Pages

Thursday, July 28, 2016

Perjumpaan Hari Pelajar (Perjalanan Hari Kedua)

Assalamualaikum ,

8hb Julai, 2016

Hari ini adalah hari kedua perjalanan kami ke Kentucky untuk menghadiri majlis perjumpaan hari pelajar sekolah Pak Long.  Malam tadi kami bermalam di Hotel Best Western, Lonoke, Arkansas.  Pak Long merunggut tidak berpuas hati keadaan bilik hotel.  Berbau hapak dan lantai permadaninya berasa lembab.  Mahal dan nama sahaja boleh diharap.  Jarang dengar Pak Long merungut.....  

Pukul tujuh setengah pagi kami sudah di atas jalan semula.  Cuaca mulai panas awal-awal lagi.  Semalam cuaca mencecah 102 degree farenheit.  Mujur duduk dalam kereta tidak berasa keperitan hangat.  Arkansas tanahnya sangat subur mempunyai pusingan penanaman setiap tahun iaitu jagong dan kacang soya.  Tanah ladang luas terbentang menghijau sayup sejauh mata memandang hingga ke kaki langit.  Tiada bukit dan tiada banjaran pergunungan sebagai perlindungan dari sebarang kemungkinan tiupan angin puting beliong yang sering berlaku di kawasan itu. 

Kami selamat sampai Paducah, Kentucky jam dua belas setengah hari.  Suara radio berkumandang mengumumkan bahawa cuaca buruk pada sebelah petang hari ini nanti.  Mudah-mudahan tidak seteruk yang diramalkan. Kami terus ke kampung Pak Long iaitu Wickliffe.  Semacam tidak sabar sahaja Pak Long...  Orang balik kampunglah katakan kan, sapa pun akan berasa seronok.  Kami lalu hampir setiap lorong di Wickliffe.  Hahaha Pak Long menyusur ukur jalan....  Setengah dari lorong-lorong itu hanya muat-muat untuk sebuah kereta lalu sahaja.  Bila berselisih kereta, salah satu kenderaan kena berhenti memberi laluan pada kereta yang mendatang.  Jangan heran, dalam negara serba canggih pun masih ada kampung dan penduduk yang masih ketinggalan di takuk yang sama sepanjang zaman.  Inilah satu-satunya.....  Ramai masih berfikiran lama tidak berubah!  Terutama dari kalangan masyarakat tua. Daerah ini juga dikenali sebagai daerah "the bible belt region".  Bermakna penduduk daerah itu penganut tegar ugama Nasrani atau Kristian.  


Warna merah itu
The bible belt region


Kami singgah di rumah Angela iaitu anak sepupu Pak Long tetapi dia belum pulang dari kerja jadi kami terus ke rumah sahabat rapat Pak Long semasa kecil dahulu ....Tommy Cruise.  Rumahnya tidak jauh dari rumah Angela.  Sebelum meninggalkan rumah Angela sempat juga Mak Long tangkap gambar di belakang rumahnya yang dipenuhi penanaman jagung (gambar bawah).




Penanaman jagung

Sampai di situ Tommy sudah siap sedia hendak keluar menghantar isterinya Linda Kay ke kelinik.  "Itulah, tidak mahu talipon dulu hendak singgah!"  Mak Long merunggut sikit!  Hihihi...sekarang ni orang tua ni sudah pandai merunggut.... 

Pak Long janji dengan Tommy akan datang semula esok walau pun Tommy bersedia membatalkan temujanji doktor isterinya.  Mana boleh macam itu kan...  Kay mengidap penyakit "lupus" selepas mereka mendirikan rumah tangga 50 tahun lalu.  Penyakit lupus adalah sejenis penyakit "chronic" yang boleh merosakkan sistem imun tubuh lazimnya menyerang kulit, sendi juga organ dalam tubuh manusia.  Masih belum ada ubat untuk merawat penyakit itu.

Kemudian kami ke rumah Arnold Beaver pula.  Macam raya pulak!  Mak Long tidak pernah jumpa Arnold sebelum ini.  Pak Long cakap sudah lima puluh tahun mereka tidak berjumpa.  Sejak lepas sekolah...!  Kata Pak Long lagi dia ini lain sedikit orangnya.  Mak Long tidak faham apa maksudnya.  Nanti tengoklah apa maksudnya.  Ketika kami sampai di hadapan rumahnya seorang wanita berbadan besar dan tinggi berada di muka pintu.  "Who're you?" sergahnya kepada Pak Long.  Amboi...  Garangnya bunyi!  Masam cuka air mukanya membuat kami berasa serba salah.  Rasa hendak pusing balik!  Pak Long perkenalkan diri.  Wanita itu memanggil Arnold dan kedengaran suara dari dalam rumah menyuruh kami masuk.  Rupanya wanita itu adalah isteri baru Arnold bernama Jewel.  Jururawat pencen kata dia orang ....hmmmm...  

Kami disuruh duduk....eikkk mana hendak duduk ek?  Arnold duduk di kerusi "recliner" (kerusi yang boleh dibaringkan atau duduk tegak).... di sebelah ada sebuah lagi kerusi "recliner" sarat dengan kertas surat khabar, gebar!  Pak Long buat selamba sahaja sambil kais-kais barang di kerusi itu ketepi lalu duduk.  Mak Long?  Bertengek atas bangku kecil berdekatan dengan TV heheheh...  Mak Long tidak kesah dengan keadaan begitu tetapi terasa keganjilan suasana rumah tangga itu.  Beberapa balang besar berisi air berwarna merah tua terletak di tengah-tengah rumah yang bersepah.  Tidak baik Mak Long bercerita hal orang ni...berdosa!




Pak Long dan Arnold mula berbual mengingati zaman mereka dulu-dulu.  Selepas habis sekolah masing-masing menjalani kehidupan berlainan.  Menurut cerita Arnold, dia jadi askar dan dihantar ke Vietnam yang ketika itu sedang berkancah dalam peperangan.  Pulang dari Vietnam dia balik dan kerja kampung serta mendirikan rumahtangga yang berakhir dengan penceraian.  Beberapa tahun lalu dia dapat kemalangan teruk ketika bertukang membina rumahnya.  Ia terjatuh dari bumbung dan hampir maut.  Dua tulang selangka dan tulang belakangnya patah serta terlantar beberapa lama.  Kesihatannya masih tidak pulih seperti sedia kala.  Ia juga mengidap penyakit lupa, dan dapat stroke.  Mereka suami isteri membuat minuman keras "wine" dari strawberry, black berry dan rasberry.  Maka terjawablah soalan tentang balang-balang besar di tengah rumah itu.  Setiap tahun hasil wine yang mereka usahakan melebihi 175 gelen.  Pak Long tanya berapa harga dia jual minuman..."Hell!  I don't sell..!"  Patutlah......  Tidak lama kami di rumahnya dan segera beredar apabila Arnold mula merepek hal ugama dan gereja!  Membenci Islam!  Agama Islam agama setan katanya....  Pak Long kata tidak guna berbahas dengan orang seperti itu!


Duduk dari kanan ialah Jewel, Arnold dan Tommy Cruise

Dari rumah Arnold kami singgah pula ke rumah Gary Fowler.  Kami pernah menggunjungi Gary dan isterinya Linda lima tahun lalu.  Pasangan ideal menyambut kedatangan kami penuh kemeseraan.  Luas kawasan keliling rumahnya dihias dengan beberapa lori bajak antik di sana sini seperti museum.  Rumput menghijau diketam kemas.   Menurut Gary ia terjatuh ditimpa trakter ketam rumput besar ketika mengetam rumput di kawasan bukit curam di sisi rumah.  Tulang belakangnya mengalami keretakan teruk dan sekarang masih dalam proses pemulihan.  Kesihan Gary...!  Nasib baik Linda juga seorang jururawat terlatih.  Sempat Linda membawa Mak Long ke sebuah "barn" (bangsal) di belakang rumahnya dan menunjukkan koleksi barang-barang lama yang diperolehi dari keluarga.  Macam-macam ada seperti dapur oven lama, kerusi lama, pinggan mangkok lama dan lain-lain.  Mak Long suka tengok semua itu tetapi tidak berminat untuk memiliki sebagai koleksi sendiri.  Sementara Gary pula beria-ia mengajak Pak Long melihat koleksi beberapa kereta dan truck lama miliknya.


Gary dan Linda Fowler

Cuaca nampak mendung.  Kami bergegas ke hotel Hampton Inn di mana kami tinggal selama dua tiga hari di situ.  Pihak hotel menaik-taraf  bilik kami, bilik yang luas dan amat selesa.  Alhamdulillah cuaca buruk yang diramal tidak berlaku... hujan sahaja!

Selepas Maghrib kami ke tebing Sungai Mississippi menikmati matahari terbenam dan tiupan angin di sungai terpanjang di Amerika Syarikat.  Dulu di situ terkenal sebagai pengkalan "barge" (tongkang pengangkutan) membawa dan pemunggahan barangan yang dibawa melalui perairan.  Walaupun kini ia masih diguna sebagai pengkalan tetapi sudah agak merosot.  Bandar Paducah terbahagi kepada dua iaitu bahagian bandar tua dan baru.  Kami bersiar-siar di bahagian bandar tua yang terletak di sebelah sungai itu.  Bandar tua itu mempunyai banyak menyimpan khazanah dan sejarah lama.  Bangunan tua banyak yang sudah dibaik-pulih sebagai menarik pelancungan.  Ada sebuah hotel tua di mana Pak Long teringin bermalam di situ.  Menurutnya hotel itu hanya memiliki sepuluh buah bilik sahaja...mungkin berhantu!  Hahaha!  Hajat tidak kesampaian kerana semua bilik sudah dipenuhi.  Melepaslah labu....
























No comments:

Post a Comment