih atau memarut dahan kayu, ranting dan daun.  Mulch itu sangat berguna untuk letak menutup keliling pokok dan tanaman.  Ia adalah satu dari cara untuk menjaga akar pokok daripada kekeringan di musim panas.


Mulcher chipper

Pak Long nampak cemas sedikit apabila orang itu beritahu dia akan datang ke rumah tengok mesen mulcher sebelum membelinya.  Kenapa cemas?  Hahaha .... apabila Pak Long memetik switch untuk hidupkan mesen... tiada bunyi.. Berketek pun tidak....  Tidak mahu hidup!  "Darn it.....!  Terdengar perlahan sahaja kelohannya.  Aduhai kesihan Pak Long.  Apa lagi Pak Long sengseng lengan baju, buka enjin, tukar minyak baru dan bersihkan entah apa lagi.  Pasang balik... Hah! hidup pun enjinnya sekali petik sahaja.  Tersengeh sambil tarik nafas puas hati nampak...!  Lelaki itu jadi membeli mesen itu.  




Pak Long sedang membantu menaikkan mesen itu ke truck pembeli.  Berat tu.... Kurang dua benda yang memenuhi bangsal belakang itu.  Baguslah!


Petang semalam kami pergi lagi ke gedung Lowes lagi.  Juling lagi mata Mak Long tengok bunga seolah-olah semuanya menggamit melambai-lambai pada Mak Long.  Pak Long berhasrat membeli beberapa pokok rosemary sebagai melindungi pandangan serabut nun di sempadan kawasan rumah kami.  Pokok rosemary mudah dan cepat membesar.  Tidak perlu penjagaan.  




Itu rumah jiran keluarga Mexican baru pindah hujung tahun lalu.  Banyak barang mereka sekiling rumah ....












Ziarah Menyambil Santai Mata


Assalamualaikum,



Bluebonnet

Hari ini hujan lagi macam hari semalam.  Menurut ramalan kaji cuaca hari akan hujan hingga hari Sabtu ini.  Alhamdulillah.. rahmat, tidak mengapa.  Hujannya kadang-kadang lebat, kadang-kadang renyai dan ada kala berhenti hujan, begitulah.  Juga sejuk macam semalam.  Pak Long ingatkan hari ini pergi ziarah Barry.  Beliau tidak pernah lupa menziarahi sahabatnya Barry setiap minggu.  Mak Long betul-betul hormat dengan sikapnya itu.  Setianya beliau pada setiap sahabat-sahabat karibnya.  Tidak pernah Pak Long merunggut atau mengeloh tentang mereka semua.  Sentiasa sedia memberi bantuan bila diperlukan, tidak payah mereka meminta-minta.  Mudah-mudahan akan terusan begitu.  

Kadang-kadang Mak Long berasa malas juga hendak menemaninya ke sana.  Perjalanan satu jam pergi dan satu jam balik.  Itu bukankah tanggung-jawab isteri untuk sentiasa disamping suami? Mak Long mengingatkan diri sendiri.  Keperluan suami perlu diutamakan dahulu dari diri sendiri.  Bukanlah bermaksud tidak puas hati...  Masaalahnya ialah persoalan untuk menunaikan tanggung jawab diri kepada Ilahi.  Tiada ruang di bilik kecil Barry untuk itu.  Juga berasa tidak selamat dan was-was.  Buat solat jamah dilakukan setiap kali hendak ke situ selepas masuk Zohor.  Semuga Allah ampunkan kami dan permudahkan urusan.  Inilah antara ujian yang sering dihadapi berada di negara di mana penduduknya rata-rata orang kafir!  

Mak Long sedih melihat Barry.  Banyak perubahan pada sikapnya.  Semuga ia tidak berputus asa berusaha untuk pulih.  Sejak kemalangan sudah hampir genap setahun berada di pusat pemulihan dan masih belum nampak perubahan berkesan.  Pertuturannya lemah masih sukar difahami.  Belum boleh mengatur langkah, tangan kanannya lemah tidak digerak disebabkan "stroke".  Doktor tidak dapat memastikan "stroke" berlaku sebelum atau selepas kemalangan motorsikal... tidak diketahui.  Dia tidak boleh ingat.  Setiap kali kami melawatnya beliau hanya duduk atas katil sambil menonton TV sekali pun ada tetamu.  Mungkin beliau letih selepas latihan yang diberi oleh jururawat bertugas agaknya, bujuk hati sendiri.  Apabila TV dibuka tetamu yang datang seperti terpaksa menonton TV juga.  Tidak seronok begitu bila bercakap pun mata tertumpu pada kaca TV.  Mintak-mintak Barry segera sembuh boleh bergerak sendiri walaupun dengan berkerusi roda.  Kerusi rodanya sentiasa tersadai dalam bilik air. Tidak tahu berapa kali setiap hari kerusi roda itu digunakan.  Kami pasti pihak pembantu di pusat pemulihan itu menjalankan tugas terbaik mereka kepada setiap penghuni di situ. 

Mak Long selalu tanya kerana ingin mengetahui sejauh mana kemampuannya bergerak sendiri tanpa bantuan.  Jawabnya "I'm still working on it.  I will be walking again...!. you'll see.." , kadang-kadang jelas pertuturannya, kadang-kadang buat kami terkebil-kebil cuba memahaminya.  

Hari ini kami sampai ke tempat Barry lambat sedikit.  Senyum lebar bila kami sampai, nampak ceria.  Katanya tiga hari lepas doktor bagi suntikan rawatan "Botox" pada tangan kanannya yang tidak mampu bergerak itu.  Mak Long ingatkan botox itu hanya untuk rawatan muka agar tampak cantik dan gebu!  Hahaha.... Menurunya sudah ada perubahan sedikit.  Senyum lebar dia sambil mengangkat tangan kanannya tayang kepada kami semua.  Alhamdulillah....   Wahai Barry, pulihlah cepat agar mudah pergerakan harian mu.

Sebenarnya Pak Long sengaja ikut jalan jauh melalui Johnson City dan Frederiskburg untuk ke sana.  Hendak melihat-lihat kalau bluebonnet sudah berbunga kata Pak Long.  Memang setiap tahun kami ke sana menyusur jalan menikmati kembangan bluebonnet.  Johnson City ialah tempat kelahiran bekas president Amerika Syarikat yang ke 36, iaitu President LB Johnson.  

Bluebonnet
Cantik kawasan yang kami lalui iaitu kawasan "ranch".  Kawasan "cowboy".  "Ranch" ialah kawasan ladang ternak yang beratus ekar luas, landskapnya berbukit, padang ragut dan lurah untuk ternakan lembu, kambing dan biri-biri untuk daging dan bulu.  Bluebonnet masih belum banyak kembang lagi.  Mak Long senang dengan suasana di situ.  Jalanraya sempit dan berliku, indah dan tenang. 


Kedamaian dicari

Ayam belanda hutan

Kami nampak sekumpulan ayam belanda hutan.  Nampak jinak macam burung punai, tetapi klok! klok! mereka lari jauh.

Santai



Lembu berkeliaran merata, setengahnya tiada pagar.  Ada kala Pak Long terpaksa berhenti beri laluan kepada lembu lalu.  Istimewa lembu itu kan!  Binatang ternakan di situ adalah lembu, kuda dan kambing.  Binatang tersebut mempunyai tanda logo di badan mereka dipanggil "branded lifestock".  Logo itu menunjukkan tanda hak milik ternakan kepada "rancher" atau penternak.  Mudah dikenali apabila hilang atau dicuri.  Kaedah membuat tanda itu adalah dengan membakar besi berlogo penternak hingga panas menyala, kemudian dicap pada badan binatang... lembu, kuda atau kambing.  Mesti bisa punya rasanya...!  Kaedah itu dilakukan sejak dahulu lagi hingga sekarang.  Kini satu kaedah "freeze branding" lebih digemari kerana kaedah ini tidak menyakiti binatang yang ditanda.



Gambar dari Google

Inilah cara mengecap logo pada lembu.


Gambar dari Google

Logo yang sudah siap dan pulih di badan lembu.

Gambar di bawah ialah cattle guard.  Cattle guard juga dipanggil Texas gate berfungsi sebagai penghadang binatang ternakan dari keluar dari kawasan ragut.  Menghadang mereka dari pergi ke kawasan lain.  Cattle guard juga dibina untuk menghindar binatang dari menghampiri kawasan jalan keretapi.  Cattle guard dibina seperti jambatan menggunakan besi seperti dalam gambar.  Dengan sendiri binatang tidak berani melintas  jambatan itu.


Cattle guard/Texas gate














Wednesday, March 9, 2016

Rabu, March 9 , 2016

'Assalamualaikum,

Kami diberitahu cuaca buruk dengan hujan, ribut petir dan angin kuat akan melanda kawasan kami di Texas Hill Country.  Macam sudah musim bunga pula.... Hmmm tidak berapa lama lagi musim bungalah...  Kemarin dulu hujan tidak lebat, dapat juga Mak Long membuat riadah berjalan kaki setengah jam, jadilah....  Sebelah petangnya matahari ada tetapi suhu dingin amat sempurna.  Pak Long ajak ke Lowes gedung menyediakan pembekalan segala peralatan pembinaan yang juga ada nurseri.  Macam-macam benda dan barang ada, bawakkan sahaja duitnya atau kad plastik.  Boleh jadi gelap mata dan pitam Mak Long di situ.  Itu hendak dan yang ini pun berkenan, di situ pun mengamit suruh datang tengok dan bawalah balik.  Rambang mata betul dengan semua jenis pokok yang memikat hati.  Adalah beberapa bahan yang dibeli, beli dua beg tanah hitam yang sudah siap berbaja... 40 lb satu beg berat terkial-kial hendak angkat masuk dalam bakol beroda.  Pembantu jualan tidak nampak kelibat!  Pak Long sudah lesap dalam gedung entah cari apa agaknya.  

Mak Long pernah mengikuti kursus dan ceramah tentang penanaman jenis-jenis pokok hiasan laman yang sesuai ditanam di daerah kami.  Jadi bila memilih dan membeli walau apa jenis pokok mesti pilih yang bersesuaian dengan jenis tanah. Kebanyakan nurseri menjual berbagai jenis pokok hiasan laman yang mungkin tidak boleh hidup subur.  Tidak faham mengapa jual pokok-pokok yang tidak sesuai dengan tanah tempatan.

Lihatlah di bawah ini sedikit dari antara bunga-bunga cantik, sampai rasa naik juling mata Mak Long nengok...




Yang ini tidak sesuai ditanam, untuk buat bunga gantung bolehlah tetapi tidak tahan lama dia akan mati di musim panas.




Yang ini pun cepat mati di musim panas!




Yang ini (gambar atas) pun sama, tetapi boleh hidup di tempat yang redup dan mesti disiram selalu dalam musim panas.    

Semalam hujan lagi tetapi sebelah petangnya sama seperti kemarin.  Sempat juga dapat cabut rumput yang mula menjonggol di muka bumi.  Mak Long hendak tanam pokok bunga sedikit di depan rumah di kiri kanan tangga biar nampak berseri sedikit...hahaha... Rupanya Pak Long diam-diam bila Mak Long sibuk bersih rumah dia sudah bersihkan, kaut semua "mulch" di sekeliling pokok bunga gambar di bawa ini.  "Mulch" ialah cebisan kayu, ranting, daun yang dimesen halus dijadikan penutup keliling pokok atau batas pokok bunga).  Hasrat hati hendak tambah tanam bunga petunia.  Di tanahair ada pokok bunga petunia ini rasanya..rajin berbunga dari musim bunga hingga musim luruh.  Mak Long kena pagar supaya rusa tidak jahanamkan.  


Bunga kuning!?

Hari ini suasana cuaca buruk, gelap macam waktu subuh lagi.  Angin bertiup kuat entah dari utara atau selatankah?  Sesekali ada kilat...  Rasa pula macam keadaan di tanahair.

Malam tadi ribut, kilat sabung meyabung disambut pula dengan guruh bersabong berdentum.  Terfikir pula apa hal terjadi dengan binatang-binatang liar dan ungas di ketika cuaca buruk begini.  Tidak boleh hendak lelapkan mata.  Teringatkan anaknda Icah pula, di Dallas cuacanya selalu tidak begitu baik.  Teringat keluarga di tanah air..ok ke tidak.. kabarnya ada gerhana matahari yang berlaku empat tahun sekali..masya Allah....

Tengahari ini juga Mak Long ada janji temu berkala dengan Dr Singer iaitu doktor mata.  Tidak suka betul bila bab bertemu dengan doktor.  Sejak dulu lagi memang berat hendak melangkah jumpa doktor.  Tetapi sekarang "rasa" terpaksa jumpa doktor kiranya mahukan kesihatan terjaga agar tidak menyusahkan orang-orang tersayang.

Hari ini memang tidak berapa ceria.  Matahari tidak nampak hingga ke petang.  Suram ditambah suhu udara sejuk menyelubungi suasana buat hati pun turut sama tidak seronok.  Tidak best rasa begini kan!

Bagusnya pula suasana begini rusa tidak datang menagih jagong.  Dapatlah peluang letakkan pasu-pasu ros di tepi patio supaya dapat siraman air hujan yang turun.  Pokok tumbuhan "bluebonnet" segar dapat curahan air hujan ditambah dengan cuaca sejuk.  Bluebonnet penuh memenuhi ruang di antara garage dan dapur kami.  Nampak membesar dan mula mengeluarkan kudup pada setiap dahan kecil.  Tidak lama lagi kembanglah dia membiru di halaman.  Pernah Mak Long menulis tentang "bluebonnet" dulu  Di sini    




Bluebonnet

Bluebonnet


Selain pokok bunga bluebonnet ialah pokok Texas Mountain Laurel.  Pak Long upah seseorang tanam pokok Texas Mountain Laurel di sisi rumah tahun pertama kami pindah di Canyon Lake.  Pokok ini termasuk di antara pokok-pokok istimewa yang tumbuh melata di kawasan Texas Hill Country.  Pokok hutan sebenarnya.  Ramai yang suka pada pokok itu kemudian ditanam sebagai pokok perhiasan di laman rumah dan taman.  Pokoknya rendang berdaun hijau tua, lebat dan berbunga hanya sekali setahun.  Bunganya berwarna biru biji kundang (ungu), harum semerbak baunya.


Texas Mountain Laurel


Texas Mountain Laurel


Dua pokok tin yang sedang botak pun sudah mula mengeluarkan pucuk-pucuk hijau.  Mak Long memang suka sibukkan diri dengan tanaman.  Hati terhibur bila melihat tanaman semua menjadi.  Pokok bawang besar merah dan bawang kuning sudah meninggi, agak-agak sudah boleh petik daunnya letak dalam sop.  Nanti esok-esok boleh dipatahkan batangnya supaya isi bawang membesar pula.  Itulah rahsia Pak Long tentang bawang sekiranya mahukan isinya membesar.  Tahun lepas banyak juga dapat hasil bawang hingga tidak perlu beli di pasar buat beberapa ketika.  Pokok asparagus pun sudah naik nampaknya, nanti boleh buat sayur goreng!     


Pokok Tin
Mulch di keliling pokok

Di bawah ini ialah bawang kuning tahun lepas yang dicabut terlalu awal.  Isinya belum besar lagi.  Tidak sabar hendak cabut juga!  Sedap bawang ini dibakar atas grill makan dengan ayam panggang atau steak....  Meleleh air lior dibuatnya!

Emak pernah berkata "Tidak rugi berbudi pada bumi...akan dapat hasilnya..."

















Sunday, March 6, 2016

Tempeh

Assalamualaikum,



Tempeh

Tempeh adalah satu dari permakanan tradisi kegemaran orang Melayu dan orang Jawa yang telah berzaman ujutnya.  Mak Long pasti tempeh berasal dari ciptaan orang Jawa dahulu.  Kedatangan orang Jawa dari Indonesia ke Tanah Melayu dahulu kala membawa ilmu membuat tempeh kepada penduduk tempatan.  Malah kini bukan dari kalangan orang Melayu dan Jawa sahaja yang suka makan tempeh.  Orang China dan India sudah menerima tempeh sebagai sebahagian dari permakanan mereka.   Akhir-akhir ini tempeh sudah mendapat tempat istimewa di kalangan penduduk Amerika Syarikat terutama mereka-mereka yang tinggal di bandar-bandar dan mengetahui khasiat tempeh.  Mereka mengutamakan permakanan sihat.  Sebenarnya sudah banyak pengenalan bahan makanan dari Asia seperti kelapa, kuetiaw, popia/spring roll antaranya yang mula mendapat sambutan baik di negara luar.       

Kandungan utama dalam tempeh adalah seratus peratus kacang soya.  Kacang soya mengandungi  zat protein, vitamin B dan serat.  Zat-zat itu penting untuk tubuh badan manusia juga haiwan.    Penanaman dan pengeluaran kacang soya adalah satu daripada bidang pertanian utama di Amerika Syarikat.  Kacang soya diproses untuk bahan makanan seperti minyak soya, mayonais, butter, makanan haiwan ternakan dan lain-lain jenis pengeluaran.


Kacang soya

Tempeh adalah satu dari makanan kegemaran Mak Long.  Makan nasi berlaukkan tempeh masak bening (masak air, perkataan sering digunakan oleh orang Johor) atau goreng cecah kicap pun sudah mencukupi.  Macam-macam cara dan resepi memasak tempeh.  Masak lemak lodeh kalau tidak ada tempeh, memang tidak sempurna rasanya.  Di kampung apabila hendak menyambut hari raya puasa tempehlah antara bahan masakan yang paling laris di pasar Muar.  Bungkusan tempeh yang belum menjadi pun berebut orang membeli untuk disimpan dan guna apabila tempeh sudah jadi.


Tempeh goreng

Isteri arwah bapa saudara Mak Long bernama Mak Yam berketurunan Jawa pandai membuat tempeh untuk jualan.  Keluarganya dulu memang tokey tempeh di pasar Bukit Gambir, Muar.  Tempeh yang paling sedap ialah tempeh yang dibungkus dengan daun pisang atau dengan sejenis daun yang Mak Long tidak pasti namanya.  Pernah Mak Yam beritahu bagaimana hendak buat tempeh.  

Menurutnya, pertama sekali kacang soya dibersihkan dari barang asing seperti pasir kemudian dicuci dengan air bersih beberapa kali.  Setelah bersih hendaklah direndam sehari atau dua hari dengan menukar air rendaman itu dua kali sehari sehingga kacang soya itu kembang.  Setelah kacang soya kembang bolehlah dibuang kulit arinya dengan meramas kacang soya hingga tanggal semua kulit ari.  Rebus kacang soya yang sudah bersih itu tanpa garam selama 30 minit.  Toskan dan keringkan biar sejuk suhu bilik di dalam dulang besar.  Setelah itu bolehlah meragi kacang soya dengan menggunakan ragi tempeh.  Ragi tempeh jarang dijual di pasaran, tidak seperti ragi tapai yang mudah dapat dibeli di pasar orang Melayu atau Jawa.  Kata Mak Yam sekiranya tidak ada ragi tempeh, gunakan tempeh yang sudah jadi itu sahaja dengan mengeringkan tempeh itu dahulu kemudian dihancurkan jadi raginya.  Cara meragi ialah dengan menaburkan ragi kepada kacang soya, digaul hingga rata barulah dibungkus dengan daun, biasanya Mak Yam bungkus bahagian luar bungkusan tempeh dengan kertas surat kabar.  Apabila siap membukus, simpan tempeh di tempat kering selama lebih kurang 36 hingga 48 jam.  Tempeh menjadi bila kulat putih meliputi dan memampatkan rupa tempeh.  Nah sudah boleh dimasak! 

Mak Long pandai beli, buat tidak pernah.  Mungkin sudah sampai masa untuk cuba membuat tempeh sendiri.  Di Texas pasaran tempeh terdapat di kedai-kedai menjual barang makanan oganik untuk diet sihat juga dijual di pasaraya Kroger sahaja.  Tempeh yang ada di Texas diusahakan oleh orang Indonesia.  Tempeh dibungkus dengan plastik kemudian dikedap udara agar tahan lama (gambar atas sekali).  Ada terdapat beberapa kelainan pembuatan tempeh di sini.  Tempeh ditambah perisa seperti dicampur dengan beberapa jenis bijiran seperti biji flax, biji gandum dan lain-lain.  Biasanya Mak Long beli lebih kemudian simpan dalam peti beku.  Pak Long tidak suka makan tempeh dan tahu katanya.  Itu dulu!  Mak Long masak tempeh goreng bercili bersama-sama ikan bilis, kacang tanah dah kentang yang dipotong kecil-kecil.  Goreng semuanya dengan minyak kemudian disira dengan sambal manis-manis sedikit.  Elehh mula-mula dia jual mahal... Mak Long saja biarkan dalam mangkok atas meja dan makan sebagai kudapan depan dia.  Hahaha tidak tahan Pak Long akhirnya tergoda juga dengan tempeh.  



Tempeh goreng bercili dengan
kacang tanah, ikan bilis dan kentang

Tengok gambar mangkok di bawah sudah tinggal kekoret hingga nampak warna mangkok....


Tempeh goreng bercili